TERKINI :

Monday, May 15, 2017

Terluka dipanggil ‘pak lebai’, PAS mahu tawan kerusi Putrajaya

Mohamad-Noor-Mohamad-putrajaya
KUALA LUMPUR: Masih terluka dipanggil “pak lebai”, PAS Wilayah Persekutuan mahu menghapuskan sindiran parti lawan dengan meletakkan calon di kerusi Putrajaya, yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN).

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad berkata, PAS harus membuktikan mereka lebih dari sekadar parti “pak lebai” yang hanya boleh menguasai Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Kita mesti pecahkan ‘khurafat’ ini. Kita kena bertanding di Putrajaya,” katanya dalam ucapan di Konvensyen Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan hari ini.

“Kita pastikan perjuangan PAS boleh diterima seluruh masyarakat,” tambahnya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada sindiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, selepas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan rancangan menawan Selangor.

“Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun tersungkur,” kata Azmin di Twitter 21 Mac lepas, dipercayai ditujukan kepada Nik Abduh, yang tewas dalam pemilihan kawasan Pengkalan Chepa.

Mohamad hari ini menyifatkan pandangan yang mahu mengehadkan peluang PAS kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sahaja sebagai kenyataan bongkak dan sombong.

“Sebab itu DAP berani sebut PAS bertanding 4 buah negeri ini sahaja biar bandar-bandar ini dia yang tanding,” katanya.

Pada PRU-13, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menewaskan pencabarnya, Datuk Husam Musa, yang ketika itu bertanding atas tiket PAS, dengan majoriti 5,541 undi. Daripada 15,791 pengundi berdaftar, BN peroleh 9,943 undi manakala PAS 4,402.

Apabila NAJIB dilanda 'Ribut pembatalan kontrak'

A KADIR JASIN


NAMPAKNYA kita perlu sambung cerita mengenai Bandar Malaysia ekoran pembatalan kontrak IWH CREC Sdn Bhd sebagai pemaju utamanya pada 3 Mei lalu.

Macam saya ceritakan minggu lalu, TRX Sdn Bhd yang berupa anak syarikat Kementerian Kewangan batal perjanjian jual 60 peratus saham Bandar Malaysia kepada IWH CREC Sdn Bhd atas alasan syarikat usaha sama Malaysia-China itu gagal penuhi syarat walaupun dibagi kelonggaran. IWH CREC Sdn Bhd nafi dakwaan TRX itu.

Saya pun dah cerita yang IWH atau nama penuhnya Iskandar Waterfront Holdings Bhd adalah kumpulan syarikat pemaju hartanah yang dikuasai oleh tauke Cina Malaysia bernama Tan Sri Lim Kang Hoo manakala CREC atau China Railway Engineering Corporation adalah milik kerajaan China.

Selain bantahan IWH CREC Sd Bhd dan janji TRX untuk cari rakan kongsi baharu dengan cara yang lebih telus, beberapa perkembangan lain telah berlaku.

Antaranya ialah harga saham syarikat-syarikat yang dimiliki atau berkaitan dengan Lim telah jatuh merudum di Bursa Malaysia.

Selain IWH, Lim juga menguasai Ekovest Bhd, syarikat kejuruteraan yang satu masa dulu dimiliki oleh sekumpulan usahawan Melayu.

Saham kedua-dua syarikat itu jatuh pada kadar maksimum yang dibenarkan oleh Bursa Malaysia. Dalam bahasa pasaran ia dipanggil limit down. Apabila keadaan ini berlaku, kegiatan jual beli dihentikan sementara secara automatik.

Pada 4 Mei, saham Ekovest jatuh pada kadar maksimum kepada RM1.01 sesaham dan diikuti pada 8 Mei oleh IWH apabila harga saham jatuh hampir 30 peratus atau sebanyak 92 sen kepada RM2.16.

Saya kurang pasti banyak mana kerugian modal yang Lim dan pelabur lain tanggung akibat kejatuhan maksimum harga IWH dan Ekovest itu, tetapi mesti dalam lingkungan ratusan juta ringgit.

Kejadian ini mendukacitakan kerana kerugian modal yang dialami oleh IWH dan Ekovest bukan saja memberi kesan buruk kepada pelabur, tetapi juga mengurangkan lagi keyakinan terhadap ketelusan dan kewibawaan negara kita.

