TERKINI :

Tuesday, June 6, 2017

Pengacara program TV3 didakwa di mahkamah hina ayah Watson Nyambek

Azizul-Ammar
SIBU: Bekas pengacara program sukan TV3 didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana mengeluarkan kenyataan menghina mendiang ayah bekas pelari pecut negara Watson Nyambek, lapor The Star.

Azizul Ammar, 30, dan penerbit program Sukan Tak Sentral, Abdul Ghani Mohd Mokhtar, 41, didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Azizul didakwa menyebut perkataan “Nyambek” iaitu nama akhir Watson secara mengejek dalam program komedi disiarkan TV3 itu.

Majistret Saiful Sayoti membebaskan kedua-duanya dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Beliau juga mengarahkan mereka untuk hadir di mahkamah pada 4 Julai untuk pra-perbicaraan.

Watson sebelum ini enggan menerima permohonan maaf daripada Azizul dan syarikat penerbitan Primework Studios.

“Saya susah menerima permohonan maaf tersebut kerana mereka menghina dan menyamakan bapa saya dengan seekor haiwan dan saya berasa amat kecewa dan marah,” katanya.

Agamawan Islam – Kristian iftar bersama, mengapa ahli politik bercakaran?

 Agamawan Islam - Kristian iftar bersama, mengapa ahli politik bercakaran?
MUFTI Wilayah Persekutuan dan wakil rasmi beberapa organisasi Islam menepis kekecohan yang dicetuskan beberapa kumpulan agama minggu lalu, dengan menyertai program berbuka puasa bersama pemimpin Kristian, malam tadi.

Mereka duduk bersebelahan dengan penganut Kristian, makan dan saling bertukar pendapat di sebuah hotel di Shah Alam.

Selepas berbuka puasa pada program anjuran Global Unity Network (Unity) dan Christians for Peace and Harmony in Malaysia, beberapa pemimpin kedua-dua pihak bergilir membangkitkan kepentingan keharmonian antara agama di negara ini.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Islam juga menggalakkan idea menjemput bukan Islam, golongan miskin dan memerlukan untuk berbuka puasa bersama bagi memahami makna sebenar Ramadan.

“Bila saya makan bersama orang di sini, mereka ini orang Kristian. Kami tidak cuba mencetuskan isu yang akan menyebabkan ketidakharmonian agama.

“Kita patut melihat ke depan, membuang rasa kekok antara agama dan hidup bersama dalam harmoni,” katanya.

Di hujung ucapannya, Zulkifli berkata tidak sukar untuk rakyat Malaysia hidup bersama dalam negara majmuk ini jika masyarakat pelbagai kepercayaan mengetepikan perbezaan mereka dan fokus pada perkara baik daripada agama masing-masing.

Presiden Unity Shah Kirit Kakulal Govindji berkata majlis itu menunjukkan bagaimana kedua-dua agama boleh saling bertukar idea secara aman.

“Sepanjang acara ini, umat Islam dan Kristian dapat bersama berbincang mengenai perbezaan mereka dan saling berkenalan.

“Kami dapat melangkaui perpecahan agama menerusi mendapatkan maklumat tepat dan berkenalan antara satu sama lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mengulas mengenai kekecohan baru-baru ini oleh kumpulan Islam di Pulau Pinang mengenai acara berbuka puasa, Shah Kirit berkata mereka patut lebih bertimbang rasa terhadap agama lain.

Timbalan Pengerusi CPHM Lee Min Choon bagaimanapun lebih diplomatik dan berkata adalah lebih baik isu itu diselesaikan sendiri oleh umat Islam.

“Ia perkara membabitkan pemahaman Islam. Saya tidak tahu banyak mengenai Islam, jadi saya tidak sesuai untuk bercakap mengenainya,” katanya.

Katanya, acara malam tadi membuktikan Kristian dan Islam boleh bekerjasama untuk hidup bersama dalam harmoni.

Shah Kirit juga memberi amaran kepada kumpulan Muslim yang prejudis terhadap agama lain dan mereka sepatutnya memastikan mempunyai maklumat tepat sebelum mengongsinya.

