TERKINI :

Tuesday, March 14, 2017

Catatan ‘lempang’ Iskandar Samad: Pas berpecah lagi menjelang Muktamar?


Menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-63 pada 28 April hingga 1 Mei depan, Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad seolah-olah memberi gambaran insiden ‘lempang-melempangi’ bakal tercetus pada pemilihan parti tersebut.

Tanpa menyebut secara khusus, empat status Facebook yang dimuat naik Pesuruhjaya Pas Selangor Rabu lalu dilihat konsisten merujuk kepada kemungkinan penyingkiran kumpulan tertentu pada pemilihan sempena himpunan tahunan itu.

Berturut-turutan pada 8 April lalu sehingga 9.41 malam, Iskandar memulakan kenyataan dengan menulis, “Tunjukkan kehebatan kita dengan apa yang telah kita lakukan bukan dengan menidakkan apa yang orang lain telah lakukan.”

Ungkapan pada pukul 8.09 malam itu diikuti dengan pernyataan dalam bahasa Inggeris selang 15 minit kemudian.

“Berdasarkan posting FB, sesiapa sahaja dapat merasakan bahawa pemilihan parti semakin dekat. Jadi, boleh diramal,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka itu.

Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Kerajaan Negeri Selangor seterusnya secara jelas membayangkan pemilihan Pas yang diadakan setiap dua tahun sekali itu seperti situasi dalam panggung wayang.

“Start dah. Jom beli popcorn. 2 tahun sekali aje bro. Ha ha ha,” tulisnya pada status Facebook yang dimuat naik pada pukul 8.31 malam.


Akhirnya, lebih sejam kemudian, beliau mengingatkan supaya tidak berlaku babak pertelagahan sekaligus menggambarkan kemungkinan berlakunya gelombang penyingkiran dan perpecahan Pas kali kedua dalam masa terdekat.

Difahamkan, Iskandar antara pemimpin Pas pusat yang disebut-sebut bakal ‘dilempang’ atau disingkirkan pada pemilihan parti itu bulan depan selain Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Muktamar Tahunan Pas yang akan berlangsung di Kedah nanti adalah pemilihan kali pertama selepas kumpulan pro Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menguasai parti pada pemilihan sempena Muktamar Pas Ke-61 pada 2015 lalu.

Tiga jawatan naib presiden serta ketiga-tiga sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda dirampas oleh blok yang dilabel sebagai golongan ulamak pada pemilihan di Shah Alam, Selangor itu.

Turut menjadi tumpuan pada muktamar kali ini pasca hubungan mesra Pas-Umno yang sepentas, sepadang dan sekapal adalah status tahaluf siyasi dengan PKR dan arti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Abdul Hadi mencatatkan rekod tersendiri sebagai Presiden Pas pertama menjulang keris replika gergasi berukuran kira-kira dua meter panjang – satu aksi yang Presiden Umno pun belum pernah lakukan – pada perasmian Muktamar ke-62 parti itu di Kota Bharu tahun lalu.

Keris gergasi yang sebelum itu diarak masuk ke dalam dewan oleh seorang lelaki berpakaian seni silat berwarna hitam itu kemudiannya diguna untuk memotong kek pulut berwarna hijau dan putih menyerupai warna bendera Pas.

Muktamar Pemuda Pas tahun itu juga menyaksikan pemimpin kanan parti itu tampil berpakaian pahlawan Melayu lengkap bertanjak serta menyelit keris di pinggang termasuk Tuan Ibrahim; Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta Timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Format berpakaian pemimpin Pas pada muktamar tahun lalu jelas berbeza dengan penampilan mereka sebelum ini yang hanya berbaju Melayu lengkap atau berjubah dan berserban. MD

BERSATU sertai PAKATAN HARAPAN, mahu satu manifesto, nama dan logo


Sertai HARAPAN, BERSATU mahu nama dan logo baru

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengemukakan permohonan rasmi menyertai gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN), tetapi meminta nama itu ditukar.

"Kita (BERSATU) akan menyatakan pada mereka pendirian BERSATU untuk menyertai (HARAPAN) dengan tujuan mungkin menyesuaikan sedikit nama dia.

"(BERSATU) juga bersetuju bahawa polisi yang kita persetujui ialah, kita perlu - selain daripada mengadakan nama yang baru - kita juga ingin ada suatu logo dan simbol untuk (menghadapi) pilihan raya dan mempunyai satu manifesto," kata Tun Dr Mahathir Mohamad di Petaling Jaya hari ini.

Pengerusi BERSATU itu berkata, secara dasarnya BERSATU bersetuju selain nama pakatan baru, mereka juga ingin suatu logo bersama yang baru serta manifesto untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Dr Mahahir, pemimpin HARAPAN sudah mengetahui niat BERSATU mahu menyertai gabungan berkenaan.

