TERKINI :

Thursday, April 20, 2017

Isu Tutup Kedai Waktu Maghrib - Ternyata teguran Husam ada asasnya & diakui exco, tapi kenapa beliau terus diserang!!!

Jam Penerbangan Belum Cukup, Usah Gelojoh  Terbang Tinggi
- Pusingan Pertama

Pada 19 April, Exco Kerajaan Kelantan, Dato Fattah Mahmud cuba membetulkan semula kenyataan pertamanya dengan berkata:

“Peraturan menutup sekejap premis perniagaan hanya terpakai kepada peniaga Muslim di pasar-pasar malam sahaja.” (http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/hanya-pasar-malam-sahaja-1.662493)

Apa percanggahan kenyataan ini dengan kenyataan saya pada 17 April - yang mempertikaikan penguatkuasaan menutup kedai sewaktu maghrib kepada semua, termasuk peniaga bukan Islam dan lesen perniagaan mereka akan ditarik jika engkar?

Selari - tidak perlu  menutup perniagaan bagi peniaga bukan Muslim. Bermakna saya betul dan Fattah terkhilaf. Kerana itu beliau terpaksa membuat pembetulan demi pembetulan. Pagi ini, sekali lagi beliau memanggil sidang akhbar membetulkan kenyataan beliau sendiri, sambil mengakui bila ditanya, ‘adakah melibatkan semua, (saya menjawab) ….. melibatkan semualah……’. https://www.facebook.com/sinar.tv/videos/1393958980650862/

Bermakna, secara tersirat beliau mengakui dalam kenyataan pertamanya beliau ada menyebut peniaga bukan Muslim perlu menutup perniagaan mereka.

Bagaimana boleh dituduh orang lain keliru ketika beliau sendiri mengakui ada menyebutnya. Cuma hari ini, beliau cuba memberikan justikasi atas kata-katanya sebelum ini. Sendiri terlanjur cakap, sendiri keliru.

Semua kenyataan ‘pembetulan’ ini dikeluarkan selepas saya ‘menegur’ kenyataan pertama Exco yang sama, pada pagi 17 April, yang berbunyi:

‘KUALA LUMPUR: Semua peniaga, termasuk bukan Islam di Kelantan perlu menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib, kata exco negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.’

“Semua peniaga terlibat, *termasuk bukan Islam*. Ini dapat memberi masa kepada mereka untuk berehat dan menunaikan sembahyang.

“Lagipun ia bukannya lama, kira-kira 10 minit sahaja. Yang penting tiada perniagaan ketika azan dan boleh sambung semula urus niaga selepas sembahyang,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini. (http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/17/exco-kelantan-peniaga-bukan-islam-perlu-henti-niaga-ketika-solat-maghrib/)

Tidak cukup dengan ‘pembetulan’ Dato Fattah, seorang lagi Exco Kerajaan Kelantan, Dato Anuar Tan turut membuat kenyataan, bahawa memang Dato Fattah tidak berniat demikian.

Jika Dato Fattah tidak berniat demikian, kenapa saya perlu diserang oleh Fattah atas kenyataan saya? Kononnya saya sudah lupa dasar yang saya pernah sokong. Seperti kenyataan beliau yang disiarkan oleh Malaysiakini di bawah tajuk 'Husam pun dulu sokong henti niaga sempena Maghrib’, disiar pada 18 April.

Sinar Harian, pada 19 April, menyiarkan di bawah tajuk berita “Hanya pasar malam sahaja” : “ Fattah berkata, pasar malam di negeri ini hampir 100 peratus dimonopoli masyarakat Islam”

Jika sudah tahu pasar malam di Kelantan disertai 100% orang Islam, apa perlu lagi kenyataan ‘termasuk peniaga bukan Islam’? Siapa keliru?

Jika ‘termasuk peniaga bukan Islam’ tidak disebut, tidak berlaku kekecohan yang rasa saya, tidak pun menguntungkan Kerajaan Kelantan.

Tidak perlu juga saya diserang, kerana membetulkan apa yang salah disebut oleh Exco berkenaan. Katakan, apa yang saya kata, adalah betul.

Bagi pimpinan Kerajaan  Kelantan yang belum cukup ‘jam penerbangan’, tak usahlah menunjuk pandai cuba membawa pesawat besar terbang bersendirian. Rujuklah pimpinan lain yang lebih mahir undang-undang.

