TERKINI :

Saturday, March 4, 2017

BN bimbang pengaruh Warisan di Sabah?

shafie-afdal
PETALING JAYA: Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal membayangkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Sabah menunjukkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.

Sehubungan itu kata beliau, kepimpinan Barisan Nasional (BN) tahu bahawa semakin mereka melewatkan keputusan memanggil PRU14 semakin ramai yang akan menyertai Parti Warisan Sabah.

“Mereka tahu yang Warisan semakin popular dan jika mereka melewatkan pilihan raya, ramai akan menyertai Warisan,” kata Presiden Parti Warisan Sabah ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berada di Sabah semalam dan hari ini sempena lawatan kerja selama 2 hari.

Sebelum ini ada laporan yang menyebut kemungkinan pilihan raya umum negeri Sabah akan diadakan lebih awal bukan bersama Semenanjung sebelum ini. Mandat semasa hanya akan berakhir pertengahan tahun depan, tetapi spekulasi PRU14 semakin kedengaran.

Berucap pada satu majlis di Lahad Datu, Sabah hari ini, bekas menteri kerajaan pusat ini turut mempersoalkan langkah Putrajaya menerima pelaburan Arab Saudi bernilai RM31.1 bilion dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Jumlah itu bakal dijana menerusi kerjasama antara Saudi Aram­co dengan Petronas sebagai rakan pelaburan, kata Najib.

Najib memberitahu rundingan berhubung perkara itu telah dimuktamadkan, sekali gus disifatkan antara keputusan terbesar dicapai dalam lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia.

Katanya, syarikat Arab Saudi itu bakal menjadi pelabur tunggal terbesar dalam projek tersebut.

Hari ini, Shafie mempersoalkan langkah itu sedangkan projek seumpama itu boleh dibina di Sabah.

“Di Sabah kita ada gas dan minyak, mengapa tidak membina projek penapisan di sini?” kata beliau sambil menambah, Sabah ketinggalan dari segi ekonomi meskipun kaya dengan sumber alam semula jadi.

“Apa jenis perkongsian kekayaan apabila kerajaan persekutuan ambil 95% (hasil minyak) dan kita dapat 5%. Kita adalah pengeluar terbesar gas di Malaysia, tetapi kita tidak boleh buat tangki gas sendiri dan mesti beli dari barat,” katanya.

TUN M Turun sendiri ke Forest City Johor untuk membuktikan ia jadi hak milik kekal untuk orang luar.

Terkini Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan lawatan khas pagi ini.

Bukti tanah di Forest City Johor Bharu kini hak milik luar. Tun M sendiri meluangkan masa untuk melihat sendiri kawasan tersebut.

'Umno cukup gembira dengar ucapan Nik Abduh'


Pengakuan terbuka Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz bahawa Pas pada masa ini mengamalkan pendekatan ke arah perpaduan dan kesatuan umat Islam diyakini cukup menggembirakan Umno, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

Menurutnya, pendekatan Allahyarham Datuk Dr Haron Din itu sekaligus menyerlahkan sifat Nik Abduh yang dilihat 'tidak berjiwa pejuang dan pembangkang' seperti dimiliki Almarhum ayahnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Khalid SamadKhalid Samad"Saya yakin Umno cukup gembira mendengar ucapan Nik Abduh yang sebegini rupa. Yang paling ditakuti Umno adalah kehilangan pemerintahan.

"Maka selagi mana Pas tidak mencabar kedudukan Umno, tiada sebab untuk ditakuti Pas walau betapa pedas kritikannya," tegas beliau dipetik dari artikelnya di akhbar mingguan Amanah keluaran terbaharu.

Nik Abduh dalam Seminar Pemikiran Datuk Dr Haron Din, 25 Februari lalu lebih bersetuju dengan pendekatan Dr Haron Din berbanding cara ayahnya yang berpanjangan bersengketa dengan Umno bagi tujuan menggantikan rejim tersebut.

Bahkan, beliau dalam ucapannya di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur itu turut menjelaskan matlamat utama Pas bukan meruntuhkan Umno tetapi mengukuhkan ummah.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pendekatan yang dipersetujui Nik Abduh itu cenderung mewujudkan suasana adu-domba yang eksklusif dan mengkotak-katikkan masyarakat.

