TERKINI :

Wednesday, March 15, 2017

Pas tidak akan sepentas dan bekerjasama dengan Bersatu-Mohd Amar

PAS tidak lagi berminat berada sepentas dengan Parti Pribumi Persatu Malaysia (Bersatu) sekiranya benar keputusan parti itu menyertai Pakatan Harapan.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata jika itu keputusan rasmi parti itu, PAS menganggap tidak ada hubungan lagi dengan parti itu.

“Ini kerana PAS sejak awal lagi memaklumkan tidak akan sertai Pakatan Harapan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini seperti dilapor lidah rasmi parti Harakah.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengesahkan partinya menyertai Pakatan Harapan.

“Kalau itulah keputusan rasminya, kita terpaksa membuat keputusan untuk tiada lagi hubungan dengan Bersatu.

“Kerana itu tidak ada lagi perbincangan untuk terus bersama dan ia dianggap sudah selesai,” ujarnya.

Bagaimanapun Mohd Amar berkata, beliau menghormati pendirian yang dibuat parti itumenyertai Pakatan Harapan.

Menurut beliau semua pihak boleh membuat keputusan sendiri.

“Kita ada pendirian kita dan orang lain juga ada pendirian sendiri. Kita tidak boleh nak paksa sesiapa ikut kita,” tambahnya.

Beliau memberitahu PAS sudah membentuk blok ketiga yang dikenali Gagasan Sejahtera.

Kata beliau gerakan itu akan dilancar secara rasminya pada muktamar tahun ini.

BERSATU SERTAI PH, SATU KEPUTUSAN YANG TEPAT.. APA PERASAAN UMNO & PAS?

BERSATU SERTAI PH - SATU KEPUTUSAN TEPAT DAN MEMUDAHKAN LAGI PAS BERGABUNG DENGAN UMNO

Walaupun agak terlewat dan telah membazirkan banyak masa sebelum ini, Bersatu akhirnya telah membuat satu keputusan yang tepat iaitu secara rasmi menyertai Pakatan Harapan.

Dengan keputusan tersebut yang diumumkan semalam, Pakatan Harapan secara automatik akan menjadi sebuah gabungan yang kukuh dan mantap yang dianggotai empat parti iaitu PKR, DAP, Amanah serta Bersatu bagi melawan BN dalam pilihanraya akan datang.

Dalam mesyuarat semalam, sebenarnya ada dua keputusan penting yang dibuat oleh Bersatu. Pertama, membuat keputusan sebulat suara menyertai Pakatan Harapan dan kedua, menangguhkan sebarang hubungannya dengan Pas sehingga parti  Islam itu benar-benar ada pendirian yang jelas tentang haluan yang mahu ditujunya.

Ini bermakna, selepas ini tiada lagi ceramah bersama antara Bersatu dengan Pas dan rundingan untuk bekerjasama yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang sudah bertemu beberapa kali, turut dihentikan.

Sebelum ini, Pas sentiasa berdolak-dalik dan tiada ketentuan mengenai pendiriannya. Sekejap mahu bekerjasama dengan Bersatu, tetapi sekajap kemudian mengatakan tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.

Sekejap mahu berlawan dan ingin menumbangkan BN, sekejap yang lain macam seronok sedondon, sama-sama berjubah putih dan duduk sepentas dengan pemimpin-pemimpin UMNO. 

Muslimat Pas pun nampak bukan main seronok dapat berselfie dengan Najib, jauh lebih ceria berbanding bertemu pemimpin mereka sendiri.

Pemimpin-pemimpin Pas pula seperti ada dua kelompok yang sengaja dicipta di mana satu pihak sedia berunding dan duduk semeja dengan Bersatu, manakala satu pihak yang lain kerjanya asyik membelasah dan mencerca Tun Mahathir Mohamad saja.

Dalam keadaan begitu, jika Bersatu terus juga merundingkan hubungan kerjasama dengan Pas, segala-galanya akan nampak celaru dan tiada berkesudahan dan membuang masa sedangkan tarikh pilihanraya makin hari makin hampir detik ketibaannya.

