TERKINI :

Wednesday, March 8, 2017

PANAS !!! Tarikh pilihanraya 14 sudah dapat di jangka..bersedialah...

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2017/02/saifuddin2.jpg 
 
ceramah umum dari Saifudin Nasution berkenaan isu-isu semasa dan yang utama islah perjumpaan DSAI & TUN M serta pendedahan strategi menghadapi pemerintahan BN...

* ISU FELDA
* TARIKH PILIHANRAYA
* NAJIB BUBAR PARLIMEN.

PENJUALAN TANAH MILIK DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR (DBKL) - DBKL PERLU JELASKAN



Yang Berhormat Teresa Kok Ahli Dewan Rakyat Seputeh pada 7 Mac 2017 telah menyoal Menteri Wilayah Persekutuan di Dewan Rakyat tentang prosedur penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kenapakah tender terbuka tidak dilaksanakan. Dalam jawapannya, Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa "semua permohonan penjualan tanah akan dipertimbangkan di peringkat Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jawatankuasa akan meneliti, membuat analisa dan memperakukan syarikat yang boleh ditawarkan untuk membeli tanah DBKL. Jawatankuasa akan memastikan setiap penjualan akan mendapatkan nilai pulangan yang terbaik untuk DBKL. Selaras dengan keperluan Seksyen 101 (r) Akta Kerajaan Tempatan 1976, perakuan Jawatankuasa akan dikemukakan kepada YB Menteri Wilayah Persekutuan untuk dimuktamadkan."

Jawapan yang diberikan oleh Menteri terbabit menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dijawab dan diperjelaskan oleh pihak Datuk Bandar Wilayah Persekutuan, DBKL dan juga Kementerian Wilayah Persekutuan.

Persoalan pertama ialah berkaitan Jawatankuasa yang bertindak meneliti, membuat analisa dan memperakukan syarikat yang boleh ditawarkan untuk membeli tanah. Jawapan Menteri menyebut Jawatankuasa dipengerusikan oleh pengurusan tertinggi DBKL yang boleh difahami ianya dipengerusikan oleh Datuk Bandar sendiri. Selain Datuk Bandar sebagai pengerusi Jawatankuasa tersebut, siapakah lagi anggota Jawatankuasa? Bagaimana Jawatankuasa ditubuhkan dan anggota-anggota Jawatankuasa dilantik?

Persoalan kedua ialah berkaitan proses meneliti, menganalisa dan memperakukan syarikat yang akan ditawarkan. Bagaimana proses penelitian, penganalisaan dan perakuan dilakukan? Adalah pelik bagaimana Jawatankuasa boleh bertindak meneliti dan menganalisa syarikat untuk ditawarkan pembelian tanah. Kenapa tanah milik DBKL hendak dijual? Untuk apa dijual tanah-tanah milik DBKL? Adakah terdapat suatu polisi jelas di pihak DBKL untuk menjual tanah-tanah milik DBKL?

Persoalan ketiga ialah berkaitan syarikat yang ditawarkan membeli tanah. Bagaimana Jawatankuasa mendapat senarai syarikat yang berhajat membeli tanah? Adakah DBKL membuat tawaran terbuka kepada awam tentang niat untuk menjual tanah?

Persoalan keempat ialah nilai tanah yang dijual. Bagaimana penilaian dibuat oleh Jawatankuasa?

Persoalan kelima berkaitan kegunaan tanah oleh pembeli. Adakah DBKL meletakkan apa-apa syarat kegunaan tanah kepada syarikat yang membeli?

Semua persoalan ini hendaklah dijawab dan diperjelaskan oleh DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan kerana ianya melibatkan tanah-tanah awam dan kepentingan awam.

ZULHAZMI SHARIFF
3 MAC 2017

AMANAH - PENDEKATAN ORANG TENGAH SELESAI KRISIS MALAYSIA-KOREA

www.amanah,org,my


1. Krisis antara Malaysia dan Korea Utara semakin tegang dan meruncing. Pendekatan "tit for tat" tidak menyelesaikan sebarang masalah. Malaysia berhak untuk menghalau duta Korea Utara dan menghisytiharan beliau "Persona Non Grata". Begitulah juga sebaliknya kepada Korea Utara yang berhak untuk menghalau Duta Malaysia dan mengisytiharkannya sebagai "Persona Non Grata".

