TERKINI :

Tuesday, February 14, 2017

Piala FA : Kedah menjadi-jadi, 'Messi Kedah' hatrik malam nie


Skuad Kedah terus mara, malah semakin menjadi-jadi prestasinya dengan menewaskan Kuala Lumpur 4-1 pada pusingan kedua Piala FA 2017, malam ini.

Aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu turut menjadi kenangan indah buat pemain muda Helang Merah, Farhan Roslan yang merekodkan hatrik pertama peribadinya.

Selepas pemain import, Liridon Krasniqi membuka jaringan pada minit ke-32, giliran Farhan pula menambah gol tiga minit berselang.

Juga digelar sebagai 'Messi Kedah', pemain berusia 20 tahun itu ternyata membalas kepercayaan diberikan jurulatih Tan Cheng Hoe.

Gol ketiga Kedah juga menjelma melalui sentuhan Farhan pada minit ke-42 selepas menerima umpanan cantik dari Liridon.

Kembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua, Farhan sekali lagi menggembirakan penyokong Kedah melengkapkan hatriknya pada minit ke-62.

Bagaimanapun, gawang Kedah tetap dibolosi dengan jaringan sendiri pertahanan Kedah, Zach Anderson.

Heret Husam ke mahkamah boleh jatuhkan Hadi Awang

Oleh Mohd Sayuti Omar 

Isu yang menggelegak ketika ini ialah pengakuan Husam Musa yang dia ada maklumat kononnya berlaku pengaliran wang kepada parti agama (Pas) menerusi Afinbank. Kenyataan beliau dalam ceramah di Selising Pasir Puteh itu menjadi kejutan kepada umum dan lebih-lebih lagi kepada Pas sendiri. Pendedahan Husam itu membuka dimensi baharu perkembangan yang ketika ini "masam" buat parti itu. 

 .Pendedahan Adun Salor yang juga Penasihat Amanah Kelantan secara sambil lewa itu juga dilihat muqadimah dan pancingan awal kepada Pas sebelum beliau membongkar rahsia-rahsia lebih besar secara berterusan dalam Pas. Ia juga boleh difahami yang Husam ada menyimpan rahsia Pas bukan sahaja dalam poket seperti Nik Amal Nik Abdullah tetapi dalam gedung besar?

Ekoran pendedahan Husam itu yakni dakwaan web Sarawak Report mengatakan Pas menerima RM90 juta daripada pihak Umno yang mulanya dianggap sebagai dongeng, tetapi kini telah menukar tanggapan umum serta menyebabkan orang ramai kian mempercaya dakwaan itu, bahawa pendedahan itu benar. Kelewatan Pas untuk menyaman laman web berkenaan, dengan memberi berbagai alasan dan dolak dalik menyebabkan minda orang ramai berasakan apa yang Husam dedah itu benar.

Bukan itu sahaja, ia juga diukur kepada sikap dan stail Husam yang bercakap dengan fakta dan bukti. Husam tidak pernah bercakap kosong dan dia sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa ulasan dan singgungan.

Husam sebelum ini banyak mendedahkan keburukan dan penyelewengan politik (Kerajaan) Kelantan yang mulanya dianggap sebagai rekayasa tetapi akhirnya dikeluarkan bukti satu demi satu menjadikan orang terperagah. Gara-gara Husam menyebabkan kerajaan Kelantan menjadi hilang akal sehinggakan tindakan memburuk peribadi Husam berleluasa. Terbaharu anjuran ceramah bertajuk "Husam Lari Dari Debat Bai'ah" adalah projek kerbau air budak-budak Pas Kelantan.

Exco jubah labuh menjadi penceramah utamanya. 

Apa yang saya bimbang sebelum ini yang mengharap sangat agar Husam dipelihara dalam Pas untuk tidak merosakkan Pas sudah menjadi kenyataan. Selepas dipecat Husam terus mencari penawar dalam mengubati lukasakitnya atas tindakan rakus Pas memecatnya. Kesan kini sudah dirasai Pas Kelantan. Seorang pemimpin Pas Kelantan yang ada kini terkial-kial untuk menentang Husam.

Begitu juga dengan dakwaan beliau itu kononnya ada menerima maklumat dari Afinbank alirkan wang kepada pemimpin Pas. Kalau beliau tidak dibekalkan maklumat berkenaan, tidak mungkin beliau berani menyebutnya. Cara Husam dedahkan isu tersebut dilihat pancingan untuk mengheret Pas ke dalam masalah lebih besar.

