TERKINI :

Monday, March 13, 2017

Kerajaan BN jadikan penerima BRIM seperti bagi ayam makan dedak..!!!

'Jangan dera penerima BR1M kerana PRU makin hampir'

Tindakan kerajaan mengagihkan BR1M secara manual (baucar) dan bukan melalui sistem perbankan menerima pelbagai bidasan.

Terbaru, Pengarah Strategi Pemuda PKR, Akmal Nasir mempersoalkan jika perubahan secara tiba-tiba adalah disebabkan oleh pilihan raya umum yang semakin hampir.

“Jika tindakan ini benar ia merupakan satu tragedi di mana kerakusan politik Umno BN yang sanggup memanipulasi rakyat miskin bagi meraih keuntungan politik mereka?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmal mengulas laporan bahawa ada warga emas yang terpaksa melupakan bantuan itu kerana tidak sanggup untuk mengharungi perjalanan jauh dan terpaksa berbaris panjang menunggu giliran untuk mendapatkan baucar BR1M.

Antara contoh, adalah Chan Gan, yang berusia 73 tahun. Wanita dari Sitiawian itu diminta ke Ipoh yang terletak kira-kira 80 kilometer dari rumahnya untuk mengumpul baucar tersebut.

Akmal mengingatkan kerajaan bahawa tujuan utama BR1M adalah untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan bukan sebagai alat pilihan raya.

“Inisiatif ini adalah untuk meringankan beban sara hidup mereka namun jika berlaku kesulitan untuk mendapatkan bantuan berkenaan, ia kembali menyusahkan rakyat.

“Harus diingat seluruh rakyat terkesan dengan keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, kos sara hidup yang meningkat, harga minyak petrol dan diesel juga mengalami peningkatan serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Akmal mendesak kerajaan kembali kepada kaedah sebelum ini dengan mendebitkan BR1M ini ke dalam akaun penerima.

Katanya, kaedah itu dilihat lebih menyenangkan di mana penerima tidak perlu beratur panjang dan berdiri lama semata-mata untuk mendapatkan baucar.

China labur RM3 bilion untuk projek Terminal Kuala Kedah


China merancang untuk membina Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) bernilai RM3 bilion di Kuala Kedah bagi pendaratan dan pemprosesan ikan tuna.

Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata projek itu telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara pada tahun lepas.

Majlis itu terletak di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Kami menjangka akan menandatangani perjanjian dengan pelabur tidak lama lagi," katanya, sambil menambah projek itu akan meningkatkan pembangunan negeri Kedah apabila dilaksanakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang, mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Alor Setar hari ini.

Terminal itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Lu Hai Feng dari China, sebuah syarikat swasta berpangkalan di Qingdao, dibina di kawasan seluas 2,340 hektar di sepanjang pesisir pantai dari Taman Bersatu hingga ke Kampung Tebengau di Kuala Kedah.

Terminal tersebut dijangka menjadi pangkalan bagi bot menangkap ikan tuna yang beroperasi di Lautan Hindi.

Huang berkata China yakin untuk meneroka industri perikanan, pelancongan, tenaga boleh baharu dan getah di Kedah untuk membina hubungan perdagangan dua hala yang lebih kukuh.

"Kami boleh menyepadukan teknologi terkini kami dengan pengeluaran getah Kedah untuk membina industri getah yang lebih maju di sini.

"Bagi pelancongan, kami akan memperkenalkan Langkawi kepada lebih ramai pelancong dari China," katanya. -Bernama

PRU14 : Pas pilih 5 negeri sasaran, selebihnya biarlah BN nak menang

Agih negeri, lagi bukti kerjasama Pas-Umno?

 | ARIF ATAN

Pas dan UmnoPas dan Umno

Kerjasama Pas-Umno dilihat semakin jelas melalui ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang hanya mahu partinya menguasai negeri tertentu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Abdul Hadi Awang Abdul Hadi AwangMenurutnya, parti itu harus memerintah di lima negeri dalam satu majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas di Alor Limbat di Marang, Terengganu yang difahamkan berlangsung bulan lalu.

Rakaman video berdurasi 55 saat yang tular di media sosial itu juga menyaksikan penegasan Hadi sebanyak dua kali bahawa negeri-negeri lain biarlah dikuasai Umno-BN.

"Sebab itu bagi Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor. Biar Pas memimpin. Negeri lain Umno nak lagi biarkan dia. Biarkan dia. Kalau boleh (Pas) nak telan habis, telan habis," ujarnya yang ketika itu berjubah dan berserban putih.

Ini bermakna Hadi tidak mempedulikan sama ada BN akan menguasai atau tidak lapan negeri lain iaitu Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Tanpa menyebut pihak tertentu, beliau selanjutnya berkata, pentingnya Pas menjalin satu kerjasama politik.

Menyedari kemampuan Pas terhad untuk menguasai semua negeri, Hadi menyifatkan kerjasama itu bertujuan bagi mengelak kuasa politik Islam lenyap.

"(Pas) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerlukan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik Islam. Ini sangat penting kita kena sedar," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu menganggap ahli dan penyokong Umno-BN turut menerima pendekatan politik Pas pada masa sekarang yang tidak sekeras seperti sebelum ini.

"Ini budaya politik dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama. (Umno) tak mahu (pendekatan politik) keras, mahu lembut.

"Lembut inilah kita boleh berbincang untuk mencari mana benar, mana salah. Kalau silap boleh perbetul," ujarnya lagi pada ketika umum mengetahui Pas begitu berkeras serta bermusuh dengan Amanah dan DAP.