Bagi petugas muda Kerajaan Kelantan seperti Fattah,  SUA MB dan Saudara Bala dari luar Kelantan  dan seangkatan, izinkan saya berikan sedikit latar belakang peraturan berhenti seketika untuk solat di pasar malam di Kelantan.

Seingat saya, peraturan ini diperkenalkan lama sebelum saya  menjadi Exco lagi. Fattah pun tersasau dalam hal ini. Kali pertama ATGNA memulakan langkah ini dengan turun sendiri mengimamkan solat bersama peniaga di Pasar Malam Padang Bas, Kota Bharu. Sebelum 1995 lagi.

Kini, Padang Bas sendiri sudah tidak ada, bertukar menjadi pasar raya.

Bila ATGNA sebagai Menteri Besar memperkenalkan peraturan ini, ia telah dibincang terlebih dahulu dalam parti dan kerajaan. Dalam isu sebegini, pandangan bekas Exco Kerajaan Tempatan pertama Kerajaan Tok Guru, yang juga  seorang peguam dan bekas Penasihat Undang-Undang Negeri iaitu Allahyarham Dato Halim Muhamad telah dijadikan landasan.

Beliau telah memberi pandangan bahawa peraturan seperti ini, hendaklah bersifat ‘advisory’ atau ‘galakan’, dan bukan bersifat undang-undang atau legal.

Makna advisory, adalah ‘having or consisting in the power to make recommendations but not to take action enforcing them.’

Saya tidak ingat Dato Fattah ada dalam mesyuarat-mesyuarat sebegini pada masa lalu.

Jika tindakan undang-undang cuba digunakan, termasuk menarik lesen seperti disebut oleh Dato Fattah dalam FMT : ‘Beliau berkata, peniaga yang ingkar arahan akan diberikan amaran terlebih dahulu, sebelum dikenakan larangan sementara jika terus berdegil. (http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/17/exco-kelantan-peniaga-bukan-islam-perlu-henti-niaga-ketika-solat-maghrib/)

“Sama seperti penguatkuasaan tahap kebersihan. Mereka akan dibenarkan berniaga semula selepas membuat aku janji untuk mematuhi arahan,” katanya sambil menambah setakat ini PBT mendapat kerjasama baik daripada peniaga dan orang ramai. Langkah seperti ini  mendedahkan kepada tindakan undang-undang dan sukar dipertahankan.

Sebab itu selama ini, ia bersifat ‘nasihat’ dan ‘galakan’ dengan cara pihak berkuasa kerajaan tempatan menyediakan tempat solat yang selesa, tempat berwudhu dan bekalan air, seorang petugas memaklumkan ketibaan azan dan waktu maghrib menggunakan pembesar suara bergerak dan imam khas sekali sekala.

Selagi bersifat galakan, ia suatu yang baik. Itu sebab saya menyokongnya. Tetapi tidak untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang ke atas peniaga bukan Islam.

Ia tidak pernah dikuatkuasakan secara undang-undang. Tidak pernah ada ugutan atau pengumuman lesen peniaga yang tidak berbuat demikian akan ditarik.

Itu sebabnya kenyataan Fattah mengejutkan saya. Itu sebab saya menegur.

Ternyata akhirnya Fattah membuat U Turn. Tinggallah para penyerang termasuk Bala dari Pahang, tersangkut di atas pucuk buluh, kerana Fattah ‘mendarat cemas’.

Flying hours belum cukup. Jauh bezanya kebijaksanaan Tok Guru Nik Aziz dan kegelojohan Dato Fattah.

Bersambung…

YB Dato Husum Musa
Adun Salor,
20 April 2017/23 Rejab 1438

TABUNG HAJI PERLU JELASKAN KENAPA SYARIKAT BERSEKUTUNYA MENDAPAT RM140 JUTA DARI DANA SRC INTERNATIONAL SDN BHD

_Kenyataan Media_
*RAFIZI RAMLI*

20 April 2017

Saya telah menerangkan bagaimana sejumlah RM140 juta wang dari SRC International Sdn Bhd telah dipindahkan melalui beberapa buah syarikat dalam bulan Julai dan Ogos 2014 sebelum sampai kepada sebuah syarikat bernama Putra Perdana Development Sdn Bhd ("PPD").

