TERKINI :

Thursday, May 4, 2017

SPRM PERLU SAHKAN SENARAI PENERIMA DANA SRC YANG MASUK DARI AKAUN PERIBADI DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK

Walaupun tumpuan kepada kes yang melibatkan wang dari akaun SRC International Sdn Bhd (“SRC”) masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak semakin pudar, saya secara berterusan mengumpul maklumat untuk memastikan kes ini akan tetap dibawa ke muka keadilan satu hari nanti.

Saya tahu selagi Dato’ Seri Najib berkuasa, kes ini tidak akan diambil tindakan. Tetapi ia tidak wajar dibenarkan mati begitu sahaja kerana ia melibatkan RM4 bilion dana pencen rakyat yang kesannya pasti akan dirasai oleh warga emas dan keluarga mereka kelak.

Saya secara berterusan mengumpul maklumat dan menyemak maklumat-maklumat yang ada untuk membawanya kepada rakyat. Saya tahu jika rakyat dilalikan dengan isu-isu lain (baik politik, kesusahan hidup atau hiburan), rakyat akan lupa dan kes ini boleh berkubur begitu sahaja.

Sebab itu saya menamakan Dato’ Dr Nasharuddin Mat Isa sebagai salah seorang penerima dana SRC yang masuk melalui akaun peribadi Dato’ Seri Najib kerana saya mahu melihat reaksi pimpinan kanan SPRM. Saya yakin bahawa maklumat itu benar dan telah membuat Akuan Berkanun mengenainya, jika saya membuat cerita SPRM sudah tentu menafikannya dengan sekeras-kerasnya dan terus menahan saya untuk didakwa.

Sehingga sekarang, tidak ada penafian atau sebarang reaksi dari pimpinan kanan SPRM kecuali kemaskini kes melalui sistem atas taliannya yang memaklumkan bahawa SPRM sedang mengambil tindakan ke atas maklumat mengenai aliran dana yang saya telah berikan kepada SPRM baru-baru ini.

Pada pandangan saya, ini bermakna bahawa dokumen-dokumen lain mengenai kes-kes melibatkan Dato’ Seri Najib dan dana 1MDB/SRC yang sebelum ini pernah cuba disiarkan tetapi dihalang dari disebarkan; wajar dibawa kembali untuk diketengahkan kepada rakyat supaya SPRM membuka kembali kes dan membuat siasatan lanjut.

Salah satu dari dokumen yang paling lengkap mengenai aliran dana yang mengalir dari akaun SRC ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib pernah disiarkan oleh satu laman SPRM Insider di capaian sprminsider.blogspot.co.uk

Laman ini telah lama dihalang capaiannya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika orang ramai cuba melayari laman tersebut sekarang, anda akan mendapat notis berikut:

Walau bagaimana pun, laman tersebut masih boleh dicapai dengan cara tertentu dan saya telah mengambil petikan skrin untuk menunjukkan ia masih lagi beroperasi dan belum ditutup:

Dokumen yang dimuatnaik pada 1 Oktober 2016 itu mempunyai 10 mukasurat itu diedarkan kepada pihak media dan orang ramai pada hari ini. Dokumen itu memperincikan transaksi wang keluar masuk dari pelbagai syarikat dan individu yang membabitkan Dato’ Seri Najib dan dana SRC (yang diambil dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan).

Saya telah menyemak perkara-perkara berikut untuk memastikan maklumat di dalam dokumen itu bukan rekaan:

1. Segala transaksi telah disemak satu persatu kepada kertas yang dipegang oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang memperincikan aliran dana dari SRC melalui beberapa syarikat sebelum sampai ke akaun Dato’ Seri Najib. Semua maklumat di dalam dokumen yang dimuatnaik di SPRM Insider ini tepat seperti yang terkandung di dalam kertas yang dipegang Tan Sri Apandi Ali

2. Nama-nama syarikat dan individu yang dinamakan telah dikenalpasti dan disemak dengan maklumat umum (baik dengan Suruhanjaya Syarikat atau keratan berita atau carian lain). Semua individu yang dinamakan wujud dan sebahagian besarnya ada kaitan dengan Umno; atau Dato’ Seri Najib; atau merupakan syarikat-syarikat pembekal

Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman profesional saya, maklumat-maklumat yang terkandung di dalam dokumen yang didedahkan oleh laman SPRM Insider itu berkemungkinan besar adalah benar berdasarkan perkara-perkara berikut:

i. Jika ia tidak benar, tiada sebab kenapa SKMM mengambil keputusan untuk menghalang capaian ke laman tersebut

ii. Semua maklumat yang terkandung setakat ini konsisten dan sepadan dengan maklumat-maklumat sulit yang telah diketahui umum termasuk nama-nama syarikat yang digunakan untuk “melapiskan” pindahan wang ke akaun Dato’ Seri Najib iaitu Gandingan Mentari SB, Ihsan Perdana SB dan anak-anak syarikat kumpulan Putra Perdana Berhad

iii. Maklumat yang terkandung di dalam dokumen ini merupakan maklumat rumit yang begitu sulit seperti nombor akaun, nama syarikat yang khusus, individu yang khusus dan pemindahan wang pada tarikh-tarikh yang khusus. Maklumat seperti ini adalah begitu rumit dan tidak mudah untuk direka-reka kerana angka dan maklumatnya perlu konsisten dan sepadan di dalam semua dokumen. Setakat ini semua angka ini adalah sepadan

Sebagai tindakan nekad saya untuk membina kembali momentum agar SPRM membuka kembali siasatan terhadap Dato’ Seri Najib mengenai kes SRC, berdasarkan maklumat di dalam dokumen SPRM Insider itu, saya ingin menarik perhatian orang ramai dan pihak media kepada beberapa nama/pembekal yang menerima bayaran dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib (seperti yang terkandung di dalam dokumen tersebut).

Saya menyeru nama-nama berikut terlebih dahulu tampil ke hadapan untuk menjelaskan sama ada mereka ada menerima wang dari akaun Dato’ Seri Najib seperti yang didakwa di dalam dokumen SPRM Insider tersebut:

i. Dato’ Amhari Effendi Nazaruddin, pengarah dan pemegang 50% saham di dalam Orb Solutions Sdn Bhd - mengikut dokumen, pada 27 Ogos 2014, Orb Solutions Sdn Bhd menerima RM2 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011906.

Untuk rekod, Dato’ Amhari adalah penasihat kanan Dato’ Seri Najib dan namanya disebut-sebut sebagai pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri yang terlibat di dalam rundingan dengan IPIC yang menyebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membayar sehingga RM15 bilion kepada IPIC.

Carian dan semakan juga menunjukkan bahawa Orb Solutions Sdn Bhd adalah syarikat yang membangunkan aplikasi Najib Razak yang dilancarkan tahun lepas.

ii. Dato’ Seri Najib – mengikut dokumen, pada 8 Ogos 2014, ada bayaran berjumlah RM449,586.95 dari kredit kad bernombor 4585 8180 0000 5496 yang dibayar dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011880. Pada hari yang sama, ada satu lagi bayaran berjumlah RM2,833,147.21 yang dibayar dari kad kredit bernombor 5289 4380 0003 8961 yang dibayar dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011880.

Kedua-dua perbelanjaan mencecah RM3.28 juta dalam tempoh satu hari ini dibuat di sebuah kedai barang kemas mewah bernama De Grisogono di Itali (seperti carian internet di bawah).