Maka, dengan menyertai Pakatan Harapan dan menangguhkan hubungannya dengan Pas, Bersatu bukan saja boleh merundingkan soal pembahagian kerusi pilihanraya dengan aman dan selesa, malah sudah boleh memulakan gerak kerja secara bersama dengan segera.

Yang penting, Pakatan Harapan kini sudah boleh menampilkan dirinya sebagai alternatif untuk sebuah kerajaan baru bagi menggantikan BN. Meskipun hanya dianggotai empat parti, tetapi Pakatan Harapan adalah menyeluruh merangkumi perjuangan semua kaum yang ada di negara ini.

Dari segi perjuangan untuk Melayu saja misalnya, berbanding BN yang hanya ada UMNO, sebaliknya keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan boleh disertai dan dijadikan wadah perjuangan oleh orang-orang Melayu.

Rakyat selepas ini akan melihat hanya Pakatan Harapan dan BN sebagai pilihan untuk menerajui kerajaan. Jika mahu negara diselamatkan, pilihan adalah Pakatan Harapan. Kalau mahu kleptokrasi terus berleluasa, undilah UMNO dan BN.

Apa akan jadi kepada Pas?

Bagi Pas, terserah kepada mereka untuk membuat pilihan. Jika Pas masih mahu bersama dalam perjuangan untuk sama-sama menumbangkan UMNO dan BN, mereka mungkin boleh menulis surat mengenai hasrat itu kepada Pakatan Harapan dan Bersatu atau PKR barangkali boleh menjadi jambatannya.

Tetapi, berdasarkan sikap keras Pas menolak DAP dan Amanah secara berterusan, nampaknya mustahil untuk parti itu mahu bersama-sama dengan Pakatan Harapan.

Demi ego, bersendirian adalah salah satu pilihan bagi Pas untuk meneruskan perjuangan. Namun, dengan bersendirian, Pas tidak boleh lagi dianggap mahu menumbangkan UMNO dan BN atau mengamalkan perjuangan untuk amar makruf, nahi mungkar. Tujuannya boleh jadi untuk memberi keselesaan kepada Najib untuk kekal berkuasa.

Bagaimanapun, Pas juga harus ingat bahawa dengan bersendirian dan tersepit di antara perlawanan antara gajah dengan gajah, tentulah mustahil kambing tiba-tiba boleh muncul sebagai pemenangnya.

Lagi pun, dengan hanya mahu bertanding 70 kerusi Parlimen dan tidak mungkin berupaya menubuhkan kerajaan, hanya pentaksub dan golongan walaun saja yang akan terus memberi undi kepada Pas. 

Bagi pengundi yang rasional dan berfikir tentang masa depan, mereka akan menganggap hanya membuang masa saja memberi undi kepada parti yang tidak mungkin membentuk kerajaan.

Bermakna, bersendirian tiada masa depan, tetapi mahu menyertai Pakatan Harapan nampak mustahil kerana ada DAP dan Amanah di dalamnya. 

Maka, pilihan terbaik bagi Pas, di sebalik keputusan Bersatu menyertai Pakatan Harapan ini ialah dengan mereka segera bergabung dengan UMNO dan BN untuk menjadi tongkat penyelamat kepada masa depan Najib yang sedang terumbang-ambing dan hampir kelemasan sekarang ini.

Kecil tapak tangan, pasti nyiru Najib tadahkan untuk menyambut kedatangan Pas itu. (ShahbudinHusin 15/03/2017).

Bersatu sertai PH berita duka kepada BN, kata Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Nasional yakin keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Pakatan Harapan merupakan berita duka kepada Barisan Nasional (BN) yang berusaha memecahkan kesatuan pembangkang.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, penyertaan Bersatu ke dalam Pakatan Harapan semestinya diterima baik oleh masyarakat yang sangat berharap parti-parti pembangkang dapat mewujudkan kerjasama yang kukuh.

