TERKINI :

Sunday, May 28, 2017

Terengganu belum sedia laksana hudud - MB

Mercu tanda Kuala Terengganu
Terengganu belum bersedia melaksanakan hukum hudud sebelum kajian mendalam terhadapnya dilaksanakan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata keputusan untuk melaksanakan hukum hudud juga hanya ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri dan seterusnya perlu mendapat perkenan Sultan (Sultan Terengganu).

“Kita sekarang memberi tumpuan kepada Rang Undang-Undang 355… jika ia diluluskan baru kita boleh lihat apa yang boleh (hukum syariah) dilaksanakan di bawah RUU kerana tidak mahu terburu-buru dalam soal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan kira-kira 1,500 bungkus bubur lambuk sumbangan sebuah syarikat korporat kepada orang ramai di Masjid Abidin hari ini.

Ahmad Razif mengulas kenyataan Exco Telekomunikasi, Multimedia, dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu, Ghazali Taib bahawa Terengganu akan tetap memperjuangkan perlaksanaan Undang-Undang Syariah 2001 di negeri itu, ketika Kembara Dakwah Media Terengganu ke Acheh, semalam.

Ghazali turut berkata Negeri Terengganu akan menjadikan Aceh, Indonesia sebagai model dalam pelaksanaan hukum hudud jika ia dilaksanakan kelak.

Mengulas lanjut Ahmad Razif berkata kadar jenayah di Terengganu juga kini semakin menurun hasil pelaksanaan undang-undang sedia ada.

“Mungkin itu pandangan peribadi beliau (Ghazali) secara umum terhadap peruntukan yang pernah kerajaan negeri luluskan sebelum ini,” katanya.

Terengganu hingga kini masih belum melaksanakan Undang-Undang Islam dan Syariah 2001 berikutan masih menunggu undang-undang itu diluluskan di Parlimen.

Bekas penasihat undang-undang Pas umum sertai Amanah

Hisham Fauzi...saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk Amanah
Tampil berkongsikan rasa kecewanya terhadap Pas, peguam Hisham Fauzi memberitahu tiga daripada enam Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan telah menyertai Amanah.

Hisham Fauzi Bekas penasihat undang-undang Pas itu tidak dapat lagi menerima sikap Pas pada masa ini yang gagal bertindak menyuarakan kesempitan ekonomi rakyat.

"Saya salah seorang enam daripada Ahli Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Syariah Persekutuan. Kita dalam jawatankuasa membincangkan bagaimana untuk melaksanakan syariah di Malaysia.

"Tapi daripada enam itu, tiga sudah masuk Amanah. Dr Zulkarnain, peguam Tarmizi dan malam ini saya secara terbuka menyatakan saya juga masuk Amanah," ujarnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Pengkalan Chepa, 25 Mei lalu.

Beliau menyifatkan pemimpin Pas termasuk ahli parlimen parti itu hanya seperti "pasu bunga" kerana tidak menunjukkan pendirian jelas membela rakyat dan masa depan negara.

"Negara kita sedang bermasalah, sikap ulamak dan parti Islam macam mana? Apa yang menyebabkan saya sedih dengan Pas, bila Najib bentang belanjawan 2017.

"Bila pembangkang-pembangkang lain membantah, undi tolak bajet tetapi wakil-wakil Pas berkecuali sedangkan kita mahu tunjukkan pada Najib yang kita marah pada BN.

"Tiba-tiba kita pergi Parlimen jadi pasu bunga, pergi duduk saja. Kita dibayar gaji berbelas ribu sebulan, pergi ke parlimen sepatutnya bawa jerih perih, tangis rakyat cakap pada Najib, rakyat susah. Nak undi tolak bajet Najib pun tak berani," bidasnya.

Turut mengecewakan Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun) itu apabila Pas enggan turut serta dalam desakan pilihan raya bersih dan adil.

"Apabila dihimpun gerakan Selamatkan Malaysia, kutip sejuta tandatangan kepada Agong, nyatakan bantahan kepada Najib, Pas juga berkecuali.

"Kita bantah pilihan raya yang berat sebelah, Bersih 5 mengadakan bantahan sikap tegas kepada kemungkaran tetapi sekali lagi Pas berkecuali. Ini adalah sikap mengecewakan," jelas bekas timbalan pengerusi lajnah undang-undang Pas Pusat itu.

Mengulas isu pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), Hisham berkata, usul persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Pas itu tidak menuruti pendekatan yang sewajarnya.

"Apa yang Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) buat pada sidang lepas, baca tajuk baru. Sebelum ini, tiga kali tangguh. Kalau Speaker kata boleh bahas, baru boleh bahas pada sidang akan datang.