Dato’ Seri Najib perlu tampil ke hadapan menjelaskan sama ada perbelanjaan sebanyak RM3.28 juta yang dibayar dari akaun peribadi beliau menggunakan wang pencen rakyat adalah untuk membeli barang kemas mewah kepada isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor?

iii. Yayasan Al Abrar - mengikut dokumen, pada 21 Ogos 2014, Yayasan Al Abrar menerima RM5 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011906. Semakan menunjukkan Yayasan Al Abrar juga bertanggungjawab menganjurkan majlis “Malaysia Bersalawat” pada 7 Disember 2013 seperti keratan akhbar di bawah

Saya akan terus mendedahkan nama-nama mereka yang disenaraikan di dalam dokumen itu dan mendesak supaya SPRM tidak terus berdiam diri. Dengan kemungkinan besar bahawa dokumen ini dibocorkan dari siasatan SPRM sendiri, SPRM perlu berdepan dengan rakyat jika tiada tindakan diambil ke atas Dato’ Seri Najib walaupun maklumat-maklumat ini secara jelas menunjukkan ada asas yang cukup kukuh untuk membuka kembali siasatan ke atas Dato’ Seri Najib.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Hadi akui hadir program bersama Menteri sebagai permulaan politik matang PAS & BN.

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Marang turut berterima kasih kepada Ahmad Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut.

"Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

"Kerjasama hari ini  (Pas dan Umno) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang telah dileraikan di perairan Pulau Kapas, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kerjasama Umno dan Pas itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak-pihak tertentu, Abdul Hadi berkata ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.

"Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

"Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ni warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik 'hand brake' dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata beliau telah memaklumkan kerjasama Abdul Hadi dalam program itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana menteri bukan sahaja merestui, malah beliau awal-awal lagi telah mendoakan agar program ini berjalan dengan lancar dan mengirimkan salam kepada tuan guru (Abdul Hadi).

"Insya-ALLAH akan ada lagi program bersama melibatkan pemimpin Umno dan Pas demi kepentingan rakyat pada masa akan datang... saya akan maklumkan," katanya.

Ahmad Shabery dalam ucapannya berkata walaupun berbeza pendapat, pemimpin atasan Umno dan Pas tetap akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

"Kita boleh lihat sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada di atas pentas sama bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu Rohingya.

"Tetapi yang sukar ialah untuk merapatkan hati-hati dalam kalangan kita rakyat di peringkat bawah. Namun, hari ini telahpun menjadi kenyataan," katanya.

Terdahulu Ahmad Shabery yang tiba di Marang Waterfront untuk majlis perasmian program itu turut bersarapan pagi bersama-sama Abdul Hadi dan warga nelayan sebelum menaiki bot ke Pulau Kapas untuk menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan itu. - Bernama

Usul memutus hubungan dengan DAP & PKR, mana lagi tinggi kuasa antara MSU & MUKTAMAR?

USUL MEMUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN DAP, ADAKAH MUKTAMAD ATAU SEBALIKNYA?

Pada Rabu bertarikh 03/06/2015 Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) telah meluluskan suatu usul tergempar memutuskan hubungan PAS dengan rakan tahaluf DAP. Usul tersebut kemudiannya dibawa ke Muktamar Tahunan PAS Pusat yang bermula pada 04/06/2015 sehingga 06/06/2015.

Pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Pusat, telah diumumkan bahawa usul daripada DUPP tersebut telah diterima tanpa bahas. Ekoran penerimaan usul tersebut tanpa bahas, Tuan Haji Mohamad Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS mengumumkan di dalam Muktamar bahawa beliau mengambil keputusan meletakkan semua jawatan yang dipegangnya di dalam GLC di Pulau Pinang. Setiausaha Agung PAS, Dato’ Hj Mustafa Ali bagaimana pun menjelaskan bahawa walau pun usul tersebut telah diterima tanpa bahas, ianya masih belum muktamad kerana perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak yang mempunyai kuasa pemutus dalam hal berkaitan hukum. Kata Dato’ Hj Mustafa Ali, “kita masuk dengan hukum maka kita keluar juga dengan hukum”. Keadaan tersebut telah menyebabkan kekeliruan di kalangan para pemimpin PAS dan juga ahli-ahli PAS di seluruh Malaysia.

Sebelum ini saya telah menulis berkaitan kekuasaan tertinggi di dalam PAS. Hari ini saya ingin mengulas khusus berkaitan usul DUPP yang telah diterima tanpa bahas tersebut dari sudut Perlembagaan PAS. Ia juga akan melibatkan kedudukan kekuasaan tertinggi di dalam PAS.

Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS dengan jelas terang lagi nyata memperuntukkan bahawa kekuasaan tertinggi di dalam PAS ialah Muktamar Tahunan PAS. Fasal 7 (1) menyatakan seperti berikut :-

Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

Jangan ada pihak yang keliru antara hukum tertinggi dengan kekuasaan tertinggi. Hukum tertinggi PAS ialah Al-Quran, Sunnah Rasul, Ijmak Ulamak dan Qias. Keempat-empat sumber ini adalah rujukan hukum tertinggi di dalam PAS. Walau bagaimana pun kekuasaan tertinggi ialah Muktamar Tahunan PAS. Apa saja keputusan yang diputuskan di dalam Muktamar Tahunan PAS adalah keputusan tertinggi yang mana ianya mengikat seluruh badan-badan di dalam PAS dan seluruh ahli PAS.

Fasal 7 (2) Perlembagaan PAS pula menyatakan bahawa dengan tertakluk kepada hukum tertinggi PAS iaitu Al-Quran, Sunnah Rasul, Ijmak Ulamak dan Qias, segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar.

Fasal 7 (2) Perlembagaan PAS memperuntukkan seperti berikut :-

(2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan muktamar atau mesyuarat Agung PAS.

Fasal 7 Perlembagaan PAS ini jelas bahawa kekuasaan tertinggi PAS ialah Muktamar Tahunan PAS dan tidak ada kuasa lain yang lebih tinggi daripada Muktamar. Justeru apabila Muktamar memutuskan bahawa usul DUPP diterima tanpa bahas, maka usul tersebut adalah muktamad. Badan-badan di dalam PAS samada ianya Majlis Syura Ulamak (MSU), Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP), Dewan-Dewan dan seluruh ahli tertakluk kepada keputusan tersebut. Badan-badan di dalam PAS hanya boleh berbincang dan memutuskan bagaimana usul tersebut hendak dilaksanakan bukannya menangguhkan atau membatalkan usul. Usul tersebut menyatakan bahawa hubungan PAS dengan DAP diputuskan maka hubungan PAS dengan DAP secara keseluruhannya terputus. Tidak ada istilah putus di sana tetapi di sini tidak. Itu jelas di dalam usul iaitu putus hubungan dengan DAP.

Kenyataan atau penerangan Setiausaha Agung PAS bahawa usul tersebut belum muktamad kerana masih tidak mendapat persetujuan atau masih belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) adalah suatu kenyataan yang khilaf dan bertentangan dengan peruntukkan Perlembagaan PAS.

Perlu diambil perhatian bahawa kewujudan MSU juga adalah atas keputusan Muktamar Tahunan, malah kewujudan PAS juga adalah di atas keputusan Muktamar Tahunan. Tiada mana-mana pihak yang besar dan lebih berkuasa daripada Muktamar Tahunan. Ini jelas diperuntukkan lagi di Fasal 87 Perlembagaan PAS.

Fasal 87. Cara Memansuhkan PAS

PAS ini tidaklah boleh mansuh atau bubar melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripad ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut

Fasal 87 menyatakan bahawa Muktamar boleh memansuhkan atau membubarkan PAS. Ini jelas bermaksud bahawa bukan sahaja MSU berada di bawah kekuasaan Muktamar, malah PAS itu sendiri adalah di bawah kekuasaan Muktamar Tahunan kerana dengan Muktamar PAS boleh dimansuhkan dan dibubarkan. Jika PAS boleh dimansuhkan atau dibubarkan oleh Muktamar, maka begitu juga Muktamar boleh memansuhkan MSU atau mana-mana badan di dalam PAS.

Kenapakah Muktamar Tahunan PAS merupakan kekuasaan tertinggi selain daripada peruntukkan Perlembagaan yang jelas di atas?

Jawapannya kerana Muktamar Tahunan PAS itu diwakili oleh semua pihak yang berkepentingan di dalam PAS bermula daripada perwakilan Kawasan-Kawasan, Perwakilan Negeri-Negeri, perwakilan Dewan-Dewan, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan MSU. Semua pihak di dalam PAS terlibat di dalam Muktamar Tahunan PAS. Ini dengan jelas diperuntukkan di dalam Fasal 18 (2) Perlembagaan PAS.

