TERKINI :

Monday, June 5, 2017

Yuran Shafee: Kerajaan bohong kepada parlimen?

 
Pada mulanya saya tidak bercadang mengulas dakwaan terbaru yang super sensasi oleh Sarawak Report bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terima yuran RM9.5 juta kerana menjadi pendakwa raya sementara kes rayuan liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sarawak Report mendakwa duit yang dipercayai dicuri daripada 1MDB itu dibayar kepada Shafee oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tapi seorang pengulas yang memakai pengenalan “anonymous” telah menghantar komen dalam posting bertajuk “Negara Kafir Lebih Peduli Penipuan 1MDB” dan mengherdik saya agar tidak lagi menulis mengenai 1MDB.

Saya sering kebingungan. Aneh seribu kali aneh. Ramai penyokong Najib, Umno dan kerajaan yang masuk blog ini mengulas menggunakan “anonymous” yang mereka tahu saya tidak akan siar.

Saya hairan mengapa mereka takut guna nama sendiri atau nama samaran. Logiknya, bila sokong Najib, Umno dan kerajaan mereka tidak perlu berasa takut. Yang patut takut adalah pembahas anti-Najib, Umno dan kerajaan.

Mungkin penyokong Najib ini malu dengan tahap perbahasan mereka yang hambar atau mereka tidak ikhlas menyokong Najib.

Boleh jadi sesetengah daripada mereka adalah penulis dedak yang terpaksa menghantar komen setakat memenuhi kuota dedak mereka.

Pada 1 Jun, portal berita UK itu melaporkan yang Shafee terima dua pembayaran daripada akaun peribadi Najib di AmBank nombor 2112022011906.

Satu pada 11 September 2013 sebanyak RM4.3 juta dan satu lagi pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta.

Parlimen dibohongi?

Persoalannya sekarang ialah bukan sahaja Shafee dibayar yuran yang begitu besar sebagai pendakwa raya helikopter tetapi kemungkinan kerajaan telah berbohong kepada Parlimen mengenainya.

Pada 11 Mac, 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri memberitahu Parlimen kerajaan hanya membayar RM1,000 kepada Shafee untuk mengetuai kumpulan pendakwaan kes itu.

Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Rakyat Bakri, Er Teck Haw dari DAP.

“Jumlah yang diberikan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak antara kerajaan dan ketua pendakwa,” katanya.

Apakah Nancy berbohong atau beliau mungkin tidak tahu bahawa ada kira bicara bawah meja yang melibatkan bayaran RM9.5 juta itu?

Berani Shafee nafi?

Banyak pihak telah mencabar Najib dan Shafee menafikan dakwaan itu dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas Sarawak Report.

Kita boleh membuat kesimpulan Najib tidak akan saman. Ancam nak saman pun mungkin dia tak berani buat pasal ancaman tahun 2015 nak saman Wall Street Journal pun macam masuk angin keluar asap saja. Sampai hari ini pun tidak ada apa-apa.

Tapi adakah peguam sehebat Shafee akan berdiam diri dan membiarkan mahkamah pendapat umum (court of public opinion) membuat pengadilan bahawa laporan Sarawak Report itu benar?

Maaflah kalau saya terlepas pandang, tetapi saya tidak pula terbaca atau dengar dari mana-mana sumber mengatakan Shafee akan membersihkan namanya di mahkamah undang-undang (court of law).

Saya buat carian Internet dengan menaip “Shafee nafi terima RM9.5 juta daripada Najib” tapi tidak ada hasil mengatakan Shafee telah membuat penafian.

Justeru itu, adalah tidak menghairankan kalau banyak pihak percaya memang benar Najib bayar dia RM9.5 juta sebab itu rekod Najib. Dia suka guna duit. Bagi Najib, duit adalah raja (cash is king).

Yang akan membusukkan lagi nama Shafee ialah bayaran yang didakwa itu adalah daripada sumber 1MDB yang disonglap dan masuk akaun peribadi Najib.

DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Artikel ini dimuatkan kali pertama dalam blognya. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Penganjur batal himpunan Jerusalem Jubilee - Polis



Penganjur perhimpunan Jerusalem Jubilee telah membuat keputusan untuk membatalkan perhimpunan tersebut setelah berbincang dan mendapat nasihat daripada pihak polis.