“Anda tidak boleh prejudis. Anda perlu adil bukan saja pada agama anda tetapi agama lain juga. Dan jangan terlalu cepat membuat kesimpulan,” katanya.

Menyentuh mengenai penganjuran “Jerusalem Jubilee” di Melaka, Shah Kirit berkata tajuk acara itu mungkin disalahertikan oleh umat Islam di Malaysia.

“Tajuknya itu memberi tanggapan mengenai pendudukan Yahudi di Palestin. Ia isu sensitif walaupun acara itu tidak ada kena mengena dengan perkara itu,” katanya.

Penganjur Jerusalem Jubilee bercadang untuk mengumumkan malam tadi yang mereka tidak akan menganjurkan acara itu di Gereja Calvary Life Assembly Chinese, susulan bantahan PAS dan Perkasa, NGO Melayu.

Penganjur All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) berkata program itu ialah acara bersembahyang untuk Kristian dari Malaysia dan Asia Pasifik, dan menolak tuduhan PAS yang matlamat program itu ialah menganjurkan “Kristian Zionist” dan “budaya Yahudi”.

Tetapi semalam, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau mengarahkan polis mengharamkan perhimpunan Jerusalem Jubilee kerana mengambil kira sensitiviti umat Islam.

Acara buka puasa malam tadi turut dihadiri pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Interfaith Spiritual Fellowship Malaysia (Insaf), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Allied Coordinating Committe of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN), Majlis Agama Islam Selangor dan Christian for Peace and Harmony in Malaysia (CPHM).

Ini ialah program ketiga Unity, berbuka puasa bersama Kristian.

Unity ialah NGO Islam yang bertujuan mempromosikan perpaduan antara agama dalam kalangan rakyat Malaysia. – TMI

Mahkamah tolak rayuan pesuruhjaya Pas Perak, arah bayar RM6,000 kepada Timb Pengerusi Amanah Perak

 Razman hari ini membuat rayuan keapda Mahkamah Tinggi Ipoh
Mahkamah sekali lagi mengarahkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membayar kos kepada Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Razman sebelum ini diarahkan oleh Mahkamah Sesyen untuk membayar kos sebanyak RM8,500.

Kali ini Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan beliau membayar kos sebanyak RM6,000 dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh keputusan semalam.

Ini setelah Hakim Anselm Charles Fernandis semalam menolak rayuan Razman terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membatalkan Tuntutan Balas yang dikemukakan oleh Bendahari Pas Pusat itu.

Di dalam keputusan semalam, Mahkamah Tinggi Ipoh bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa Tuntutan Balas Razman tersebut adalah cacat.

"Oleh itu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak rayuan Razman dengan kos sebanyak RM6,000 yang perlu dibayar oleh Razman dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan," kata peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri Asmuni.

Namun beliau mendapati terdapat sedikit kekeliruan dalam keputusan hakim semalam apabila Razman diarahkan untuk meminda Tuntutan Balasnya dengan memasukkan kenyataan fitnah yang didakwa telah diterbitkan oleh Mohammad Nizar yang ketika itu sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak.

"Saya mendapati terdapat sedikit kekeliruan dalam keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh semalam.

"Secara dasarnya, Hakim telah menolak rayuan Razman untuk menghidupkan kembali Tuntutan Balas yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

"Ertinya, Tuntutan Balas tersebut sudah tidak wujud lagi tetapi dalam masa yang sama, beliau mengarahkan Razman membuat pindaan ke atas Tuntutan Balas tersebut.

"Di sini yang saya maksudkan adanya kekeliruan kerana ada percanggahan," jelasnya lagi.

Kata Fitri, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Mohammad Nizar dan anak guamnya itu telah mengarahkan beliau untuk memfailkan segera rayuan terhadap keputusan hakim berkaitan isu pindaan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mempersoalkan laporan berita yang disiarkan oleh Razman dalam laman sosial Facebooknya berhubung keputusan mahkamah semalam.