Justeru, katanya, beliau berharap, penyertaan rasmi parti berkenaan dalam HARAPAN dapat menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Senarai calon BN Kedah bocor?

calon PRU

ALOR SETAR - Senarai awal calon BN Kedah bagi PRU14 kini tersebar di laman sosial dan tular sejak kelmarin.

Senarai nama itu memaparkan 15 calon parlimen dan 36 calon bagi kerusi Dun Kedah, namun beberapa kerusi Dun masih dibiarkan kosong dengan meletakkan cadangan akan dipilih Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Kerusi Dun yang masih tidak dinamakan calon ialah Lunas, Bayu, Bakar Arang, Bukit Selambau dan Anak Bukit.

Berdasarkan kepada senarai calon itu, berlaku rombakan lebih 50 peratus bagi kerusi parlimen Kedah, di mana lapan muka baharu dipertaruhkan dengan menampilkan calon muda, di Parlimen Langkawi (Nor Saidi Nanyan), Pokok Sena (Kamarol Salleh), Alor Setar (Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa), Kuala Kedah (Dr Heazar Ismail), Sik (Datuk Mohd Tajuddin Abdullah), Merbok (Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin), Sungai Petani (Datuk Shahanim Mohd Yusoff), Kulim/Bandar Baharu (Datuk Norsabrina Mohd Noor).

Manakala muka-muka lama yang dikekalkan adalah kalangan menteri kabinet dan yang memiliki pengaruh di kawasan masing-masing.

Mereka adalah Datuk Othman Aziz  (Jerlun), Datuk Mohd Johari Baharom (Kubang Pasu), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Datuk Othman Abdul (Pendang), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Heng Seai Ke (Padang Serai).

Tiga anggota Exco Kedah yang di canang digugurkan sebagai calon, adalah Adun Sungai Tiang (Datuk Suraya Yaacob), Adun Jitra (Datuk Aminuddin Omar) dan Adun Tanjung Dawai (Datuk Tajul Urus Mat Zain).

Beberapa kawasan dijangka berlaku kejutan, antaranya Pokok Sena apabila nama besar seperti Datuk Ahmad Lebai Sudin digantikan dengan muka baharu, Haris Che Mat bagi Dun Bukit Lada.

Kawasan Sik menyaksikan calon sedia ada bertukar kerusi, antara Datuk Tajuddin Abdullah dengan Dr Mansor Abdul Rahman, bagi Dun Belantek.

Di Pendang, calon muka baharu yang disebut-sebut adalah, Khairul Asri Pubin bagi Sungai Tiang dan Mohamad Noor Azam Ismail (Tokai).

Beberapa kawasan lain turut menyaksikan perubahan dengan menampilkan calon lebih segar, dari kalangan Pemuda dan Puteri.

Perubahan besar ini mungkin antara strategi yang dilihat berkesan untuk pastikan BN terus kekal kuasa di Kedah, dengan 'mencantas' lebih awal calon-calon yang difikirkan bukan calon boleh menang.

Sementara sumber berkata, Umno Kedah belum membincangkan senarai calon PRU14 dan menyifatkan masih terlalu awal untuk dibuat tapisan bagi senarai pendek calon layak.

Katanya, ini adalah cerita ulangan setiap kali menjelangnya pilihan raya umum.

"Ini perkara biasa, setahun sebelum pilihan raya sebenar, pasti heboh adanya senarai calon, sedangkan ia palsu," katanya. (SINAR HARIAN)


Masalah buah pinggang di Kedah makin serius

buah pinggang

ALOR SETAR - Masalah buah pinggang di Kedah semakin serius dengan obesiti, kencing manis dan darah tinggi dikenal pasti sebagai penyebab utama, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail.

Beliau berkata dari segi obesiti, tinjauan Kesihatan Kebangsaan 2015 menunjukkan seorang daripada tiga penduduk Kedah, atau 33.3 peratus mengalami obesiti dan berkemungkinan mengalami masalah buah pinggang. 

"Kita bimbang kerana kencing manis dan darah tinggi juga penyebab utama masalah buah pinggang dan setakat ini kadar penyakit kencing manis ialah 25.4 peratus manakala darah tinggi 37.4 peratus, kedua-duanya tertinggi di negara ini," katanya.

Beliau berucap pada sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2017 peringkat Kedah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Dr Norhizan menggesa penduduk Kedah agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan seimbang.

Pada masa sama, beliau turut menggesa ibu bapa memberi tumpuan kepada obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang boleh merencatkan pertumbuhan fizikal dan minda mereka. 

"Jangan dedahkan anak-anak kepada makanan segera atau minuman berkarbonat kerana boleh menyebabkan kegemukan dan sekali gus berisiko tinggi mengalami kerosakan organ buah pinggang," katanya.

