TERKINI :

Friday, April 7, 2017

Tahniah.. atas jiwa besar YB PAS yang buang posting "gelagat mp sekat RUU355"

Terima kasih Kakanda saya YB Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff...

Malam td Kakanda saya memuatnaik posting spt di dalam gambar & saya telah komen dalam posting tersebut.  Tadi saya cuba buka posting tersebut saya dapati telah tidak dpt diakses yg saya percaya telah dibuang. Jika benar telah dibuang, saya amat menyanjung tindakan tersebut krn posting tersebut amat jauh dari realiti sebenar & menjurus kpd perpecahan & fitnah.

Ini bukti jiwa besar Kak Lah. Kepada rakan2 lain, sama2 kita hormat menghormati dlm apa jua perbezaan pendapat antara kita InsyaAllah perbezaan pendapat itu ada hikmahnya.

Zulhazmi Shariff

K'jaan tak bentang RUU 355 bukti konsensus BN utuh, kata Presiden MCA

07 April 2017 | BERNAMA

Tindakan kerajaan Pusat tidak membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 menunjukkan konsensus yang utuh dalam Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu yang menyatakan parti komponen BN adalah lemah dan tidak berkuasa dalam menyuarakan pendapatnya.

"Langkah yang dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) itu membuktikan suara parti komponen BN masih didengari dan diambil berat," katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama anggota MCA Bahagian Klang di sini malam tadi.


Pada 29 Mac lepas, Najib mengumumkan kerajaan Pusat tidak akan membentangkan RUU berkenaan di Parlimen dan ia kekal sebagai RUU persendirian susulan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang secara konsensus membuat keputusan itu.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Terdahulu, Liow merasmikan pembukaan Bilik Gerakan Jentera Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) MCA Bahagian Klang, di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian itu, Liow memberi jaminan pembangunan lebih pesat bakal dilaksanakan di Klang sekiranya rakyat mengembalikan mandat kepada BN pada PRU14 untuk menerajui kawasan berkenaan.

Beliau berkata mandat itu kelak akan memberi peluang kepada wakil rakyat MCA Klang membarisi Kabinet seterusnya membawa suara dan kemahuan masyarakat setempat untuk didengar kerajaan Pusat terutamanya dalam sektor pembangunan.

Kedudukan Pelabuhan Klang di tangga ke-11 sebagai antara pelabuhan tersibuk di dunia memerlukan kewujudan pelabuhan ketiga bagi memenuhi keperluan operasi perkapalan selepas Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat setakat ini.

"Disebabkan itu, MCA memohon pengundi Klang memberi mandat kepada BN mewakili kawasan ini dan kita akan bangunkan pelbagai sektor ekonomi kerana Klang mempunyai potensi tinggi untuk terus dimajukan.

"Saya beri amanat kepada MCA Klang supaya menyusun gerak kerja menyatupadukan rakyat di sini kerana komuniti Cina tidak sepatutnya diletakkan di 'luar' kerajaan Pusat yang mana kita tidak akan mendapat faedah daripadanya," katanya.

Kerusi Parlimen Klang dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pandamaran, Kota Alam Shah serta Pelabuhan Klang dimenangi pakatan pembangkang selama dua penggal sejak 2008.

Ketika komponen BN tahu RUU 355 tangguh, Pas tak tahu apa-apa

07 April 2017 | MALAYSIA DATELINE

Keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang Akta 355 yang dibentangkan presiden Pas semalam telah diketahui lebih awal para pemimpin parti komponen BN, namun tidak pula diketahui sebahagian pemimpin Pas.

Presiden MIC Dr S Subramaniam berkata, BN sudah membuat keputusan supaya tidak berlakunya pengundian bagi usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 selepas perbahasan dan huraian di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Subramaniam, mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN sudah menetapkan usul persendirian ahli Parlimen Marang itu akan dibentangkan dan dihuraikan namun tiada pengundian akan dilakukan.

“Keputusannya adalah membenarkan Pas membentangkannya dan terdapat persetujuan untuk tiada sebarang pengundian,” kata Dr Subramaniam, ketika ditemui di Parlimen, semalam.

Ahli Parlimen Segamat itu berkata, keputusan itu selari dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN.