Ketua Polis Negeri Datuk Abd Jalil Hassan berkata pihaknya telah memanggil pihak penganjur dan hasil perbincangan, penganjur telah membuat keputusan sendiri untuk membatalkan perhimpunan itu yang dijadual di Cheng pada 15 hingga 18 Jun.

"Pihak polis telah memberikan nasihat sebaiknya kepada pihak penganjur dan kemudian penganjur membuat keputusan untuk membatalkan program tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abd Jalil berkata berdasarkan laporan yang diterimanya sehingga kini, sebanyak 32 laporan polis telah dibuat sekitar negeri ini.

Sebelumnya, Kerajaan Negeri menerusi Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron hari ini menggesa penganjur perhimpunan Jerusalem Jubilee agar membatalkan hasrat untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

-Bernama

Gagal tubuh parti politik Ezam nekad perangi rasuah di pentas NGO

 Mohamad Ezam Mohd Noor 5
Bekas Senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor akhirnya menyatakan pendirian untuk meneruskan usaha memerangi rasuah menerusi platform NGO di negara ini bukan lagi platform politik.

Beliau yang agak sedikit terkilan parti baharu Generasi Baharu gagal ditubuhkan, apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan penukaran nama baharu kepada Parti Bebas Rasuah.

"Setelah meninggalkan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) saya dan beberapa rakan menyertai parti baharu setelah ditawarkan oleh pimpinan parti tersebut untuk mengambil alih kepimpinan parti dan merubahnya menjadi parti yang khusus melawan rasuah dengan menukar nama menjadi Parti Bebas Rasuah.

"Malangnya pihak berkuasa (RoS) masih tidak meluluskan penukaran dilakukan dan rakan-rakan perlu kembali berjuang menerusi badan NGO sedia ada

"Ini kerana saya hanya setuju jika parti itu tumpu kepada isu rasuah," ujarnya dalam kenyataan.

Justeru Ezam yang kini selaku Pengerusi Hisbah berkata, tumpuannya di Hisbah kini dalam usaha menyiapan sebuah buku dan beberapa risalah khusus mengenai Islam dan rasuah.

"Buku dan risalah ini kita akan sebarkan bersama Persatuan Anak Peneroka (Anak) yang memfokuskan kepada isu Felda.

"Ia sudah melalui proses diperingkat akhir dan dijangka siap pada Julai ini," ujarnya.

Justeru kata Ezam lagi, agenda besar perjuangannya bersama Hisbah untuk merubah pentadbiran negara yang sudah kebejatan rasuah.

"Pandangan saya rasuah merupakan kemungkaran terbesar hari ini kerana telah mengakibatkan kerosakan besar dan keperitan hidup kepada jutaan rakyat biasa," ujarnya.

Sebagai rekod Ezam ,49, sebelum ini lantang menentang pentadbiran Dr Mahathir sejak era reformasi pada 1998 selepas mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

Orang kanan Anwar itu meninggalkan PKR dan menyertai Umno pada Mei 2008 untuk bersama-sama berkempen menentang pembangkang.

Beliau dilantik sebagai Senator kemudian memilih untuk keluar Umno dengan alasan parti itu tidak lagi serius dalam perjuangan menentang rasuah.Katanya, keputusan berkenaan dibuat bagi mempertahankan prinsip perjuangannya sekaligus melakukan perubahan di negara ini.

Pada 13 Oktober Ezam mengumumkan menyertai Bersatu tetapi selepas tiga bulan menyertainya beliau sekali lagi mengumumkan keluar daripada menyertai parti serpihan Umno itu.

Beliau dilaporkan mahu menumpukan perhatian terhadap NGO anti rasuah Hisbah Centre For Reform (Hisbah) yang dipengerusikannya.

Pada 4 April beliau mengumumkan untuk menyertai Parti Generasi Baru dan dilantik sebagai Presiden manakala Timbalannya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Hadi terangkan sebab Pas membisu siapa calon PM

 Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masih menjalani rawatan di Intitut Jantung Negara sempat menulis mengenai siapa calon perdana menteri sekiranya parti pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Presiden Pas ini berkata, parti itu tidak pernah membincangkan siapa perdana menteri yang bakal dilantik walaupun ujarnya lagi, ada pimpinan utama dalam Pas pernah menyuarakan pandangan siapa bakal calon perdana menteri.

