TERKINI :

Friday, June 2, 2017

Mazlan Aliman : FELDA, ANAK, TUN MAHATHIR & PAKATAN HARAPAN

MEMANDANG KEHADAPAN DEMI PERUBAHAN BESAR INI!

Saya bertemu Ybhg Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana pada tahun 2015 diketika sesetengah pimpinan PAS ada pro dan kontra mengenai beliau. Pada ketika itu beliau masih UMNO dan menyayangi UMNO.

Saya dan rakan2 pimpinan ANAK menemui Tun Dr Mahathir dalam kunjung hormat, mengambil kira jasa dan pengalaman luas beliau selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tun Dr Mahathir lebih berminat bercerita mengenai isu 1MDB yang telah mula menjadi topik hangat dan dikaitkan dengan DS Najib Tun Razak.

Ia disusuli pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Abd Kadir Syeikh Fadhil, Tan Sri Syed Hamid Albar, Dato' Saifudin Abdullah dan ramai lagi tokoh tokoh UMNO. Meskipun mereka berbeza idealogi politik, engagement mesti di teruskan, dalam konteks bertukar tukar pandangan demi kebaikan negara.

Sekembalinya Tan Sri Muhyiddin Yasin dari luar negara dan disambut secara besar besaran di KLIA, saya antara yang menunggu ketibaan beliau. Saya dan beberapa pimpinan AMANAH Johor hadir mengucapkan simpati atas pengguguran beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya, Dato' Husam Musa, YB Aminolhuda Hassan dan Suhaizan Kaiat berpeluang bertemu dan mendengar sendiiri hampir 2 jam di rumahnya mengenai punca krisis beliau dengan DS Najib.

Apabila Dato' Kamarudin Md Nor, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM)mengundang saya dan Tuan Mohd Said Jonit, mantan Pengarah Felda Plantation dalam taklimat isu Felda kepada 50 kepimpinan PPBM, ia permulaan kepada penubuhan Taskforce ANAK-PPBM dalam menggerakkan kesedaran di kalangan masyarakat Felda seluruh negara.

Hasilnya, Jelajah Semarak Kasih Felda yang dihadiri Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan pimpinan PH berjaya menghimpunkan ribuan warga Felda. Sesuatu yang tidak pernah berlaku, kecuali di masa reformasi bersama DS Anwar Ibrahim.

Pengundi Felda bukan sahaja ' Simpanan Tetap' BN di 54 kawasan Parlimen tetapi amat sukar ditembusi untuk sebarang aktiviti.

Pahit untuk diceritakan pengalaman lebih 25 tahun dengan peneroka Felda, tapi kini penerimaan dan perubahan sikap yang ketara; manis pula dirasai!

Hari ini apabila Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Dato' Seri Dr Wan Azizah, Hj Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng(sekadar beberapa nama) bersama dalam pakatan pembangkang yang dikenali Pakatan Harapan, saya seperti bermimpi...

Manakan tidak, mereka mereka ini ada sejarah tersendiri yang tidak akan terpadam selamanya. Ia terlalu amat pahit dan pedih. Saya pasti ada lagi di luar sana yang tidak dapat menerima keberadaan Tun Dr Mahathir, angkara kisah lalu. Tun Mahathir sendiri memahaminya...

Namun, saya amat bangga dan kagum jiwa besar DS Anwar, Kak Wan dan keluarganya yang berupaya mengetepikan kepentingan keluarga demi agenda besar menyelamatkan negara ini dari kemusnahan, pemerintahan kleptokrasi Najib dan Barisan Nasional!

Seperti kata Abang Mad(panggilan manja saya pada Hj Mohd Sabu) ' Dua kali saya kena ISA zaman Tun Mahathir, tersiksa dan menderita...tapi kini Tun Mahathir dah tak de kuasa, umur pun dah 92 tahun; bersama kita nak ambik kuasa dari Najib dan BN yang korup!'

Pakatan Harapan akan umumkan logo resmi minggu hadapan. Perbincangan kerusi telah bermula. Satu manifesto atas nama PH telah disepakati. Tentu sekali mewakili warga Felda, saya ingin tahu apa tawaran buat para peneroka, Generasi Kedua Felda dan masyarakat Felda pada keseluruhannya.

