TERKINI :

Friday, March 3, 2017

Kerjasama politik Umno dengan parti di Korea Utara dikaji

Bernama

PUTRAJAYA: Umno akan mengkaji semula kerjasama yang dijalinkan dengan parti politik Korea Utara, Workers Party of North Korea (WPK), susulan perkembangan hubungan dua hala ekoran kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong Nam di Malaysia.

Setiausaha agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam masa terdekat untuk dibincangkan mengenai jalinan kerjasama itu.

“Kami akan kaji semula kerjasama itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan tambahan Surau dan Ihtifal Thanawi di Surau Al-Iman, Presint 9 di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status memorandum persefahaman Umno dan WPK yang ditandatangani pada Perhimpunan Agung Umno 2014 ekoran kes pembunuhan Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga meminta Kementerian Luar mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara susulan kenyataan biadab dikeluarkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol berhubung kes pembunuhan Jong Nam.

Jong Nam berada di klia2 pada 13 Februari bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri 2 wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Jong Nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Setelah bersama Amanah, Abby Abadi dikeji ahli Pas


Abby Abadi

Status facebook artis Abby Abadi baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila beliau berkongsi luahan perasaannya setelah tidak lagi bersama Pas yang disertainya pada tahun 2012 lalu.

Perkongsian itu antara lain mendedahkan dugaan yang terpaksa dilaluinya yang kini berjuang dengan Parti Amanah Negara.

Tindakkannya itu jelas Abby, telah mengundang 'serangan' dari pengikut-pengikut Pas dengan pelbagai cercaan dan kata-kata nista.

Ada pengikut Pas katanya, mencerca dan menuduh beliau  sebagai tidak betul, cium bont*t DAP, khadam DAP dan sebagainya apabila menjauhkan diri dari perjuangan Pas.

"Bila saya makin lama makin menjauh (dari Pas)… ikut Amanah, ikut Pakatan Harapan, orang Pas pulak yang maki hamun saya, konon saya tak betul, kembalilah ke pangkal jalan, semoga diberi petunjuk, cium bont*t DAP, khadam DAP dan sebagainya," luah Abby.

Namun, segala cercaan pengikut Pas terhadapnya tidak mampu menafikan sikap profesionalisme yang ditonjolkan pemimpin-pemimpin DAP dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, lapor Roketkini.com.


"Cuma jujur, saya suka Mr Lim Guan Eng, Mr Lim Kit Siang… Nampak lebih berakhlak dan bersungguh menjaga amanah rakyat di Penang.

"Cakap kurang kerja lebih. Macam tulah bagus," katanya.

Jelas Abby, banyak perkara yang dipelajarinya mengenai agama dan pentadbiran negara sewaktu Pas dipimpin Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

“Allah bagi saya faham jelas berkaitan agama-Dia. Waktu tu saya ada Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz tempat belajar, bersembang, bertanya apa sahaja,” luah Abby.

Pada waktu itu katanya, beliau amat berbangga dengan imej Pas dan tidak gentar walaupun diserang habis-habisan oleh tentera siber Umno-BN ketika itu sehingga digam dari siaran televisyen dan menghadiri majlis rasmi kerajaan.

“Semua kerana bersama dengan perjuangan Pas.

“Alih-alih lepas ketiadaan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, segalanya berubah,” katanya.

Abby menulis statusnya di facebook sebagai respon kepada status twitter @tmjdtfc pada 18 Februari baru-baru ini yang menyebut: “Malang bg sesetengah pihak terutamanya artis yg ingin mencari Islam tetapi terjumpa Pas”.

AMANAH - Tukar status tanah Bumiputera tindakan jijik

03 Mac 2017 | MALAYSIA DATELINE

Tindakan menukar status hartanah bumiputera adalah satu perbuatan jijik dan membuktikan kegagalan kerajaan pimpinan Umno/BN untuk mempertahankan hak bumiputera, tegas Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Sehubungan itu Salahuddin mencabar exco kerajaan negeri Datuk Latif Bandi dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khalid Nordin untuk mengisytiharkan harta dan siasatan dilakukan terhadap seluruh anggota Exco negeri.


Beliau turut mempersoalkan bagaimana kebocoran hasil penukaran status hartanah bumiputera itu berlaku tanpa disedari oleh menteri besar Johor serta exco kerajaan negeri Johor.

"Berikutan siasatan kes pecah amanah penukaran status hartanah bumiputera negeri Johor, saya menggesa agar siasatan perlu dijalankan terhadap exco kerajaan negeri Johor dan Menteri Besar Johor dan bukan sahaja 6 orang yang telah ditahan oleh SPRM baru-baru ini.

"Ini kerana kes yang melibatkan jutaan wang rakyat ini perlu kepada siasatan menyeluruh," tegas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tindakan bobrok ini, tegas beliau telah mencemarkan nilai integriti warga Johor sedangkan ia perlu dipelihara bagi memastikan pentadbiran negeri bebas dari korupsi demi pembangunan Johor dan kesejahteraan hidup rakyat.

"Saya ingin mempersoalkan kelemahan pentadbiran negeri Johor yang seolah-olah mudah bagi mereka untuk mengekspoitasi wang rakyat.