Bersatu pertahan kedaulatan negara memang wajib, bersatu singkirkan Najib juga wajib

Berdepan krisis diplomatik dengan Korea Utara berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, rakyat Malaysia ketika ini diseru agar bersatu hati bersama kerajaan tanpa mengira ideologi politik bagi memastikan segala-galanya berakhir dengan baik.

Yang lebih diutamakan tentunya ialah agar 9 rakyat Malaysia yang masih berada di Pyongyang dapat diselamatkan dan dibawa balik dengan seberapa segera, juga dalam keadaan selamat pastinya.

Lagi lama krisis ini berpanjangan, lagi ia membimbangkan, apatah lagi dengan adanya laporan berita yang mengatakan makanan halal untuk keperluan mereka hanya mampu bertahan untuk tempoh seminggu saja lagi dan mereka juga dinasihatkan tidak keluar ke mana-mana, melainkan kekal berada di dalam kawasan kedutaan atas faktor bahaya yang tak dijangka mungkin akan menimpa.

Secara umumnya, rakyat tidaklah begitu daif tentang keperluan bersatu dalam hal ini. Mereka tahu kerajaan yang sedang memerintah adalah BN dan Perdana Menteri ialah Najib Razak. Oleh itu, demi keselamatan 9 rakyat Malaysia yang sedang berada di Korea Utara itu, sokongan dan dokongan mereka kepada kerajaan ialah agar krisis diplomatik ini segera berakhir dan mereka yang bagai tebusan di Pyongyang ketika ini dapat dibawa pulang dengan selamat.

Sebab itu, nampak sedikit janggal apabila Najib sendiri membuat rayuan agar seluruh rakyat bersatu dan memberi sokongan kepada kerajaan yang sedang dipimpinnya dalam menangani krisis dengan Korea Utara itu.

Najib tidak perlu membuat rayuan secara terbuka kerana tindakan demikian lebih menampakkan beliau ingin mengaut sokongan politik untuk kepentingannya dan masa depan UMNO serta BN semata-mata. Lebih-lebih lagi tarikh pilihanraya mungkin diadakan pada bila-bila masa dan Najib sendiri sedang bergelut untuk memenanginya.

Sepatutnya biarlah pihak lain yang berkecuali yang membuat rayuan sedemikian, manakala Najib dan kerajaan dalam masa yang sama hanya perlu memperlihatkan tindakan atau langkah-langkah konkrit sedang diambilnya untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Selagi Najib memperlihatkan usaha ke arah menamatkan krisis dan membawa pulang 9 rakyatnya Malaysia itu, seluruh rakyat memang memberi sokongan kepada kerajaan, walaupun tanpa beliau membuat rayuan secara terbuka mengenainya.

Dalam apa juga keadaan, apabila bertembung dengan negara lain, rakyat secara semulajadinya akan memihak kepada negara sendiri. Itulah namanya sayangkan negara dan mengutamakan kedaulatan negara.

Dalam konteks menamatkan krisis dengan Korea Utara, keperluan untuk rakyat bersatu memberi sokongan kepada kerajaan adalah suatu kewajipan sebenarnya. Sokongan itu lebih kerana BN adalah kerajaan yang sah sedang berkuasa dan menguruskan pentadbiran negara.

Tetapi, sokongan itu bukanlah mengenai masa depan UMNO dan BN atau perhitungan kalah menang dalam pilihanraya, sebaliknya kerana ada 9 nyawa yang perlu diselamatkan, selain untuk mempertahankan maruah serta nama baik negara.

Apa yang penting, krisis diplomatik ini tidak seharusnya membuat kita lupa akan dosa-dosa Najib, UMNO dan BN selama ini. Dosa itu bukan saja berkaitan skandal 1MDB, wang RM2,600 juta, pembaziran, kemewahan dan sebagainya tetapi dalam waktu yang sama menekan kehidupan rakyat melalui penarikan pelbagai subsidi dan mengenakan cukai GST.

Rakyat tidak harus lupa semua dosa-dosa itu. Lebih-lebih lagi Najib kini sedang mempertaruhkan masa depan negara untuk menutup semua salahlakunya selama ini. Najib ingin menang PRU 14 bukan sangat untuk membawa lebih kebaikan kepada negara dan kesejahteraan kepada rakyat, tetapi agar dosa-dosanya dapat dikambus dan tidak diungkit lagi sampai bila-bila.

Tun Mahathir sudah mencecah usia 92 tahun dan PRU 14 mungkin pertarungan terakhir baginya untuk menyelamatkan negara ini. Sebab itu, perhitungan PRU 14 ini amat penting supaya kita tidak terus terjebak kepada masalah dan keperitan hidup yang lebih kronik dan agar selepas ini tidak muncul dua atau tiga lagi 1MDB atau lebih ramai watak seperti Jho Low dan Peter Sondakh menghakis kekayaaan negara.

Menyokong dan bersama-sama dengan perjuangan Tun Mahathir, Pakatan Harapan dan lain-lain pihak yang ingin menyingkirkan Najib, UMNO dan BN adalah kerana mereka merupakan kumpulan paling berwibawa untuk memulihkan masa depan negara ini.

Jika kita berbangga dengan pelbagai kejayaan dan kemampuan Tun Mahathir membawa kecemerlangan selama 22 tahun era berkuasanya selamanya ini, tiada sebab kita tidak boleh meyakini dengan janjinya bahawa beliau mempunyai beberapa pendekatan atau solusi untuk kebaikan negara dengan syarat Najib, UMNO dan BN perlu ditumbangkan terlebih dahulu.

Sebagaimana kita wajib bersatu mempertahankan kedaulatan negara dalam krisis diplomatik dengan Korea Utara, kita juga ada kewajiban lain selepas itu iaitu untuk menjadikan negara ini lebih baik buat semua rakyatnya.

