TERKINI :

Wednesday, March 22, 2017

Husam : Pagi dihalang berbahas sebab Exco Agama buat kuliah, bila petang tanya soalan kena halau pula..

DEWAN KULIAH UNDANGAN NEGERI KELANTAN......

Paginya, saya dihalang berbahas.

Semasa sidang penggulungan hari ini, saya tekun mendengar 'kuliah' Exco Agama.

Itulah rutin Dewan 'Kuliah' Undangan Negeri Kelantan kebelakangan ini.

Tidak ada enakmen baru berkaitan Islam yang dibentangkan. Tidak ada program baru, penyelesaian permasalahan ummat atau pembentangan prestasi portfolio beliau.

Di negeri lain, tanpa slogan Membangun Bersama Islam, Enakmen Wasiat dan Enakmen Wakaf telah lama diluluskan. Enakmen berkaitan urusan mal atau kewangan ummat Islam, yang juga penting.

Tidak di Kelantan.

Mahkamah Syariah Jajahan masih berkongsi pejabat dengan Pendakwa Syariah.

Enakmen Pentadbiran Syariah kali terakhir disemak ialah sejak 1998.

Namun, syarahan nya mengalahkan Mufti dan Profesor. Kuliahnya pagi ini mengenai gugur nya talak orang yang berbai'ah talak ta'lik.

Tetapi apakah beliau layak memberi fatwa?

Apa kelayakan beliau berfatwa sesenang hati?

Pertanyaan seperti itu paling wajar ditanyakan kepada MB yang melantik beliau.

Rupanya, harga soalan mengenai kelayakan Exco Agama Kelantan sangat mahal.

Saya diiringi Bentara dengan cokmar diusung, keluar Dewan!

Sensiitif kepada Speaker Dewan menanyakan kelayakan kawan beliau, Exco Agama Kelantan?

Tanpa amaran. Saya 'digiring' keluar Dewan Undangan atas arahan Speaker DUN Kerajaan Islam Kelantan, dua tiga minit sebelum sidang ditamatkan.

Sejarah tercipta oleh sebuah Kerajaan pimpinan Dato Ahmad Yaakob. InsyaAllah ia kekal menjadi rekod sama ada kerajaan ini demokratik atau menghayati semangat 'syura' atau ketiadaan kelayakan menjadikan pimpinannya takut dengan bayang bayang sendiri.

YB Dato Husam Musa
22 Mac 2017/ 23 Jamadilakhir 1438

LIKE FB RASMI : https://www.facebook.com/datohusam/

'PAS Kekal Seteru Umno Dalam Pilihanraya'

oleh Dr Ahmad Fakruddin bin Syeikh Fakhrurazi

KENYATAAN MEDIA PAS KEDAH

'PAS Kekal Seteru Umno Dalam Pilihanraya'

Musuh politik PAS kelihatan muflis isu apabila berterusan membangkitkan kisah dongeng bahawa PAS akan bersekongkol dengan UMNO/BN dalam Pilihanraya Umum Ke 14 (PRU14) nanti. Sedangkan hakikatnya PAS telah berhadapan dengan UMNO sebagai seteru politik sejak sekian lama lantaran perbezaan ideologi perjuangan.

PAS menggunakan sepenuhnya ruang amalan demokrasi berparlimen dalam negara ini untuk memperkenalkan amalan 'good governance' berpaksikan Islam dalam pentadbiran negara. Sedangkan Umno/BN sebagai parti sekular yang bertunjangkan nasionalisme sempit telah banyak mengharubirukan negara akibat pelbagai kegagalan dan penyelewengan.

PAS Kedah meyakini bahawa ahli-ahli PAS yang matang juga rakyat Malaysia amnya, tidak akan termakan dakyah golongan muflis politik yang begitu istiqomah sekali melontarkan fitnah terkutuk bahawa PAS akan bekerjasama dengan Umno/BN pada PRU14 nanti.

Pertembungan politik pilihanraya ini berterusan menjelang PRU14. Kali ini PAS Kedah bersedia berhadapan BN dan Pakatan Harapan (PH), jika mereka meletakkan calon di kerusi ditandingi PAS yang ketika ini berada dalam blok Gagasan Sejahtera.