"Kalau tak bahas, undi, bila lepas undi, pada masa itu, usul tersebut akan diberi kepada menteri yang berkenaan iaitu dalam kes ini Jamil Khir.

"Usul Marang akan diberi kepada menteri berkenaan sama ada undi untuk pinda, baiki, tambah atau potong. Serah pada menteri juga, peguam negara buat draf baru," jelasnya.

Beliau memberitahu terdapat 18 anggota jawatankuasa teknikal persekutuan yang dianggotainya termasuk wakil kerajaan pusat, penjara, polis, peguam negara, mahkamah dan Parlimen.

"Kita kena menghadap Raja-raja Melayu terlebih dahulu sebab bidang kuasa mahkamah syariah ini duduk bawah majlis raja-raja. Raja tandatangan, bentang di parlimen, tiada ahli parlimen Melayu bantah.

"Ini kaedah sebenar. Bila Pas bawa kucar-kacir habis. Himpunan (di Padang Merbok di ibu negara) bukan perkara yang dipersetujui (jawatankuasa)," ujarnya.

Sehubungan itu, Hisham mengajak rakyat terus menolak Umno-BN pada pilihan raya akan datang selain menggesa Pas berterus-terang menyatakan pendirian sebenar mereka.

"Kita mahu parti yang jelas sikapnya kepada Umno-BN. Kalau musuh, katakan musuh. Kalau duduk dalam, duduk dalam. Kalau duduk luar, duduk luar.

"Getah harga sekarang berapa? Kena fikir masalah rakyat. Masa depan negara nak letak di mana. Saya merayu kita istiqamah menentang Umno-BN," tambahnya lagi.

Projek Lembah Binjai: Penduduk dakwa Adun Pas tipu

 Penduduk Lembah Binjai membuat laporan polis terhadap Fattah dan Mumtaz
Sebanyak 14 keluarga yang rumah mereka diambil untuk memberi laluan kepada projek pelancongan Lembah Binjai membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit, Mumtaz Mat Nawi dan Exco Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana berbohong berkaitan projek berkenaan.

"Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Mumtaz Mat Nawi telah berbohong menyatakan majoriti daripada kami telah bersetuju dengan pengambilan tanah kami untuk projek Lembah Binjai," kata mereka melalui laporan polis di balai polis Binjai Kelmarin.

Menurut laporan itu Abdul Fattah membuat pembohongan itu pada 17 Mei manakala Mumtaz melakukan perkara yang sama pada 19 Mei lalu.

Menurut laporan itu, pemilik-pemilik tanah tidak pernah menerima wakil sama ada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) atau syarikat yang diberi kuasa datang memaklum, berbincang atau menyampaikan maklumat tentang pengambilan berkenaan.

"Kami hanya sedar maklumat ini melalui media setelah berlakunya pewrtaan," kata Abdul Rahman Awang Mat yang mewakili penduduk terlibat membuat laporan polis itu.

Kenyataan bohong itu katanya,cuba menutup cara pengambilan yang tidak mengikut prsedur.

"Ini satu sikap zalim yang merugikan pihak kami kerana tidak ada apa-apa persetujuan dengan projek dan kos pengambilan.

"Harga tawaran pengambilan amat rendah berbanding harga pasaran," katanya.

Beliau berharap pihak polis segera membuka fail siasatan berkaitan penganiayaan yang dilakukan terhadap penduduk terlibat.

Pada 20 Januari lalu, akhbar melaporkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AUEI Teras Holdings Sdn Bhd (AUEI) bernilai lebih RM100 juta bagi melaksanakan Pembangunan Bandar Institusi Pelancongan Lembah Binjai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Fattah Mahmood, dilapor berkata, projek di kawasan seluas kira-kira 200 hektar itu akan membabitkan pembangunan perumahan dan pasar baru Kubang Kerian bagi fasa pertama.

Cubaan sabotaj pelancongan Pulau Pinang dengan menyebarkan fitnah menerusi sebuah program yang tidak wujud.

 Cubaan sabotaj pelancongan Pulau Pinang
GEORGETOWN - Beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab didakwa tidak berpuas hati terhadap sektor pelancongan Pulau Pinang bertindak menyebarkan fitnah menerusi sebuah program yang tidak wujud.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihak terbabit juga dilihat cuba untuk sabotaj dan memudaratkan kerajaan negeri dengan membuat pembohongan melalui program yang tidak pernah dianjurkan di Batu Feringghi di sini.

Guan Eng juga berkata, beliau difahamkan hotel terbabit sudah membuat laporan polis ke atas perkara itu.

"Ini satu lagi fitnah jahat yang cuba untuk memburukkan nama kerajaan negeri dan hotel terbabit. Saya sudah arahkan satu laporan dibuat kerana mendapati ada pihak termasuk individu tertentu telah menyebar maklumat palsu ini.