Putra Perdana Development Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Putrajaya Perdana Berhad ("PPB") seperti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang saya sertakan bersama.

Dalam bulan Disember 2014, Lembaga Urusan Tabung Haji telah membeli 30% pegangan di dalam PPB. Ini disahkan oleh paparan di laman web PPB yang disertakan bersama.

Walaupun senarai pemegang saham PPB tidak diberikan secara terperinci di dalam dokumen carian SSM yang saya sertakan bersama, perlantikan kepimpinan Tabung Haji ke jawatan-jawatan utama PPB mengesahkan bahawa Tabung Haji adalah pemegang saham utama di dalam PPB. Kepimpinan Tabung Haji yang dilantik ke Lembaga Pengarah PBB adalah:

1) Datuk Seri Azeez Rahim, Pengerusi Tabung Haji telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PPB yang baru

2) Datuk Rozaida Omar, Ketua Pegawai Kewangan ("CFO") Tabung Haji telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah PBB yang baru

Sejurus selepas Tabung Haji membeli 30% pegangan di dalam PPB, dalam bulan Disember 2014 PPD memulangkan kembali RM140 juta yang dipindahkan ke akaunnya empat bulan sebelum itu (seperti yang saya terangkan di atas).

Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir mengesahkan bahawa Tabung Haju telah menyuntik RM193.5 juta ke dalam PPB ekoran pembelian 30% pegangan di dalam PPB (rujuk jawapan menteri di Parlimen yang saya sertakan), ia menimbulkan tanda tanya sama ada dana Tabung Haji diheret sama dalam siri pemindahan wang yang keluar masuk dari akaun SRC International Sdn Bhd.

Sebagai Ahli Parlimen yang paling rapat memantau hal ehwal kewangan Tabung Haji, saya wajar menanyakan soalan-soalan berikut kepada Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim:

1) Apa asas-asas pelaburan yang mendorong Tabung Haji menyuntik sehingga RM193.5 juta dana pendeposit Tabung Haji ke dalam PPB? Kenapa Tabung Haji memilih syarikat ini untuk melabur secara terus sedangkan syarikat ini tidak disenaraikan?

2) Adakah pelaburan sebesar RM193.5 juta oleh Tabung Haji ini telah dibentangkan dan diluluskan oleh Panel Pelaburannya? Apa keputusan Laporan Risiko Pelaburan yang dibentangkan kepada Panel Pelaburan yang menilai risiko pelaburan ini?

3) Firma mana yang dilantik untuk melakukan "due diligence" (penilaian kewangan terperinci) sebelum Tabung Haji membuat keputusan untuk menyuntik dana RM193.5 juta ke dalam PPB?

Soalan (3) adalah sangat penting kerana jika satu "due diligence" telah dibuat oleh Tabung Haji, "due diligence" itu sudah tentu dapat mengesan satu aliran tunai sebanyak RM140 juta ke dalam PPD, iaitu anak syarikat milik penuh PPB.

Maka, rakyat berhak mengetahui sama ada kepimpinan Tabung Haji membeli saham dalam PPB (yang melibatkan jumlah yang besar) dengan mempunyai pengetahuan bahawa sejumlah RM140 juta telah pun masuk ke akaun yang disatukan ("consolidated") PPB dari SRC International Sdn Bhd?

Mana-mana firma yang mengendalikan "due diligence" dalam tahun 2014 ke atas sudah tentu sedia maklum bahawa apa-apa pelaburan yang bersabit dengan 1MDB atau SRC International Sdn Bhd adalah satu pelaburan yang sangat berisiko.

Saya menanyakan soalan-soalan ini kerana Pengarah Urusan Tabung Haji ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail juga adalah Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd sejak hari pertama syarikat itu ditubuhkan, seperti yang dibuktikan di dalam laporan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2012.

Semasa Tabung Haji membeli 30% pegangan di dalam PPB pada harga RM193.5 juta, Tan Sri Ismee Ismail mesti menjawab sama ada beliau ada pengetahuan mengenai RM140 juta yang dipindahkan dari akaun SRC International Sdn Bhd.

