TERKINI :

Wednesday, February 22, 2017

Pas harap MCA tak seperti DAP bantah pindaan Akta 355

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan memimpin bacaan ikrar menyokong RUU 355

Pas menyambut baik cadangan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan untuk duduk semeja berbincang di samping memberikan penerangan mengenai isu pindaan Akta 355 termasuk isu-isu nasional yang berlaku hari ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan berkata, perbincangan mengenai pindaan Akta 355 merupakan suatu langkah yang sangat penting bagi merungkai segala salah faham yang sering diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Salah faham itulah akhirnya menimbulkan ketakutan di kalangan bukan Islam justeru menjauhkan mereka dengan hakikat sebenar.

"Maka, ruang perbincangan dua hala adalah penting bagi merungkaikan segala salah faham tersebut.

"Saya memandang ia sebagai suatu cadangan yang positif dan bagi pihak Pas, kami sentiasa terbuka malah mengalu-alukan mana-mana parti politik mahupun NGO untuk duduk berbincang mengenai pindaan Akta 355," katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini Ong Ka Chuan berkata, MCA sedia berbincang dan bekerjasama dengan Pas mengenai nilai-nilai tertentu seperti pendidikan, pembangunan ekonomi serta masalah-masalah kemasyarakatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan Pas untuk meningkatkan hukuman maksimum seperti terdapat dalam Pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) boleh menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kepada rakyat di negara ini, yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Justeru Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menegaskan, Akta 355 itu sendiri hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja, justeru dakwaan bahawa ia menyebabkan perpecahan kaum atau ketegangan agama hanyalah suatu alasan bagi mencetuskan provokasi dan persepsi negatif terhadap usaha Pas.

Ia juga kata Nasruddin, melahirkan sikap penentangan terhadap Islam dan penganutnya seperti yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan negara.

"Sekiranya MCA memahami hak orang Islam dan agamanya, saya percaya bahawa MCA akan lebih mudah memahami serta menghormati usaha yang Pas laksanakan menerusi sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

"Pas mengharapkan agar MCA tidak menjadi seperti DAP yang berterusan menzahirkan penentangan terhadap usaha memartabatkan Islam di Malaysia," tegasnya.

Beliau juga berkata, Pas dengan pendekatan 'Budaya Politik Matang dan Sejahtera' (BPMS) akan sentiasa konsisten memberikan penerangan mengenai isu ini.

Namun katanya Pas juga tidak pernah mengkesampingkan isu-isu nasional yang lain dan pendirian Pas dinyatakan dengan jelas melalui kenyataan dan ucapan para pemimpinnya.

"Saya berharap agar segala persepsi negatif dan rasa takut terhadap Pas dan perjuangan Islam dibuang terutamanya oleh bukan Islam.

"Anda perlu lihat dengan teliti bahawa di sana terdapat ramai di kalangan bukan Islam yang menyokong Pas. Malah, mereka juga dengan jelas turut menyokong pindaan Akta 355.

"Justeru, ketakutan segelintir bukan Islam itu hanyalah ibarat takutkan bayang-bayang sendiri," katanya.

SPRM pandang serius agensi agama terlibat rasuah

Bernama

KUALA LUMPUR: Agensi agama tidak akan terlepas daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika didapati terdapat unsur rasuah dan salah laku dalam organisasi berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata kedudukan dan kuasa yang diberikan bukanlah alasan untuk pegawai jabatan agama terlibat dalam perbuatan rasuah.

“Sekiranya ada mana-mana pihak berfikiran mereka boleh terlepas daripada siasatan SPRM, tindakan yang diambil kebelakangan ini terbukti tidak ada satu agensi pun yang tidak disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan 4 pegawai agama Johor yang disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa di negeri itu, semalam.

Azam berkata SPRM memandang serius perkara itu kerana individu berkenaan sangat dipercayai masyarakat dan sepatutnya menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan penuh integriti.

Ini bukan kali pertama pegawai jabatan agama ditahan SPRM malah beberapa pegawai jabatan agama di negeri lain juga pernah ditahan dan disiasat sebelum ini, katanya.

“Sebagai pegawai agama, mereka sepatutnya mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah rasuah,” katanya.

Semalam, SPRM Johor menahan 2 pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan dua pegawai Pendidikan Agama Daerah Johor Bahru yang bertugas di Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

Seorang Ketua Penolong Pengarah dan seorang lagi Penolong Pegawai Bahagian Undang-undang Syariah (JAINJ) ditahan selepas didapati menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan permit penganjuran kursus pra-perkahwinan tanpa melalui prosedur.

Dua pegawai yang bertugas di PPID itu pula ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat yang mencetak buku bagi Sekolah Agama Rakyat Johor.

