TERKINI :

Saturday, March 11, 2017

Tinggi ujian kesabaran pemimpin Amanah

Tinggi ujian kesabaran pemimpin Amanah

11 Mac 2017 | ZAKARIA MUSA


Parti Amanah Negara dilancarkan pada 16 September 2015 di IDCC, Shah Alam

Parti Amanah Negara (Amanah) memang parti baharu. Usia setahun jagung. Segalanya belum lengkap tersedia. Jaringan pengaruh tentu tidak merata lagi. Tetapi ia menghimpunkan segala potensi dan harapan yang besar.

Amanah, sebuah parti Islam, yang tegak berdada berdepan dengan pemerintah yang korup dan zalim. Sikap dan pegangan politiknya jelas serta tidak keliru; kerajaan "penyangak-pencuri, perompak" ini mesti ditukar. Tiada kompromi untuk menjatuhkan Umno-BN, yang jelas mengkhianati mandat rakyat sejak awal merdeka.

Dugaan besar sebagai parti pembangkang sudah diketahui umum. Itulah yang dihadapi oleh pembangkang yang lain. Dilayan bagai warganegara kelas kedua. Dinafikan hak untuk mengambil bahagian secara demokratik dalam arena siasah negara.

Itulah nasib Parti Melayu Semangat 46, yang ditubuhkan Tengku Razalegh Hamzah pada akhir 1980-an. Itulah juga nasib Parti Keadilan Nasional, yang muncul selepas Anwar Ibrahim dipecat dan diaibkan pada akhir 1990-an. Semua arif dan maklum, tidak mudah bagi mana-mana parti baharu untuk berkembang dan berpengaruh. Tunas muda itu akan sentiasa dipatahkan.

Begitulah juga halangan yang dihadapi Amanah. Namun, ia tidak terhenti setakat itu sahaja. Cabaran Amanah lebih hebat lagi. Bukan sekadar menjadi musuh penguasa yang zalim dan rakus, tetapi juga dihimpit parti pembangkang sendiri, khususnya Pas.

Malah, Pas menjadikan Amanah umpama seteru paling utama yang mesti dimusnahkan. Lihat sahaja, label negatif-hodoh yang diberikan Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi Awang. Segala yang buruk dan negatif dilumurkan ke wajah pemimpin Amanah, antaranya dituduh pengkhianat dan khadam DAP.

Ia bukan baru bermula sebaik Amanah ditubuhkan. Keputusan pilihan raya 2008 memang mengejutkan. Empat negeri tumbang, selain Kelantan. Majoriti dua pertiga BN di Parlimen juga dinafikan. Parti-parti pembangkang dengan cepat bersatu dan membentuk kerajaan negeri atas nama Pakatan Rakyat.

Rupanya kesatuan yang "dipaksa" itu meninggalkan bibit perpecahan dalaman yang serius buat Pas. Ada usaha membentuk kerajaan Pas-Umno di Selangor dan Perak, tetapi gagal. Masih ada kewarasan kepada majoriti kepemimpinan Pas, terutama menyedari mandat pengundi adalah menolak dan menjatuhkan BN; masakan hendak mengkhianati aspirasi mereka jika terbentuk kerajaan campuran dengan Umno.

Pas menjadi ketua di Kelantan dan Kedah. Adunnya juga dilantik menjadi menteri besar Perak walaupun menjadi parti komponen terkecil berbanding KeADILan dan DAP di Perak. Di Selangor, juga sebagai sekutu Pakatan Rakyat paling sedikit bilangan Adun, tetapi menjadi rakan kongsi yang seimbang.

Pemimpin Pas yang berjiwa terbuka, memandang jauh ke hadapan, sering mengutamakan persepakatan sesama rakan pembangkang, mula dianggap duri dalam daging. Mereka digelar Anwarinas, parasit dan jebon. Kemuncaknya, dalam ucapan penggulungan presiden semasa muktamar di Batu Pahat, tuduhan menjadi "barua dan broker" ekoran isu penggantian menteri besar Selangor. Sebelum itu sudah meluas label "munafik haraki" dan lain-lain.

Kempen memburukkan mereka tambah ketara menjelang pemilihan kepemimpinan parti di Kuala Selangor pada 2015. Setandan digugurkan. Dipercayai berdasarkan senarai (chai) calon yang diedarkan kepada perwakilan. Akhirnya Gerakan Harapan Baru (GHB) ditubuhkan sebelum idea parti baru -- tentunya juga atas jati diri parti Islam -- diterima.