Kali terakhir Majlis Tertinggi BN bersidang adalah pada 29 Mac apabila perdana menteri yang juga pengerusi BN mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 walaupun beberapa kali dijanjikan sebelumnya.

Keputusan itu, kata Najib dibuat sebagai menghormati konsensus BN.

Subramaniam berkata, sekiranya Speaker Dewan Rakyat tidak menangguhkan sesi perbahasan usul persendirian tersebut, MIC akan memberikan pendirian dan pendapat mereka berhubung perkara itu.

“Oleh sebab speaker tidak membenarkan perdebatan jadi MIC tidak boleh menyertainya.

“Jika speaker membenarkan pihak lain untuk berbahas, kami akan memberikan pendapat kami daripada sudut pandang Perlembagaan,” kata Dr Subramaniam dipetik The Malay Mail Online.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, konsensus yang dicapai BN adalah hanya membenarkan RUU 355 itu dibentangkan.

"Itu sebenarnya keputusan (yang dicapai BN) tetapi hanya untuk memperkenalkan (RUU 355)... dan itu sahaja," katanya ketika ditemui pemberita.

Pandikar semalam menangguhkan perbahasan usul persendirian Abdul Hadi untuk meminda RUU 355 ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang pada 24 Julai depan.

Keputusan itu dibuat selepas ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan selesai berucap menyokong usul persendirian tersebut selepas Abdul Hadi membentangkannya di Dewan Rakyat.

Namun Dewan Muslimat Pas dalam satu kenyataan yang disiarkan laman rasmi parti itu, Harakahdaily semalam berharap usul itu dapat dibahaskan dengan baik oleh ahli parlimen dan diterima akhirnya.

"Dewan Muslimat Pas mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kesempatan yang diberikan-Nya kepada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas bagi membentangkan usul pindaan akta 355 dengan penuh tenang dan jelas.

"Dewan Muslimat Pas juga mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru atas pembentangan usul tersebut. Kami harap usul ini dapat dibahaskan dengan baik oleh ahli parlimen dan diterima akhirnya," kata ketuanya Nuridah Mohd Salleh.

Sayap wanita Pas itu juga menyeru rakyat Malaysia supaya "berdoa agar usul ini diterima dan diluluskan".

Sekumpulan 11 ahli Pas juga berada di jalan utama menuju bangunan Parlimen semalam kerana menyahut seruan ketua penerangan Pas, Nasruddin Hasan agar ahli parti itu berhimpun di parlimen bagi menyokong RUU 355.

PENAMATAN PENGANJURAN PERLUMBAAN GRAND PRIX F1 PETRONAS

1. Kabinet telah bersetuju untuk menamatkan kontrak penganjuran perlumbaan Formula One (F1) bermula tahun 2018 memandangkan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding dengan kos penganjuran kejohanan tersebut.

2. Pada peringkat awalnya penganjuran F1 ini telah dapat mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia, selain mempromosi negara sebagai destinasi pilihan pelancong global.

3. Namun begitu, sudah sampai masanya Kerajaan menilai penganjuran kejohanan F1 ini dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sejak kita menganjurkan perlumbaan ini pada tahun 1999.

4. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak-pihak berkepentingan.

5. Kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun. Namun begitu, pulangan daripada menganjurkan kejohanan ini semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu.

6. Pada tahun 1999 hanya 16 buah negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij ini termasuk 2 Negara Asia, tetapi ianya kini telah meningkat kepada 21 buah negara dengan 6 Negara Asia, sekali gus mengakibatkan penurunan pulangan kepada penganjur dan negara.

7. Penamatan penganjuran ini akan membolehkan Kerajaan meningkatkan pembiayaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan.

8. Kerajaan juga akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-kart, membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, menaik taraf kemudahan di SIC di samping membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1.

9. Litar Sepang akan terus memainkan peranan penting dalam usaha kita mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia akan terus menjadi tuan rumah kepada acara sukan permotoran utama seperti MotoGP dan banyak lagi perlumbaan bertaraf nasional, serantau dan antarabangsa yang akan terus menarik pengunjung ke Malaysia.

10. Meskipun begitu, Petronas akan meneruskan penajaan ke atas Pasukan Mercedes AMG Petronas dalam perlumbaan F1 sebagai strategi pemasaran syarikat berkenaan.