ANAK bersedia berkongsi pandangan demi menghasilkan tawaran terbaik untuk warga Felda yang muram dan murung di zaman Najib!

Wahai pimpinan PH, bawalah perubahan sebenar untuk rakyat. Tolong jangan dihampakan rakyat jelata yang sekian lama bernasib malang.

Hentikan kemelut sesama sendiri. Jangan di bawa DNA BN dalam Pakatan Harapan. Tangani apa jua masalah  secara matang dari iktibar masa lalu.

Pakatan Harapan bukan milik AMANAH, PKR, DAP dan PPBM sahaja, ia milik seluruh rakyat Malaysia yang idamkan perubahan.

Moga Ramadhan akan menyatu dan menginsafkan kita semua demi SELAMATKAN MALAYSIA.

' Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri'
Ar Ra'du: 11

Mazlan Aliman
2 Jun 2017/1.30 pagi.

Perbicaraan kes saman Anwar ke atas Khairy ditangguh lagi buat kali ke-3

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan buat kali ketiga perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang dikemukakan oleh pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Ini adalah selepas mahkamah diberitahu bahawa peguam Khairy, Tan Sri Muhammed Shafee Abdullah tidak sihat, juga untuk kali ketiga.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan kemudiannya menetapkan perbicaraan seterusnya pada 7 Ogos, dua bulan selepas cuti sakit Shafee berakhir pada 7 Jun.

Semasa memutuskan bahawa ini adalah penangguhan terakhir, Azizul Azmi berkata, jika Shafee tidak dapat menghadiri prosiding pada 7 Ogos, peguam lain perlu dilantik mewakili Khairy.

Pada 17 April lalu, mahkamah memerintahkan Khairy membayar RM3,000 sebagai kos kepada Anwar kerana Shafee gagal mematuhi arahan mahkamah berhubung memfailkan penghujahan bertulis untuk memasukkan pembelaan tambahan “ulasan saksama” mengikut masa yang ditetapkan.

Pembantunya memaklumkan bahawa Shafee terpaksa mengambil cuti sakit kerana kecederaan ‘hamstring’ dan tidak dapat menghadiri prosiding itu.

Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan kepada 19 Mei.

Shafee, yang hadir di mahkamah pada 19 Mei, kemudian memberitahu, bahawa beliau tidak sihat dan mahkamah sekali lagi menangguhkan perbicaraan.

DAP buat laporan polis, YDP Pas Gombak padam status fitnah Kerajaan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Keceluparan Yang Dipertua (YDP) Pas Gombak, Salehhuddin Nasir memuat naik status berunsur fitnah di laman facebook mengundang padah apabila Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) membuat laporan polis, semalam.

Laporan polis itu dibuat aktivis DAPSY Subang, Shukri Mokhtar di Balai Polis Damansara.

Ini ekoran kenyataan fitnah Sallehuddin kononnya pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang menaja pesta arak dan onani di negeri tersebut.

Salehhuddin juga digesa supaya membuat permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan menghina pemimpin DAP yang berbuka puasa dengan masyarakat Islam sehingga menimbulkan polemik tidak sihat di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurut Shukri, perbezaan pandangan adalah perkara biasa, namun ia bukan bererti seseorang itu boleh melakukan apa sahaja.

“Saya sedih melihat YDP Pas Gombak memulakan bulan mulia ini dengan fitnah dan juga penyebaran berita palsu. Saya cabar beliau untuk beri bukti dan hujah, bahawa DAP pernah menganjurkan pesta arak dan pesta onani.

“Jika kopiah dan serban itu dianggap sebagai lesen untuk menfitnah dan memaki hamun, maka tidak terkejutlah kita hari ini, YDP Pas Gombak, Ustaz Salehhuddin Nasir melakukan seperti yang sedemikian,” katanya.

Menurutnya, budaya politik yang dibawa pemimpin Pas itu perlu dihentikan mengikut jalur undang-undang.

“Kes ini bukan lagi sekadar perselisihan politik tapi pelanggaran undang-undang melibatkan fitnah dan penyebaran berita palsu,” kata Shukri.

Sementara itu, berdasarkan carian di facebook, status Salehhuddin berhubung fitnah pesta onani dan arak di Pulau Pinang itu telahpun dipadamkan.