"Dalam posting itu juga, kita mendapati ia menyebut Penang Tourism yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri. Saya tegaskan disini, kerajaan negeri dan hotel tidak mempunyai kaitan malah saya difahamkan, program itu tidak ada pun," katanya kepada media di Majlis Amal Rock-A-Duck di Batu Feringghi semalam.

Menurutnya, maklumat yang disebarkan itu adalah berita palsu yang cuba menimbulkan kebencian di antara kaum dan agama.

"Saya rasa mungkin ada iri hati dengan perkembangan dan pembangunan pelancongan negeri yang kian pesat. Sebab itu golongan ektremis ini guna taktik ini untuk sabotaj dan timbulkan kebencian di antara kaum dan agama.

"Saya harap polis ambil tindakan segera ke atas pihak dan individu yang menyebarkan berita palsu ini. Kelakuan seperti ini telah mencemarkan bulan Ramadan yang baharu disambut umat Islam," katanya.

Terdahulu, satu posting menjadi viral di laman Facebook berhubung acara hiburan anjuran sebuah hotel dan dengan kerjasama Penang Tourism iaitu National Martubation Month bertemakan 'May has cum' akan diadakan pada 28 May 2017 (hari ini).

Posting yang didakwa palsu itu mendapat pelbagai reaksi pembaca termasuk mengecam penganjur dan kerajaan negeri.

Kedah catat peningkatan kes demam denggi

 Demam denggi
ALOR SETAR - Kedah mencatat peningkatan 88.3 peratus kes demam denggi atau 629 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 20 Mei lepas, berbanding 295 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata terdapat dua kes kematian akibat denggi berbanding satu kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya sembilan daerah didapati menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu Kuala Muda (261 kes berbanding 134 kes), Kulim (157 berbanding 51), Baling (63 berbanding 60) dan Kubang Pasu (41 berbanding 16).

Daerah lain ialah Kota Setar (31 berbanding 29), Sik (23 berbanding 5), Langkawi (20 berbanding 9), Padang Terap (11 berbanding 2) dan Bandar Baharu dengan 11 kes berbanding tujuh kes tahun lepas.

"Dua daerah yang menunjukkan penurunan kes ialah Pendang dengan tujuh kes berbanding 14 kes dan Yan dengan empat kes berbanding tujuh kes tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat 13 lokaliti wabak denggi yang masih aktif di daerah Kuala Muda iaitu di Taman Kempas, Taman Ria Jaya Zon 1, Kampung Huma, Taman Berangan, Taman Sri Pinang, Taman Keladi Zon A, Taman Arked, Taman Ria II, Kampung Pengkalan Lebai Man, Taman Ria Jaya Zon H, Taman Sri Tanjung, Taman Kelisa Ria dan Taman Arked.

Di daerah Kulim pula terdapat dua lokaliti wabak denggi aktif iaitu di Taman Kangkong 1 dan Taman Makmur, manakala satu lokaliti wabak dikesan di daerah Kubang Pasu yang masih dalam keadaan terkawal dan dijangka tamat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata, dari 1 Januari hingga 20 Mei tahun ini, sebanyak 154 kes melibatkan penyakit Chikungunya yang melibatkan empat daerah telah dicatatkan iaitu di Kuala Muda (80 kes), Baling (72 kes) serta Kulim dan Kubang Pasu masing-masing dengan satu kes.

Dr Norhizan berkata dalam tempoh itu, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 207,069 premis dan mendapati terdapat 4,249 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Kami mengeluarkan 2,164 kompaun berjumlah RM1,082,000 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, dan 385 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 236,733 premis di seluruh Kedah dan 45,176 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

"Keadaan cuaca tidak menentu boleh meningkatkan risiko penularan demam denggi dan Chikungunya, jadi masyarakat diminta supaya sentiasa memastikan kediaman mereka bebas daripada tempat pembiakan Aedes dengan memusnahkan tempat pembiakan aedes bagi mengatasi kes denggi di negeri ini," katanya. - Bernama

SADA ohh SADA...masalah ayaq lagi...

Sambut bulan puasa tanpa air

Sambut bulan puasa tanpa air

YAN - Kira-kira 300 penduduk Kampung Seberang Jaya Satu, Yan runsing masalah bekalan air masih tidak selesai memandangkan umat Islam akan mula berpuasa.

Penduduk yang ditemui, Che Nen Don, 51 berkata, sudah empat hari air tidak ada dan ini menyusahkan mereka.

Menurutnya, sebelum ini bekalan air ada, cumanya kadang-kadang air yang dibekalkan agak perlahan.

Katanya, penduduk tiada masalah jika tekanan air rendah namun runsing jika bekalan terputus.