PAS Kedah dalam kajian untuk meneroka beberapa lagi kerusi berpotensi, di mana pengundi Melayu melebihi 60 peratus; untuk diletakkan calon bagi merealisasikan sasaran PAS memperolehi 40 kerusi Parlimen. Di samping PAS tidak pernah menggugurkan tekad untuk kembali merampas pentadbiran Negeri Kedah dari tangan BN.

Dr Ahmad Fakruddin bin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah

20 March 2017

BARU NAZRI SEDAR TERUKNYA NEGARA INI....SEKARANG MARAHLAH PADA NAJIB ATAU ZAHID HAMID!!

Marah benar Nazri Aziz dengan keputusan pihak polis yang tidak semena-mena tidak membenarkan debat antara beliau dengan Tun Mahathir Mohamad diadakan pada 25 Mac ini.

Macam-macam perkataan yang keluar daripada mulutnya - kenapa polis tidak membenarkannya, sejak bila hak individu boleh dihalang oleh pihak lain, negara ini adalah negara demokrasi dan bukan negara polis, tindakan polis tidak betul, debat itu adalah berbentuk wacana, bukan perhimpunan aman, kenapa polis lebih memihak kepada NGO yang membuat laporan berbanding dirinya sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas , saya sebagai menteri bukan mahu menghasut dan macam-macam lagi.

Sebagai pemimpin yang terkenal dengan sifat lantang dan berani, Nazri memang berhak meluahkan rasa marahnya ketika ini. Mungkin beliau memang mahu berdebat dengan Tun Mahathir, tetapi sekarang cubaannya untuk menunjukkan keberanian seperti dihalang oleh pihak polis.

Tetapi, sabarlah Chief...jangan marah kepada pihak polis. Pihak polis hanya menjalankan tugas dan jika mahu marah juga kerana tidak dibenarkan berdebat, orang yang sepatutnya Nazri marah ialah Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.

Meskipun sebelum ini Zahid Hamidi dan Nur Jazlan Mohamed dilaporkan sudah membenarkan debat itu untuk diadakan, pihak polis mungkin mendapat arahan lain daripada Menteri Dalam Negeri atau Timbalan Menteri Dalam Negeri itu agar permit polis tidak dikeluarkan.

Tidak mungkin pihak polis pandai-pandai sendiri berbuat demikian tanpa merujuk kepada sesiapa. Kemungkinan besar ada arahan atasan yang diterima mereka.

Alasan keselamatan, menganggangu ketenteraman awam dan tempoh memohon permit kurang daripada 10 hari barangkali hanyalah ciptaan semata-mata.

Jika pun itu antara alasan pihak polis tidak mengeluarkan permit, tetapi andainya Zahid selaku TPM dan Menteri Dalam Negeri benar-benar mahu debat itu diadakan, beliau tentu boleh campurtangan untuk mempermudahkannya.

Kalau perkara sekecil permit pun menteri tidak boleh selesaikan, macam mana mahu berjuang membantu rakyat dalam hal-hal lain yang lebih besar?

Kalau faktor keselamatan pula, keselamatan  apa yang dibimbangkan sangat oleh pihak polis terhadap debat itu sedangkan muatan dewan hanya 800 orang saja? 

Himpunan Bersih di Dataran Merdeka yang dihadiri ratusan ribu manusia lagi dapat dikawal oleh polis, apalah sangat dengan hanya 800 orang atau sekali ganda daripada jumlah itu?

Soalnya, adakah Zahid campurtangan dan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri atau beliau lebih mahu menjaga nama dan imej Najib semata-mata?

Jadi, yang patut Nazri belasah ialah rakannya sendiri iaitu Zahid Hamidi kerana jika beliau mahu campurtangan, pasti debat itu akan menjadi kenyataan. Apa yang berlaku sekarang seolah-olah Zahid tidak mahu menggunakan kuasanya.

Kalau Nazri berani lagi, beliau juga patut belasah Najib sendiri. Kepercayaan umum mengatakan Najib adalah paling tidak gembira dengan debat itu kerana isu-isu yang dibahaskan adalah secara langsung berkaitan dirinya.