Program anjuran Persatuan Nefrologi Malaysia dengan kerjasama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan dan Unit Nefrologi HSB turut melibatkan Jelajah Kayuhan Kangar-Putrajaya melibatkan 30 peserta, zumba, pameran cara pemakanan sihat dan pameran ubat-ubatan yang mengancam fungsi buah pinggang. - Bernama


Melayu perlu perintah kerana kita majoriti, kata Hadi


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang percaya Malaysia perlu diperintah orang Melayu kerana mereka membentuk majoriti di negara ini, lapor Sinar Harian semalam.

Beliau berkata budaya politik di Malaysia sewajarnya didominasi dan dikuasai orang Melayu supaya dapat memimpin negara ini.

“Mengikut politik Islam, kaum yang berpengaruh akan menguasai sesebuah negara dan oleh kerana orang Melayu merupakan majoriti di negara ini maka mereka perlu menjadi pemimpin,” katanya mengikut laporan itu.

Merujuk kepada statistik 65% penduduk di negara ini adalah orang Islam, beliau berkata: “Orang bukan Islam jangan pula terasa hati kerana kita harus mengikut pecahan penduduk demi memelihara keharmonian negara.”

“Mereka juga tidak perlu bimbang kerana politik Islam melarang pemimpin untuk bersikap zalim kepada orang bukan Islam,” tambahnya.

Hadi dilaporkan berkata demikian pada dialog politik di satu majlis makan malam di Dewan Seri Iskandar, Setiawangsa, pada Sabtu.

Beliau juga berkata sudah sampai masanya masyarakat Islam mengamalkan budaya politik bersaudara kerana sudah lama mengamalkan budaya politik benci-membenci dan bermusuhan, katanya.

Laporan itu juga memetik Hadi sebagai berkata tidak seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, cadangan pindaan syariah di Parlimen bukannya hudud atau pun qisas.

Hadi, melalui rang undang-undang peribadi yang dibentangkan tahun lepas, mahu mencadangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih keras ke atas pesalah syariah.

Hukuman yang dicadangkan termasuk menaikkan hukuman maksimum seperti penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

'Saya masih ingat kata Tok Guru Johor akan jadi kubur Umno'

 Mazlan Aliman bergambar bersama Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa dan penggerak parti selepas menaikkan bendera Amanah di simpang empat Ketereh
Perkembangan politik negeri Johor yang menyaksikan Umno kini diasak dari pelbagai penjuru dan sasaran kebencian rakyat membawa suatu nostalgia kepada presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman.

"Ketika saya menjadi Ketua Pemuda Pas Johor, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat datang berceramah di Benut dan kerana kedatangan hadirin tidak ramai saya memberitahu Tok Guru Johor ini kubu Umno.

"Tok Guru kemudian berbisik kepada saya katanya sekarang memang kubu Umno, Insya-Allah akan datang Johor ini akan jadi kubur Umno," cerita Mazlan di majlis pelancaran menaikkan bendera Amanah peringkat kawasan Ketereh yang dirasmikan oleh Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa semalam.

Kerajaan Johor menurutnya kini berhadapan dengan keadaan paling tenat apabila pelbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sedang terbongkar satu demi satu.

"Seorang exco ditahan, sepatutnya bukan seorang tetapi semua sekali termasuk menteri besar," katanya mengulas penahanan Datuk Abdul Latif Bandi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu.

Keadaan di Johor kini menurutnya sama dengan keadaan di Kelantan sebelum pilihan raya 1990 apabila program-program anjuran gabungan pembangkang mendapat sambutan luar biasa.

"Kini rakyat Johor berbondong-bondong menyertai Bersatu dan Amanah dan kelihatan telah sangat bersedia untuk menukar kerajaan dalam piihan raya akan datang," katanya.

Mazlan mengimbau kembali suasana di negeri Kelantan sebelum Barisan Nasional (BN) jatuh dan pentadbiran Kelantan diambil alih oleh Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

"Saya sentiasa mengikuti ceramah bersama Tok Guru dan merasai begitu ramai penyokong dari pelbagai parti bergabung menjatuhkan BN.

"Waktu itu saya mendapat begitu ramai teman-teman rapat untuk bersama menentang kezaliman, namun agak malang sikit sebahagian mereka nampak rapat dengan BN dan tidak lagi bersama kita," katanya.

Mengulas keadaan di kawasan-kawasan Felda beliau berkata perubahan mendadak dapat dilihat di mana-mana.

"Dulu bila saya nak datang ke kawasan Felda, pelbagai ugutan dan ancaman dibuat oleh pihak Felda dan polis.

