TERKINI :

Sunday, March 26, 2017

Abah tidak halang saya sertai Amanah, kata anak Adun Pas Kedah

26 Mac 2017 | SURYA PUTRA TAULAN


Turut kelihatan dalam poster, Faiq, anak bekas menteri besar Kedah dari Pas, Tan Sri Azizan Abdul Razak

Malam kelmarin sepatutnya saya hadir ke satu Program Parti Amanah Negara di Pendang Kedah. Tetapi oleh kerana terdapat urusan yang tidak dapat dielakkan saya tidak dapat hadir dan mohon maaf kepada pihak penganjur.

Ramai yang bertanya, dah lama ka masuk Parti Amanah? Jawapannya dah lebih satu tahun. Saya mengisi borang untuk menyertai parti ini pada program 100 Peguam bersama Parti Amanah Negara. Dan untuk makluman ini adalah parti pertama yang saya sertai... Saya tidak pernah menjadi ahli kepada parti Pas.

Saya memilih parti Amanah kerana saya tertarik dengan konsep rahmatan lil 'alaminiaitu Islam sebagai rahmat ke seluruh alam. Kita seringkali melihat bagaimana nilai-nilai Islam semakin hilang dalam diri kita. Kita boleh di lihat di negara Barat bagaimana mereka menjaga kebersihan, keadilan, akhlak, amanah, accountability dan membantu rakyat mereka. Saya berharap Malaysia baru seperti itu.

Baru-baru ini oleh kerana gambar poster program tersebut telah beredar ada yang komen ditujukan kepada kami dengan kata-kata "Iman tak dapat diwarisi", Contoh anak Nabi Noh dan sebagainya. Pertamanya saya sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata tersebut kerana saya yakin keimanan tidak ditentukan dengan parti politik. Lagipun Abah saya dah memberikan saya ilmu agama dan pendidikan yang cukup. Saya faham parti politik hanyalah satu wadah.

Saya juga rasa tiada keperluan untuk membalas komen-komen tersebut kerana kebanyakan dari mereka saya lihat hanyalah berumur belasan tahun dan kebanyakkan mereka hanya boleh melabel atau sebagai tukang "chop".

Saya cuma mahu perbalahan oleh kerana perbezaan parti politik dihentikan. Kita tidak perlu emosional. Pertandingan antara parti-parti adalah pertandingan idea dan pertandingan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Saya yakin anda ada hujah untuk memilih parti apa pun. Abah tidak pernah untuk menghalang saya menyertai Parti Amanah Negara kerana dia tahu saya ada alasan saya sendiri.

Semua kita adalah saudara. Ketua Pemuda Pas Pendang itu pun adalah pangkat anak saudara saya. Ketua Pemuda Umno Pendang pun adalah sahabat karib saya. Jadi buatlah pilihan sendiri. Jangan biarkan orang lain menentukan pilihan kita. Gunakan akal yang diberikan Allah untuk membuat pertimbangan.

MATANG & SEJAHTERA: PIMPINAN PAS JANGAN PAMIRKAN WATAK BERGADUH DENGAN SEMUA ORANG

Kenyataan media

1. Langkah PAS membiarkan pimpinan pertengahan PAS menyerang YAB Datuk Seri Mohd Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor dan PKR adalah  *sangat tidak wajar*.

Dalam konsep berpolitik sememangnya perdebatan terbuka tidak dapat dielakan,tetapi harus cermat dalam berkata-kata.Ungkapan Azmin Ali dengan perkataan *'Lebai' tidaklah perlu dibalas dengan ungkitan,ugutan dan kecaman terhadap beliau*.

2. *Adalah lebih manis andai politik matang dan sejahtera dizahirkan oleh pimpinan PAS dengan membuat kunjungan dan berbincang dengan Azmin Ali untuk meredakan keadaan dari berlarutan*.

Kenyataan Azmin Ali adalah ekoran dari *kenyataan Presiden PAS  yang mengatakan PRU ke-14 nanti PAS akan menerajui beberapa negeri termasuk Selangor*.

