TERKINI :

Thursday, March 16, 2017

NAJIB HARUS BANGGA DENGAN KEBERANIAN NAZRI, SEGERA UMUMKANNYA MEWAKILI UMNO, KERAJAAN


Sebagai menteri kanan dan telah menganggotai kabinet sejak era Tun Mahathir Mohamad lagi, kekecewaan Nazri Aziz tentunya dapat difahami apabila UMNO dan kerajaan seperti mahu menjarakkan diri daripada dikaitkan dengan debat yang disertainya pada 25 Mac depan nanti.

Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, beliau pun keliru apabila UMNO dan kerajaan mengatakan beliau tidak mewakili mereka sedangkan pembangkang menganggapnya mewakili kerajaan.


Senang saja, saya mewakili pengundi Padang Rengas kerana saya adalah Ahli Parlimen Padang Rengas, kata Nazri seakan-akan memilih jalan tengah.


Debat antara Nazri Aziz dengan Tun Mahathir, jika tidak dibatalkan pada saat-saat akhir, akan diadakan pada 25 Mac ini, jam 3.00 petang di MRSM Sultan Azlan Shah, Padang Rengas, Perak.

Meskipun tajuk dan isi perdebatan ialah berkaitan isu-isu yang melingkari Perdana Menteri, UMNO dan kerajaan seperti 1MDB, dana RM2,600 juta, hutang RM55 bilion untuk landasan keretapi Pantai Timur, skandal BMF dan lain-lain, keberanian Nazri menyahut cabaran Tun Mahathir untuk berdebat nampaknya langsung tidak dihargai.


Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani awal-awal lagi mengatakan penyertaan Nazri dalam debat itu tidak mewakili kerajaan.


Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa juga menolak Nazri sebagai mewakili UMNO dalam debat tersebut dengan alasan ia tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.


Kata Annuar lagi, penglibatan Nazri adalah atas kapasiti peribadinya.


Daripada satu segi, meskipun tidak dianggap mewakili UMNO dan kerajaan, Nazri adalah satu-satunya pemimpin UMNO dan menteri yang berani berdebat dengan Tun Mahathir.


Yang lain-lain seperti Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Azalina Othman Said atau Tengku Adnan Tengku Mansor, walaupun mereka juga kerap mengeluarkan kenyataan mengkritik Tun Mahathir, tetapi keberanian mereka hanyalah sekadar berani bercakap di depan mikrofon yang dihadiri media atau penyokong sendiri saja.


Mereka itu sama saja seperti Najib, kalau bercakap secara sehala bukan main lagi lagaknya, tetapi langsung tidak berani memunculkan diri dalam program NothingToHide, meskipun ia diadakan di PWTC yang merupakan bangunan milik UMNO sendiri.


Sebab itu, keberanian Nazri untuk berdebat dengan Tun Mahathir sekurang-kurangnya haruslah dihargai kerana beliau satu-satunya pemimpin UMNO dan kerajan yang berani tampil secara berdepan dengan musuh utama Najib semata-mata untuk mempertahankan Perdana Menteri.


Di sebalik dilabel pengecut dan tidak berani bersemuka dengan Tun Mahathir, Najib setidak-tidaknya dapat menebus gelaran yang memalukan dirinya itu jika beliau dapat segera mengumumkan bahawa penyertaaan Nazri dalam debat pada 25 Mac nanti adalah mewakili UMNO dan kerajaan.


Najib harus berbangga dengan  Nazri serta memberi pengiktirafan atas keberanian menteri kabinetnya itu.


Dengan adanya mandat mewakili UMNO dan kerajaan juga, Nazri juga tentunya lebih bersemangat dan akan tampil dengan penuh yakin bersama hujah-hujahnya dalam debat itu nanti.


Ayuh Najib...segeralah tampil memberikan pengiktirafan kepada Nazri dan jangan biarkan beliau keseorangan, lemah semangat dan hanya disokong oleh penyokong-penyokongnya dari Padang Rengas saja. (ShahbudinHusin 16/03/2017).

Adakah Parti Baru dari Ezam & Khairuddin adalah untuk melengkapkan Gabungan Baru PH+PPBM untuk berhadapan BN..?

Parti baharu, tunggu kenyataan rasmi saya: Ezzam


SHAH ALAM – Tunggu kenyataan rasmi saya, demikian jawapan ringkas oleh bekas Senator, Datuk Ezzam Mohd Nor berkenaan desas-desus parti baharu yang akan ditubuhkannya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkaitan perkara itu memberitahu, satu kenyataan rasmi hanya akan diberikan pada Jumaat.