"Namun kebelakangan ini peneroka-peneroka sendiri menjadi penganjur dan begitu ramai datang apabila saya berkunjung ke mana-mana kawasan Felda," katanya.

Tambah beliau, kesungguhan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri untuk turun ke kawasan-kawasan Felda menurut Mazlan pasti akan memberi impak besar berkaitan pola sokongan peneroka dalam pilihan raya akan datang.

"Tun tanya saya, berapa kawasan parlimen kita boleh dapat dalam pilihanraya ini.

"Saya beritahu Tun, kini kita ada 6 dan kalau kita dapat tambah jadi 16 dari 54 kawasan majoriti peneroka Felda di seluruh negara ia sudah cukup untuk membolehkan kita tawan Putrajaya.

"Tun tersenyum dan berkata Insya-Allah kita dapat lebih lagi," katanya.

Beliau yakin gelombang 1.5 juta peneroka Felda seluruh negara akan menamatkan pemerintahan BN.

Pakatan Pembangkang harus turun PRU14 dengan satu lambang

Pakatan dengan satu lambang

Pakatan parti-parti pembangkang perlu masuk pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan satu lambang. Menggunakan satu lambang yang sama akan memudahkan pengundi untuk kenal dan mengundi mereka.

Menggunakan logo parti masing-masing sangat mengelirukan rakyat. Bayangkanlah dalam satu kawasan parlimen yang ada tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN), kalau semua parti pembangkang berbahagi setiap satu kerusi, maknanya ada empat lambang yang berlainan!

Kempen dengan bendera yang berbeza dan berselirat serta kertas undi yang tak seragam tentunya menyusahkan rakyat. Perlu disedari, wujud jumlah besar pengundi bukan di kalangan yang celik dan punya waktu cukup untuk mengikuti perkembangan politik secara terperinci.

Nilai satu undi seorang tua di pedalaman sama sahaja dengan nilai undi seorang profesional di bandar besar. Sudah tentu seorang profesional di Kuala Lumpur, misalnya, mempunyai lebih pendedahan mengenai setiap perkembangan yang menyentuh rakyat dan negara. Apabila tiba hari mengundi, sama ada undi seorang tua di ceruk kampung atau seorang profesional di Lembah Klang, nilainya tetap sama.

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini, satu undi bermakna satu undi. Tidak kiralah dia ada penyakit sopak, panau mahupun dengan doktor yang mengubatnya, undi mereka tetap sama penting.

Sejarah politik Malaysia membuktikan, di ketika parti-parti pembangkang bersatu maka sokongan dan undi terhadap mereka meningkat. Apabila kucar-kacir dan berpecah, keadaan sebaliknya berlaku.

Sifir mudah ini tidak boleh diambil ringan. Malang seribu kali malang kalau selepas 13 kali PRU diadakan, perkara yang begini asas masih juga belum disedari serta diambil ringan.

Buktinya, apabila parti-parti pembangkang berjaya membentuk gabungan pada penghujung 1980-an yang dikenali sebagai Gagasan Rakyat, mereka menang 36 kerusi parlimen dan sapu bersih kesemua kerusi DUN di Kelantan. Parti-parti berasaskan agama dan kaum seperti BERJASA, PAS, Hizbul Muslimin, Kimma dan Semangat 46 membentuk ikatan lebih kecil yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Keputusan pada tahun berkenaan jauh lebih baik berbanding keputusan PRU sebelumnya pada 1978. Walaupun PAS dikatakan akan memberi saingan sengit kepada BN selepas dikhianati dan ditendang keluar dari kerajaan BN, parti itu tetap kehilangan Kelantan.

Dalam PRU berikutnya iaitu pada 1986, PAS masih belum berjaya bangkit dan hanya menang satu sahaja kerusi parlimen. DAP menang 24 kerusi dan calon bebas pula menang empat kerusi.

Selepas APU, Gagasan Rakyat melemah

Apabila APU dan Gagasan Rakyat melemah menjelang PRU 1995, ternyata rakyat kembali memberi sokongan kepada BN yang menguasai sebanyak 162 daripada 192 kerusi parlimen. Keputusan menguasai 85 peratus undi popular adalah tertinggi dicatatkan BN sejak selepas merdeka. Puncanya jelas, yakni pembangkang pecah.

Antara punca perpecahan parti pembangkang yang mengakibatkan terkuburnya Gagasan Rakyat adalah pergeseran dalam isu berkaitan “negara Islam” di satu pihak, dan “negara sekular” di satu pihak lagi.

Memang langit tidak selalu mendung. Parti-parti pembangkang memperoleh satu lagi kesempatan untuk menjalinkan kerjasama selepas krisis politik dan ekonomi pada 1997-98.

