TERKINI :

Monday, April 10, 2017

ADUN PENGKALAN KUNDUR telah bertemu 4 mata dengan MB KEDAH tengahari tadi..

BismillahirRahmanirRahim

PERHATIAN!!!!

BERITA TERKINI KEPADA PENDUDUK KAMPUNG TEPI LAUT, KUALA KEDAH

Saya telah menerima memorandum dari wakil penduduk yang terlibat dengan projek Aman Laut Kuala Kedah hari ini sempena sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.

Alhamdulillah, saya telah mengambil tanggung jawab dan berjaya menyampaikan sendiri memorandum berkenaan kepada MB dalam pertemuan 4 mata di pejabat beliau sekitar jam 12.30 tengahari hari ini 10 April 2017.

Beliau telah mengambil maklum tuntutan berkenaan dan berjanji untuk berbincang dengan CEO Permodalan Kedah Berhad (PKB). Setelah perbincangan, beliau menyatakan kepada saya bahawa pembangunan mesti dan akan mengambilkira kesan kepada penduduk sekitar. Saya menawar diri untuk turut serta dalam perbincangan antara penduduk dengan pihak berkuasa.

Selepas keluar dari bilik MB, saya bertemu pula dengan Setiausaha Sulit MB dan dimaklumkan kepada saya CEO PKB telah diarah bertemu MB pada jam 2.30 petang tadi. Saya akan membuat tindakan susulan dengan pihak pejabat MB besok pagi (11 April 2017) untuk memgetahui kedudukan terkini. 

Harap Ketua Pemuda AMANAH Kedah, Sdr Mohd Asmirul Anuar Aris sebagai penghubung penduduk terlibat akan dapat memaklumkan kepada penduduk maklumat ini dan saya berharap satu perjumpaan dengan pihak PKB selepas mereka diarah oleh MB untuk meneliti semula tuntutan pihak penduduk.

Sekian

Dato Phahrolrazi Mohd Zawawi
ADUN Pengkalan Kundor
Timbalan Pengerusi AMANAH.Kedah

Negaraku - adakah ia masih milikku?

Pada Sabtu, 8 April lalu saya bertukar-tukar fikiran dengan kira-kira 40 orang anak muda di Port Dickson. Kita bercakap tentang peri pentingnya generasi muda mengambil peranan besar dalam hal ehwal negara.

Sebelum majlis bermula kita menyanyikan lagu Negaraku.

Sebagai mengusik pemikiran mereka, saya berkata hatta daripada lagu kebangsaan itu pun kita boleh mengambil iktibar dan memulakan proses pemikiran kritis.

Saya tanya mereka, adakah negaraku tanah tumpahnya darahku itu masih milik mereka?

Yang saya tahu, banyak harta negara telah dijual dan digadai bagi menimbus bangkai skandal 1MDB, SRC dan berbagai-bagai kecurian lagi.

Adakah rakyat hidup bersatu dan maju?

Rasa-rasanya tidak lagi. Terlalu banyak musibah, penipuan, pembohongan dan propaganda murahan telah memecahbelahkan rakyat jelata.

Dan pastinya negara kita tidak semaju dahulu lagi. Terlalu banyak masalah melanda ekonomi dan kewangan negara kerana ketidakcekapan, pemborosan dan hutang yang mencecah awan.

Kecuali segelintir golongan elit perniagaan, politik dan perkhidmatan awam, majoriti rakyat jelata ditekan dan dibebani kenaikan kos rasa hidup, pengangguran, kejatuhan nilai ringgit dan GST.

Rahmat bahagia Tuhan Kurniakan. Tuhan tidak menyisihkan kita. Tetapi adakah kita mensyukuri rahmat yang Tuhan kurniakan? Atau apakah kita sedang ditimpa balasan kerana kemungkaran kita?

Dan akhir sekali adakah raja kita selamat bertakhta apabila ada raja yang menuduh pingat kebesaran negeri dan negara sedang dijual-beli dengan harga berjuta?

Berfikir dan bertindaklah jika kita masih sayang dan pedulikan kepada negara kita.

DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Inilah jawapan Mat Bashah bilamana rakyat pie cari dia di pejabat siang tadi..