"Ianya tidak inklusif, tidak seperti yang pernah dibawa Pas dahulu di bawah cogan kata 'Pas Untuk Semua.' Pendekatan inklusif inilah pendekatan Almarhum TGNA (Tuan Guru Nik Aziz)," tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Dapatkan akhbar Amanah Edisi 41, 5 - 12 Mac di pasaran yang turut memuatkan banyak artikel pimpinan Amanah Nasional serta kolumnis antaranya Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Mohamed Hanipa Maidin, Ahmad Lutfi Othman dan Lim Hong Siang.

Guan Eng - Kesal pejabat AG lambat bertindak kes fitnah anak yang sudah berlarutan 6 tahun

Kesal pejabat AG lambat bertindak kes fitnah anak

GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyatakan kekecewaannya terhadap Pejabat Peguam Negara yang dilihat sengaja melengah-lengahkan penyiasatan kes anaknya yang didakwa mencabul seorang pelajar perempuan.

Sambil mempertikaikan kewibawaan Pejabat Peguam Negara, Guan Eng berkata, walaupun laporan polis telah dibuat enam tahun lalu, sehingga kini tiada tindakan diambil ke atas pihak yang memfitnah anaknya itu.

Menurutnya, lebih mengecewakan, Pejabat Peguam Negara turut menyoalnya sama ada mahu meneruskan kes itu dengan merujuk ke mahkamah atau sebaliknya.

"Kes fitnah anak saya ini berlaku enam tahun lalu dan saya sudah buat laporan polis. Namun hari ini, dua pegawai polis yang membawa arahan dari Pejabat Peguam Negara datang bertanyakan beberapa soalan kepada saya. Mereka tanya adakah saya sudah membuat laporan polis berhubung kes anak saya. Adakah soalan ini patut ditanya setelah enam tahun?

"Tentu saya sudah buat (laporan polis) kerana ini satu fitnah jahat dan tidak pernah berlaku, malah saya dapati ia masih disiarkan dalam blog-blog. Apa yang menghairankan, kes ini sudah lama, laporan polis pun sudah ada, tetapi kenapa tiada tindakan?" katanya kepada media semalam.

Terdahulu, Guan Eng ditemani Pegawai Undang-Undang Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib dilihat sedang dirakamkan keterangan oleh dua pegawai polis berhubung kes berkenaan di pejabatnya pagi semalam.

Proses mengambil keterangan itu mengambil masa kira-kira 20 minit.

Guan Eng juga berharap agar kes fitnah anaknya itu diambil tindakan segera dan meminta Pejabat Peguam Negara bersikap profesional.

"Termasuk tadi, sudah tiga kali mereka merakamkan kenyataan saya. Tetapi kes belum juga diambil tindakan. Saya tidak menyalahkan polis, kerana mereka hanya menjalankan arahan yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara bagi melengkapkan siasatan. Tetapi kenapa begitu lama? Jika melibatkan pemimpin BN, Umno atau Perdana Menteri di media sosial, tindakan cepat akan diambil.

"Tetapi, mengapa Pejabat Peguam Negara bersikap sambil lewa ke atas kes anak saya? Mereka tidak profesional, jika nak buat kerja, buat betul-betul. Ini melibatkan maruah anak dan keluarga saya. Anak saya tidak mahu ke sekolah selepas tersebarnya fitnah ini. Saya juga bimbang dia akan melakukan perkara tidak elok kerana tertekan. Oleh itu, saya akan teruskan kes ini dan bersedia ke mahkamah sebagai saksi," katanya.

Guan Eng turut meminta agar tidak melibatkan keluarganya sekiranya mahu menjatuhkan karier politiknya.

"Jika mahu jatuhkan saya, silakan tetapi jangan serang anak saya yang tidak tahu apa-apa. Ini satu lagi taktik kotor penyokong BN dan Umno, mereka bertindak kejam dengan menabur fitnah kepada mereka yang tidak berdosa," katanya.

Ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menyebarkan fitnah terbabit, Guan Eng berkata, penulis berkenaan kini diisytihar bankrap.

"Kita tidak boleh saman orang yang sudah diisytihar bankrap. Namun, mungkin boleh menuduhnya di mahkamah kerana melakukan jenayah memfitnah," katanya.

Enam tahun lalu, tersebar dakwaan di beberapa blog kononnya anak lelaki Guan Eng mencabul kehormatan rakan sekelasnya dan akibat daripada itu, dia terpaksa dipindahkan sekolah.

Blog berkenaan turut memuat naik sekeping gambar dikenali sebagai Anya Ann Corke berusia 21 tahun iaitu pemain catur terkemuka Hong Kong dan mengaitkannya sebagai mangsa.

Turut dimuatkan dalam blog terbabit, sembilan laporan yang mendakwa anak Guan Eng mencabul seorang pelajar perempuan dan beliau dikatakan membayar RM200,000 kepada keluarga pelajar itu.

Kemungkinan besar Pas ditimpa masalah




KOTA BHARU - Pas perlu mencari tonik penyelamat untuk mengubati segala penyakit mahupun kelemahan yang sering kali dibangkitkan parti lawan kebelakangan ini sebelum betul-betul terlambat.

Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, jika pimpinan yang ada masih dibuai aura Allahyarham Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa menyusun gerak langkah, kemungkinan besar parti itu ditimpa masalah pada PRU14 nanti.

Menurutnya, bukan mustahil sekiranya Pas tidak berbuat sesuatu dan terus dengan keegoannya, justeru memungkinkan parti itu bakal berputih mata pada pilihan raya umum yang dijangka hangat kali ini.

“Pimpinan Pas terutama di Kelantan mestilah berfikiran waras dan matang dalam apa jua tindakan termasuk ucapan mereka.

“Jangan kita bongkak, sombong dan angkuh dalam setiap tindakan. Nanti masyarakat akan gelak kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas tindakan Pas yang sejak akhir-akhir ini dilihat semakin mendabik dada ketika mana hubungan akrab dengan Umno semakin menyerlah biarpun dinafikan.

Terbaharu, Naib Presiden Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan yakinnya mengeluarkan kenyataan parti itu bersedia bergerak sendirian dan bertanding di semua kerusi pada PRU14 nanti.

Rusdi berkata, hasrat untuk kekal mentadbir Kelantan dan tidak mustahil untuk menawan Putrajaya yang dilaung-laungkan Pas juga ibarat bermimpi di siang hari.

“Persoalannya, kajian mana yang menjadi rujukan beliau. Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru di mana-mana negeri agak sukar dan mungkin mustahil untuk Pas memenangi pilihanraya tersebut.

“Tidak keterlaluan juga, kemungkinan besar negeri Kelantan akan jatuh ke tangan BN, sekiranya Pas ingin bertanding secara bersendirian,” katanya.

Kata Rusdi, pemimpin-pemimpin Pas terutama seperti Mohd amar dan Nasrudin Hassan dilihat seolah-olah bermain dengan pemikiran psikologi dengan mengatakan bahawa DAP dan Amanah tidak kuat bahkan mudah untuk ditumbangkan.

“Tetapi realitinya mereka betul-betul rasa tergugat dengan adanya Amanah dan DAP di dalam Pakatan Harapan di samping sokongan dari PKR dan Bersatu.

“Kalau tak ada apa-apa ketakutan terhadap parti DAP dan Amanah mengapa mereka masih menghentam kedua-duanya sekiranya parti ini tidak ada sokongan. Bukankah pelik nampak cara itu. Sepatutnya mereka tak perlu kedua-dua parti ini,” katanya.

Tidak menafikan sejarah Pas pernah bersendirian namun Rusdi berkata, sejauh mana kehebatan parti itu bila tidak berteman juga perlu direnung-renungkan oleh mereka.

UMNO MAKIN KALUT, PENGERUSI MARA BAKAL SAMAN AHLI MAJLIS MARA?

