TERKINI :

Thursday, February 23, 2017

AMANAH KELANTAN nafi ada perundingan sulit dengan UMNO KELANTAN

KOTA BHARU - Amanah Kelantan menafikan membuat perudingan sulit dengan Umno Kelantan sebagaimana dakwaan yang disebarkan di laman sosial.

Pengerusinya, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah menegaskan, beliau tidak pernah mengadakan sebarang perundingan atau pertemuan dengam mana-mana pimpinan Umno Kelantan.

"Saya menegaskan tiada sebarang bentuk pertemuan dan perjumpaan sama di peringkat negeri atau bahagian bagi mengadakan sebarang bentuk kerjasama atau persefahaman, ini perkara yang sangat serius," katanya kepada Sinar Harian.

Melalui tulisan itu, kerjasama Amanah dengan Umno Kelantan itu dibuat bagi merampas penguasaan Kelantan daripada Pas.

Susulan itu dikatakan terdapat percanggahan dikalangan pimpinan Umno terhadap cadangan itu  selain turut menamakan beberapa ketua bahagian yang terlibat.

Dalam pada itu, Wan Rahim menyifatkan tulisan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan fitnah terhadap Amanah Kelantan.

Sehubungan dengan itu katanya, beliau akan membuat laporan polis esok dan menyerahkan kepda pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.

#MediaOren

30 perkara menarik mengenai Lim Kit Siang dari Sanusi Junid

30 perkara menarik mengenai Lim Kit Siang dari Sanusi Junid

RENUNGAN


Sanusi Junid meratib nama Kit Siang.

Umum mengenali siapa dia Sanusi Junid (Tan Sri). Dia seorang Melayu keturunan Aceh. Seorang Melayu yang kuat semangat keMelayuannya. Bagi Sanusi selepas agama, bangsalah yang diperjuang dan dipedulikan sepanjang hayatnya. Pendirian, keyakinan dan istiqamahnya dalam perjuangan mendaulatkan agama bangsa ini tidak boleh dipertikaikan dan dikompromi dengan apa-apa jua.

Beliau sedia menghadapi apa sahaja risiko demi membela agama dan bangsanya. Sanusi bukan seorang hipokrit dan akan menyanggah sesiapa sahaja yang cuba mengkhianati perjuangan.

Musuh agama (Islam) dan musuh bangsa (Melayu), adalah musuh kekal baginya. Kerana kekentalan semangat dan pegangan itu golongan liberal agama dan bangsa kurang menyenanginya.  

Ada yang menganggap beliau sangat ultra Melayu.

Dalam politik ampu dan bodek, Sanusi tidak ada ruang di situ. Kerana pembawaan dan prinsip itu beliau dilihat tidak ramai kawan dan tidak popular. Ini menyebabkan beliau sukar menempa nama sehebat dua rakannya Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim yang keduanya mencapai kedudukan tertinggi dalam politik. Abdullah menjadi PM, Anwar pernah menjadi TPM.

Cuma kelebihan Sanusi sebagai seorang berprinsip dia tidak kecewa kerana politik seperti mana kedua rakannya itu. 

Beliau kini sudah kejauhan disenggang oleh usia dan situasi menimpa Umno. Pun begitu dalam geografi politiknya, jatuh bangun membina bangsa dan agama masih diteruskan. Malahan kejayaan dicapainya melebihi apa dicapai Abdullah mahupun Anwar.

Tetapi kerana beliau bukan seorang yang suka mencari publisiti, gemar membangunkan billboard gergasi untuk dirinya dalam segenap ruang awam sebaliknya lebih suka berbuat kerja secara senyap, maka ketinggian kejayaannya itu tidak disebut dan ditulis ramai. Tetapi rakan yang mengenali dirinya tahu segala kejayaan beliau itu.

Di sini saya tidak mahu memperkatakan kehebatan dan ketokohan seorang Melayu tulen ini. Apa yang hendak saya tampilkan di sini ialah pandangan beliau mengenai Lim Kit Siang yang dibalikkan kepada Najib. Secara simbolik Sanusi memuji integriti yang ada kepada Kit Siang alias DAP dengan mendedahkan keburukan Najib Razak dan Umno. Apa yang berlaku ini saya kira perubahan sikap Sanusi terhadap DAP.