Tindakan Mahfuz serbu DUN kurang sopan, kata MB Kedah

Bernama

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyerbu masuk bagi menyerahkan memorandum bantahan kepadanya sebaik sidang Dewan Undangan Negeri ditangguhkan hari ini sebagai kurang sopan.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau sudahpun mengarahkan pegawainya supaya menerima memorandum tersebut bagi pihak beliau seperti amalan biasa yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin kerajaan sebelum ini.

“Namun tindakan Mahfuz enggan menyerahkannya kepada wakil saya sebelum menyerbu beramai-ramai masuk ke dalam dewan adalah tidak sopan dan saya tidak fikir ia boleh diterima oleh mana-mana pihak.

“Mahfuz sepatutnya memahami perkara itu dan beliau ada peluang untuk berjumpa saya untuk bertanyakan hal itu di masa lain kerana saya (bersikap) terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mahfuz hadir bersama-sama 14 penduduk yang membantah tanah mereka di Kampung Baru, Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang yang didakwa mahu diambil oleh Permodalan Kedah Berhad bagi tujuan pembinaan rumah kakitangan kerajaan.

Ahmad Bashah turut mempersoalkan niat Mahfuz itu yang tidak ubah seperti mahu mencari populariti sekali gus menutup kelemahannya di kawasan yang diwakilinya

Mat Bashah ''lari sembunyi'' apabila ada rakyat berkunjung ke PEJABAT MB untuk bertemu dengannya.

BismillahirRahmanirRahim

MB BASHAH LARI SEMBUNYI




Dua kumpulan penduduk, satu dari Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah dan yang kedua dari Bukit Pinang, Pokok Sena ingin hantar memorandum kepada MB Bashah hari ini sempena sidang DUN berkaitan masalah mereka yang dihalau dari penempatan asal mereka kerana tapak berkenaan diserah kepada pemaju.

Walaubagaimana pun MB Bashah menghilangkan diri .... sup sap sup sap keluar dari Sidang DUN dan hilang dan hanya meninggalkan wakilnya untuk menerima memorandum tersebut.




Memorandum yang sama diserahkan juga kepada Dato Phahrolrazi Mohd Zawawi, ADUN Pengkalan Kundor dan Dato Amiruddin Hamzah, ADUN Anak Bukit (Ketua Pembangkang Kedah) serta ADUN Kubang Rotan, Nasir Mustafa dan selepas itu sidang media telah diadakan berkaitan isu berkenaan.

Turut hadir: Dato' Mahfuz Bin Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, Tuan Mohd Asmirul Anuar, Ketua Pemuda AMANAH Kedah, Ustaz Megat Mohd Radzi, Ketua Pemuda Kuala Kedah.

Aris Awang

Rafizi menjawab persoalan RM20juta dari tokoh cina.

Hanya sekali Hadi sebut perkataan 1MDB di parlimen


Saya memerhatikan gelagat pimpinan Umno dan jentera propaganda mereka lintang pukang menyerang saya apabila saya menimbulkan isu dana 1MDB yang dipindahkan dari akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim mengeluarkan kenyataan menyerang saya kononnya menaburkan "fitnah".

Lebih menarik, serangan pertama terhadap saya ialah dari Raja Petra Kamaruddin, pelarian politik yang lari dari undang-undang negara dan berselindung dengan hidup yang mewah di Manchester, United Kingdom.

Seperti biasa, Raja Petra menerbalikkan isu yang saya timbulkan dengan menuduh saya menerima RM20 juta dari seorang yang bernama John Soh.

Berita temberang dari Raja Petra selama ini tidak dihiraukan oleh orang terpelajar dan pengundi atas pagar, sebab itu saya tidak pernah melayan Raja Petra sebelum ini.

Saya cukup kenal perangai Raja Petra kerana semasa beliau mengendalikan laman "Free Anwar Campaign", saya adalah pengendali laman itu yang kedua sebagai langkah kelangsungan jika beliau ditahan.

Saya jugalah orang yang mengusahakan agar dua orang anak lelakinya dipindahkan ke United Kingdom dan kami (reformis Malaysia di UK ketika itu) sama-sama menjaga dan membiayai anak-anak Raja Petra pada ketika itu.

Tetapi sementara berita Raja Petra itu tidak perlu dipedulikan, arah serangan Raja Petra itu menggambarkan strategi propaganda penyokong Datuk Seri Najib kerana umum mengetahui Raja Petra menerima arahan dari penyokong Datuk Seri Najib.

