TERKINI :

Sunday, June 18, 2017

Daripada Manifesto Candu Kepada Pemerintahan Rakyat

Rencana
15 Jun 2017

Daripada Manifesto Candu Kepada Pemerintahan Rakyat

Ramai yang memberikan pandangan akan keperluan Malaysia untuk mengambil iktibar daripada pilihanraya United Kingdom. Rata-rata komentar melihat kepada aspek idea-idea yang dilontarkan oleh Jeremy Corbyn dari Labour Party yang akhirnya diterima oleh rakyat United Kingdom walaupun sebelum itu ia dikecam hebat oleh media massa.

Sebagai seorang rakyat yang bermimpi untuk melihat tanahair ini melalui fasa pencerahan politik, saya kerap melontarkan pandangan betapa parti politik dalam negara ini perlu keluar dari kepompong tawaran gula-gula. Manifesto pilihanraya bukanlah candu buat rakyat.

Namun saya masih lagi merasakan iklim politik Malaysia tidak berubah. Masih ditakuk yang sama walaupun kita bakal menghadapi pilihanraya umum buat kali yang ke-14. Usia kemerdekaan juga sudah menjangkau 60 tahun tetapi perubahan suasana politik masih lagi satu mimpi yang panjang.

Jika dalam teori ekonomi ada konsep penawaran dan permintaan, begitu jugalah keadaannya dengan manisfesto candu ini. Parti politik tidak akan berani untuk menawarkan manifesto candu sekiranya tiada permintaan daripada kalangan rakyat.

Oleh yang demikian, masyarakat perlu berubah. Pemikiran yang menagih politik kain pelikat, politik wang tunai, politik ketuhar mikro dan sebagainya perlu ditinggalkan jauh-jauh. Masyarakat kita kali ini patut melihat bagaimana dasar parti politik ini dalam merakyatkan ekonomi, menjana kekayaan buat semua lapisan struktur masyarakat dan tawaran penyelesaian terhadap semua kebimbangan dalam urusan kehidupan seharian.

Apabila masyarakat mula bergerak ke arah itu, parti politik tidak punya banyak pilihan. Mereka terpaksa mengikut kemahuan rakyat. Parti politik perlu berubah untuk memastikan mereka boleh mendapat sokongan rakyat. Kerana parti politik objektifnya adalah merebut kuasa.

Parti politik akan mula mengarang idea mengenai penyelesaian komprehensif dan berjangka panjang. Tawaran populis, manifesto candu, dan politik naungan dan perkauman sempit akan berganti dengan politik berasaskan polisi, tawaran realistik dan mapan, dan politik berasaskan nilai. Ibu pertiwi ini sebenarnya mendambakan restorasi sistem yang boleh memacunya bergerak ke hadapan semula.

Daripada polisi perumahan rakyat kepada penyelenggaraan fasiliti awam kepada imbuhan tahunan kakitangan awam, segalanya dijadikan seperti tebusan politik. Semua ini telah menjadi satu komoditi buat parti politik untuk meraih laba darinya. Walhal, siapa pun pemerintah, perkara-perkara ini adalah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka.

Oleh yang demikian, Malaysia sebenarnya memerlukan setiap daripada rakyatnya untuk menjadi Jeremy Corbyn. Rakyat Malaysia perlu berubah daripada menagih tawaran populis dan manifesto candu, kepada mendesak parti politik untuk menjadi Pemerintah dari rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat.

Jika tidak, usahlah berharap parti politik akan berubah.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Ketua Pembangkang mahu sidang parlimen tergempar mengenai dakwaan DOJ diadakan segera

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesa kerajaan mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi membincangkan dakwaan Jabatan Keadilan Sosial (DoJ) Amerika Syarikat dalam saman sivil berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Beliau berkata skandal 1MDB yang telah mendapat perhatian masyarakat dunia ini menjadi lebih memeranjatkan apabila timbul dakwaan terbaru bahawa sebanyak RM17 bilion telah diseleweng oleh “pegawai tertinggi negara” untuk membiayai kehidupan serba mewah.

“Memandangkan dakwaan terbaru ini melibatkan maruah negara, saya menggesa supaya sebuah sidang tergempar Parlimen diadakan sesegera mungkin bagi membincangkan dakwaan terbaru ini.

“Mengadakan sidang tergempar di luar waktu persidangan Parlimen bukanlah amalan yang luar daripada kebiasaan. Terutama sekali apabila isu yang dibincangkan itu melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataannya hari ini.

SIdang tergempar Parlimen pernah diadakan pada 23 Julai 2014, bagi membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan 298 nyawa.

Sebuah Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Parlimen pula telah diadakan pada 26 Januari 2016.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4, Akta Parlimen, hanya Ketua Majlis (Perdana Menteri) boleh boleh meminta supaya sidang tergempar Parlimen diadakan dengan mengemukakan usul kepada Speaker.

“Maka dengan ini saya menggesa Perdana Menteri memanggil sidang tergempar Parlimen sesegera yang mungkin bagi membincangkan dakwaan terbaru oleh DOJ.

“Lantas dapat membersihkan nama negara dari sebarang cemuhan dan tohmahan,” ujar Wan Azizah yang juga Presiden PKR itu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...