*Rafizi Ramli*
*Ahli Parlimen Pandan*
*Naib Presiden KEADILAN*

Nasrudin sah tanding jawatan Naib Presiden Pas

Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mengesahkan akan bertanding bagi posisi Naib Presiden Pas bagi Muktamar ke 63 akhir bulan ini.

Menurutnya, persetujuan untuk bertanding atas jawatan tersebut dibuat berasaskan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

"Tanpa menghilangkan rasa hormat dan jauh sekali melunturkan rasa kasih saya kepada semua rakan - rakan kepimpinan Pas yang lain serta meraikan pencalonan dari para perwakilan, saya dengan segala rendah diri menerima pencalonan Naib Presiden Pas bagi sesi 2017/2019.

"Justeru itu, saya sedar dan insaf bahawa pencalonan saya ke posisi Naib Presiden Pas adalah berasaskan semangat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Terima kasih atas kepercayaan yang diberi sementara saya percaya, bahawa saya bukanlah orang yang terbaik," ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Naib Presiden Pas kini disandang Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Terdahulu, seorang lagi calon iaitu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menarik diri daripada pencalonan jawatan tersebut.

Penerimaan Nasrudin itu menjadikan kerusi naib presiden adalah pertandingan tertinggi berlaku pada Muktamar Pas kali ini.

"Alhamdulillah, Pas semakin bertenaga dan padu ketumbukannya untuk terus mara ke medan juang mendepani cabaran semasa dalam menjulang panji perjuangan Islam.

"Semoga ALLAH melimpahkan rahmat dan berkatNYA ke atas perjuangan Islam yang didukung oleh Pas ini dengan terus menyatukan hati, menyuburkan ukhuwah dan memugar semangat para pejuangnya untuk memimpin gerakan perubahan serta kebangkitan rakyat," katanya lagi.

Akhirnya pandangan HUSAM supaya dikecualikan peniaga yang bukan Islam didengar oleh EXCO Kelantan

Kelantan sedia kecualikan bukan Islam ‘rehat’ waktu Maghrib

Fattah-Mahmood
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan sedia mengecualikan peniaga bukan Islam daripada peraturan wajib menghentikan perniagaan ketika masuk waktu solat Maghrib, kata exco negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Fattah, yang mempengerusikan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, berkata arahan yang dikeluarkan sebelum ini hanyalah bertujuan memberi keselesaan kepada orang Islam khususnya peniaga menjalankan ibadat solat.

Menurutnya, kerajaan negeri sedia berbincang dengan peniaga bukan Islam yang meniaga di kawasan majoriti bukan Islam supaya dikecualikan jika ada permintaan.

“Sebab asasnya saya keluarkan arahan ini untuk peniaga Islam menunaikan solat Maghrib. Jadi bagi kawasan yang banyak orang bukan Islam seperti perkampungan orang Cina, kita pertimbangkan.

“Sebab mereka tidak terlibat dalam urusan solat Maghrib. Kita sedia berbincang dengan jika ada laporan dan permintaan daripada peniaga bukan Islam,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, Fattah memberitahu FMT, arahan pemberhentian operasi tidak melebihi 15 minit itu bertujuan memastikan semua pihak, termasuk pembeli boleh menunaikan sembahyang Maghrib sebelum meneruskan aktiviti masing-masing.

Dasar tersebut dimulakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu tahun lalu.

Sewaktu pemerintahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai menteri besar, MPKB menyediakan lori tangki air di pasar malam untuk memudahkan umat Islam mengambil wuduk dan menunaikan solat.

Fattah dilaporkan berkata, wisel pertama akan dibunyikan 15 minit sebelum masuk waktu solat Maghrib sebagai pemberitahuan kepada peniaga untuk menghentikan operasi, manakala wisel ke-2 akan dibunyikan 2 kali 10 minit kemudian.

Fattah berkata penjelasan dibuat berikutan kekeliruan yang timbul daripada sesetengah pihak terhadap peraturan yang menjadi dasar kepada kerajaan negeri Kelantan.

Pemimpin Umno didakwa kes dadah

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

Pemimpin Umno didakwa kes dadah
Pemimpin Umno didakwa kes dadah Datuk M mengelak wajahnya dirakam media selepas keluar dari Mahkamah Majistret ketika dibawa anggota polis, semalam.
MELAKA TENGAH - Naib Ketua Umno Bahagian Bakri, Johor, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methampetamine di Bukit Beruang, tahun lalu.