Apabila Raja Petra lebih cepat menyerang saya dari pimpinan PAS sendiri memberi reaksi kepada isu yang saya timbulkan, itu mengesahkan bahawa Umnolah yang paling bimbang jika saya buktikan kelak bahawa memang benar ada wang 1MDB dari akaun peribadi Najib yang akhirnya sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS.

Ini kerana strategi "memegang" PAS adalah satu-satunya strategi yang Najib ada untuk kekal berkuasa.

Strategi "memegang" PAS ini juga yang mengekalkan Najib sebagai presiden Umno kerana pimpinan-pimpinan bahagian Umno (yang ramainya adalah wakil rakyat) cukup menyokong strategi pertandingan tiga penjuru yang dibawa Najib kerana mereka yakin itu akan memberi kemenangan mudah kepada mereka dalam keadaan mereka (dan Umno) cukup tidak popular.

Bagi mereka, pemimpin Umno yang boleh menjamin perut mereka kekal kenyang, itulah pemimpin yang wajar dikekalkan.

Sebab itu mendedahkan muslihat Najib "memegang" PAS melalui RUU355 ini cukup penting kerana RUU355 telah disalahgunakan untuk mengekalkan kekuasaan Najib.

Tindakan menghalang perbahasan di Parlimen bertujuan mempengaruhi penyokong PAS dan pengundi atas pagar kononnya Pakatan Harapan anti Islam kerana mengikut telunjuk DAP.

Buktinya dalam tiga hari lepas, serangan yang mengkafirkan saya dan menuduh saya penentang Islam menghujani saya di laman Facebook saya dan Twitter.

Saya sedikit pun tidak terkesan kerana saya tahu jumlah yang bersetuju dengan saya (melalui "like" dan "share") adalah jauh lebih tinggi berbanding pentaksub yang memaki hamun berkali-kali secara berjemaah di ruang komen.

Namun pimpinan PAS sepatutnya sedar mereka sudah terperangkap sekali lagi dengan muslihat Najib.

Apabila pengundi atas pagar melihat sendiri ghairahnya penyokong akar umbi PAS mengkafirkan saya dan mengulangi fitnah yang dimulakan oleh Umno (misalnya menidakkan skandal NFC seolah-olah keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak pernah membeli kondominium dengan wang rakyat), pengundi atas pagar akan melihat Umno dan PAS kini sudah tidak banyak berbeza: mereka sudah senada.

Itulah kehendak Najib dan muslihatnya: supaya PAS terkalih dan tidak memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar mudaratnya kepada rakyat iaitu skandal 1MDB dan kesan kewangannya kepada rakyat, dengan menjadi parti satu isu iaitu RUU355 semata-mata.

Sebab itu semakan saya kepada semua ucapan Yang Berbahagia (YB) Marang di Parlimen sejak Parlimen ini dibuka selepas PRU13 menunjukkan YB Marang hanya pernah menyebut perkataan 1MDB sekali sahaja.

Saya sertakan di dalam lampiran analisa ucapan YB Marang di Parlimen sejak Jun 2013 sehingga kini untuk menunjukkan bagaimana beliau seolah-olah mengelak dari memberi komen kepada isu 1MDB.
Setelah hampir 4 tahun bersidang dan Parlimen ini kian sampai ke penghujungnya, YB Marang hanya pernah menyebut 1MDB hanya sekali sahaja sedangkan punca utama masalah negara sejak tahun 2011 lagi adalah 1MDB.

Akibat sikap YB Marang yang tidak mahu menyentuh isu 1MDB yang disabitkan dengan Najib ini, Umno nampak yakin menang dalam PRU14 sedangkan ia berada pada tahap paling tidak popular sejak 1946 lagi.

Saya akan mendedahkan nama tokoh yang menerima dana 1MDB dari akaun Datuk Seri Najib yang disiasat oleh SPRM itu dalam masa terdekat.