Dalam kemaskini facebook terbarunya, Salehhuddin berkata oleh kerana status tersebut telah menimbulkan polemik dan kekeliruan serta kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden Pas, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ianya telah dipadamkan.

“Maka saya dengan ini memohon maaf sekiranya status tersebut telah mengakibatkan suasana tidak harmoni kepada semua lapisan masyarakat,” tulis Salehhuddin.

Kedah akur arahan henti sementara projek Aman Laut

Projek Aman Laut Kedah

Kerajaan Kedah akur dengan arahan notis pemberhentian sementara projek pembangunan bercampur di atas tebus guna laut, 'Aman Laut' di Kuala Kedah yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Notis yang mula berkuat kuasa 15 Mei lepas itu melarang pemaju menjalankan sebarang kerja tanah atau pembinaan sehingga suatu tarikh penarikan balik yang akan dimaklumkan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Datuk Leong Yong Kong berkata beliau sedia maklum tentang notis yang telah dikeluarkan oleh JAS itu.

"Notis berkenaan telah dikeluarkan susulan aduan daripada banyak pihak termasuk penduduk setempat yang bimbang dengan pembinaan berdekatan laut yang dilihat akan mengancam persekitaran kawasan laut.

"Selepas siasatan dilakukan, keputusan untuk memberhentikan projek tersebut telah dibuat. Kita tidak boleh pertikai dan perlu akur dengan arahan yang telah dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Leong berkata apa yang penting adalah untuk mencari langkah penyelesaian kepada permasalahan itu.

Pada 4 April lepas, hampir 100 penduduk dari Kampung Tepi Laut dan Kampung Tunku Laksamana mengadakan himpunan membantah projek penambakan laut bagi membangunkan pembangunan bercampur, Aman Laut.

Projek pembangunan bercampur itu dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada hasil laut berdekatan pinggir laut selain mengubah demografi kawasan sekitar yang dihuni lebih 250 keluarga nelayan.

Berdasarkan Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), projek berkeluasan 49.4 hektar itu merupakan projek tebus guna laut dan dijangka menjadi sebuah perbandaran baharu, yang menawarkan banglo mewah, kondominium dan pusat membeli-belah.

Janji 30,000 peluang kerja hanya 'auta' kerajaan negeri Kedah

Mohd Ridzwan Arshad AhmadHarapan yang menggunung rakyat Kedah khususnya golongan muda untuk mendapat 30,000 peluang pekerjaan dengan kewujudan projek Zon Industri Petroleum Yan (Zipy), sehingga kini tidak menampakkan ia menjadi kenyataan, sebaliknya hanya sebagai angan-angan tidak kesampaian.

Kekesalan tersebut diluahkan oloeh Ketua Pemuda Amanah kawasan Jerai, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad.

Jelas beliau lagi, rakyat daerah ini khususnya dalam kawasan Parlimen Jerai amat mengharapkan projek yang telah dirasmikan pada tahun 2009 oleh kerajaan negeri ketika itu akan menjadi realiti setelah beberapa kali ianya tertunda dan tidak dapat dilaksanakan.

Namun begitu, sehingga kini walaupun telah diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) masih belum dapat menjadi kenyataan.

"Projek mega tersebut sepatutnya dilaksanakan oleh Sungai Limau Hidrocarbon Hub (Sulihh) setelah ia dirasmikan oleh kerajaan Pas pada tahun 2009.

"Kemudian projek tersebut telah bertukar nama sebagai projek Zon Industri Petroleum Yan (Zipy) pula.

"Malah Exco Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail baru-baru ini turut menyatakan bahawa projek ini akan tetap diteruskan, " tegasnya lagi.

Menurut Ridzwan lagi, projek ini sepatutnya dilaksanakan dengan segera kerana ia mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda dan penduduk negeri Kedah.

"Terlalu ramai golongan muda di Kedah yang masih lagi menghadapi masalah pengangguran akibat kurangnya peluang pekerjaan yang disediakan.

"Seandainya projek ini dapat disiap dengan segera, ia sememangnya akan memberi peluang kepada penduduk tempatan.

"Yang menjadi kemusykilan, setelah lapan tahun berlalu, projek ini masih lagi menjadi salah satu kegagalan kerajaan negeri Kedah hingga kini, " ujarnya lagi.

