TERKINI :

Sunday, February 19, 2017

Benarkah Pas bukan lagi parti pembangkang?

19 Februari 2017 | ARIF ATAN


Akhbar pro Umno BN hari ini tidak lagi menganggap Pas parti pembangkang

Akhbar Mingguan Malaysia hari ini menyenaraikan pecahan kerusi pembangkang di Dewan Rakyat dengan hanya meletakkan Pakatan Harapan dan Bersatu bersama wajah ketua parti masing-masing.

DAP mempunyai 37 kerusi, diikuti PKR (28), Amanah (6) dan satu kerusi lagi Bersatu. Tanpa memasukkan 15 kerusi dimiliki Pas, akhbar pro Umno-BN itu melalui ruangan Awang Selamat menganggap DAP lebih dominan termasuk dari segi bilangan kerusi di Dewan Rakyat.

Menurut Awang, Mahathir perlu tunduk mengikut rentak Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang kononnya merupakan pemimpin 'de facto' pembangkang dengan keputusan besar dan penting ditentukan parti berlambangkan roket itu.

Bercakap bagi pihak Pas, akhbar pro Umno-BN itu secara terbuka menyanjung tinggi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lantaran menolak pelawaan untuk bekerjasama dengan PPBM.

"Prinsipnya tetap sama. Pas tidak akan bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN (Amanah). Awang tabik Hadi kerana konsisten menolak DAP dan tidak gentar dengan segala tekanan," katanya.

Sementara itu, Mingguan Malaysia turut memuatkan laporan penuh mengenai Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 semalam termasuk reaksi peserta dan kronologi syor pindaan akta tersebut pada halaman tengah di muka surat 12 dan 13.

Berlatarkan warna ungu dan hijau, kandungan laporan bagi program bermula petang sehingga malam itu dilihat bernada positif tidak seperti yang lazim berlaku terhadap siri himpunan BERSIH.

Ini termasuklah lebih separuh di halaman 13 dipenuhi foto peserta himpunan antaranya sedang menunaikan solat, melaungkan takbir dan bergambar dengan penyanyi Datuk Jamal Abdillah.

Dilihat seolah-olah sudah mampu menggantikan lidah rasmi Pas, Harakah, artikel pengarang kanan Mingguan Malaysia bertajuk, "Pas: Antara perjuangan dan kerjasama" di ruangan Rencana Muka 6 menjadi bukti Pas pada masa ini bukan lagi parti pembangkang yang dimusuhi Umno-BN.

Penulisnya, Zulkiflee Bakar berpendapat Abdul Hadi membuat kenyataan tegas untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang dianggapnya mengamalkan politik makan keliling.

"... (Bersatu) berbaik dengan DAP dan pada masa sama mahu bekerjasama dengan Pas. Jika Pas terperangkap dengan taktik politik itu, yang rugi adalah Pas," tegasnya.

Himpunan RUU 355 salah guna jentera kerajaan negeri Kelantan

19 Februari 2017 | ARIF ATAN


Ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam dipercayai mengangkut peserta himpunan usul Hadi

Himpunan bermotif politik parti di ibu negara semalam terbukti menyalahgunakan jentera kerajaan negeri Kelantan. Tinjauan Malaysia Dateline di sekitar ibu negara mendapati sebuah bas Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan diparkir di bahu jalan tidak jauh dari pusat beli-belah Sogo.

Dipercayai mengangkut peserta himpunan bertemakan warna ungu itu, penemuan bas di Jalan Tuanku Abdul Rahman menimbulkan persoalan tentang kaitan kerajaan negeri Kelantan dengan program anjuran Pas terbabit.

Hal ini memandangkan pindaan Akta 355 bukan agenda kerajaan negeri Kelantan sebaliknya hanya agenda peribadi Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

Tindakan yang dilihat menyalahgunakan wang rakyat itu menyamai apa dilakukan Umno-BN selama ini dengan paling menonjol melalui Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Biro Tatanegara (BTN).

