TERKINI :

Tuesday, May 2, 2017

Duhai Hadi, siapa nak jadikan PAS hotel persinggahan?

Parti pembangkang manakah yang mahu jadikan PAS sebagai ‘hotel persinggahan’ untuk dijadikan batu loncatan demi pilihan raya?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti hilang akal apabila menyifatkan parti pembangkang lain sebagai hanya mahu menggunakannya untuk menang pilihan raya.

Begitu angkuh dan sombong sekali Abdul Hadi meletakkan PAS seolah-olah sebagai parti pembangkang yang dominan segala-galanya berbanding parti lain.

Atas kekuatan apa Abdul Hadi menunjukkan kesombongannya?

Apakah dengan bertanding 80 kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 Abdul Hadi boleh mendabik dada dengan menjangkakan PAS boleh memenangi 50 daripadanya?

Apakah jumlah itu mempu mengatasi DAP atau parti lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kali ini?

Isunya ialah, apakah kemenangan PAS yang mendapat 21 kerusi (kini tinggal 14 saja selepas enam menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) dan seorang ke PKR) daripada 73 kerusi yang dipertandingkan olehnya pada PRU ke-13 lalu hasil usaha dan sokongan ahlinya semata-mata?

Bagaimana pula dengan PKR yang menang 27 kerusi (kini 28 selepas seorang melompat dari PAS) berbanding 99 kerusi yang ditandinginya. Apakah prestasinya kurang baik kerana tidak mendapat kerjasama PAS?

PAS mendabik dada mereka ada di 165 kawasan, dan 7,000 cawangan, sementara pembangkang lain pula tidak ada kawasan serta tidak ada cawangan.

PAS mendakwa mempunyai ahli hampir sejuta orang dan parti lain tidak sehebatnya. Namun bukankah keputusan PRU ke-13 boleh dijadikan ukuran yang lebih benar?

Kenapa DAP yang bertanding di 51 kerusi menang 37 kerusi?

Tidakkah PAS menang di kebanyakan parlimen di Pantai Barat kerana bantuan bukan Melayu?

Mengapa berleter panjang

Apa akan terjadi kali ini dengan bantahan banyak pihak kepada keputusan PAS membentangkan usul pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat?

Juga, apakah PAS sedar wujud bantahan rakyat hasil kempen AMANAH terhadapnya, selain penolakan rakyat kepada PAS - atas beberapa sebab lain - akan menjejaskan undinya pada PRU ke-14?

Apakah Abdul Hadi kini hanya bermimpi di siang hari dan sedang menyukarkan jentera PAS di beberapa negeri tertentu kerana bertanding sendirian?

Selain itu, atas kekuatan apa Abdul Hadi berani mengingatkan ahli parti dan entiti politik lain bahawa PAS bukanlah "hotel persinggahan" untuk dijadikan batu loncatan?


Bukankah dalam setiap bentuk kerjasama, khususnya bertanding dalam pilihan raya, setiap parti akan berunding untuk menentukan kerusi serta calon yang diletakkan dalam pilihan raya?

Apakah DAP, AMANAH, PKR atau parti paling baru - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) cuba menipu PAS dalam setiap rundingan?

Kenapa kali ini, sebelum rundingan muktamad Abdul Hadi sudah ‘berleter panjang’? Kenapa kemarahannya menjadi-jadi, sedangkan banyak perkara masih boleh dibincangkan.

Apakah ini bermakna bahawa kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, sudah tidak boleh dipakai lagi dan Abdul Hadi menggunakan kuasa vetonya untuk menghentikan perbincangan dan perundingan itu?

Melalui kenyataannya kelmarin, Hashim mengatakan PAS belum menutup pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti Islam itu.

Malah katanya, jika DAP atau AMANAH, atau mana-mana pihak lain bersedia untuk mematuhi syarat-syarat PAS, mereka masih boleh bekerjasama.

Namun kenyataan Abdul Hadi dengan sendirinya membatalkan kenyataan Hashim.

Lebih jauh Abdul Hadi mengatakan pembangkang lain bersifat oportunis atau gemar mengambil kesempatan dan menjadikan PAS sebagai pangkalan persinggahan atau tangga untuk dipanjat.

Walaupun Abdul Hadi ada menyebut perbuatan itu turut dilakukan oleh ahli partinya, kenyataan berkenaan jelas perbuatan yang merendahkan keupayaan parti pembangkang lain.

Seolah-olah Abdul Hadi bercakap dengan membawa suara orang lain dalam isu ini.

Rasa sangat kuat

Apakah Abdul Hadi tertelan umpan oleh parti tertentu yang sengaja mahu melihat pertelingkahan wujud sesama pembangkang kerana dia dianggap mudah memakan umpan?