Fasal 18 (2)

(2) Muktamar Tahunan dan/atau Khas PAS itu adalah mengandungi ahli-ahli yang berikut:

1. Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
2. Ahli-ahli Majlis Syura „Ulamak dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
3. Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan.
4. Yang Dipertua-Yang Dipertua PAS Kawasan, dan jika sekiranya dia tidak dapat hadir sendiri maka hendaklah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Kawasan itu diwakili dengan bersurat oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu.
5. Tidak kurang dari empat orang dan tidak lebih dari sepuluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Mesyuarat Agung Tahunan tiap-tiap Kawasan yang telah menunaikan yuran tahunannya bagi tahun itu ke Pejabat Agung dengan tertakluk kepada Fasal 19(5).
6. Dua puluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat.
7. Dua puluh orang wakil daripada diangkat oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, dan
8. Dua puluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat.

Jelas bahawa Muktamar Tahunan PAS disertai oleh semua pihak yang berkepentingan di dalam PAS. Justeru apabila usul diterima tanpa bahas, ini bermakna seluruh anggota Muktamar Tahunan telah bersetuju dengan usul tersebut dan usul tersebut adalah muktamad. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengubah usul tersebut melainkan dilakukan melalui Muktamar juga.

Adakah usul yang telah diterima tanpa bahas tersebut perlu dirujuk kepada MSU untuk pengendorsan atau kelulusan?

Jawapannya jelas tidak perlu kerana semasa usul diterima tanpa bahas di dalam Muktamar, MSU juga terlibat berada di dalam Muktamar. Seluruh ahli MSU berada di atas pentas bersama-sama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap boleh ditarik balik tetapi terlajak meluluskan usul di Muktamar, hanya Muktamar yang boleh menarikbalik.

Sepatutnya apabila usul diluluskan oleh DUPP pada 03/06/2015, usul tersebut dibawa atau dirujuk kepada MSU terlebih dahulu. Apabila MSU berbincang, berbahas dan meneliti baik buruk serta hukum hakamnya barulah diangkat kepada Muktamar Tahunan untuk diputuskan.

Perlu diambil perhatian bahawa usul tersebut diusulkan oleh DUPP yang mana di dalamnya ada Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan seluruh ulamak hebat di dalam PAS. Apabila DUPP yang dianggotai oleh seluruh ulamak sudah bersetuju meluluskan usul tersebut, adakah munasabah MSU yang hanya dianggotai oleh seramai 17 orang ahli boleh menafikan kelulusan DUPP? Apabila usul tersebut diluluskan oleh DUPP yang mana di dalamnya ada Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Ketua DUPP serta beberapa ahli MSU yang lain, adakah munasabah mereka yang meluluskan di DUPP akan mengubah tindakan mereka apabila mereka bertindak sebagai ahli MSU? Di sana mereka luluskan, tiba-tiba di sini mereka hendak batalkan atau tangguhkan?

Sebenarnya tindakan menerima usul DUPP tanpa dibahaskan oleh Muktamar Tahunan adalah suatu tindakan paling bodoh yang pernah dilakukan. Sekarang masing-masing menjadi seperti gila talak. Lafaz cerai telah dikeluarkan tetapi masih ingin tinggal serumah.

Sewajarnya usul tersebut dibahaskan di dalam Muktamar di mana perwakilan kawasan, perwakilan negeri, perwakilan dewan-dewan sehingga perwakilan MSU diberikan laluan untuk berbahas dan seterusnya mengundi untuk dibuat keputusan. Muktamar Tahunan adalah SYURA terbesar di dalam PAS. Sepatutnya syura terbesar ini dijadikan medan menentukan hala tuju parti bukannya sekumpulan manusia yang berasa cerdik tapi tidak cerdik yang mencorak perjalan parti. Siapa yang membuat keputusan meluluskan usul tanpa bahas? Bukan Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar tetapi atas arahan seseorang. Pengerusi Jawatankuasa Usul seperti yang dimaklumkan oleh beliau di dalam Muktamar, bahawa beliau hanya menjalankan tugas tetapi ada orang lain yang mengarahkannya.

