TERKINI :

Thursday, April 6, 2017

Lapan Tahun Derita Di Bawah Najib

April 04, 2017
A Kadir Jasin

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

SEMALAM, 3 April lapan tahun lalu, saya adalah antara rakyat jelata Malaysia yang berasa lega - lega dan bersyukur tapi tidak sampai tahap gembira.

Lega dan bersyukur kerana telah menang dan "hadiahnya" adalah Mohd Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri.

Saya adalah antara orang yang secara terang dan terbuka berkempen tamatkan pemerintahan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang telah dilarikan (hijacked) oleh budak-budak tingkat empat.

(Anak, bakal menantu kemudian jadi menantu, seorang usahawan Cina, seorang wartawan dan beberapa orang budak Oxbridge.)

Hari ini saya dukacita dan berusaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib kerana ia juga telah dilarikan.

Malahan berkali-kali ganda lebih teruk daripada kerajaan Abdullah. Kerajaan Najib dilarikan oleh anak-bini, Cina Jho Low, anak tiri pembikin filem separa lucah (Raza Shahriz Abdul Aziz), Arab misteri, ketua-ketua Umno makan dedak, ketua-ketua Barisan Nasional yang oportunis dan berpuluh-puluh penasihat yang memusnahkan.

Kerajaan Najib yang menjual harta negara, menjadi boneka negara China dan “poodle” Singapura. Kerajaan yang membawa berbagai bencana, bala dan musibah kepada negara dan rakyat jelata.

Skandal 1MDB, SRC International, FGV dan Felda, beban GST, nilai ringgit yang merudum, kos sara hidup yang melambung, MH370 yang hilang lesap, MH17 yang ditembak jatuh, banjir besar, hospital terbakar dan senarainya berterusan.

Pastinya ini bukanlah contoh sebuah kerajaan dan negara yang diberkati, diredhai dan sejahtera.

Tidak ada hadiah ulang tahun untuk Najib tetapi kutukan. Buat apa kita berikan hadiah kepada beliau. Media massa arus perdana milik beliau pun nampaknya tidak meraikan ulang tahun pemerintahan beliau.

Cuma kutukan saya lebih santun daripada kutukan beliau. Najib pernah panggil peneroka Felda yang tidak sokong Umno/BN “haram jadah” dan blogger Umno yang bercakaran “bangang”.

Saya panggil dia “haram zada”. Haram daripada bahasa Arab (حرام) dan zada daripada bahasa Parsi yang bererti anak. Haram zada adalah istilah bahasa Hindustan.

Saya kata “haram zada” kerana dia baru saja cipta satu lagi rekod peribadi – personal best - yang menyusahkan rakyat jelata iaitu kadar inflasi paling tinggi dalam masa lapan tahun.

Lapan tahun Najib perintah negara inilah hadiah beliau kepada kita – kadar inflasi paling tinggi. Melebihi 4.5 peratus.

Ini bukan rekaan saya atau khabar angin yang saya pungut di tepi jalan seperti pernah dituduh oleh budak-budak suruhan Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah apa yang Bank Negara Malaysia kata.

Lagi satu contoh sumpahan era Najib. Malaysia yang dulunya negara emas tapi di bawah sentuhan beliau ia menjadi batu. Sang Kelembai pun tak seteruk itu.

Bukan inflasi saja mencecah langit. Hutang luar negara pun sama. Bank Negara kata hutang luar negara naik kepada RM908.7 bilion (RM908,700,000,000).

Najib berikan kita racun. Eloklah kita pulangkan jadam.

Maka marilah kita buat sesuatu yang konkrit dan bersejarah demi negara dan rakyat jelata - kita nyahkan Najib-BN jauh ke Laut Khalzum.

Insya Allah.

Pindaan Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau 164

1. Pindaan di atas dijangka akan dibuat dalam persidangan parlimen kali in (March-April 2017). Banyak pihak telah melahirkan rasa bimbang dan ada pula yang menyatakan masanya telah tiba untuk dipinda.

2. Kontraversi pindaan akta 164 ini ialah berkenaan dengan status anak bawah umur apabila salah seorang pasangan memeluk Islam. Adapun pindaan terhadap seksyen 51 berkenaan perceraian dibuat bagi pasangan yang memeluk Islam di mahkamah sivil tidaklah sehangat isu status agama anak bawah umur.

3. Pindaan mencadangkan,status anak bawah umur kekal atas agama asal ketika perkahwinan pasangan jika tiada penyelesaian dari kedua ibu-bapa sehinggalah anak itu memilih agamanya setelah umur 18 tahun.

4. Dalam hal ini beberapa ketetapan reaksi balas telah dibuat sejak 2009 apabila Kabinet membuat keputusan status anak kekal agama asal jika tanpa penyelesaian.