Dan ia juga memberi bebanan baharu kepada orang memberi maklumat. Saya yakin Husam ada dokumen berkenaan yang disimpan dan akan dijadikan bukti di mahkamah yang kemudian memaksa Pas, terutamanya presidennya mengesahkannya. Sebab itu apabila Tuan Ibrahim mengeluarkan kenyataan untuk menyamannya Husam cepat menyambut cadangan itu agar ia diteruskan. 

Orang yang sangat terkejut dengan pengakuan Husam itu ialah Tuan Ibrahim Tuan Man. Menghairankan, macam mana beliau terkejut dengan pendedahan Husam itu sedang dia adalah orang nombor dua Pas? Mungkin Tuan Ibrahim benar-benar tidak mengetahui apa yang berlaku dalam partinya dan apa yang dimainkan oleh pemimpinnya. Perbuatan khalwat kemudian dilangsungkan dengan sanggama tanpa ijab kabul tidak diketahuinya. Sebab itulah Husam tempelak Tuan Ibrahim yang hendak samannya sebagai tidak mengetahui hujung pangkal.

Bukan sahaja hujung pangkal tidak diketahui Ibrahim, tetapi tengah-tengah yang diketahuinya menjadikan timbalan presiden itu konfius dan sebab itulah dia dilihat tidak sehaluan dengan bosnya Hadi Awang. Sudah kerap berlaku percanggahan di antara keduanya dalam memberi pandangan politik.  Memang teruk dan kesian kepada orang yang hendak bercakap tetapi tidak tahu hujung pangkal kerana percakapannya akan menjadi sumbang kemudian akan diketawakan orang. 

Sepatutnya sebelum cadang hendak heret Husam ke mahkamah Tuan Ibrahim selidiki dahulu perkara berkenaan. Ataupun apakah itu sebagai tektik. Cara Tuan Ibrahim untuk memberi jawaban kepada dirinya sendiri. Apabila Husam diheret ke mahkamah maka terjawab apa-apa yang misteri yang mengusut dalam kepalanya. Barang kali begitu. Kerana kata Husam tindakan Tuan Ibrahim menyamannya itu boleh menerbitkan sebuah kebenaran? Jadi Husam cukup seronok. 

Sekiranya Husam berjaya membawa bukti apa yang dituduh itu ia memberi kesan buruk kepada Pas dan presidennya. Hadi perlu bertanggungjawab dan wajib meletakkan jawatan selepas ini. Pembuktian itu nanti akan menghilangkan kepercayaan umum kepada Pas. Apa yang bakal berlaku nanti, sekiranya Tuan Ibrahim tidak terlibat ia menguntungkan anak saudara Tuan Sabariah Tuan Ishak itu. 

Dari sudut itu cadangan Tuan Ibrahim itu ada motif lain. Beliau bukan sangat untuk menyeksa Husam tetapi mahu menggunakan Husam memberi jawaban kepada persoalan yang berlabuh dalam kepalanya. Saya yakin soal wang RM90 juta tiada dalam pengetahuan Tuan Ibrahim dan beliau tidak terlibat maka beliau menggunakan Husam yang cerdik itu menyelesaikan kebuntuannya.

Selain daripada itu yang diharap Tuan Ibrahim saya nampak tindakan segera beliau ke ats Husam itu untuk mendapat sedikit markah dalam politik. Mungkin Tuan Ibrahim mahu melihat dia sebagai hero parti yang kini sedang diancam masalah sehingga memburukkan Pas. Kenapa Tuan Ibrahim perlu menunjukkan dirinya hero kerana dia sudah berbau bahawa ada gerakan untuk menyingkirkanya dari kedudukan sekarang dalam muktamar pada pertengahan tahun ini.

Apabila beliau menjadi hero sudah pasti perwakilan akan bersimpati dan berada di sebelahnya. Dalam kata lain Tuan Ibrahim menjadikan Husam sebagai alat atau umpan untuk menarik sokongan ahli Pas kepadanya. Satu hal tidak dapat nafikan ada gerakan dalam Pas untuk menyingkirkan Tuan Ibrahim dari kedudukannya kini. Alasan kenapa timbalan presiden itu perlu disingkirkan ialah kerana beliau tidak berkelulusan Timur Tengah di mana politik wala'nya tidak setaksub pemimpin berkelulusan Timur Tengah atau India. 