Adalah difahamkan projek ini mensasarkan keuntungan sebanyak RM400 juta setahun dalam bentuk cukai dan sepatutnya siap pada tahun 2014.

Walau bagaimana pun jaminan yang diberikan oleh exco kerajaan negeri bahawa projek ini akan diteruskan serta akan disiapkan menjelang 2019 agak mustahil.

Ia adalah ekoran pihak pelabur yang belum lagi memberi kepastian jangkamasa projek tersebut akan dimulakan.

"Rakyat Kedah tidak lagi mahu tertipu dengan pelbagai janji untuk melaksanakan projek-projek mega oleh kerajaan negeri.

"Oleh kerana itu pelbagai projek yang pernah dijanjikan untuk dibangunkan semasa pilihan raya umum ke 12 dan ke 13 yang lalu sepatutnya telah disempurnakan menjelang pilihan raya umum ke 14 tidak lama lagi.

"Kegagalan kerajaan negeri menunaikan janji-janji mereka, membuktikan bahawa mereka bukanlah sebuah kerajaan yang mempunyai kemampuan untuk mengotakan janji kepada rakyat selain hanya pandai membuat janji, " tambah Ridzwan lagi.

Sehubungan itu katanya, rakyat negeri Kedah mesti berani bangkit dan membuat perubahan dengan menolak Umno dan BN serta mana-mana parti yang bersekongkol dengan parti pemerintah tersebut.

Ekonomi didakwa berkembang tapi gaji rakyat menguncup

Rafizi Ramli

Pertumbuhan gaji sebenar rakyat negara ini (selepas ditolak inflasi) bagi 2017 dijangka jatuh pada kadar terendah di rantau Asia (bagi ekonomi yang setanding dengan Malaysia) iaitu sekitar 2.30% manakala kadar inflasi pada bulan April lalu berada pada tahap 5.1%  iaitu tertinggi dalam tempoh 8 tahun.

Fakta ini mendorong Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menuntut penjelasan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga menteri bertanggung jawab tentang kempen Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memberikan jawapan.

"Kalau beliau boleh memilih untuk tidak menjawab soalan dari Malaysiakini dengan kasar, beliau tidak boleh terus mendiamkan diri mengelak soalan-soalan saya mengenai isu pekerjaan dan kos sara hidup," ujar Naib Presiden PKR itu.

Menurut Rafizi, Kerajaan BN pada dua minggu lalu menguar-uarkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% bagi suku pertama 2017 sebagai bukti kejayaan pentadbiran.

Malah tambah beliau, ada jurucakap kerajaan yang mendakwa segala skandal yang bersabit 1MDB hanyalah dakyah politik kerana tidak mempunyai kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimanapun ramai yang bertanya beliau mengapa keadaan ekonomi yang baik tidak dirasai rakyat meskipun Malaysia dilapor mencatat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun.

"Jika ekonomi Malaysia dikatakan begitu baik seperti angka pertumbuhan KDNK yang diumumkan, mengapa ramai rakyat yang menghadapi kekangan kewangan dalam menjalani kehidupan seharian," ujarnya.

Menurut Rafizi, bukan semua pertumbuhan ekonomi mengalirkan kebaikan kepada rakyat kerana ada hasil ekonomi dipusatkan di kalangan beberapa pihak sahaja manakala ekonomi yang berkembang kadang kala disebabkan kewujudan banyak pekerjaan bergaji murah.

"Secara mudahnya, pertumbuhan KDNK negara merujuk kepada ukuran bagaimana ekonomi negara menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan. Ini boleh dicapai dengan dua cara – menambah pekerjaan atau menambah produktiviti," jelas beliau.

Ujar Rafizi, majikan boleh mengambil lebih ramai pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan tetapi pekerja dibayar gaji yang sama kerana melakukan kerja yang serupa.

Di masa yang sama, tambah beliau majikan boleh menggunakan teknologi atau menamba hbaik proses untuk menghasilkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan dengan bilangan pekerja yang sama atau kurang; tetapi pekerja kini melakukan kerja yang bernilai lebih tinggi dan wajar dibayar lebih tinggi.

"Di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, pertumbuhan KDNK lebih didorong oleh produktiviti. Walau bagaimana pun, semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak (2011-2015), pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti menurun (dari 59.07% kepada 34.80% daripada jumlah pertumbuhan KDNK) manakala pertumbuhan yang didorong pertambahan pekerjaan meningkat dengan ketara (daripada 40.93% kepada 65.2% daripada jumlah pertumbuhan KDNK).