Jika hendak dikira kepada sejarah dan kronologi politik Sanusi sukar untuk beliau memuji Lim Kit Siang. Selama ini dalam kepalanya semua dilakukan Kit Siang adalah salah dan tidak boleh disokong. Apa lagi untuk mengangkat integriti dan ketelusan perjuangan tokoh "spritual" DAP itu. Bagaimana pun apabila kebobrokan yang dilakukan Najib dan Umno melampau sangat, akhirnya kebaikan Kit Siang itu terselak di birai mata Sanusi.

Barang kali inilah kenanaran yang sering diucapkan, apabila kebenaran dan keinsafan itu datang maka terserlahkan kebatilan yang selama ini kita anggap ia kebenaran sementara kebenaran yang terselindung kerana perasaan dan emosi itu sebenarnya adalah kebatilan.

Di sini saya turunkan 30 perkara yang ditulis Sanusi tentang Lim Kiat Siang yang sangat kontras dengan Najib Razak. Tulisan Sanusi ini boleh dirujuk dalam blognya http://sanusijunid.blogspot.my/

 1. Lim Kit Siang tidak mencadang atau menyokong pengenalan GST yang membebankan rakyat jelata.

2. Lim Kit Siang tidak mencadang atau menyokong keputusan menghapuskan subsidi sehingga naik harga barang dan tol.

3. Lim Kit Siang tidak mencadang atau menyokong kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

4. Lim Kit Siang tidak pernah bersetuju untuk menggunakan wang KWAP untuk melabur dalam perniagaan atau perusahaan yang tidak menguntungkan.

5. Lim Kit Siang tidak pernah dirundingi untuk menukar surat hak-milik tanah peneroka Felda yang sangat bernilai dan tidak turun harganya dengan sijil saham yang tidak menentu harganya dan kini harga sahamnya merudum turun kerana dilanda kerugian.

6. Lim Kit Siang tidak pernah menjadi perajurit dalam angkatan tentera dan tidak tahu menahu mengenai Lembaga Tabung Angkatan Tentera; beliau tidak terlibat dalam keputusan menggunakan wang tabung LTAT untuk membiayai projek yang tidak menguntungkan. 

7. Lim Kit Siang tidak pernah pinjam duit Mara untuk berniaga atau sebagai biasiswa waktu beliau belajar; beliau juga tidak pernah merestui penyelewengan yang kini dikatakan berlaku dalam MARA.

8. Lim Kit Siang belum memeluk ugama Islam dan beliau tidak pun tahu mengenai salahguna wang Lembaga Urusan dan Tabung Haji untuk pelaburan yang merugikan. 

9. Lim Kit Siang, kerana belum memeluk ugama Islam, tidak pernah membayar zakat itulah sebabnya dia tidak tahu bahawa pejabat ugama mengadakan lawatan ke Paris sebagai salah satu acara dalam 'Kursus Pernikahan'.

10. Lim Kit Siang bukan seorang Melayu/Bumiputera dan dia tidak merasa penderitaan, dan bukan sebab kepada penderitaan, maka biasiswa anak-anak Melayu dikurangkan jumlahnya oleh kerajaan. 

11. Bukan Lim Kit Siang yang menamatkan khidmat Peguam Negara.

12. Bukan Lim Kit Siang yang menukar pegawai MACC kerana menyelidiki kes yang melibatkannya.

13. Bukan Lim Kit Siang yang mencadangkan dikenakan label OSA atas semua hasil penyelidikan atas sebarang salahlaku dalam apa jua syarikat, badan dan agensi kerajaan.

14. Bukan Lim Kit Siang yang menghalang Bank Negara Malaysia dari mengambil tindakan atas penyelewengan dalam institusi kewangan dalam dan luar negara.

15. Bukan Lim Kit Siang yang mencadang untuk membeli kapal selam Scorpine; dan bukan dia yang suruh Sirul dan rakannya untuk membunuh Altantuya.

16. Bukan Lim Kit Siang yang suruh SPRM untuk menyelidik dan tangkap perasuah-perasuah kecil supaya perasuah yang lebih hebat kelihatan tidak rasuah.