Barisan Alternatif (BA) berjaya dibentuk dengan mengembalikan PAS, DAP selain disertakan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bersama sebuah lagi parti yang baru dibentuk iaitu Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Empat parti itu menjadi tunjang BA.

Dari sana keputusan jauh lebih baik dapat dilakar dengan BA menang 45 kerusi Parlimen – penambahan 15 kerusi berbanding PRU sebelumnya. Pas yang pencapaiannya tidaklah begitu baik dalam beberapa kali PRU terutama di peringkat parlimen, berjaya mengekalkan penguasaan di Kelantan selain menawan Terengganu.

Ketika wujud sekali lagi pergeseran berkaitan isu hudud, BA yang menggabungkan parti pembangkang sekali lagi pecah. BA pun terbubar. Hasilnya, penguasaan parti pembangkang turun mendadak kepada hanya 21 kerusi, di mana mereka hilang 24 kerusi parlimen.

Begitulah seterusnya sifir asas politik moden Malaysia apabila parti pembangkang berjaya disatukan dengan lebih ampuh menjelang PRU ke-12 pada 2008, catatan kemenangan terbesar Pakatan Rakyat pun diperoleh kembali dengan 82 kerusi parlimen. Pertama kali dalam sejarah politik Malaysia penguasaan dua-pertiga Umno-BN di parlimen dapat dinafikan. BN juga kehilangan lima negeri!

Perlu dituliskan fakta keputusan-keputusan PRU berkenaan dengan harapan dapat membuka mata parti-parti pembangkang sekiranya mereka tidak bersatu, maka sokongan rakyat akan berkurangan. PM Najib Razak sangat menyedari strategi ini, yang sudah diwarisi sejak zaman penjajah yang tidak mahu satu pakatan selain daripada Perikatan atau BN.

Dalam PRU lalu, kita boleh lihat bagaimana Pakatan tetap mendapat sokongan padu sehingga berjaya memperkukuh keputusan dengan menambah lagi tujuh kerusi parlimen kepada keseluruhannya 89 kerusi. PR hanya perlu 23 kerusi sahaja lagi untuk mendapat majoriti mudah. Undi popular PR juga julung kali mencecah lebih 52 peratus. Sekiranya momentum ini dapat dikekalkan, hanya masa yang akan menentukan untung nasib BN selama mana akan berada di hujung tanduk kuasanya.

Azimat terbaik berdepan BN

Jelaslah bahawa azimat terbaik dalam berdepan dengan BN ada dua. Pertama, pembangkang perlu memastikan mereka bertanding di semua kerusi sama ada parlimen atau DUN. Tidak kiralah sesuatu kerusi itu berpotensi untuk menang atau kalah, lawan tetap lawan.

Kedua, strategi satu lawan satu perlu dilengkapi dengan menggunakan satu lambang.

Hanya dengan penggunaan satu lambang, kesatuan sebenar dapat dipaparkan kepada rakyat. Keyakinan rakyat dengan serta merta dapat diraih. Manifesto bersama atau menamakan gabungan pembangkang sebagai APU, BA, PR atau Pakatan Harapan tidak cukup meyakinkan rakyat bagi memberikan undi untuk sampai ke Putrajaya.

Penggunaan satu lambang adalah jauh lebih penting ketimbang sibuk mahu menamakan pemimpin itu-ini sebagai PM, TPM dan barisan kabinet bayangan. Kabinet bayangan akan kekal sebagai bayangan seribu tahun lagi pun selagi pakatan pembangkang masih tidak menguasai Putrajaya.

Hari ini dalam banyak keadaan, desakan untuk mempunyai kabinet bayangan nampaknya sudah menjadi sebahagian daripada jerat Umno-BN. Di situ juga Umno-BN akan mengadu-domba untuk sekali lagi berusaha memecahkan musuh-musuhnya.

Mungkin ramai tak begitu yakin bahawa penggunaan satu logo boleh menjadi kenyataan? Terutama apabila ada tuduh-menuduh konon sudah ada parti pembangkang yang tidak memberikan kerjasama penuh untuk menumbangkan BN. Di belakang pintu, cerita ada rundingan antara A dengan B, antara parti pembangkang dengan Najib mulai tersebar.

Rakyat umumnya tidak pasti apakah tuduhan itu benar selagi tidak digerakkan usaha untuk memakai satu lambang.

Semua syak wasangka akan terjawab apabila ada konsensus atau persetujuan majoriti parti-parti pembangkang untuk memakai satu lambang. Sekiranya formula ini dapat segera dicapai, di ketika itu akan jelaslah pihak yang tidak bersetuju untuk menggunakan satu lambang, maka dialah akan dilihat mahu mempertahankan BN, dari luar BN.

