TERKINI :

Tuesday, March 21, 2017

Tsunami Mahathir dan Tsunami Hadi saling melengkapi

21 Mac 2017 | ULASAN Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 hangat diperkatakan. Ada yang menjangkakan ia mungkin diadakan seawal September ini, ketika bahang sambutan hari kemerdekaan ke-60 masih terasa. Acara Sukan SEA 2017 juga bakal berlangsung di Kuala Lumpur, bermula 19 hingga 31 Ogos, turut dianggap faktor penentu pembubaran Parlimen.

Perdana Menteri Najib Razak berdepan pelbagai cabaran besar untuk menentukan kesesuaian waktu bagi memperolehi mandat baru rakyat. Kesilapan taktikal yang kecil mungkin boleh menamatkan era pemerintahan BN-Perikatan sejak merdeka. Saingan pembangkang kali ini dilihat paling sengit pernah dihadapi kerajaan, ditambah deretan skandal kewangan mega, yang masih tidak mampu ditangani dengan baik.

Benar, bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim, yang menjadi faktor utama kebangkitan rakyat sejak 1999-2013, kini berada dalam penjara. Namun, muncul pula negarawan ulung, Dr Mahathir Mohamad, yang melancarkan serangan "berani mati" terhadap Najib, berkempen ke seluruh pelosok negara, siang dan malam, bercerita tentang kleptokrasi, negara "pencuri, penyamun dan penyangak".

Benar, gabungan pembangkang Pakatan Rakyat sudah berkubur, dan salah satu komponen utamanya, *Pas seakan-akan condong kepada Umno-Najib, atau sekurang-kurangnya menghalakan lebih serangan terhadap oposisi sendiri*. Namun, Umno juga berdepan krisis dalaman yang parah apabila tertubuhnya parti baru Bersatu yang mendapat sokongan mengejutkan daripada bekas ahli Umno. *Amanah pula dikatakan menampung penghijrahan atau sokongan senyap hampir satu pertiga ahli-ahli Pas*.

"Grand coalition" baharu

Malah, pembentukan "grand coalition" baru, *Pakatan Harapan bersama Bersatu*, mungkin menampilkan kesatuan yang lebih mantap, dan lebih diyakini khususnya oleh pengundi Melayu di kawasan kampung tradisi dan penempatan Felda, yang selama ini dianggap kubu Umno. Peranan proaktif Dr Mahathir kelihatan begitu menonjol dan menyerlah sekali.

"Mahathir memberi keyakinan baru bahawa Umno-BN boleh dikalahkan. Mahathir datang ketika pembangkang nampak bercelaru dan hilang fokus," ulas seorang wartawan kanan yang banyak menulis isu-isu politik. "Dia seperti mengambil alih fungsi Anwar sebagai pemersatu pembangkang walaupun tidak dinafikan ada pihak mengambil sikap berbelah bagi terhadap masa silamnya. Tapi perlahan-lahan peranannya semakin dihormati," tambahnya.

*Walaupun saya pernah menulis tentang gelombang Tsunami Hadi (merujuk faktor Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi Awang) bakal menggegarkan PRU14, saya turut tertarik dengan istilah Tsunami Mahathir seperti disebut penganalisis politik, Prof Madya Dr Agus Yusoff*.

Sebenarnya kedua-dua faktor ini saling melengkapi, bukannya bercanggah antara sama satu lain. Tsunami Hadi berbeda dengan faktor Anwar sebelumnya, atau Tsunami Cina pada PRU13, yang memberi banyak kelebihan dan lonjakan kepada pembangkang. Tsunami Hadi mungkin menyumbang kemerosotan teruk kepada prestasi Pas dalam PRU14.

*Pendirian politik dan sikap berdolak-dalik atau "flip-flop" Presiden Pas itu bukan saja menimbulkan kesangsian dan kecurigaan pengundi, terutama masyarakat bukan Islam, tetapi meninggalkan kesan negatif kepada penyokong parti Islam itu sendiri*. Di peringkat akar umbi, mereka menjadi keliru dan kecewa apabila Pas tidak lagi berada dalam "grand coalition" pembangkang dan gagal memperjuangkan isu-isu kritikal rakyat, sebaliknya dilihat lebih dekat dengan Umno.

Dr Agus dalam kemaskini FB mencatatkan: "Tokoh yang menentukan gelombang politik Malaysia seterusnya adalah di tangan tiga pemimpin, Najib Razak yang memimpin BN, Dr Mahathir yang berada dalam Pakatan Harapan, dan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang menerajui Pas."

Setelah meneliti ceramah oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut, dalam tiga majlis berasingan, sekitar Februari dan Mac lalu, Dr Agus membuat pertanyaan penting: "Mungkinkah yang muncul dalam PRU14 nanti ialah Tsunami Mahathir?"