Negara ini akan selamat jika kita dapat bersatu menyingkirkan Najib kerana dalam dirinya didapati bersarang terlalu banyak masalah dan penyakit yang terlalu sukar untuk diubati.

Hanya kerajaan baru mampu menyelamatkan kita, bukan kerajaan lama pimpinan Najib yang sudah uzur, tiada upaya, dipenuhi panau, sopak, kanser dan macam-macam penyakit yang lain lagi.

>> Komentar bebas penulis politik, Shahbudin Husin I 13 Mac 2017

AGUS - PRU 14: KEKAL LAGIKAH PAS MEMERINTAH KELANTAN?

PRU 14: KEKAL LAGIKAH PAS MEMERINTAH KELANTAN?

1. Politik Kelantan sering berubah. JIkapun setiap parti ada penyokong tegar masing-masing, sikap pengundi Kelantan tidak statik.  Mereka akan mengundi menukar kerajaan apabila kerajaan sedia ada tidak lagi dapat menunjukkan imej perpaduan yang baik.

2. Pada tahun 1978, rakyat Kelantan menolak kerajaan PAS apabila PAS berkonflik dan Berjasa ditubuhkan. Pada tahun 1990, rakyat Kelantan menolak kerajaan UMNO apabila UMNO berkonflik dan Semangat 46 ditubuhkan.

3. Senario tersebut berulang lagi sekarang.  Parti PAS yang memerintah Kelantan berkonflik berat sehuingga tertubuhnya Amanah.

4. Dengan pendekatan politik PAS sekarang, saya tengok politik PAS seperti hilang arah. Ceramahnya semakin hilang tarikan, cuma semakin sarat dengan cercaan.

5. Ini berbeza dengan gerak kerja UMNO, Amanah dan Bersatu yang lebih lembut, memujuk, kemas dan kerap.

6. PAS perlu mengubah pendekatan politiknya jika mahu terus memerintah Kelantan.  Perhatikan keinginan anak muda dan perantau di luar Kelantan yang akan balik mengundi nanti.  Mereka antara penentu besar kerajaan yang akan memerintah selepas PRU 14 nanti.

7. Jika PAS tidak beubah dan masih dengan sikap politiknya sekarang, PRU 14 nanti akan menyaksikan perubahan kerajaan di Kelantan.

8. Persoalannya, apakah yang menggantikan itu kerajaan UMNO-BN atau Amanah-PH?

Dialoq Yang Menyentuh Perasaan - "Kueh makcik nie mahai laaa...!!!"

"Makcik, bagi kuih ni 2, yang ni 3," kata Nora.

"Tak nak tambah lagi satu nak bagi cukup tiga ringgit?" tanya makcik itu.

"50 sen satu kuih? Kenapa mahal benar ni cik?" tanya Nora secara berseloroh. "Bolehlah, saya tambah lagi satu biji."

Makcik itu menyepit kuih lapis berwarna merah jambu itu lalu diletakkan di dalam plastik putih, lalu dimasukkan ke dalam plastik kecil berwarna kuning.

"50 sen sebiji pun, untung bukan banyak pun dik," jawab makcik itu.

"Ye ke ni cik?" tanya Nora semula.

"Sebijik makcik jual 50 sen. Untung sebiji paling banyak pun 20 sen, 30 sen, itu pun lepas tolak kos bahan sahaja. Kos masa, kos renyah buat kuih, kos elektrik, semua tu makcik pun tak pandai la nak kira macam mana," jawab makcik.

Makcik itu menghulurkan beg plastik kuning berisi 6 biji kuih itu kepada Nora.

"Adik agak pukul berapa makcik start buat kuih tu?" tanya makcik itu.

"Tengahari, dalam jam 11 macam tu," agak Nora.

"Makcik buat seorang, dari pukul 10 pagi," jawab Makcik tu. "Dalam pukul 3.30 dah kena siap semua, pukul 4 makcik dah ada dekat sini bukak gerai, selalunya dalam 6.30 makcik dah kena tutup, sebab anak-anak nak balik sekolah," beritahu makcik itu.

"Sekarang pukul berapa ni dik?" tanya makcik itu lagi kepada Nora.

"5 suku," jawab Nora.

"Adik pelanggan kedua makcik hari ni," jawab makcik itu. "Berapa ringgit makcik untung jualan atas adik? RM1, RM1.20."

Nora diam sahaja.

"Berapa biji kuih pelanggan pertama makcik beli tadi? Tiga," kata makcik itu sambil mengangkat jari. "Katalah makcik untung dengan dia RM1.00. Dari jam 10 pagi sampai sekarang, makcik baru untung RM2.20."

Tak pernah Nora terfikir semua itu sebelum ini.

"Dulu makcik jual goreng pisang, yang tu untung dia banyak sikit, tapi lepas anak makcik dah masuk sambung belajar, makcik tak larat nak buat," beritahu makcik tu. "Tu kuih ketayap yang adik beli tu, berapa lama adik rasa satu biji kuih tu nak siap?"

"Sejam lebih," agak Nora lagi. "Nampak macam leceh nak membuatnya tu. Maaf makcik, saya nak tanya, kalau tak untung, kenapa makcik meniaga?"

Makcik itu merenung muka Nora.

"Sebab ada ramai orang Melayu nak makan kuih Melayu, kalau makcik tak meniaga, siapa lagi yang nak meniaga kuih Melayu," jawab makcik itu. "Makcik suka meniaga. Lagipun makcik bukan pandai buat benda lain dah sebenarnya. "

Makcik itu menyusun bekas-bekas kuih yang ada, "tapi maaflah dik takut adik terasa, makcik nak kata, orang Melayu kita sekarang ni pelik dik."

Nora terdiam tertanya-tanya. "Pelik macam mana tu Cik?"