Selain itu, Malaysia Dateline juga menemui poster dikeluarkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan yang terpampang ungkapan "Kami Sokong RUU 355" berserta tulisan jawi bagi 'kami sokong'.

Diikuti #supportRUU355, poster itu bagaimanapun dijadikan alas duduk petang semalam oleh beberapa peserta yang ingin mengikuti siri ceramah tanpa henti dari pentas di tengah Padang Merbok itu.


Bukti kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan dana yang bukan sedikit untuk himpunan usul Hadi

RUU 355: Ramai peserta tidak tahu, ikut saja Presiden Pas

18 Februari 2017 | ARIF ATAN


Ramai penyokong Pas tidak tahu pun isu sebenar pindaan Akta 355

Rata-rata peserta Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 yang ditemui Malaysia Dateline mengakui tidak memahami isu sebenar pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan matlamat program tersebut diadakan hari ini.

Mereka yang juga penyokong tegar Pas tidak mengetahui pembentangan usul pindaan yang dibawa presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditangguhkan sebanyak dua kali pada tahun lalu.


Rosdi Salleh (berbaju ungu)Rosdi Salleh, 45, dari Felda Sungai Tiang, Pendang di Kedah hanya memahami RUU 355 penting demi Islam dan bagi mengelak keadaan huru-hara.

"Kami sokong saja. Kami tidak tahu sangat. (Apa yang kami tahu) Untuk hak Islam, untuk keamanan," kata ayah kepada empat anak itu yang hadir dengan bas sewa khas.

"Kami mai (datang) satu bas. Kutip dari kampung-kampung," beritahunya dan sekadar menjawab, "itu saya tidak pastilah" apabila ditanyakan tentang tindakan Abdul Hadi menangguhkan pembentangan pindaan Akta 355.

Sementara itu, Muhammad Zin, 28, dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Chetok di Kelantan mendakwa pelaksanaan hukuman jenayah syariah selama ini tidak berlandaskan Islam.

"Tak pandai (komen) sebenarnya. Macam denda naik kepada RM100,000, rotan ikut Islam. Akta sekarang ini tak mengikut Islam. Kalau bolehlah kerajaan pindah (bukan pinda) akta kepada RUU 355," ujarnya yang berkopiah putih dan berlogokan Pas itu.

Mengulas tentang tindakan Abdul Hadi menunda pembentangan RUU 355 sehingga sidang Dewan Rakyat Mac depan, beliau berpendapat hal tersebut sebagai "kebijaksanaan" Ahli Parlimen Marang itu.

"Itu ikut kebijaksanaan Presiden. Kita di bawah ini ikut dia sahaja. Dia ulamak. Kita ikut saja," katanya yang hadir dengan bas yang disewa khas.


Beliau seterusnya menjawab, "tidak tahu" berapa kali Abdul Hadi tangguhkan pembentangan pindaan Akta 355 sebelum menyambung dengan sekali lagi mengulang, "ikut kebijaksanaan dia (Abdul Hadi). Apa dia buat InsyaAllah betul semua."

Menariknya, rakan kepada anak muda tersebut yang berada di sisinya juga hanya tersenyum menggeleng kepala sambil meminum air apabila Muhammad bertanyakan tentang berapa kali Abdul Hadi menangguhkan pembentangan RUU 355.

'Saya pun tak tahu'

Hadir dari kawasan yang pernah dilanda bah kuning pada 2014, Abdul Hamid Ibrahim, 60, dari Gua Musang juga tidak mengetahui tentang kegagalan Abdul Hadi membentangkan usul persendirian itu walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

"Tangguh tu saya tidak pasti. Nak masuk (bentang) tak bolehkah, saya pun tak tahu. Tangguh tu sebab BN tidak sedia nak bentang. Nak pinda tak sempat lagi," jawabnya dengan nada yakin walaupun mengelirukan.