Kempen ketika menjelang PRU juga menjadi lebih mudah. Hanya perlu diberitahu kepada rakyat antara satu lambang yang dipakai oleh pakatan pembangkang atau dacing. Pilih salah satu. Kalau ada parti lain selain lambang pakatan pembangkang, maka lambang itu adalah pihak pengacau yang akan memecahkan undi terhadap pembangkang dan memenangkan BN. Memilih parti itu sama sahaja dengan memilih BN.

PRU sama sekali bukan tempat untuk parti pembangkang menguji kekuatan sama sendiri. Kalau pun wujud pertembungan tiga penjuru di mana-mana kawasan, maka risiko pembangkang untuk kalah dapat diminimumkan. Idea seperti yang pernah dikemukakan oleh mantan presiden Parti KITA, Zaid Ibrahim untuk menjadikan partinya sebagai “poros ketiga” akan hanya sia-sia.

Keadaan itu samalah seperti kehadiran Green Party atau Parti Hijau yang tidak mendapat sambutan di dalam pilihan raya di UK kerana hanya ada dua blok utama iaitu Parti Konservatif dan Parti Buruh. Begitu juga di Amerika Syarikat, kehadiran parti ketiga yang juga Parti Hijau tidak memberi apa-apa kesan ketika pertembungan terbesar adalah di antara Republikan dengan Demokrat. Warnanya juga jelas: merah lawan biru.

Lalu, logo parti manakah yang paling sesuai untuk dipinjamkan dalam PRU akan datang sebagai lambang bersama gabungan mega parti-parti pembangkang? Apakah sempat didaftarkan logo baharu yang kemudiannya terpaksa pula mengambil masa bertahun-tahun untuk diperkenalkan kepada rakyat?

Semua soalan sedemikian sebaiknya diserahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti-parti pembangkang untuk diperbincangkan dan membuat pilihan. Selain penggunaan satu lambang yang akan juga menjimatkan kos percetakan bendera, poster dan bahan kempen; prasyarat logo parti yang sesuai adalah yang sudah cukup dikenali rakyat serta diterima oleh semua lapisan kaum.

Penggunaan satu lambang ini juga tidak mengurangkan mana-mana kerusi yang ada, yang akan dibahagikan sesama pakatan pembangkang. Cabarannya tidak lain hanya ujian terhadap ego kepartian sempit. Namun, di dalam PRU matlamat kemenangan lebih penting daripada ego parti atau individu mana pun. Malaysia yang baru tidak boleh didirikan dengan keras kepala, tetapi dengan menguasai Putrajaya dan menjadi kerajaan baharu di sana.

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Ceramah Pas hilang seri, penuh cercaan, kata Prof Agus

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2017/03/agus-pas.jpg
Seorang penganalisis politik mendakwa Pas seperti hilang arah apabila ceramahnya semakin hilang tarikan sebaliknya sarat dengan cercaan.

Prof Datuk Mohamad Agus Yusoff berkata pendekatan politik Pas kini berbeza dengan gerak kerja Umno, Amanah dan Bersatu yang lebih lembut, memujuk, kemas dan kerap.

Justeru katanya Pas perlu mengubah pendekatan politiknya jika mahu terus memerintah Kelantan kerana sikap pengundi Kelantan tidak statik.

Menurutnya rakyat Kelantan akan menukar kerajaan apabila kerajaan sedia ada tidak lagi dapat menunjukkan imej perpaduan yang baik.

"Perhatikan keinginan anak muda dan perantau di luar Kelantan yang akan balik mengundi nanti. Mereka antara penentu besar kerajaan yang akan memerintah selepas PRU14 nanti.

"Jika Pas tidak berubah dan masih dengan sikap politiknya sekarang, PRU14 nanti akan menyaksikan perubahan kerajaan di Kelantan," katanya di Facebook hari ini.

Menurut pensyarah kanan sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pada tahun 1978, rakyat Kelantan menolak kerajaan Pas apabila Pas berkonflik dan Berjasa ditubuhkan.

Pada tahun 1990, rakyat Kelantan menolak kerajaan Umno apabila parti itu berkonflik dan Semangat 46 ditubuhkan.

"Senario tersebut berulang lagi sekarang. Parti Pas yang memerintah Kelantan berkonflik berat sehuingga tertubuhnya Amanah," katanya.

Beliau turut melontarkan soalan sama ada Umno-BN atau Pakatan Harapan dan Amanah yang akan menggantikan Pas di Kelantan.

Coretan Tun M selepas melawat Forest City Johor.

BANDARAYA HUTAN
(FOREST CITY)
13 Mar 2017

1. Saya pergi ke Forest City. Saya telah baca banyak laporan berkenaan Forest City ini. Saya juga telah membuat banyak teguran terhadap pembangunannya. Tetapi semua maklumat berkenaannya saya dapati second hand. Oleh itu saya perlu lihat sendiri Forest City ini.