"Orang kita makan donut sebijik RM3 tak apa, sushi sebijik RM2 tak apa, tapi bila cerita pasal kuih tepi jalan, 50 sen sebiji, mahal," Makcik itu senyum.

Nora terdiam lagi.

"Adik pernah cuba buat kuih orang kita?"  tanya makcik itu tiba-tiba.

"Tak pernah lagi, kuih bahulu ada la saya cuba buat masa raya dulu," jawab Nora.

"Berapa sen adik rasa berbaloi nak jual kuih bahulu sebiji yang adik buat dari mula sampai siap?" tanya makcik tu.

Nora hanya diam. Terkenang penat dan lenguh tangannya memukul telur.

"Pada makcik, tak apa makcik untung sikit, makcik cukup makan, sebab makcik tau, ada ramai orang kat luar sana yang macam adik, nak makan kuih orang kita. Pada makcik, ni semua sumbangan makcik pada anak-anak jugalah," kata makcik itu. "Tapi makcik sedih tengok orang kita, yang dah tak peduli nak jaga apa yang kita ada."

Nora diam sahaja mendengar. Dia hanya merenung melihat makcik itu meneguk sedikit air kosong dari botol air berkarbonat yang dibawa.

"Makcik orang Melayu. Makcik boleh meniaga sushi ke, dorayaki ke, harga pun sebijik 2 ringgit, jual 10 dah macam untung makcik sehari, barang pun ambik dari pembekal, tak perlu renyah-renyah buat semua," kata makcik tu.

"Tapi dik, kalau makcik buat macam tu, siapa lagi nak jual kuih-kuih ni dekat adik?" tanya makcik tu.

"Kalau makcik mati nanti, anak-anak makcik semua dah tak mau buat kuih. Yang perempuan pun tak minat nak belajar macam mana, nanti-nanti takkan la semua orang Melayu nak makan sushi dengan donut aje hari-hari?" Makcik itu menghulurkan duit RM3 semula kepada Nora.

"Eh, makcik, ni kan duit kuih saya," kata Nora.

"Makcik tak nak duit kau dik, makcik sedekah. Tiap-tiap orang yang beli kuih dengan makcik dan dia kata mahal, makcik bagi balik duit kat dia dan makcik sedekahkan," jawab makcik itu.

"Kenapa pula makcik?" tanya Nora kehairanan.

"Sebab kalau orang Melayu tak nak tolong orang Melayu yang tak mampu, tak ada orang lain lagi yang akan tolong orang kita," jawab makcik itu.

"Saya mampu makcik," balas Nora.

"50 sen sebiji adik kata mahal, tak mampu lah tu," kata makcik itu tersenyum, ikhlas.

DAILOG YANG MEYENTUH PERASAAN

Husam tetap mencabar PAS suruh saman dia jika benar betul fitnah

DUA CABARAN HUSAM KEPADA PAS

Cabaran 1

HUSAM CABAR SEGERA SAMAN BELIAU BERKAITAN ISU RM90 JUTA

"In Shaa Allah ambo tidok sekali2 akan berkecek atas ggapo2 isu selagi ambo tidok ado bukti kukuh. Ambo sedia disaman dan dibowok ke Mahkamah pado bilo2 maso dan ambo sudoh bersedia untuk menampilkan beberapa individu yang boleh disapina di Mahkamah yang buleh membantu menyokong pembuktian dalam perbicaraan di Mahkamah kelak"

https://youtu.be/p_nyMSFrB8M

Husam Musa (11 Mac 2017)

Cabaran 2

BAI'AH - SAYA TUNGGU UNTUK KE MAHKAMAH

Usul Pas Tanah Merah untuk mengheret 'pelanggar' bai'ah ke Mahkamah Syariah - wajib diterima oleh Pas Kelantan. Secepat mungkin.

Saya sendiri mencabar Pas Kelantan berbuat demikian, lebih awal dari usul itu, iaitu ketika saya berucap di Ketereh pagi semalam, 11 Mac.

Saya berkeyakinan Pas tidak berani berbuat demikian.

Sekali pun Pas mungkin mengikut usul Pas Tanah Merah, berdasarkan kajian saya, Mahkamah tidak akan memihak kepada Pas.

Talak tidak akan jatuh seperti yang menghantui pemikiran sesetengah pimpinan Pas yang galak mempolitikkan isu ini. InsyaAllah ia hanya akan memalukan Pas sendiri.

Jika tindakan itu diteruskan, ada empat orang boleh terlibat: Saya sendiri, YB Dato Kamarudin Jaafar, YB Dr Hatta Ramli dan Dato Ibrahim Ali.

Kesemua kami melafazkan bai'ah itu.

Perbezaannya, Dato Ibrahim Ali bukan ahli Pas pada masa ia diberikan izin bertanding atas lambang Pas tetapi beliau tetap diminta untuk melafazkan bai'ah itu.

Selepas menang, beliau bertindak menjadi Ahli Parlimen bebas. Di waktu itu, ATGNA  masih aktif tetapi langsung tidak membangkitkan apa-apa tentang ta'lik talak atau pun pendapatan dari gaji beliau.

Kenapa?

Pendapat saya, sejak awal lagi bai'ah oleh Dato Ibrahim Ali tidak lekat dan boleh dikuatkuasakan kerana Dato Ibrahim tidak pernah diminta menjadi ahli Pas. Bagaimana seseorang yg tidak ahli parti boleh dikira keluar parti pada bila-bila masa? 

Sementara Dr Hatta pula berkahwin di luar Kelantan.

Tinggal saya dan Dato KJ.

Saya menawarkan diri untuk menjadi kes ujian terhadap validity bai'ah Pas itu.