Abdul Hadi yang selama ini menegur parti lain kononnya campur tangan dalam urusan PAS turut menyentuh ‘tubuh badan’ parti pembangkang lain dengan kasar dan tidak beretika.

Ia boleh dilihat misalnya melalui gesaan anggota parlimen Marang itu supaya Pendaftar Pertubuhan (ROS)menyiasat parti politik di negara iniuntuk memastikan mereka mematuhi perlembagaan.

Walau kepada siapa ditujukan kenyataan itu, kenapa sekarang baru Abdul Hadi menimbulkan isu ini?

Kata-kata dan tindakan Hadi tidak sekadar kepada DAP tetapi dia juga menyerang Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU.

Kritikan Hadi terhadap BERSATU ialah parti itu tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan.

Justeru, siapa Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Abdul Hadi? Lebih rendahkah kedudukan mereka daripada beliau?

Kenyataan itu turut melupuskan gambaran dinyatakan Timbalan Presiden PAS Datuk ‎Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS masih berunding dengan BERSATU.

Kenyataan Abdul Hadi mengenai BERSATU langsung tidak mengiktiraf wujudnya kepimpinan negeri dan bahagian serta cawangan parti yang tumbuh bagai cendawan di musim hujan di negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Melaka serta Pulau Pinang.

Amat nyata Abdul Hadi menganggap PAS berada pada kedudukan ‘super kuat’ berbanding pembangkang lain untuk menghadapi PRU ke-14.

Dan keyakinan itu mungkin kerana kedudukannya yang lebih selesa kerana dibantu banyak perkara oleh Umno dan BN.

Malah, tidak sukar untuk dibaca bahawa dengan penolakan PAS bekerjasama dengan HARAPAN, parti itu sebenarnya sedang mempertahan dan menegakkan BN untuk terus memerintah.

Mungkin bagi PAS, rang undang-undang bagi meminda Akta 355 itu adalah satu-satu keutamaan di Malaysia ketika ini berbanding hal-hal lain seperti mengatasi kemiskian, keperitan rakyat, rasuah, penyelewengan atau juga kleptokrasi.

Dan yang nyata bagi Abdul Hadi dan PAS, satu-satunya pihak yang boleh membantunya kini ialah Najib Razak.

HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar dan kini menjadi perunding media bebas. 

BN PERLIS yakin akan menang selesa PRU14 nanti

Barisan Nasional (BN) Perlis yakin akan memperoleh kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dengan mempertahankan ketiga-tiga kerusi parlimennya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata BN sentiasa memastikan jentera PRU bergerak secara teratur seperti yang dirancang untuk kekal memerintah Perlis.

Beliau berkata, jika PRU-13 yang lepas, pembangkang memenangi dua dari 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Indera Kayangan dan Sanglang, namun PRU-14 nanti BN akan merampas kembali kerusi itu.

"Untuk Parlimen Padang Besar, Arau dan Kangar, BN yakin kekal menang selesa tanpa sebarang laluan getir. Maklum balas yang diterima daripada banyak pihak juga menunjukkan keyakinan pengundi terhadap BN Perlis," katanya.

Beliau ditemui pemberita sebelum mengetuai Larian Bendera sempena Ulang Tahun Umno Ke-71.

Shahidan berkata, jentera Umno dan BN sentiasa turun ke peringkat akar umbi untuk menerangkan setiap isu berbangkit serta membantu permasalahan yang timbul dalam kalangan rakyat.

"Kempen BN tidak ada lobi melobi tetapi pemimpin parti perlu menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai seorang wakil rakyat selain memberikan perkhidmatan terbaik tanpa berbelah bagi " katanya.

Sementara itu, sesuatu yang menarik mengenai larian yang disertai lebih 500 orang itu disertai pelbagai kaum membabitkan rakan komponen Umno di dalam BN iaitu MCA dan MIC.

Larian adalah sejauh 42 kilometer dari Padang Besar ke Kodiang, Kedah.

- Bernama

Dr Mahathir tetap yakin Pakatan harapan boleh menang sekalipun Pas tidak bersama

KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad tetap yakin Pakatan Harapan boleh memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) walaupun tanpa Pas.

Dr Mahathir melahirkan keyakinan itu sambil merujuk kepada kehadiran orang Melayu dalam perjumpaan yang diadakan oleh Pakatan Harapan.

"Kalau kita mengikuti kehadiran orang Melayu dalam perjumpaan-perjumpaan yang telah diadakan oleh Pakatan Harapan, jumlah mereka begitu besar sehingga meningkat kepada 12,000 dan 15,000 walaupun mengikut TV3 suku cuma 200 sahaja. Itu pasal, dia tak boleh bilang."

