TERKINI :

Saturday, June 24, 2017

Kepada Presiden Pas.. cakap biar terang jangan cuba kelirukan rakyat untuk menyelamatkan Najib.

Kenyataan Presiden Pas yang cuba mengelirukan rakyat Melayu untuk menyelamatkan Najib Razak.

Presiden Pas lupa perkara-perkara penting berikut dan diharap insaf atas nama agama dan kepentingan negara dan rakyat:-

1) Tiada mana-mana pihak di negara ini menjemput kuasa asing menyelesaikan masalah 1MDB kerana kesalahan yang berlaku dalam skandal 1MDB berlaku di negara-negara yang mendakwa perlakuan jenayah 1MDB seperti di Amerika Syarikat dan Singapura.

Jadi, mereka bertindak sendiri sebab kesalahan berlaku di negara mereka dan mereka mahu menjaga kepentingan kewangan dan integriti negara mereka, maka mereka mendakwa.

Mereka tidak pula menyatakan untuk menyerang negara ini. Lagipun, Najib dan Pak Menteri lain sekarang membisu tak mampu menangkis fakta penyelewengan 1MDB, kenapa pula Presiden Pas cuba selamatkan Najib.

Yang didakwa melakukan jenayah adalah Najib dan bukannya rakyat Malaysia secara am, maka tiada sebab untuk kuasa asing mencampuri urusan negara. Sanggupkah Presiden Pas menjadi gembala kepada seekor serigala liar yang sedang membaham kambing-kambing yang tidak bersalah?

2) Presiden Pas lupa ayat alQuran di surah Hud:113 bahawa kita dilarang cenderung kepada kezaliman, sedangkan Najib bertindak zalim terhadap rakyat dan khianat kepada negara dengan mencuri duit berbillion ringgit dengan kehidupan mewah Rosmah dan keluarganya, tetapi rakyat yang kena tanggung hutang, gst, potongan subsidi dan kenaikan harga barang yang melampau.

3) Nabi Muhammad SAW juga pernah dibantu orang luar yang bukan muslim seperti Perjanjian Hudaibiyah dan  Sofyan bin Umaiyah dalam peperangan Hunaian.

Ini link surat terbuka beliau :
https://m.malaysiakini.com/news/386650

Muhammad Faiz Fadhil

Sg. Petani : Restoran tumpuan kaki ponteng puasa


SUNGAI PETANI – Walaupun sudah minggu akhir Ramadan, namun masih terdapat pengusaha kedai makan yang gagal mematuhi arahan perniagaan untuk memulakan jualan selepas jam 3 petang.

Ini dibuktikan apabila sebuah restoran di sini dikenal pasti menjalankan perniagaan sebelum jam 3 petang apabila didatangi beberapa pelanggan bagi mendapatkan makanan sejak pagi.

Hasil maklumat awam memaklumkan kedai terbabit menjalankan perniagaan makanan kepada kaki ponteng puasa setelah dilihat didatangi beberapa pemuda pada jam 11 pagi.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi dimaksudkan dua jam kemudian turut mendapati kedai terbabit masih menerima pelanggan termasuk bukan Islam, yang tanpa segan-silu berurusan menggunakan pintu hadapan sebelah tepi.

Walaupun setiap penjuru kedai ditutup dengan bidai kayu, namun pintu tepi sekeliling kedai dibiarkan terbuka sedikit.

Kelihatan beberapa kipas di kaki lima dibuka seperti biasa, mungkin memberi petanda kepada pelanggan yang kedai terbabit beroperasi seperti biasa.

Hasil pemerhatian mendapati selepas beberapa minit menunggu di pintu terbabit, seorang petugas datang kepada pelanggan yang menunggu di luar dengan membawa beg plastik berwarna hitam.

Sejurus membuat bayaran, pelanggan kemudian bergegas membonceng motosikal bersama seorang lagi teman yang siap sedia menunggu sebelum memecut laju meninggalkan kedai terbabit.

