TERKINI :

Monday, February 20, 2017

SAMM - Tahniah PAS Dan UMNO Atas Penganjuran Himpunan RUU 355

Kenyataan Umum
20 Februari 2017

Tahniah PAS Dan UMNO Atas Penganjuran Himpunan RUU 355

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada penganjur PAS & UMNO dalam himpunan RUU 355 kelmarin. SAMM menyambut baik himpunan tersebut dapat diadakan secara aman jika pihak berkuasa sama ada PDRM ataupun DBKL memberikan kebenaran tanpa sebarang provokasi awal.

SAMM melihat titik positif dalam himpunan tersebut apabila dihadiri oleh dua pimpinan UMNO bertaraf Menteri iaitu YB Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YB Asyraf Wajdi Dasuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Kehadiran kedua-dua pimpinan UMNO yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam ini sepatutnya menjadi batu loncatan untuk pihak Pemerintah mengambil alih pembentangan pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat Mac nanti.

Sungguhpun SAMM mengalu-alukan penganjuran pelbagai bentuk himpunan awam atas nama kebebasan berekspresi, namun rakyat perlu memahami bahawa sesuatu pindaan akta lebih mudah diluluskan sekiranya ia dikemukakan oleh pihak Kerajaan Pemerintah. Mengambil contoh Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak popular di kalangan rakyat berjaya diluluskan dengan mudah kerana ia dikemukakan oleh pihak Kerajaan.

Kebiasaannya, kumpulan yang membantah pembentangan satu rang undang-undang akan berhimpun tunjuk rasa sebagai satu cubaan untuk mendesak Kerajaan Pemerintah tidak meneruskan rancangan membentangkan satu-satu rang undang-undang. Tetapi, RUU 355 ini telah menjadi terbalik dan kongkalikong apabila Menteri dan Timbalan Menteri yang menjaga portfolio agama turut berucap berapi-api memanaskan sentimen hadirin sedangkan mereka mempunyai kuasa untuk mengemukakannya di Dewan Rakyat.

Rakyat, khususnya Ahli PAS harus faham mengenai Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai Rang Undang-Undang. Jika Ahli Parlimen Marang yang merupakan Presiden PAS mengemukakan pindaan Akta 355, ia hanyalah menjadi satu usul yang apabila diluluskan oleh Dewan Rakyat baharulah akan diserahkan kepada Menteri untuk dibawa sebagai Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355.

Kegagalan Menteri untuk mengambil alih pembentangan pindaan akta ini dalam sesi mesyuarat Dewan Rakyat Mac nanti hanya menyerlahkan sikap sebenar UMNO/BN yang menggunakan polemik agama dan PAS demi survival hegemoni UMNO/BN. Kerajaan Pemerintah sudah tidak mempunyai alasan untuk tidak mengambil alih pembentangan pindaan Akta 355 melainkan isu ini ingin dipergunakan sehingga tarikh pembubaran Parlimen.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

PERMAINAN ISU PERKAUMAN DAN AGAMA - NEGARA BOLEH DICEROBOH

KENYATAAN MEDIA

PERMAINAN ISU PERKAUMAN DAN AGAMA - NEGARA BOLEH DICEROBOH

www.amanah.org

1. Isu keselamatan yang melibatkan kedaulatan negara perlu dipertahankan oleh semua kaum di negara ini kerana ianya bukan permainan isu perkauman yang cuba diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang cenderung mengunakanya bagi tujuan keuntungan politik menjelang pilihan raya umum akan datang.

2. Isu 1MDB, MO1, misteri kehilangan MH 370 dan pembunuhan Altantuya telah cukup untuk rakyat semua kaum di negara ini faham bahawa pintu keselamatan dan kedaulatan negara telah menjadi peluang kepada campur tangan kuasa asing dalam apa bentuk sekalipun.

3. Kita tidak boleh melihat isu pemilikan bebas hartanah, pelaburan dan pinjaman dari negara asing seperti  China dan negara-negara asing yang lain yang mencapai ratusan billion USD secara berleluasa sebagai isu perkauman yang sempit.

4. Isu lain seperti lambakan pekerja asing dari Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan Pakistan yang bukan sahaja menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan tetapi telah melebar luas ke sektor perniagaan dan pemilikan hartanah di negara ini.

5. Penyelesaian isu kadaulatan dan keselamatan negara tidak boleh dilalaikan dengan isu perkauman dan agama tetapi rakyat dari semua kaum mesti berani untuk bersuara dan bertindak menentang segala urus tadbir negara yang pincang dan penyelewangan dasar-dasar utama negara yang membahayakan masa depan negara.

6. Marilah bersama kita pertahankan negara tercinta ini dari terus dicerobohi secara sedar dan sengaja oleh kuasa-kuasa asing yang sememangnya akan mengambil kesempatan terbaik dari tercalarnya imej negara di mata dunia luar hari ini.