Tidak pernah terfikir sebuah parti Islam yang melalui sejarah panjang yang getir boleh membenarkan proses pemilihan tercemar dengan gejala negatif yang merosakkan. Sedihnya, pemimpin tertinggi tidak berusaha untuk membendungnya, malah membiarkannya, dan dalam sesetengah kes, tambah merancakkannya lagi.

Justeru, tidak hairanlah apabila Parti Amanah Negara ditubuhkan, dengan mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia, serangan dan tohmahan bertubi-tubi dihamburkan oleh pemimpin dan aktivis Pas. Seolah-olah Amanah sudah menjadi musuh ketat Pas yang mesti dimusnahkan secepat kilat. Amanah dilihat saingan terdekat yang wajar dibenamkan terus.

Saya memandang tinggi kesanggupan bekas pemimpin Pas yang menerima dengan minda terbuka segala tuduhan buruk itu. Tidak mudah untuk menghadapi situasi seumpama itu, lebih-lebih lagi daripada sahabat-sahabat lama dalam sebuah jamaah Islam yang didukung bersama sejak lama.

Mereka juga dianggap golongan yang kecewa dan berdendam akibat kekalahan dalam pemilihan muktamar. Dituduh tamakkan kuasa dan tidak bersedia menjadi pengikut. Segala yang negatif dilemparkan, sehingga nama rasmi Parti Amanah Negara disembunyikan apabila hanya disebut PAN atau "parti kuali".

Rasanya tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang sudi menyebut "Amanah", sebaliknya dengan nada menyindir menggelar "PANDAP pengkhianat" sebagai nama lebih sesuai. Hilang segala akhlak dan adab-adab Islam dalam tutur-kata. Melayang semangat ukhuwwah Islamiyyah hanya disebabkan perbedaan wadah politik.

Menyedari cabaran besar yang bakal menimpa Pas, kredibiliti Amanah sebagai sebuah parti Islam cuba dihancurkan. Jangka hayat Amanah dianggarkan tidak lama, bakal berkubur dalam PRU14, mengulangi nasib serpihan Pas yang awal, misalnya Hamim dan Berjasa. Amanah juga mahu dipinggirkan daripada rakan pembangkang, terutama KeADILan.

Satu strategi yang mungkin dianggap paling berkesan ialah melabelkan Amanah sebagai khadam DAP, menjadi kuda tunggangan kepada sebuah parti yang kini hebat dipalit imej sebagai "anti-Islam". Semakin galaklah ahli-ahli bawahan Pas membuat dakwaan bahawa Amanah sebuah parti liberal, anti-ulama, dan menolak syariat Islam.

Tiba-tiba saja DAP diangkat oleh Pas sebagai seteru utama yang mesti diperangi, sementara Umno dianggap rakan yang mula didekati. Tidak mustahil jika ada persefahaman tidak rasmi antara Pas dan Umno menjelang PRU14, atas nama kepentingan ummah dan demi menyelamatkan daripada DAP.

Saya yakin rakan-rakan dalam Amanah lebih bersedia dengan cabaran-cabaran ini, baik daripada regim yang berkuasa mahupun tentangan daripada Pas, yang kadang-kala lebih menyakitkan. Pengalaman mereka menjadikan lebih matang dan bijaksana dalam mengatur langkah.

Barisan kepemimpinan Amanah ternyata sudah lasak dan tahan uji, dengan apa jua rintangan. Sejarah menunjukkan mereka merupakan rakan setiakawan dan jujur dalam Pakatan Rakyat, sedia berkorban demi perjuangan dan persepakatan yang sama-sama dimeterai.

Semoga Amanah dapat diterima baik oleh rakyat, khususnya masyarakat Melayu, dan menjadi sebuah parti Islam yang progresif, dinamik, inklusif dan peduli dengan isu-isu kritikal negara masa ini.

Perjalanan ini masih panjang, tetapi yang penting, Amanah sudah menapak di landasan yang betul.

RENUNGAN UNTUK USTAZ MUDA PAS YANG SYOK "UP TAYAR"



RENUNGAN BUAT USTAZ MUDA PAS

1. Biasanya, kebanyakan ustaz Pas akan bercakap tentang agama secara umum atau borong. Apabila diminta penjelasan lanjut tentang perkara yg dicakapkannya, dia akan hukum orang bertanya tolak hukum Islam, jadi agen kafir atau masuk neraka. Ustaz mcm tu mahu kita telan saja apa yg dia kata dan tak boleh tanya apa-apa.