Tambahnya lagi, RUU 355 merupakan "hukum syariah untuk orang Islam" bukan untuk orang Cina.

"Untuk hukum pencuri, penzina. Eloklah kerajaan akan bentang. Betullah tu," tegasnya sambil menjawab hanya sekali Abdul Hadi menangguhkan pindaan bagi meningkatkan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah.


Azman AliWalau bagaimanapun, Azman Ali, 45, dari Dun Paka, Terengganu mengetahui tentang tindakan Abdul Hadi menangguhkan pembentangan usul berkenaan sebanyak dua kali.

Beliau berkata, tiada masalah untuk kerajaan mengambil alih usul persendirian tersebut kerana menganggap baik daripada segi politik.

"Dari segi politik baguslah untuk memberi pemahaman kepada rakyat. Kalau tidak (tangguh), rakyat tak tahu. Kalau bentang terus, ahli parlimen pun tak tahu apa di sebalik RUU tapi bila tangguh, rakyat bahkan semua NGO dan mufti main peranan dan himpunan ini lagi jelas," ujarnya.

Mengulas lanjut, Azman menyifatkan NGO bukan Islam juga menyokong usul persendirian bagi meminda Akta 355 memandangkan hukuman 100 rotan, 30 tahun penjara dan RM100,000 denda itu tidak dikuatkuasakan terhadap orang bukan Islam.

"Yang tidak setuju itu bukan sebab mereka tidak faham tapi mereka mahu jaga pihak bersama mereka di antaranya DAP dan di sana ada juga Mufti Perlis. Kemungkinan dari segi politik dia kurang faham sebab dia tidak bersama parti politik. Dia cakap kitab, dari segi kefahaman politik itu larilah sikit," tambahnya lagi.

Cermatnya TUN M, DSAI dan Almarhum TS Prof Ahmad Ibrahim meminda AKTA355 ditahun 1984/88 tanpa melalui kekecohan macam sekarang.

1. AKTA355 ini telahpun pernah dipinda oleh Kerajaan yg berkuasa pada tahun 1984 dan 1988, tanpa melalui kekecohan apa2.

2. Pembentangan dibuat oleh PM di masa itu Dr Mahathir, di sokong oleh YB Dr Pairin Kitingan dan disokong pula oleh semua ahli2 Parlimen dari Kerajaan.

3. Tokoh2 penggerak utama pindaan ini adalah DSAI dan Almarhum TS Prof Ahmad Ibrahim.

4. Menariknya RUU ini ditentang oleh wakil tunggal PAS YB Nik Aziz bin Nik Mat (Pengkalan Chepa).

5. Pindaan ini telah berjaya melonjakkan taraf Mahkamah Syariah setaraf dgn Mahkamah Sivil.

6. Para pegawai telah diberi latihan profesional. Kursus Diploma Kehakiman Syarak di UIAM.

7. Skim gaji baru dipinda dan bangunan mahkamah dinaik taraf menjadi lebih selesa.

8.RUU boleh dipinda lagi dengan mudah, tanpa kecoh apa2. Apa perlunya dijadikan demo dan kecoh gimik politik bagaikan nak rak seluruh negara?

9. Pada tahun itu juga Lim Kit Siang juga telah dilantik menjadi Ketua Pembangkang namun beliau tak boleh lakukan apa-apa sebab majoriti dewan bersetuju menyokong pindaan tersebut.

Di himpunan RUU, Hadi raikan kerjasama PAS, Umno

Aedi Asri


KUALA LUMPUR: Kerjasama pelbagai pertubuhan termasuk PAS dan Umno dalam isu melibatkan Islam sudah bermula sejak sebelum merdeka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu puluhan ribu peserta yang membanjiri Padang Merbok bagi menyatakan sokongan memberi kuasa lebih kepada mahkamah syariah negara ini.