Mengenai serangan media propaganda dan blogger Umno seperti Raja Petra konon saya menerima RM20 juta dari seorang tokoh Cina, saya hanya perlu memberi reaksi berikut:
  1. Jika saya menerima dana itu, saya telah lama ditangkap oleh polis dan SPRM kerana ada bukti saya menerima rasuah
  2. Harta saya diisytiharkan secara telus setiap tahun yang menunjukkan simpanan saya semakin sedikit. Harta saya tidak pernah mencecah RM20 juta seperti yang difitnahkan oleh Raja Petra
  3. Saya akan membuat akuan berkanun minggu ini menafikan pernah menerima apa-apa wang dari sesiapa seperti yang dituduh oleh Raja Petra. Jika penafian melalui akuan berkanun itu tidak benar, pihak berkuasa boleh menahan saya serta merta dan didakwa kerana melanggar Akta Akuan Berkanun

Debat buntu, Dr M 'tabur' soalan 1MDB di blog


Selepas kebuntuan debatya dengan menteri Umno Datuk Seri Nazri Aziz, Tun Dr Mahathir Mohamad memilih blog untuk menghamburkan persoalan-persoalan berkaitan.

Debat itu bertujuan membincangkan isu berkaitan 1MDB, dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak dan skandal BMF di era Mahathir.

Mahathir hari ini terus mendakwa perdana menteri terlibat dalam skandal 1MDB, walaupun Najib menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Mahathir juga menegaskan terdapat cubaan menutup skandal itu, yang juga dinafikan kerajaan.

"Oleh kerana debat tidak dibenarkan, saya percaya rakyat Malaysia hilang peluang untuk mendengar penjelasan Nazri terhadap persoalan penting yang akan bangkitkan.

"Soalan-soalan ini berdasarkan dakwa yang diketahui dan bukan tuduhan luar atau spekulasi," katanya.

Mahathir antaranya membangkitkan pengelasan laporan berkaitan 1MDB yang dikelaskan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan kes berkaitan 1MDB di mahkamah Singapura yang menyaksikan bekas-bekas pegawai bank disabitkan bersalah.

Menteri - Harga minyak dijangka naik minggu ini



Serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah pangkalan udara Syria baru-baru ini mungkin akan memberi kesan terhadap harga minyak dunia, kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan dilaporkan berkata ia sekali gus boleh memberi kesan terhadap Malaysia.

"Penetapan harga minyak di Malaysia adalah berdasarkan harga bahan api dunia, justeru sekiranya harga minyak di peringkat dunia meningkat, sudah pasti harga petrol dan diesel di Malaysia akan turut naik.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenainya (harga minyak).

"Kerajaan telah pun melaksanakan kaedah pengapungan terkawal secara mingguan bagi penetapan harga minyak bagi menggantikan kaedah sebelumnya iaitu secara bulanan," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2016 dan Pelancaran Buku

Kod Etika dan Tatakelakuan Warga Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Tentera Amerika, Jumaat lalu, melancarkan serangan peluru berpandu atas pangkalan udara Syria sebagai tindak balas kepada serangan kimia di kawasan pemberontak.

Kira-kira 50 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan dari kapal perang tentera laut AS di Laut Mediterranean.

Susulan serangan itu, harga minyak mentah dilapor meningkat 1.3 peratus kepada AS$55.60 pada hari yang sama.

Rafizi Ramli, pemimpin pembangkang yang sering memantau turun-naik harga minyak, menjangkakan kenaikan antara 10sen hingga 20sen seliter, bergantung kepada reaksi pasaran dunia.

Kementerian sebelum ini mengumumkan harga runcit mingguan bagi petrol RON95 naik tiga sen kepada RM2.16 seliter, RON97 naik dua sen kepada RM2.43 seliter manakala diesel turun tiga sen kepada RM2.08 seliter berkuat kuasa 6 hingga 12 April ini.

Apabila speaker DUN KEDAH tolak usul DAP berkenaan "ISU TANAH RIZAB MELAYU"

SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH TOLAK USUL DAP.

26 MAC 2017 Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Derga dari DAP, YB Tan Kok Yew telah memasukkan suatu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 26, Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri supaya Dewan membincangkan tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengisytiharkan di dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahawa semua bank dan institusi kewangan yang ditubuhkan melalui undang-undang bertulis Malaysia sebagai "Melayu" bagi maksud Enakmen Tanah Rizab Melayu No. 63 Kedah.

Isu berkaitan tanah rizab melayu di Kedah ini adalah berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes Jamaluddin bin Jaafar lawan Affin Bank Berhad [2016] 1 LNS 1118 yang mana Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Affin Bank Berhad bukanlah "melayu" bagi maksud Enakmen Tanah Rizab Melayu No. 63 Kedah. Justeru gadaian yang dibuat kepada Affin Bank Berhad adalah tidak sah.