11. Kerajaan Malaysia sedia maklum dan mengakui sokongan yang telah diberikan oleh Formula One Management (FOM) sepanjang penganjuran perlumbaan tersebut di negara ini sejak 19 tahun yang lalu. Saya juga ingin menzahirkan setinggi penghargaan atas persefahaman serta persetujuan FOM yang bersetuju perlumbaan F1 2017 di Sepang menjadi perlumbaan terakhir di litar tersebut.

SPRM SUDAH ADA KERTAS SIASATAN PEMINDAHAN WANG DARI AKAUN PERIBADI DATO’ SERI NAJIB

Kenyataan Media
RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
7 APRIL 2017

SPRM SUDAH ADA KERTAS SIASATAN PEMINDAHAN WANG DARI AKAUN PERIBADI DATO’ SERI NAJIB

Saya sedia maklum jawapan rasmi Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Takiyuddin Hassan kepada kenyataan saya mengenai dana berkaitan 1MDB yang dipindahkan dan sampai kepada seorang tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS sekarang. Beliau menyeru supaya saya menyerahkan bukti yang saya ada kepada SPRM supaya SPRM boleh segera menyiasat.

Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak. Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.

Oleh itu, tidak timbul soal segera menyerahkan bukti kepada SPRM seperti yang dinyatakan oleh Datuk Takiyuddin itu. Namun, saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan selepas itu, saya akan membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat merujuk kembali kepada kertas siasatannya sendiri.

Setelah saya menamakan tokoh tersebut, ia akan menjadi ujian besar kepada UMNO dan PAS seperti berikut:

1.   Pimpinan UMNO akan bergelut sekali lagi dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul oleh SPRM;

2.   Pimpinan PAS di segenap peringkat perlu menyemak sama ada mereka pernah sekali-kali menerima bantuan kewangan, derma, infaq atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang saya namakan itu kerana ada kemungkinan besar ia dana dari wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB. Sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin PAS perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan syubhah (diragui).

Saya pada mulanya tidak berniat untuk membawa isu ini tetapi episod di Parlimen semalam mengesahkan bagaimana isu penambahbaikan mahkamah syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Setelah ditangguhkan 3 kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh PAS melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak. Sementara saya bersedia untuk berbahas sepenuhnya dan memberikan pandangan bagaimana cara terbaik menambahbaik mahkamah syariah, persetujuan di luar dewan di antara Dato’ Seri Najib dan PAS (seperti yang disahkan oleh Dato’ Seri S Subramaniam, presiden MIC bahawa keputusan itu telah dipersetujui lebih awal di Majlis Tertinggi Barisan Nasional) menunjukkan Dato’ Seri Najib tidak berniat pun untuk menambahbaik mahkamah syariah.

Isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan PAS kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB. Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin PAS sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Dato’ Seri Najib yang berkisar mengenai RUU355.

Oleh itu, selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Dato’ Seri Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan PAS.

Setelah saya bersangka baik lebih setahun dan berharap agar RUU355 ini dapat dibahaskan sama seperti semua rang undang-undang yang lain, saya yakin segala yang berlaku di Parlimen, bila diambil kira pula soal dana 1MDB yang mengalir ke tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS, mewajarkan saya memutuskan bahawa PAS akan terus “dipegang” Dato’ Seri Najib selagi isu RUU355 ini dibenarkan berpanjangan.

Oleh sebab itulah, saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab saya berdepan terus dengan PAS dan UMNO sekaligus mengenai kedua-dua isu ini supaya rakyat boleh kembali kepada isu yang paling penting iaitu kebajikan rakyat yang terlalu terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang, peluang pekerjaan yang sempit dan gaji yang berkurangan.

*RAFIZI RAMLI*
*AHLI PARLIMEN PANDAN*
*NAIB PRESIDEN KEADILAN*

--

*Sumbangan* | Anda boleh menyumbang kepada INVOKE melalui invokemalaysia.org/contribute/

*Sukarelawan* | Untuk menyertai INVOKE, lawati invokemalaysia.org untuk mendaftar.

*Media* | Hantar email ke rafizi.ramli@invokemalaysia.org untuk mendapat makluman mengenai sidang media dan kenyataan media Rafizi Ramli.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...