Dalam ucapannya sebelum perhimpunan tamat malam tadi, presiden PAS itu berkata PAS dan Umno antara pertubuhan berjuang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid meletakkan Islam dalam Perlembagaan. Mereka berbincang dan menerimanya,” katanya merujuk jawatankuasa ditubuhkan kerajaan Britain bagi mewujudkan perlembagaan baharu selepas Merdeka.

Hadi berkata, kerjasama serupa perlu dilakukan pada masa ini berhubung rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dicadangkannya.

“Kita hanya mengulangi sejarah lalu yang ditulis dengan tinta emas oleh pejuang kemerdekaan negara kita,” katanya lagi.

PAS dan Umno akhir-akhir ini sering “sepentas” dalam isu membabitkan orang Islam, termasuk dalam menyatakan simpati terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Beberapa pimpinan tertinggi Umno juga sebelum ini dilihat bersikap positif terhadap usaha PAS meminda akta itu.

Hadi yang juga ahli Parlimen Marang mengecam pihak yang sering mempertikai cadangannya, sambil berkata mereka perlu menumpukan terhadap apa yang disifatkannya “kelemahan undang-undang ciptaan manusia”.

“Daripada mencemuh usaha kita, lebih baik mereka bincang undang-undang lapuk yang masih menggunakan tali gantung, undang-undang rimba yang tidak mengambil kira siapa yang menjadi saksi.

“Ini yang patut dibincang mereka, bukannya mempertikai undang-undang Islam dengan kejahilan,” katanya lagi.

Perhimpunan hari ini dianjurkan PAS bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU dibentangkan Hadi bagi memperkasakan mahkamah syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, dan berakhir dengan penyertaan kecil pada 6.00 petang tadi.

Dr MAZA - RUU 355: PRO DAN KONTRA

Dr MAZA - RUU 355: PRO DAN KONTRA

Telah berlaku perbincangan yang agak panas mengenai pindaan Rang Undang-Undang 355 yang merupakan satu usul yang dibawa oleh Presiden PAS YB DS Abd Hadi Awang.

Cadangan pindaan ini jika berjaya, akan dapat meningkat nilai dan jumlah hukuman di mahkamah syariah kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan RM100k denda.

Berlaku pandangan pro dan kontra mengenai usul itu. Setiap pihak melihat daripada sudut yang berbagai. Itu adalah perkara biasa terutama dalam sistem demokrasi. Di sana ada niat yang baik, dan niat yang sebaliknya dalam perbezaan pendapat itu.

Dr MAZA - RUU 355: PRO DAN KONTRA

Berbeza pendapat atas niat yang baik itu tidak ganjil. Para sahabat sendiri berbeza pendapat. Ini termasuk isu ketika Khalifah Umar bin al-Khattab enggan membahagikan tanah-tanah rampasan perang di Iraq dan Mesir kepada tentera. Ini berbeza dengan amalan Rasulullah s.a.w. pada hayat baginda.

Majoriti para sahabat tidak bersetuju dengan pandangan Umar. Mereka berhujah dengan Surah al-Anfal (Surah Harta Rampasan Perang) dan amalan Nabi s.a.w. sebelum ini. Sebaliknya, Umar melihat dari sudut maslahah masa depan dan persepsi generasi akan datang, iaitu anak-anak penduduk tempatan datang terhadap Islam. Hal ini disebut dalam pelbagai kitab sirah dan dibincang dalam pelbagai kitab Usul al-Fiqh.

Yang Pelik

Ertinya, tidak pelik untuk berbeza pendapat sekalipun dengan tokoh sehebat Umar. Tidak pelik untuk berbeza sekalipun dengan pihak yang berhujah menggunakan dalil al-Quran dan hadis, selagi mana hal itu boleh dilihat dari sisi pandangan ijtihad yang lain.

Apa yang pelik ialah jika ada pihak yang setiap kali  berbeza pendapat dengan mereka, mereka kafirkan pihak yang berbeza, mereka tuduh orang lain musuh Islam, anti-Islam, ditanam jenazahnya di kubur orang kafir, membenci hukum Allah, menentang ulama, tali barut musuh-musuh Islam dan seumpamanya.