"Saya berada di luar negara, kenyataan rasmi akan saya berikan esok (Jumaat)," katanya menerusi pesanan ringkas WhatApp sebentar tadi. Memetik laporan Free Malaysia Today, bekas anggota Bersatu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Ezzam dikatakan dalam fasa menubuhkan sebuah parti baharu.

Khairuddin berkata, parti itu ditubuhkan khusus untuk memerangi gejala rasuah yang berlaku di negara ini.


Biarpun masih di peringkat permulaan, namun parti itu mensasarkan golongan muda khususnya generasi Y bagi mengelakkan diri daripada rasuah.

"Kami sebuah parti dengan objektif tunggal memerangi rasuah," kata bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu.

"Generasi Y (lahir 1980-an hingga awal 1990-an) pada masa ini nampaknya dipinggirkan dan diabaikan, tetapi parti yang akan ditubuhkan ini akan menjadikan Gen Y tumpuan mereka," katanya kepada portal berkenaan.

Khairuddin berkata, parti baharu itu nanti tidak akan bersaing melawan pakatan pembangkang terbesar, Pakatan Harapan.

Sebaliknya, mereka mahu melengkapkan Pakatan Harapan dan sekutu baharu, Bersatu yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apa sahaja kelemahan Pakatan Harapan, kami akan ambil tanggungjawab menutup kekurangan itu.

"Untuk PRU14 nanti, kami hanya minta diberi dua kerusi," katanya.

Dua kerusi itu adalah kerusi Parlimen Pekan, iaitu kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kerusi Titiwangsa, iaitu kawasan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ezam menyasarkan Najib sementara Khairuddin mahu mencabar Johari.

"Jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia meluluskan parti ini, kami akan buat permohonan rasmi kepada Pakatan Harapan dan tanya bolehkah kami menjadi parti komponen.

"Kami juga memilih Pekan dan Titiwangsa kerana ahli Parlimen di situ mengetuai kementerian kewangan, yang menjadi lubuk kepada masalah kewangan negara.

"Kami mahu baiki masalah itu, kami mahu hentikan sebarang bentuk rasuah dalam kementerian itu."

Sehingga ini, hasrat itu masih belum dinyatakan kepada pimpinan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir, tetapi akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Pada PRU15 nanti, parti ini bersedia mengambil peranan sebagai pemimpin negara masa depan.

"Ini bukan lagi mengenai kami. Kami hanya mahu membentuk mereka menjadi pemimpin berwibawa yang akan mengambil tempat kita suatu hari nanti.

"Sebab itu kami tidak terburu-buru menjadi sebuah parti yang besar. Itu cerita kemudian hari, mungkin pada PRU15," katanya.  

Cash is king - Menghalal yang haram

Cash is king atau wang tunai itu raja bermakna kepercayaan bahawa sogokan wang; rasuah boleh menjayakan apa sahaja.

Inilah yang dipercayai oleh Datuk Seri Najib Perdana Menteri Malaysia. Dia percaya dia boleh berjaya melalui rasuah.

Ternampak ramai juga dari pemegang jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia sekarang yang percaya cash is king.

Sebab itu kita lihat sekarang bukan sahaja rasuah melibatkan ramai pegawai tinggi kerajaan tetapi jumlah wang yang mereka kumpul juga amat besar; berpuluh bahkan beratus juta ringgit. Cara hidup mereka juga mewah luar biasa.

Kesannya ialah peningkatan kos segala-galanya, hasil kerja berkualiti rendah dengan harga yang lebih tinggi kerana pemberi rasuah cuba mendapat balik wang yang dihulur untuk kelulusan dari pegawai.
Ramai pemimpin politik kerajaan sudah menjadi begitu kaya kerana rasuah. Tidak ada segan silu lagi apabila menunjuk stail cara hidup mewah yang melebihi pendapatan yang halal.

Aku kebal

Jika orang ramai lihat perbelanjaan perkahwinan anak yang menelan berjuta ringgit, pemilikan rumah seperti mahligai, kereta mewah dan lain-lain, itu okay.

Apa yang mereka boleh buat. Aku kebal, kata perasuah.