"Bayangkan dengan wang yang begitu banyak bocor itu, kita boleh memanfaatkan wang tersebut kepada rakyat Johor dengan pelbagai projek dan bantuan kepada rakyat," tegasnya.

Makanan, rumah lebih utama berbanding RUU 355

 | ARIF ATAN

Dr Mohd Kamil Abd MajidDr Mohd Kamil Abd Majid

Ahli akademik kanan sebuah universiti awam terkemuka menyifatkan usaha memenuhi keperluan asasi rakyat harus diberi keutamaan terlebih dahulu berbanding Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Pensyarah Jabatan Akidah Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Kamil Abd Majid berkata, rakyat pada masa ini memerlukan makanan dan kediaman walaupun tidak dinafikan manfaat pindaan Akta 355 itu.   

"RUU (355) bagus tapi beri kenyang rakyat dan beri rumah kepada rakyat lebih aula masa ini," katanya dipetik daripada status Facebook miliknya.

Beliau juga berpendapat hanya rakyat yang tidak memiliki rumah dan tiada makanan mencukupi lebih memahami realiti berkenaan.

Dalam satu reaksinya terhadap komentar pengguna media sosial itu tentang pandangan beliau yang mungkin sukar diterima orang lain termasuk mengundang label negatif, beliau menjawab, "Allah terima" dan "Biar Allah yang label. Manusia sama di depan-Nya".

Pengasas di Yayasan Usuluddin Malaysia itu turut mengakui pendapat salah seorang netizen tentang perlunya wang tajaan menunaikan umrah disalurkan bagi tujuan membina rumah yang mampu rakyat miliki.

Polemik mengenai RUU 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berlarutan sehingga dilihat mengundang permusuhan dalam masyarakat sesama Islam dan antara agama di negara ini.

Walau bagaimanapun, Presiden Pas itu dalam usul persendirian yang dibacakan di Dewan Rakyat tahun lalu telah bertindak menangguhkan pembentangan pindaan akta tersebut ketika penyokong taksub parti tersebut mendesak supaya disegerakan.

Dua kali berturut-turut Abdul Hadi meminta perbahasan mengenai RUU itu ditangguhkan. Kali pertama pada 26 Mei iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diikuti 24 November lalu.

Oops…minta maaf salah usul, kata Azalina

PETALING JAYA: Usul rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat minggu depan dan disiarkan media semalam adalah usul lama, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah mengakui ia adalah kesilapan teknikal dan usul itu akan digantikan usul baru yang dipinda Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang Parlimen 24 November lalu.

“Saya terima surat dari setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 2 Mac 2017 di mana beliau memohon maaf dan menjelaskan usul Hadi di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1), iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti mana yang terpapar di dalam Tentatif Aturan Urusan Mesyuarat yang bertarikh 7 Mac 2017 yang disiarkan semalam adalah usul lama tanpa pindaan.

“Setiausaha Dewan Rakyat juga menjelaskan ini adalah satu kesilapan teknikal yang tidak disengajakan Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadi pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Hadi dijangka menghuraikan usul itu dengan lebih lanjut di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang semula pada 7 Mac ini.

EXCO DAN MB JOHOR WAJIB ISYTIHAR HARTA

KENYATAAN MEDIA

02 Mac 2017 

Berikutan siasatan kes pecah amanah penukaran status hartanah bumiputera negeri Johor saya menggesa agar siasatan perlu dijalankan terhadap exco kerajaan negeri Johor dan Menteri Besar Johor dan bukan sahaja 6 orang yang telah ditahan oleh SPRM baru-baru ini, ini kerana kes yang melibatkan jutaan wang rakyat ini perlu kepada siasatan menyeluruh. 

Tindakan bobrok ini dilihat mencemarkan nilai integriti warga Johor dan nilai integriti ini perlu dipelihara bagi memastikan pentadbiran negeri Johor bebas dari korupsi demi memastikan pembangunan negeri dan rakyat yang lebih sejahtera.

Saya ingin mempersoalkan kelemahan pentadbiran negeri Johor yang seolah-olah mudah bagi mereka untuk mengekspoitasi wang rakyat dan bagaimana kebocoran hasil penukaran status hartanah bumiputera berlaku tanpa disedari oleh menteri besar Johor serta exco kerajaan negeri Johor?

Tindakan rasuah skandal penukaran status hartanah bumiputera adalah satu perbuatan jijik dan jelas menunjukkan bahawa kerajaan UMNO BN gagal mempertahankan hak bumiputera rakyat Johor. 

Bayangkan dengan wang yang begitu banyak bocor itu, kita boleh memanfaatkan wang tersebut kepada rakyat Johor dengan pelbagai projek dan bantuan kepada rakyat Johor.

Justeru, saya mencabar agar exco kerajaan negeri Datuk Latif Bandi dan Menteri Besar Johor DatuK Seri Khalid Nordin untuk mengisytiharkan harta (asset declaration) segera. Rakyat Johor tidak mahu wang mereka dipergunakan sesuka hati untuk perbuatan jijik rasuah dan salah guna kuasa.

*Salahudin Ayub*
Timbalan Presiden 
Parti Amanah Negara (AMANAH)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...