2. Rakyat kedua-dua negara menerima akibat dari krisis yang berlaku ini. Oleh itu, kedua-dua negara hendaklah mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini. Jika kedua-dua negara tidak dapat bertemu muka, carilah jalan melalui negara ketiga untuk menjadi orang tengah. Segala perundingan hendaklah dijalankan secara tertutup dan tidak perlu dihebahkan sehingga krisis diplomatik ini diselesaikan seberapa segera.

3. Saya sewajarnya tidak perlu mengajar mana-mana kerajaan tetapi saya yakin, ada negara ketiga yang bersedia untuk menjadi orang tengah bagi mencari penyelesaian tehadap krisis yang sedang berlaku antara Malaysia dan Korea Utara ini.

#AmanahDemiNegara

*MOHAMAD SABU*
Presiden
Parti Amanah Negara
*8 MAC 2017*

Pas tetap akan saman Sarawak Report, Husam

 Pas tetap akan saman Sarawak Report, Husam
KUALA TERENGGANU – Keputusan memfailkan saman terhadap Sarawak Report dan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa tetap diteruskan apabila Pas kini sudah pun menguruskan sebahagian pembayaran kos guaman di United Kingdom (UK) bagi tujuan tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya juga kini sedang dalam proses pengumpulan maklumat yang cukup sebagai persiapan untuk menepis dakwaan kononnya Pas menerima dana RM90 juta daripada Umno.

“Kita sedang buat proses saman itu di UK dan sedang berjalan… Kita sudah bayar (kos) sebahagian (bagi proses) bayaran kepada peguam di sana.

“Cuma sedang dalam proses pengumpulan data lagi. Surat pertama (tuntutan) telah kita hantar dan tunggu masa sahaja, Insya-ALLAH,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat Pas Kawasan Kuala Nerus Kali Ke-36 di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq), Batu Enam, di sini.

Mengulas lanjut, Dr Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mendakwa bahawa Husam mendedahkan pembohongan dan fitnah mengenai Pas yang boleh menjatuhkan maruah dan kepimpinan parti.

“Husam akan diambil tindakan (saman) itu oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Husam dalam ceramahnya sebelum ini mendakwa tahu berhubung maklumat dana RM90 juta yang disalurkan kepada Pas melalui akaun Affin Bank.

Sebelumnya, isu tersebut mula dimainkan Sarawak Report pada Ogos tahun lalu yang mendakwa RM90 juta diterima kepimpinan Pas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berikutan itu, Pas menyatakan untuk menyaman portal tersebut dan telah menghantar surat tuntutan kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menerusi alamat beliau di London, United Kingdom pada 13 Disember tahun lepas.

Pemandu teksi tolak kerjasama Uber, dakwa milik Yahudi

teksi_law
SUBANG JAYA: Lebih 100 pemandu teksi menunjuk perasaan beberapa minit sebelum Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) menandatangani memorandum persefahaman dengan Uber Malaysia, mendorong penganjur membatalkan mesyuarat yang dijadualkan hari ini.

Mewakili beberapa persatuan dari seluruh negara, penunjuk perasaan berhimpun di perkarangan Kelab Sunway Lagoon iaitu lokasi majlis tandatangan MoU, dan berkata mereka tidak rela bekerjasama dengan “syarikat Yahudi”.

Mereka turut membidas GPST yang didakwa menjual kepentingan pemandu teksi.

“Puluhan tahun GPST menghisap darah pemandu teksi dan kini mereka menggadaikan pula hidup kami kepada syarikat Yahudi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin.

“Tengok siapa yang banyak aniaya kami sekarang dan mahu jual kami macam durian dan ikan kena longgok.”

Semalam, Penasihat Teksi Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail berkata GPST mahu menggunakan aplikasi e-hailing Uber, yang lebih popular di pasaran berbanding aplikasi syarikat teksi biasa, sekaligus mengakhiri perseteruan antara teksi dan syarikat perkongsian kenderaan itu.

GPST menaungi beberapa syarikat teksi utama di negara ini, antaranya New Supercab, Uptownace dan Sunlight Taxi.

Dihubungi FMT tadi, Shamsubahrin berkata beliau diberitahu mesyuarat GPST-Uber terpaksa ditetapkan kemudian dan akan diadakan secara tertutup.

“Sudahlah kami miskin kini disakiti dengan cara begini pula,” kata Zailani. Himpunan ini merupakan yang ke-8 dalam siri tunjuk perasaan terhadap syarikat perkongsian kenderaan, yang dikatakan menarik sebahagian besar pengguna pengangkutan awam daripada teksi.