2. Ia dibina di atas empat buah pulau buatan di Perairan Johor dekat dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Luasnya luas. Jalan kelas Satu yang agak panjang telah dibina ke arah Forest City.

3. Apabila sahaja memasuki jalan dalam kawasannya, tiba-tiba landscaping yang cantik luar biasa menghiasi jalan.

4. Sepanjang jalan terdapat papan tanda yang dipasang kepada tiang lampu dengan tulisan dalam bahasa kebangsaan “Hartanah Hak Milik Kekal”.

5. Tetapi Najib telah mendakwa dengan marah bahawa tanah yang dijual kepada syarikat negara Cina ini hanya sebagai leasehold 99 tahun sahaja. Mungkin Najib tidak tahu. Mungkin tidak lihat papan tanda.

6. Najib berjanji selepas 99 tahun kita akan dapat tanah kita (kita orang Malaysia). Tetapi papan tanda kata lain.

7. Sebenarnya Najib boleh batal syarat “Freehold” kerana ia bertentangan dengan dasar negara yang mana semua hakmilik tanah baru mestilah leasehold – 30, 66, 90 atau 99 tahun. Ramai rakyat Malaysia yang memohon tanah kecil mereka diberi secara kekal (freehold) tetapi gagal. Tetapi nampaknya orang asing boleh dapat secara kekal.

8. Kata pepatah Melayu (yang tidak perlu kita pedulikan) “Anak di rumah kelaparan, kera di hutan disusukan”. Kesian.

9. Ya, memang cantik dan mengkagumkan pembangunan Forest City. Yang menarik sekali ialah landscaping yang sudah menang berbagai hadiah antarabangsa. Pelawat Malaysia dan luar diberi layanan istimewa. Selain dari menunjuk model plan Forest City, pelawat boleh guna kolam renang yang luas, pantai indah dihias dengan binatang anjing laut diperbuat dengan simen. Makan tengahari percuma.

10. Kebanyakan dari pelanggan datang dari negara Cina. Diadakan penerbangan khas dari beberapa bandar Cina ke Senai, Johor. Walaupun rakyat Malaysia boleh beli flat yang sedang dibina, tetapi 90% lebih dari pembeli ialah rakyat negara Cina.

11. Penghuni Forest City boleh tinggal secara lebih kurang kekal di Forest City. Tidak ada syarat melarang mereka dari menjadi warganegara Malaysia setelah tinggal sekain lama. Oleh kerana Forest City ini adalah dalam Malaysia, tidak ada sekatan bagi penduduknya memasuki mana-mana kawasan di Malaysia. Tetapi mereka perlu visa jika ingin ke Singapura.

12. Forest City ini pula diberi status bebas cukai. Status bebas cukai Langkawi sudah ditarik balik kerana merugikan Kerajaan. Tetapi mereka yang akan mendiami Forest City, kebanyakannya orang asing akan menikmati status bebas cukai apabila barangan import dari mana-mana termasuklah negara mereka sendiri diimport terus ke Forest City.

13. Ya. Memang hebat Forest City ini. Tetapi hari ini dilapor bahawa pengeluaran wang dari negara Cina tidak akan dibenar lagi. Apakah ini akan menghalang rakyat Cina dari membeli flat mewah di Forest City.

14. Saya diberitahu bahawa flat di Forest City boleh didapati percuma jika sebuah flat atau hartanah dibeli di negara China. Tidak akan ada bayaran yang perlu dibuat di Malaysia. Syarikat Forest City tidak perlu bayar apa-apa cukai di Malaysia kerana tidak mendapat apa-apa keuntungan di sini.

15. Jika duit tidak boleh dikeluar dari negara Cina, pembeli mungkin pinjam duit dari bank di Malaysia. Saya difahamkan bahawa seorang rakyat asing bernama Peter Sondakh membeli tanah di Malaysia dengan pinjaman 90% dari bank Malaysia. Orang Malaysia akan disoal panjang jikalau meminjam, mengeluar atau memasukkan wang RM50,000 atau lebih sebelum dilulus. Ini adalah oleh kerana Kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap pembersihan duit yang dicuri atau didapati secara haram.

16. Forest City ini akan diduduki hampir 90% orang asing. Apakah ia akan ditadbir oleh Dewan Bandaraya J.B atau akan punyai dewan bandar sendiri. Apakah bahasa rasminya? Wallahu Wa’allam!

17. 700,000 penduduknya berhak keluar masuk ke mana-mana di Malaysia, mungkin membeli harta di lain-lain tempat, mungkin juga mengadakan bisnes.

18. Mengikut undang-undang Malaysia selepas 12 tahun mereka berhak menjadi warganegara Malaysia dengan hak mengundi. Tidak ada jaminan ini tidak akan berlaku. Bahkan dengan sokongan orang kuat masa boleh dipendekkan.

