TERKINI :

Friday, May 12, 2017

PENDIRIAN AMANAH BERHUBUNG KEDUDUKAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

BismillahirRahmanirRahim

PENDIRIAN AMANAH BERHUBUNG KEDUDUKAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

1. Amanah Selangor menghormati keputusan PAS membatalkan tahalluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat kerana itu adalah pilihan yang dibuat berdasarkan kehendak ahli-ahli parti tersebut. Keputusan tersebut tiada kena mengena dengan Parti Amanah Negara.

2. Amanah Selangor ingin menegaskan kewajaran mana-mana parti politik yang bermaruah supaya mengambil langkah-langkah yang betul apabila telah memutuskan hubungan dengan semua parti komponen Pakatan Harapan yang menjadi kerajaan negeri.

3. Amanah Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional dan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk membuat keputusan dan tindakan berhubung kedudukan PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor setelah mereka mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan semua parti komponen Pakatan Harapan dan bertindak keluar dari Blok Pembangkang. Bagi kami, kepentingan bersama di dalam Pakatan Harapan mengatasi kepentingan mana-mana parti komponen di dalamnya. Pimpinan Pakatan Harapan wajar membuat kata putus secara konsensus dalam isu ini.

4. Amanah Selangor ingin menyeru kepada semua pihak supaya terus berusaha memperkukuhkan Pakatan Harapan bagi memastikan bukan sahaja Selangor dapat dipertahankan tetapi juga mengambilalih Putrajaya daripada Barisan Nasional di dalam pilihan raya umum akan datang. Rakyat Selangor pastinya akan menilai secara objektif perkembangan ini dan membuat keputusan yang wajar menjelang PRU14 nanti.

"Amanah Demi Negara"

Hj Ir Izham Hashim
Pengerusi Amanah Selangor.
12hb Mei 2017

Pemuda PKR ajak Pakatan Harapan lupakan Pas, tumpu untuk menang PRU14

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Pemuda PKR menyeru semua parti pembangkang tumpu kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu walaupun Pas bertegas mahu memutuskan hubungan dengan PKR semalam.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin berkata walaupun Pas memberikan alasan yang “tidak sah” untuk memutuskan hubungan, usaha mereformasikan kerajaan perlu diteruskan.

“Kita tahu ada dalam kalangan pemimpin Pas yang mahu bekerjasama dengan kita.

“Di pihak kami, kita cuma perlu teruskan mandat sedia ada. Apa yang penting ialah dapatkan mandat baharu dari rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

“Terpulang kepada parti politik untuk membuat keputusan bagaimana mencipta suatu pakatan pilihan raya atau gabungan.

“Siapa kita untuk menghalang mereka apabila ia adalah hak Pas memilih jalannya sendiri?”

“Tetapi saya perlu katakan saya nampak alasan yang Pas berikan untuk memutuskan “tahaluf siyasi” sebagai ‘tidak sah’. Ini adalah keputusan Pas,” katanya kepada FMT.

Majlis Syura Ulama semalam mengumumkan “tahaluf siyasi” dengan PKR terbatal, selepas ia membuat keputusan ke atas usul untuk mengakhiri 2 dekad kerjasama Pas dengan parti reformasi. Usul diluluskan sebulat suara oleh perwakilan di muktamar Pas baru-baru ini.

Majlis mengulangi tuduhan oleh perwakilan Pemuda dan Ulama Pas, mengatakan PKR sudah melanggar syarat kerjasama politik dengan Pas.

Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid berkata para pengundi akan menjadi menghakimi perpecahan antara Pas-PKR.

“Bukan kami yang minta putus. Mereka yang mahu putus. Jadi, selamat tinggal. Akhirnya, orang akan menghakimi kerana orang sedang melihat isu punca pendapatan dan isu lain yang menjejaskan kehidupan harian mereka.”

Apabila PEMUDA UMNO KEDAH menasihati PAS untuk singkir MAHFUZ..

PEMUDA UMNO KEDAH GESA PAS SINGKIR MAHFUZ

Pemuda UMNO Kedah menggesa Pas bertindak menyingkirkan unsur-unsur sabotaj ataupun 'gunting dalam lipatan' yang masih ada di dalam parti mereka.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Pas perlu 'membersihkan' beberapa pemimpin yang masih ada demi memastikan parti itu tidak terus-menerus dirosakkan daripada dalam.

"Individu seperti Mahfuz Omar dan beberapa pemimpin lain seharusnya dikeluarkan demi keutuhan Pas.

"Kita juga yakin unsur 'Harum Manis' dalam Pas perlu disingkirkan secara total untuk memastikan parti itu terus relevan dan kekal sebagai pilihan untuk Melayu dan Islam," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

http://www.astroawani.com/berita-politik/pas-patut-singkir-gunting-dalam-lipatan-mereka-shaiful-hazizy-142394

KEKUATAN PALSU DI ULANGTAHUN UMNO KE-71?

Sebagaimana yang tersebar luas di media sosial, terdapat bukti yang menunjukkan wujud kerahan untuk memaksa pelajar-pelajar UiTM menghadiri sambutan ulangtahun UMNO yang ke-71 di Bukit Jalil, malam ini.

Berdasarkan apa yang tersebar di media sosial itu, sekurang-kurangnya 10,000 yang hadir di Bukit Jalil malam ini adalah mahasiswa UiTM yang seolah-olah dipaksa untuk hadir ke sana.

