TERKINI :

Tuesday, May 9, 2017

Anak Fadhil Noor sanggah anak Nik Aziz, 'Khurafat baru' anggap hanya Pas perjuang Islam

'Khurafat baru' anggap hanya Pas perjuang Islam, kata Faiz Fadzil

09 Mei 2017

Pas sekarang seperti mengulangi khurafat yang Umno mainkan selama ini, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

"Jika dahulu hegemoni hanya Umno memperjuangkan Melayu adalah khurafat, tetapi hari ini hegemoni hanya Pas memperjuangkan Islam adalah khurafat baru," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kononnya kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti tidak menjamin usaha mendaulatkan Islam.

"Tuduhan bahawa kemenangan pembangkang akan membantutkan hasrat mendaulatkan Islam adalah satu pendirian yang tidak bertanggungjawab.

"Syariah dan syiar Islam tetap terpelihara apabila kerajaan ditadbir Pakatan Harapan seperti yang ditunjukkan di Pulau Pinang dan Selangor.

"Tiada beza antara syariah dan syiar Islam di Kelantan dan Pulau Pinang. Kedua-dua negeri ini tidak juga melaksanakan hukuman hudud yang diperjuangkan Pas atas faktor kekangan undang-undang dan pentadbiran," bidasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Menurut Faiz, polisi bersama Pakatan Harapan adalah mempertahankan Perlembagaan negara dan ini termasuk kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

"Jika Pas berhasrat menunjukkan mereka lebih Islam dengan bersandarkan pada RUU (Rang Undang-undang) 355, ianya juga masih tergantung selepas dua tahun dipolemikkan," tegas Faiz.

Semalam, Nik Abduh dalam wawancara yang dimuatkan lebih separuh halaman di akhbar Utusan Malaysia turut menganggap Pas dan Umno mempunyai kelebihan berbanding Pakatan Harapan jika berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRU14.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, Pas sudah tidak lagi berminat untuk menjatuhkan rejim Umno-BN memandangkan sejarah demokrasi pilihan raya di negara ini menunjukkan tiada mana-mana parti politik mampu membentuk kerajaan jika bertanding secara bersendirian.

"Strategi paling ampuh untuk menjatuhkan Umno-BN ialah permuafakatan pembangkang (tahaluf siyasi) supaya seluruh kekuatan pembangkang digembleng dan digabungkan bersama bagi menentang parti pemerintah itu. 

"Atas dasar ini, Pas dahulu bergabung dalam pakatan pembangkang yang menyaksikan Pas mampu membentuk kerajaan di negeri Kelantan melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Terengganu melalui Barisan Alternatif (BA) dan Kedah melalui Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas PRU12," jelasnya.

Sebaliknya, beliau memberitahu Pas kalah teruk apabila pakatan pembangkang berpecah seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1995 dan 2004.

"Sehingga Pas hilang kerajaan Terengganu dan hanya mampu mempertahankan tujuh kerusi Parlimen daripada 27 yang dimenangi dalam PRU pada 1999 yang merupakan kejayaan terbesar Pas di era pimpinan Almarhum Fadzil Noor," ujarnya.

Sehubungan itu, Faiz berpendapat keengganan Pas untuk bersama blok pakatan pembangkang yang baharu iaitu Pakatan Harapan bercanggah dengan sikap Pas pada era Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang begitu kuat menyokong mempertahankan Pakatan Rakyat.

"Pakatan pembangkang selama ini walaupun dianggotai pelbagai parti politik yang berbeza ideologi, namun mereka bersatu di atas dasar, tujuan dan rangka kerja yang sama iaitu menumbangkan kerajaan Umno-BN bagi melakukan perubahan, reformasi dan islah dalam sistem pemerintahan negara," tambahnya lagi.

http://malaysiadateline.com/index.php/berita-list/16-berita-utama/8430-khurafat-baru-anggap-hanya-pas-perjuang-islam-kata-faiz-fadzil

PKR wajibkan bakal calon PRU isytihar harta

nasution-pkr-isytihar-harta
PETALING JAYA: Calon yang dipilih PKR untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 nanti wajib mengisytiharkan harta masing-masing.

Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution berkata keadaan politik semasa sudah berubah kerana rakyat berhak memilih pemimpin yang bersih dan dilihat bersih dari sebarang salah laku.

“Itu ada dalam perbincangan kami. Itu antara pra syarat yang kami tetapkan. Sebabnya, keadaan kini sedikit berbeza, Barisan Nasional kerajaan memerintah manakala kami kerajaan yang menunggu,” katanya kepada FMT, hari ini.

PKR baru-baru ini mengundang perhatian media selepas kekayaan “luar biasa” ketua pemuda Ampang parti itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lupur April lepas atas 6 pertuduhan berkait keterangan palsu.

Sehingga kini, hanya Naib Presiden Rafizi Ramli konsisten mengisytiharkan harta setiap tahun.

Saifuddin berkata tuntutan semasa mewajibkan PKR melakukan tapisan yang lebih teliti dalam memilih calon bertanding.

“Perkara lain yang kami ambil kira, semakan bankrap, rekod bersih dari rasuah. Beberapa faktor lain seperti bankrap memang menjadi proses tapisan yang kita ambil kira,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin menyambut baik hasrat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad yang menyarankan parti politik tidak meletakkan calon terbabit kes rasuah pada PRU14.

Dzulkifli menegaskan parti politik perlu menghantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak bertolak ansur dengan rasuah.

“Syor nasihat itu adalah baik, dan dalam konteks dan pengalaman keadilan perkara itu menjadi keutamaan dalam proses memilih calon di DUN atau ahli Parlimen,” katanya.

PAS hanya parti politik, umat Islam tak perlu takut

 bukan-pas-parti-politik-gavel
PETALING JAYA: Seorang ahli G25 menasihatkan umat Islam yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya tidak takut menyuarakan pendirian mereka.

Susulan kenyataan 20 rakyat Malaysia Timur berhubung alasan perlu menolak RUU 355, ahli G25, Datuk Dr Johan Arriffin A Samad yang juga seorang daripada jurucakap bagi kumpulan rakyat Timur Malaysia itu berkata, umat Islam tiada sebab untuk takut kepada PAS.

“Orang selalu salah faham dan rasa PAS sebuah parti agama atau keliru dan fikir mereka adalah ulama.

“Mereka lupa PAS ialah sebuah parti politik yang terdiri daripada sekumpulan ahli politik. Sama seperti Umno dan parti politik lain, mereka hanya memancing undi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, salah satu sebab sesetengah umat Islam takut bersuara kerana mereka takut digelar anti-Islam atau kafir.

“Saya rasa kita perlu berhenti melabel orang yang tidak bersetuju dengan kita sebagai kafir, seperti cara PAS lakukan. Setiap orang ada pendapat sendiri dan kita perlu menghormatinya.

“Masalahnya orang tidak mahu hidup di sebuah negara Taliban, di mana segala-galanya adalah terhad.”

Bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah itu berkata, Islam lebih daripada sekadar hukuman.

“Ketakutan dan ancaman bukan perkara baik untuk Islam. Kita perlu ikut ajaran Islam sebenar, yang penuh belas kasihan.

“Membantu orang dan melakukan perkara baik juga penting (dalam Islam). Ia bukan hanya mengenai hukuman.”

Kumpulan 22 rakyat Sabah dan Sarawak itu terdiri daripada bekas atau masih menjadi ahli politik mewakili parti pemerintah serta pembangkang, bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli perniagaan dan profesional.

Mereka berpendapat RUU 355 perlu ditolak kerana Malaysia adalah sebuah persekutuan sekular dengan kedaulatan undang-undang berasaskan warisan undang-undang biasa.

“Jangan kita lupa, kebebasan beragama ditekankan dan diberi jaminan dalam rundingan penggabungan Malaysia. Hukuman hudud tidak pernah berada dalam agenda.

“Jika hukuman hudud dimasukkan, projek Malaysia itu mungkin ditolak rakyat Sabah dan Sarawak.

“Semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan yang membentuk kontrak sosial ketika negara kita ditubuhkan – perlu dihormati dan dipertahankan,” menurut kenyataan itu.

Ia seterusnya menyebut sekularisme bermakna sistem undang-undang kebanyakannya perlu berdasarkan undang-undang umum yang digunakan untuk semua rakyat, manakala undang-undang agama atau adat boleh digunakan untuk perkara peribadi dan keluarga bagi ahli masyarakat tertentu.

“Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keadilan jenayah perlu dikendalikan mahkamah sivil, dengan membenarkan negeri (mencipta dan menghukum) kesalahan dilakukan orang beragama Islam yang bertentangan ajaran agama itu, kecuali berhubung perkara termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Hukuman 3-5-6 yang diperuntukkan Akta 355 – digubal pada 1965 dan dipinda pada 1984 – setimpal dengan skop kesalahan syariah dan sesuai dengan reka bentuk sekular Perlembagaan Persekutuan.

“Had baru yang dicadangkan RUU Hadi Awang – 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan (hukuman 30-100-100) – hampir menyerupai bidang kuasa jenayah Mahkamah Sesyen, semua hukuman yang dibenarkan undang-undang, kecuali hukuman mati.

“Apabila jenayah serius seperti rompakan hanya boleh dihukum di Mahkamah Sesyen dengan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, kesalahan apa yang dilakukan umat Islam harus dikenakan hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan?

“Di manakah prinsip perkadaran begitu penting kepada keadilan jenayah?”

Ia turut menyatakan ia satu “pembohongan terang-terangan” untuk mendakwa RUU 355 tiada kaitan dengan pengenalan hukuman hudud.

“Jika diluluskan dalam bentuk semasa, rang undang-undang itu akan membolehkan 3 hukuman hudud dalam undang-undang jenayah syariah di Kelantan dan Terengganu – 100 sebatan kerana zina, 80 sebatan bagi tuduhan berzina atau liwat (qazaf) yang tidak berasas dan 40 hingga 80 sebatan bagi pengambilan alkohol.

“Disebabkan ketidakseimbangan kesalahan dan hukuman, pengenalan ketiga-tiga hukuman hudud kualitatif akan mengubah sifat sekular sistem undang-undang.

“Ia bukan sahaja tidak mengikut Perlembagaan, tetapi juga menghakis asas moral Malaysia sebagai sebuah persekutuan sekular.”

Kenyataan itu ditulis dalam 4 bahasa: bahasa Melayu, Inggeris, Kadazandusun dan Iban.

Selain Johan, antara yang turut menandatangani kenyataan itu ialah bekas naib pengerusi Suhakam Tan Sri Simon Sipaun, bekas ketua Pemuda Umno Sabah Datuk Jema Khan dan Ketua PKR Sarawak Baru Bian.

Ku Nan kepada PAS: Walaupun terlanjur, boleh pulang ke pangkuan

ku-nan-pas-umno
PUTRAJAYA: “Semuanya terpulang kepada kepimpinan PAS sama ada mahu kembali kepada Umno,” kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung cadangan supaya kedua parti itu bersatu.

Beliau berkata Umno parti inklusif yang sedia mendengar dan memberi peluang jika PAS ingin kembali kepada Umno dengan ikhlas dan jujur.

“Kita sebuah parti inklusif seperti yang disebut timbalan perdana menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) di Sabah baru-baru ini dan belum terlambat lagi (untuk PAS kembali kepada Umno).

“Walaupun telah terlanjur, boleh pulang ke pangkuan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan supaya PAS kembali menjadi Biro Agama Umno sempena sambutan ulang tahun ke-71 Umno pada Khamis ini (11 Mei).

Menurutnya kedua-dua parti itu tidak mempunyai masalah dan terpulang kepada pucuk pimpinan PAS jika langkah itu difikirkan perlu untuk kebaikan negara, orang Melayu dan umat Islam.

Tengku Adnan berkata beliau juga pasti Anggota Majlis Tertinggi dan Lembaga Disiplin UMNO akan meneliti perkara itu.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 4 Mei adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...