Datuk Mohamed Mustafa Abdul Kadir, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk M didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang kira-kira 6 petang pada 1 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) yang boleh dihukum penjara maksima dua tahun, didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali serta perintah pengawasan tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban meminta mahkamah memberikan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam Salmi Hamdan Sabran merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan berikutan anak guamnya sudah memberikan kerjasama sepenuhnya semasa siasatan dijalankan sebelum ini.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan mengekalkan jumlah diminta Shazreen Nadia selain menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 27 April ini untuk laporan kimia dan serahan dokumen.

Sanggupkah Pas putus tahaluf siyasi dengan PKR?

Pas PKR
SHAH ALAM - Muktamar Pas ke-63 pada hujung bulan ini, dilaporkan bakal menjadi penentu sama ada parti Islam itu akan menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR atau mengekalkannya berikutan usul yang diluluskan beberapa kawasan Pas di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu agar kerjasama politik dengan PKR ditamatkan.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi berkata, isu tahaluf siyasi Pas-PKR akan menjadi topik perbincangan pada muktamar kali ini.

Persoalannya sanggupkah Pas berbuat demikian? Jika benar tahaluf siyasi Pas-PKR berakhir, ia dilihat boleh memberi kesan besar kepada kerjasama politik dalam pentadbiran kerajaan Selangor, yang diterajui PKR, berbanding dengan negeri-negeri lain.

Ini bakal meletakkan Pas dalam keadaan sangat canggung untuk terus berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor jika ia memutuskan hubungan dengan PKR.


Ada tiga anggota Exco kerajaan Selangor daripada Pas iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad (Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar); Zaidy Abdul Talib (Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri AsasTani) serta Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi).

Pada masa ini, Pas Selangor berpendirian untuk mengekalkan status quo dan akan akur terhadap apa jua keputusan pucuk pimpinan parti, jika Pas memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Hubungan antara Pas dan PKR tegang selepas parti pemerintah kerajaan negeri Selangor itu bertegas untuk mengekalkan kerjasama dengan DAP dan menjalin hubungan dengan Amanah, parti serpihan Pas.

Keadaan semakin meruncing apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR, menyindir Ketua Pemuda Pas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang kalah dalam pemilihan Pas Kawasan Pengkalan Chepa di Kelantan, 18 Mac lalu.

Kritikan Mohamed Azmin itu susulan kenyataan Nik Mohamad Abduh bahawa parti itu akan menawan Selangor pada PRU akan datang.

Penganalisis politik, Che Hamdan Che Mohd Razali daripada Universiti Teknologi MARA Kampus Raub, Pahang menggambarkan hubungan Pas dan PKR di Selangor sebagai 'hubungan cinta-benci' disebabkan yang mengikat kedua-duanya adalah kuasa, atau lebih tepat lagi sebuah kerajaan negeri.

"Maka ada kalanya antara pemimpin mereka akan tersasar atau terlanjur memberi komen sama ada dalam bentuk sindiran atau kritikan kerana sememangnya itu adalah perasaan yang terpendam selama ini. Namun, mereka saling memerlukan dalam meneruskan penguasaan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor," katanya kepada Bernama.

​​​​​Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi itu berpendapat, walaupun ada usul pada muktamar bagi mendesak pucuk pimpinan parti memutuskan kerjasama politik dengan PKR, perkara itu tidak akan direalisasikan sebelum Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor dibubarkan.

Katanya, pimpinan Pas dan PKR di Selangor setakat ini mempunyai persefahaman dalam mempertahankan kerajaan negeri dan pada masa sama masih mahu menjaga nama baik kerajaan negeri di mata rakyat Selangor.

"Kedudukan yang dimiliki oleh pemimpin Pas di Selangor adalah satu kelebihan untuk mereka meneruskan perjuangan parti dan pada masa sama menarik lebih ramai lagi penyokong melalui program berskala besar yang dianjurkan atas platform kerajaan negeri," jelasnya.

