TERKINI :

Friday, May 5, 2017

Ketua Amanah Sik akan ambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang memfitnah beliau

KENYATAAN MEDIA

Saya telah mendapati beberapa kiriman whatsApps, Facebook  dan juga media baru yang lain mengaitkan saya dengan tuduhan liar penyelewengan dana beras yang sengaja ditimbulkan untuk membuat persepsi negatif dan jahat terhadap saya.Ini adalah kali yang ke tiga dimana serangan terhadap saya untuk mengaitkan dengan pelbagai isu.

Oleh yang demikian, selaku Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Sik yang memikul amanah dan tanggungjawab telah melantik peguam semalam dan membuat keputusan untuk menyaman mana-mana individu sama ada di dalam Fb dan mana-mana group whatsapp yang mengeluarkan fitnah jahat berkenaan terhadap saya. Dan saya pohon mereka tampil secara berdepan sebagai anak jantan jika  penyelewengan dana beras dan tuduhan mencuri beras kilang untuk diedarkan kepada rakyat miskin Sik tersebut benar-benar berlaku.

Saya yakin dan percaya, pihak musuh politik tidak senang melihat dengan gerak kerja Amanah Kawasan Sik yang sudah mendapat tempat di hati masyarakat setempat di kawasan Sik .Musuh politik mencari jalan  sedaya upaya untuk memburukkan nama parti dan individu .Ini menunjukan mereka terdesak dan tersepit dengan isu isu serangan hingga terpaksa mencipta fitnah dan persepsi bagi menyerang pihak lawan.

Seterusnya , report polis akan dibuat  dalam masa terdekat terhadap individu-individu dalam "screenshoot" no tel dan muat naik status akaun Fb mereka yang saya simpan untuk perhatian dan siasatan PDRM dan juga Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

Kepada Allah jua tempat memohon pertolongan.Dimahkamah dunia kita berdepan. DiMahkamah Allah kita berjumpa.Insya Allah. Terima kasih.

Sulaiman Bin Ibrahim
Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Sik
8 Syaaban 1438H
5.5.2017H
Jumaat

KEPUTUSAN MEMBELAKANGKAN DEMOKRASI, PIMPINAN SPR LAKSANA STRATEGI UMNO

Kenyataan Media

05 Mei 2017

*KEPUTUSAN MEMBELAKANGKAN DEMOKRASI, PIMPINAN SPR LAKSANA STRATEGI UMNO*

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahunan kepada parti politik dan pihak-pihak berkepentingan dengan perjalanan pilihan raya adalah sangat mengejutkan dan tidak munasabah.

Perkara itu yang disahkan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh melalui laporan media baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan dikalangan rakyat apakah proses pilihan raya di Malaysia dapat dilakukan dengan 'bersih' dan 'adil' selepas ini.

1. Saya melihat keputusan dibuat SPR melalui mesyuarat kali ke-773 nya pada 28 Mac lalu itu sebagai tindakan tidak telus yang membelakangkan proses demokrasi yang diamalkan di negara ini.

2. Saya tegaskan, salinan RDPT adalah penting kepada mana-mana parti politik. Ia digunakan sebagai sumber rujukan untuk proses semakan bakal pengundi agar dapat disahkan keabsahannya. Di dalam RDPT disenaraikan pengundi yang baru didaftarkan, pengundi yang baru berpindah masuk ke kawasan serta pengundi pindah keluar dan juga pemotongan nama pengundi. Contohnya diantara bulan Oktober sehingga Disember 2016 tahun lalu sahaja, terdapat kira-kira 1090 bakal pengundi baru telah didaftarkan di Parlimen Kuantan, tanpa senarai RDPT diberikan kepada parti politik bagaimana semakan dapat dijalankan dilapangan. Bagaimana mungkin dapat dikenalpasti mereka itu hantu atau benar-benar wujud atau mereka sebenarnya warga asing yang diberikan MyKad dan seterusnya punya hak mengundi?

Justeru, sebarang keputusan menghalang parti politik atau pihak yang mempunyai kepentingan mendapatkan salinan RDPT hanya akan menyukarkan dan menggagalkan proses semakan.

Saya khuatir akan membuka ruang untuk pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan di atas kelemahan itu bagi mendaftarkan pengundi-pengundi hantu di kawasan-kawasan tertentu. Semakan pihak kami di Kuantan keatas RDPT sebelum ini mendapati bahawa ramai pengundi di daftarkan tanpa pengetahuan mereka. Ini menyalahi dari segi undang-undang. Ada banyak juga kami dapati pengundi di pindahkan tempat mengundi tanpa pengetahuan mereka apabila mereka menukar alamat didalam MyKad mereka kerana berpindah rumah di dalam kawasan. Ini juga salah dari segi undang-undang. Malah ramai juga di daftarkan di daerah mengundi yang salah oleh SPR, tidak mengikut kedudukan sebenar rumah mereka di dalam peta kawasan pilihanraya. Kesemua semakan dilapangan ini mustahil dilakukan tanpa salinan senarai RDPT yang dibekalkan

3. Saya juga mempersoal kewajaran kenyataan dibuat Abdul Ghani bahawa pameran RDPT memadai bagi membolehkan mana-mana parti politik dan pihak berkepentingan membuat semakan, tuntutan dan bantahan juga mengejutkan.