*Walaupun Presiden PAS menafikan tetapi rakaman ucapan Presiden PAS sangat jelas serta diperkukuhkan kemudiannya oleh Ketua Pemuda PAS Pusat dan AJK PAS Pusat yang juga Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP)  Dr Mohd Zuhdi Marzuki*.

*PAS JANGAN DILIHAT KERAS KEPALA*

3. Bukankah kenyataan mahu menerajui Selangor *bermakna mahu mengambil alih kerajaan Selangor dari teraju Azmin Ali dan PKR*.

Sedangkan di masa kenyataan itu dibuat PAS masih berada dalam kerajaan. *"Lain lah kalau PAS dah istihar berundur dan keluar dari kerajaan Selangor"*.Tindakan sebegini membina pesepsi yang tidak baik pada PAS.

4. Menyerang dan mengugut Azmin Ali dan PKR sudah dilihat rakyat yang PAS mahu menjatuhkan kerajaan rakyat. *PAS sedang dilihat berperangai 'arrogant'* (Keras Kepala).Rakyat melihat sikap PAS  umpama *"kalau tak dapat pada PAS sekali pun biar kerajaan rakyat ini dijatuh"*.

*_Belum terlambat untuk pimpinan PAS perbaiki dan meredakan keadaan_*.

#PertahanKerajaanRakyat
#MengangkatSuaraRakyat
#HormatiKuasaRakyat
#BerpakatDemiRakyat

*Dato' Hj Mahfuz Hj Omar*
Ahli Parlimen Pokok Sena
9am Taman AlWalid Alor Setar
26 Mac 2018/27 Jamadilakhir 1438H

WAYANG DAN DRAMA DARI "PAS"

Berdasarkan beberapa kenyataan pemimpin Pas, jelas tergambar rasa kecewa mereka kerana gagal menjalin kerjasama dengan Bersatu di mana parti yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir itu terlebih dahulu memutuskan untuk menyertai Pakatan Harapan.

Jangan salah faham, rasa kecewa itu sebenarnya bukanlah kerana Pas benar-benar ingin menjalin ikatan bersama Bersatu dengan matlamat untuk sama-sama menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN. Tidak sama-sekali.

Mereka kecewa kerana tidak dapat memerangkap Bersatu untuk terus melengah-lengahkan masa dalam perundingan yang boleh membuatkan Bersatu jadi terumbang-ambing tanpa sebarang keputusan sama ada menyertai Pakatan Harapan atau bekerjasama dengan parti tersebut.

Jika masa dapat dilengah-lengahkan sehingga tarikh pilihanraya dan Bersatu masih duduk di tengah-tengah antara mahu bekerjasama dengan Pas atau Pakatan Harapan, malah terus berlaku caca-marba dalam pembahagian kerusi sehingga tarikh penamaan calon, yang paling beruntung tentunya ialah Najib, UMNO dan BN.

Maka, dengan berwatak seolah-olah bersama pihak pembangkang tetapi dapat menyebabkan Najib, UMNO dan BN terus berkuasa, itulah kepuasan yang tiada tolok bandingnya bagi Pas yang dipimpin oleh kepimpinan yang ada sekarang.

Jangan lupa, Pas kini bukan lagi sama seperti Pas yang dipimpin oleh Fadzil Noor atau ketika Nik Aziz Nik Mat masih ada bersama mereka. Semua era itu sudah tinggal kenangan.

Namun, dengan Bersatu memutuskan untuk segera menyertai Pakatan Harapan serta menangguhkan sebarang hubungan dengan Pas sehingga Pas sendiri memutuskan pendiriannya, matilah segala langkah Pas untuk terus bermain wayang atau drama.

Sekarang ini, jika Pas mahu terus membantu UMNO, maka mereka perlu bergabung secara langsung dengan parti pimpinan Najib dan ia sudah tentu suatu keputusan yang akan ditolak oleh pengikut serta penyokong akar umbinya sendiri.

Kalau ingin juga bekerjasama dengan Bersatu atau Pakatan Harapan pula, kali ini Pas yang perlu datang kepada Bersatu atau Pakatan Harapan dan bukan lagi Bersatu atau Pakatan yang mencari Pas.