19. Sesungguhnya Malaysia amat pemurah. Siapa sahaja boleh tinggal di sini. Sejak merdeka sudah 700,000 kerakyatan telah diberi kepada orang asing. Benarlah Malaysia ini negara berbilang kaum. Dengan izin Najib ia boleh jadi lebih berbilang kaum.
Syabas.

Dr. Mahathir Mohamad

MPSP biarkan Gerai di Bandar Baru Sg. Lalang terbiar tanpa disewa

Gerai ini terletak di Bandar Baru Sg Lalang . Lokasinya amat sgrategik untuk berniaga sayur ikan dan ayam. Malang Nya Majlis Perbandaran Sg Petani sendiri telah mengkhianati harta milik mereka dengan membenarkan peniaga lain membuka perniagaan di tepi Jalan utama dlm kawasan tersebut. Akhirnya harta milik MPSP ini ditinggal dan menjadi sarang dadah dan kaki botol. 

Keadaan ini dibiarkan lebih dari 10 tahun yang lalu. Apabila ada peniaga yg memohon untuk berniaga , pihak MPSP beritahu ramai dah orang yg memohon tetapi belum dipangil temuduga . Ada peniaga yg memohon dan menunggu untuk ditemuduga lebih dari 5 tahun . Apakah permainan yg cuba di lakukan oleh pekerja MPSP ? Dimana kah pegawai2 yg bertangung jawab ? Atau mereka terlalu sebok sehingga terlepas pandang . 

Bertapa ruginya kita sebagai masyarakat dan juga Negara memiliki sebuah Majlis Perbandaran seperti ini. Mengkhianati Amanah rakyat tampa tangung jawab yang sebenar. Adalah diharapkan YDP MPSP dapat membuka mata apa yg dilakukan oleh anak2 buahnya . Ini satu pengkhianatan pada Rayat dan Negara . 

Hanya keluhan dari Rakyat Marhain . 

Terima kasih Majlis Perbandaran Sg Petani dan Kerajaan Barisan Nasional yg Memerintah Kedah. Mungkin ini lah sebab Ahli Parlimen Sungai Petani dan Adun Bukit Selambau di menangi oleh PKR .

Image may contain: outdoor
Image may contain: outdoor
Image may contain: outdoor
Image may contain: outdoor

Laporan dari fb : Nod Jey

Debat Dr Mahathir - Nazri 25 Mac ini

 
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan debatnya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad akan berlangsung di Padang Rengas, Perak bermula jam 3 petang pada 25 Mac ini.

Katanya, debat itu adalah mengenai isu berbangkit dalam negara.

Menurut Nazri, beliau tidak meletakkan sebarang syarat atau terma tertentu dalam penganjuran debat itu.

"Perkembangan terbaru adalah, dia minta debat di Padang Rengas, saya sudah sediakan dewan, pada 25 Mac, jam 3 petang di Dewan Milineum di Padang Rengas.

"Saya akan hormatinya, tidak ada masalah, saya cuma mahu berdebat. Itu juga kerana dia mencabar saya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Nazri, beliau akan hadir pada tarikh berkenaan jika penganjuran debat itu berjalan lancar.

Mengulas debat itu, seorang pembantu Dr Mahathir berkata persiapan sedang dibuat untuk perbahasan yang akan diadakan di Padang Rengas, di mana bekas perdana menteri itu dijadual menghadiri satu majlis pada 25 Mac.

Katanya, Dr Mahathir juga teruja dengan debat itu.

Nazri dan bekas perdana menteri itu terheret dalam satu pertikaman lidah berikutan cabaran Nazri awal bulan ini kepada bekas perdana menteri itu untuk melawannya di Padang Renggas dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Mahathir, yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), membuat cabaran balas dengan menyarankan Nazri untuk bertanding menentangnya di kerusi Parlimen Langkawi.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa bekas perdana menteri yang berusia 91 tahun itu akan membuat kemunculan semula dalam politik selepas meletak jawatan pada tahun 2003.

Sehari kemudian, Mahathir berkata, beliau tidak berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, bekas presiden Umno itu mencadangkan agar diadakan debat berkenaan pelbagai isu termasuk 1MDB dan BMF.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau hanya mencabar anggota Parlimen Padang Rengas untuk bertanding di kerusi terbabit dan mahu berbahas dengan Nazri di hapadan orang ramai.

Mengulas lanjut, Nazri berkata beliau menghormati Dr Mahathir dan mereka akan berdebat mengenai isu negara.

“Saya akan hormatinya, tidak ada masalah, saya cuma mahu berdebat.

“Itu juga kerana dia mencabar saya,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...