Yang menghairankan, kedai terbabit berurusan secara terbuka dengan pelanggan di bahagian hadapan pintu yang boleh dilihat orang awam tanpa mempelawa masuk ke dalam premis bagi mengaburi perbuatan mereka.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, tindakan penguatkuasaan ataupun hukuman keras perlu dikenakan bagi mengelakkan perkara sama berulang saban tahun bertujuan menghormati perintah berpuasa ke atas orang Islam sepanjang bulan Ramadan.

Dengan apa yang dijanjikan SADA setakat ini pihak PH yakin pelan menanggani masalah air di Kedah.


ALOR SETAR - Pemimpin Pakatan Harapan yakin  persediaan dirancang oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) berjaya mengurangkan gangguan bekalan air menjelang Aidilfitri kali ini.

Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, dalam satu sesi taklimat khas bersama Sada kelmarin, pihaknya sudah dijelaskan mengenai persediaan dilaksanakan oleh syarikat bekalan air itu.

"Menerusi sesi taklimat itu, kedua-dua pihak dapat berbincang dan bertukar pandangan yang secara terbuka mengenai masalah air yang dihadapi negeri ini.

"Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Ghani Zainuddin meyakinkan kami bahawa syarikatnya akan berlaku adil kepada semua dalam mengendalikan krisis air, di negeri ini," katanya pada sidang media di Pejabat DAP Kedah, di Pekan Simpang Kuala, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan Sada bahawa seramai 36 pegawai perhubungan yang berlesen sudah dilantik untuk bertugas di setiap kawasan Dun pembangkang.

"Kesemua pegawai yang dilantik akan membantu setiap wakil rakyat dalam menangani aduan air yang diterima oleh pemimpin Pakatan Harapan di kawasan pembangkang.

"Oleh itu, kita juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dilantik oleh kerajaan negeri," katanya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, buat masa ini terdapat 99 kawasan di seluruh Kedah yang mengalami kekurangan air di mana Sada selalu membekalkan air melalui penggunaan 55 lori yang menghantar 1.2 juta liter air sehari.

"Ia dijangkakan bahawa jumlah kawasan yang terjejas semasa raya akan meningkat kepada 257 kawasan di mana Sada menjangka akan menyediakan 127 lori air untuk membekalkan 2.7 juta liter air sehari.

"Sada juga memberi jaminan bahawa mereka akan menubuhkan pusat aduan setempat di kawasan-kawasan yang terjejas dalam usaha menangani isu ini," katanya.

Justeru, beliau berharap langkah-langkah yang komprehensif dirancang oleh pihak Sada berjaya dilaksanakan untuk mengurangkan masalah air pada musim perayaan kali ini.

"Saya turut memuji sikap keterbukaan Abdul Ghani yang bersetuju untuk berjumpa dengan wakil-wakil Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi Abdul Ghani berkata permintaan bekalan air setakat ini, masih dalam keadaan normal.

"Sada bersiap sedia untuk menerima pengguna yang pulang berhari raya. Sudah tentulah penggunaan air akan berlipat ganda.

"Sada akan usaha sedaya upaya elak agar isu tahun lalu berulang,"katanya.

Beliau berharap pengguna sentiasa bersabar dan memberi kerjasama kepada Sada untuk bersama-sama menghadapi musim perayaan kali ini.

Sada sedia agih 2.2j liter air di musim perayaan


ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) sudah bersedia untuk mengagihkan sebanyak 2.2 juta liter air sehari sekiranya berlaku krisis gangguan air sepanjang musim perayaan nanti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Ghani Zainuddin berkata, jumlah itu adalah sekali ganda berikutan persediaan yang rapi dilakukan oleh pihaknya berdasarkan pengalaman tahun lepas.

"Tahun ini kita membuat persiapan yang lebih baik dengan menyediakan 127 lori memandangkan Sada  mengenal pasti lebih banyak kampung yang bakal terjejas iaitu 257 buah kampung.