5. Persidangan ke 19 Penyelarasan Sivil dan Syariah pada 27-29 April, menetapkan status agama anak hendaklah Islam,mengikuti mana-mana pasangan yang memeluk Islam. Begitu juga dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 25 Jun 2009 memutuskan status anak adalah di atas agama Islam mengikut mana-mana pasangan yang memeluk Islam. Mereka juga berpendapat artikel 12(4) tidak perlu dipinda.

6. Tidak syak lagi pindaan ini akan mengundang kontraversi menyentuh sensitiviti agama dan hubungan antara kaum di negara ini. Apatah lagi kes-kes yang pernah berlaku lebih menampakkan kepentingan pasangan daripada membela kebajikan dan pembesaran anak yang terpaksa melalui dilema ini. Diburukkan lagi pihak luar yang mengambil isu ini sebagai semangat agama dan perkauman.

7. Saya berpendapat, kontraversi ini perlu dihadapi dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap perkara yang lebih besar dari sentimen dan perasaan iaitu nilai Kerahmatan, Keadilan dan Karamatul Insan. Inilah prinsip Maqasid Syariah yang menentukan apa sahaja keputusan yang dibuat di Mahkamah.

8. Islam mendahulukan nilai Rahmah dalam mengelak sebarang persepsi unsur pemaksaan apatah lagi bagi anak yang belum dapat menentukan pilihannya. Nilai Keadilan pula hendaklah merentasi batasan agama dalam keadaan mana-mana pasangan yang tidak Islam perlu diberi haknya sebagai ibu atau ayah. Manakala nilai Karamatul Insan adalah syarat utama sepanjang proses pertikaian berlaku dari segi kasih sayang, kebajikan dan masadepan anak yang terpaksa membesar dalam situasi sebegini.

9. Oleh itu pandangan ulamak muktabar berbeza dalam memahami prinsip ini. Mazhab Syafie, Hanafi dan Hambali menetapkan status anak berpandukan keislaman mana-mana pasangan. Pandangan Malik berbeza dengan menyatakan status agama anak berpandukan nasab (jalur keturunan) maka ia mengikut agama bapa. Jika ibunya memeluk Islam, anak kekal agama bapa yang bukan Islam. Imam Al Thawri berpendapat status agama atas pilihan anak setelah akil baligh.

10. Melusuri semua pandangan ini, pendirian status agama anak sebelum cukup umur terbuka kepada piawaian semasa atas kepentingan realiti masyarakat berbagai kaum di Malaysia yang unik.

11. Saya boleh bersetuju jika salah seorang pasangan yang memeluk Islam tidak menjejaskan kebajikan anak kerana tujuan utama Islam adalah menjaga institusi keluarga sebab itu adanya ikatan perkahwinan dan pertanggungjawaban. Mana-mana pasangan atas nama Islam sekalipun tidak memelihara hal ini pasti akan merosakkan nama baik Islam serta memberi tanggapan yang negatif terhadap kerahmatan Islam.

12. Pasangan yang berpisah kerana pengislaman salah seorang dari mereka wajib membezakan perasaan marah mereka antara satu sama lain dengan kebajikan anak yang menagih kasih sayang kedua-duanya. Itu lebih besar dan penting daripada tergesa-gesa menentukan status agama anak mereka. Hanya keutamaan ini dapat menentukan kejujuran masing-masing terhadap kasih mereka kepada anak-anak.

13. Status agama anak dalam pindaan akta 164 bukan soal menggadaikan aqidah ataupun menidakkan kepentingan Islam tetapi ia mesti diletakkan atas piawaian tujuan utama Syariat Islam didatangkan iaitu menjaga AGAMA.

14. Yang dimaksudkan menjaga AGAMA ialah pilihan agama tidak boleh dicemari dengan pemaksaan, menafikan kasih sayang dan memporak-perandakan kehidupan anak-anak yang tidak berdosa. Sesungguhnya syarat paling utama menerima Islam ialah sempurna akal kemudian barulah syarat lain menyusuri. Bagaimana seorang kanak-kanak yang cukup umur membuat pilihan jika semasa pembesarannya dicemari dengan kebencian dan hilang kasih sayang?

Saya akan berbahas apabila dibentangkan melalui penegasan hujahan kepada prinsip KERAHMATAN, KEADILAN dan KARAMATUL INSAN. Saya yakin jika asas ini menjadi keutamaan dalam proses menentukan status agama anak, ISLAM akan menjadi pilihan anak-anak sebaik sahaja mereka boleh membuat pilihan pada umur mumayyiz.

Sekian

Yb Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden Parti AMANAH
5hb April 2017.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...