TERKINI :

Thursday, March 2, 2017

SEPARUH DARIPADA AS$27 BILION, NILAINYA BERAPA?

33327578-02_12_2014-stmoney03
Semalam gegak-gempita golongan penyokong dan pengampu Najib Razak dengan berita syarikat minyak Arab Saudi, Aramco membeli 50 peratus pegangan saham dalam projek Rapid Petronas di Pengerang, Johor.


Kata mereka, ia merupakan satu lagi tanda hubungan baik dan saling percaya-mempercayai antara Raja Salman dengan Najib.


Pada awal tahun sebelum ini, tersebar berita bahawa Aramco berhasrat untuk menangguhkan rancangannya untuk menjalin kerjasama dengan Petronas dalam Projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang itu.


Alasanya ialah pelaburan dalam projek tersebut dianggap tidak akan menjana pulangan yang mencukupi untuk Aramco.


Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani pada 31 Januari 2017 mengesahkan penarikan diri Aramco dalam projek bernilai AS$27 bilion itu, tetapi mengatakan ia tidak memberi kesan apa-apa kerana Petronas memang membiayainya sendiri sejak awal lagi.


Aliran tunai untuk dana projek itu sehingga siap sentiasa berdasarkan hanya kepada kemampuan Petronas sendiri, tambah beliau lagi.


Alih-alih sempena lawatan Raja Salman ini, Aramco tiba-tiba bukan saja menandatangani perjanjian pembelian saham sebanyak 50 peratus projek Rapid bernilai AS$7 bilion atau kira-kira RM31 bilion, bahkan  mengatakan tidak pernah ada rancangan untuk menarik diri.


Apa yang pelik dalam hal ini?


Johari mengatakan projek Rapid bernilai AS$27 bilion, tetapi Aramco membeli 50 peratus daripadanya dengan hanya AS$7 bilion.


50 peratus  atau separuh daripada nilai AS$27 bilion, berapa angkanya?


Sekiranya ada Profesor Matematik, tolonglah jelaskannya?


Jika dalam kes pembelian 37 peratus saham Eagle High Plantation di Indonesia oleh Felda yang bernilai AS$505.4 juta, nilai yang sanggup dibeli oleh agensi peneroka itu dilaporkan sehingga 173 peratus lebih lebih tinggi berbanding harga pasaran, kenapa pula dalam menjual saham Rapid di Pengerang, ia seolah-olah dengan harga lelong?


Adakah ini cara kerajaan Malaysia berniaga, beli mesti mahal dan jual mesti murah?


Adakah kerana harga murah itu yang menjadi sebab utama Aramco tidak jadi menarik diri dan seterusnya setuju mengusai 50 peratus saham Rapid? (Shahbudin 01/03/2017).

Satu undi untuk BN, satu undi untuk rasuah

 | MALAYSIA DATELINE

Negara perlu diselamatkan daripada barah rasuah.Negara perlu diselamatkan daripada barah rasuah.

Rakyat khususnya para pengundi di negara ini perlu memastikan negara bebas daripada belenggu rasuah dengan memilih kerajaan baru yang lebih berintergriti kerana satu undi yang diberikan kepada BN bermakna satu undi untuk rasuah.

Dalam satu kenyataan bersama, parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang makin berleluasa di bawah pentadbiran Najib Razak.

"Barometer Korupsi Global Transperancy International (Asia Pasifik) bagi tahun 2016 telah mendedahkan seramai 60 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa tahap rasuah negara ini semakin teruk dengan pertambahan dua kali ganda berbanding 30 peratus pada tahun 2014.

"Kenyataan ini disokong oleh kajian Barometer Edelmen Trust Malaysia 2017 yang menyatakan bahawa seramai 52 peratus rakyat Malaysia telah hilang kepercayaan kepada institusi dan sistem pentadbiran, ekonomi dan sosial manakala 83 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa rasuah sebagai punca utama," ujar kenyataan bersama Datuk Raja Kamarul Bahrin (AMANAH), Rafizi Ramli (PKR) dan Tony Pua (DAP).

Kenyataan itu menambah, majalah Time keluaran Mac 2016 telah menempatkan Malaysia sebagai negara kedua paling korup di dunia selepas Brazil manakala The Economist's Crony Capitalism Index 2016 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua di dunia selepas Rusia.

Negara ujar kenyataan itu, sekali lagi telah dimalukan di seluruh dunia apabila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyifatkan Malaysia mengamalkan kleptokrasi akibat skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pada tahun 2015, Global Financial Integrity (GFI) menempatkan Malaysia dalam senarai lima negara utama di dunia yang mengamalkan aliran tunai keluar secara haram dengan jumlah terkumpul bersamaan RM1.8 trilion antara tahun 2004 dengan 2013.

"Dengan skandal-skandal 1MDB, Jabatan Air Negeri Sabah, Felda, dan Majlis Amanah Rakyat, ini membuktikan bahawa budaya korupsi yang diamalkan oleh Kerajaan Umno-BN semakin membarah.

"Kos rasuah terpaksa ditanggung oleh rakyat dalam bentuk kemerosotan nilai matawang ringgit, pemotongan peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan, GST, serta kenaikan kos sara hidup," kenyataan media itu dipetik.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan menawarkan permulaan baru dengan:

1. memastikan tiada campur tangan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi pelaburan dan khazanah negara. Kesemua ini akan dibenarkan untuk membuat keputusan berdasarkan mandat pelaburan daripada mandat rakyat;

2. melantik seseorang yang berwibawa untuk menjadi peguam negara yang diberi kebebasan untuk menjalankan tugas-tugas siasatan terhadap sesiapa sahaja mengikut Perlembagaan; dan

3. memastikan kebebasan media, termasuk agensi-agensi berita dan penyiaran berita milik rakyat yang dibenarkan berfungsi secara bebas dan saksama.

"Oleh yang demikian, Pakatan Harapan menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang menentang rasuah dan inginkan perubahan untuk segera mendaftar dan keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang," ujar kenyataan bersama itu.

Bekas bos anak syarikat Tabung Haji didakwa ubah wang haram RM2.57 juta


PETALING JAYA: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE), anak syarikat Tabung Haji, hari ini mengaku tidak bersalah terhadap 5 pertuduhan mengubah wang haram berjumlah RM2.57 juta, 4 tahun lalu.

Pada sebelah pagi, Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan membabitkan RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas ia dibacakan di hadapan hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang tunai RM430,000 daripada Pengarah Syarikat Coral Intoil, Mohd Razip Mohammad, hasil aktiviti haram di THHE Fabricators Sdn Bhd, B-23-1, Tower B, Menara UOA Bangsa, antara 2 hingga 4 petang, 27 Jun 2013.

Bagi pertuduhan ke-2, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima wang tunai RM570,000 daripada Pengarah Syarikat RL Offshore Sdn Bhd di Restoran Leaf Dining, No 5-1, Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara antara 3 petang hingga 4 petang, 1 November 2013.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Selapas itu, Badli Munawir ketika dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melibatkan RM1.57 juta.

Untuk 3 pertuduhan itu, dia sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat yang terbabit dalam industri minyak dan gas itu didakwa menerima wang tunai RM400,000, RM570,000 dan RM600,000 daripada Pengarah Syarikat Bicara Sepakat Sdn Bhd, Murhasmee Mukhtar, hasil aktiviti haram.

Tiga perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Oasis Square, Petaling Jaya, antara 2 Mei hingga 11 September 2013.

Hakim Asmadi Hussin membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa cagaran dan penjamin mengikut Seksyen 387 (2) Kanun Prosedur Jenayah serta membenarkan semua kes itu dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Mac ini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda tidak melebihi RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Malaysia lubuk misteri? Dulu MH370, kini Jong Nam

kimjongnam-mh370
KUALA LUMPUR: Berikutan pembunuhan ala perang dingin Kim Jong Nam menggunakan agen saraf VX, Malaysia sekali menjadi perhatian dunia dengan drama, spekulasi dan teori aneh.

Tiga tahun lalu, ia pernah menjadi tumpuan dunia selepas kehilangan pesawat MH370, kes misteri paling lama bertahan dalam industri penerbangan.

