TERKINI :

Monday, April 3, 2017

Jurulatih Kedah sudah menyerahkan surat perletakkan jawatan namun surat tawaran dari FAM belum ada lagi..!

KENYATAAN MEDIA

TARIKH: 3 APRIL 2017

STATUS KETUA JURULATIH PASUKAN KEDAH, TAN CHENG HOE

1.      Berkenaan isu jurulatih Tan Cheng Hoe yang mendapat liputan meluas di media cetak, media elektronik dan media sosial, KFA menyatakan telah menerima NOTIS PENAMATAN KONTRAK sebelah pihak dari Tan Cheng Hoe pada 1 April lepas dan telah meneliti kandungan surat berkenaan.

2.      Hasil penelitian KFA terhadap kandungan surat berkenaan, maka KFA telah memutuskan perkara berikut:

a.      Pengurusan tertinggi KFA meminta Tan Cheng Hoe mengemukakan surat tawaran rasmi dari FAM mengenai perlantikan beliau sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan;

b.     Selagi tiada tawaran rasmi dan pengesahan dari pihak FAM, KFA TIDAK MEMBUAT APA-APA KEPUTUSAN mengenai kedudukan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dalam masa terdekat;

c.    Setakat ini tiada permohonan rasmi dari FAM mengenai hasrat FAM untuk melantik Tan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan;

iv.     Secara status quo, Tan Cheng Hoe KEKAL sebagai ketua jurulatih pasukan Kedah kerana beliau masih terikat dengan kontrak perkhidmatan bersama KFA.

3. KFA akan membuat keputusan selanjutnya selepas meneliti perkara-perkara yang disebutkan di atas.

4.      KFA amat memandang serius dengan artikel-artikel di media massa yang boleh memberi imej buruk kepada KFA, diharapkan pihak media lebih berhati-hati dalam menyampaikan maklumat dan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dari pihak KFA.

Kenyataan media oleh:

Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah
Presiden KFA

Antara PAS & AMANAH.. Mana satu pilihan rakyat Kedah??

PAS KEDAH VS AMANAH KEDAH

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Muktamar PAS kali ini bakal berlangsung di Kompleks PAS Kedah. Dalam pada itu gerak kerja PAS Kedah untuk PRU 14 masih lagi slow secara keseluruhannya. Mungkin sibuk fokus muktamar, ataupun mahu bergerak secara sirr, slow and steady koon seperti cara almarhum Ustaz Azizan dulu.

2) Sirr sampai team saya tak dapat detect gerak kerja. Apa pun saya tidak perlu memandang rendah gerak kerja PAS Kedah. Cuma saya dapat mengesan ada dua level fikrah dalam PAS Kedah buat masa ini. Satunya fikrah keras, satu lagi fikrah terbuka.

3) Pertembungan dua fikrah ini dalam PAS menjadi punca PAS Kedah masih slow dalam gerak kerja pilihanraya. Saya ukur gerak kerja pilihanraya melalui kekerapan meeting, kemeriahan bendera dan beberapa faktor fizikal yang lain.

4) Jika anda meninjau beberapa kawasan di Kedah, bendera PPBM kelihatan mendahului parti-parti lain seolah-olah sudah tahu tarikh pilihanraya. Walhal bagi saya, PAS sepatutnya lebih banyak bendera kerana Muktamarnya sudah dangat dekat. Logik Tanaka, mungkin anda tak perlu melatah.

5) Fikrah keras sangat menentang keras PAN, merepek pasal PAN, hentam gerak kerja PAN. Tapi gerak kerja sendiri tak berapa nak jalan. Anak-anak muda kurang berminat dengan golongan ini walaupun mereka sokong PAS. Jika mereka ini terus tidak mahu berubah mendekati anak-anak muda dengan cara lunak (method PAN), mungkin PRU14 ini PAS boleh terus menjadi pembangkang.

6) Manakala golongan PAS yang berfikrah serius, mereka terdiri daripada golongan muda dan profesional, yang mahu gerak kerja jalan tanpa menghiraukan PAN. Walaupun mereka tidak juga suka kepada PAN, mereka mahu PAS buat kerja PAS, biar PAN buat kerja PAN.

7) Pertembungan dua fikrah dalaman PAS pasca perpecahan PAS-PAN dilihat sebagai punca PAS Kedah slow. Perubahan pimpinan di peringkat PAS Kawasan sangat penting untuk gerak kerja pilihanraya. Pimpinan perlu pandang betapa peringkat cawangan sudah menunjukkan signal perubahan kepimpinan, supaya lebih serius, bukan keras.