17. Bukan Lim Kit Siang yang mengarah media perdana supaya setiap hari mengutuk Tun Dr. Mahathir walaupun beliaulah yang telah mengharumkan negara Malaysia di zaman pemerintahannya selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

18. Lim Kit Siang tidak pernah terbabit dalam sebarang skandal seks.

19. Lim Kit Siang tidak pernah terlibat dalam sebarang skandal kewangan. 

20. Lim Kit Siang tidak menjadi pengeluar filem lucah di Hollywood dengan memakan belanja wang yang disalurkan dari syarikat milik negara.

21. Lim Kit Siang tidak pernah melabur wang negara yang dicurinya di Singapura, Hongkong, New Zealand, Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat dan namanya tidak pernah disebut sebagai penjenayah dalam mana jua mahkamah didunia. 

22. Lim Kit Siang tidak pernah merancang untuk membawa 1.5 juta rakyat dari Bangladesh sehingga rakyat Bangladesh melebihi jumlah rakyat keturunan India yang ada dalam negara sekarang ini.

23. Lim Kit Siang juga bukan perancang untuk membenarkan ratusan ribu Cina dari negara Komunis China untuk membeli harta milik tetap (freehold) dan tinggal di negara ini.

24. Lim Kit Siang juga tidak boleh disalahkan jika harta-harta yang sangat bernilai seperti Lapangan Terbang Sungai Besi dijual kepada syarikat dari negara Komunis China.

25. Lim Kit Siang tidak boleh disalahkan jika kos pembangunan satu-satu projek, seperti keretapi di Pantai Timur dinaikkan harganya sehingga Negara terhutang sejumlah yang sukar untuk dibayar dari hasil projek berkenaan.

26. Lim Kit Siang menyokong RUKUNEGARA dan tidak pernah menentangnya.

27. Lim Kit Siang menyokong dan tidak pernah menentang PERLEMBAGAAN. Justeru itu, Lim Kit Siang turut mendaulatkan RAJA-RAJA MELAYU, Lim Kit Siang menyokong BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN. Lim Kit Siang menyokong ISLAM MENJADI UGAMA PERSEKUTUAN. Lim Kit Siang menyokong HAK ISTIMEWA ORANG-ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA, walaupun Lim Kit Siang telah menegur apabila Hak Istimewa ini tidak dinikmati secara keseluruhan bangsa Melayu/Bumiputera.

28. Lim Kit Siang menyokong serampang dua mata DASAR EKONOMI BARU iaitu untuk MEMBASMI KEMISKINAN dan MENYUSUN SEMULA MASYARAKAT, tetapi Lim Kit Siang menegur apabila terlalu ramai orang Melayu dan kaum-kaum lain yang masih ramai kekal miskin dan Lim Kit Siang juga menegur apabila peroses menyusun semula masyarakat tidak mencapai matlamat kerana cara pelaksanaannya. 

29. Lim Kit Siang tidak bertanggungjawab, malah tidak tahu menahu mengenai penubuhan 1MDB; tidak pernah menjadi penasihat atau ahli lembaga pengarah, pegawai atau pekerjaa di 1MDB.

30. Lim Kit Siang tidak bertanggungjawab menjatuhkan nilai ringgit Malaysia ke tahap yang merugikan Negara dan meningkatkan kos hidup rakyat.

Bukan senang untuk Sanusi meratib begitu banyak nama Lim Kit Siang, nama yang suatu masa dahulu dicemuhi dan dibenci. Tetapi kerana kebenciannya melampau kepada Najib yang gagal membawa Malaysia sebagai sebuah negara yang diidam-idam dan diperjuangkan selama ini, menyebabkan beliau "tergamak" meratib nama Kit Siang dengan penuh kehebatan.

Begitulah alam dan manusia berubah mengikut peredaran dan terkawal dibawah taufik dan hidayah Allah. Apapun Sanusi tetap dengan prinsipnya yang menjadi cogankatanya; Katakanlah  sesuatu yang haq itu walaupun pahit. [wm.kl.10:01 am 23/02/17]

mohd sayuti Omar





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...