"Ini bermakna jika pihak majikan mengambil lebih ramai pekerja, mereka bukannya meningkatkan produktiviti pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan (seterusnya meningkatkan pertumbuhan KDNK).

"Sebab itu pertumbuhan KDNK yang diumumkan kerajaan perlu diperhalusi untuk menentukan sama ada pertumbuhan itu hanya dipacu oleh lebih banyak pekerja yang dibayar gaji yang murah untuk menambah pekerjaan; atau pertumbuhan itu berpunca dari kerja-kerja yang lebih bernilai tinggi dan dibayar gaji yang lebih tinggi," jelasnya lagi.

Dalam tempoh yang sama bagi tahun 2011 hingga 2015, rekod pekerja asing berdaftar melonjak naik daripada 1.82 juta orang (2010) kepada 2.14 juta orang (2015).

Malah katanya, Persekutuan Majikan Malaysia menganggarkan jumlah pekerja asing berdaftar dan tidak berdaftar adalah sekitar 6 juta orang pada 2016 iaitu kira-kira 40% jumlah tenaga kerja negara ini.

"Oleh itu, walaupun saiz ekonomi dilihat semakin meningkat, tetapi ia turut dikongsi bersama lebih ramai orang yang kebanyakannya pekerja asing," katanya.

Rafizi menambah, jika pertumbuhan KDNK negara ini didorong oleh produktiviti, setiap pekerja akan mendapat imbuhan yang lebih besar kerana jumlah pekerja tidak perlu ditambah dengan mendadak (dengan membawa pekerja asing) dan hasil ekonomi dikongsi dengan lebih adil.

Pertumbuhan KDNK yang didorong oleh pekerjaan berkemahiran rendah akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan, namun jelas beliau tidak meningkatkan tahap gaji.

"Kebelakangan ini fenomena ini berleluasa dengan peningkatan pekerjaan berkemahiran rendah yang dibayar gaji yang rendah kerana diisi oleh pekerja asing.

"Keadaan ini menerangkan kenapa angka pertumbuhan KDNK nampak baik di atas kertas tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa yang terpaksa bekerja setiap hari dengan kadar pertumbuhan upah yang rendah dan tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup," ujar beliau lagi.

Sehubungan itu beliau menunggu jawapan daripada Khairy mengenai peluang untuk berdialog dengan 300 pemimpin pembangkang dalam sesi TN50 untuk menteri menjawab soalan: "Apa tindakan Datuk Seri Najib sekarang untuk mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai manfaatnya kepada rakyat?"

Bukan semua Islam pengganas, tidak semua kafir anti-Islam

Sekumpulan warga Amerika Syarikat beragama Islam menunjukkan soldariti mereka terhadap tiga hero tragedi Portland.

Menghukum kesemua umat Islam sebagai pengganas adalah tidak tepat dan tidak adil, manakala menghukum semua bukan Islam sebagai 'musuh Islam' dan 'anti-Islam' juga tidak tepat dan tidak adil.

Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menasihati rakyat negara ini agar mengambil iktibar daripada tragedi yang berlaku di Portland, Oregan, Amerika Syarikat apabila dua lelaki bukan Islam terbunuh dan seorang lagi cedera parah akibat diserang kerana mempertahankan kehormatan dua wanita muslim.

"Walaupun imej Islam, khususnya di Amerika, begitu terpalit dengan tindakan golongan 'pengganas Islam', tiga lelaki ini menyedari bahawa pengganas yang mengganas atas nama Islam, kononnya, tidak mewakili semua orang Islam. Dan dua wanita berkenaan, walaupun beragama Islam, tidak wajar diherdik dan dicaci sebegitu rupa.

"Tindakan mereka bertiga, yang mampu membezakan pengganas dari umat Islam secara amnya, harus dicontohi semua," ujar beliau.

Dalam kejadian di Portland, Oregon pada Jumaat, 26 Mei lalu, tiga  lelaki bukan Islam yang berusaha melindungi dua wanita Islam daripada diganggu seorang lelaki dalam sebuah tren penumpang telah ditikam.