8 ) Dalam pada itu PAN atau nama baiknya AMANAH sedang giat bekerja menambat hati pengundi Kedah. Hampir setiap hari AMANAH membina kekuatan demi kekuatan. Mereka tidak mahu sekadar menjadi pengacau antara PAS vs BN. Mereka mahu menjadi sandaran PH menang di Kedah.

9) Desas-desus mengatakan  bahawa AMANAH akan meletakkan Anak Ustaz Fadzil Noor dan anak Ustaz Azizan sendiri untuk bertanding di kerusi Parlimen Jerai dan DUN Sg Limau. Malah bekas ahli parlimen Jerai (PAS) sebelum ini juga sudah menyertai AMANAH. Jelas AMANAH serius untuk mengambil alih Jerai daripada Jamil Khir.

10) PAS Jerai? PAS Jerai dan Sg Limau masih dalam keadaan membina semula kekuatan, setelah pemergian dua Ustaz Azizan. Ustaz Azizan MB dan Ustaz Azizan YDP PAS Jerai. Dengan selesainya muktamar PAS Jerai dan pemilihan saf kepimpinan baru, diharap PAS Jerai tidak mandom.

11) Turut berada dalam radar team Dr Tanaka Mustafa mengenai kemelut dalaman PAS Kedah, adalah PAS Pendang, PAS Kuala Kedah, PAS Pokok Sena dan PAS Baling. Kemelut hampir sama menurut maklumat yang saya terima. Kenapa radar dihala kepada PAS Kedah? Sebab muktamar bakal berlangsung di Kedah.

Sekian

MPT Bersatu cadang debat Tun M-Nazri diteruskan di Bukit Aman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta membenarkan debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Nazri Aziz diteruskan pada 7 Julai ini, diadakan di Auditorium Bukit Aman.

Zahid Mat Arip, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menempelak tindakan polis membatalkan debat yang akan diadakan di Kompleks Karangkraf kononnya mendapat aduan penduduk setempat sedangkan Kompleks Karangkraf yang terletak di Seksyen 15 Shah Alam itu dikelilingi kilang-kilang.

"Saya membaca laporan yang menyebut ada pihak tertentu akan membuat kacau sekiranya debat itu berlansung di Karangkraf,

"Jika ada pihak tertentu buat kacau dan dikenal pasti tidak susah bagi polis menangkap mereka yang buat kacau.

"Saya nak minta karangkraf (pengurusan) mohon pada polis supaya debat ini diteruskan pada tarikh 7 April ini, buat di Auditorium Bukit Aman dalam kawasan ibu pejabat polis.

"Polis boleh kerah pegawai dari kaunter terrorism boleh kawal dengan senjata M16, pakaian gelap dan sebagainya.

"Saya yakin disitu tiada ancaman keselamatan," ujarnya dalam video yang dirakamkan dalam satu temubual dilakukan berdurasi 3 minit 10 saat itu.

Semalam Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, polis menerima 18 laporan daripada orang awam di Selangor yang membantah debat yang dijadual diadakan di Kompleks Karangkraf.

Permit debat antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 7 April itu dibatalkan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Zahid berkata, tindakan polis membatalkan debat itu sebagai usaha untuk membantu Nazri dan Umno-BN.

"Kalau takut katakan takut... memang Umno-BN ketakutan dengan Tun Mahathir.

"Polis pula berlebih-lebih saya tengok...lebih-lebih benar dalam hati dia (Nazri) tuhan saja yang tahu - polis bantu Nazri untuk batalkan debat atas alasan keselamatan.

"Saya tengok Umno takut dan memberikan alasan bodoh begini yang menambah kebencian rakyat kepada Umno-BN," ujarnya.

Menurut Zahid lagi, beliau yakin sekiranya debat antara Dr Mahathir dan Nazri ini diteruskan ia akan dapat menarik pelancong untuk menyaksikan debat ini.

"Saya yakin boleh menarik pelancong asing seluruh dunia untuk saksikan debat Tun M-Nazri. Ini boleh dapat pulangan yang baik kerana ini budaya baru dan sihat yang perlu dipromosikan," ujarnya sinis.

Pada Sabtu Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacob dipetik berkata pihaknya menerima surat pembatalan permit kebenaran debat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat.