Biar Mahkamah Syariah meneliti dan memutuskan kes ini berbanding pemimpin tanpa kelayakan untuk memfatwakannya. Sedangkan mana dulu antara ta'lik dan talak pun beliau tersilap.

Andaikata Pas gagal membawa kes ini ke Mahkamah, Pas harus meminta maaf kepada saya.

Tujuan saya bangkitkan isu bai'ah berkait Dato Ibarahim Ali, untuk membuka mata orang Pas, tidak jatuhnya talak dengan bai'ah Pas itu.

Jika tidak, ATGNA tentunya telah membangkitkan isu ini secara tertutup atau terbuka.

Ia tidak berlaku. Malang, pemimpin kecil yang datang kemudian berlagak tahu segala-galanya.

Isu bai'ah yang dibesarkan, menunjukkan Pas tidak mempunyai idea konstruktif selain isu-isu tidak produktif seperti ini.

Saya menunggu.

YB Dato Husam Musa (12 Mac 2017)

Ini adalah dua cabaran yang dilontarkan oleh Husam Musa kepada Pas dalam minggu ini. Kedua-duanya adalah penting dan melibatkan maruah Pas di mata orangramai.

Oleh itu, sebaik-baiknya kedua-dua cabaran Husam itu disambut dengan segera oleh Pas tanpa berlengah lagi.

Oppps...saman kepada Sarawak Report jangan pula Pas buat-buat lupa. Sejak menghantar notis tuntutan pada 13 Disember lalu dan Sarawak Report tidak memberi apa-apa respon yang memberi gambaran mereka sedia bertemu Pas di mahkamah, kita belum lagi mendengar sebarang berita mengenainya.

Ramai yang sehingga ini tertanya-tanya, apakah saman itu diteruskan atau sebaliknya.

Dua saman kepada Husam dan satu kepada Sarawak Report adalah "hutang-hutang " Pas kepada orangramai dan rakyat Malaysia sama ada parti itu berani berdiri atas kebenaran atau sekadar kuat "bertempik" di pentas ceramah saja. (ShahbudinHusin 13/03/2017).

Kenyataan Akhbar Teresa Kok dengan isu fitnah portal BN berkenaan Wang Ehsan YAWAS dari Kerjaan Negeri Selangor

Kenyataan akhbar Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) di Kuala Lumpur Pada 12 Mac 2017:

https://www.bnbbc.my/wp-content/uploads/2017/03/IMG_1088-1024x454.jpg

Saya Pertimbangkan Untuk Mengambil Tindakan Mahkamah Terhadap Jamal Yunus dan Beberapa Portal Online Atas Tuduhan Palsu dan Fitnah Terhadap Saya Berkenaan Dengan Pemberian Wang Ehsan YAWAS
Saya merasa kesal atas laporan yang ditulis oleh Nur Aslinda Nasir yang bertajuk


yang disiarkan dalam laman web BNBBC pada 9 Mac 2017. Laporan itu menujukkan penulis sengaja tidak membentangkan fakta pemberian wang ehsan SMUE yang diterangkan oleh saya dalam wawancara dengan dia.

Jawapan saya terhadap tuduhan palsu dan kekeliruan yang dibangkitkan oleh Jamal Yunus dan portal online berkenaan pemberian wang ehsan SMUE adalah seperti berikut:

1) YAWAS (Yayasan Warisan Anak Selangor) adalah agensi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Selangor yang menguruskan segala kebajikan yang diperuntukkan oleh kerajaan Selangor, termasuk SMUE (Skim Mesra Usia Emas), TAWAS (Tabung Warisan Anak Selangor) dan sebagainya.

2) SMUE ialah wang ehsan kepada keluarga si-mati yang dilahirkan di Selangor (si-mati yang memegang kad pengenalan yang mempunyai angka “10” di tengah-tengahnya). Setiap waris atau keluarga si-mati akan diberi RM2,500 di bawah skim ini. Keluarga si-mati yang memohon SMUE akan diberi wang tunai RM1,000 oleh pejabat wakil rakyat yang diberi tauliah untuk melaksanakan pemberian wang terlebih dahulu. Dua bulan kemudian, pegawai pejabat Daerah akan memberi tambahan RM1,500 lagi kepada keluarga si-mati.

3) Kuasa pemberian wang ehsan di bawah SMUE selama ini diberi kepada ADUN Pakatan Rakyat di Selangor dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan. Tujuan ia diperluaskan ke Kuala Lumpur adalah kerana ramai warga Selangor bermastautin di Kuala Lumpur, dan adalah lebih mudah bagi waris atau keluarga si-mati untuk membuat permohonan di pusat khidmat Ahli Parlimen di Kuala Lumpur.

4) PROSEDUR PEMBERIAN WANG EHSAN SMUE: Bagi pejabat wakil rakyat Pakatan Rakyat yang menguruskan SMUE, wakil rakyat diberi satu kad ATM dan satu akaun bank khas di bawah nama wakil rakyat tersebut oleh Pejabat Daerah. Akaun bank wakil rakyat tersebut diperuntukkan RM10,000 sebagai permulaan. Staf pejabat wakil rakyat menggunakan kad ATM untuk keluarkan wang tunai RM1,000 daripada bank untuk diberi kepada setiap keluarga si-mati yang memohon SMUE. Apabila RM10,000 dalam akaun bank habis dikeluarkan kepada keluarga si-mati, staf pejabat wakil rakyat pun akan hantar semua dokumen pemohon dan si-mati kepada Pejabat Daerah untuk rekod, kemudian pejabat Daerah akan menambah lagi RM10,000 ke dalam akaun bank khas untuk SMUE di bawah nama wakil rakyat tersebut sehingga ia habis diberikan kepada para waris si-mati yang membuat permohonan.