Sekarang timbul pula kes pembunuhan Jong Nam yang menyerupai sebuah drama sensasi yang menampilkan jalan cerita yang kompleks dan memberi kesan mendalam kepada rakyatnya.

Februari lalu, abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un terbunuh dipercayai akibat diserang agen saraf VX yang sebenarnya digunakan dalam perang kimia.

Beliau diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), dan Pyongyang dikatakan bertanggungjawab terhadap kes ini.

Tetapi selepas 4 daripada suspek utama melarikan diri ke Korea Utara dan mendapat perlindungan di sebalik kekebalan diplomatik negara itu, polis Malaysia bakal menghadapi masalah menutup kes itu seperti mana yang berlaku ketika insiden MH370.

Rakyat Malaysia semakin letih dengan tumpuan media terhadap negara mereka dan bimbang reputasinya tercalar lagi.

“Dulu jarang kita dengar Malaysia terlibat dengan isu antarabangsa atau diplomatik tapi sekarang ia perkara biasa dan tidak dapat dikawal,” kata pemandu teksi, S.Jaganathan, 68.

“Terlalu banyak berita sensasi di Malaysia jadi saya tidak terkejut mendengar berita pembunuhan ini, ia sering berlaku dan ia seperti isu biasa”.

Dua wanita didakwa dalam siri pembunuhan Jong Nam tetapi dalang di sebalik perbunuhan itu masih belum terjawab.

Ada yang mengatakan Kim Jong Un tidak terlibat dalam pembunuhan itu tetapi dilakukan pihak tertentu dalam kerajaan Korea Utara untuk menggembirakan perhatian pemimpin diktator itu sempenah ulangtahun kelahiran bapanya, Kim Jong Il yang meninggal dunia pada 2011.

Terdapat juga spekulasi yang mengaitkan Jong Nam terlibat dengan masalah hutang judi di Macau, China.

Amir Zaini, 27, berkata beliau tidak percaya Malaysia sekali lagi terlibat dengan cerita yang pelik.

“Tidak masuk akal apabila semua cerita yang pelik-pelik berlaku di Malaysia,” katanya.

Malaysia mula menjadi perhatian dunia dengan cerita misteri apabila penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada Mac 2014.

Tidak diketahui status penerbangan yang hilang itu sehingga menimbulkan pelbagai teori spekulasi, antaranya rampasan Taliban, kejadian meteor atau lencongan oleh CIA.

Malaysia mengalami perkembangan yang pesat sejak merdeka dengan ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara.

Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur yang menggabungkan seni bina moden yang menarik, infrastruktur lengkap, bangunan kolonial yang dipulihkan, taman negara dan pantai yang bersih menjadi daya tarikan pelancongan yang popular.

Walaupun kemiskinan luar bandar yang sudah berakar umbi, namun rakyat Malaysia masih mempertahankan imej Malaysia sebagai sebuah negara berjaya, walaupun imej itu sikit demi sedikit terhakis.

Pakar perisian, Nazmi Najib, 31, berkata berita pembunuhan Jong Nam itu seperti mengulangi kisah lama.

“Ini mungkin memberi kesan kepada imej negara dan orang luar menganggap Malaysia bukan lagi sebuah negara yang selamat.

“Diharapkan kes ini dapat diselesaikan tidak lama lagi kerana terdapat banyak spekulasi negatif diperkatakan,” katanya.

Kebimbangan nilai ringgit juga menjadi isu apabila berlaku kejatuhan harga minyak dan pergolakan politik yang berpunca daripada skandal yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun Malaysia mengalami 2 kisah misteri tapi ada perbezaan ketara bagaimana Malaysia mengatasinya.

Dalam isu kehilangan MH370 pada 2014, Malaysia dikritik seluruh dunia, sebaliknya pihak berkuasa tempatan mendapat pujian atas siasat kes pembunuhan Jong Nam, dan ia jarang berlaku.

Pegawai kanan dan ahli politik bertindak pantas mendedahkan perkembangan terkini kes tersebut, berbeza 3 tahun lalu, apabila pegawai beberapa kementerian sering memberikan maklumat bercanggah dan adakala gagal memberi maklumat lengkap kepada media.

Pegawai tadbir universiti, Hazri Haili, 35, berkata memandangkan “Malaysia masih dalam proses menjadi negara maju … ia masih belajar menangani perkara ini.”

“Saya harap pihak berkuasa dapat belajar daripada insiden MH370,” katanya.

Pemandu teksi, Azhar Hamzah, 47, memberitahu AFP, beliau turut terpegun dengan kecekapan siasatan pihak polis.

“Mereka pantas menahan suspek dan ia mengejutkan,” katanya.

Kementerian sahkan harga gula naik 11 sen


PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengesahkan harga gula dinaikkan daripada RM2.84 kepada RM2.95 1kg sejak semalam.

Kementerian terbabit berkata, kenaikan itu ekoran peningkatan ketara harga gula mentah dunia yang diimport Malaysia.

"Di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No 2) 2017, Kementerian dengan ini menetapkan harga baru bagi gula pasir putih bertapis kasar pada harga RM2.95 sekilogram.

"Bagaimanapun, kerajaan masih mengawal harga tersebut pada paras paling minimum jika dibandingkan kenaikan di negara lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir harga gula diselaras ialah pada 25 Oktober 2013.


Virus-free. www.avg.com

Lawatan Raja Saudi gagal selesaikan isu RM2.6 bilion ke akaun Najib


Lawatan Raja Saudi, King Salman gagal menyelesaikan masalah utama yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak iaitu adakah benar beliau memberikan derma RM2.6 bilion kepada Najib.

Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya berkata, perkara paling utama yang patut diperolehi oleh Najib melalui kunjungan ini adalah pengesahan Salman mengenai, namun ia tidak berlaku.

Bagi beliau, kenyataan seorang profesor kononnya kedatangan Salman ke Malaysia mengesahkan beliau tidak terasa difitnah oleh Najib dalam isu ini tidak boleh diterima akal.

"Hujjah bahawa Raja Salman tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia jika Najib 'memfitnahnya' tidak boleh diterima akal.

"Ini kerana, bagaimana King Salman boleh mengenepikan sebuah negara OIC seperti Malaysia dalam siri lawatannya ke negara Asian yang meliputi enam negara, Indonesia, Brunei, Japan, China, Maldives dan Jordan," katanya.

Najib sebelum ini mendakwa wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun pribadi beliau adalah derma dari pemimpin negara Arab.

Beliau juga kemudiannya berkata, ia telah diserahkan kembali sebahagian besarnya.

Namun, Peguam Negara Amerika dalam penjelasan ketika Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika bertindak ke atas 1MDB di negara itu, wang yang masuk ke akaun Najib adalah dari 1MDB.


Virus-free. www.avg.com

Asri kecam tindakan Hindraf gesa kerajaan usir Zakir Naik


Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak berpuas hati dengan tindakan kumpulan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bersama tokoh liberal menyaman pendakwah terkebal, Dr Zakir Naik hari ini.

Beliau dalam akaun facebooknya mencabar kumpulan tersebut supaya mengemukakan bukti terhadap dakwaan kononnya Zakir mengugat keamanan dan keharmonian masyarakat di Malaysia.

"Apakah bukti dia mengancam? Apakah hanya kerana ada Hindu yang menganut Islam lalu mereka ini begitu sensitif? Atau apakah alasan yang lain?" katanya.

Sekumpulan aktivis hari ini diketuai Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy.memfailkan tuntutan mahkamah menuntut satu perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah kontroversi Zakir.

Turut serta adalah 18 yang lain, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Beberapa individu beragama Islam yang turut menyertai tindakan saman itu juga diselar Asri yang disifatkannya sebagai suatu yang pelik.

"Tidaklah pelik jika mereka itu dari kumpulan bukan Muslim ataupun kafir yang tidak suka dengan dakwah.

"Namun yang pelik jika ada yang mendakwa diri mereka Muslim tetapi meminta supaya tokoh pendakwah Muslim yang terkenal dengan hujahnya itu ditangkap," katanya.

Asri tidak merujuk kepada sesiapa individu beragama Islam, tapi dipercayai ia merujuk kepada peguam yang terkenal kelantangannya menolak Rang Undang-Undang 355 Mahkamah Syariah.