Dr MAZA - RUU 355: PRO DAN KONTRA

Peliknya, hal ini telah berakar umbi sejak sekian lama dalam aliran politik berkenaan. Maka, maki hamun menjadi amalan kumpulan ini alasan mempertahankan Islam dan menyerang musuh Islam.

Saya belum pun memberikan pandangan detil tentang RUU 355, sekadar menyatakan bahawa cadangan itu boleh dikritik ataupun dibantah dari sudut masing-masing. Seperti tradisi biasa, mereka mengikuti pandangan itu dengan cercaan dan maki hamun. Ini adalah tradisi warisan yang wajar mereka ubah jika mereka ingin melangkah ke hadapan ataupun hidup sebagai insan yang bertamadun.

Dapatkah kita bayang jika kumpulan seperti ini menguasai politik negara? Apakah akan terjadi kepada rakyat yang berbeza pandangan dengan mereka?

Jika perbezaan pendapat itu digelar anti-Islam, maka setiap yang anti-Islam tentunya menjadi murtad jika muslim, dan menjadi kafir-harbi jika non-muslim. Jika undang-undang murtad dibuat dalam keadaan seperti itu, pasti ramai pengkritik politik akan didakwa atas enakmen itu. Sementara yang kafir-harbi layak untuk diperangi.

Gambaran Sebelum Pro-RUU 355

Apabila kita sebut cadangan pindaan RUU 355, kita hendaklah tahu bahawa ia satu usul yang dibawa oleh sebuah parti politik. Usul itu telah dimainkan secara politik. Parti politik berkenaan juga selama ini memperkatakan isu hudud sejak sekian lama terutama menjelang pilihanraya. Hasil dari isu hudud yang pernah dimainkan sejak dahulu pelbagai peristiwa permusuhan antara umat Islam telah berlaku. Berlakunya kafir-mengkafir sejak sekian lama, dua imam, bercerai suami-isteri, enggan makan sembelihan sesama muslim, memutuskan silaturrahim antara keluarga dan tumpah darah sesama umat. Dengan tidak dinafikan bahawa tindakan dan sikap parti lawan mereka juga ada yang tidak sewajarnya.

Demikian juga pendekatan aliran politik berkenaan, bukan sahaja tajam kepada musuh politik tradisi mereka, bahkan kepada rakan-rakan mereka yang keluar parti. Istilah keluar jamaah cabut Islam bukan sesuatu yang asing. Bahkan sesiapa yang berbeza dengan mereka sekalipun dari kalangan yang bukan musuh tradisi mereka, juga menerima nasib yang tidak kurang buruknya seperti anti-ulama, anti-perjuangan Islam, musuh Islam, tali barut musuh Islam dan seumpamanya.

Dr MAZA - RUU 355: PRO DAN KONTRA

Mengapa hal ini dibangkitkan? Sebabnya, hal-hal ini kadang-kala boleh mempengaruhi sikap orang lain terhadap usul yang dibawa itu. Kadang-kala bukan kerana usul itu semata, sebaliknya apa yang ada berkait dengan pencadang usul tersebut.

Penyokong Usul

Di sana ada pihak yang menyokong Usul Pindaan RUU 355 ini. Sokongan itu mungkin dibina atas beberapa perkara. Antaranya;

1. Ada pihak yang menyokong kerana usul meningkat jumlah dan nilai hukuman kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan 100k denda membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan. Iaitu 100 rotan untuk zina, 80 rotan qazaf dan 40 rotan untuk peminum arak. Maka, menyokong usul ini bererti membolehkan hukum hudud yang diperjuangkan selama ini dilaksanakan. Ini bagi mereka adalah tanggungjawab agama.