Shahbudin Husin, 

 
Secara tiba-tiba pada 1 Mac lalu, tersebar berita mengenai pengarah pemasaran sebuah syarikat membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang mendakwa melakukan penyelewengan dana sebanyak RM2.7 juta melibatkan yayasan yang diterajuinya.

Dana tersebut dikatakan adalah geran untuk membangunkan perisian komputer bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM.

Laporan polis yang dibuat pada Isnin, 27 Februari itu kemudian dipanjangkan SPRM untuk tindakan seterusnya.

Ketika itu, semua orang berteka-teki siapakah pemimpin kanan UMNO tersebut, tambahan lagi apabila SPRM pada 2 Mac turut mengeluarkan kenyataan akan menyiasat "Ahli MT UMNO" tersebut, meskipun dilaporkan laporan polis itu sudah ditarik balik.

Dalam kenyataannya kepada media, pengarah pemasaran itu mengatakan beliau menarik balik laporan polisnya kerana menganggap kes yang dibangkitkannya sudah selesai.

Walaupun demikian, di media sosial khususnya, masih ramai yang tertanya-tanya siapakah "Ahli MT UMNO"  yang dikaitkan itu dan benarkan dakwaan yang ditujukan terhadapnya?

Ada juga yang mempersoalkan kenapa SPRM terlalu cepat memberi kenyataan dan dengan berani pula menyebut pemimpin berkenaan sebagai "Ahli MT UMNO"?

Segala-galanya hanya terdedah apabila Annuar Musa yang sedang berada di Mekah memberi respon agak panjang mengenai perkara tersebut di laman Facebook miliknya.

"Kita terpinga-pinga dibuatnya berikutan adanya laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kemudian dengar pula laporan polis ditarik balik kerana sudah selesai cara baik,” kata Annuar dalam  tulisannya di laman sosial itu.

Selain menafikan segala tuduhan yang ditujukan terhadapnya, Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Pengerusi Mara turut menyifatkan, segala dakwaan terhadapnya dan melibatkan yayasan yang diterajuinya, adalah fitnah dan palsu.
“Apakah aduan palsu dan memberi maklumat palsu tidak perlu disiasat atau ‘tangan ghaib ini’ cukup berkuasa dan boleh mengatur segalanya mengikut selera mereka?
“Cukuplah saya membiarkan pihak tertentu bebas dengan tindakan mereka. Apakah undang-undang negara ini sewenang-wenangnya membenarkan tuduhan atau aduan untuk diviral sehingga pihak tidak bersalah menjadi mangsa fitnah demi fitnah.
“Apakah ini senjata peras ugut apabila kehendak seseorang atau taiko di belakangnya tidak ditunaikan atau bila lagi perniagaan seseorang tidak menjadi?” soal beliau lagi.
Sehubungan itu, Annuar kini menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa telah memfitnahnya.
Meskipun diketahui bahawa pihak yang membuat laporan polis itu adalah seorang pengarah pemasaran, di media sosial dan warung kopi orang-orang UMNO berhampiran PWTC, rancak diperbualkan bahawa seorang Ahli Majlis Mara adalah antara yang dikatakan terlibat mendalangi laporan polis kepada Annuar itu.
Individu berjawatan pengarah pemasaran itu pula  adalah seorang ahli UMNO dan pernah bertanding jawatan Exco Pemuda dalam pemilihan 2013 yang lalu, tetapi tewas.
Annuar sendiri dalam tulisannya turut menyebut tentang kewujudan "tangan ghaib" dan "taiko yang berada di belakang" dalam kemelut yang dihadapinya.
Siapakah "tangan ghaib" dan "taiko"  tersebut dan adakah Annuar memang menyedari ada musuh dalam persekitaran yang dekat dengannya?
Tidak lama sebelum ini, ketika Annuar berada di New Zealand, satu mesyuarat khas Ahli Majlis Mara telah diadakan secara mengejut dan hasilnya beliau telah digantung jawatan sebagai Pengerusi Mara untuk membolehkan siasatan dijalankan berhubung tajaan UniKL dan Pelaburan Mara Bhd kepada pasukan bolasepak Kelantan.
Kali ini, ketika berada di Mekah, beliau sekali lagi menghadapi serangan berkaitan penyelewengan dana pula.
Adakah kedua-dua kejadian menimpa Annuar itu melibatkan Ahli Majlis Mara yang sama atau ada kaitan antara kedua-duanya?
Apakah permasalahan sebenar antara Annuar dengan Ahli Majlis Mara itu?
Siapakah yang bakal kena saman dengan Annuar kali ini?
Pengarah pemasaran yang membuat laporan kepadanya saja atau Ahli Majlis Mara yang menjadi sebutan ramai dan disebut sendiri oleh Annuar sebagai "tangan ghaib" dan "taiko" itu akan turut disaman sama?
Jika saman Annuar turut melibatkan Ahli Majlis Mara, barangkali pertama kali berlaku dalam sejarah di mana Pengerusi Mara menyaman Ahli Majlis Mara sendiri.
Satu lagi episod menarik dalam UMNO bakal menjadi tatapan kita dan boleh jadi satu lagi tanda UMNO ini semakin mereput dan wajib ditolak seluruhnya. (Shahbudin 03/03/2017).

