TERKINI :

Friday, March 31, 2017

Apa punya parti AMANAH, perlembagaan pun tak ada kaa..?

BismillahirRahmanirRahim

MANA PERLEMBAGAAN PARTI AMANAH?

Saya pun hairan sekarang ini ramai yang masih tidak jadi ahli AMANAH pakat dok minta nak tengok perlembagaan AMANAH.

Apakah mereka sudah nak berhijrah kepada kepada AMANAH sebuah parti Islam Rahmatan Lil'alameen?

Atau

Dalam fikiran mereka parti AMANAH tiada perlembagaan?

Jawapan: Adalah tidak masuk akal sebuah parti yang didaftar tiba-tiba tiada perlembagaan, cari kena angkut masuk lokap.

Maka untuk bagi suspen saya bagi muka surat pertama perlembagaan parti AMANAH Negara yang telah dipinda dari perlembagaan Parti Pekerja Malaysia dalam Bahasa Inggeris dan telah dibenar oleh ROS untuk diambil alih dan diserah dengan sukarela oleh penggerak asal secara percuma dengan syarat parti AMANAH mesti konsisten melawan kezaliman UMNO/BN.

Aris Awang

Najib dan Menterinya senantiasa memberikan jawapan untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan UMNO BN.

Kenyataan Media

31 Mac 2017 (Jumaat)

PENDEKATAN UNTUK MENUTUP KEGAGALAN PENTADBIRAN UMNO BN

Saya mengalu-alukan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mahukan rakyat negara ini menukar cara pemikiran mereka berhubung pembelian rumah ketika muda dan menanggung hutang jangka panjang yang besar.

1. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di bawah pentadbiran Najib Razak dan Menteri-Menteri kabinetnya senantiasa memberikan jawapan untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan UMNO BN.

2. Tidakkah rakyat Malaysia begitu terbeban dengan peningkatan harga barangan makanan seperti ubi kentang, bawang, bayam, sawi, kubis dan sebagainya termasuk sardin, iaitu makanan orang miskin. Malah gaji untuk menampung kehidupan di bandar telah memaksa rakyat mempelbagaikan kerja sampingan lain seperti memandu perkhidmatan Uber dan GrabCar.

Bagaimana mereka hendak membeli rumah sedangkan rumah mampu milik pun hanya mampu dilihat sahaja. Apakah punca sebenar? Punca sebenar adalah kegagalan pimpinan negara untuk mentadbir kewangan negara dengan sebaiknya.

3. Jika seseorang tidak mampu membeli sesebuah rumah, ianya kerana bergantung kepada nilai harga rumah yang begitu tinggi dan ketidakmampuan untuk membelinya.

Harga rumah yang tinggi nilainya menunjukkan kegagalan kerajaan UMNO BN untuk mengawal harga barangan asas pembuatan seperti simen dan pasir. Kegagalan untuk mengawalnya mengakibatkan keuntungan berlipat kali ganda dan wujudnya 'orang tengah' yang mengaut keuntungan berganda.

4. *Ketidakmampuan untuk membeli* wujud kerana kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi tanpa kawalan yang munasabah. Misalannya, mahasiswa yang baru sahaja menamatkan pengajian telah dibebani dengan hutang pengajian (PTPTN). Apabila mendapat kerja, gaji yang diterima pula tidak setimpal ditambah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi dengan kenaikan harga barangan yang mendadak.

Inilah antara faktor - faktor menjurus kepada kegagalan kerajaan UMNO BN untuk menyediakan satu pelan atau model bagi membantu golongan muda @ mahasiswa untuk melalui kehidupan yang sewajarnya tanpa tekanan.

5. Perbandingan dengan negara UK sepertimana dikatakan oleh YB Johari Abdul Ghani menunjukkan sikap terpilih, di mana kerajaan UMNO BN menjawab mengikut keselesaan dan kepentingan mereka sahaja.

Keputusan untuk golongan muda menetap di UK tidak boleh dibandingkan dengan negara kita kerana kita mempunyai tradisi kehidupan yang berbeza. Kita orang Timur yang mempunyai adat istiadat tersendiri, seperti hasrat mendirikan rumah tangga, mengamalkan konsep kekeluargaan, menjaga ibubapa dan sebagainya. Maka membeli rumah menjadi salah satu elemen yang terpenting dalam kehidupan orang Timur.
                      
Kerapkali Menteri UMNO BN sedaya upaya cuba untuk menutup kegagalan dan kelemahan mereka, tanpa disedari mereka membuka ruang untuk kita mencari kelompangan mereka. Semakin banyak alasan diberikan, semakin banyak yang akan terbongkar. Saya tersenyum, mengingati peribahasa Melayu 'bagai kelip-kelip terbang malam'.

Salam Reformasi.

YB Manivanan Gowin
Ahli Parlimen Kapar
Parti KeADILan Rakyat

Pas, kerajaan gelojoh bawa usul RUU355

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berpendapat Pas dan kerajaan terlalu gelojoh dalam membawa usul RUU355 untuk memastikan ia dapat dibentangkan di Parlimen.

Menurut beliau, kedua-dua pihak sepatutnya mengikut hala tuju (road map) jawatankuasa teknikal yang telah ditubuhkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan satu ketika dulu.

"Road map ini adalah bagi membolehkan enakmen jenayah di negeri Kelantan dilaksanakan iaitu dengan meminda RUU355 dan jawatankuasa ini juga telah bersetuju RUU355 ini mesti dibawa oleh kerajaan kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.

"Jadi akibat daripada tindakan mereka yang tak mengikut road map ditetapkan ini, maka ia telah menyebabkan keadaan menjadi celaru," katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengumumkan bahawa Dewan Tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda RUU355 di Parlimen.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tidak akan bentang RUU 355]

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, pihaknya yakin bahawa sekiranya RUU355 dibawa secara bijaksana sepertimana ditetapkan oleh jawatankuasa teknikal, anggota BN tidak akan menolak usul tersebut memandangkan ia pernah dipinda serta diterima baik oleh semua pihak pada tahun 1984 dan 1989.

"Tiada sebarang masalah pada waktu itu dan kesilapan pada hari ini adalah kita mengamalkan politik gelojoh dalam membawa RUU355 tanpa menghormati jawatankuasa teknikal,"katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz memaklumkan bahawa pengumuman Najib tersebut adalah amat mengejutkan kerana sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa kerajaan akan membawa RUU355 di Parlimen.

Mahfuz berkata, kenyataan Najib tersebut seolah-olah menunjukkan tiada konsensus antara beliau dengan Ahmad Zahid dalam isu RUU355 ini.

"Dan yang lebih jelas lagi adalah sewajarnya beliau (Najib) mempertahankan kenyataan Ahmad Zahid bagi memujik Dewan Tertinggi BN,"katanya.

Selain itu, Mahfuz berkata pihaknya yakin usul RUU355 tidak akan dapat dibawa di Parlimen walaupun Najib mengatakan bahawa kuasa bagi memberi laluan terhadap usul itu terletak di tangan Speaker Dewan Rakyat.

Tambah beliau, kuasa Speaker Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada usul RUU355 ini bergantung kepada kebenaran daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam.

"Saya fikir Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan bangun untuk beri laluan kepada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membawa usul ini sekali lagi di Parlimen.

"Kalau menteri memberi laluan, sudah tentu ia bercanggah dengan konsensus BN yang diumumkan oleh Najib,"katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...