2. Contohnya, dia baca maksud ayat al-Quran, sesiapa yg tidak berhukum dgn apa-apa yg diturunkan oleh Allah, mereka orang kafir. Kita tanya dia, berhukum macam mana? Sesiapa dalam ayat tu, siapa? Apa-apa yg diturunkan oleh Allah tu, apa? Tidak berhukum dgn hukum Allah tu, macam mana? Jadi kafir tu, kafir aqidah atau apa? Bila org itu jadi kafir?

3. Dia akan tanya kita balik, hang nak jadi kafir ke tolak hukum Allah? Awat hang suka ke masuk neraka sbb tolak hukum Allah? Hang nak masuk geng kafir ke lawan hukum Tuhan? Hang sapa nak lawan hukum Allah? Hang rasa hebat sangat ke nak masuk neraka? Sapa hang berbanding Nabi? Laaa... Kita minta penjelasan lanjut, dia hukum kita pulak.

4. Dia akan kata lagi, tanya buat apa, tu perintah Tuhan, buat sudahlah. Kalau hang mati tak buat hukum Tuhan, hang masuk neraka, hang nak tanya lagi ke? Dia kata, Tuhan suruh buat, bukan suruh tanya. Inilah gaya berfikir dan cara interaksi ustaz (terutama yg masih muda) apabila dia disoal.

5. Sudahlah ustaz tu istinbat hukum drpd terjemahan ayat, bukan teks al-Quran yg asal, orang yg bertanya pula mahu dinerakakan. Kadang-kadang ayat atau hadis yg dibaca lintang-pukang jadinya.

6. Maknanya, ustaz yg sebegitu umpama burung tiong saja. Dia tidak study, mengkaji dan memahami dgn mendalam tentang ayat yg dibacanya. Inilah proses indoktrinasi yg berjalan begitu lama dlm Pas, bukan saja berlaku dlm kalangan ustaz muda Pas, bahkan juga yg senior dan ustaz jadi-jadian spt PJ Perak misalnya.

7. Sama juga dgn isu tak boleh ambil orang kafir sebagai wali (auliya'). Dikumpulkan ayat al-Quran tentang perkara itu lalu dijadikan hujah, ini dalil tak boleh lantik orang kafir termasuk org DAP jadi pemimpin, menteri, exco dan tak boleh undi depa dlm p/raya.

8. Apabila kita minta penjelasan, auliya' dlm ayat tu siapa? Wakil rakyat termasuk auliya' ke? Ambil org kafir sebagai auliya' tu maksudnya undi ke? Adakah auliya' tu maknanya pemimpin dlm konteks demokrasi? Mcm mana dgn pemimpin sebuah agensi yg kafir? Bekerja dgn orang kafir boleh ke?

9. Dia serang kita balik, hang nak masuk neraka dgn puak kafir ke? Al-Quran kata tak boleh, tak boleh la, hang nak lawan al-Quran? Awat hang lebih pandai drpd ulama ke? Hang pi la jilat pemimpin kafir hang tu? Begitulah antara jawapan balas kpd soalan utk dapatkan penjelasan lanjut.

10. Begitulah ustaz Pas bersyarah dimana-mana dgn berapi-rapi, secara umum, sembrono, tiada perincian, faham secara literal, tak faham konteks ayat dan borong maksud ayat utk semua situasi tanpa mengira realiti dan keutamaan.

11. Apabila mereka ditegur, dan dibetulkan fahaman depa, depa kata pula, hang nak buat tafsir baru ke? Hang pakai tafsir Yahudi ke? Hang ikut cakap Siti Kasim ke? Hang liberalis ni...! Ke situ pulak kita dihukumnya apabila kefahaman mereka cuba dibetulkan.

12. Sebenarnya ustaz Pas sebegitu malas membaca, malas berfikir dan suka ambil jalan singkat dlm memahami nas agama. Ada dlm kalangan mereka yg bersyarah tu, tak pernah sentuh pun Ibnu Kathir atau al-Qurtubi, sehingga ada yg kata Fathul Bari tu kitab fiqh yg besar. Maknanya dia tak pernah buka Fathul Bari pun, tapi bersyarah berapi-api.

13. Aku bukanlah nak kata aku hebat dan tahu semua benda, tapi aku nak minta kpd ustaz Pas terutama yg muda (termasuk yg tua), sebelum berkuliah atau bersyarah, bacalah buku. Dengarlah kuliah syeikh2 besar dari al-Azhar, Syria, Yaman dan serata dunia melalui You Tube. Banyak manfaatnya.

14. Janganlah jadi burung tiong. Bertanggungjawablah dgn perkara yg kita sampaikan kpd masyarakat. Dan, paling penting jgn malu utk terus belajar dan mengakui kejahilan kita. Jadi ustaz Pas tak semestinya betul semua.

Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

EXCO Kjaan Johor - SPRM jumpa RM41,000, rampas Toyota Vellfire

Tahan exco: SPRM jumpa RM41,000, rampas Toyota Velfire

JOHOR BAHRU - Susulan penahanan exco Kerajaan Johor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai berjumlah RM41,000 dan sebuah kenderaan, Toyota Vellfire.

Selain itu, sumber SPRM berkata, mereka turut menemui 150 beg tangan wanita pelbagai jenama.

Sementara itu, difahamkan SPRM akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap exco terbabit bagi meneruskan siasatan.

Exco berkenaan ditahan SPRM pagi tadi bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Memetik laporan Mstar, Exco tersebut ditahan jam 11 pagi tadi ketika hadir di pejabat SPRM Johor Bahru.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan penyusunan semula tiga portfolio Exco Kerajaan Johor berkuat kuasa Ahad ini di mana jawatan exco tersebut akan dipangku exco lain.

Ada rakyat Kedah masih tinggal di pondok buluh, pihak bertanggung jawab buat apa nie??

Pondok buluh tempat berteduh
Mohamad Bokhri dan isterinya terpaksa berteduh di pondok buluh kerana masalah kewangan bagi membina rumah yang lebih sempurna.

NAMI - Penoreh getah dari Kampung Nami, di sini, hanya mampu menjadikan pondok berdindingkan buluh sebagai tempat berteduh buat keluarganya.

Mohamad Bokhri Yusof, 32, berkata, pondok yang didiami bersama isteri, Nor Sharmimi Sharudin, 27 dan tiga anak mereka sudah tiga kali roboh gara-gara angin kuat.

Menurutnya, dia tidak mampu membina rumah kerana pendapatan sebagai penoreh tidak menentu, malah terpaksa membiayai persekolahan anak mereka.

“Saya dan isteri bina pondok buluh ini untuk kami sekeluarga berteduh dan pernah beberapa kali runtuh kerana angin kuat. Pernah kami sekeluarga terpaksa tumpang rumah emak saya yang berdekatan kerana bimbang pondok ini akan runtuh.

“Setiap kali hujan sudah pasti peralatan dalam rumah akan basah dan pernah buku sekolah anak saya turut basah kerana bumbung yang ditutupi oleh daun serdang bocor. Selain dari buluh, dinding pondok itu turut ditutupi oleh plastik dan perlu ditukar selalu,” katanya.

Dalam pada itu, pondoknya kerap dimasuki binatang berbisa termasuk biawak.

"Keadaan pondok yang tak sempurna memudahkan bintang masuk. Lantai dapur kami ini pula hanya tanah, kalau hujan habis becak," katanya.

Sementara itu, Nor Sharmimi berkata, dia dan suaminya pernah mendirikan rumah hasil simpanan mereka tetapi terbengkalai kerana masalah kewangan.

“Masalah itu sudah berlarutan hampir tujuh tahun dan kami sudah tidak mampu lagi membinanya dan mengutamakan kepada perbelanjaan sekolah anak-anak.

"Pernah juga maklumkan kepada beberapa pihak tetapi sehingga sekarang belum ada sebarang tindakan. Saya merayu kepada orang ramai atau agensi kerajaan supaya dapat membantu membiayai rumah kami yang terbengkalai sejak sekian lama,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu bolehlah menyumbangkan terus kepada Mohamad Bokhri Yusof di akaun BSN 02115-41-00011126-7 atau menghubunginya di talian 013-583 7501.

Kuala Ketil - Abang Berkorban kesenangan demi keluarga

Korban kesenangan demi keluarga
KUALA KETIL - Pendapatan kecil dengan hanya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel, tidak menghalang seorang abang menyara keluarga termasuk dua adiknya yang masih bersekolah.

Bapanya, Ismail Hussin, 62, dari Kampung Batu Satu berkata, atas faktor usia dan kesihatan, tugas itu terpaksa diserahkan kepada anak kedua, Muhammad Rizuan, 21, sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, selain dia dan isteri, Muhammad Rizuan terpaksa menanggung perbelanjaan persekolahan Siti Sahirah, 17 serta Muhammad Rizal, 11, dengan pendapatan bersih RM600 sebulan.

“Anak pertama dah kahwin tahun lalu, tak bekerja dan tinggal bersama suami dan anak. Jadi tugas membantu keluarga diambil alih Muhammad Rizuan selepas kesihatan saya merosot.