Atas alasan apa sekalipun, membatalkan perjanjian bernilai berbilion-bilion ringgit bukanlah sesuatu yang berlaku sepanjang masa. Sebaliknya ia hampir-hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita apatah lagi apabila ia melibatkan sebuah kerajaan asing.

Kontrak penjualan saham yang dibatalkan itu bernilai RM7.4 bilion dengan pendahuluan RM741 juta. Laporan mengatakan Kementerian Kewangan telah bagi balik deposit tersebut dan bayaran runcit berjumlah RM785.9 juta kepada IWH CREC Sdn Bhd.

Sekarang timbul pula cakap-cakap mengatakan projek itu akan diberikan kepada sebuah syarikat lain yang juga dari negara China bernama Dalian Wanda Group Co Ltd tetapi dengan nilai yang lebih tinggi.

Baguslah kalau nilainya naik, tapi wajib dipastikan yang ia tidak menjadikan kita terlalu bergantung dan terhutang budi kepada China.

Saya masih hairan macam mana kontrak yang diuar-uarkan sebagai penanda aras oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, itu boleh dibatalkan dengan begitu mudah setelah kerja-kerja pembangunan telah pun dimulakan.

Kajian saya mendapati Mohd Najib mencurahkan puji-pujian kepada IWH CREC kerana memenangi kontrak itu. Berucap pada majlis penandatanganan perjanjian dengan IWH CREC Sdn Bhd pada 17 Jun lalu, beliau secara terbuka mengucapkan tahniah kepada CREC dan IWH.

Secara khusus Mohd Najib mengucapkan syabas kepada Lim dan wakil CREC, Chang Jin Li, kerana bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi mempercepatkan pembangunan Bandar Malaysia.

Pembatalan perjanjian dengan IWH CREC Sdn Bhd bukan saja melibatkan pemegang saham IWH-Ekovest dan CREC, tetapi ia juga menjelaskan kepentingan kerajaan Johor.

Kerajaan Johor terlibat dengan perjanjian itu. Ini disahkan oleh Mohd Najib sendiri apabila beliau berkata kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Johor, secara langsung dan tidak langsung, memiliki 54 peratus saham dalam projek itu.

Tapi saya rasa penyertaan Johor dalam perjanjian yang dibatalkan itu adalah secara tidak langsung melalui IWH. Kerajaan Johor memegang saham IWH melalui anak syarikatnya, Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd.

Kesimpulannya, pembatalan perjanjian dengan IWH CREC Sdn Bhd adalah satu tindakan luar biasa yang mempunyai implikasi besar di segi perniagaan, perhubungan luar dan kredibiliti kerajaan sebagai penandatangan.

Apa yang berlaku selepas ini, khususnya pemilihan pelabur baharu dari dalam dan luar negara, akan mengesahkan sama ada Bandar Malaysia adalah projek untuk kesejahteraan rakyat jelata atau satu lagi projek mencetak duit untuk tujuan pilihan raya dan mengisi kantung pihak-pihak tertentu. Wallahuaklam.

Pas perlu berpegang kepada prinsip, di mana putus hubungan, putuslah segalanya.

GUA MUSANG - Pas perlu berpegang kepada prinsip di mana keputusan membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR perlu selari dengan tindakan yang dibuat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, menyentuh konflik di Selangor, Exco Pas tidak sepatutnya berdiam diri dalam isu ini kerana hubungan politik antara mereka dengan PKR sudah tiada.

"Dah putus hubungan politik, sepatutnya tiada lagi campuran dengan pihak yang sudah dicerai. Pas perlu berpegang kepada prinsip, di mana putus hubungan, putuslah segalanya.

"Tak kira apa yang jadi. Namun sekarang, keputusan lain, buat lain. Ini lebih kepada kepentingan kebendaan. Walaupun keputusan di peringkat tinggi sekalipun, mereka sanggup langgar kerana kepentingan kebendaan.

"Mereka mahu kekal sebagai ahli Exco. Barangkali membantu pihak yang menubuhkan kerajaan. Kalau keluar dari kerajaan exco campuran di Selangor, kerajaan yang ada pada hari ini akan jatuh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan asrama baharu untuk pelajar Orang Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Wangi, di sini, pagi tadi.

Sebelum ini, Majlis Syura yang bermesyuarat pada 11 Mei lalu memutuskan untuk membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR.

"Parti nyamuk Bang Mat juga mampu membunuh!"

MOHAMAD SABU
SHAH ALAM - Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, beliau tidak terkesan dengan kata-kata yang mengaibkan partinya.