Jika pemimpin tertinggi jelas menerima rasuah dan percaya cash is king, kenapa mereka yang berada di bawah pemimpin perasuah ini tidak boleh terima bahagian mereka.

Maka bertimbun-timbunlah kes rasuah yang dikesan oleh badan pencegah rasuah. Dan masyarakat pun tidak lagi hairan melihat kes-kes ini. Dia sudah jadi perkara biasa!

Jika dunia mendakwa negara Malaysia tinggi indeks korupsinya, itu pun okay. Apa yang mereka boleh buat. Kita ada kawan yang tidak peduli indeks apa pun.

Budaya masyarakat sudah berubah dan menerima cash is king sebagai sebahagian dari budaya kita. Untuk apa sahaja, sogokan perlu diberi dengan wang rasuah yang meningkat.

Dan kos sara hidup meningkat. Pembangunan pun tersekat, khidmat pun terlewat.

Apabila datang seorang menghulur duit untuk mendapat khidmat yang percuma, percayalah tujuannya ialah untuk membolehkannya kuasa dan peluang untuk melakukan sesuatu yang tidak baik.

Yang menerima sogokan akan menjadi rakan dalam jenayah yang akan dilakukan.

Negara jadi bankrap

Demikian undi dalam PRU adalah percuma. Tidak ada bayaran apa-apa yang diperlukan. Jika sesiapa menghulur duit untuk mendapat undi, sebabnya tentulah kerana mempunyai niat yang tidak baik jika menang.

Perlakuan yang tidak baik oleh pemenang melalui rasuah tetap akan membawa kerosakan yang akhirnya akan dirasai oleh pengundi itu sendiri.

Lebih dari itu jika pemenang mendiri kerajaan, maka kuasa dan kewangan kerajaan tetap akan disalahgunakan. Jika perlakuan sekarang dijadikan contoh, pencurian duit kerajaan juga boleh berlaku.

Kenapa tidak?

Untuk terus berkuasa sogokan perlu diberi lagi. Penipuan, pencurian mesti dilakukan lagi.

Dengan menyalahguna wang kerajaan, pentadbiran akan menghadapi masalah kewangan.

Akhirnya negara akan jadi bankrap. Dengan ini rakyat, termasuk mereka yang menerima sogokan akan menderita.

===================
TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah perdana menteri Malaysia keempat dan paling lama setakat ini. Beliau berkhidmat selama 22 tahun bermula tahun 1981 hingga 2013 dan kini adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Seleweng tanah bumiputera memang asam garam Umno

 | MALAYSIA DATELINE

Hassan KarimHassan KarimPenyelewengan terhadap hartanah bumiputera sudah menjadi asam garam pemimpin Umno sekaligus bertentangan dengan reputasi palsu parti itu sebagai 'pembela' orang Melayu, tegas Pengerusi PKR Negeri Johor Hassan Karim.

Menurut beliau, perbuatan menggadai status hartanah bumiputera demi keuntungan peribadi hanya mengabsahkan Umno sebagai parti 'penggadai' tanah rizab Melayu.

"Inikah punca jumlah keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Melaka dan Pulau Pinang, hanya  11.99 peratus berbanding jumlah yang diperuntukkan iaitu 50 peratus.

"Dengan lambakan rekod rasuah dan penyelewengan semakin teruk, adakah slogan 'Hidup Melayu' bermaksud melindungi elitis Umno yang melakukan penyelewengan?" soal beliau.

Sehubungan itu, PKR Johor tegasnya mempertikai kepimpinan kerajaan BN negeri yang diterajui Datuk Seri Khaled Nordin dalam melindungi hak pemilikan hartanah bumiputera.

Menurut Hassan, kes kecurian dokumen dari 'bilik kebal' Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor tidak seharusnya berlaku kerana ia menjejaskan hak tanah rakyat dan menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru itu, PKR Johor menuntut Menteri Besar meningkatkan keyakinan rakyat yang semakin lenyap akibat skandal rasuah dan tidak hanya menyerahkan penyelewengan yang berlaku kepada polis semata-mata.

"Ini kerana banyak persoalan timbul lantaran bilik kebal yang penuh dokumen penting tidak dijaga dengan baik. Tentunya, rakyat berhak berasa curiga dan mengesyaki ada sesuatu yang tak kena.

"Apatah lagi ia terjadi ketika siasatan sedang berjalan terhadap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi. Rakyat juga pasti tertanya-tanya dengan  penemuan 150 beg tangan jenama mewah yang dirampas SPRM pada serbuan di rumah exco tersebut," katanya.