AMANAH DEMI NEGARA

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
20 Februari 2017

Adakah Amanah perlu berpatah balik atau bubarkan sahaja?

http://www.malaysiastylonews.com/wp-content/uploads/2015/09/AMANAH_parti-logo.jpg
Saya tidak malu untuk mengaku yang AMANAH tidak mampu memobilisasi ahli seramai peserta himpunan H355 semalam. Malah jika dikerah seluruh ahli berdaftar sekalipun, jumlah peserta semalam rasanya lebih ramai.

Amanah juga tiada kapasiti kewangan yang besar untuk anjurkan perhimpunan yang begitu 'gah' seperti itu.

Secara peribadi, saya melihat Amanah pada masa ini persis Pas di era 60-70'an dahulu. Tiada ahli yang ramai dan tiada sumber wang yang banyak melainkan sumbangan dari duit poket ahli.

Amanah juga sedia dikecam bahkan itulah lumrah sebuah parti yang meyakini kebenaran atas apa yang diperjuangkan. Amanah hanya perlu meyakini kebenaran pasti muncul setelah manusia kembali beradab khususnya apabila berbicara soal politik orang Melayu dan Islam.

Jika awal tahun 90'an dahulu, UMNO berpecah dan munculnya Semangat 46. Semangat 46 disambut Pas dan hanya UMNO yang mengecam parti serpihannya.

Begitu juga dengan kemunculan parti Adil (kini PKR) lewat era Reformasi. Adil disambut Pas dan hanya UMNO sahaja yang kuat mengecam.

Sebaliknya berlaku kepada Amanah. Tiada parti teras Melayu-Islam yang sudi bersama. Bahkan dikecam sehebatnya oleh UMNO apatah lagi Pas. Apa yang tidak dikata; pengkhianat, pemecah belah ummah dan bermacam lagi kata nista.

Tetapi adakah Amanah perlu berpatah balik atau bubarkan sahaja?

Saya katakan, tidak. Saya percaya, politik masa depan Malaysia adalah politik berteraskan nilai dan prestasi. Biarpun Amanah tidak punya ahli yang ramai serta wang yang banyak, selagi berpegang kepada nilai yang menghormati perbezaan dan dalam masa sama, kekal berprestasi dengan idea kebaikan, rakyat yang berbudaya akan terus memberi sokongan.

Sederhana adalah kuncinya.

FB Muhamad Fadzi

RUU 355 adalah salah faham yg perlu di perjelaskan.

Kesan drpd H355.......himpunan yg mengelirukan rakyat

http://antarapos.com/v1/images/news_images_upload/jamil_khir_H355.jpg

1. RUU 355 adalah salah faham yg perlu di perjelaskan.

2. Anda boleh bersetuju atau memilih utk tidak bersetuju dgn penjelasan saya.

3. RUU355 yg nak di bawa oleh YB Hadi Awang Mac ini adalah RANG UNDANG2 PERSENDIRIAN.

4. Kalaupun di luluskan dgn undi majoriti, IA BELUM LAGI MENJADI UNDANG2. Ia hanya di anggap satu USUL yg telah di luluskan kerana ianya adalah cadangan dari salah seorg dari 222 Ahli Parlimen yg mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

5. Utk menjadikan ianya satu undang2, USUL berkenaan hendaklah di rujukkan oleh Menteri yg menjaga portfolio undang2 (azalina nama dia) kpd Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara (bahagian penggubalan) yg akan menggubal semula cadangan Rang Undang2 itu utk di bahaskan semula di parlimen.

6. Menteri yg menjaga hal ehwal agama Islam (jamil khir nama dia) pula nanti yg akan membacakan Rang Undang2 itu utk BACAAN KALI PERTAMA di parlimen.

7. Selepas BACAAN KALI KE TIGA dan selepas melalui proses perbahasan, pengubahsuaian, penambahbaikan barulah Rang Undang2 itu akan di undi semula utk kelulusan majoriti Ahli Dewan.

8.Kemudian undang2 itu akan di bahas dan di luluskan pula di peringkat Dewan Negara dan selepas mendapat perkenan YDPA atau jika tanpa perkenan YDPA, dlm tempoh 30 hari, barulah Rang undang2 itu akan DI WARTAKAN menjadi undang2 dan itupun HANYA BERKUATKUASA DI WILAYAH PERSEKUTUAN SAHAJA.

9. Negeri2 lain KALAU NAK IKUT SAMA MEMINDA UNDANG2 BERKENAAN DI PERINGKAT NEGERI, perlulah mengikut proses yg sama dgn perkenan Sultan negeri masing2 krn hal ehwal agama Islam di bawah Sultan.

10. Jadi kalau hari ini anda sokong ke, anda bantah ke pindaan RUU 355, pastikan anda faham SOP dan tempoh matang sokongan atau bantahan anda tu.