Ia tentu akan menyebabkan proses semakan kepada ribuan nama pemohon menjadi semakin sukar dan tidak dapat dilakukan dengan secara terperinci.

Abdul Ghani perlu menjawab, bagaimana proses semakan hendak dilakukan dengan terperinci dan tepat di tempat-tempat pameran RDPT yang disediakan SPR?

4. Memandangkan banyak pendedahan berkaitan pelbagai kepincangan yang dikesan didalam senarai daftar pemilih didedahkan baru-baru ini, apakah keputusan menghentikan pengedaran senarai RDPT ini satu lagi helah politik. Apa rasional disebalik keputusan SPR ini?

Apakah ia satu usaha bagi menyembunyikan sesuatu perkara dari pengetahuan umum? atau taktik bagi membantu Umno BN untuk terus dapat mengekalkan kuasa mereka melalui Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang?

5. Sehubungan itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa rakyat di negara ini sangat mengharapkan satu proses pilihan raya yang bersih dan adil dapat dijalankan. SPR sepatutnya memperbaiki servis mereka kepada pihak yang berkepentingan. Ini tidak! Tindakan mereka berbentuk 'regressive'. Lebih parah lagi SPR ambil langkah berdiam diri dan tidak menjawab segala penyelewengan yang di dedahkan sebelum ini.

Tindakan-tindakan terdesak dilakukan SPR termasuk dengan menghentikan pengedaran senarai RDTP ini dapatlah disifatkan sebagai membunuh kepercayaan rakyat terhadap integriti dan kebebasan suruhanjaya itu menjalankan tugasnya.

Jesteru saya menasihatkan agar barisan kepimpinan SPR seharusnya merasa malu.  Keputusan tidak demokratik itu perlu ditarik balik.

YB Hajah Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
Parti KEADILAN Rakyat

MEGADETH : Terima Kasih PAS Kerana tak berdemo bantah konsert kami

PETALING JAYA: Kumpulan trash metal Amerika Syarikat, Megadeth, berterima kasih kepada PAS kerana tidak menunjuk perasaan membantah konsert yang dijadualkan berlangsung malam ini di Stadium Negara.

Penyanyi utama Dave Mustaine di Twitter menjawab komen oleh seorang yang bernama Hasbullah Najib, yang berkata tiada tunjuk perasaan menanti konsert kumpulan itu malam ini.

“Terima kasih. Kalau ada lagu yang mengguris rakyat Malaysia atau agama, beritahu saya. Saya tidak mahu mengguris hati perasaan mana-mana pihak. Kami pernah potong lagu untuk China,” kata Mustaine.

Hasbullah berkongsi laporan Malaysiakini bertajuk “Pemuda PAS nafi anjur protes konsert Megadeth” di Twitter beliau, dan ditujukan kepada Dave.

PAS sebelum ini lantang langkah mengkritik pertunjukan beberapa artis antarabangsa, termasuk Selena Gomez, Metallica, Adam Lambert, Mariah Carey, Beyonce Knowles, Michael Learns to Rock, Rihanna, Avril Lavigne, Inul Daratista, Gwen Stefani, Scorpions dan Linkin Park.

Malah, konsert Selena Gomez tahun lepas disebutkan salah satu sebab PAS mahu memutuskan hubungan dengan PKR.

“Takkan kerana Selena Gomez kita nak berpecah belah,” kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dipetik sebagai berkata.

“Saya cakap betul, saya tak kenal sangat Selena Gomez ni,” katanya lagi, dan menambah beliau hanya kenal lagu nasyid sahaja.

Insya Allah, rakyat faham kerjasama PAS-Umno, kata Hadi


MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Marang itu turut berterima kasih kepada Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut.

“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

“Kerjasama hari ini (PAS dan Umno) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang dileraikan di perairan Pulau Kapas, semalam.

Ditanya sama ada kerjasama Umno dan PAS itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak tertentu, Hadi berkata ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.

“Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

“Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ini warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik ‘hand brake’ dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, Shabery berkata beliau memaklumkan kerjasama Hadi dalam program itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Perdana menteri bukan sahaja merestui, malah beliau awal-awal lagi mendoakan agar program ini berjalan dengan lancar dan mengirimkan salam kepada tuan guru (Hadi).

“Insya Allah akan ada lagi program bersama melibatkan pemimpin Umno dan PAS demi kepentingan rakyat pada masa akan datang… saya akan maklumkan,” katanya.

Shabery dalam ucapannya berkata walaupun berbeza pendapat, pemimpin atasan Umno dan PAS tetap akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

“Kita boleh lihat sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di atas pentas sama bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu Rohingya.

“Tetapi yang sukar ialah untuk merapatkan hati-hati dalam kalangan kita rakyat di peringkat bawah. Namun, hari ini telahpun menjadi kenyataan,” katanya.

Terdahulu Shabery yang tiba di Marang Waterfront untuk majlis perasmian program itu turut bersarapan pagi bersama-sama Hadi dan warga nelayan sebelum menaiki bot ke Pulau Kapas untuk menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan itu. BERNAMA





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...