Lelaki yang menimbulkan ketegangan dan menikam ketiga-tiga lelaki tersebut kemudian melarikan diri dan akihirnya ditahan polis.

Suspek akan dihadapkan ke mahkamah di bawah tuduhan membunuh.

Tragedi yang berlaku di Portland mendapat liputan meluas media Amerika Syarikat.

Dua lelaki yang mati ditikam dikenali sebagai Rick Best, seorang bekas tentera Amerika yang telah beristeri dengan 4 anak dan Namkai Meche, 23, seorang graduan.

Lelaki ketiga, Micah Fletcher, 21, pekerja di sebuah kedai pizza  sedang dirawat di hospital dengan kecederaan parah.

Menurut Khalid, hasil tindakan berani tiga lelaki bukan Islam itu, dua wanita Islam berkenaan terselamat dari gangguan dan ancaman.

"Mereka bertiga tidak mengenali dua wanita Islam itu. Mereka bukan beragama Islam dan mungkin juga tidak sebangsa, namun mereka sanggup membela kehormatan dua wanita Islam tersebut," ujarnya.  

Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan bagaimana bukan Islam boleh bersikap adil dan melindungi umat Islam.

"Raja Najasyi di Habsyah yang beragama Kristian telah menjadi tempat berlindungnya umat Islam dalam peristiwa Hijrah pertama.

"Malahan dewasa ini, berapa ramai umat Islam telah berhijrah mendapat perlindungan di negara-negara Eropah dan Amerika? Dalam banyak keadaan, mereka berhijrah melarikan diri dari pemimpin zalim yang beragama Islam," tegas beliau.

Menurutnya, sikap menghukum keseluruhan bukan Islam sebagai 'musuh Islam' dan menanam kebencian terhadap mereka adalah punca berlakunya tindakan keganasan.

Turut dihukum, tambah beliau adalah mereka yang dikatakan 'berlembut' dengan bukan Islam yang dilihat menggadai kepentingan agama.

Micah Fletcher yang cedera parah menerima rawatan di hospital.

"Inilah sebabnya golongan pengganas tidak berasa bersalah membunuh secara rambang, termasuk wanita dan kanak-kanak, seperti yang berlaku di Manchester dan juga di Mesir sehari sebelum Ramadan.

"Begitu juga yang berlaku di Indonesia dan Filipina. Sebahagian yang terkorban adalah umat Islam sendiri. Siapa sahaja yang tidak bersama mereka boleh dikorbankan kerana hanya mereka kononnya yang berada di jalan Allah," ujar ahli parlimen Shah Alam itu.

Menurutnya, Islam mengajar umatnya untuk bersama keadilan dan kebenaran bukan bersama orang Islam secara membabi buta.

Malah beliau mengingatkan umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan desakan 'solidariti bersama Islam' sehingga sanggup bersolidariti dengan penzalim yang menzalimi pihak lain khususnya bukan Islam.

"Istilah-istilah seperti 'musuh Islam' dan 'anti-Islam' adalah istilah-istilah yang suka digunapakai oleh golongan pengganas dalam usaha menanam kebencian terhadap masyarakat atau kumpulan tertentu.

"Dengan menggunakan istilah-istilah yang begitu emotif atau merangsangkan perasaan, khususnya perasaan kemarahan dan kebencian, mereka mengharapkan umat Islam akan menyokong tindakan mereka," ujar beliau.

Sehingga pembunuhan rambang wanita dan kanak-kanak oleh pengganas Islam akan dianggap 'harus' dan tidak menimbulkan kemarahan umat Islam. Ianya seolah-olah sesuatu yang boleh diterima kerana ianya balasan terhadap mereka yang dikatakan 'musuh Islam' dan 'anti-Islam'.

Beliau menambah, kempen yang bertujuan menanam kebencian dan kemarahan umat Islam terhadap bukan Islam, perlu ditolak dan ditentang semua yang waras dan bertanggungjawab.

"Bukan sahaja ianya mampu memusnahkan negara, ia merosakkan umat Islam dan imej Islam," jelasnya.

Menurutnya, ketika Melayu Islam bergelut dengan semangat perkauman dan ekstremis agama, tiga lelaki bukan Islam di Portland Oregon menunjukkan akhlak mulia yang sepatutnya ada pada umat Islam.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...