Sedemikian, kata beliau pemimpin Pas Selangor mengambil langkah mengelakkan konfrontasi dengan PKR kerana usaha dan gerak kerja selama ini terutama pasca pilihan raya umum (PRU) 2008 menunjukkan mereka saling memerlukan antara satu sama lain, ditambah dengan kedua-dua parti itu mempunyai bilangan kerusi Dun yang sama.

Dun Selangor mempunyai 56 kerusi iaitu DAP (14), PKR (13), Pas (13), BN (12), Amanah (dua ) dan Bebas (dua).

Bagi pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat, pengakhiran kerjasama politik antara Pas dan PKR bakal memberi kesan terhadap pentadbiran kerajaan Selangor.

Namun, ia tidak sampai ke tahap berlakunya pertukaran jawatan dalam kepimpinan berikutan sudah menghampiri penghujung penggal.

Sebaliknya, penganalisis politik itu berpendapat kesan sebenar penamatan kerjasama politik adalah pada PRU akan datang di mana ketika itu Pas 'akan menjadi rebutan'.

Apabila tiba masanya nanti Pas perlu menyatakan pendiriannya sama ada akan bertahaluf siyasi dengan BN atau Pakatan Harapan atau pun memutuskan untuk bergerak secara sendirian.

"Pas sekarang kiranya jadi anak emas yang menjadi rebutan dua pihak. Untuk pembentukan kerajaan persekutuan dan negeri Pas ada 'significant' tersendiri kerana di peringkat persekutuan Pas sasar 40 kerusi Parlimen pada PRU akan datang dan ini besar kesannya ke mana Pas akan berpihak.

"Peranan dan pengaruh Pas di Selangor juga besar dan tidak dapat dinafikan oleh PKR. Mohamed Azmin kalau dia nak kedudukan terus mantap dia mesti berbaik dengan Pas. Di sinilah... kalau Pas nak tunjuk kekuatan, dia putuskan hubungan (dengan PKR), (kesannya) ini akan ganggu pengaruh Mohamed Azmin di Selangor dan PKR sendiri," katanya.

Muktamar Pas akan diadakan di Alor Setar, Kedah dari 27 April hingga 1 Mei ini. - Bernama

PM DIMINTA SEGERA UMUM SENARAI TUGAS-TUGAS KHAS HISHAMUDDIN KEPADA RAKYAT.

Kenyataan Media.

1. Pentadbiran Najib perlu untuk mengumumkan kepada rakyat apakah keperluan melantik sepupunya Datuk Seri Hishamuddin Tun Husein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas (MTTK) yang pastinya melibatkan dana awam.

2. PM juga perlu untuk melaporkan secara telus kepada rakyat tentang prestasi kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang secara rasminya bertanggungjawab penuh untuk membantu tugas-tugas yang diarahkan oleh PM pada bila-bila masa dan ketika. Adakah Zahid  Hamidi gagal mencapai KPI sebagai TPM?

3. Pengumuman Hishamuddin mengenai antara tugas-tugas khas beliau ialah untuk memantau isu keselamatan di Sabah adalah tidak munasabah dan melucukan. Adakah tidak cukup kedudukan sebagai Menteri Pertahanan bagi menjamin keselamatan di Sabah atau satu sindiran sinis terhadap Zahid Hamid sebagai Menteri Dalam Negeri yang tidak cekap menjalankan tugasnya?

4. Sekiranya beginilah cara PM Najib mengurustadbir negara ini, adalah sangat malang bagi rakyat negara ini memiliki PM yang sangat lemah kewibawaannya. Dengan kewujudan 8 Menteri di JPM, Najib masih memerlukan seorang lagi Menteri untuk menjalankan tugas-tugas khas? Ternyata ini adalah merupakan satu lagi pembaziran tenaga dan wang rakyat.

5. Adakah  kemungkinan tugas-tugas khas yang Najib pertanggungjawabkan itu adalah tugas-tugas "rahsia dan kotor" untuk membersihkan golongan tertentu dalam beberapa isu dan skandal mega seperti 1MDB, MO1, Felda, Tabung Haji dan lain-lain?

6. PM mesti menjelaskan segera kepada rakyat tentang isu tugas-tugas khas Hishamudin yang menjadi misteri sekarang ini. Rakyat menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam masalah yang sangat melucukan ini.

*#AmanahDemiNegara*

*SALAHUDDIN HAJI AYUB*
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
19 April 2017





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...