5) Semua rekod pemberian wang ehsan kepada waris si-mati yang merupakan warga Selangor telah disimpan baik oleh pejabat Daerah. Saya tidak pernah melakukan apa-apa penyelewengan dari segi pemberian wang ehsan. Pejabat Daerah Petaling mempunyai semua rekod penerima wang SMUE.

6) Sistem pemberian wang ehsan di bawah pelbagai skim kebajikan kepada warga Selangor telah dilaksanakan sejak Pakatan Rakyat menerajui pemerintahan Selangor. Saya tidak tahu kenapakah warga Selangor Jamal Yunus sekarang baru sedar tentang pelbagai program kebajikan di bawah YAWAS di Selangor ini. Tuduhan palsu dan fitnah yang dilemparkan oleh beliau terhadap saya dan rakan-rakan parti pembangkang memang menunjukkan beliau telah bankrap dari segi idea dan isu politik terhadap kami.

7) Saya juga merasa amat kesal cara portal BNBBC dan beberapa portal lain yang sengaja menyiarkan berita yang setengah benar di samping memutar-belitkan isu ini. Adalah jelas mereka ingin memburukkan namabaik saya dalam satu isu yang mana saya langsung tidak bersalah.

8) Saya akan berbincang dengan peguam saya tentang kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap BNBBC dan juga portal online yang lain.

Teresa Kok

Najib mahu kerjasama BN-PAS dikekal, buang politik sempit

 najib-bn
KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan diterajui Barisan Nasional (BN) mengutamakan langkah yang mendahulukan rakyat dalam sebarang kerjasamanya dengan PAS demi memastikan kesejahteraan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, pemimpin parti berkenaan perlulah mengetepikan ideologi sempit politik kepartian dalam jalinan kerjasama sedemikian kerana ia tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.

“Terima kasih, walaupun kita berbeza ‘baju’ dan ideologi tetapi demi kepentingan rakyat, demi kepentingan ummah, kita boleh bekerjasama.

“Dan inilah semangat yang perlu ada, bukan pemikiran yang sempit dan bukan keterlaluan (dalam) politik, tetapi rakyat mesti kita dahulukan,” katanya.

Bernama melaporkan Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan UTC Kelantan (Pusat Tranformasi Bandar) di Jalan Hamzah di sini, hari ini.

Najib, Pengerusi BN berkata, kerjasama itu mestilah dikekalkan sebagaimana yang ditunjukkan sebelum ini dalam misi bantuan ‘Food Flotilla For Myanmar’, Perhimpunan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (RUU355) serta ketika banjir.

“Ini bukan hari kita berpolitik (tapi) hari kita bekerjasama… hari kita kerjasama macam kita kerjasama untuk ‘Food Flotilla For Myanmar’, masa banjir kita kerjasama, masa RUU355 kita kerjasama dan sebagainya.

“Inilah yang terbaik… jadi kalau ada pentas janganlah kongsi dengan orang
lain,” katanya.

Najib, dalam nada sinis, turut mendakwa perdana menteri sebelum ini sering menganaktirikan Kelantan hanya kerana ia diperintah oleh PAS.

“Saya tidak macam ada pendahulu saya dahulu. Potong peruntukan untuk Kelantan kerana politik, kerana tak suka (PAS). Tapi (di bawah pentadbiran) saya, saya tambah peruntukan untuk Kelantan,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

'Ambo Saye Kelate', Najib tekad rampas Kelantan

Najib kerap turun Kelantan ketika BN sasar menang di 30 kerusi Dun pada PRU14.
Kunjungan Perdana Menteri, Najib Razak ke Kelantan semalam dengan mengumumkan pelbagai projek bernilai lebih RM440 juta sekaligus menggambarkan Presiden Umno itu tekad mahu merampas negeri tersebut daripada Pas.

"Banyak perancangan besar telah dan akan rencanakan untuk Bachok, untuk negeri Kelantan, dan untuk Malaysia.

Orang Bachok jangan lupa janji kita, undilah Umno dan BN bila tiba masanya nanti," gesanya semalam.

Dipetik daripada blog rasminya, najibrazak.com, beliau memberitahu tindakannya menambah peruntukan kepada Kelantan didorong rasa sayangnya pada rakyat di negeri pantai timur itu.

"Ambo saye Kelate. Saya tak kurangkan peruntukan, bahkan saya tambah, RM 12.11 bilion berbanding RM 3 bilion lebih untuk Kelantan dahulu.

"Sebab ambo saye Kelate, kita bina hospital baharu di Bachok bernilai RM 140 juta, kita bawa ECRL (Landasan Kereta Api Pantai Timur) yang akan lalu di sini dan banyak lagi," ujarnya dalam artikel bertajuk, 'Ambo Saye Kelate'.

Sekali lagi pada tulisan, 'Pembangunan Negeri Kelantan', yang juga disiarkan semalam, Najib mengulangi punca beliau kerap melawat negeri itu dan menyalurkan banyak projek.

"Ada yang bertanya kenapa saya sebagai (?) sering ke Kelantan, beri begitu banyak projek, misalnya hari ini saya merasmikan sebuah hospital baharu di Bachok, bernilai RM140 juta.

"Saya juga umum bina Hospital Kuala Krai bernilai RM300 juta lebih. Saya sayangkan rakyat Kelantan, dan kerana Allah SWT telah perintahkan bahawa kalau jadi pemimpin, kita wajib bersikap adil," katanya lagi.

Kedua-dua artikel tersebut turut dikongsikan dalam laman rasmi Facebook Najib Razak.

Beliau berkata, tiga keluarga miskin yang diziarahinya bakal menerima rumah baharu yang lebih selesa sebagai sebahagian daripada kempen Jom Bantu Rakyat yang dilancarkan.