Pensyarah kanan Perdana School, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali, berpendapat, Dr Mahathir secara bersendirian memang tidak boleh mencetuskan satu gelombang besar, tetapi hari ini satu-satunya kemampuan yang beliau miliki adalah sikap yang jelas dalam hala tuju politiknya -- untuk mengalahkan BN -- dan ia adalah syarat utama untuk mengemblengkan serta menyatukan pembangkang sebagai satu tenaga anti-BN yang kuat.

" *Dr Mahathir tidak perlu menarik undi bukan Melayu kerana 85 peratus sokongan bukan Melayu sudah berada dalam genggaman Pakatan Harapan* . *Beliau hanya perlu mengalihkakn antara 13 hingga 15 peratus sahaja undi Melayu kepada Pakatan Harapan*, dan jika ia berjaya direalisasikan, negara ini bakal menyaksikan pembentukan kerajaan baru pasca PRU14," jelas Dr Mazlan.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar memberitahu, pengaruh Bersatu nampak menyerlah di Kedah. "Mungkin tiada nama-nama besar selain Dr Mahathir dan Mukhriz Mahathir, tetapi sebenarnya pada peringkat akar umbi, begitu ramai pimpinan Umno Bahagian, termasuk kalangan Pemuda, wanita dan Puteri Umno telah menyertai Bersatu," ujarnya.

Bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu juga berkata, beliau difahamkan, *untuk satu-satu kawasan Parlimen di negeri berkenaan, Bersatu mempunyai ahli sekitar 3,500 hingga 4,000 orang dan lebihkurang 95 peratus daripadanya adalah bekas ahli Umno*.

"Secara simulasi mudah, jika diandaikan seorang ahli boleh membawa tiga lagi anggota keluarganya untuk menyokong Pakatan Harapan, *bermakna pertambahan lebih 10,000 orang bakal menyokong pembangkang dalam PRU14 untuk setiap kawasan Parlimen*. Sebab itu saya percaya BN boleh tumbang walaupun mungkin berlaku pertandingan tiga penjuru jika Pas terus tidak mahu bersama grand coalition," tambah Mahfuz lagi.

Pengaruh Mahathir

Dalam pada itu, Pengerusi Amanah Sabah, Hamzah Abdullah berkata, Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang besar di kalangan orang Melayu, khususnya di kawasan-kawasan perkampungan tradisi Melayu di Semenanjung. "Aura Dr Mahathir selama 22 tahun di tampuk kekuasaan dapat dirasakan hingga kini kerana sepanjang tempoh tersebut rakyat tidal terbeban dengan cukai-cukai yang membebankan rakyat seperti GST," jelasnya lagi.

"Saya kira di kalangan etnik Muslim Bumiputera, fenomena Mahathir masih relevan dan mampu menyumbang kepada kekuatan pembangkang yang mana Bersatu menjadi komponennya. Di Sabah, pengaruh Mahathir terbahagi kepada dua kelompok berlainan yang punya kontra tersendiri. Di kalangan etnik KDM, Mahathir dianggap sebagai pengkhianat rakyat Sabah atas penglibatan beliau mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing.

"Di kalangan masyarakat Cina, fenomena Mahathir cukup memberangsangkan disebabkan sikap anti-Najib dan anti-Umno beliau yang jelas," ujar Hamzah, bekas calon Pas yang pernah kalah tipis di kawasan Parlimen Batu Sapi dalam PRU13.

Seorang blogger menyimpulkan keistimewaan Dr Mahathir dan juga Anwar: "Berbeda dengan tokoh-tokoh kerajaan yang terpaksa menyertai pembangkang, termasuk Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah yang nampak agak kekok, saya perhatikan, Mahathir dan Anwar cepat sesuaikan diri dan serasi dengan budaya kepembangkangan. Mahathir dan Anwar mudah faham bagaimana posisikan diri sebagai pembangkang yang efektif."

Keupayaan pembangkang mencipta sejarah dalam PRU14 bergantung kepada banyak faktor. Ia saling menyumbang, termasuk untuk bertanding atas satu logo dan satu manifesto, juga dengan mengurangkan pertembungan sesama sendiri.

Namun, faktor Mahathir boleh dianggap antara penentu utama, sama ada sehingga mampu mencetuskan Tsunami Mahathir atau tidak. Dalam masa sama, tumpuan juga harus diberikan kepada Tsunami Hadi, yang bakal melengkapi fenomena politik tidak lama lagi.

Ahmad Bashah, letak jawatan kalau tak boleh selesaikan masalah Stadium Darulaman

Kenyataan Media YB Gooi Hsiao Leung 19.3.2017

1. Khamis lalu, saya telah bertanya kepada Menteri Belia dan Sukan di Parlimen sama ada kerajaan persekutuan telah memberikan apa-apa bantuan kewangan tahun lepas dan tahun ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf Stadium Darul Aman, yang sangat diperlukan.