Kumpulan itu memohon satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, sekiranya diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen 

Gol Selangor Tidak Sah - Bekas Pengadil FIFA

Diterbitkan: Khamis, 2 Mac 2017 2:53 PM

Oleh: HASRIQ AMIRUDDIN
mohdhasriq@thestar.com.my

Pemain Kedah Muhd Akram Mahinan ditenangkan rakan sepasukan selepas terikat seri 1-1 ketika menentang pasukan Selangor pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Selayang pada 1 Mac 2017. - BERNAMA

PETALING JAYA: Gol perancang utama Selangor, Julian Mineiro Fernandes pada minit akhir perlawanan ketika seri 1-1 menentang Kedah dalam aksi Liga Super pada Rabu, tidak wajar diberikan oleh pengadil perlawanan kerana jelas melanggar Undang-Undang 14 FIFA berkaitan sepakan penalti.

Menurut bekas pengadil terkemuka tanah air yang enggan dinamakan, kes yang berlaku di Stadium Selayang itu melibatkan soal teknikal berbanding pendapat dan bantahan boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, isu teknikal sebagai contoh, jika seorang pemain yang digantung perlawanan didapati diturunkan untuk beraksi, kesilapan itu mungkin berlaku di pihak FAM atau peraturan.

Namun dalam soal pendapat, pengadil dibolehkan untuk tidak mengambil kira kesalahan pemain yang menceroboh kawasan penalti dengan jarak satu atau dua kaki sebelum sepakan dibuat dengan syarat pemain yang menceroboh tersebut tidak mendapat keuntungan dari kesalahan yang dilakukannya.

"Dalam insiden semalam, pemain Selangor (Juliano) secara jelas dan terang-terangan telah menceroboh hampir dua atau tiga meter di dalam kotak penalti sebelum sepakan disempurnakan.

"Sepatutnya, dalam kes itu, pengadil perlu membatalkan jaringan gol oleh Juliano dan sepakan percuma tidak terus hendaklah diberikan kepada pasukan Kedah, dari tempat di mana Juliano bergerak masuk menceroboh sebelum bola sempurna dimainkan oleh pemain yang mengambil sepakan penalti tersebut," kata bekas pengadil itu yang pernah mengendalikan perlawanan antarabangsa.

Mengulas tentang peranan pengadil dalam situasi sepakan penalti, beliau berkata, kuasa penuh terletak pada pengadil utama untuk mengawal pemain yang mengambil sepakan penalti dan juga pemain yang berada di luar kawasan penalti dengan memastikan mereka tidak menceroboh kawasan kotak penalti sebelum sepakan disempurnakan. 

Tambahnya, keutamaan penolong pengadil pula adalah untuk mengawasi pergerakan penjaga gol.

Beliau perlu membantu pengadil untuk mengawasi dan memastikan pemain tersebut tidak melanggar peraturan yang ditetapkan iaitu bergerak ke hadapan sebelum bola dimainkan oleh pemain yang mengambil sepakan penalti.

"Pengadil sepatutnya lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan dari awal sebaik sahaja sepakan penalti diberikan dengan mengingatkan penjaga gol dan pemain di luar dari kawasan penalti agar mematuhi peraturan permainan.

"Mungkin pengadil hilang konsentrasi pada hujung permainan menyebabkan dia terlepas beberapa perkara penting seperti itu, apa lagi terdapat tidak kurang daripada 21 perkara berkaitan prosedur yang perlu dipatuhi sebelum sesuatu sepakan penalti itu diputuskan sempurna," katanya sambil menambah Kedah boleh mengemukakan bantahan terhadap keputusan pengadil itu.

Bagaimanapun, sudah tentu terdapat risiko tertentu yang perlu mereka hadapi akibat dari bantahan yang bakal dikemukakan!

Isu tersebut timbul apabila rata-rata penyokong skuad Hijau Kuning mempersoalkan keputusan pengadil membenarkan gol pemain tengah Selangor, Juliano Miniero walaupun dia menceroboh kawasan penalti sebelum rakan sepasukannya, Victor Stelian melakukan sepakan.

Keputusan seri itu menyaksikan Kedah terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Selangor, sekali gus gagal merampas kedudukan teratas liga yang kini dihuni oleh Pahang dengan dipisahkan satu mata sahaja.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.

Read more at http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2017/03/02/pengadil-gol-selangor/#6TwL1ZtwWKemrxIk.99

AHMAD LUTFI - MOMENTUM KEDUA PERPECAHAN BESAR PAS

oleh Ahmad Lutfi Othman
Mantan Pengarang Kanan Harakah

Sejurus selepas program pemukiman Pas Pusat di sebuah hotel di Kuala Selangor, hampir tiga tahun lalu, saya berkunjung ke kediaman seorang pimpinan tertingginya, yang juga seorang ulama terkenal. Kami bersembang santai, terutama tentang kesihatan. Menyentuh soal polemik dalaman parti yang kecoh ketika itu, tokoh berkenaan membayangkan kemungkinan Pas mencari sekutu yang baru, meninggalkan Pakatan Rakyat.

Saya bertanya, mungkinkan Pas kembali bertanding solo? Jawabnya, *kalau Pas berseorangan, yang pasti semua kerusi di Johor dan Selangor akan kalah.* Maknanya, beliau menyedari keperluan membentuk pakatan yang baru. *Saya tidak rasa yang dirujuknya adalah Blok Ketiga, iaitu persefahaman bersama parti kecil, Ikatan, yang membentuk Gagasan Sejahtera, yang belum pun wujud ketika itu.*

Ditanya lanjut, apakah pakatan baru dengan Umno. Jawabnya sambil tersenyum, tidak semestinya.

*Semakin dekat, akrab*

Himpunan Ungu RUU355, 18 Februari lalu -- selepas himpunan solidari Rohingya dan kapal misi kemanusiaan food flotila -- juga menyaksikan Pas semakin dekat dengan Umno-Najib. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom (yang sedang menghadapi tindakan undang-undang oleh Yayasan Pembangunan Anak yatim/miskin atas dakwaan salah laku), bukan saja hadir berpidato, tetapi sempat menitipkan salam dari Najib Razak. Saya tertarik bila Jamil mengatakan dia bergegas ke Padang Merbok daripada program yang turut dihadiri Najib dan Zahid Hamidi, di Janda Baik. Program Institut Latihan Memperkasa Umno (Ilmu).

Dr Hassan Ali, yang menyokong penuh idea kerajaan perpaduan Umno-Pas -- dan pernah menyifatkan Tuan Guru Nik Aziz sebagai penghalang utama usaha itu -- juga diundang sebagai pemidato utama. Di majlis itu, DAP digambarkan sebagai hantu yang menakutkan. Ya, memang mudah menjentik sentimen dan emosi bila disentuh hal agama dan kaum, walaupun dari perspektif yang mengelirukan.

Bagi saya, program yang tidak mendapat sebarang gangguan daripada penguasa, sebagaimana lazimnya terjadi kepada himpunan amanan anjuran pembangkang lain, memang mendapat sambutan yang agak luarbiasa. Dan bukanlah pelik Pas dapat menghimpunkan puluhan ribu hadirin dalam majlis-majlis ceramahnya, sejak dahulu lagi.

Seperti kata Mohamad Sabu, Presiden Amanah, pada pertengahan 1980-an dulu, dalam satu program ceramah di Kedah, begitu ramai yang hadir hinggakan orang yang terakhir dapat keluar dari kawasan majlis itu, disebabkan kenderaan berpusu-pusu sesak, adalah menjelang azan Subuh. Tetapi bila diumumkan keputusan PRU1986, Pas hanya menang satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun Kedah.

Rakan saya, Lim Hong Siang, kolumnis mingguan Amanah mencatatkan pengamatannya mengenai himpunan RUU355: "Hakikatnya, sungguhpun Pas mengalami retakan dalaman, robek hubungannya dengan parti pembangkang yang lain sejak dua tahun kebelakangan, ia tetap memiliki kemampuan untuk mengerah penyokongnya. ... jangan sesekali kita memperlekehkan kemampuan Pas dalam soal mobilisasi."