"Penduduk hanya mendapat bekalan air dari lori Syarikat Air Darul Aman (Sada) petang semalam sahaja.

“Lori hanya mai hantar air semalam sahaja, tiga hari sebelum ini kami memang langsung tak ada air,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Jaya Satu, Yan semalam.

Che Nen berkata, dia terpaksa pergi ke rumah ayahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya untuk mandi.

“Saya akan pi rumah ayah untuk mandi dan ambil bekalan air di sana untuk kerja-kerja membasuh.

“Paling susah adalah air untuk berwuduk. Saya terpaksa membeli air mineral untuk ambil air sembahyang,” katanya.

Che Nen yang mempunyai lima orang anak berkata, keadaan ini sangat sukar kerana dia mempunyai anak yang masih kecil.

Penduduk, Shabana Shafie, 45, berkata, keadaan ini telah menjejaskan rutin harian dirinya.

“Sebelum ini kami memasang pam elektrik untuk menarik air, tetapi air masih perlahan walaupun ada.

“Berbeza pada kali ini, air langsung tidak ada dan lori Sada pula hanya menghantar air dalam jumlah yang sedikit,” katanya.

Katanya lagi, rumahnya yang terletak di hujung kampung menyukarkan proses lori untuk menghantar air.

"Bila lori mai hantar air, rumah depan sahaja yang sempat mendapat bekalan. Kami yang berada di hujung kampung kadang-kadang tidak mendapat air.

Menurut Shabana, dia turut runsing memikirkan hendak menyambut bulan puasa.

“Macam mana nak memasak kalau air setitik pun tiada,” katanya.

Penduduk, Natrah Hasan, 60 berkata, dia merupakan ibu tunggal yang menjaga tiga orang cucu yang berusia 12 hingga 18 tahun.

“Pada hari Khamis lalu, cucu saya tak mandi ke sekolah.

“Nak buat macam mana, air tiada. Nak ponteng sayang pula sebab hari terakhir persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Mohd Noor Mahmud berkata, sebanyak 60 buah rumah terjejas dengan masalah ketiadaan air ini.

“Jangan kata penduduk kampung terjejas, peniaga kedai makan pun turut terjejas sehingga terpaksa menutup perniagaan mereka.

“Nak meniaga macam mana kalau air pun tiada,” katanya.

Syukur Alhamdulillah.. Rezeki Ramadhan, Harga ayam, daging naik di Pasar Alor Setar

 ayam
ALOR SETAR - Hari pertama Ramadan mendapati harga ayam bersih di sini meningkat kepada RM8.50 sekilogram (kg) berbanding RM7.80 kg sebelum ini.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar di sini mendapati, kebanyakan peniaga memberikan alasan ia disebabkan kenaikan harga ladang sejak tiga hari lepas.

Peniaga ayam, Mohd Lutfi Abdul Ghani, 57, berkata sejak berlaku kenaikan harga itu, dia mengehadkan stok kepada 70 ekor ayam sehari kerana khuatir tidak habis berbanding 100 ekor ayam sehari sebelum ini.

"Memang ada pengguna merungut, tetapi ada juga yang faham. Kami peniaga tak boleh buat apa sebab harga ayam di ladang pun dah mahal, dulu harga ladang RM5.90 tetapi kini naik sehingga RM6.40. Penternak memberikan alasan kenaikan itu disebabkan harga makanan ayam naik dan petrol dan diesel naik menyebabkan kos pengangkutan naik," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga ayam, Wan Ahmad Fauzi Wan Ramli, 46, berkata, kenaikan harga ayam ketika ini turut berpunca daripada permintaan ayam yang meningkat daripada pengguna ekoran kenaikan harga ikan kembong.

Sementara itu, seorang pengguna, Syed Ahmad Syed Abu Bakar, 47, berkata, kenaikan harga ayam amat mengecewakan dan membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai.

"Terpaksa beli lah untuk keluarga... harga naik, turun pun terpaksa beli ," katanya.

Tinjauan juga mendapati tiada seorang peniaga pun yang menjual ikan kembong di pasar terbabit dan hanya terdapat ikan tongkol, selayang, cencaru, tamban, jenahak dan nyok-nyok.

Harga bagi ikan tongkol kini RM10 bagi setiap sekilogram berbanding RM8 kg, ikan selayang RM10 berbanding RM7, ikan cencaru RM9 (RM8), ikan tamban RM5 (RM4), ikan jenahak dan ikan nyok-nyok RM28 kg berbanding RM24 kg.

Tinjauan juga mendapati harga daging lembu tempatan naik kepada RM32 kg berbanding RM29 hingga RM30 sebelum ini.

Beberapa pengguna yang ditemui meminta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah dapat membuat pemantauan untuk membendung kenaikan yang mendadak itu. - Bernama




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...