"Saya mengikuti perbincangan hangat dikalangan semua parti yang sedang berjuang menghadapi PRU14 yang begitu galak menamakan calon Perdana Menteri, kecuali Pas tidak mencalonkan sesiapa.

"Dahulunya ada pemimpin jadian dalam Pas juga berwirid dengan nada yang sama. Sekarang sudah meninggalkan Pas," ujarnya dalam kenyataan yang dipetik dari Harakahdaily.net itu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata, tindakan Pas membisu memperkatakan siapa calon perdana menteri menimbulkan kehairanan di kalangan penyokong parti itu.

"Semua pihak merasa hairan mengapa Pas diam membisu? Adapun ahli dan penyokong Pas yang sangat setia sanggup tidak berpeluh dan berpecah kepala bertanya siapa calonnya sama ada jawatan Penghulu Kampung, Adun, Parlimen dan jauh sekali siapa calon PM," ujarnya.

Abdul Hadi turut menceritakan pengalamannya bertemu dengan seorang duta Amerika Syarikat di negara ini yang ingin bertemu dengan beliau untuk menyatakan pendirian parti itu ketika PRU13 lalu dan turut bertanyakan soalan sama siapa bakal perdana menteri jika Pakatan Rakyat ketika itu memenangi piliha raya umum.

"Ketika PRU13 dahulu, TYT Duta Amerika minta mahu bertemu saya, setelah dia membatalkan kesediaannya untuk datang ke Pejabat Pas, saya pula dijemput ke rumahnya.

"Dengan rasa kehairanan saya pergi juga, ditemani kawan terdekat Datuk Mustafa Ali dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Politik saya. TYT Duta bersama dua pegawai, katanya salah seorang daripadanya datang daripada U.S.

"Saya jangka dia tanya soalan hudud yang biasanya dijadikan senjata menghina Islam, rupanya perbualan politik secara umum khususnya PRU. Apabila saya bertanya, mengapa U.S. bersama kerajaan diktator di beberapa negara Islam sehingga kalau parti Islam menang dibatalkannya dengan kuasa tentera dan ada juga negara Islam yang tidak ada pilihan raya, padahal U.S. adalah negara besar yang paling lantang mendukung demokrasi. Dia menjawab bahawa polisi U.S. tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

"Akhirnya, dia bertanya saya: “Siapakah Pas calonkan jadi PM Malaysia kalau menang PRU?” Saya menjawab secara sepontan: “Siapakah calon yang dipersetujui oleh U.S.?” Mereka semua ketawa besar, kemudian terdiam," ceritanya.

Katanya lagi, Pas dari dahulu penubuhannya menyambung perjuangan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Beliau turut memetik beberapa ayat al-Quran dan Hadis.

"Mengikut Al-Quran dan Sunnah serta diriwayatkan oleh para ‘ulama dalam kitab-kitab yang banyak. Hadis baginda S.A.W bersabda: “Demi Allah! Aku tidak melantik orang yang meminta jawatan atau rakus mahukan jawatan”. Hadisnya juga: “Di antara kemusnahan umatku di akhir zaman apabila jawatan menjadi pemimpin dianggap peluang untuk diri, keluarga dan kroni”.

Justeru tegasnya lagi parti itu jangan terpengaruh dengan budaya politik lain daripada Islam.

“Kita wajib terima siapa sahaja yang menerima Islam walaupun dia bukan Pas," ujarnya.

Menteri Umno dinasihati hormati Ramadan, tidak guna platform masjid tabur fitnah

 http://3.bp.blogspot.com/-mern5oGqYgA/Tisqhq0ZV_I/AAAAAAAACE8/0scFcLri_y8/s1600/Masjid+Sultan+Salahuddin+Abdul+Aziz+Shah+at+dusk%252C+Shah+Alam%252C+Selangor%252C+Malaysia.jpg
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disaran agar banyak memohon keampunan dari Allah SWT dan bertaubat daripada leka menebarkan fitnah di bulan Ramadan ini.

Gesaan itu dibuat Ketua Wanita Amanah Nasional (Awan) Dr Siti Mariah Mahmud ketika mengulas tuduhan melulu Adnan di majlis penyerahan bantuan di sebuah masjid di Cheras, semalam.

"Mudahnya Menteri Wilayah ni lempar fitnah bukan saja pada lawan dia tapi juga kepada rakyat negeri Selangor.