Katanya, selepas dua tahun partinya ditubuhkan, kini ia dilihat mampu 'menyegat' arena politik negara.

"Parti nyamuk...Bang Mat senyum, bagi Bang Mat nyamuk juga mampu membunuh.

"Mampu bertahan dua tahun sahaja..Bang Mat senyum, sambil arahkan ahli-ahli gandakan lagi usaha...," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya yang juga mesra disapa Mat Sabu, "Kata-kata orang ini jika terlalu dilayan akan merencatkan usaha kita".

"Oleh itu, kita ambil segala kata-kata ini untuk kita baiki diri dan parti kita ini. Jalan terus mara ke medan masyarakat. Amanah mampu lakukannya. Terus bekerja!!!," katanya.

Parti Amanah didaftarkan sebagai Malaysia Workers' Party (Parti Pekerja-Pekerja Malaysia) dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai (Parti Amanah Negara).

Amanah telah dilancarkan secara rasmi pada 16 September 2015 di peringkat kebangsaan.

NAJIB DIMALUKAN RAUF DALAM SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-71 UMNO

Sambutan ulang tahun ke-71 UMNO berjaya memalukan Presiden, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak apabila ahli parti keramat ini sanggup mem-boo-kan beliau dan kepimpinan parti akibat tidak berpuas hati dengan cara acara kemuncak dikelola.

Sambutan itu yang seharusnya menjadi titik penting untuk pembakar sangat jentera UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ternyata gagal dan memalukan, bukan sahaja kepada kepimpinan parti malah parti sendiri.

*CABUTAN BERTUAH*

Rata-rata ahli yang menghadiri sambutan itu berang dan bengang apabila acara kemuncak - CABUTAN BERTUAH - yang menawarkan tujuh buah kereta dan 10 motosikal dikelolakan dengan penuh tanda tanya dan misterius.

Majoriti yang hadir dalam sambutan itu mempersoalkan cara pemenang cabutan bertuah dipilih, lebih-lebih lagi apabila pengacara tiba-tiba mengumumkan nama pemenang hadiah utama - PROTON PERDANA - tanpa melakukan acara cabutan.

Lebih aneh lagi, semua nama pemenang telah berada di skrin, lengkap dengan nombor kad pengenalan dan BUKAN NOMBOR AHLI UMNO, seolah-olah pemenang telah diketahui seminggu lebih awal. Malah sesiapa pula boleh mewakilkan pemenang untuk mengambil hadiah

Jika begitu, mengapa pula Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Rauf Yusoff heboh di media kononnya pemenang akan ditentukan semasa malam Sambutan Ulang Tahun dan diwajibkan berada di Stadium Negara Bukit Jalil?

Lebih unik lagi, kononnya sesiapa yang ingin menyertai cabutan bertuah itu disyaratkan untuk mendaftar melalui aplikasi "Malaysia4All", seharusnya arahan itu perlu dibuktikan di atas pentas malam ini.

Pemenang harus membuktikan mereka telah mendaftar dengan aplikasi tersebut, malangnya tiada.

Rata-rata ahli UMNO bukan kecewa kerana tidak menang hadiah cabutan bertuah itu, sebaliknya mereka kecewa dengan cara cabutan dilakukan. Mereka mahu lihat cabutan itu dilakukan secara telus dan dilakukan semasa malam sambutan tersebut, malangnya semua pemenang telah diketahui lebih awal.

*TAYANGAN VIDEO*

Itu baru satu bab. Bab kedua pula mengenai tayangan video yang dipaparkan melalui skrin mega kepada lebih 100,000 ahli UMNO yang hadir.

Video yang dipaparkan mengenai perancangan UMNO dan pelan pembangunan bangunan pejabat parti itu yang baru hanya memaparkan wajah Rauf berkali-kali.

Setiap video berkaitan UMNO hanya memaparkan Rauf, Rauf dan Rauf sehingga menenggelamkan imej Datuk Seri Mohd Najib sebagai Presiden UMNO.

Siapakah Rauf ini? Tidak lebih dia hanya ~macai~ setiausaha kerja yang menjalankan fungsi membantu pentadbiran UMNO Malaysia. Sebaliknya dalam majlis sambutan itu, wajah Rauf lebih kerap keluar di skrin besar berbanding Datuk Seri Najib.

Apakah sebenarnya secara tersirat Rauf cuba memberitahu audien dan ahli UMNO bahawa SETIAUSAHA KERJA lebih utama daripada PRESIDEN UMNO.