Dr Mahathir juga berkata, sambutan positif itu juga menggambarkan yang orang Melayu khususnya ahli-ahli Umno memberi sokongan kepada PPBM dan Pakatan Harapan.

"Tapi kita nampak ramai orang Melayu yang keluar dan kita juga lihat ramai daripada mereka itu terdiri dari Umno.

"Jadi nampak ahli Umno pun berminat dengan kita, sebab itu kita yakin kita boleh menang," kata bekas Perdana Menteri ini pada sidang medianya bersama kepimpinan Pakatan Harapan di ibu pejabat PPBM Ahad lalu.

Abdul Hadi semalam mengulangi pendirian parti itu tidak akan menjalin kerjasama politik dengan PPBM.

Kata Abdul Hadi, pihaknya menolak kerana kedudukan PPBM dalam keadaan "caca marba" dan tidak mempunyai pendidikan jelas.

Muktamar Pas yang berakhir semalam juga sebulat suara menerima usul memutuskan "tahaluf siyasi" dengan sekutunya PKR. Dalam usul itu, PKR dituduh mengkhianati perjanjian kerjasama antara kedua-dua parti dan biadap terhadap Pas.

Ketika berceramah dalam program Pakatan Harapan bersama penduduk Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur malam tadi, Dr Mahathir berkata, beliau menerima keputusan Pas yang tidak mahu mengadakan kerjasama pilihan raya.

"Kalau mereka tutup pintu, kita tak boleh masuk. Mereka dialu-alukan. Mereka tidak mahu bercakap dengan kita, 'okay' lah," kata Dr Mahathir.

Usul putus hubungan dengan PKR, Majlis Syura akan bermesyuarat secepat mungkin

ALOR SETAR: Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin bagi membuat keputsan muktamad sama ada parti itu akan meneruskan atau memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh berkata, ia sekaligus dapat merungkai kekeliruan dan tanda tanya ahli Pas berhubung hubungan dua parti itu.

“Majlis Syura baru sahaja menerima satu usul yang begitu besar daripada (Dewan) Ulama.

“Majlis Syura akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk merungkai kekeliruan melibatkan usul putus hubungan dengan PKR,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar Pas ke-63 di Kompleks Pas Kedah, yang berakhir semalam.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata, tidak kira apa keputusan itu, semua ahli Pas perlu mematuhi arahan parti dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya harap seluruh ahli ‘wala’ kepada Majlis Syura dan pucuk pimpinan Pas dalam menentu hala tuju pentadbiran Pas,” katanya.

Semalam, perwakilan Pas sebulat suara menerima usul memutuskan tahaluf siyasi dengan sekutunya PKR. Ia selepas usul sama yang diluluskan tanpa bahas oleh Dewan Ulama dan Pemuda, pada Khamis serta Jumaat lalu.

Usul itu seterusnya diangkat ke Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk diputuskan secara muktamad.

Dalam usul yang dibentangkan wakil Dewan Ulama Pas, Zulkifli Ismail, PKR dituduh melanggar syarat tahaluf siyasi seperti menyokong AMANAH dan menentang Pas pada pilihan raya, serta dilihat bersama membantah usul rang undang-undang persendirian yang dibawakan Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.

PKR juga dituduh bersikap biadab dan celupar terhadap Pas, “sekaligus tindakan mereka yang tidak menunjukkan setiakawan”.

AWAS DAN AES : MENTERI PENGANGKUTAN, KETUA PENGARAH JPJ BERBOHONG!

MENTERI PENGANGKUTAN, KETUA PENGARAH JPJ BERBOHONG!

Perlaksanaan dan penguatkuasaan AWAS (Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik) yang menggabungkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Mata Dimerit telah bermula pada 15 April 2017 yang lepas.

Dalam mengumumkan perlaksanaan dan penguatkuasaan AWAS, Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ tampil di media memaklumkan sehingga hari ini hanya 14 lokasi AES yang berkuatkuasa.

Ini adalah pembohongan oleh Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ.

Awal pagi tadi, kami Sekretariat Protes AES (ProtAES) telah membuka akaun email untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya menawarkan khidmat guaman percuma kepada mangsa-mangsa saman AES. Amat memeranjatkan kami salah seorang yang menghubungi kami melalui email telah melampirkan sesalinan saman AES yang telah diterima menyatakan kesalahan dilakukan di KM 255.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 dan diminta hadir ke Mahkamah Majistret Kemaman.

Jelas bahawa AES kini sudah menular ke Pantai Timur bukan sahaja 14 lokasi sedia ada yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ.

Kenapa berbohong? Kuatkuasa undang-undang pun nak bohong?