"Sempena bulan Ramadan ni, eloklah Ku Nan banyak-banyakkan istighfar dan bertaubat dari memfitnah," tegur Dr Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Tengku Adnan ketika berucap pada program berbuka puasa di ruang parkir Masjid Jamek Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur sempat menempelak pemimpin pembangkang khususnya Ahli Parlimen Subang R Sivarasa yang disifatkan sebagai 'ketagih mikrofon'.

Berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di masjid itu, Tengku Adnan yang mengkritik pemimpin pembangkang kerana bercakap tentang politik di masjid membidas Sivarasa yang didakwa mencemarkan kesucian Masjid An Nur Kampung Melayu Subang apabila memberi ceramah berkaitan politik pada Rabu lalu.

"Saya bukan cakap politik tapi Sivarasa cakap politik. kita bawa (Timbalan Menteri Wilayah) Datuk Loga (Bala Mohan) tapi dia pun tak cakap politik (dalam masjid).

"Kita datang buka puasa, kita sembahyang dia pun balik bukan ambil mikrofon cerita dalam surau, cerita dalam masjid mengenai politik..

"Inilah puak-puak yang ketagih yang tak ada program yang tak pernah jumpa rakyat jadi dia jadi ketagih, bila ketagih mereka akan lakukan apa-apa yang boleh menghilangkan ketagihan mereka," katanya.

Adnan turut menyentuh mengenai pusat hiburan di negeri Selangor yang katanya semakin bercambah.

Sambil mendakwa telah berusaha menahan lesen-lesen hiburan dari masuk ke Wilayah Persekutuan, di majlis berbuka itu Tengku Adnan melemparkan tuduhan terhadap rakyat Selangor yang disifatkan sebagai 'ketagih pusat judi'.

"Di Wilayah Persekutuan, saya tanya dengan Datuk Bandar (Kuala Lumpur) lesen-lesen hiburan keluarga dah beku lama dah berhenti kerana kita tahu ini punca tempat perjudian...

"Apa yang berlaku di negeri Selangor?

“Itu yang Sivarasa ketagih, rakyatnya di negeri Selangor pun ketagih pusat judi ibarat cendawan tumbuh di pesisir wilayah persekutuan," katanya dengan nada sinis.

Kehadiran Sivarasa di Masjid An Nur Kampung Melayu, Subang, 24 Mei lalu bagi menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen yang diwakilinya tidak disenangi sesetengah pihak termasuk Adun BN Kota Damansara Halimaton Saadiah Bohan.

Mereka kemudian membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang sekaligus menarik perhatian Pengarahnya Datuk Haris Kasim.

Haris kemudiannya memaklumkan bahawa tindakan Sivarasa mengundang kemurkaaan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun Sivarasa menafikan dirinya memberi ceramah politik di masjid berkenaan dan kehadirannya itu disalahertikan sesetengah pihak.

Menurut Sivarasa sebagai tetamu yang dijemput memberi sepatah dua kata, adalah tidak elok jika beliau menolak undangan itu.

Beliau mengakui membuat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan dan menegaskan keyakinannya terhadap komitmen kerajaan Selangor untuk terus membimbing institusi surau dan masjid di negeri itu.

Politik rahmah lawan politik perkauman

 http://www.thestar.com.my/~/media/online/2016/01/06/05/49/art_4095.ashx/?w=620&h=413&crop=1&hash=8B52A1EFDC1E33A90DFDC49E4AF7FC3B534982A2
Menghampiri PRU14, propaganda kaum dan agama yang dijelmakan Umno dan giat pula didukung oleh cybertrooper Pas bukanlah sesuatu yang baharu. Bezanya, menuju PRU13 lalu, Umno menggunakan Majlis Profesor Negara, kini muncul watak baharu bernama Kamarul Yusof.

Kamarul jelas menjadi frontier Umno dan Pas dalam menunggang politik jijik ini di tengah khalayak. Malangnya, dalam beliau terlalu sibuk memomokkan Pakatan Harapan melalui serangan terhadap Hannah Yeoh, beliau lupa bahawa dalam kabinet Najib Razak sendiri terdiri daripada penganut Kristian, Buddha dan Hindu.

Sebagai contoh, Datuk Dr Yap Kain Ching atau lebih dikenali sebagai Mary Yap. Beliau merupakan Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia (Federation of Councils of Christian Mission Schools Malaysia) sewaktu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi) pada 2013. Mengapa Kamarul tidak bising-bising ketika ini? Adakah 'war room' Umno belum bagi arahan lagi ketika itu?