Dalam memutuskan kes tersebut, Mahkamah Rayuan merujuk kepada Jadual 2 Enakmen Tanah Rizab Melayu seperti berikut :

"Back to the present appeal, the fact that Affin Bank is a non- Malay is beyond dispute as its name does not appear in the Second Schedule to the Kedah Enactment. There are presently only two banks listed in the Second Schedule, namely Bank Bumiputra Malaysia Bhd and Bank Pertanian Malaysia Bhd. Being not listed in the Second Schedule and therefore a non-Malay, Affin Bank is prohibited by section 6 of the Kedah Enactment from holding any right or interest, including as chargee, in the Malay reservation land that had been charged to it by the appellant. "

Ekoran keputusan kes tersebut, Kerajaan Negeri Kedah melalui Pengarah Tanah Dan Galian telah pada 16/11/2016 mengarahkan semua Pejabat Tanah Daerah di Kedah untuk menangguhkan pendaftaran semua urusan gadaian Tanah Rezab Melayu kepada institusi kewangan yang tak disenaraikan di dalam Enakmen. Ini menimbulkan kegelisahan pelbagai pihak termasuk pemaju perumahan, institusi kewangan, masyarakat dan juga pengamal undang-undang.

Setelah sebulan berlalu,  Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dalam mesyuaratnya pada 11 Januari 2017 telah mengisytiharkan antara lain bahawa Jadual 2 Enakmen Tanah Rizab Melayu No. 63 sebenarnya tidak wujud.

Amat pelik bagaimana Jadual 2 tersebut tidak wujud sedangkan peguam-peguam dan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan merujuk kepada Jadual tersebut dalam kes yang telah diputuskan.

Kemudian pada 12 Januari 2017 Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian mengeluarkan surat memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk mengisytiharkan institusi kewangan yang ditubuhkan di bawah undang-undang bertulis di Malaysia sebagai Melayu di bawah Enakmen dan seterusnya membatalkan arahan pada November 2016.

Tindakan ini sebenarnya hanya gula-gula yang pada awalnya nampak sedap tetapi hakikatnya meletakkan ramai pihak di dalam risiko. Pihak pemaju perumahan mungkin lega kerana rumah-rumah boleh dijual. Pihak institusi kewangan mungkin juga lega kerana mereka boleh meneruskan transaksi melibatkan tanah. Masyarakat juga lega kerana boleh membeli dan membina rumah dengan mendapatkan pinjaman kewangan dari institusi kewangan. Para peguam juga boleh menyambut baik kerana semua urusan melibatkan tanah rizab melayu boleh kembali berjalan. Tetapi perlu diingat bahawa sehingga sekarang keputusan Mahkamah Rayuan masih sah kerana rayuannya masih belum diputuskan.

Tindakan Kerajaan Negeri pimpinan Umno/BN mengisytiharkan melalui Mesyuarat Exco tidak menyelesaikan masalah sebaliknya meletakkan risiko kepada banyak pihak dan memberikan contoh yang tidak baik kepada rakyat.

Bagaimana Kerajaan Negeri boleh isytiharkan begitu sahaja sedangkan keputusan Mahkamah Rayuan masih sah. Ini jelas melanggar keputusan Mahkamah. Adakah Kerajaan Negeri hendak menyatakan mereka boleh mengatasi keputusan mahkamah? Bagaimana transaksi gadaian boleh diteruskan jika ianya melanggar keputusan mahkamah?

Pihak-pihak lain seperti pemaju, institusi kewangan dan pembeli rumah berisiko segala transaksi menjadi tidak sah. Para peguam juga berisiko dalam menasihati pelanggan dalam transaksi yang boleh tidak sah. Ini amat berisiko dan Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab.

Semua ini hanya boleh diselesaikan di dalam Dewan Undangan Negeri. Kerajaan perlu jelaskan kedudukan isu ini di dalam Dewan. Kerajaan perlu meminda Enakmen jika mahu mengisytiharkan semua institusi kewangan sebagai melayu. Selagi Enakmen tidak dipinda selagi itu masalah ini berlanjutan dan meletakkan risiko kepada banyak pihak. Adakah Kerajaan Negeri bersedia meminda Enakmen dan jika ya, bila?

Kerajaan Negeri tidak boleh melepaskan tanggungjawab begitu saja dan meletakkan risiko ke atas banyak pihak.