Bukankah himpunan itu dianggap pemimpin tertingginya sebagai menentukan maruah Pas? Maka, tidak hairanlah apabila pemerhati politik melihat Pas merasakan ia bertambah kuat dan semakin "jual mahal" dalam rundingannya dengan parti pembangkang.

"Bagus juga kesan himpunan RUU355 kepada psikologi pemimpin Pas. Sebahagian mereka tambah yakin dengan kekuatan sendiri, tak perlu sokongan parti lain," kata bekas pemimpin Pas yang tersingkir, dengan nada sinis. "Mungkin hubungan dengan PKR pun mereka boleh putuskan sebab terlalu obses dengan kejayaan himpunan unggu itu."

Lebih menarik lagi, ulasan Nik Abduh, sehari selepas RUU355: "... Itu baru Umno sokong usul Pas. Bagaimana selepas ini jika orang Umno dan pemimpinnya mula menerima dan rela jika Pas menang lebih baik dan lebih besar sehingga 40 kerusi Parlimen atau lebih?"

Waduh, baiknya hati Umno untuk memberi laluan mudah 40 kerusi Parlimen kepada Pas! Saya terkedu. Sudah tidak tahu bagaimana mahu mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas yang sering mengeluarkan kenyataan bagi mendekatkan Umno-Pas itu.

Menyerahkan 40 kerusi kepada Pas, bermakna Umno sedia dan reda kalah separuh daripada kerusinya yang ada. Ini belum dikira jumlah kerusi Umno yang bakal tewas kepada Bersatu dan Amanah lagi.

*Menyatukan ummah*

Saya lebih tidak dapat memahami apa maksud sebenar ucapan Nik Abduh semasa Seminar Pemikiran Haron Din, 25 Februari lalu.

Laporan laman Antarapos.com dipetik: Matlamat Pas sejak dahulu mahu menumbangkan Umno bagi menukar pucuk pemerintahan negara, namun setelah Almarhum Datuk Dr Haron Din menjadi mursyidul am parti itu, Pas berfungsi sebagai parti yang menyatukan ummah.

Demikian kata ketua pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dalam syarahannya pada seminar itu. "Biarpun orang awam lihat Pas hanya mahu tumbangkan Umno, tapi sifat Tok Guru (Haron), Pas bukan hanya kerja nak runtuhkan Umno tapi kerja membina ummah.  Itulah kelebihan politik Haron Din berbanding Nik Aziz, politiknya adalah politik menyatu. Politik menghubung,” tambah Nik Abduh, seperti laporan Antarapos.

Justeru, saya kira "ramalan" Salahuddin bahawa Pas akan berpecah sekali lagi, akan menjadi kenyataan jika ahli-ahlinya dapat melihat kecenderungan politik pemimpin tertingginya adalah untuk membawa kerjasama -- walau dalam apa bentuk sekalipun - dengan Umno-Najib.

Boleh jadi juga momentum kali ini lebih besar daripada perpecahan yang mewujudkan Parti Amanah Negara lebih setahun lalu. Ahli-ahli akar umbi mungkin dapat menerima dan akur dengan apa juga eksperimen politik, asalkan bukan mengadakan pakatan politik dengan Umno.

"Dan jangan terkejut, kalau berlaku persefahaman politik dengan Umno, baik atas nama tahaluf ke, taawun ke, negeri yang dilihat penyokong kuat Haji Hadi, misalnya Terengganu sendiri, Pas boleh terjejas teruk di sana," kata seorang veteran Pas.

Malah, saya teringat kata-kata bekas seorang AJK Pas Pusat ketika beliau masih menyandang jawatan itu, dalam satu meyuarat di Harakah, lebih dua tahun lalu: "Soal hubungan rapat baik Pas-Umno hanya masalah penerimaan ahli peringkat bawah. Pemimpin tertinggi tertentu sudahpun ada keputusan positif untuk menjalin hubungan itu. Cuma mereka takut reaksi negatif akar umbi."

http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=46574

Ong Tee Keat keluar MCA, enggan dedah alasan

 
Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat keluar MCA selepas lebih 30 tahun sebagai ahlinya, dan pernah menjadi presiden parti itu.

Dalam satu mesej teks kepada Malaysiakini, Ong mengesahkan berita tersebut yang pertama kali dilaporkan oleh China Press.

Menurut laporan itu, keputusan Ong untuk keluar parti itu berkuatkuasa sejak 2 Januari lalu.

Katanya, beliau merasakan tidak lagi sesuai untuk kekal dalam parti itu dan mengambil keputusan untuk meninggalkannya.

BILA PEMIKIRAN PIMPINAN PAS TIDAK SELARI, MAKA MACAM-MACAM KENYATAAN YANG KELUAR


PELIK dan ajaib, sukar hendak kita bacai pemikiran beberapa kerat tokoh utama Partai Politik Islam di Malaysia mutakhir ini. Ada kata bukan matlamat untuk menjatuhkan Umno. Ada menyatakan biar umno terus berkuasa kerana jika umno-Pas berperang Cina (Dap) yang akan perintah Malaysia.

Sehari dua ini ada yang bersuara hendak kemenangan pula. Bukan sahaja menang terus di Kelantan tapi berdasarkan kajian dan penyelidikan Partai Politik Islam itu di katakan manpu perintah Malaysia. Tapi ada pula yang mengatakan sebelum ini mahu bertanding cuma sekitar 40 kerusi sahaja. Apa ukuran(parameter) mereka 40 kerusi itu mencukupi bagi melayakkan mereka menang sekaligus dapat perintah Malaysia. Sedangkan untuk perintah Malaysia simple mojoritnya sekurang-kurang 112 kerusi. Metamatik(ilmu hisab) mereka sukar dibacai.

Apa pun kenyataan mereka itu diukur dengan bantuan dan pertolongan dari Tuhan. Kalau Tuhan kehendaki semuanya boleh terjadi. Kalaulah Tuhan hendak mereka perintah Malaysia dengan cuma dapat 40 kerusi, ianya boleh terjadi tidaklah mustahil. Ke arah itu pemikiran para walaunta/walaunti disumbat oleh tokoh-tokoh ulama dari Partai Politik Islam masakini. Ikut suka hati merekalah. Kita tidak manpu mengejar pemikiran kacau bilau yang dioleh menjadi tidak selari antara sesama mereka.

Takbir!!!!!!!!

Jamaludin Jamalu

Nurul Izzah - Najib memfitnah saya selaku penghasut penduduk Kampung Kerinchi

KENYATAAN MEDIA


Tolong jangan sakiti hati mereka lagi, Najib

TUDUHAN TANPA ASAS

Bagaimana istimewa Lembah Pantai apabila seorang individu yang ditugaskan untuk mentadbir 30 juta rakyat negara dan bertanggungjawab dalam penambahan hutang awam kini menumpukan perhatian penuh kepada warga Lembah Pantai, dengan menyerang saya. Sebenarnya, Najib Razak yang telah mendedahkan negara kepada risiko sabitan di mahkamah beserta denda kerana melanggar undang-undang serata dunia. Namun, mantan Pengerusi Badan Penasihat pelaburan 1MDB, Najib Razak, yang kini terpalit dengan skandal salahguna kuasa punyai sepenuh masa untuk menyerang saya. Saya amat teruja.

Sekiranya menghormati hak rakyat untuk memilih rumah mereka sendiri dianggap sebagai penghasut, maka Najib Razak tidak mengerti tentang nilai demokrasi. Najib memfitnah saya selaku penghasut penduduk Kampung Kerinchi untuk membantah pembangunan semula rumah mereka walaupun saya tidak pernah mencadangkan penyelesaian isu pembangunan ini di mahkamah.

Di sebalik mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat kawasan, saya sebagai seorang ahli parlimen bertanggungjawab mewakili suara rakyat berkepentingan. Kepada melebihi 400 keluarga di Kampung Kerinchi, saya menyediakan nasihat guaman, dialog bersama pihak PKNS, pakar-pakar penilaian untuk berkongsi pendapat objektif mereka, dan membantu keluarga-keluarga ini menilai pilihan mereka. Tuntas, keputusan untuk mengambil tindak mahkamah tidak tertakluk di tangan seorang Ahli Parlimen, tetapi merupakan keputusan penduduk terbabit.