Pembatalan itu dibuat sehari selepas Hussamuddin mengumumkan pihaknya telah mendapat kebenaran untuk mengadakan program itu.

Semalam turut memberi komen mengenai tindakan polis membatalkan debat ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mencadangkan debat antara Tun Dr Mahathir dan Nazri diadakan di hotel.

"Kalau tidak boleh (permit), buat program (debat) di hotel, selesai masalah," katanya.

TMJ ulas isu kenapa Tan Cheng Hoe terpilih sebagai penolong Mario Gomez

KITA PERLU BERSATU DALAM SATU ARUS DEMI MEMULIHKAN IMEJ, KUALITI BOLA SEPAK TANAH AIR DAN BUKANNYA MENETAPKAN SERTA MELAYAN MENTALITI YANG FOKUS KEPADA ISU REMEH TEMEH

PAHANG VS JDT

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang berjaya memenangi perlawanan suku akhir pertama Piala FA tempohari. Kepada pasukan yang tewas, cuba lagi.

Berkenaan dengan kenyataan dari pihak FMLLP sebelum ini, saya telah mengarahkan pengarah FMLLP, Kevin Ramalingam untuk berjumpa dengan saya esok. Ia berkenaan dengan isu Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang tidak membenarkan penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) memasuki Stadium Darul Makmur pada perlawanan yang lepas. Bagi saya ia adalah isu yang kecil dan tidak perlu diambil apa-apa tindakan.

Pihak PBNP dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) perlu duduk semeja bersama-sama berbincang dan menyelesaikan masalah tersebut antara mereka supaya ia tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. Tetapi, nasihat saya kepada ahli-ahli gabungan dan pasukan bertanding sila ikuti 'Standard Operational Procedure' (SOP) yang telah ditetapkan oleh Persatun Bolasepak Malaysia (FAM) atau FMLLP untuk tidak melanggar undang-undang atau syarat hingga terpaksa didenda.

Jangan pula nanti bila dikenakan tindakan atau denda kepada pasukan dan kelab, penyokong akan menyalahkan FAM atau FMLLP. Jadi untuk isu tersebut, pada saya ia tidak perlu disiasat dan diambil tindakan. Cukup sahaja jika pihak PBNP, PBNJ dan FAM duduk semeja untuk selesaikan isu tersebut, dan pastikan isu tidak diingini seperti ini tidak terjadi lagi.

TAN CHENG HOE

Berkenaan isu yang ditimbulkan oleh laman sosial tidak rasmi yang gemar melaga-lagakan penyokong pula seperti berita mengenai jurulatih pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe.

Untuk makluman semua, selepas saya melantik Mario Gomez sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan, saya telah berikan kebebasan kepada beliau untuk memilih sesiapa sahaja yang beliau mahu bekerja bersama tetapi dengan syarat iaitu penolong jurulatih beliau mestilah jurulatih tempatan. Dan Mario sendiri menyatakan bahawa beliau berminat dengan Tan Cheng Hoe oleh kerana dalam ramai-ramai jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe adalah yang terbaik baginya.

Tetapi ia terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk menerimanya atau tidak. Selain Tan Cheng Hoe, Mario juga memilih Raul Longhi, sekarang ini adalah penolong jurulatih JDT, jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, jurulatih kecergasan dari luar negara (Itali atau Argentina) dan koordinator pasukan kebangsaan daripada AFC. Jadi, ini bukanlah satu perancangan untuk menjatuhkan mana-mana pihak seperti mana yang telah diwar-warkan oleh laman tidak rasmi yang sehingga hari ini belum pernah berdepan dengan saya.

Saya berharap penyokong pandai menilai sendiri siapa dan pihak yang mana yang selalu mewar-warkan isu kecil daripada pihak yang memainkan peranan dan memberi sumbangan serta berkongsi pendapat, berdepan untuk bersama membantu merubah landskap bola sepak tempatan. Bukan hanya tahu melaga-lagakan penyokong sahaja.

Saya akan pergi ke semua negeri untuk mesyuarat exco FAM dan sesi bersama penyokong. Kepada anda yang tidak berpuas hati boleh bertanya terus dan berkongsi pendapat dengan saya. Saya bukan individu yang suka bersembunyi dan tidak tahu apa-apa.

Saya suka bersemuka dengan individu-individu seperti ini dengan cara 'gentleman' dan bersikap telus bagi menyelesaikan terus masalah atau persoalan dari anda semua demi meningkatkan mutu bola sepak dalam negara dan pasukan kebangsaan.