“Sekarang pendapatan kami kurang dari RM100, bayar perkhidmatan RM50, bayar minyak dan gas RM30 dan tinggal baki RM20,” katanya.

Semalam, Shamsubahrin berkata kerjasama dengan Uber itu akan membolehkan pemandu menggunakan aplikasi e-hailing yang lebih kuat di pasaran dari segi pemasaran, tempatan dan potensi menjana pendapatan.

Selepas 3 jam menunggu Pengerusi GPST Datuk Salahuddin Ayubi Kamal Aazad untuk menemui mereka, penunjuk perasaan akhirnya dapat menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil GPST, Datuk Aslah Abdullah.

Zailani berkata memorandum itu mewakili 61,336 pemegang permit teksi dan kereta sewa seluruh Semenanjung Malaysia. Menurutnya lagi, mereka akan kembali berkumpul di Parlimen dalam masa terdekat bagi mendesak wakil rakyat mendengar suara mereka.

Pas tak bimbang andaian hilang kerusi di Selangor


SHAH ALAM – Pas hari ini menegaskan tidak bimbang dengan andaian yang parti itu bakal kehilangan hingga 10 kerusi pada PRU akan datang.

Tidak bimbang dengan dakwaan tersebut, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pihaknya sudah merangka strategi tersendiri yang membolehkan Pas kekal dalam kerajaan Selangor hingga PRU akan datang.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bentuk strategi dan jumlah kerusi yang bakal ditumpukan Pas pada PRU nanti.

“Kami sudah ada strategi kami sendiri untuk memenangi PRU depan. Apa yang penting adalah bagaimana kita (Pas) akan kekal dalam kerajaan Selangor selepas PRU nanti,” katanya kepada Sinar Online.

Kedudukan Pas Selangor kini goyah setelah parti itu bertegas tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah pada PRU akan datang.

Pada PRU lalu, daripada 56 kerusi Dun di Selangor, DAP menang 15 kerusi; Pas (15) dan PKR (14) sehingga berjaya membentuk kerajaan yang pada masa itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Manakala BN pula memperoleh 12 kerusi.

Setelah berlaku pergolakan politik sepanjang empat tahun lalu, pembahagian kerusi antara parti-parti pembangkang turut berubah dengan DAP kekal 14 kerusi; Pas (13), PKR (13), Amanah (2) dan Bebas (2). BN kekal 12 kerusi.

Analisis yang dibuat oleh Oriental Daily mendapati, pada PRU lalu, daripada 21 Dun yang dipertandingkan Pas, parti itu menang 15 kerusi dengan lapan kerusi daripadanya menang atas sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Kelapan-lapan kerusi Dun yang dimaksudkan itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua dan Tanjong Sepat.

"Semua lapan kerusi itu berada dalam kawasan bandar dengan jumlah pengundi Cina menghampiri atau lebih daripada 30 peratus. Dijangkakan, pada PRU kali ini, tanpa sokongan daripada pengundi Cina, adalah sukar bagi Pas untuk mempertahankan kelapan-lapan kerusi yang dimenangi mereka dulu," kata seorang pemimpin pembangkang kepada akhbar ini.

Selain itu katanya, dua kawasan luar bandar seperti Dun Morib dan Tanjung Sepat dimenangi Pas dengan kelebihan majoriti kurang daripada 1,000 undi turut berada dalam keadaan tidak menentu.

Oleh itu, atas faktor kehilangan sokongan pengundi Cina, Pas kemungkinan akan kalah sekurang-kurangnya 10 Dun di Selangor pada PRU14.

PBB bantu bawa keluar dua petugas rakyat Malaysia

 pbb
KUALA LUMPUR - Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) akan membantu melicinkan proses membawa keluar dua petugas mereka yang merupakan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Sumber PBB memberitahu Bernama, pihaknya di New York telah menghubungi kedua-dua wanita rakyat Malaysia dalam lingkungan umur 30-an itu sebaik sahaja notis sekatan keluar oleh Pyongyang dilaporkan media antarabangsa.

"Kedua-dua mereka berada dalam keadaan selamat. Mereka bukan staf atau pegawai Kedutaan Malaysia.

"Mereka adalah staf kami (PBB) yang dihantar ke Korea Utara untuk menjalani kursus berkaitan Program Makanan Sedunia (WFP)," katanya.

Beliau berkata PBB akan menghantar wakil bagi melicinkan proses membawa keluar kedua-dua wanita tersebut dalam masa terdekat.