Bukankah UMNO bahagian Lembah Pantai yang menimbulkan projek ‘Residensi Kerinchi’ pada tahun 2007 yang telah mewujudkan kebimbangan penduduk? Komplot antara UMNO dan pemaju telah berlaku pada awal perancangan pembangunan kampung Kerinchi direncanakan.

Pertama, projek Residensi Kerinchi pada awalnya telah dicadangkan kepada pemilik unit oleh Yusri Ahmad yang merupakan Ketua UMNO bahagian Lembah Pantai pada tahun 2007. Malah, penduduk mempersoalkan kemampuan dan kredibiliti pemaju itu sendiri.

PENYALAHGUNAAN UNDANG-UNDANG

​Menjelang Mac 2010, bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang kini merupakan ketua bahagian UMNO Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik telah gagal mendapat sokongan semua pemilik unit supaya terpaksa menggunakan referendum dan akhirnya mengambil tanah kampung Kerinchi secara paksa dengan menyalahgunakan Akta Pemilikan Tanah 1960. Akta tersebut digubal untuk tujuan pembangunan kepentingan awam seperti sekolah, hospital, jalanraya dan lain-lain tetapi sebaliknya di dalam isu ini undang-undang tersebut digunakan untuk tujuan dan kepentingan komersial.

Sebenarnya, Najib Razak, mempolitikkan pembangunan itu berlaku bila wujud kerjasama ahli politik UMNO membantu pemaju, tanpa memenuhi prosedur dan syarat-syarat yang sah.

Jika Najib hendak mempolitikkan isu perumahan dan pembangunan rakyat sekalipun, jangan sampai mengkesampingkan hak penduduk dan menyakiti mereka lagi dengan sindiran yang tidak mereka perlukan.

Sebagai Ahli Parlimen, sudah menjadi tanggungjawab saya mendengar keluhan rakyat yang mempertahankan hak mereka, sama ada yang bersetuju dengan pembangunan semula dan mereka yang masih memilih untuk tinggal di rumah sedia ada. Kepada Najib Razak, saya sarankan agar beliau menghormati hak penduduk, harapan dan maruah penduduk kampung Kerinchi, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

Ustaz Wan Ji cadang agar agamawan bukan Islam juga duduk sepentas jawab Zakir Naik

 
KUALA LUMPUR: Pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik tidak perlu dikekang daripada menyampaikan pandangannya, menurut pendakwah bebas yang juga Pengasas Sekolah Pemikiran As Syatibi, Wan Ji Wan Hussin.

Wan Ji berkata, beliau tidak ada masalah dengan kehadiran Zakir yang kerap menimbulkan kemarahan segelintir pemimpin bukan Islam di negara ini atas kuliah perbandingan agamanya, yang dilihat mempertikaikan kepercayaan agama lain khususnya Hindu.

“Namun, secara peribadi saya lebih mencadangkan agar program wacana, debat atau dialog yang melibatkan Dr Zakir Naik tidak dibataskan kehadiran beliau sahaja, tetapi disertakan tokoh-tokoh atau ilmuan daripada penganut agama selain Islam sama,” kata bekas AJK Dewan Ulama Pas Selangor itu.

Komen beliau susulan gesaan beberapa pihak agar Kerajaan Malaysia mengusir Zakir, kerana menuduhnya mengganggu keharmonian kaum melalui ucapannya yang didakwa menghina agama lain.

Semalam, 19 individu termasuk Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy, memfailkan saman terhadap Putrajaya kerana mendakwa ia melindungi Zakir yang menurut mereka mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Saman itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Petua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Tindakan mahkamah itu dikritik beberapa penyokong Zakir, termasuk Pas dan Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin.

“Mereka sepatutnya beri ruang kepada wacana ilmu tanpa emosi. Mereka yang menolak wacana ilmu seperti Dr Zakir itulah yang mendorong kepada ketidakharmonian,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali.

“Pihak yang tidak berpuas hati saya cadang supaya bersemuka sendiri dengan Zakir dan utarakan pandangan bukannya melakukan bantahan secara emosi.”

Wan Ji bersetuju adalah lebih baik Zakir ditangani secara ilmiah, tetapi khuatir pemimpin bukan Islam bimbang akan dituduh cuba menyebarkan agama mereka, sesuatu yang melanggari Perlembagaan Malaysia.

Wan Ji berkata, bagi memastikan dialog dan debat antara agama dilakukan secara adil, kerajaan boleh memberikan keizinan bertulis kepada wakil bukan Islam.

“Ini bertujuan tidak lahir ketakutan mereka dari sudut perundangan ketika terlibat secara langsung dalam debat dan wacana ilmiah tersebut.

“Saya berharap, amalan dialog, debat dan wacana sihat dalam isu-isu agama wajar disuburkan dengan sihat, dan perlu mendapat sokongan dari pihak kerajaan untuk melahirkan anutan agama secara kefahaman, bukan ikut-ikutan buta,” kata Wan Ji.

Barisan Nasional (BN) menganggap Manifesto Pas Terengganu hanya sebagai gimik politik



JERTIH - Barisan Nasional (BN) menganggap Manifesto Pas Terengganu hanya sebagai gimik politik semata-mata untuk mempengaruhi rakyat agar menyokong parti tersebut.

Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, hakikat sebenarnya lima manifesto yang kononnya ditawarkan itu telah dilaksanakan BN Terengganu sejak dulu hingga sekarang,

Menurutnya, kerajaan BN Terengganu juga melaksanakan pengagihan tanah dan rumah seperti Rumah Mampu Milik (RMM) mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan serta kelulusan Pejabat Tanah dan Daerah.

“Pas menawarkan untuk membuka permohonan tanah dan memberi geran secara kekal sedangkan kita sejak dahulu lagi tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat dengan mengagihkan pemberian tanah dan perumahan kepada mereka yang mempunyai kelayakan,” katanya ketika mengulas mengenai lima manifesto Pas Terengganu yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan negeri ditemui selepas bertemu calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 yang menerima keputusan peperiksaan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering, di sini, kelmarin.

Muhammad Pehimi berkata, kerajaan BN Terengganu telah buat segalanya bukan sekadar rawatan percuma tetapi turut membiayai rawatan pesakit kronik melalui Tabung Darul Iman, perkahwinan pertama percuma termasuk kerajaan pusat menyediakan bantuan untuk belia mengambil lesen motosikal.

Menurutnya, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan manifesto awal yang diumumkan itu meniru apa yang BN telah lakukan dan jelas Pas Terengganu sudah tidak mempunyai idea untuk terus menabur janji manis menjelang PRU 14 nanti.

“Kalau rakyat masih ingat semasa Pas mentadbir Terengganu 1999-2004, banyak kejadian menimpa rakyat terutama kalangan penyokong PAS berbalah sesama sendiri akibat manifesto lalu yang turut dijanjikan pemberian tanah dan rumah kepada rakyat,” katanya.

Muhammad Pehimi berkata, BN Terengganu tidak gentar ‘serangan’ Pas termasuk manifesto yang dicetuskan kerana mereka sekarang dalam keadaan terdesak dan terpaksa buat sesuatu ekoran perpecahan dalam kalangan mereka.

“Rakyat boleh menilai manifesto Pas itu sama ada realistik dan Islamik atau tidak, sampai berjanji setiap rakyat dapat tapak rumah, macam sukar dilaksanakan sebab kerajaan Pas di Kelantan sendiri pun tidak mampu buat begitu. Takkan orang kaya dan sudah ada tanah banyak akan diberi tapak rumah lagi.

“Manifesto yang menjurus kepada Islamik langsung kita tidak nampak termasuk melaksanakan RUU355,” katanya.

Menurut beliau lagi, BN Terengganu telah menyusun jentera parti untuk menghadapi PRU 14 namun belum mengeluarkan manifesto kerana mengganggapnya masih terlalu awal.

Kerajaan DAP P.Pinang HARAMKAN MESIN JUDI seluruh negeri mulai 2018

Hanya haramkan mesin judi, bukan mesin permainan

 Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menafikan Pulau Pinang akan mengharamkan mesin mencuba nasib mengambil patung (barang permainan) menggunakan pengepit pada 2018.