Jelas ini sebenarnya cubaan mensabotaj imej Datuk Seri Mohd Najib secara tersusun dan halus.

*PENYERAHAN AL-QURAN DAN KERIS*

Masuk bab ketiga, semasa acara penyerahan al-Quran dan Keris oleh hulubalang kepada Presiden UMNO.

Nampaknya Datuk Seri Mohd Najib agak terpinga-pinga kerana tiada penerangan diberikan kepada beliau sehingga beliau dilihat tidak mengetahui tindakan yang perlu dibuat semasa diserahkan al-Quran kepadanya.

Lebih memalukan lagi apabila diserahkan keris kepada Presiden UMNO, sekali lagi Datuk Seri Mohd Najib terpinga-pinga kerana tidak diberikan penerangan oleh pihak penganjur mengenai hal tersebut.

Malah jika dilihat lebih teliti melalui upacara penyerahan tersebut, Rauf pula memberikan arahan kepada Datuk Seri Mohd Najib ketika semua mata sedang tertumpu kepada acara.

*SUSUN ATUR KEHADIRAN*

Caca-merba. Itulah bab keempat yang memalukan sepanjang sambutan ini berlangsung. Apakah penganjur tidak mempunyai sukarelawan atau petugas mencukupi untuk menyusun kehadiran ahli UMNO dari seluruh pelusuk negara.

Jika diperhatikan lagi, kehadiran veteran UMNO dan golongan kurang upaya tidak diberi perhatian wajar sepanjang sambutan.

Lebih menyedihkan lagi golongan tersebut yang bertongkat terpaksa bersusah-payah untuk menaiki tangga dan mendapatkan tempat duduk. Apakah kezaliman ini boleh dimaafkan? 

Selain itu, tiada mana-mana petugas yang bertugas sebagai petunjuk arah kepada ahli UMNO yang datang sehingga kelihatan mereka tersesat dan tidak tahu arah tujuan sepanjang sambutan tersebut.

Ahli-ahli ini ada yang pertama kali datang Stadium Nasional Bukit Jalil untuk meraiakn sambutan ulang tahun parti keramat mereka, tetapi mereka dilayan tidak ubah seperti ~pengemis~ orang asing kepada parti sendiri.

Banyak pintu ditutup pihak berkuas dan ahli terpaksa mencari laluan sendiri dan laluan "khas" hanya diberikan kepada pemimpin utama UMNO yang mempunyai akses mudah.

Maka timbul persoalan, apakah sambutan ini untuk sekadar meraikan kepimpinan parti atau meraikan jentera UMNO yang menjadi tulang belakang kepada kekuatan parti?

*KESIMPULAN*

Nyata Rauf sebagai "Ketua Penganjur" gagal melaksanakan sambutan ini dengan baik.

Tiada pengisian program untuk ahli UMNO yang berada di luar stadium sehingga mereka hanya sekadar mendapat penat untuk datang beratus-ratus kilometer ke sambutan itu.

Apakah Rauf sebenarnya cuba memalukan Datuk Seri Mohd Najib melalui acara ini?

Tepuk dada, tanya Rauf.

YOP ADUN MOHD THAMBI
Ahli Tegar dan Penyokong UMNO semenjak 1965.

Adun tunggal PAS dalam kerajaan DAP P/Pinang iaitu Salleh Man masih ahli PAS

KEPALA BATAS - "Beliau masih lagi ahli Pas, tidak ada apa masalah, "itu antara reaksi Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Fauzi Yusof mengenai status terkini Adun Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man.

Mohd Fauzi berkata Salleh Man masih lagi ahli Pas dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Adun dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

"Dia masih lagi ahli Pas, ianya tidak jadi masalah, masih lagi bagi sumbangan kepada kita.

"Dia pun tidak melakukan sebarang serangan, kenyataan dan sebagainya, kita anggapnya sebagai ahli Pas dan kita biarkan dia pegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)," katanya.

Katanya, soal Salleh Man yang masih memegang jawatan sebagai Yang Dipertua MAINPP, ianya bukan satu perkara baru.

"Kita semua sedia maklum di negeri ini bukan perkara baru, dulu semasa peralihan kerajaan negeri semasa kerajaan BN ke Pakatan Rakyat, masa tu Datuk Shabudin pegang, lepas itu ganti dengan Elias zakaria dan kemudian diganti dengan Datuk Salleh Man.