RUU355: AJK PAS Pusat suruh cuba dulu, baru tahu kelemahan

RUU355: Cuba dulu, baru tahu kelemahan

KUALA LUMPUR - Laksanakan dahulu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355), baharulah kita tahu akan kelemahannya, kata Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Datuk Dr Mohamad Fadzli Hassan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pas menyatakan pandangan itu sebagai panel pada Bicara Pasca Himpunan 355, Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera di My Harakah Bazar, hari ini.

Menurut Mohamad Fadzil, setiap undang-undang itu ada kelemahannya, namun bagi RUU355 beliau meminta semua pihak berlapang dada dan melihat kepada perkembangan dan penambahbaikan undang-undang itu jika ia dilaksanakan.

"Setiap akta di negara ini bila ia dilaksanakan baru kita nampak apa yang perlu dibaiki sehingga mencapai kepada tahap kesempurnaan begitu juga dengan RUU355.

"Undang -undang Islam ini dilihat sangat asing, kita kena mulakan, baru kita tahu ada kekurangan. Kita boleh perbaiki sekiranya ada kekurangan.

"Kalau undang-undang ini tidak dilaksanakan sampai bila-bila masyarakat tidak faham dan salah sangka," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam tidak mengambil sikap berdolak dalih dan menyokong pindaan tersebut.

"Saya menyeru kepada ilmuan Islam supaya mengambil sikap menyokong.

"Kumpulan yang sepenuh masa dalam perundangan Islam menyokong sedangkan orang yang tidak kenal dengan mahkamah mereka pula yang menentang," katanya.

Yan - Penemuan cengkerang kuno jadi tarikan baharu

Penemuan cengkerang kuno jadi tarikan baharu


YAN - Penemuan cengkerang kuno yang berusia hampir 5,600 tahun nyata memberikan tarikan baharu bagi pengunjung yang menjejaki kawasan perkampungan Singkir Laut, Yan.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan (JKKK) kampung berkenaan, Sabri Ismail, 59, berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah, Perlis, Pulau Pinang telah pun mencadangkan lokasi penemuan cengkerang kuno itu sebagai geotapak.
ADVERTISING
inRead invented by Teads

"Pelbagai rancangan sudah dirancang dan akan dijalankan sejurus lokasi penemuan ini diishtiharkan sebagai geotapak.

"Kita akan majukan kawasan perkampungan Singkir Laut ini sebagai satu kawasan tarikan untuk pelancong," katanya.

Menurutnya, kewujudan kulit pelbagai cengkerang di sini akan diubahsuai menjadi hasil kraf yang menarik dan berwarna-warni.

"Kita akan beri keutamaan kepada mereka yang bergelar ibu tunggal untuk menjana pendapatan di dalam bidang ini," jelasnya.

Menurutnya lagi, di kampung Singkir Laut terdapat banyak tempat yang mempunyai cengkerang kuno, namun hanya lokasi tertentu sahaja yang digazetkan menjadi lokasi penemuan rasmi.

"Antara lokasi lain seperti di kawasan rumah penduduk dan ianya tidak sesuai untuk dijadikan sebagai geotapak.