Penyingkiran Tuan Ibrahim dan beberapa pemimpin bukan lulusan Timur Tengah lain juga sebagai pemnbersihan "habis licin" para pemimpin profesional yang ada dalam Pas. Tindakan ini untuk memudahkan Pas menuju ke arah "diktator agama" sepenuhnya.  

Cuma apa yang hendak saya sebutkan di sini, membawa Husam ke mahkamah Pas tidak akan laba banyak termasuk kepada Tuan Ibrahim sendiri. Sebalik ia membahayakan Pas dan merugikan Pas. Kenapa saya berkata begitu kerana apabila berlaku perbicaraan banyak perkara-perkara buruk yang sebelum ini ditusuk dalam kilas akan terlodeh keluar. 
Bila dibawa ke mahkamh Husam akan menggunakan apa sahaja kesempatan yang ada. Segala maklumat dan pengalaman yang dilaluinya bersama Pas dan terrahsia selama ini akan terkeluar. Ia nanti bukan sahaja berkisar kepda wang yang dialirkan menerusi Afinbak tersebut, tetapi lain-lain sumber juga. Penyelewengan yang berlaku di Kelantan misalnya; pemimpin dan Exco mana terima wang tumbuk rusuk, yang ambil duit pendahuluan dengan taukeh lombong dan balak akan terdedah.

Macam mana dan siapa yang memberi peruntukan untuk mengadakan Muktamar pada tahun 2008 bagi membantu projek pembersihan ethnik (ethnic cleansing) dalam Pas dalam tahun 2014 juga akan turut sama terdedah. Segala dokumen dan resit-resit bayaran bilik-bilik hotel atau jamuan makan akan terburai. 

Cerita anak dan menantu siapa ke Aurstalia untuk mengundang taukeh emas di negara itu ke Kelantan dengan menggunakan wang PKINK, pergi bersama bekas CEOnya juga akan diceritakan. Adun Kok Lanas Alwi Che Amat pernah menceritakan hal ini kepada saya. Berapa banyak seorang wakil rakyat mendapat manfaat daripada seorang taukeh lombong dari Pahang untuk membiayai majlis di sepanjang Ramdahan dalam kawasannya juga akan terbongkar. 

Begitu juga macam mana seorang lawyer Pas yang menjadi konsultan untuk mendapatkan tanah kepada sebuah syarikat telah mengambil RM4 juta dan disimpankan dalam firma kawannya juga akan "tubik" dalam mahkamah nanti. Cerita macam mana syarikat yang bagi wang RM4 juta tetapi gagal memiliki tanah atau kawasan balak dijanjikan akan keluar.

Demikian juga kisah-kisah pembelian dan penjualan tanah di Rantau Panjang oleh pemimpin Pas Kelantan dan Pusat bernilai RM23 juta yang kini jadi pertikaian disebabkan pembahagian saham tidak adil turut sama keluar dalam mahkamah nanti.

Ah, banyak lagi kalau hendak disebut satu persatu tidak cukup ruang atau habis dalam masa satu hari ini mengenai skandal ataupun keburukan para pemimpin Pas berkaitan dengan duit. Semua cerita itu nanti akan terkeluar dalam masa perbicaraan nanti.Pendeknya Umno boleh riba tangan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Mengenai dakwaan Pas terbabit dengan wang RM90 juta seperit mana dakwaan Sabah Reportitu, Abdul Hadi tidak perlu pun menerima wang jutaan ringgit, tetapi cukup menerima ratusan ringgit sahaja ia sudah menjadi bukti atas apa yang dituduh itu. Yang pentingnya Husam tidak menyebut berapa jumlah tetapi menyebut pembabitan Pas. Soal siapa terlibat juga tidak spesifik, jadi kalau ia membabitkan sesiapa individu menjadi ahli Pas walaupun seorang sudah cukup apa yang dinyatakan itu.

Apa yang berlaku dan natijah dari itu nanti menyebabkan Abdul Hadi kena ambil tanggungjawab melepaskan jawatan. Itulah yang Tuan Ibrahim inginkan dan tindakan ini dilihat untuk menyelamatkan Pas dengan menjadikan Husam sebagai kambing hitam.

Sebab itu bagi saya cadangan Tuan Ibrahim itu bagus dan perlu disegerakan. Jangan pula selepas ini cadangan itu dihayutkan begitu sahaja. Hadi tidak perlu mencari alasan atau muslihat untuk tidak membawa Husam ke mahkamah. Bukti bahawa Pas tidak terima RM90 juta seperti disebut oleh Mursyidul Am Pas itu tertolak sama sekali sebab alasan itu sama cerdik dengan alasan diberikan Hadi, konon Husam buat kenyataan itu mengharap dia disaman untuk mengelakkan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya.