Guan Eng berkata, kenyataannya sebelum ini hanya merujuk kepada mesin simulator yang disalahgunakan untuk perjudian wang.

Menurutnya, lesen mesin simulator yang bentuk hadiah (anak patung dan sebagainya yang bukan wang) dibenarkan di kompleks membeli-belah, pasaraya dan hotel.

"Saya tidak pernah menyebut bahawa kerajaan negeri akan mengharamkan mesin mencuba nasib mengambil patung (barang permainan) menggunakan pengepit sebaliknya hanya mesin simulator atau lebih dikenali sebagai mesin judi.

"Mengapa memanipulasikan kenyataan saya? Tindakan beberapa media menulis kononnya kita turut akan mengharamkan mesin mencuba nasib mengambil patung (barang permainan) menggunakan pengepit sama sekali tidak benar," katanya kepada media, hari ini.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas berhubung beberapa media melaporkan selain mesin simulator, kerajaan negeri turut mengharamkan mesin mencuba nasib mengambil patung (barang permainan) menggunakan pengepit pada 2018 nanti.

Sambil menyatakan kekesalannya, Guan Eng berkata, tindakan beberapa media itu dilihat tidak bertanggungjawab dan tidak profesional.

"Saya amat kesal kerana mereka melaporkan kenyataan yang salah. Tindakan itu dilihat melanggari etika kewartawanan kerana tidak melaporkan berita yang betul.

"Jika nak jatuhkan saya, bukan cara seperti ini. Tulis lah berdasarkan fakta, bukan dengan cara memfitnah seperti ini," katanya.

Terdahulu, melalui kenyataannya, Guan Eng menegaskan kerajaan negeri tidak akan membenarkan lesen mesin simulator diperbaharui untuk rumah kedai di Pulau Pinang bermula 2018.

Arahan itu dibuat selepas mendapat aduan rakyat di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam berhubung mesin simulator disalahguna untuk perjudian wang dan menyebabkan gangguan berikutan operasinya bermula dari larut malam sehingga awal pagi.

Muat naik swafoto Raja Salman: Najib dibidas Mukhriz Mahathir FC

Sebagaimana dijangkakan, jentera propaganda Perdana Menteri Mohd Najib Razak dikalangan penulis blog upahan dan seorang Profesor Madya sebagai pelengkap syaratnya berhujah kononnya lawatan Raja Salman bin Abd Aziz Al-Saud mengesahkan bahawa wang berjumlah RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib sememangnya derma daripada seorang Putera Arab Saudi.

"Setiap foto yang diambil sepanjang lawatan empat hari Raja Salman di negara ini, Najib digambarkan mempunyai hubungan baik dengan Raja Salman.

"Najib tanpa malu mengambil peluang untuk berswafoto (selfie)  diluar protokol diRaja," ujar kenyataan yang dipetik menerusi facebook 'Berani Berubah' yang dikendalikan Mukhriz Mahathir FC (MMFC) yang mana kenyataan itu ditweet Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir petang ini.

Status dimuat naik itu dipercayai mengulas mengenai twitter Perdana Menteri pada Isnin, yang membuktikan keakraban beliau dengan pemimpin tertinggi Arab Saudi itu.

Najib memuat naik gambar selfie beliau bersama Raja Salman Abdulaziz al-Saud di dalam sebuah kenderaan.

"Selfie saya dengan Raja Salman, Custodian of the two Holy Mosques (penjaga dua kota suci)! Persahabatan yang amat akrab," kata Najib di akaun Twitter rasmi beliau.

Akaun Najib itu diikuti lebih 3.3 juta pengguna Twitter.

Menurut kenyataan itu, walaupun cuma sekeping gambar dimuatnaik di twitter perdana menteri dakwanya, tidak wajar bagi seorang ketua kerajaan untuk 'mengenakan' seorang raja semata-mata untuk membaiki imejnya yang amat rosak di mata rakyat negara ini.

"Walaupun Najib sangat sibuk mengeksploitasi kehadiran Raja Salman untuk kepentingan politik dan untuk menipu rakyat, persoalan yang berlegar dalam minda rakyat mengapa Raja Saudi tidak menyebut mengenai dana itu.

"Apa yang dianggap sebagai skandal rasuah dan pengubahan wang haram dalam sejarah dunia moden yang mana Najib sendiri telah secara langsung dikaitkan dengan kerajaan Arab Saudi.

"Adalah mustahil bahawa Raja Salman tidak menyedari keadaan yang luar biasa dan tuduhan jenayah yang serius.

"Sesungguhnya baginda memahami implikasi lawatan ini yang Najib terdesak untuk menggambarkan dengan adilnya," ujar status dimuatnaik itu.

Justeru dakwanya lagi, Najib dianggap tidak lebih daripada kleptokrat oleh sekutu besar Arab Saudi  iaitu Amerika Syarikat.

Oleh itu, tanpa penjelasan daripada Raja Salman, maka wajarlah rakyat Malaysia merumuskan bahawa wang yang begitu banyak sekali diberikan kepada Najib adalah cubaan untuk campur tangan dalam urusan negara.

"Tanpa sebarang penjelasan daripada Raja Salman mengenai perkara ini, maka timbullah persoalan; adakah Najib telah menawarkan sesuatu yang tidak mampu ditolak oleh Arab Saudi? Adakah ianya berkaitan dengan tindakan ketenteraan Arab Saudi di Yemen?

"Setakat mana penglibatan Malaysia di dalam perang di Yemen yang diketuai Arab Saudi itu? Apa pula implikasinya terhadap keselamatan anggota tentera di medan perang itu dan tindak balas yang boleh mengancam keselamatan rakyat di tanahair?," soal status dimuat naik itu.

Oleh itu, rakyat harus menerima hakikat bahawa wang itu bukan dari 1MDB dengan sikap membisu berterusan Raja Salman mengenai bilion ringgit yang diberikan kepada Najib yang disebut sebagai "derma"?

"Jika 'ya' jawabannya untuk semua soalan di atas ada kebenarannya.Semoga rakyat negara ini akhirnya akan mendapat keadilan yang mereka mahukan - dengan penjelasan dari Raja Saudi, Penjaga Dua Masjid Suci ini.

Justeru dakwa status itu lagi, Najib telah mengali untuk dirinya sendiri masuk ke dalam lubang yang lebih dalam ketika ini, dengan mengheret Raja Arab Saudi ke dalam kedudukan yang sukar ini.

Antara sokong dan bangkang RUU 355

 
Apabila kita sebut cadangan pindaan RUU 355, kita hendaklah tahu bahawa ia satu usul yang dibawa oleh sebuah parti politik. Usul itu telah dimainkan secara politik.

Parti politik berkenaan juga selama ini memperkatakan isu hudud sejak sekian lama terutama menjelang pilihanraya. Hasil dari isu hudud yang pernah dimainkan sejak dahulu pelbagai peristiwa permusuhan antara umat Islam telah berlaku.

Berlakunya kafir-mengkafir sejak sekian lama, dua imam, bercerai suami-isteri, enggan makan sembelihan sesama muslim, memutuskan silaturrahim antara keluarga dan tumpah darah sesama umat.

Dengan tidak dinafikan bahawa tindakan dan sikap parti lawan mereka juga ada yang tidak sewajarnya.

Demikian juga pendekatan aliran politik berkenaan, bukan sahaja tajam kepada musuh politik tradisi mereka, bahkan kepada rakan-rakan mereka yang keluar parti.

Istilah keluar jamaah cabut Islam bukan sesuatu yang asing. Bahkan sesiapa yang berbeza dengan mereka sekalipun dari kalangan yang bukan musuh tradisi mereka, juga menerima nasib yang tidak kurang buruknya seperti anti-ulama, anti-perjuangan Islam, musuh Islam, tali barut musuh Islam dan seumpamanya.

Mengapa hal ini dibangkitkan? Sebabnya, hal-hal ini kadang-kala boleh mempengaruhi sikap orang lain terhadap usul yang dibawa itu. Kadang-kala bukan kerana usul itu semata, sebaliknya apa yang ada berkait dengan pencadang usul tersebut.