Najib turut menegaskan Kelantan tidak terkecuali daripada perubahan besar yang mahu dibawanya kepada negara ini.

"Sebab itulah, kita umumkan pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dari Gombak di Kuala Lumpur hingga ke Wakaf Baru di Tumpat, dan salah satu stesen kereta apinya di Jelawat, Bachok, tidak jauh dari tapak hospital baharu.

"Bila siap ECRL ini, tempoh perjalanan cuma 4 jam, dan akan bawa banyak kesan sampingan, 'multiplier effect' (kesan berganda) kepada kehidupan rakyat di sini, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Insya-Allah," jelasnya lagi.

Notis Penelitian Awam yang dikeluarkan pemilik aset dan pengendali ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) baru-baru ini memaklumkan projek sepanjang kira-kira 600 kilometer itu turut menjadikan Tok Bali sebagai salah satu daripada lebih 20 stesen merangkumi Terengganu, Pahang dan utara Selangor.

MRL mewakili kerajaan Malaysia dalam perjanjian menganugerahkan kontrak pembinaan ECRL berjumlah RM46 bilion kepada syarikat dari negara China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Sementara itu, Najib juga bersama anak muda termasuk pelajar sekolah dalam sesi mengenai Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa petang semalam.

Beliau dilapor kelihatan begitu gembira dan turut bertepuk tangan bersama hadirin mendengar alunan kumpulan dikir barat ‘Sri Kayangan UMK’.

Ketika ini, BN Kelantan mempunyai 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), Pas (31) manakala PKR dan Bebas masing-masing satu kerusi iaitu di Dun Guchil dan Salor.

Akhir tahun lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilapor berkata, pihaknya melihat ada peluang untuk memenangi 30 kerusi Dun di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Amanah gesa PM perjelas isu Malaysia jual senjata Korea Utara

salahuddin
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya membuat penjelasan terperinci dengan segera mengenai dakwaan Malaysia terlibat menjual senjata dari Korea Utara.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat tempatan dan juga masyarakat antarabangsa bahawa terdapatnya syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, beliau berkata, Najib seharusnya memberikan penjelasan tentang keterlibatan penjualan senjata dari Korea Utara oleh Global Communications Company (Golcom) yang kemudiannya menukar identiti kepada International Golden Services (IGS).

“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri mana mungkin Najib boleh menafikan bahawa Malaysia telah menjadi destinasi penjualan senjata haram oleh negara Korea Utara yang bertentangan dengan sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).”

Tegasnya, perkembangan terbaru ini telah membawa masalah dan reputasi Malaysia di mata badan dunia tersebut.

Dalam erti kata lain, kata Salahuddin, “kita sendiri yang membuka ruang untuk orang memasang jebak atau perangkap yang hari ini rakyat dan pegawai kita di Pyongyang yang menjadi taruhan.”

“Rakyat pula diminta bersembahyang hajat untuk menutup segalanya?” kata beliau.

Salahuddin menambah, masyarakat antarabangsa umumnya sedia maklum bahawa Korea Utara adalah di antara negara penyangak di mana hubungan diplomatik dan hubungan dagang harus ditangani dengan teliti dan cermat sesuai dengan beberapa konvensyen dan peraturan antarabangsa.

Tambahnya, apabila berlaku krisis Kuala Lumpur-Pyongyang ketika ini akibat pembunuhan politik abang tiri pemimpin Korea Utara, ada pihak termasuk Reuters telah dapat menimbulkan beberapa penemuan menarik yang semacam tersembunyi daripada pegetahuan umum sebelum ini seperti kemudahan Imigresen tanpa visa oleh rakyat Korea Utara ke negara ini.

“Terdapat syarikat yang beroperasi menjual senjata buatan Korea Utara yang juga dimiliki oleh orang kuat sebuah parti politik di negara ini.

“Dikatakan Korea Utara dapat mewujudkan pusat penjualan senjata mereka di Kuala Lumpur,” katanya sambila perdana menteri seharusnya memberikan penjelasan tentang isu ini.

Akhir bulan lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak berkuasa dalam proses membatalkan pendaftaran 2 syarikat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi risikan Korea Utara.

Katanya, 2 syarikat itu adalah International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Glocom.

Glocom ialah singkatan untuk Global Communications Co yang dikawal Biro Umum Peninjauan – agensi perisikan Korea Utara ditugaskan untuk operasi luar negara dan perolehan senjata yang dikenakan sekatan oleh PBB.

Reuters melaporkan Glocom yang menjual peralatan perang beroperasi dari pejabatnya di Brickfields, dikatakan menutup kegiatan intipan bagi pihak Korea Utara.

Glocom pernah menyertai pameran senjata 2 tahun sekali di Malaysia, Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia sekurang-kurangnya 3 kali sejak 2006, menurut laman web Glocom.

Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mempunyai hubungan baik dengan Pyongyang.

Bagaimanapun, hubungan itu menjadi tegang selepas Kim Jong Nam, abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu.

Pas tak perlu lagi garang bercakap dengan Umno - Nik Abduh

 Nik Abduh Nik Aziz
Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui partinya tidak perlu lagi garang menentang Umno memandangkan pendekatan menasihati rejim itu telah menjadi keutamaan Pas.

"Masanya Pas bercakap kepada Umno secara berdepan, bukan lagi melaung dari jauh dan kejauhan. Jauh kita memanggil dan memekik. Dekat kita bercakap dan berbual, bukan?" katanya.

Menurutnya, menasihati Umno menjadi salah satu keutamaan Pas pada masa ini memandangkan hal tersebut adalah keaslian inti al Quran serta tugas para anbiya', pejuang dan muslihin.