"Operasi penghantaran air menggunakan lori bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam dan  sekiranya keadaan semakin buruk, kita akan hantar 24 jam selama tujuh hari semasa Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media khas selepas taklimat dan persiapan terakhir menangani masalah air menjelang Aidilfitri di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Datuk Badrul Hisham Hashim.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din yang mempengerusikan sesi taklimat sebelum itu berkata, beliau berpuas hati dengan semua persiapan kontingensi gangguan bekalan air yang dilakukan semua pihak termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bomba sepanjang Aidilfitri nanti.

"Cuma kita agak kecewa apabila loji Pokok Sena yang dijangka siap pada tahun ini, masih belum dapat beroperasi seperti yang dirancangkan. Sekiranya beroperasi kelak, bekalan air di kawasan Pokok Sena dan Kota Setar dijangka selesai.

"Lima projek loji yang lain iaitu Loji Rawatan Air Pelubang, Loji Rawatan Air Bukit Selambau (Merbok), Loji Rawatan Air Sungai Limau (Baling), Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama dan Loji Rawatan Air Jenun Baru (Yan dan Pendang) masih dalam peringkat penilaian," katanya.

Sementara itu, Badrol Hisham menjelaskan, satu taklimat mengenai pelan kontingensi gangguan air akan turut diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

"Isu ini berkaitan rakyat, kami mahu semua pihak mendapat maklumat bagi memastikan tiada masalah berlaku hingga membebankan rakyat nanti," katanya. - Bernama

'Apabila Mahathir kembali ke Kubang Pasu'


SHAH ALAM - Penasihat Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, majlis berbuka puasa yang diadakan di kawasan lamanya, menerima sambutan positif daripada ahli Umno.

Namun,sayangnya kata beliau 'mereka masih kekal dalam Umno'.

"Saya kembali ke Kubang Pasu, kawasan saya dahulu, buat kali pertama untuk berbuka puasa di Kodiang selepas 14 tahun meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno Kubang Pasu.

"Ramailah juga ahli-ahli Umno Kubang Pasu yang hadir dalam acara iftar itu.Saya sedih kerana ramai lagi dari mereka yang masih berada dalam Umno," katanya yang dipetik menerusi perkongsian di blognya www.chedet.

Untuk rekod Mahathir mula bertanding di di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding.

Selepas pilihan raya, Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak.

Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya.

Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Katanya lagi, "Dalam ucapan saya, saya jelaskan bahawa Umno sekarang bukan Umno yang saya pimpin dahulu,".

"Umno sekarang bukan pun Umno yang ditubuh pada 1946 oleh Dato Onn, Umno yang mengalahkan Malayan Union, dan mencapai kemerdekaan.

"Umno sekarang telah dihijack oleh Najib untuk menjadi alat pelindung jenayah yang telah dan sedang dilakukan olehnya," dakwanya.

Dalam pada itu,dalam perkembangan mengenai tuduhan bahawa beliau terlibat dengan pengeluaran kenyataan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Mahathir berkata, " Amerika Syarikat bukan seperti Malaysia,".

" Di Malaysia ada Perdana Menteri yang melalui wang dan ugutan mempengaruhi tindakan dan kenyataan oleh anggota Kerajaan. Di Amerika Presiden pun terpaksa menerima laporan berkenaan dirinya dari pegawai berkaitan dengan apa sahaja salahlaku olehnya

"Dan Presiden biasa disingkir kerana perbuatan yang salah yang dilapor oleh pegawai agensi tertentu. Itulah yang menimpa Presiden Nixon kerana skandal Watergate," katanya.

Justeru katanya, yang menuduh parti pembangkang di Malaysia mampu mempengaruhi DOJ  Amerika adalah satu kebodohan yang luar biasa.