Lebih membimbangkan Najib kerana lawan Nazri berdebat itu ialah Tun Mahathir. Beliau mungkin dapat mengagak Nazri hanya menjadi "makanan"  saja kepada Tun Mahathir dalam debat itu dan akhirnya jika ia diadakan pasti lebih memburukkan lagi namanya di mata rakyat.

Maka, untuk mengelakkan semua itu, ada kemungkinan Najib sendiri yang meminta Zahid agar jangan memberikan permit kepada debat itu. Zahid pula, disebabkan ingin menjaga hati bossnya dan mahu dilihat timbalan yang setia, lantas tanpa banyak soal bersetuju saja dengannya.

Kemungkinan lain ialah Najib juga boleh menyampaikan kebimbangannya itu kepada Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dan arahan seterusnya disampaikan terus kepada Polis Perak.

Secara mudahnya, jika Nazri benar-benar ingin marah....marahlah kepada Najib atau Zahid Hamidi atau kedua-duanya sekali. Mereka inilah yang boleh menjadikan debat itu menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Namun, dalam keadaan ini, apa yang Nazri seharusnya sedari ialah negara kita kini sedang diurus dengan teruk oleh Najib selaku Perdana Menteri. Semua perbincangan dan perbahasan mengenai 1MDB dan dana RM2,600 juta yang melibatkan Najib khususnya, sama sekali tidak akan diberikan "sijil halal" untuk diadakan.

Di Parlimen tidak boleh ditanyakan soalan, dalam mesyuarat UMNO dilarang dibincang, laporan audit diOSAkan, menteri yang bertanya akan dibuang, pegawai kerajaan yang menyiasat ditekan, dipindah atau dipencenkan, bahkan beberapa yang lain turut ditangkap dan dilokapkan. Semua tentang 1MDB seolah-olah "haram" untuk diperkatakan.

Oleh itu, jika Nazri tidak berlakon dan benar-benar marah sekarang ini, apa yang patut dilakukannya demi menjaga namanya  ialah dengan segera meletakkan jawatan daripada UMNO dan kerajaan. 

Tiada guna lagi beliau terus berada dalam sistem yang teruk, banyak yang tidak dipersetujuinya dan tidak lagi memihak kepadanya sebagai individu yang bebas dan merdeka. 

Tetapi, jika semua kemarahan Nazri itu hanyalah lakonan dan semata-mata untuk menunjukkan dirinya konon-konon masih jantan, barangkali dalam hatinya paling lega ketika ini kerana tidak perlu lagi membiarkan dirinya menjadi "makanan" kepada Tun Mahathir.

Jika tiada lakonan, pilihan bagi Nazri hanyalah meletakkan jawatan dan beliau akan dikenang sebagai betul-betul berani dalam perjuangannya. (ShahbudinHusin 21/03/2017).

Azmin sindir 'tok lebai' yang kalah tersungkur

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini menyindir seorang 'tok lebai' misteri.

Tanpa menamakan secara langsung individu itu, Azmin turut mempersendakan kekuatannya yang bercita-cita hendak menawan Selangor.

“Ada tok lebai nak tawan Selangor.

“Kawasan sendiri pun kalah tersungkur,” tulis Azmin ringkas.

Tulisan itu dibuat kebetulan selepas Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz berkata, pihaknya bersetuju untuk PKR menerajui Selangor selepas pilihan raya umum ke-13 tetapi ia tidak akan sentiasa kekal.

Nik Abduh mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mereka menyasarkan mentadbir Selangor pada pilihan raya umum ke-14, selain Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perak.

Nik Abduh sebelum ini kalah teruk pada pemilihan PAS peringkat kawasan di Pengkalan Chepa.

Anak ikon PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu hanya mendapat 37 undi berbanding lawannya Anggota Parlimen Pengkalan Chepa Dr Izani Husin dengan 207 undi.

Dr Izani sekali gus mempertahankan jawatannya sebagai timbalan yang dipertua PAS Pengkalan Chepa.

Nik Abduh bagaimanapun menjelaskan beliau bertanding hanya 'sekadar suka-suka' kerana jawatan yang sedia ada (ketua Pemuda) pun sudah membebankan.

Malaysiakini sudah cuba mendapatkan penjelasan Azmin berkaitan identiti sebenar pihak yang dimaksudkannya itu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...