Ini sudah tentu agak memalukan Pas kerana di dalam Pakatan Harapan sudah ada DAP dan Amanah yang sudah diisytiharkannya sebagai musuh  sehingga ke liang lahad.

Bersendirian menghadapi pilihanraya pula bukan mudah bagi Pas, meskipun mereka selalu begitu sebelum ini. Lagi pun Pas tentu sudah menyelak-nyelak helaian sejarah pencapaian mereka sebelum ini. 

Ketika bersendirian, jangankan nak tawan Kelantan, kemampuan menang di peringkat Parlimen juga tidak pernah melebihi 15 kerusi. Jauh sangat dengan angan-angan nak menang 40 kerusi yang selalu didendang-dendangkan selama ini.

Jadi, apa pilihan Pas sekarang ini?

Di sebalik mengatakan kononnya gagah bersendirian, Pas kini terlibat banyak menyalahkan Bersatu atas kegagalan kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama. Yang paling banyak dipersalahkan ialah Tun Mahathir sendiri.

Kononnya kerana beberapa tindakan serta kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri itulah yang banyak menyulitkan rundingan. Tun Mahathir juga dipersalahkan kerana dikatakan mempunyai kuasa veto sedangkan hanya berjawatan Pengerusi dalam Bersatu. Dalam masa yang sama, Muhyiddin Yassin yang menjadi Presiden didakwa terlalu tunduk kepada Tun Mahathir.

Kenapa Pas cuba menyalahkan Tun Mahathir?

Kenapa mereka tidak menyalahkan diri sendiri berikutan sering mengeluarkan pendirian yang berbeza dan tak sekata? 

Kenapa,  sementara ada pemimpinnya  mahu bekerjasama, pemimpin yang lain pula tidak mahu sebarang bentuk kerjasama?

Mengapa Hadi tidak pernah hadir dalam sebarang perbincangan dengan Bersatu, dan jika pun pernah bersetuju untuk hadir pada peringkat awal, tetapi kemudian menukar pendirian di saat-saat akhir dengan hanya mewakilkan kepada Tuan Ibrahim Tuan Man saja sedangkan Bersatu diwakili oleh Presidennya sendiri iaitu Muhyiddin?

Jenis apakah juga perundingan yang Pas mahu dengan Bersatu jika awal-awal lagi mereka sudah meletakkan syarat mesti memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah jika ingin bekerjasama dengan mereka?

Kenapa, dalam PRU 2013 lalu, Pas boleh menerima DAP dan menganggap kerjasama pelbagai kaum sebagai pelengkap untuk menjadi kerajaan di mana ia sama seperti dalam BN yang turut ada MCA dan MIC, namun kini semuanya jadi berbeza?

Sekarang, setelah segala-galanya berakhir dan Bersatu sudah pun menyertai Pakatan Harapan, kenapa Pas seolah-olah kecewa kerana gagal bekerjasama dengan banyak meletakkan kesalahan kepada Tun Mahathir?

Sekali lagi, Pas hanya cuba menunjukkan kepada pengikutnya di kampung-kampung yang sudah ditanam jiwa permusuhan dengan UMNO sejak sekian lama bahawa mereka memang ingin bekerjasama dengan Bersatu untuk sama-sama menumbangkan Najib, UMNO dan BN, tetapi terhalang disebabkan beberapa keputusan dan tindakan oleh Tun Mahathir.

Jika dulu, wayang dan dramanya dalam bentuk yang lain, setelah Pakatan Harapan kian besar kukuh dan dilihat satu-satunya alternatif bagi rakyat untuk menyingkirkan Najib, UMNO dan BN, wayang dan drama mereka pastilah berbeza juga. 

Tapi, wayang tetap wayang dan drama tetap drama. Niat besarnya lebih untuk melihat Najib dan Rosmah terus kekal berada di singgahsana Seri Perdana. 

Kini semua kerja menyerang dan membalun Bersatu dan Tun Mahathir seolah-olah sudah menjadi kerja wajib bagi Pas, berbanding UMNO yang banyak beralih menumpukan kepada usaha-usaha memperkuat jentera untuk memenangi pilihanraya.

Inilah wayang dan drama terbaru Pas. Dalam riuh-rendah berceramah dan menyerang, sasarannya bukanlah Najib, UMNO dan BN.