Pagi tadi saya minum dengan seorang lawyerdia menyentuh kenyataan Hadi itu terhadap Husam. Katanya macam mana Hadi hendak jadi Perdana Menteri, beza antara tindakan kes jenayah dengan sivil pun tidak tahu. Kalau dia jadi PM nanti tentu kelam kabut negara ini dibuatnya. 

Jadi untuk selamatkan Pas dari terus "dikelautkan" oleh Hadi Awang, cadangan saman Husam itu perlu disegerakan. Mudah-mudahan Tuan Ibrahim dapat membaiki Pas serta selamatkan Pas dari ditelan naga bernama Najib. Tindakan Tuan Ibrahim kali ini saya fikir ada sedikit kecerdikan walaupun dia menggunakan pihak kedua dalam mencapai matlamat politiknya. Pandai juga bekas panel forum perdana ini berpolitik.

PRU14: Pas hilang peluang jadi parti paling berpengaruh

14 Februari 2017 | AHMAD LUTFI OTHMAN


Berdera Pas koyak apabila berpecah selepas Muktamar 2015.

Tidak mudah untuk membaca gerak politik pasca PRU13. Menggariskan unjuran berdasarkan keputusan pilihan raya empat tahun lalu mungkin agak mengelirukan. Banyak faktor, termasuk pemain utamanya sudah berubah.

Anwar Ibrahim dipenjarakan semula sejak dua tahun lalu. Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat sudah tiada lagi. Pas turut tidak menjadi komponen penting gabungan baru pembangkang, Pakatan Harapan. Namun, ia diimbangi dengan pembabitan proaktif Dr Mahathir Mohamad dan kemunculan parti Bersatu, pecahan daripada Umno. AMANAH, satu lagi parti Islam, cuba mengisi kekosongan Pas, dengan pendekatan inklusif dan progresif.

Begitulah selalu yang terjadi. Situasi selepas sesuatu pilihan raya seringkali sukar untuk diramal. BN mencatatkan kejayaan gemilang pada 1995. Siapa sangka pilihan raya berikutnya, pada 1999, isu mata lebam Anwar melonjakkan prestasi pembangkang Melayu walaupun Semangat 46 sudah berkubur. Pembangkang buat kali pertama, termasuk Pas dan DAP -- parti berbeda kutub -- dapat bersemuka dan menjalin kerjasama formal dalam PRU10.

Tahun 2004, Barisan Alternatif goyah tanpa DAP dan Abdullah Ahmad Badawi membawa BN ke puncak. Lebih 90 peratus kerusi Parlimen dikuasai. Terengganu diambil balik daripada Pas. Kelantan yang dikuasai parti Islam itu sejak 1990 hampir tumbang, hanya dibedakan satu kerusi. Tiada petunjuk pilihan raya 2008 akan berlaku kejutan. Kempen PRU12 nampak hambar dan sukar. Siapa sangka, realitinya, majoriti dua pertiga BN dinafikan. Lima negeri tumbang. Tsunami politik menggemparkan.

Pemerhati dan penganalisis mula menjangkakan kerajaan bertukar dalam PRU13. Bagaimanapun ada kalangan yang lebih berhati-hati. Kata mereka, "momentum mungkin ada, tapi perubahan sebenar akan berlaku dalam PRU14." Ya, peratusan undi Pakatan Rakyat bertambah, melebihi 50 peratus tapi bilangan kerusi belum mencukupi untuk membentuk kerajaan. Tambah mengecewakan, Kedah kembali ditawan BN dan Perak hilang terus.

Pakatan Rakyat bubar. Pas terbelah. Namun Umno tidak juga tambah kuat, malah berada dalam posisi paling teruk dalam sejarahnya. Wibawa perdana menteri tidak pernah seburuk itu. Isterinya menjadi ejekan dan bahan cemuh. Muncul pelbagai istilah yang menjengkelkan. Tambah jelik, reputasi negara di pentas antarabangsa jatuh menjunam.

Rasuah bukan lagi pada skala dulu. Ribuan juta ringgit tidak mengejutkan lagi. Wang hasil tumbuk rusuk dijumpai di mana-mana, di bawah katil, dalam almari, di belakang dinding. Bukan sahaja rumah agam, kondominium lumayan, kereta mewah, kapal pesiar, pesawat mahal, barang kemas berguni. malah jongkong emas bersepah. Perdana menteri menunjuk teladan!