Laporan tersebut mendakwa Mahkamah Tinggi Ipoh telah membenarkan rayuan Razman Zakaria terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Ipoh yang membatalkan tuntutan balasnya terhadap Mohamad Nizar.

"Laporan tersebut adalah tidak benar. Saya tegaskan di sini bahawa rayuan mereka telah ditolak dengan kos sebanyak RM6,000 yang perlu beliau bayar dalam masa tujuh hari.

"Kalau rayuan beliau dibenarkan, tidak timbul perintah beliau untuk membayar kos RM6 ribu tersebut kepada Nizar. Saya harap beliau perlu lebih teliti dengan apa yang berlaku," tegasnya.

Pada tahun 2015, Tahun lalu, Mohammad Nizar memfailkan tuntutan fitnah sebanyak RM3 juta terhadap Razman yang didakwa memfitnahnya sebagaimana artikel yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015, bertajuk: Pendekatan Nizar mirip DAP.

Rafizi dakwa Najib guna wang 1MDB bayar peguam ketepi sapina Anwar

 http://www.themalaysiantimes.com.my/wp-content/uploads/2015/08/Rafizi-Najib-685x320.jpg
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mendedahkan, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membuat satu bayaran daripada akaun peribadinya yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada seorang peguam dalam satu kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 2011.

"Bayaran ini menjadi penting kerana buat pertama kali, ada bukti nyata bahawa seawal tahun 2011, Datuk Seri Najib telah menggunakan wang yang dipercayai berasal dari dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadinya, untuk membayar peguam bagi tujuan berhadapan dengan Datuk Seri Anwar di mahkamah.

"Bukti wujudnya bayaran ini memberi dimensi baru kepada pendedahan Sarawak Report mengenai bayaran sejumlah RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah yang juga dari akaun peribadi Datuk Seri Najib dari dana yang sumbernya dipercayai dari 1MDB," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembayaran kepada Shafee itu bukan kali pertama dibuat Najib menggunakan wang dari sumber 1MDB bagi tujuan berhadapan dengan musuh politik beliau.

"Kertas siasatan SPRM yang dibocorkan dan dimuat naik ke SPRMInsider mengesahkan dalam tahun 2011, Datuk Seri Najib telah membayar sejumlah RM325,188 kepada peguam Datuk Ghazi Ishak dari Tetuan Salehuddin Saidin & Associates yang mewakil beliau untuk mengenepikan sapina Datuk Seri Anwar terhadap perdana menteri dalam kes fitnah liwat II," katanya.

Justeru, katanya, sudah sampai masanya untuk mendesak campur tangan Majlis Raja-raja atau menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan-dakwaan ini.

Suruhanjaya Diraja ini katanya harus smenyiasat penggunaan wang rakyat yang masuk melalui akaun peribadi Najib yang dibayar kepada peguam-peguam dalam kes-kes yang dibawa terhadap musuh-musuh politik beliau.

"Sejauh mana pengaruh dan kesan bayaran-bayaran yang dibuat kepada pegawai sistem kehakiman, terutamanya pendakwaraya khas yang dilantik kerajaan iaitu Tan Sri Shafee Abdullah, telah mempengaruhi keputusan kehakiman terhadap musuh-musuh politik beliau terutamanya pemenjaraan Datuk Seri Anwar," katanya.

Menurut ahli parlimen Pandan itu juga, beliau sedang merangka satu kempen kesedaran yang akan dibawa melalui laman sosial dan dibawa ke kampung-kampung untuk menerangkan kepada rakyat bagaimana wang mereka digunakan oleh Najib untuk menamatkan kerjaya musuh politik nombor satunya iaitu Anwar yang berakhir dengan pemenjaraan bekas ketua pembangkang itu.

"Saya juga akan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara penting di dalam kertas siasatan itu yang memberi gambaran terperinci sejauh mana penjawat-penjawat awam di peringkat tertinggi di negara ini sebenarnya tahu bahawa dana yang besar telah masuk ke akaun peribadi Datuk Seri Najib; sebelum perkara ini bocor kepada pengetahuan awam," katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...