Di satu sudut, seakan kumpulan ini menerima pandangan yang selama ini ditolak oleh mereka iaitu menyamakan hukuman zina yang belum berkahwin dan yang sudah berkahwin (muhsan). Pegangan umum mereka selama ini ialah penzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati.

2. Ada pihak yang menyokong kerana ingin memperlihatkan kesatuan politik parti-parti melayu muslim dan umat Islam secara umumnya.

3. Ada yang menyokong kerana merasakan hukuman sedia ada untuk kesalahan jenayah (yang dikatakan) berkaitan syariat itu terlalu rendah. Gejala maksiat yang berleluasa memerlukan hukuman yang lebih tinggi.

4. Ada yang menyokong kerana ingin hukum hudud yang sepenuhnya dilaksanakan termasuk potong tangan, rejam penzina dan hukuman riddah iaitu membunuh orang yang murtad. Difahamkan itulah cadangan asal parti berkenaan, namun pihak peguam negara telah meletakkan had kepada 100 rotan, 100k dan 30 tahun penjara. Hukuman mati, rejam sampai mati dan potong tangan belum diberikan ruang.

5. Ada pihak yang menyokong kerana ruang ini boleh digunakan untuk mengekang aliran yang berbeza dengan penguasa agama tempatan. Ini seperti aliran kaum muda, salafi, wahabi, fatwa yang tidak mengikut mufti negeri, tarekat yang berbeza, syiah, Islam liberal dan seumpamanya. Pindaan ini akan membolehkan kesalahan ini ditingkatkan hukuman penjara, ataupun denda yang lebih tinggi.

6. Ada yang menyokong untuk menaik taraf kedudukan hakim-hakim di mahkamah syariah supaya setaraf dengan mahkamah sivil khususnya dari segi grade pergajian dan seumpamanya.

7. Ada yang menyokong kerana itu keputusan partinya dan untuk memenangi hati pengundi menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

Pembangkang Usul 355

Di sana ada pihak yang tidak menyokong usul ini atas alasan yang pelbagai. Ada yang tidak menyokong sepenuhnya, ada yang menyokong sebahagiannya dan ada yang menentang sepenuhnya. Ada beberapa alasan golongan ini. Tidak bersetuju itu juga dilihat dari sisi yang berbeza antara mereka. antaranya;

1. Mereka bersetuju dengan peningkatan 100 rotan jika hanya untuk hukuman zina, qazaf dan minum arak. Namun, untuk hal-hal yang lain mereka tidak bersetuju. Ini kerana kesalahan di bawah Mahkamah Syariah bukan sahaja zina, qazaf dan arak sahaja. Di sana, ada lagi perkara yang diletakkan di bawah kesalahan ataupun jenayah di bawah Mahkamah Syariah, yang pihak lain mempunyai pandangan yang berbeza. Ini termasuk; poligami tanpa izin, mengajar tanpa tauliah, memberikan pendapat yang berbeza dengan fatwa mufti, mengajar pendapat yang berbeza dengan pegangan pihak berkuasa agama negeri, berkahwin luar negara tanpa izin, membayar zakat kepada pihak lain, mengutip zakat tanpa keizinan dan pelbagai lagi yang boleh dimasukkan oleh pihak berkuasa agama sebagai jenayah syariah mengikut prosedur perundangan setiap negeri.

Jika peningkatan hukuman kepada 30 tahun ataupun denda 100k ataupun sebatan 100 rotan digunakan untuk hal-hal seperti ini akan menimbulkan pelbagai polemik. Ia juga ada ruang kemungkinan akan memandulkan perkembangan intelektual dan hak kepelbagai pendapat dalam negara demokrasi. Maka, ruang Malaysia menjadi negara mullah itu akan lebih tinggi. Ini seperti yang berlaku di beberapa negara yang membatasi banyak hak atas nama agama. Maka, sokongan sepenuh pindaan RUU 355 akan mempunyai risikonya yang tersendiri.