Rentetan kejadian ini, tambah beliau mendedahkan tembelang Umno dalam urusan hartanah bumiputera yang terbongkar satu demi satu termasuk membabitkan anak pemimpin negeri.

Skandal penyelewengan hartanah bumiputera Johor mula terbongkar selepas SPRM menahan enam lelaki termasuk anak anggota exco kerajaan negeri pada 25 Februari lalu.

Mampukah Amanah Bertahan?

16 Mac 2017 | AHMAD LUTFI OTHMAN

Apakah Parti Amanah Negara (Amanah) bakal menemui kegagalan, mengulangi sejarah parti-parti serpihan Pas, misalnya Berjasa dan Hamim? Atau, mungkin ia terpaksa diserapkan ke dalam parti pembangkang yang lebih besar, contohnya digabungkan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

Apakah Amanah akan diberi kepercayaan penuh oleh rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pas? Sedangkan, dalam masa sama kedudukan Pas sendiri belum diputuskan secara muktamad, terutama apabila PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih tidak berputus asa untuk terus berunding dengan pimpinan parti Islam itu walaupun menemui jalan sukar.

Ya, sebahagian memandang remeh dan rendah keupayaan Amanah. Ada pula yang masih belum memahami alasan mengapa ia perlu ditubuhkan, termasuk pihak yang dekat dengannya.

Lebih malang, parti baharu ini bukan saja berdepan tekanan elit penguasa - seperti lazimnya parti pembangkang - malah mencetuskan kecurigaan di kalangan parti rakan dan terus-menerus menerima tohmahan dan label negatif daripada Pas. Hatta nama rasmi parti, Amanah, juga diperolok-olokkan; sering dirujuk sebagai pengkhianat atau PAN, dengan istilah menyindir, parti kuali!

Tidak kurang yang mempersoalkan keupayaan Amanah untuk mempengaruhi pengundi Melayu, terutama di kawasan luar bandar dan penempatan Felda. Mungkin parti itu boleh mendapat tempat di hati pengundi kota, khususnya masyarakat Tionghua, tetapi sukar diterima pengundi Melayu di kampung tradisional.

Momentum penghijrahan ahli Pas ke dalam Amanah pula seperti tersekat, selepas gelombang pertama sejurus ia ditubuhkan. 
Walaupun berjaya mewujudkan pangkalan di setiap kawasan Parlimen terutama di Semenanjung, tetapi jumlah keahliannya dipercayai tidak begitu meluas.

Pas pula mempamerkan aktivitinya, yang masih menerima kehadiran ramai, di samping permohonan menjadi ahli yang semakin bertambah setiap bulan.

Dr Mazlan Ali

Namun, dalam masa sama, ramai penganalisis politik menyimpan harapan lebih besar terhadap potensi Amanah, sebuah lagi parti Islam di negara ini. Pensyarah kanan Perdana School, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali, yang sering muncul di kaca TV mengulas isu-isu politik, mempunyai tanggapan tersendiri.

"Amanah parti yang sangat muda, justeru peluang perlu diberi untuknya berkembang seiring perkembangan masa. Meskipun Pas dan Umno adalah dua parti Melayu yang dominan, ini tidak bermakna Amanah tidak mempunyai kemampuan menguasai sokongan Melayu.

"Malah saya melihat ia mampu memikat beberapa segmen pengundi, misalnya Melayu bandar, Melayu semi bandar, Melayu berpendidikan, Melayu yg berkarakteristik mobile, Melayu yang menjiwai semangat Islam progresif dan golongan muda Melayu," ujarnya, dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Julai 2015, mengulas penubuhan Gabungan Harapan Baru (GHB) oleh pimpinan Pas yang tewas dalam muktamar parti di Kuala Selangor, yang kemudiannya menjadi tapak awal kepada Amanah, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Agus Yusof mengulas:

"Walaupun sejarah menunjukkan sukar bagi parti serpihan kekal kuat, tetapi dilihat kepada semangat golongan kelas pertengahan dan anak muda yang mahukan perubahan politik serta masalah yang dihadapi kepemimpinan Umno sekarang, ada banyak ruang yang boleh digunakan oleh kumpulan progresif untuk menarik sokongan rakyat. Gunalah ruang itu sebaiknya."