"Kini sudah tiba masanya untuk Amanah, PKR, DAP dan Bersatu bergerak seiring dengan lebih meyakinkan dalam membawa harapan rakyat untuk melihat satu perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

"Ayuh bergerak secara sistematik dan bersama dengan satu tujuan iaitu menumbangkan kepimpinan kleptokrat dan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bersatu menerusi Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi mengumumkan penyertaannya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan. 

Bersatu dan Pakatan Harapan akan menggunakan satu logo, satu calon dan satu manifesto dalam gabungan kerjasama mega parti pembangkang di negara ini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Sany berkata pihaknya meyambut baik keputusan tersebut memandangkan sejak awal lagi pimpinan Pakatan Harapan telah mengajak dan mengalu-alukan parti baharu itu untuk bersama dalam gabungan pembangkang bagi menghadapi BN.

"Pendirian terbaru Bersatu ini adalah satu perkembangan yang sangat positif ke arah mengukuhkan kesatuan, kebersamaan dan kekuatan jentera keempat-empat parti.

"Ini akan memudahkan lagi perancangan gerak kerja bersama di semua peringkat sama ada di nasional mahupun di peringkat bawahan," katanya lagi.

Pemuda Amanah melawat tapak kejadian MBAS merobohkan gerai di kawasan MB KEDAH

Petang semalam Pemuda Amanah telah datang menziarah gerai yang telah di roboh oleh pihak berkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar walaupun tuan kedai iaitu Sdr A Hamidan yang telah berniaga 15 tahun secara sah di Taman Mergong Indah dalam kawasan Dun Bakar Bata yang dimenangi oleh MB KEDAH.

Beliau juga berniaga  dengan mempunyai permit namun beliau diberi notis tidak sampai seminggu dan tindakan terus diambil.

Namun kini beliau kembali berniaga ditapak berkenaan dengan memasang khemah kerana hanyai inilah sumber pendapatan untuk menampung kehidupan harian menyara keluarga yang mampu beliau lakukan sejak 15 tahun dahulu.

Pemuda Amanah Kedah akan ajukan masalah dan isu ini kepada Dato Bandar Alor Setar.

15 Mac 2017.
TMN MERGONG INDAH.

Harga tiket Stadium Darul Aman naik?

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

14 Mac 2017

Prestasi cemerlang Hijau Kuning musim ini menyaksikan penyokong tidak mahu ketinggalan menonton persembahan konsisten pasukan di Stadium Darul Aman pada setiap perlawanan.

PENYOKONG Kedah terkejut dengan kenaikan harga tiket bagi suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman selepas ia ditularkan di media sosial.

Menjawab persoalan itu, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tampil mengesahkan perkara tersebut.

Perubahan harga tiket perlawanan di Stadium Darul Aman melibatkan peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia musim 2017 iaitu Terbuka RM15, Berbumbung RM30 dan Astaka Utama RM40.

Menurut mereka, hebahan media sudahpun dilakukan oleh pihaknya sejak 7 Disember 2016 selepas keputusan itu dipersetujui melalui keputusan sebulat suara Kongres Tahunan KFA 2016 bagi sidang ke-41.

"Ahli majlis eksekutif dan ahli gabungan KFA membuat keputusan bersetuju sebulat suara untuk menaikkan harga tiket yang hanya melibatkan bagi perlawanan tumpuan tinggi iaitu peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia bermula 2017.

Bagaimanapun, Perlawanan Liga Super, peringkat pusingan awal kumpulan Piala FA dan dan aksi kumpulan TM Piala Malaysia bagi musim 2017 harga tiket (termasuk GST) masih kekal iaitu Terbuka RM10, Berbumbung RM20 dan Astaka Utama RM30," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shahrol Niza Omar yang berada di luar negara ketika dihubungi berkata, keputusan harga tiket itu telah mendapat persetujuan oleh 13 Ahli Majlis Eksekutif dan 37 badan gabungan persatuan tersebut.

"Keputusan kongres menaikkan harga tiket masih kekal melainkan ada keputusan saat akhir sebelum perlawanan Suku Akhir bermula pada 31 Mac atau 1 April nanti," katanya kepada Sinar Harian





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...