Penyokong usul

Di sana ada pihak yang menyokong Usul Pindaan RUU 355 ini. Sokongan itu mungkin dibina atas beberapa perkara.

Antaranya ada pihak yang menyokong kerana usul meningkat jumlah dan nilai hukuman kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan 100k denda membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan. Iaitu 100 rotan untuk zina, 80 rotan qazaf dan 40 rotan untuk peminum arak.

Maka, menyokong usul ini bererti membolehkan hukum hudud yang diperjuangkan selama ini dilaksanakan. Ini bagi mereka adalah tanggungjawab agama.

Di satu sudut, seakan kumpulan ini menerima pandangan yang selama ini ditolak oleh mereka iaitu menyamakan hukuman zina yang belum berkahwin dan yang sudah berkahwin (muhsan). Pegangan umum mereka selama ini ialah penzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati.

Ada pihak yang menyokong kerana ingin memperlihatkan kesatuan politik parti-parti melayu muslim dan umat Islam secara umumnya. Ada yang menyokong kerana merasakan hukuman sedia ada untuk kesalahan jenayah (yang dikatakan) berkaitan syariat itu terlalu rendah. Gejala maksiat yang berleluasa memerlukan hukuman yang lebih tinggi.

Ada yang menyokong kerana ingin hukum hudud yang sepenuhnya dilaksanakan termasuk potong tangan, rejam penzina dan hukuman riddah iaitu membunuh orang yang murtad.

Difahamkan itulah cadangan asal parti berkenaan, namun pihak peguam negara telah meletakkan had kepada 100 rotan, 100k dan 30 tahun penjara. Hukuman mati, rejam sampai mati dan potong tangan belum diberikan ruang.

Ada pihak yang menyokong kerana ruang ini boleh digunakan untuk mengekang aliran yang berbeza dengan penguasa agama tempatan. Ini seperti aliran kaum muda, salafi, wahabi, fatwa yang tidak mengikut mufti negeri, tarekat yang berbeza, syiah, Islam liberal dan seumpamanya. Pindaan ini akan membolehkan kesalahan ini ditingkatkan hukuman penjara, ataupun denda yang lebih tinggi.

Ada yang menyokong untuk menaik taraf kedudukan hakim-hakim di mahkamah syariah supaya setaraf dengan mahkamah sivil khususnya dari segi grade pergajian dan seumpamanya.

Ada yang menyokong kerana itu keputusan partinya dan untuk memenangi hati pengundi menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

Pembangkang usul 355

Di sana ada pihak yang tidak menyokong usul ini atas alasan yang pelbagai. Ada yang tidak menyokong sepenuhnya, ada yang menyokong sebahagiannya dan ada yang menentang sepenuhnya. Ada beberapa alasan golongan ini. Tidak bersetuju itu juga dilihat dari sisi yang berbeza antara mereka.

Antaranya mereka bersetuju dengan peningkatan 100 rotan jika hanya untuk hukuman zina, qazaf dan minum arak.

Namun, untuk hal-hal yang lain mereka tidak bersetuju. Ini kerana kesalahan di bawah mahkamah Syariah bukan sahaja zina, qazaf dan arak sahaja. Di sana, ada lagi perkara yang diletakkan di bawah kesalahan ataupun jenayah di bawah mahkamah Syariah, yang pihak lain mempunyai pandangan yang berbeza.

Ini termasuk poligami tanpa izin, mengajar tanpa tauliah, memberikan pendapat yang berbeza dengan fatwa mufti, mengajar pendapat yang berbeza dengan pegangan pihak berkuasa agama negeri, berkahwin luar negara tanpa izin, membayar zakat kepada pihak lain, mengutip zakat tanpa keizinan dan pelbagai lagi yang boleh dimasukkan oleh pihak berkuasa agama sebagai jenayah syariah mengikut prosedur perundangan setiap negeri.

Jika peningkatan hukuman kepada 30 tahun ataupun denda 100k ataupun sebatan 100 rotan digunakan untuk hal-hal seperti ini akan menimbulkan pelbagai polemik. Ia juga ada ruang kemungkinan akan memandulkan perkembangan intelektual dan hak kepelbagai pendapat dalam negara demokrasi. Maka, ruang Malaysia menjadi negara mullah itu akan lebih tinggi.

Ini seperti yang berlaku di beberapa negara yang membatasi banyak hak atas nama agama. Maka, sokongan sepenuh pindaan RUU 355 akan mempunyai risikonya yang tersendiri.

Ada yang tidak menyokong kerana suasana hari ini yang dipenuhi dengan Islamphobia. Hal-hal ini jika dibahaskan hanya memberikan persepsi negatif terhadap umat Islam. Banyak lagi perkara-perkara lain yang wajar didahulukan dalam pembangunan umat Islam dan usaha memberikan imej yang positif untuk umat Islam.

Ada yang melihat ini hanya permainan politik musim pilihanraya. Daripada cara isu itu dibawa ke Parlimen, cara ia ditangguhkan, tuduh-menuduh atas sebab perbezaan pandangan parti dan segalanya, bagi mereka hanya memperlihatkan agenda politik semata.

Mereka melihat seperti kata-kata Ali bin Abi Talib kepada Khawarij yang sering mengkafirkan orang kerana isu ‘hukum Allah’ : “Kalimah yang benar tapi dengan maksud yang batil”.

Ini kelihatan seperti buruk sangka. Namun, buruk sangka antara parti-parti politik termasuk yang berjenama Islam bukanlah perkara asing.

Ada yang melihat di sudut kestabilan negara yang membabitkan keselarasan undang-undang syariah dan sivil. Mereka merasa ini akan menjadikan keadaan pincang dan polemik antara rakyat atas perbezaan ini akan bertambah runcing.

Ada yang enggan menyokong disebabkan isu yang membabitkan pembawa usul ataupun kumpulan politik berkenaan dalam pelbagai perkara. Isu menyokong Iran, isu tuduh menuduh atas nama agama seperti kafir, anti-Islam dan beberapa pendekatan yang lain.

Sikap ini mungkin kurang objektif kerana melihat kepada pembawa usul tapi bukan kepada usul. Sepatutnya kepada usul yang dibawa.

Namun dalam politik kepartian hal ini juga tidak pelik. Betapa banyak parti yang enggan berkerjasama dalam hal yang baik hanya kerana melihat kepada siapa yang mencadangkannya.

Ada yang memang bersikap kurang senang terhadap apa sahaja cadangan berkaitan Islam. Mereka ini fobia dengan perkataan ‘Islam, syariah dan seumpamanya. Lalu tanpa berfikir panjang, mereka menentang hanya kerana ia berbunyi ‘Islam’. Golongan seperti ini memang terperangkap dalam islamophobia. Banyak faktor menjadikan mereka begitu.

Kesimpulan

Pihak yang menyokong dan menentang mempunyai alasan ijtihad yang berbeza. Sebahagian alasan yang meyokong itu boleh diterima. Sebahagian alasan yang tidak menyokong juga boleh diterima dan ia tidak menunjukkan anti-Islam ataupun sebaliknya.

Menjadikan setiap yang berbeza pendapat dalam hal seperti ini sebagai musuh Islam, ataupun anti-hukum Allah adalah sikap khawarij yang sejak dahulu sering mengkafir dan menyesatkan sesama muslim.

Saya pada asas menyokong pindaan peningkatan kadar hukuman sehingga 100 rotan jika ia untuk hanya untuk digunakan pakai bagi kesalahan jenayah dalam perkara benar-benar jelas iaitu seperti zina, qazaf dan arak.

Adapun untuk peningkatan kadar dan nilai hukuman yang boleh membawa kepada dihukum hal-hal lain yang bersifat pentadbiran dan ijtihad seperti poligami tanpa izin, mengajar tanpa tauliah, pandangan berbeza dengan fatwa negeri atau apa sahaja yang yang boleh ditambah oleh pihak berkuasa agama pada masa hadapan, saya menangguhkan sokongan dalam hal itu.

Ia perlu diteliti dan dibahaskan dengan mendalam kesan terhadap hak-hak rakyat dalam negara ini. Terakhirnya, saya tidak dapat menerima hal ini dipolitikkan dan sikap mudah mengkafirkan ataupun melebel seperti anti-Islam ataupun memaki hamun orang lain hanya kerana perbezaan pendapat dalam hal ini.

DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN adalah mufti Perlis. Artikel ini ialah pendirian penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Exco Jawab Status Std. Darulaman - ‘Tak roboh sekarang’

‘Tak roboh sekarang’

ALOR SETAR - Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), yang mencadangkan Stadium Darul Aman diruntuhkan hanyalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang pihak MBAS untuk membangunkan kawasan stadium terbabit.

Exco Belia dan Sukan, Datuk Aminuddin Omar berkata, beliau percaya stadium berkenaan tidak akan dirobohkan dalam masa terdekat kerana draf itu merujuk kepada rancangan jangka panjang MBAS.

“Apa sahaja keputusan sama ada dirobohkan atau tidak, projek berkenaan perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Saya tidak kata ia akan dirobohkan, cuma sebagai rancangan masa hadapan mungkin ia akan dirobohkan apabila tiba masanya nanti, mungkin 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun akan datang,” katanya, pada media semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata, cadangan meruntuhkan stadium berkenaan timbul apabila MBAS mendapati tempat itu terlampau sesak terutama ketika perlawanan bola sepak berlangsung.

“Selain itu, ia turut memberi kesan kepada aliran lalu lintas di jalan utama sekitar stadium dan juga menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan penduduk apabila terdapat penyokong memarkir kereta sesuka hati di hadapan rumah.

“Saya juga tidak pasti sekiranya stadium itu akan dirobohkan dan diganti, adakah lokasi stadium baharu nanti akan dibina di Stargate atau di lokasi lain.

“Ini kerana saya juga belum mendapat taklimat sepenuhnya daripada pihak MBAS , dan hanya mendapat maklumat berdasarkan draf perancangan yang mereka keluarkan sahaja,”katanya.

Sebelum ini, akhbar Sinar Harian melaporkan, pemimpin pembangkang mendedahkan hasrat kerajaan negeri yang mahu merobohkan Stadium Darul Aman dan digantikan sebuah stadium baharu di Stargate, berbanding menaik taraf stadium sedia ada, di mana ia lebih menjimatkan.

Pengadil "memusnahkan" kemenangan KEDAH keatas SELANGOR malam tadi.


Sebenarnya gol yang dijaringkan oleh Selangor jelas offside namun keputusan pengadil adalah muktamad




46 calon STPM Kedah capai PNGK 4.0

46 calon STPM Kedah capai PNGK 4.0

SUNGAI PETANI - Seramai 46 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Kedah cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 bagi tahun 2016 berbanding 24 orang sahaja pada tahun 2015.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Sofaruddin Ismail berkata, peningkatan itu menunjukkan minimun purata negeri Kedah meningkat 0.01 peratus sahaja bagi 2016 iaitu 2.77 berbanding 2.76 bagi tahun 2015.

Sementara itu, katanya, sebanyak 43 buah sekolah di negeri ini telah berjaya mencapai 100 peratus lulus penuh di mana 16 buah sekolah kategori luar bandar dan 27 buah sekolah dari kategori bandar.

"Prestasi calon STPM 2016 negeri ini mendapat lulus penuh ialah sebanyak 98.9 peratus, pencapaian negeri Kedah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.36 peratus jika dibandingkan dengan peratusan nasional iaitu 98.54 peratus," katanya semasa sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Che Tom semalam.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati lapan mata pelajaran meningkat prestasi dalam STPM 2016 berdasarkan peratusan calon yang lulus penuh berbanding STPM 2015.

Bagaimanapun, sebanyak 11 mata pelajaran menurun prestasi dalam STPM 2016 berbanding STPM 2015.

"Seorang pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dan menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2016 ialah Chow Wai Loon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang.

"Manakala sekolah yang menerima Anugerah Sekolah Terbaik STPM 2016 di Kedah ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min, Sungai Petani dengan pencapaian gred purata sekolah (GPS) 3.30," katanya.

Antara sekolah yang mempunyai bilangan pelajar cemerlang PNGK 4.0 paling ramai ialah Kolej Tingkatan Enam Kulim (A) iaitu seramai lapan orang.


Marilah kita menderma kepada adik ini untuk beliau sambung belajar di Universiti Al-Azhar

Penuntut terpaksa kutip derma

Penuntut terpaksa kutip derma

KUALA KETIL - Usaha seorang penuntut Universiti Al-Azhar Mesir mencari dana pengajian dengan mengutip derma setiap hujung minggu di pasar pagi di sini, tular di media sosial.

Penuntut tahun akhir, Mohd Nasir Shaari, 32, dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang berkata, kutipan derma itu bagi membeli tiket penerbangan pulang menghadapi peperiksaan Mei depan.

Menurutnya, dengan kos perjalanan mencecah ribuan ringgit, dia tiada cara lain mendapatkan dana melainkan mengutip derma.

“Setiap hujung minggu saya akan ke pasar pagi Kuala Ketil bagi mengutip derma daripada orang ramai.

"Sejak cuti semester sebulan lebih yang lalu, sudah tiga kali saya ke sini,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia turut mengumpul derma di pasar malam sekitar Pendang, Kulim dan beberapa tempat lagi selain berkhidmat sementara sebagai guru agama.

“Setakat ini kutipan sudah melebihi RM1,000, saya sasarkan sebanyak RM4,000 keseluruhannya. Dengan izin ALLAH jika cukup saya akan pulang pada April nanti.

“Dengan wang kutipan ini juga akan digunakan untuk tampung serba sedikit kos perbelanjaan sewa rumah dan makanan di sana. Selepas bekas Presiden Mohamed Morsi digulingkan, kos sara hidup di Mesir naik mendadak,” katanya.

Tambahnya, lebihan duit kutipan akan digunakan bagi membantu rakan-rakan lain yang memerlukan.

Mengakui malu mengumpul derma depan khalayak ramai, Mohd Nasir berkata, perasaan itu terpaksa diketepikan bagi merealisasikan hasratnya menyambung pengajian.

Ayahnya, Saari Wan, 56, berkata, anaknya pulang ke negara ini atas beberapa urusan keluarga.

Menurutnya, dengan pendapatan berniaga roti canai dia tidak dapat menampung sepenuhnya kos perbelanjaan anak sulung dari enam beradik itu.

“Sekitar 5O hingga 60 keping terjual setiap hari, dengan duit berniaga roti canai saya boleh tolong setakat termampu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Cawangan Baling, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin berkata, setiap penuntut Malaysia di Mesir yang tidak mendapat tajaan diagihkan bantuan zakat sebanyak RM6,000 seorang setiap tahun.

“Anak Kedah yang menuntut di Mesir dan tidak dapat mana-mana tajaan dibantu LZNK sebanyak RM6,000 seorang setiap tahun.

“Dengan kos hidup termasuk tiket kapal terbang yang mahal, LZNK sarankan pelajar tidak pulang sekiannya tiada urusan mendesak. Jika boleh pulanglah selepas tamat empat tahun pengajian di sana,” katanya.

Untuk sumbangan boleh disalurkan menerusi Maybank di nombor akaun 152050282594 atau hubungi Mohd Nasir di talian 013-5231097 atau ayahnya di talian 013-4087582.

Yan - Petani ditemui mati di sawah padi

Petani ditemui mati di sawah padi
YAN - Seorang petani ditemui mati oleh orang ramai di sawah miliknya di Pulau Tembun, Yan pada jam 1.30 petang di sini semalam.

Difahamkan, Bidin Zakaria, 69, dari Simpang Tiga Sungai Daun, di sini, ditemui terbaring di batas sawah oleh orang ramai sebelum memaklumkan kepada keluarga mangsa dan polis.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Suprintenden Muhamad Halim Yatim berkata, mangsa keluar rumah bersendirian untuk membakar jerami di sawah miliknya.

"Mangsa dipercayai mati akibat serangan jantung dan maklumat daripada pihak keluarga juga mengesahkan si mati menghidap masalah jantung," katanya.

Katanya, hasil siasatan dan pemeriksaan ke atas si mati di tempat kejadian oleh pegawai penyiasat mendapati tiada unsur-unsur jenayah berlaku.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...