Amanah, sebagai parti Islam bertunjangkan "Rahmatan Lil Alamin" sama sekali tidak akan mempertikaikan kedudukan Mary Yap sebagai Timbalan Menteri hanya semata-mata latar belakang agama beliau. Kalau wujud pun percanggahan atau bantahan, ianya berakar daripada sokongan beliau terhadap kerajaan kleptokrasi Najib Razak, atau mungkin ketempangan polisi dan dasar kementeriannya.

Dalam sistem dwi parti, paling utama adalah perkumpulan politik yang dipilih. Pemimpin-pemimpin beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian wujud dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Apa yang membezakan keduanya adalah menyokong atau menolak kleptokrasi Najib Razak. Menerima atau menolak kerajaan rasuah dan terpalit dengan salahguna kuasa.

Lantas saranan kami kepada orang-orang Umno dan Pas yang giat bermain politik perkauman dan agama agar berhentilah dengan modus tercela ini. Orang Melayu tidak bodoh. Buktikan keupayaan dan rekod kerja kamu dalam meraih undi. Bukan berselindung di balik sentimen agama untuk mengelirukan pengundi.

PRU-14 mengisyaratkan kepada kita perlawanan antara Politik rahmah dan politik perkauman. Pemuda Amanah meyakini rakyat Malaysia punya tekad yang kuat memenangkan Politik rahmah dan menolak kleptokrat sesuai dengan prinsip-prinsip agama, moral dan etika yang dijunjung oleh semua.

Shazni Munir Mohd Ithnin ialah naib ketua pemuda Amanah Nasional

Kasihan Masalan dari negeri XYZ, mereka tak merasa bonos 2 bulan setengah seperti di Selangor


Saya berkesempatan untuk dengan beberapa orang guru telah mengajar saya.

Banyak perkara yang sempat kami bincangkan bersama, termasuklah berita penjawat awam di negeri Selangor menerima bonus dua bulan setengah.

Rata-rata mereka sangat terkejut.

"Kalau macam ini, Cikgu nak mohon kerja bawah kerajaan Selangor jugalah, boleh dapat bonus banyak."

Saya ketawa melihat respon mereka tetapi pada masa yang sama saya juga percaya ini inisiatif yang sangat bagus oleh kerajaan negeri Selangor bagi menghargai penat lelah penjawat awam.

Saya ingin berkongsi sebuah cerita mengenai "Amzin" yang merupakan rakyat di negeri Selangor dan "Masalan", rakyat di negeri XYZ.

Amzin ialah anak jati negeri Selangor, beliau juga bekerja di negeri Selangor.

Sepanjang beliau menetap di Selangor, bermacam-macam kemudahan telah beliau nikmati.

Apabila Amzin terima tawaran belajar, Amzin terima Hadiah Pengajian IPT sedangkan Masalan pula perlu berhutang dengan PTPTN.

Apabila Amzin berkahwin, Amzin menerima RM500 bawah Program Insentif Perkahwinan Belia sedangkan Masalan tidak terima apa apa bantuan kewangan.

Apabila Amzin membeli rumah, Amzin dapat Skim Rumah Selangorku sedangkan Masalan masih tidak mampu membeli rumah pertamanya.

Tetapi, Masalan baru sahaja menerima bonus sebanyak RM500 sedangkan Amzin terima bonus sebanyak dua bulan setengah.

(Contoh: Jika gaji Amzin sebanyak RM5,000, jumlah bonus yang diterima oleh Amzin ialah RM12,500, iaitu 25 kali ganda bonus si Masalan.)

Realitinya, jika di Selangor, kerajaan Amzin membeli laptop yang berharga RM4,000, harga yang dibayar ialah RM4000 juga.

Tetapi apabila di XYZ, apabila kerajaan Masalan membeli pemutar skru berharga RM32, namun dikatakan dia telah membeli pada harga RM224 bagi tiap satu pemutar skru.

Disebabkan inilah rakyat boleh dibiaya dan bermacam inisiatif yang rakyat negeri Selangor nikmati,

Ini baru sedikit, ada lebih 17 skim yang ditawarkan buat rakyat negeri Selangor.