"Di Pulau Pinang ini ianya tak jadi perkara yang mengejutkan dan harus faham bahawa MAINPP di bawah Yang Dipertuan Agong," katanya.

Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan adalah khidmat kepada rakyat.

"Jadi keutamaan kita adalah khidmat kepada rakyat, kita tak boleh jadikan sebab kita putus tahaluf tidak bekerjasama dengan sesebuah parti ini kita mengorbankan rakyat.

"Cuma kerjasama dengan parti politik berkenaan saja yang tiada, tapi dari sudut pergaulan, kerjasama kepada rakyat, program-program,kita teruskan macam biasa," katanya.

'Agenda PKR, Pas masih sama'

MELAKA - “Saya tidak akan menyempitkan pemikiran saya hanya kerana kenyataan majlis ulama, biarpun terpaksa menghormati keputusan mereka," kata Pengerusi PKR negeri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, pembangkang di negeri ini mempunyai keistimewaan dalam kerjasama walaupun Majlis Syura Ulama Pas membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi dengan PKR.

Ini katanya, mengambil kira semua kepimpinan Pakatan Harapan termasuk Pas di negeri ini masih mempunyai agenda sama, mahu kepimpinan sebuah kerajaan bersih.

“Saya yakin dalam kalangan anggota Pas di Melaka masih lagi mempunyai idealisme dan perjuangan yang tentunya meletakkan kepentingan Malaysia mengatasi masalah lain.


“Dalam konteks mempertahankan Parlimen Bukit Katil, tentunya saya ada hubungan yang baik dengan Pas,” katanya di sini.

Beliau berkata, mesyuarat kepimpinan Pakatan Harapan negeri juga akan diadakan tidak lama lagi untuk menjelaskan perkembangan terkini tersebut.

“Saya juga akan memanfaatkan Ramadan nanti dengan berdiskusi bersama kepimpinan Pas negeri kerana saya yakin dalam konteks Bukit Katil, ideolisme untuk sama-sama mempertahankan kemenangan rakyat pada PRU14 masih lagi subur," katanya.

Baling perlukan 10 lagi menara telekomunikasi

menara telekomunikasi
BALING - Daerah Baling yang terletak kira-kira 110 kilometer dari ibu negeri, memerlukan sekurang-kurangnya 10 lagi menara pencawang telekomunikasi bagi memastikan penduduk di sini dapat menikmati kemudahan internet dan talian telefon yang memuaskan.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ketika ini terdapat 20 pencawang telekomunikasi di daerah ini, namun ia masih tidak dapat menampung kapasiti penggunaan internet terutama di kawasan pedalaman seperti Kupang dan Bayu yang agak kritikal.

"Baling ini luas dan keperluan untuk menambah jumlah menara sangat penting memandangkan sehingga kini, masih ada sekolah, masjid dan pusat-pusat tumpuan orang ramai yang tidak boleh mengakses internet malah telefon," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Negaraku: Menghubung Menyatu di Sekolah Kebangsaan Kuala Merah, Kuala Ketil di sini hari ini.

Jelasnya, capaian internet yang kurang di daerah ini menyebabkan penduduk sekitar terpaksa pergi ke pekan atau bandar yang terletak berpuluh kilometer bagi melakukan pelbagai urusan sama ada pembayaran atau pun mendapatkan maklumat terkini.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Umairah Aziz, 30, berkata, akses internet di kawasan rumahnya di Kuala Merah agak terhad malah adakalanya tiada langsung di tempat-tempat tertentu.

"Susah juga tanpa akses internet yang kuat dan stabil kerana saya menjalankan perniagaan dalam talian. Pernah saya terpaksa pergi ke pekan Baling untuk menyelesaikan urusan jual beli dalam talian kerana akses di rumah terlalu perlahan," katanya.

Bagi seorang kakitangan awam, Shamsul Ikmal, 36 pula, keperluan internet dan telefon sangat penting bagi pembelajaran anak-anaknya memandangkan mereka tinggal di kawasan yang agak jauh di kawasan pedalaman.

"Satu-satunya cara untuk kami terutama pelajar mendapatkan maklumat dalah melalui internet dan telefon. Tapi, di sini, kadang kala, agak sukar mendapat talian, jika perancangan untuk menambah pencawang telekomunikasi di tempat yang sepatutnya dilaksanakan, saya memang gembira," katanya.

Program anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tersebut menyaksikan seramai 40 keluarga menerima sumbangan Astro Njoi manakala 10 pelajar terpilih menerima basikal. - Bernama




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...