Penjelasan DSAI berkenaan isu Forex zaman Tun Mahathir

oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim

Saya memilih untuk bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Forex selaku mantan Menteri Kewangan 1991-1998. Saya berpuas hati dengan ruang yang diberikan oleh Pengerusi Tan Sri Sidek dan jawatankuasa

Dalam kesempatan singkat pada 20hb April lalu, saya telah jelaskan antara lain bahawa:

1. Sebaik menyandang jawatan Menteri Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Tan Sri Zain Azraai Zainal Abidin) ada menyentuh urusan dagangan matawang oleh Bank Negara Malaysia. Menurutnya, sejak 1989, Perbendaharaan Amerika (Fed); Bank Pusat England dan IMF telah memaklumkan bahawa penglibatan BNM dalam urusan tersebut dianggap membimbangkan.

Berikutnya, dalam taklimat Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Jaafar Hussein, beliau menafikan keterlibatan BNM sambil menekankan bahawa penglibatan BNM adalah sah sekadar mempertahankan kedudukan ringgit dalam pasaran.

2. Masalah mula dikesan laporan yang membimbangkan dari media antarabangsa dan pasaran Zurich, sekitar akhir 1991 dan awal 1992, dan perkara tersebut dikemukakan semula kepada Gabenor BNM. Tan Sri Jaafar memberikan keterangan yang sama dan memaklumi bahawa Pengarah Urusan tersebut di BNM adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Namun, manakala deraf awal audit BNM 1991 dibentangkan, Perbendaharaan melahirkan kebimbangan. Gabenor BNM akui jumlah terlibat adalah lebih besar dari yang dijangka. Memandangkan saya dan Kementerian Kewangan tidak dimaklumkan mengenai hal tersebut, Gabenor sendiri yang menjelaskan kepada media dengan menyebut “kerugian atas kertas”.

Berikutnya saya terpaksa menangani permasalahan tersebut di Parlimen, terutama persoalan-persoalan yang dibangkit Ketua Pembangkang ketika itu, YB Lim Kit Siang. Kerajaan memberikan penjelasan BNM sambil menjelaskan keutuhan ekonomi. Namun, saya menegaskan arahan agar BNM menghentikan dagangan Forex tersebut.

3. Dari perkembangan tahun berikutnya, 1993, ternyata urusan tersebut diteruskan; dan jumlah kerugian ketika itu, dianggar sekitar RM9 bilion hingga RM10 bilion. Gabenor BNM membuat pengakuan kepada saya bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak memberi laporan tepat kepadanya dan beliau telah menerima perletakan jawatan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai petugas yang bertanggungjawab. Tan Sri Jaafar sendiri mengambil tanggungjawab sepenuhnya, walaupun saya akui kewibawaannya dan percaya bahawa beliau tidak diberikan keterangan lengkap oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

4. Tan Sri Ahmad Don yang mengambil alih tugas Gabenor BNM pada tahun 1994 telah bertindak menghentikan dagangan tersebut, dan mula membayar kerugian sekitar RM500 juta setiap tahun. Pengurusan BNM bertambah mantap, diperkemas dengan laporan dasar yang lebih teratur kepada Menteri Kewangan.

Jumlah kerugian akhirnya dianggar sekitar 15 hingga 30 bilion ringgit tertakluk kepada cara BNM mengaudit dan mencatat potongan ‘contingency fund’, ‘reserve fund’, ‘insurance fund’; kos membendung inflasi dan mempertahan ringgit.

5. Setelah saya dipenjarakan pada September 1998, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri. Dan lebih serius lagi apabila beliau dilantik Menteri Kewangan Kedua pada 2008; walaupun ketika diberhentikan pada tahun 1998, Kementerian Kewangan telah mengemukakan syarat bahawa beliau tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana institusi kewangan negara.

6. Dalam pertemuan dengan Pasukan Petugas Khas Forex ini, berulangkali saya tegaskan keperluan dibekalkan dengan laporan dan dokumen untuk memastikan perjalanan lebih telus dan teratur. Perkara ini belum dilaksanakan. Saya juga perhatikan masalah wujud manakala keputusan Pengerusi membenarkan peguam saya, R Sivarasa, hadir untuk saya rujuk, tetapi keputusan ini diketepikan oleh seorang pegawai di Kementerian Kewangan.

*Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN. – Keadilan Daily





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...