11. Menyokong biar berakal. Membangkang biar pintar.

12. Kalau anda beria2 sokong RUU Persendirian Mac ni, kalau Kerajaan tak buat apa2 tindakan susulan lepas dah lulus tu pun tak jadi undang2 juga dia.

13. Pada saya PAS sedang menggunakan RUU 355 ini untuk menggerakkan momentum sokongan umat Islam terhadap Pas menjelang PRU 14

14. UMNO pula sedang bertaut dgn Pas sebab nak karam dah

Najib izin saya hadir Himpunan RUU 355, kata Jamil Khir

 jamil-khir-Baharom
KUALA LUMPUR: Selepas Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa pada Disember lalu, pemimpin PAS dan Barisan Nasional (BN) hari ini sekali lagi sepentas menerusi Himpunan RUU 355.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kehadirannya di himpunan itu menerima persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan menambah presiden Umno itu “izinkan saya wakilkan… untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah”.

“Waktu saya nak bertolak tadi juga perdana menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sampaikan salam kepada tuan-tuan,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat maghrib berjemaah.

Beliau mempersoalkan sesetengah pihak yang susah menerima pindaan undang-undang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Kalau dulu tak ada masalah dalam Parlimen, masyarakat dan kepada sesiapa pun. Tetapi, kenapa 2016, 2017 pindaan ini terpaksa kita adakan sampai himpunan seperti malam ini, kenapa terlalu sukar?

“Kita tidak ambil hak sesiapa pun (untuk buat pindaan RUU 355), umat Islam tak ambil hak orang lain, tapi kenapa tulisan, paparan wajah yang terlalu tak senang lihat Mahkamah Syariah berkembang.

“RUU 355 menjadi polemik panjang menerusi perbahasan di Dewan Rakyat kita bincang soal RUU 355, ada yang nyata persetujuan dan ada yang senyap,” katanya.

Turut hadir pada perhimpunan hari ini ialah timbalan Jamil, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki.

Himpunan RUU 355 itu dianjurkan PAS dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan dan memperjelaskan kewajaran usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Satu lagi himpunan balas dinamakan “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas turut diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Hadi. Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Pemimpin Pemuda Gerakan mahu letak jawatan jika parti sokong RUU 355

 Andy-Yong
PETALING JAYA: Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong berjanji akan meletak jawatan jika parti itu menyokong rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan PAS.

Beliau membuat janji itu ketika berucap di hadapan kira-kira 100 orang yang berhimpun di Taman Jaya bagi membantah RUU 355 yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat tahun lalu.

“Ia dipolitikkan. Kita hidup di sebuah negara yang indah dan aman. Jangan biarkan mereka rosakkannya.

“Jika ahli Parlimen Gerakan undi sokong RUU ini, saya akan letak jawatan,” katanya yang disambut sorakan hadirin pada petang ini.

Gerakan hanya mempunyai 2 kerusi di Dewan Rakyat, iaitu kerusi Parlimen Teluk Intan dipegang Datuk Seri Mah Siew Keong dan Simpang Renggam oleh Liang Teck Meng.

Yong turut menyentuh label anti-Islam yang diberikan PAS kepada penentang RUU Hadi. Katanya, sejak hari pertama, Gerakan membantah RUU itu bukan kerana mereka menentang agama Islam, tetapi disebabkan cara Hadi mengusulkan RUU itu.

“Saya terima banyak panggilan, ancaman, daripada mereka yang tanya kenapa saya campur tangan dalam hal ehwal Islam kerana ia bukannya urusan saya.

“Tetapi, ini bukannya mengenai Islam. Ia berkaitan ketidaksamaan dan ketidakadilan RUU itu. Sejak 2015, cara RUU itu dibentangkan sangat mencurigakan dan menimbulkan banyak persoalan.”

Beliau merujuk kekurangan notis sewajarnya diberikan kepada ahli Parlimen BN dan pembangkang sebelum RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat, tahun lalu.

“Ia adalah hak demokratiknya untuk membentangkan RUU itu. Tetapi, kenapa melakukannya dengan cara yang menimbulkan syak wasangka? Merekalah yang mempolitikkan isu ini.”

Seorang lagi penceramah di “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi”, Azrul Mohd Khalib daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menjelaskan cara RUU Hadi diperalatkan untuk memancing undi, khasnya menjelang pilihan raya umum yang dijangka diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

“Beritahu mereka ketika mereka sibuk cuba memenangi kerusi, kami cuba melindungi Malaysia dan rakyatnya,” kata pengurus hubungan luar Ideas itu.

Perhimpunan balas ini dianjurkan NGO yang dikenali sebagai Bebas bagi mendapatkan sokongan umat Islam dan bukan Islam menentang RUU Hadi.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Hadi. Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...