Dr Agus turut kecewa dengan sikap dan pendirian politik pemimpin Pas yang ada.

"Tanpa kumpulan progresif ini, tiada lagi pemimpin Pas yang kelihatan merakyat dan memahami isu-isu semasa negara. Tiada lagi kenyataan menarik dari pemimpin Pas untuk mengulas isu Felda, GST, 1MDB dan lainnya," tambahnya.

Seorang lagi pensyarah, bergelar profesor madya mengaitkan Pas umpama tongkat kepada Perdana Menteri, yang memperkukuhkan kedudukan Najib Razak ketika dia hampir rebah, walaupun diselubungi pelbagai skandal mega.

"Jika Pas berada bersama grand coalition pembangkang, mungkin Najib sudah tumbang," katanya sambil menambah, "tapi Pas keliru untuk mengambil pendirian tegas."

Justeru, begitu ramai rakyat di luar sana, yang jumlahnya jutaan orang, kecewa untuk melihat satu kolisi yang mantap untuk menyaingi BN. Inilah masa terbaik untuk menyaksikan peralihan kerajaan, apatah lagi dalam masa sama Umno menghadapi krisis dalaman yang serius apabila Dr Mahathir Mohamad bertungkus-lumus, siang malam, berkempen menjatuhkan BN-Najib.

"Hala tuju politik Pas semakin sempit dan saya percaya politik bunuh diri Pas ini akan membuat mereka tersudut dalam arus utama politik tidak lama lagi, selain kehilangan sokongan orang Melayu," kata Dr Mazlan.

Istilah "politik bunuh diri" ini digunakan oleh ramai pengulas, termasuk sarjana media, Dr Janet Steele, Universiti George Washington, merujuk perkembangan terkini Pas dan pembangkang di negara ini.

"Sejak 2008, saya perhatikan politik Malaysia ada harapan dan potensi yang baik, tetapi realiti sekarang agak mengecewakan," katanya, dalam kunjungan ke Kuala Lumpur.

Menyanggah tohmahan bahawa Amanah sukar berkembang dan mungkin gagal mengisi kekosongan Pas, Dr Mazlan menyifatkan kewujudannya sama sekali berbeza dengan kewujudan parti serpihan PAS sebelumnya.

"Amanah wujud disebabkan pertembungan aliran pemikiran, idea dan fikrah dalam Pas. Pas berpecah kepada dua aliran iaitu aliran konservatif dan aliran progresif. Aliran progresif akhirnya membentuk Amanah.

"Amanah adalah satu gerakan berbentuk harakah dan tajdid, justeru ia bergerak dalam lingkungan menyeluruh iaitu dari akar (grassroot) hingga ke pucuk (kepimpinan). Ia berpotensi untuk survive lebih lama, sama seperti Pas dalam Umno dahulu, berpecah dan bergerak dalam aliran tersendiri, ideologi Islam," ujarnya 
sambil menekankan kewujudan Berjasa dan Hamim bukan disebabkan pertarungan aliran pemikiran tetapi survival kepimpinan.

Kassim Muhamad (kiri) bersama Pak Samad

Ditanya justifikasi penubuhan Amanah, aktivis kebudayaan, Kassim Muhamad, yang juga antara pengasas Seniman Paksi rakyat (Paksi) berkata: "Punca utama penubuhan parti Islam yang baharu ialah kegagalan saf kepimpinan Pas menghayati prinsip berorganisasi yang telus, terbuka dan demokratik.

"Kita di luar Pas pun dapat merasakan bahawa ada agenda tersembunyi yang sengaja dibawa secara diam-diam. Ini adalah agenda Melayu-Islam yang sangat ketara. Pendekatan untuk tidur sekelambu dengan Umno sangat melukakan."

"Amanah perlu fokus kepada usaha mendapat sokongan rakyat dan bukannya melayan kebadutan Pas." tambah Kassim. "Amanah mesti terus mara dengan menjuarai isu-isu rakyat. Itu sudahpun dilakukan Amanah tapi ia mestilah ditingkatkan," ujarnya.

Menyentuh tanggapan bahawa orang ramai semakin tidak berminat dengan isu-isu politik dan kenegaraan, Kasim berkata, rakyat termasuk anak-anak muda sudah letih dan bosan dengan antiknya para politikus.

"Mereka tak lagi melihat orang politik sebagai mereka yang bersih dan bercakap benar. Amanah boleh perbaiki aspek ini," katanya.