Jika ada individu atau pihak yang suka memperbesarkan isu yang remeh temeh, melagakan orang daripada mencari jalan penyelesaian, itu terpulang kepada mereka. Mentaliti penyokong sekarang perlu diubah. Kita sepatutnya perlu bersatu dalam satu arus untuk memperbaiki imej bola sepak tanah air.

Saya tiada masa untuk melayan mentaliti seperti ini dan saya ada tugas lebih penting untuk dilakukan. Dan tugas tersebut adalah meningkatkan mutu bola sepak negara dan prestasi pasukan kebangsaan demi rakyat dan negara.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Presiden FAM

Biar Jasa Jadi Kenangan Laksamana Tan Cheng Hoe!

1. Terima kasih coach atas segala jasa & sumbangan besar kpd pasukan negeri Kedah Darul Aman, negeri kelahiran coach sendiri, membawa kembali pasukan negeri kita menjadi lebih disegani & dihormati.

2. Memimpin pasukan Kedah dr tahun 2014 hingga saat ini, berjaya membawa trofi Juara Premier League 2015, Juara Piala Malaysia 2016 & terbaru Juara Piala Sumbangsih 2017. Hanya kekurangan Piala Fa & Juara Liga Super shj utk melengkapkan semua kejuaraan.

3. Namun, itulah skripnya, hampir pasti coach akn berhijrah ke skuad negara sbg pembantu kpd Mario Gamez.

4. Tugas utk negara dituntut. Pengorbanan harus dilakukan. Itu benar dan amat kita sanjung dan perlu diberikan keutamaan.

5. Namun yg membelenggu pemikiran kami seluruh penyokong adalah kewajaran utk melantik coach dlm keadaan kita ditengah dlm prestasi yg terbaik, dlm keadaan liga kini di pertengahan dan Kedah di persada liga, saingan Piala Fa kita juga dlm landasan terbaik utk menjulang piala dan saingan Piala Malaysia juga bakal menjelang dimana kita adalah juara bertahan.

6. Semua kejuaraan utama ini Kedah dlm landasan dan momentum terbaik utk Kedah menyapu bersih kesemuanya.

7. Namun kini, kita direntap dgn berita ini. Kewajaran apakah yg telah digunapakai? Rasional dan fakta secara terang ingin melemahkan perancangan yg telah disusun dan tersusun selama ini utk memastikan kejayaan Kedah sedikit terencat dgn berita ini.

8. Tertanya, mengapa ianya tidak dirancang pd awal musim lg utk membawa coach ke skuad negara sepertimana Mario Gomez?

9. Mengapa juga tidak mampu utk bersabar sehingga habis saingan musim ini?

10. Tiada lagikah jurulatih tempatan lain yg punya kelayakan sehingga menganggu perancangan pasukan Kedah?

11. Ini semua akn memberi persepsi yg amat jelas tidak baik utk penyokong Kedah fikirkan rasional itu.

12. Namun, pengorbanan utk negara harus diberikan keutamaan. Baiklah andai benar, kita terima dan berharap coach kita mampu menggalas tugas dgn baik seterusnya mampu utk menjadi ketua jurulatih negara pula selepas itu.

13. Dgn byk kejayaan dan falsafah bolasepak yg bagus, tempat coach yg paling layak adalah Ketua Jurulatih negara selepas ini.

14. Diharapkan juga ini bukan batu loncatan sementara utk beliau ke sebuah pasukan negeri lain, & mbawa pula pemain dari negeri kita ke pasukan sana musim depan. Manalah tau kan. Sejarah pernah terjadi. Tangan ghaib ada dimana mana. Ya betul kita dlm keadaan profesional,tp tindak tanduk kini amat menyedihkan utk diterima.

15. Apa sekalipun, kami di Ultras Kedah ingin mengucapkan selamat maju jaya pada coach. Semoga coach satu masa nanti akan kembali semula ke bumi kelahiran coach ini utk melunaskan apa yang telah tertinggal utk dibereskan. Yakin coach begitu kesal, namun apa daya, kuasa itu melebihi segalanya.

16. Selamat maju jaya coach. Terima kasih atas segalanya. Biar jasa jadi kenangan!

17. Jurulatih, pemain, pegawai datang dan pergi,kita Ultras Kedah, penyokong setia hijau kuning tetap disini. Sokong sepanjang zaman. Pulun Kedah Pulun. Hat Terbaik di Malaysia.

Ultras Kedah 2009





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...