Bas-bas percuma diwujudkan malah pemberian wifi percuma di bandar-bandar utama dalam Selangor turut menjadi tarikan dan terkini bonus gaji dua bulan setengah diberikan buat seluruh penjawat awam kerajaan negeri Selangor.

Mungkin ada mulut-mulut yang akan mengatakan ini semua sebenarnya hasil daripada menteri besar sebelum ini iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tetapi kita harus akui bawah pemerintahan Azmin Ali, beliau telah melakukan pelbagai inisiatif termasuklah program Peduli Rakyat yang bertujuan untuk membantu rakyat di negeri Selangor khususnya.

(Program peduli rakyat meningkat lebih dua kali ganda, Bonus jauh lebih tinggi, Rizab meningkat dan lain-lain.)

Di negeri Masalan, hutang negeri meningkat dan mencatatkan bajet defisit. Di negeri Amzin pula, rizab negeri melebihi RM 4 bilion. Surplus yang teramat tinggi.

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara bagi 2015, siri kedua laporan mengesahkan prestasi kewangan negeri Selangor adalah amat baik.

Malah, laporan itu menunjukkan surplus meningkat sebanyak 200 peratus antara 2014 hingga 2015.

Ini kerana bawah pemerintahan kerajaan negeri Amzin, beliau menggalakkan pemberian tender secara terbuka bukan atas dasar kronisme.

Tidak berlakunya ketirisan, ini dapat dibuktikan dengan pengiktirafan daripada Laporan Ketua Audit Negara terhadap ketelusan kepimpinan negeri Amzin.

Jauh sekali jika kita nak bandingkan dengan ketirisan dan pembaziran berjumlah berbilion ringgit yang dilakukan oleh kerajaan XYZ, belum lagi dengan salah guna kuasa, penyalahgunaan wang rakyat.

Sekiranya Malaysia mampu ditadbir sepertimana di negeri Amzin, saya percaya banyak yang kita mampu lakukan demi kesejahteraan rakyat, banyak peluang-peluang pekerjaan mampu diwujudkan, kemudahan kesihatan dan pendidikan mampu dinaik-taraf dan semestinya gaji mampu dinaikkan.

Lihatlah betapa untungnya rakyat di negeri Amzin dan ini hanya mampu dicapai apabila pemimpin yang baik memimpin serta mendengar suara dan rintihan rakyat

Saya percaya jika kita mempunyai pemimpin seperti ini, percayalah tidak mustahil satu hari nanti kita mampu menjadi antara 10 negara terbaik di dunia.

SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Malaysia.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

ANAK BEKAS PENGASAS AMBANK YANG DIBUNUH DEDAH PENGLIBATAN "PEGUAM RM9.5 JUTA" DALAM KES MELIBATKAN AYAHNYA.

Pascal Najadi mendedahkan kepada Sarawak Report bahawa seorang peguam berpangkat Datuk telah hadir ke hospital ketika jenazah ayahnya, Ahmad Hussein Najadi bekas pengasas Ambank yang ditembak mati secara misteri, dan mengambil alih semua urusan melibatkan pemeriksaan dan pengurusan jenazah.

Beliau yang kelihatan agak gementar waktu itu memberitahu pihak keluarga si mati bahawa beliau telah diminta untuk mengambil alih semua urusan  berkaitan jenazah walaupun pihak keluarga si mati tidak mengenali beliau dan tidak pernah melantik beliau bagi pihak keluarga.

Malah peguam tersebut tidak mengendahkan rayuan ahli keluarga supaya upacara pengebumian ditangguhkan dahulu sementara menunggu kedatangan anggota keluarga yang jauh.

Peguam tersebut mahu jenazah dikebumikan petang itu juga seolah-olah beliau berkuasa penuh mengendalikan urusan jenazah dengan membuat arahan-arahan kepada pihak-pihak yang terlibat di dalam kes tersebut.

Lebih mengejutkan, menurut Pascal Najadi, peguam tersebut dilapurkan menerima sejumlah wang besar dari akaun peribadi Najib yang dilapurkan menerima wang dari dana 1MDB. Pascal mendakwa bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak benar-benar menyiasat kes pembunuhan ayahnya.

Pascal Najadi turut memaklumkan bahawa beliau pernah dihubungi oleh Tania Scivetti, yang mempunyai firma guaman mensasarkan kes-kes berprofile tinggi melibat warga asing yang didakwa di Malaysia. Tania menawarkan kepadanya untuk menguruskan keperluan guaman berkenaan kes pembunuhan ayahnya dan dia bersetuju.