Dua wanita itu adalah antara 11 rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara pada ketika ini selain tiga kakitangan kedutaan dan enam anggota keluarga kakitangan kedutaan.

Media rasmi Korea Utara, KCNA hari ini melaporkan tindakan Pyongyang menghalang semua rakyat Malaysia dari meninggalkan Korea Utara selagi pembunuhan Kim Jong-nam di Kuala Lumpur tidak diselesaikan dengan baik. - Bernama

ALANGKAH BURUK, ZALIM DAN KEJI SESEORANG PEMIMPIN ITU JIKA...

*BICARA MUFTI*

ALANGKAH BURUK, ZALIM DAN KEJI...

Maka ALANGKAH BURUKNYA seorang Presiden, atau Sultan, atau Raja, atau Perdana Menteri, atau Menteri Besar, atau Menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan.

Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat.

ALANGKAH ZALIM! ALANGKAH KEJI sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai.

Orang seperti ‘Umar bin Al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Dr Asri Zainal Abidin
Mufti Perlis

Isu Korea: Henti jadikan Malaysia bahan tawa dunia

 Kim Jong-un
SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan digesa bersikap serius dalam menangani isu diplomatik, antara Korea Utara dan Malaysia.

Pengarah Pemikir Kaum Muda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Ahmad Anwar Asyraf berkata, kerajaan juga disarankan lebih tegas dalam menghadapi kemelut diplomatik ini.

"Jangan ulang kelemahan dan kesilapan dalam berhadapan misteri kehilangan MH370 lagi.

"Cukuplah menjadikan Malaysia bahan tawa dunia dengan kelemahan risikan dan keselamatan negara. Rakyat juga perlu berani untuk memastikan Kerajaan Persekutuan bercakap benar dalam isu ini,"' katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu hubungan antara Malaysia-Korea Utara kini memasuki episod baharu apabila kedua-dua buah negara bertindak membekukan perjalanan keluar, sama ada rakyat Malaysia di Korea Utara atau rakyat Korea Utara di Malaysia.

[ARTIKEL BERKAITAN: Korea Utara sekat rakyat Malaysia keluar negaranya]

Terdahulu, memetik laporan Reuters, larangan itu atas alasan untuk memastikan keselamatan diplomat dan rakyatnya di Malaysia ekoran krisis diplomatik yang berlaku antara kedua-dua negara selepas pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Namun menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican , difahamkan 11 rakyat Malaysia kini berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang ancaman diterima oleh mereka di sana.

[ARTIKEL BERKAITAN: 11 rakyat Malaysia di Korea Utara selamat]

Seramai 11 orang warga Malaysia itu terdiri daripada tiga orang kakitangan kedutaan Malaysia, dua daripadanya adalah individu yang bekerja dengan World Food Programme di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) manakala selebihnya adalah ahli keluarga mereka.

Ujar Ahmad Anwar lagi, mengimbas mengenai hubungan Malaysia-Korea Utara,ramai rakyat tidak mengetahui hubungan diplomatik yang telah terjalin di antara kedua dua buah negara berkenaan selama ini.

"Selama bertahun-tahun, Korea Utara telah menikmati banyak kebebasan apabila menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia.

"Rakyat mereka diberikan kebebasan untuk melawat, bekerja dan tinggal di Malaysia. Walaupun Korea Utara dianggap 'jahat' oleh sebahagian besar dunia hari ini tetapi Malaysia tetap menjalin hubungan dan memberikan keistimewaan kepada Korea Utara atas pertimbangan ekonomi dan sebagainya," katanya.

Katanya lagi, rakyat perlu sedar bahawa selain hubungan diplomatik dengan Korea Utara, Malaysia juga mempunyai hubungan perdagangan dengang dengan negara itu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut perihal itu katanya, apa yang perlu diberi pertimbangan kini adalah bersatu hati mempertahankan kedaulatan negara.

"Ayuh, rakyat Malaysia, bersama-sama kita menjadi benteng mempertahankan kedaulatan negara.

"Ayuh, kita doakan keselamatan saudara-saudara kita yang menjadi tebusan rejim Pyongyang. Kita perlu berganding bahu bersama Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas menyelamatkan rakyat Malaysia di sana," katanya.

Ujarnya lagi, maruah kedaulatan Malaysia sedang dicabar, jadi ketepi perbezaan kita untuk berdiri bersama-sama pertahankan negara Malaysia.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...