ZULHAZMI SHARIFF
Pengerusi
Sekretariat Protes AES (ProtAES)
2 Mei 2017
5 Syaaban 1438

PH jangan harap nak rampas Perak dari BN

Saharudin Abdul Jabbar

IPOH - Pakatan Harapan dilihat hanya bermimpi di siang hari dengan meletakkan keyakinan merampas Perak daripada BN pada PRU14.

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Perak, Datuk Saharudin Abdul Jabbar berkata, pengundi dan rakyat di negeri ini tidak akan menerima pakatan pembangkang kerana sudah melalui keperitan semasa pemerintahan selama 11 bulan sebelum ini.

Katanya, dasar-dasar yang diperkenal ketika itu tidak dapat diterima rakyat khususnya tempoh pajakan tanah selama 999 tahun disifatkan keterlaluan.

“Kita sudah serik dengan gaya pemerintahan mereka walaupun hanya 11 bulan dan rakyat Perak akan ingat sampai bila-bila.

“Realiti sebenarnya, mereka tidak mempunyai rekod cemerlang dalam mentadbir Perak dan tiada tokoh yang benar-benar mempunyai kredibiliti seperti mana BN,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hasrat Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menjadikan Perak sebagai negeri angkat selain berkeyakinan bahawa pakatan akan merampas kembali Perak.

Saharudin berkata, rakyat Perak kini gembira berada di bawah BN pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya, dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri kini memberi impak besar kepada rakyat khusus dari sudut ekonomi melalui pembangunan semula pekan-pekan baharu dan bantuan lain seperti pinjaman Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) serta Kedai Bergerak 1Amanjaya.

Beliau berkata, program Permukiman Menteri Besar yang diadakan setiap bulan di daerah-daerah juga berjaya mendekatkan rakyat dengan jentera pentadbiran kerajaan.

“Usaha-usaha inilah yang membuatkan pembangkang cemburu sehinggakan terpaksa menyindir menteri besar dan mengulang isu-isu lama untuk mengalih perhatian rakyat.

“Malah, menteri besar kutip sampah pun mereka sakit hati tengok sedangkan itulah yang perlu dilakukan seorang pemimpin dengan menunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Menurutnya, dengan pelbagai program dan usaha-usaha yang dilakukan kerajaan, amat sukar BN ditumbangkan kerana perkara itu belum tentu dapat dilakukan Pakatan Harapan jika memerintah kelak.

DOSA2 TUN M DIUNGKIT OLEH LEBAI KERANA TUN M TIDAK ISI BORANG PAS

Masih kisah lawak di Muktamar.  Dalam ucapannya, Dr Zuhdi jentik2 yakni orang yg mencadangkan agar Pas bersama Umno di Sgor agar boleh jentik gereja di Sgor sewaktu krisis MB Sgor, beliau mengungkit kembali salah Tun Mahathir.  Dibawanya kisah Mahathir hina Islam dlm kisah Nabi takde pisau cukur.  Dibawanya kisah Memali.  Macam2 lagi la diungkit oleh Dr Zuhdi jentik2 ini tentang keburukan Mahathir dulu2.  Ajaran Islam yg diajar kepada Dr Zuhdi ini adalah lebih baik ceritakan keburukan orang yang ingin berubah.  Maka, para walaun pun bertakbir sekuat hati.

Tetapi, walaun mungkin tidak tahu, atau buat2 tidak tahu bahawa parti pertama yg hulurkan borang ahli Pas kepada Tun Mahathir ini adalah Parti Pas sendiri.  Ehhh...hulur borang kepada orang yg hina janggut Nabi?  Hulur borang kpd orang yg menyebabkan peristiwa Memali?  Hahaha....

Percayalah, andainya waktu itu Tun Mahathir bodoh dan menerima borang dan mengisinya untuk menjadi ahli parti syurga itu, sudah pasti kisah2 Tun Mahathir yg dulu2 akan disorokkan bawah sejadah di Masjid Rusila.  Maka waktu itu, Dr Zuhdi akan kata Tun Mahathir telah terhapus dosanya sebaik saja mengisi borang Pas.  Maka para Ulamak2 dlm Pas pun akan bawa kisah Sayyidina Omar dulu pun jahat, bukan setakat hina janggut Nabi, bahkan sanggup mahu membunuh Nabi, tapi akhirnya dia berhijrah menerima Islam dan berjuang bersama Nabi malahan dilantik sebagai Khalifah. 

Kompom dalil ini akan dibawa oleh ulamak2 Pas jika Tun Mahathir bersama Pas.  Oleh kerana Tun Mahathir tidak berminat untuk bersama Pas, maka diungkit segala yg buruk2 tentang Tun Mahathir.  Itulah Islam cara Pas.

WFAUZDIN NS





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...