"Lokasi penemuan cengkerang yang rasmi kita telah pagarkan supaya ianya mudah untuk dilihat oleh orang ramai yang datang," katanya.

Hasil kajian mendapati terdapat 12 jenis cengkerang yang wujud di kawasan ini iaitu Tergillarca granosa, Geloina ceylonica, Turritella kiiensis, Mya arenaria, Gari depressa, Ponocyclus, Littoridina sphinctostoma, Ostrea Species, Ostrea Stentina, Amblychilepas crusis, Persististrombus coronatus dan Saccostrea cucullata.

Tambahnya, lokasi penemuan cengkerang ini jika dikorek sedalam empat meter akan menemukan lebih banyak kulit cengkerang.

Ditanya, bagaimana kulit cengkerang bioleh ditemui di kawasan itu, Sabri berkata, pada suatu ketika dahulu kawasan penemuan ini asalnya adalah laut dan disebabkan air kering maka wujudnya perkampungan sehingga sekarang.

Sementara itu, Pegawai Penerangan daerah Yan, Amran Mohd Khamis berkata, kerajaan akan berusaha untuk memajukan lokasi ini sebagai geotapak.

"Kewujudan geotapak akan mampu menarik pelancong untuk datang ke kawasan ini sekaligus menaik tarafkan ekonomi masyarakat setempat," katanya.

4.1 juta rakyat Malaysia layak undi belum daftar: SPR


  SHAH ALAM - Sejumlah 4.1 juta rakyat Malaysia yang layakmengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi setakat Februari lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, jumlah berkenaan merangkumi pelbagai kaum yang majoritinya terdiri daripada golongan muda berumur sekitar 21 tahun.

Disebabkan itu, katanya SPR kini mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta bagi menganjurkan pelbagai program dalam menarik minat rakyat untuk berdaftar sebagai pengundi terutama kepada golongan sasar.

"Berdasarkan statistik terkini itu, kira-kira 45 peratus daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih empat juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi dan ini adalah satu kebimbangan.

"Jika tidak berdaftar sebagai pengundi, tidak guna bercakap di media sosial (berkaitan situasi politik negara), kalau apa yang dicakapkan itu tidak diterjemah dalam bentuk undi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pendaftaran Pengundi di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf di sini, hari ini.

Jelas Mohd Hashim, antara faktor golongan muda tidak berdaftar sebagai pengundi adalah disebabkan mereka tidak memahami kepentingan kuasa rakyat ataupun tidak memiliki kemudahan di sekitar kawasan perumahan khususnya di luar bandar untuk berbuat demikian.  

Sehubungan itu beliau berkata, kempen selama tiga bulan akan digerakkan untuk mendekati rakyat yang belum berdaftar sehingga ke akar umbi bagi memberi kefahaman mengenai kepentingan menjadi pengundi.

"SPR akan tumpukan di kawasan yang rakyat sukar keluar untuk mendaftar pengundi seperti di luar bandar selain di pusat beli-belah di bandar-bandar utama. Usaha ini bagi memastikan lebih empat juta belum berdaftar itu dapat menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Mohd Hashim dalam pada itu meminta pengundi berdaftar supaya lebih serius dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan keluar mengundi semasa pilihan raya diadakan.

Ini kerana katanya, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya hanya mencapai sehingga 75 peratus dan tidak pernah mencecah 100 peratus atau lebih 90 peratus.

"Sebagai contoh semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, hanya 68 peratus sahaja yang keluar mengundi, .mana lagi baki 22 peratus. Disebabkan itu, kita kena serius dalam hal ini jika mahu menegakkan demokrasi di negara kita," katanya.

Kempen Pendaftaran Pengundi selama tiga hari di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf itu buat julung kali dianjurkan dengan usahasama dua badan swasta iaitu akhbar Sinar Harian dan syarikat penerbangan tambang murah Air Asia X Berhad.

Menerusi kempen itu, Air Asia X Berhad menawarkan 1,100 tiket penerbangan percuma ke beberapa destinasi luar negara bagi rakyat yang berdaftar sebagai pengundi. - Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...