Tindakan Speaker Dewan menolak usul ini dibincangkan di dalam Dewan amat tidak meunasabah dan jelas memperlihatkan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan Umno tidak mengambil berat isu tanah rizab melayu.

ZULHAZMI SHARIFF
10 APRIL 2017

Dr M yang pecah belahkan pembangkang, kata PAS

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang parti itu memecahbelahkan umat Islam melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibentangkan presidennya Khamis lalu.

Sebaliknya, Idris Ahmad berkata, bekas perdana menteri itu yang memecahbelahkan pembangkang.

“Macam mana RUU 355 memecahbelahkan orang Islam, kalau orang tak ikut dia (Dr Mahathir) anggap PAS memecahbelahkan (Islam)? Dulu pun sama, anggap PAS macam itu selama 22 tahun.

“Sekarang dah jadi pembangkang nak kata (PAS) memecahbelahkan juga. Sejarah membuktikan Dr Mahathir yang memecahbelahkan (pembangkang). Contohnya wujud PKR,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dilaporkan berkata, RUU 355 yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertujuan memecahbelahkan umat Islam kerana ia sebenarnya tiada kaitan dengan agama Islam.

“Agama Islam tidak menyusahkan kita membuat sesuatu untuk memecahbelahkan orang Islam, ia digunakan untuk politik sebuah parti.

“Dalam negara kita ada masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama, kita mesti sensitif terhadap agama lain kerana dalam Islam kita kena menghormati agama lain dan kita tidak boleh memaksa orang berasa takut kepada Islam,” kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Idris menasihatkan Dr Mahathir belajar cara menjadi pembangkang terlebih dahulu, sebelum memberi nasihat kepada PAS yang sudah lama menjadi pembangkang.

Naib presiden PAS itu berkata, sebagai pembangkang, Dr Mahathir sepatutnya menyasarkan BN dan Umno, bukannya sesama parti pembangkang.

“Lawan kerajaan Barisan Nasional (BN), Umno sudahlah. Kita nasihat dia lawan Umno sebab mana ada parti di Malaysia, pembangkang lawan pembangkang,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Idris berkata, PAS menyerahkan urusan menyaman Editor Sarawak Report kepada peguam mereka di United Kingdom.

“Itu urusan peguam kita di sana. Saya tidak tahu dan tidak ada dimaklumkan.”

Semalam, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berkata, beliau belum menerima sebarang notis saman, meskipun sudah lebih 3 bulan tarikh akhir bagi pihaknya memenuhi tuntutan PAS berhubung laporan mendakwa pucuk pimpinan parti itu menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak, berakhir.

Ia selepas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang peguam PAS di United Kingdom sudah menghantar surat tuntutan kepada Sarawak Report pada 13 Disember lepas.

Surat itu mengandungi 3 tuntutan – menggesa Sarawak Report menarik balik artikel bertarikh 6 Ogos 2016, mengeluarkan permohonan maaf mengikut terma dipersetujui PAS dan Sarawak Report memberikan jaminan tidak akan menyiarkan tuduhan palsu pada masa depan.

Tempoh 7 hari itu berakhir 20 Disember lepas.

Sarawak Report pada Ogos 2015 mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS dan transaksi itu salah satu usaha Najib untuk “menarik” kepimpinan PAS menyokong BN dan Umno.

REAKSI DATUK MAHFUZ OMAR TERHADAP KENYATAAN MURSYIDUL AM PAS

"Saya orang paling sayang kepada Pas. Orang kata saya menongkah arus. Sebenarnya saya dalam arus."

"Saya cuba selamatkan Pas. Saya mahu Pas kembali ke landasan bersama kebangkitan rakyat."

"Ada orang kata saya bukan ahli. Saya tak terkesan dengan apa tanggapan orang kepada saya. Walaupun orang halau. Ini bagi saya sunnah perjuangan. Saya bersama kebangkitan rakyat."

Dato' Mahfuz Omar

AMANAH : Gubal akta bolehkan parlimen pecat PM, menteri


Faiz Fadzil

Pemuda Amanah mencadangkan penggubalan Akta Kebertanggungjawaban Menteri (Ministerial Responsibility Act) bagi memastikan jemaah Menteri, terutama Perdana Menteri lebih bertanggungjawab kepada Parlimen bertujuan mereformasi institusi parlimen.