2. Saya kecewa dengan jawapan Menteri bahawa tidak ada bantuan kewangan daripada kementeriannya yang telah diberikan dan tiada sebab juga diberikan oleh Menteri untuk jawapannya.

3. Stadium Darul Aman sudah sejak 2015 telah membuat rayuan terdesak kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf yang segera diperlukan - tetapi malangnya, rayuan stadium telah jatuh pada telinga pekak.

4. Pada masa ini, Stadium Darul Aman memerlukan RM10.9juta untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf sistem pencahayaan lampu limpah, sistem papan markah elektronik dan sistem lif penumpang.

5. 154 daripada 432 biji lampu limpah stadium tidak berfungsi dan Persatuan Bolaksepak Malaysia (FAM) sudah beberapa kali mengeluarkan surat amaran bahawa tahap pencahayaan di stadium gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh FAM untuk perlawanan bolasepak Liga Malaysia untuk dimainkan pada waktu malam.

6. Baru-baru ini pula, pada bulan Januari, Stadium Darul Aman telah juga gagal pemeriksaan untuk tahap pencahayaan yang dilaksanakan oleh The Football Malaysia LLP (FMLPP), badan yang menguruskan Liga Super Malaysia.

7. FMLPP telah memberi kerajaan negeri 60 hari, yang akan luput pada 26/3/2017, untuk membetulkan tahap pencahayaan yang tidak mencukupi dalam Stadium Darul Aman, dan sekiranya tidak, Stadium Darul Aman akan berhadapan risiko nyata – iaitu kehilangan hak untuk menjadi venue tuan rumah pasukan Kedah dalam perlawanan Liga Super dalam permainan pada waktu malam .

8. Sekiranya Stadium Darul Aman di-lucutkan haknya untuk menjadi tuan rumah perlawanan Liga Super, ia akan menjadi satu kekecewaan yang amat besar kepada pasukan bolasepak Kedah, sedangkan prestasi mereka kebelakangan ini cukup cemerlang, setelah memenangi Piala Malaysia tahun lalu, dan sehingga ini tidak ditewaskan dalam satu perlawanan Liga Super 2017 tahun ini.

9. Saya menyeru kepada Menteri Besar Ahmad Bashah untuk henti bermimpi membina stadium barunya dan pergi melakukan apa yang beliau mendakwa sebelum ini, iaitu kehebatannya untuk mencari dana, untuk menyelesaikan masalah kewangan yang sudah lama dihadapi oleh Stadium Darul Aman.

10. Jika Ahmad Bashah gagal ke depan untuk menunaikan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, beliau perlu meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Gooi Hsiao Leung
Ahli Parlimen Alor Setar.
Timbalan Pengerusi Keadilan Negeri Kedah.

Selangor antara 5 negeri sasaran Pas PRU14

21 Mac 2017 | MALAYSIA DATELINE


Nik Abduh Nik Aziz

Pas menyasarkan Selangor sebagai salah satu daripada lima negeri yang mahu ditawan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bercakap kepada Sinar Harian, Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, walaupun matlamat besar parti itu untuk menawan seluruh negara, Pas perlu meletakkan sasaran yang realistik berdasarkan kemampuan parti termasuk jentera yang ada.

“Kita melihat lima negeri termasuk Selangor sebagai sasaran. Yang ada sekarang adalah hasil daripada PRU13 yang mana kita bersetuju PKR memimpin.

“Sekarang sudah berbeza dan tidak sama dengan PRU13, kita buat sasaran kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyebut hasrat Pas memimpin Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor, manakala yang lain terserah kepada Umno.

Nik Abduh yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata, sekiranya trend keputusan itu sama seperti PRU13, pintu rundingan dengan mana-mana pihak masih boleh dibuka.

Nik Abduh menafikan sasaran yang dibuat hasil pakatan dengan Umno sebaliknya dilakukan berdasarkan kemampuan Pas.

“Ini sasaran kita bersama yang dibuat Pas Pusat, (dipersetujui) di semua peringkat. Kita mahu lebih banyak kerusi.

“Yang Tok Guru (Abdul Hadi) sebut negeri Umno dah perintah, makna kekal, bukan bermakna ada satu pakatan, sekiranya Pakatan Harapan nak, dia kena usaha sendiri,” katanya.

Saya mengaku tak akan undi Umno-BN PRU14 - Nakhaei

21 Mac 2017 | MALAYSIA DATELINE


Nakhaei Ahmad

Bekas ahli Umno Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menegaskan, tiada alasan kukuh yang boleh dijadikan sandaran untuk beliau terus mengundi BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang keluar daripada Pas dan menyertai Umno pada tahun 1989 itu berkata, Umno-BN sudah hilang integriti khususnya selepas dakwaan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi perhatian antarabangsa.