Ya betul, Pengerusi Jawatankuasa Usul juga bersalah kerana mengikut arahan buta tuli tapi orang yang mengarahkan itu lebih utama dipersalahkan. Siapa? Mereka lebih mengetahui.

Sekarang hubungan PAS dengan DAP telah muktamad diputuskan. Tidak ada putus di Pulau Pinang tetapi tidak di Selangor, tidak di negeri-negeri lain. PUTUS. Tindakan Tuan Haji Mohamad Sabu dan Dato’ Dr Mujahid Yusuf adalah bertepatan dengan usul. Sekarang kita menunggu tindakan para pimpinan PAS di Pulau Pinang yang lain meletakkan jawatan. Begitu juga di Selangor.

Perlembagaan PAS Fasal 16 (3)(b) menyatakan bahawa ahli-ahli PAS hendaklah melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus. Keputusan Muktamar Tahunan adalah yang tertinggi parti, justeru seluruh ahli wajib patuh keputusan tersebut.

ZULHAZMI SHARIFF
08062015

***** Rupa-rupanya aku dah pernah tulis kekeliruan puak2 lebai ni dulu....*****

Kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU14

Pakatan Harapan semakin menghampiri untuk menguasai Putrajaya melalui PRU14.

Kejayaan ke empat2 parti dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, Amanah, Bersatu dan DAP bergabung di bawah satu lambang tiga hari yang lepas adalah  satu kejayaan besar dalam usaha untuk mewujudkan gabungan parti2 di dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kerajaan alternatif kepada Barisan Nasional.

PH boleh membentuk se buah kerajaan yang lebih berwibawa di peringkat persekutuan menggantikan BN seperti yg mereka tunjukkan di Pulau Pinang dan Selangor.

BN dilihat sudah hilang keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik. Terlalu banyak kelemahan didapati di pelbagai bidang dan BN sudah tiada upaya untuk membaikkinya lagi.

Misalnya harga barangan yang semakin meningkat sekarang serta pembatalan2 bantuan kewangan dalam bidang pelajaran dan kesihatan untuk rakyat.

Pendedahan Rafizi dua hari yang lepas berkaitan wang SRC dan siapa yang memperolehinya memeranjatkan ramai pihak.

Terlalu banyak kisah2 yang menggemparkan negara berlaku. Yang peliknya perangai 'buat tak tahu' atau menyadin di tunjukkan oleh mereka yang dinamakan.

Rakyat mahu tahu mengapa mereka yang berkuasa ini sewenang2 buat kerja macam ini?

Sampai bila kita nak membiarkan mereka menyalahgunakan kuasa yang diberi oleh rakyat?

Mahukan kita membiarkan mereka terus melakukan perbuatan2 yang merugikan rakyat?

Jawapannya ada di tangan kita. Gunakan dengan sebaik2nya.

TS Muhammad Muhammad Taib

4 Mei 2017

Ust Ahmad Awang diajak kembali keparti lama...

Ada yang mengajak saya untuk kembali semula ke parti asal kerana pada mereka parti yang saya sertai sekarang ini adalah parti liberal dan sekular. Namun jika ditanya dimana sekular dan liberalnya mereka tidak dapat memberikan jawapan yang kukuh. Menuduh secara melulu itu memang sangat mudah.

AMANAH adalah sebuah Parti Islam yang meletakkan dasar serta matlamat perjuanganya adalah islam. Apa yang membezakan AMANAH dengan parti asal saya adalah dalam soal pendekatan dan strategi politik.

Kami tidak mahu hanya sekadar menjadi penasihat kepada pemerintah. Kami mahu mengambil alih pentadbiran bagi memastikan agenda melawan rasuah dan penyelewengan dapat direalisasikan.

Ustaz Ahmad Awang





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...