Menerusi akta ini, peruntukan-peruntukan tertentu berkaitan prosedur dan kaedah penjelasan oleh Menteri berkaitan sebarang isu yang dibangkitkan di Parlimen digubal dengan Menteri berkenaan hendaklah meletak jawatan jika didapati melanggar akta tersebut.

Ketika menyarankan perkara ini, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil kesal kerana sidang Dewan Rakyat yang baru berlangsung gagal menyelesaikan isu utama yang mengancam demokrasi dan ekonomi negara iaitu skandal 1MDB apabila perbahasan berkaitan isu tersebut dilarang Speaker Dewan Rakyat.


"Amat malang isu yang sebegitu penting tidak dibenarkan untuk dibahaskan, apatah lagi ia telah dimanfaatkan kerajaan untuk mengelak daripada menjawab kepada Parlimen.

"Skandal 1MDB ini memberikan kesan negatif kepada integriti negara di mana Perdana Menteri sendiri didakwa menyeleweng dana 1MDB untuk kegunaan peribadi dan seharusnya isu ini dijawab oleh beliau di dalam Parlimen," katanya.

Menurut Faiz, parlimen adalah teras sistem demokrasi bagi sesebuah negara yang mengamalkan sistem 'Westminster Constitution' seperti Malaysia.

Menteri termasuk Perdana Menteri, ujarnya perlu mempunyai tanggung jawab kepada Parlimen ke atas segala tindakan sama ada dalam kapasiti menteri atau peribadi.

Seseorang Menteri termasuk Perdana Menteri, tambah beliau perlu hadir ke Parlimen untuk menjawab dan menjelaskan apa-apa isu yang terpalit seperti skandal 1MDB yang melibatkan elemen jenayah dan penyelewengan wang negara.

"Walaupun Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan tanggungjawab bersama Jemaah Menteri kepada Parlimen, namun intipati dan semangat Perlembagaan ini tidak diamalkan oleh Parlimen Malaysia.

"Speaker Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas proses demokrasi Parlimen seharusnya menjunjung tinggi kehendak Perlembagaan ini," katanya.

Tambah beliau, Akta Kebertanggungjawaban Menteri berjaya diamalkan dengan baik di Parlimen Britain bagi memastikan kebertanggungjawaban Menteri ke atas salahlaku Jemaah Menteri.

Sebagai contoh, bekas Menteri Tenaga Chris Huhne yang meletak jawatan setelah didapati bersalah menyalahgunakan proses undang-undang dengan meminta bekas isteri beliau didenda atas kesalahan beliau sendiri memandu melebihi had laju, 10 tahun sebelum itu.

Bagaimanapun di Malaysia, beliau kesal kerana salah laku Perdana Menteri dalam skandal 1MDB dilepaskan begitu sahaja.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, beliau khuatir sistem demokrasi berparlimen akan mati kerana tiada lagi fungsi semak imbang yang baik dan sah.

"Institusi Parlimen hendaklah dipelihara sebagai teras amalan sistem demokrasi dan seharusnya diangkat dengan reformasi menyeluruh agar keluhuran Perlembagaan terus subur dan diperkasakan," tegasnya.

DAH HABIS KA LEBAI YANG BERANI?

Sebelum ni aku ajak NYDP Lebai Kawasan Sik untuk berwacana isu perjuangan talian hayat depa. Siap hantar surat rasmi. Sampai ke hari ni jawab pun tidak sebaliknya buat2 tak kenai.

Malam tadi aku ajak NAIB PRESIDEN melalui whatsapp.. dah baca tapi sampai hari ni tak berjawab:

Takkan nak suruh aku ajak PRESIDEN kot?? Aku pun reti kedudukan aku tak la sampai tahap tu tapi pak2 lebai ni semua dah tak ada yg berani ka?

Kalau ada pun cybertrooper bangang yg tak ada rupa lps tu nak berdebat kat fb... kahhhhhh bodoh kan...

Sekali lagi la aku nak ajak mana2 pimpinan lebai dlm AJK PUSAT tu, jom kita berwacana bersemuka... kita pakat bentang hujah kita.

Hujung bulan ni ada muktamar di Batu 9 Kedah. Letak 1 slot untuk kita berwacana.. jangan hangpa pulun ceramah syok sendiri tuduh org tp org tak boleh jawab..

Macamana? Mau?? Kalau tak berani malu la kat Umno.. Umno ada jugak Nazri Aziz yg berani bukan mcm Rahman Dahlan.

Zulhazmi Shariff





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...