“Bagaimanapun, pendapatan itu tak cukup, adakala dia terpaksa meminjam duit daripada tuan bengkel untuk beli barang dapur dan diberi kepada adik-adik sebagai duit belanja sekolah,” katanya, di sini, kelmarin.

Ismail yang mengalami masalah penat mengakui terpaksa meminjam wang daripada rakan-rakannya pada situasi tertentu.

“Kadang-kadang sampai tengah bulan pendapatan terputus. Nak beli beras, ikan dan lain-lain tak boleh. Waktu tu terpaksa tebalkan muka pinjam duit daripada rakan-rakan,” katanya.

Difahamkan, keluarga berkenaan menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling.

Ibunya, Ramlah Isa, 56, berkata, anak keduanya itu belajar berdikari sejak di bangku sekolah menengah.

“Ketika di tingkatan tiga, dia akan ambil upah bela lembu selepas pulang dari sekolah. Duit itu digunakan untuk tampung serba sedikit barang dapur termasuk digunakan sebagai wang saku sekolah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Rizuan berkata, kesemua duit gajinya setiap bulan akan diserahkan kepada ibunya untuk diuruskan.

“Selama ni duit gaji akan diserahkan kepada emak untuk bayar bil, beli keperluan dapur dan belanja sekolah adik. Saya lebih senang orang tua yang uruskan.

“Harapan saya mahu lihat keluarga ini hidup senang dan memastikan adik-adik tak tercicir daripada pelajaran. Biar mereka berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, tekad membantu keluarga akan diteruskan dengan impian memiliki bengkel sendiri suatu hari nanti.

“Buat waktu ini tiada modal, bengkel ini dirancang dibuka lima tahun akan datang,” katanya.

Kuala Nerang - Tutup segera tempat pelupusan

Tutup segera tempat pelupusan
KUALA NERANG - Peneroka di Peringkat Dua, Felda Lubuk Merbau mendesak pihak berkenaan menutup kawasan pelupusan sampah yang didakwa mendatangkan pelbagai masalah kepada mereka.

Kawasan pelupusan sampah yang beroperasi pada 2011 itu menyebabkan tanaman dan persekitaran kawasan itu tercemar serta memberi kesan jangka panjang kepada saliran di situ.

Iswani Taib, 43, berkata, peneroka kecewa apabila Felda meluluskan tempat pelupusan sampah dijalankan di kawasan itu.

Menurutnya, setiap dua hari segala sampah dari penduduk Felda akan dibuang di kawasan itu sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau.

“Air daripada longgokan sampah sekitar alor (saliran) akan mengalir ke Sungai Ma seterusnya ke Sungai Muda.

"Penduduk bimbang air sungai ini akan tercemar hingga boleh memberi kesan buruk kepada penduduk yang menggunakan air di sungai itu,” katanya.

Katanya, kawasan yang dijadikan pelupusan sampah itu tidak bersesuaian, malah tidak mendapat keizinan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam nada sama, Zulkifli Taib, 53, berkata, keizinan pentadbiran Felda meluluskan kawasan pelupusan sampah di situ sangat membahayakan kerana selama ini Felda Lubak Merbau merupakan kawasan tertinggi jangkitan nyamuk aedes di Padang Terap.

Menurutnya, timbunan sampah itu boleh mengundang pelbagai penyakit jika pihak berkenaan tidak menutup kawasan itu dengan segera.

“Sejak kawasan itu dibuka sebagai kawasan pelupusan sampah, binatang liar seperti babi turun ke situ dan boleh membahayakan peneroka yang bekerja di situ,” katanya.

Katanya, lambakan sampah turut menyebabkan pokok dusun yang ditanam di sekitar alor mati kerana air yang sudah tercemar.

"Peneroka berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera supaya tidak mengundang lebih banyak masalah lagi kepada kami," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Keceriaan Felda Lubuk Merbau, Mohd Zaquan Mohad Zain berkata, pihaknya sudah menyedari mengenai masalah itu.

Katanya, kawasan pelupusan sampah di Peringkat Dua itu merupakan kawasan sementara dan akan ditutup pada hujung Mac nanti.

“Masalah itu timbul kerana lambakan sampah yang terlalu banyak hingga menyebabkan Felda terpaksa menyewa RM200 kepada peneroka bagi membuka tempat pelupusan sementara.

“Kini pihak kami telah bekerjasama dengan E-Idaman Sdn Bhd dan semua sampah di Felda ini akan dibawa ke pusat pelupusan sampah di Jabi, Pokok Sena. Oleh itu saya berharap peneroka tidak lagi bimbang dengan masalah yang dihadapi sekarang ini,” katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...