Cuba kita ingat, bila kali terakhir Hadi, Nik Abduh, Takiyuddin, Nasharuddin Tantawi, Dr. Zuhdi dan lain-lain ada menyerang Najib, UMNO dan BN sepertimana bertihnya mulut mereka sekarang menembak Tun Mahathir, Bersatu, DAP, Amanah dan Pakatan Harapan?

Bermula dengan wayang dan drama dan mungkin kerana ada budi-budi yang telah diterima, maka sampai tamat jugalah dengan wayang dan drama hidupnya Pas ini. (ShahbudinHusin 25/03/2017).

ANNUAR MUSA PATUT DERMA RM50,000 SEBAGAI BIASISWA PELAJAR CEMERLANG UNIKL

Saya terkejut membaca berita terkini mengenai tawaran Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi MARA yang digantung (tetapi masih berkhidmat sebagai Pro-Canselor UniKL) yang telah menaikkan hadiah esei kepada RM50,000 (dari tawaran asal RM10,000 sebelum ini).

Walaupun saya sangat-sangat tidak berminat untuk masuk gelanggang dalam isu-isu yang tidak menguntungkan rakyat seperti ini, tawaran menaikkan hadiah kepada RM50,000 dari seorang Pro-Canselor UniKL dalam keadaan bebanan kewangan warga UniKL yang meningkat; adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Saya ingin ingatkan Tan Sri Annuar Musa mengenai perkara-perkara ini:

1. Beliau masih menerima elaun dan imbuhan lain sebagai Pengerusi MARA dan jawatan-jawatan lain yang berkaitan, seperti mana yang diakui beliau sendiri dalam satu video temuramah di Parlimen minggu lalu

2. Warga UniKL masih terbeban dengan pelbagai masalah kewangan. Hanya selepas saya membantah kenaikan yuran asrama di tiga kampus yang telah diputuskan melalui satu pekeliling, barulah menteri terbabit mengarahkan UniKL untuk membatalkan hasrat untuk menaikkan yuran itu

3. Masih ramai anak-anak Melayu/Bumiputra dari keluarga berpendapatan rendah yang belum mendapat pembiayaan sepenuhnya dari MARA atau pihak lain sedangkan Tan Sri Annuar Musa mengumumkan seolah-olah semua isu pembiayaan pendidikan telah selesai (rujuk kenyataan media saya http://rafiziramli.com/2017/02/masalah-pembiayaan-unikl-annuar-musa-berbohong-umum-kelulusan-pembiayaan-berjumlah-rm237-juta/)

4. Ada pensyarah sambilan UniKL yang tidak disambung kontrak bermula Januari 2017 (seperti yang dimaklumkan kepada saya) kerana kedudukan kewangan UniKL yang tidak baik

Dalam keadaan begini, adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila Tan Sri Annuar Musa, sebagai Pro-Canselor UniKL lebih ghairah bermain politik sehingga sanggup menawarkan wang hadiah RM50,000 untuk memperlekehkan musuh politik beliau, Lim Kit Siang.

Saya juga berpendapat ia hanya gimik politik beliau untuk menjadi jaguh agar berpeluang bertanding jawatan kanan dalam pemilihan Umno akan datang, memandangkan masa depan politik beliau mundar mandir akibat pelbagai kes dan kontroversi yang melibatkan beliau kebelakangan ini.

Oleh itu, saya menasihati Tan Sri Annuar Musa supaya kembali kepada amanah asal beliau iaitu menjaga kebajikan pendidikan anak-anak bangsa di institusi di bawah seliaan beliau seperti UniKL.

Saya menasihati beliau mengumumkan bahawa wang RM50,000 itu akan ditukar menjadi hadiah biasiswa kepada pelajar miskin cemerlang di UniKL.

Saya juga menasihati pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak lagi melayan karenah Tan Sri Annuar Musa dan jangan terperangkap dengan permainan tawar menawar wang untuk memperlekehkan lawan politik seperti ini.

Sesungguhnya rakyat mencemuh kegilaan politik seperti ini dalam keadaan mereka sengsara dengan bebanan ekonomi.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...