"Dengan jujur saya mengaku tidak akan memberi undi kepada Umno-BN dalam PRU14. Sebabnya saya cukup tak puas hati bagaimana isu 1MDB dikendalikan oleh kerajaan.

"Propagandis kerajaan kelihatan merapu dalam memberi penjelasan mengenai isu ini. Hasil-hasil kajian mengenainya diletak di bawah kawalan OSA, pegawai penyiasat ditamat perkhidmatan, ditukar, tindakan yang kelihatan rahsia nengenai 1MDB hendak disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.

"Di luar negara isu ini disenaraikan sebagai skandal rasuah yang memalukan negara," tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kerajaan langsung tidak membuat sesuatu untuk membersihkan nama mereka demi maruah negara sekaligus memberi isyarat seolah-olah skandal itu benar berlaku dan rakyat terpaksa menanggung beban daripada hutang akibat kerugian 1MDB.

"Rakyat sudahlah dibebankan dengan cukai GST yang kononnya untuk kepentingan rakyat. Yang pastinya, rakyat membayar lebih dalam semua barangan dan perkhidmatan melainkan harga kangkung.

"Kerajaan memujuk rakyat dengan BR1M. Kononnya kerajaan membantu ketika rakyat dalam kesusahan. Tetapi kerajaan menipu mereka. Mengaut hasil titik peluh mereka berganda dan memulang kembali hanya secebis. Mereka hilang banyak kemudahan yang dinikmati sebelum ini; sebelum GST dikenakan, sebelum subsidi minyak dihapuskan," katanya lagi.

Bekas naib presiden Pas itu meninggalkan Pas dan menyerti Umno pada tahun 1989.

Pada tahun 2014 beliau membuat keputusan meninggalkan Umno meninggalkan Umno pada tahun 2014 selepas menyertai parti itu pada tahun 1989.

Beliau meninggalkan Umno kerana berpandangan parti itu sudah lari dari perjuangan asal iaitu membela nasib Melayu sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan individu.

Apabila Anak UFN, Anak Ust Azizan & Anak Taulan Rasul sepentas di ceramah Pakatan Harapan maka....

Anak UFN, Anak Ust Azizan & Anak Taulan Rasul (Kedah)

Saya melihat komen-komen kepada Faiz Fadzil Nor, Faiq Azizan dan Surya Putra Taulan seolah-olah mereka tidak beriman dan bertaqwa hanya kerana mereka tidak bersama dan menolak perjuangan PAS..

Mereka yang mengkritik hingga sanggup menyamakan penolakan iman anak Nabi Noh a.s. Penolakan anak Nabi Noh atas dasar aqidah tidak percaya dan berimannya kepada Allah SWT sedangkan penolakan anak-anak bekas pemimpin PAS itu berdasarkan kepada perselisihan pendapat dan pandangan cara melaksanakan Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Mereka tetap menyembah Allah dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw.

Berhentilah untuk menyamakan Islam dengan PAS..

PAS adalah sebuah parti politik yang mana sesebuah gerakan politik tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan.

Orang politik tetap mempunyai hawa nafsu dalam kehidupan mereka. Mereka tidak terlepas melakukan dosa-dosa.

Pemimpin yang zalim akan menggunakan ahlinya demi untuk mencapai kemenangan adapun pemimpin yang adil dan telus akan mengorbankan dirinya sendiri bagi mencapai kemenangan..

Kita boleh mengambil inspirasi kepemimpinan dari seekor gajah..

1. Gajah berkepala besar, memberi simbol seorang pemimpin itu mesti mempunyai otak yang cerdas, pintar, berkreativi dan mampu menyelesaikan segala permasalahan rakyat.

2. Gajah bermata kecil. Seseorang sekiranya dia ingin menfokus dia perlu mengecilkan matanya agar mudah melihat dan fokus bagi dapat mencapai tujuannya.

3. Gajah bertelinga lebar, simbol kepada jiwanya yang sentiasa terbuka dan banyak mendengar rintihan rakyat serta peka terhadap orang disekelilingnya.

4. Gajah mempunyai belalai yang panjang, menunjukkan seorang pemimpin itu perlu mempunyai pandangan yang jauh terhadap masa depan rakyat dan negara.

5. Gajah ada gading yang kuat menunjukkan pemimpin itu perlu ada sistem pertahanan dan kewaspadaan keatas orang yang dipimpinnya.

6. Gajah bertubuh besar lambang keberanian dalam melakukan perlawanan dan pembelaan keatas umatnya.

Cikgu Mahmud Zaim Musa





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...