Persepsi Pas tidak lagi menentang regim Umno atau seumpamanya sudah pasti dibantah majoriti kepimpinannya dan dianggap fitnah untuk memburuk-burukkan maruah parti Islam. Namun, tidak mudah menolak andaian itu jika merujuk hubungan selesa Umno-Pas dan dalam masa sama timbul pelbagai masalah dan kerenah antara Pas dengan oposisi lain.

Tarmizi Mohd Jam

Tarmizi Mohd Jam, Pengarah komunikasi Amanah Wilayah Persekutuan lebih suka berterus-terang tentang masa depan parti itu.

"Sambutan orang muda di KL sangat perlahan. Mungkin tiada tokoh anak muda yang terajui Amanah Wilayah. Tiada event gila-gila, menonjol ditampilkan. Tiada mobilisasi khusus ke arah tarik anak muda sertai Amanah. Pemuda sekadar menjaring ikan yang tersangkut lekat, hasil tidak lumayan," katanya.

Apa pun, menurut Tarmizi, berdasarkan kerja kuat ahli, keupayaan pimpinan negeri dan nasional, tidak mungkin Amanah senasib Berjasa dan Hamim.

"Teras Amanah didukung aktivis yang segar, kreatif dan inovatif. Sifat peduli juga jd daya tarikan masyarakat.

"Namun ia bergantung kerusi yang diraih dalam PRU14 kelak. Jika sifar, ia ada kesan kepada kemurungan parti selepas itu. Amanah perlu pastikan kerusi tertentu yang boleh menang diberi fokus.

"Sudah tepu untuk mengharapkan ahli Pas sertai Amanah kecuali Pas secara terbuka isytihar bersama Umno," rumus Tarmizisambil mengakui sedikit sekali penyertaan ahli Umno atau "orang atas pagar".

Ditanya hubungan Amanah dengan parti pembangkang lain di Wilayah Persekutuan, beliau mengakui hubungan ada sedikit tidak sihat denga PKR, gara-gara ada pihak mahu berbaik dengan Pas.

"Kami belum berjaya luncurkan Pakatan Harapan peringkat Wilayah. Harapnya dapat dibuat secepat mungkin, apatah lagi dengan penyertaan Bersatu." kata Tarmizi lagi.

Sementara itu Dr Mazlan menggariskan tiga cabaran besar Amanah. Ia mesti terus teguh mengukuhkan tahaluf siasi dengan parti-parti dalam blok pembangkang. Kedua, membuka pintu rundingan, mempertimbangkan apa juga cadangan yang baik, tetapi mesti menolak sebarang cadangan supaya Amanah tidak menyertai PRU14.

Dari segi pengembangan parti, kata Dr Mazlan, ahli dan pemimpin Amanah perlu menggandakan usaha menambah cawangan dan ahli.

"Sasaran utama Amanah adalah pengundi Melayu. Pengundi Melayu perlukan sentuhan (touching), tidak seperti kaum Cina. Perhatian perlu diberikan kepada golongan miskin bandar, tubuhkan pusat khidmat, one stop center, untuk menyantuni rakyat. Di luar bandar, ahli dan kepimpinan Amanah perlu sertai institusi rakyat seperti surau, masjid, persatuan dan agensi kerajaan," tambahnya.

Beliau juga melihat cabaran besar lainnya adalah serangan musuh Umno dan Pas- bahawa Amanah adalah proksi DAP.

"Persepsi ini diperkuatkan dengan tujuan untuk melemahkan sokongan orang Melayu kepada Amanah," tambah Dr Mazlan.

Sesungguhnya rintangan dan cabaran buat parti baru ini begitu sengit-kritikal. Amanah memang sebuah parti masa depan yang begitu menjanjikan, tetapi apakah ia mampu lolos ujian awal ketika ini, apatah lagi ia menjadi sasaran percubaan "bunuh" oleh pelbagai pihak?

Bersediakah parti-parti rakan memperuntukkan jumlah kerusi yang munasabah dalam PRU14 kepada Amanah? Apakah gabungan mega pembangkang kali ini tidak akan berlaku gejala "tikam belakang" bagi menampilkan kesatuan yang benar-benar mantap? Berjayakah impian satu logo direalisasikan, untuk memudahkan rakyat membuat keputusan menyokong satu-satunya parti lawan kepada BN?





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...