"Kalau kita sayang, Allah lebih sayang. Kalau kita benci, Allah lebih benci. Jangan sesekali kita sayang ketika Allah benci atau kita benci saat Allah menyayangi.

"Pas kekal setia bersama Allah dan Rasul-Nya, mentaati dan menuruti segala isi dan panduan al Quran," jelas beliau dipetik dari artikelnya di akhbar Harakah Edisi Isnin, 13 - 16 Mac ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas dalam ruangan 'Terang Rembulan' itu turut menyifatkan bukan Pas yang akan menghukum Umno pada pilihan raya akan datang sebaliknya rakyat.

"Semakin Umno memburuk aksinya memerintah negara, semakin dekat hukuman rakyat ke atasnya. Pas menasihati Umno agar berubah dan jangan berubah kecuali kepada Islam," ujarnya.

Mengulas lanjut, Nik Abduh mengibaratkan Pas memiliki ubat sehingga menyebabkan Umno yang sakit merapatinya berbanding Amanah yang dianggapnya sebagai penyakit.

"Umno datang kepada Pas kerana Umno telah lama tahu bahawa Pas ada ubat dan penawar. Umno tidak pergi kepada PAN (Amanah) dan yang lain kerana mereka tiada ubat.

"PAN itu sendiri adalah penyakit, bukan ubat. Orang sakit tak akan minta bantuan daripada orang sakit juga," selarnya lagi.

Nik Abduh kemudiannya mengongsikan artikelnya di lidah rasmi Pas itu di Facebook tetapi kemudiannya dihujani kecaman daripada pengguna media sosial tersebut.

Rata-rata netizen mempersoal pendirian beliau itu yang jauh berbeza dengan pendekatan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam berdepan dengan Umno.

Terdahulu, Nik Abduh ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad pada sidang Dewan Rakyat, 9 Mac lalu turut dilihat bernada lembut dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menganggap Najib terpaksa menanggung masalah pembaziran wang negara, rasuah dan politik wang yang merupakan 'kesakitan lama' diwarisi sejak zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Nik Abduh pada Seminar Pemikiran Datuk Dr Haron Din, 25 Februari lalu juga pernah mengaku matlamat utama Pas bukan meruntuhkan Umno tetapi mengukuhkan ummah.

Muktamar ke-63 penting suntik semangat PRU14


ALOR SETAR - Muktamar Pas ke-63 yang bakal berlangsung di Kedah pada penghujung April akan menjadi platform penting mencatur strategi untuk menghadapi PRU14, kata Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Bakal dihadiri kira-kira 1,200 perwakilan, beliau berkata muktamar itu merupakan medan terbaik meniupkan semangat dan motivasi untuk anggota bekerja keras menghadapi PRU14 khususnya dalam usaha merampas semula negeri tertentu termasuk Kedah.

"Antara topik menarik yang akan dibahaskan perwakilan ialah persediaan negeri-negeri tertentu untuk ditadbir oleh Pas jika diberikan kepercayaan dan mandat oleh rakyat termasuklah di negeri Kedah," katanya kepada Bernama.

Muktamar Pas akan berlangsung dari 27 April hingga 1 Mei.

Tarikh ditetapkan untuk Muktamar Dewan Ulama adalah 28 April di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Tandop, Muktamar Dewan Pemuda pada 27 hingga 28 April di Kompleks Pas Kedah dan Muktamar Dewan Muslimat juga pada 27 hingga 28 April di Pusat Pengajian Darul Hadis, Kampung Tok Keling, di sini.

Ahmad Fakhruddin berkata, Pas Kedah sebagai negeri yang mempunyai jumlah anggota tertinggi iaitu 176,000, berhasrat menawan kembali Kedah dan menyifatkan Pas negeri sudah bersedia menerima mandat daripada rakyat untuk mentadbir semula Kedah.

"Pas bersedia memikul tanggungjawab sebagai 'government in waiting' dalam PRU akan datang jadi segala persiapan kita rangka akan diterjemahkan mengikut masa-masa tertentu.

"Sebagai tuan rumah muktamar, kita cuba untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa Kedah boleh menyatukan semua ahli-ahli Pas di Kedah dan sebarang kata-kata yang boleh menggugat Pas tidak akan berlaku," katanya.

Agenda muktamar katanya pasti juga tertumpu kepada pemilihan parti, dijangka Pas akan mendapat kepimpinan baharu selewatnya 30 April ini melalui kaedah pemilihan secara 'e-voting'.

Bagi pemilihan di peringkat pusat, ia melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 18 anggota jawatankuasa, manakala bagi peringkat sayap, ia melibatan ketua, timbalan dan naib.

Ditanya kemungkinan wujud golongan kecewa kerana tidak mendapat tempat dalam pemilihan parti dan seterusnya beralih arah ke parti serpihan Pas iaitu Parti Amanah Negara (PAN), beliau yakin perkara itu tidak akan timbul.

"Sekarang ini tidak timbul isu itu dalam Pas, semua jadi satu aliran pemikiran dan keutamaan kita ialah membentuk politik Islam yang nak diterjemahkan dalam bentuk praktikal," katanya.

Berhubung isu kerjasama politik bersama Umno, Ahmad Fakhruddin berkata parti sebelum ini sudahpun menegaskan bahawa tiada hubungan politik bersama Umno dan yakin agenda itu tidak akan dibangkitkan oleh para perwakilan.

"Begitu juga dengan DAP dan PAN, hubungan politik tidak ada dengan parti-parti tersebut.

"Kalau Parti Pribumi Bersatu Malaysia saya difahamkan bahawa Pas mengadakan hubungan dalam bentuk program namun belum sampai memutuskan hubungan dalam bentuk politik kerana masih dalam rundingan," katanya. - Bernama




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...