Bagaimana pula dengan universiti yang lain serta pusat-pusat pengajian seperti IKM, Giat Mara, IKBN, Politeknik, Vokasional, Institut Pendidikan Guru dan sebagainya, adakah mereka turut dikerah hadir ke Bukit Jalil malam ini?

Kenapa kerahan ke atas pelajar ini dilakukan, adakah kerana UMNO sudah sedia maklum mereka bakal menerima sambutan yang dingin di majlis sambutan ulangtahunnya kali ini?

Berapa jumlah pelajar yang hadir keseluruhannya?

Jika sudah dilakukan kerahan di sana-sini, berapa sebenarnya ahli UMNO yang benar-benar secara sukarela hadir ke Bukit Jalil atas nama mahu mempertahankan perjuangan parti?

Akhirnya, harap-harap tidak adalah pekerja Bangladesh dan Indonesia yang dipaksa balik awal petang ini dan kemudian diborong dengan bas untuk sama-sama memeriahkan Stadium Bukit Jalil dan kemudian turut berteriak "Hidup Melayu" walaupun tidak memahami maksudnya. (ShahbudinHusin 11/05/2017).

PKR tolak tohmahan MSU Pas kononnya parti itu menentang agenda Islam – S/U Agung Keadilan

KEADILAN menzahirkan kekesalan terhadap keputusan yang dibuat oleh badan tertinggi PAS iaitu Majlis Syura Ulamak namun menghormatinya atas kebebasan Pas membuat suatu pendirian politik.

2. Pada masa yang sama KEADILAN menolak tohmahan MAJLIS Syura Ulamak Pas bahawa KEADILAN menentang agenda Islam, melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik dan khianat dalam hubungan politik dengan PAS.

3. Sebaliknya rekod KEADILAN kekal sebagai sebuah parti multiracial, komited memperjuangkan agenda rakyat, membanteras rasuah dan penyelewengan, mendedahkan salah urus dan tatakelola pemerintah dan teguh memupuk dan memelihara kerjasama akrab dan solidariti sesama rakan-rakan pembangkang.

4. Pimpinan KEADILAN akan segera berbincang dan mengambil pendirian terhadap keputusan Majlis Syura Ulamak Pas.
Sekian.

Dato’ Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung KEADILAN
11 Mei 2017

Kerjasama makin erat, Najib sokong ucapan Presiden Pas, serang DAP sempena hari jadi Umno

KUALA LUMPUR: Amanat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak malam tadi menyokong kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan kerjasama kedua-dua parti itu.

Berucap sempena ulang tahun Umno ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Najib dalam petikan ucapan pemimpin Pas itu turut menyentuh tentang ‘berpolitik demi kepentingan bersama’, lapor Malaysia Dateline.

“Memetik ucapan Tuan Guru Hadi Awang: Kerjasama Umno-Pas kini adalah satu amalan politik yang sungguh matang kerana politik antara Pas dan Umno, kita tidak berkelahi sebaliknya kita berpolitik demi kepentingan bersama.

“Haji Hadi turut menyatakan dalam politik kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara kita mesti bersatu serta bersama,” ujar Najib di hadapan penyokong Umno dari seluruh negara.

Pengerusi BN itu juga menyebut tentang keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang kebetulan, katanya, berlaku hari ini apabila membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara Pas dengan PKR.

Perhimpunan yang menyaksikan Najib menyimpulkan amanatnya dengan memimpin bacaan doa itu turut menyentuh pendirian Pas terhadap DAP sekaligus menggambarkan kerjasama Umno-Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sebab itulah parti Pas sudah menganggap DAP menjadi musuh kepada Islam dan bagi Umno pula DAP adalah musuh kepada orang-orang Melayu,” tegasnya lagi.

PKR tidak pernah khianat prinsip tahaluf siasi, konsisten lawan kerajaan kleptokrasi – DS Wan Azizah

KEADILAN mengambil maklum keputusan Majlis Syura Ulama Pas yang membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.

KEADILAN tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik.

KEADILAN mendukung secara prinsip usaha pemerkasaan mahkamah syariah seperti yang ditegaskan oleh kenyataan media Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 8 April 2017 yang juga merupakan pendirian rasmi KEADILAN.

Sementara KEADILAN berusaha secara muafakat dengan parti-parti politik untuk menawan Putrajaya, KEADILAN juga komited dan tuntas mempertahankan kerajaan-kerajaan negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Matlamat dan tindakan KEADILAN dalam semua pilihanraya termasuk pilihanrya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah untuk menentang UMNO dan BN.

Perkembangan terbaru ini tidak sama sekali menjejaskan kerajaan negeri Selangor memandangkan kerajaan negeri hari ini mendapat mandat penuh rakyat negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi seperti biasa untuk fokus membangun negeri dan memakmur rakyat.

KEADILAN mengulangi tekad untuk terus menentang budaya rasuah dan kleptokrasi kerajaan UMNO BN. Untuk mencapai matlamat murni ini semua parti politik progresif mesti bergabung tenaga dan bersatu untuk menyelamatkan Malaysia dengan mengenepikan kepentingan parti masing-masing dan meletakkan agenda rakyat sebagai kerangka kepentingan bersama.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
12 Mei 2017





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...