Tania Scivetti kemudiannya bertindak menukar semua kunci pejabat ayahnya dan.kemudian menghilang begitu sahaja tanpa khabar berita. Segala panggilan dan pesanan kepadanya dari beliau tidak berbalas. Kemudian barulah Pascal menyedari bahawa Tania adalah isteri peguam tersebut yang mana perkahwinan mereka didaftarkan secara sivil di London kerana Tania bukan beragama Islam.

Pascal Najadi mencabar peguam berkenaan mendedahkan apa peranan beliau semasa hari pengkebumian ayahnya dan kenapa beliau tidak menghantar sebarang bil kepada keluarganya sekiranya khidmat beliau diminta oleh pihak keluarga.

65% pekerjaan akan hilang menjelang 2027?


Saya ambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa peningkatan penggunaan kemajuan teknologi dapat melihat Malaysia kehilangan 65 peratus daripada pekerjaan semasa pada tahun 2027.

Bagi saya, tenaga kerja mahir tempatan perlu diperkasakan dengan kemahiran untuk memanfaatkan bakat dan potensi mereka yang sepatutnya sejak dahulu.

Ketika ini hanya 28 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Jumlah itu agak rendah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju lain yang telah mencapai tahap 40 peratus tenaga kerja mahir di kala­ngan rakyatnya.

Jumlah ini ternyata tidak selari dengan keperluan ekonomi abad ke-21 yang menekankan penguasaan kemahiran yang tinggi, penguasaan teknologi maklumat (IT), kreativiti dan inovasi.

Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 40 peratus pekerja berkemahiran tinggi daripada keseluruhan tenaga kerja sebagai usaha menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Saya melihat trend ekonomi digital dunia bergerak terlalu pantas tetapi bagi Malaysia?

Pada tahun 1985, Malaysia banyak bergantung kepada pelaburan luar dan pemindahan teknologi melalui Dasar Pandang ke Timur yang diharapkan menjadi alat untuk membawa Malaysia ke status negara maju.

Manakala sebelum tahun 1985, Malaysia bergantung kepada hasil eksport komoditi.

Berikutan kejatuhan harga komoditi dunia bermula pada tahun 1985, Malaysia ditransformasi kepada negara perindustrian. Namun, kajian menunjukkan syarikat multinasional tidak berminat memindahkan teknologi mereka ke negara lain.

Nyata sekali pemindahan teknologi tidak berlaku mengikut seperti yang kita rancangkan. Tidak seperti Malaysia, Korea dan Taiwan tidak bergantung kepada pemindahan teknologi malah mereka sendiri belajar dan mencipta teknologinya tersendiri.

Jelas menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara gagal meskipun hampir ke tahun 2020. Semakin maju sesebuah negara, semakin canggih pula cara penyelewengan dan penipuan yang berlaku di dalam bidang perdagangan atau politik.

Segalanya akan gagal jika rakyat tidak rajin dan berdisiplin. Tanpa sifat seperti jujur dan amanah maka akan berlaku penipuan, di mana satu pihak cuba menjatuhkan dan merosakkan pihak yang lagi satu.

Kejayaan wawasan juga tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi atau kesempurnaan sesuatu sistem yang diamalkan.

Pencapaian kebendaan atau ekonomi semata-mata tidak menggambarkan atau membuktikan kemajuan yang sebenarnya.

Apalah ertinya kekayaan material jika kehidupan anggota masyarakat terancam oleh berbagai jenis jenayah yang berlaku di sekeliling mereka.

Sumber negara yang paling penting ialah rakyatnya. Pembangunan sumber tenaga manusia banyak bergantung kepada perubahan nilai dan sikap di kalangan penduduknya

Etika juga merupakan tingkah laku atau perangai yang boleh dibandingkan dengan tabiat dan kelakuan manusia. Tabiat terbina di atas tiga unsur iaitu ilmu, kemahiran dan keinginan.

Ketiga-tiga unsur penting itu perlu diasah dan dipupuk dan seterusnya dihayati bagi melahirkan individu yang dinamik dan dapat meningkatkan hasil kerja yang cemerlang.

AKMAL NASIR adalah pengarah strategi Pemuda PKR.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...