Petronas meterai kontrak dengan konsortium China

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi loji politilena berketumpatan tinggi (HDPE) fleksibel di Kompleks Bersepadu Pengerang.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata, ia menandatangani kontrak itu dengan konsortium China terdiri daripada Tecnimont S.p.A, China Huanqiu Contracting and Engineering Co Ltd, TecnimontHQC S.c.a.r.l dan TecnimontHQC Sdn Bhd.

“Konsortium itu menerima surat pelantikan daripada PRPC Polymers Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Chemicals Group pada 10 Nov, 2016,” menurut Petronas.

Loji itu akan siap sepenuhnya dan sedia untuk memulakan operasi pada Mei 2019, menurut syarikat tersebut.

Naib Presiden Kanan Petronas dan Pengarah PRPC Polymer, Dr Colin Wong Hee Huing berkata: “pemeteraian kontrak itu mengesahkan petrokimia kekal sebagai komponen penting bagi pertumbuhan perniagaan Petronas, seiring dengan hasrat kami menjadi penggiat serantau utama dengan menyediakan portfolio produk dan penyelesaian petrokimia”.

Loji HDPE fleksibel itu merupakan yang pertama seumpamanya bagi Petronas dan di Malaysia, menggunakan teknologi sluri Hostalen Advanced Cascade Process (Hostalen ACP) bagi HDPE pelbagai mod, dilesenkan oleh Lyondellbasell.

Loji itu, dengan kapasiti 400,000 tan setahun, akan mengeluarkan rangkaian produk HDPE pelbagai mod, dan akan melengkapkan portfolio politilena Petronas sebaik sahaja ia siap.

HDPE fleksibel, dihasilkan dalam bentuk palet, membolehkan pengeluaran buatan khusus polimer yang mempunyai berat molekul sangat tinggi untuk produk akhir seperti paip tekanan air minuman, gas, bagi tujuan industri dan am, serta bekas dan botol kegunaan isi rumah.

Apabila rakyat berhadapan dengan kerajaan yang korup dan jahat dengan ulama politik yang bodoh.

Tenat nya Ekonomi Rakyat, sementara menanti kan dan mengemis duit Gaji dan BRIM -

1- Semalam aku makan tengahhari lewat, pukul 3 ptg pergi kedai makan, lauk tengah hari banyak lagi tak habis, tak bersentuh, parking selalu penuh depan kedai, kali ni kosong..

2- Malam tadi aku jalan keluar makan, Jalan Lengang.. Kedai Makan boleh kata takda orang, fenomena yg sama kedai2 lain... aku dapat bayangkan yg duduk rumah makan Maggie.. atau hanya berjimat goreng telur sementara menantikan gaji dan BRIM..

3- Pergi Pasaraya.. Lengang dan Kosong..Member Cina aku mengadu jualan teruk, orang nak beli barang nilai RM 30 pun ramai yg kata tunggu, Gaji, tunggu dapat BRIM.. dia siap cakap Melayu mcm mengemis duit BRIM..

4- Aku ke UTC pagi tadi, terdengar orang tua 2-3 org sembang Kat LIF pasal BRIM, dia kata Najib penipu kata masuk 18hb.. tapi tunggu dari pagi sampai jam 4 masih tak boleh tunai, dpt Baucer.. Bank penuh dgn orang, Org Bank tu kata, mcm mana kami nak bagi..Kerajaan Masih belum bayar.. kawan aku suruh sampuk bila org tua tu kutuk Najib, aku kata tak payah la.. org tua mcm tu..minggu depan masuk duit BRIM ,dia puji balik Najib.. ingatan org Melayu ni Singkat..

tak tahu bagaimana nak menghadapi tahun2 seterusnya..Bila Ekonomi teruk, Kilang dan Perniagaan ditutup.. berapa ramai Ketua Keluarga akan kehilangan Pekerjaan dan pendapatan.. Ketua Keluarga yg terdesak dan perlu kan duit, mula berfikir untuk melakukan Jenayah.

anak di rumah terabai, Kebajikan tidak terlaksana di sinilah punca2 berlaku nya Jenayah.. anak2 yg terbiar bila mak bapak sibuk cari duit, akan lahir lah generasi yg dekat dgn Zina, Minum arak, merokok, Dadah dan pelbagai aktiviti jenayah..

melihatkan ekonomi hari ini.. inilah kebimbangan kita.. tetapi ada kelompok Takfiri dan Khawarij masih bicaral soal Potong tangan, Sebat kepada pengzina..

kata depa, laksana semua ini, segala masalah ini akan selesai.. sedang punca segala masalah jenayah adalah ekonomi, kebajikan dan pemerintah yang mengabaikan hak rakyat..

Ulama hilang Kebijaksanaan bagi melihat keutamaan.. Saidina Umar sendiri menangguhkan perlaksanaan Hudud di kala musim kemarau..aku bimbang melihatkan nasib  generasi Melayu Islam akan datang...

kini kita bukan lagi hanya berhadapan dgn Kerajaan yg korup dan jahat untuk buat perubahan..,

Tetapi Ulama politik yg Bodoh dan Jahat..!!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...