2. Ada yang tidak menyokong kerana suasana hari ini yang dipenuhi dengan Islamphobia. Hal-hal ini jika dibahaskan hanya memberikan persepsi negative terhadap umat Islam. Banyak lagi perkara-perkara lain yang wajar didahulukan dalam pembangunan umat Islam dan usaha memberikan imej yang positive untuk umat Islam.

3. Ada yang melihat ini hanya permainan politik musim pilihanraya. Daripada cara isu itu dibawa ke parlimen, cara ia ditangguhkan, tuduh-menuduh atas sebab perbezaan pandangan parti dan segalanya, bagi mereka hanya memperlihatkan agenda politik semata. Mereka melihat seperti kata-kata Ali bin Abi Talib kepada Khawarij yang sering mengkafirkan orang kerana isu ‘hukum Allah’ : “Kalimah yang benar tapi dengan maksud yang batil”.

Ini kelihatan seperti buruk sangka. Namun, buruk sangka antara parti-parti politik termasuk yang berjenama Islam bukanlah perkara asing.

4. Ada yang melihat di sudut kestabilan negara yang membabitkan keselarasan undang-undang syariah dan sivil. Mereka merasa ini akan menjadikan keadaan pincang dan polemik antara rakyat atas perbezaan ini akan bertambah runcing.

5. Ada yang enggan menyokong disebabkan isu yang membabitkan pembawa usul ataupun kumpulan politik berkenaan dalam pelbagai perkara. Isu menyokong Iran, isu tuduh menuduh atas nama agama seperti kafir, anti-Islam dan beberapa pendekatan yang lain. Sikap ini mungkin kurang objektif kerana melihat kepada pembawa usul tapi bukan kepada usul.  Sepatutnya kepada usul yang dibawa.

Namun dalam politik kepartian hal ini juga tidak pelik. Betapa banyak parti yang enggan berkerjasama dalam hal yang baik hanya kerana melihat kepada siapa yang mencadangkannya.

6. Ada yang memang bersikap kurang senang terhadap apa sahaja cadangan berkaitan Islam. Mereka ini fobia dengan perkataan ‘Islam, syariah dan seumpamanya. Lalu tanpa berfikir panjang, mereka menentang hanya kerana ia berbunyi ‘Islam’. Golongan seperti ini memang terperangkap dalam islamophobia. Banyak faktor menjadikan mereka begitu.

Kesimpulan
Pihak yang menyokong dan menentang mempunyai alasan ijtihad yang berbeza. Sebahagian alasan yang meyokong itu boleh diterima. Sebahagian alasan yang tidak menyokong juga boleh diterima dan ia tidak menunjukkan anti-Islam ataupun sebaliknya.

Menjadikan setiap yang berbeza pendapat dalam hal seperti ini sebagai musuh Islam, ataupun anti-hukum Allah adalah sikap khawarij yang sejak dahulu sering mengkafir dan menyesatkan sesama muslim.

Saya pada asas menyokong pindaan peningkatan kadar hukuman sehingga 100 rotan jika ia hanya untuk digunakan pakai bagi kesalahan jenayah dalam perkara benar-benar jelas iaitu seperti zina, qazaf dan arak.

Adapun untuk peningkatan kadar dan nilai hukuman yang boleh membawa kepada dihukum hal-hal lain yang bersifat pentadbiran dan ijtihad seperti poligami tanpa izin, mengajar tanpa tauliah, pandangan berbeza dengan fatwa negeri atau apa sahaja yang yang boleh ditambah oleh pihak berkuasa agama pada masa hadapan, saya menangguhkan sokongan dalam hal itu. Ia perlu diteliti dan dibahaskan dengan mendalam kesan terhadap hak-hak rakyat dalam negara ini.

Terakhirnya, saya tidak dapat menerima hal ini dipolitikkan dan sikap mudah mengkafirkan ataupun melebel seperti anti-Islam dll ataupun memaki hamun orang lain hanya kerana perbezaan pendapat dalam hal ini.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...