Ia berlaku dalam suasana rakyat terpaksa mengikat perut. Ringgit menjunam. Harga barangan mencanak naik. Kos perkhidmatan meningkat. GST tambah membebankan. Gelisah dan resah rakyat memuncak. Bagai ada cahaya di hujung terowong. Agenda perubahan yang sekian lama tertangguh seperti bakal terlaksana.

Benteng terakhir BN-Najib, yakni pengundi Melayu kampung tradisi dan penempatan Felda, mula robek. Terdedah ada pengkhianatan besar -- atau sekurang-kurangnya urustadbir yang begitu lemah -- dalam pengurusan strategik institusi yang menjadi kebanggaan orang Melayu seperti Mara, Tabung Haji dan Felda.

Ceramah dan rapat politik pembangkang kembali mendapat sambutan memberangsangkan. Rata-rata program penerangan dan pendedahan Pakatan Harapan bersama Bersatu disiarkan secara langsung melalui internet. Dr Mahathir Mohamad, dalam usia 92 tahun, bagai tokoh muda bertenaga luar biasa, masuk keluar kampung, berceramah hingga larut malam, ditemani isteri, Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Saya jarang sekali dapat hadir disebabkan sekatan kesihatan dan rutin rawatan. Cukup dengan mengikuti dari jauh, dengan mengikuti live streaming yang sering terganggu tetapi sudah dapat merasai gelora kebangkitan rakyat yang mahu menamatkan era kegelapan ini. Rata-rata khalayak yang terpapar wajah mereka menunjukkan sebahagiannya adalah audien baru pembangkang.

Mereka cuma mengharapkan kebijaksanaan pemimpin untuk mengemudi dan memandu arah, serta mengelak daripada perangkap samar yang mengelirukan. Terbatas dengan khalayak seperti di hospital dan tempat-tempat awam misalnya sewaktu menguruskan bil bulanan serta kaunter perkhidmatan, saya terkesan dengan rasa kecewa yang menular. Tidak dapat lari daripada masalah pendirian semasa Pas, juga kesepaduan semua parti pembangkang merealisasikan impian murni rakyat..

Seorang petugas DBKL bertanya ketika saya melangsaikan denda parkir kereta, November 2016: "Bang, betulkah Pas nak berbaik-baik dengan Najib? Pelik sangat kalau betul macam tu." Saya tanya balik: "Tahu dari mana?" Jawabnya, "Tak susah nak baca bang, tonton berita tv dan baca akhbar pun sudah dapat teka."

Malah seorang sarjana politik terkemuka tidak dapat menyembunyikan rasa marahnya bila bertemu saya, selepas begitu lama kami tidak berjumpa. "Paling kecewa saya dengan sikap Pas, seolah-olah beri tongkat kepada Najib, dan mengendurkan marah orang Islam kepada perasuah besar itu," pantas sekali dia berbicara sebaik bertanya khabar.

"Cuba Lutfi bayangkan, kalau Pas seperti dulu, apa nasib Najib sekarang? Walaupun Umno pecah, tapi dia ada sikit rasa selesa sebab Pas seperti berada bersamanya."

"Tapi prof, Pas sentiasa menafikan dakwaan itu. Fitnah semuanya. Tak ada kerjasama, tak ada persefahaman dengan Umno, cuma pendekatan sahaja berbeda ... politik matang dan sejahtera," saya cuba mengumpannya agar lebih selesa bersembang.

"Memang tak perlu buat secara rasmi. Politik ini, orang dapat baca dan tafsir. Dan saya rasa tak semua pimpinan Pas selesa dengan gaya sekarang. Mereka dalam dilema dan tidak cukup kuat untuk bantah. Nanti kena label pula seperti geng Erdogan dulu. Jebonlah. Parasitlah.

"Saya sendiri duduk dalam beberapa jawatankuasa, ada yang dipengerusikan TPM dan menteri, rimas melihat gelagat wakil Pas yang ada bersama," kata sarjana politik itu lagi. "Saya cukup sesak nafas bila Pas juga terpengaruh dengan mainan sentimen Melayu-Cina ini, cukuplah ..."

"Lagi satu, memang benar Pas bawa prinsip Islam. tapi nampak sangat dia mahu parti pembangkang lain ikut dia saja. Pas mahu jadi ketua. Betul, dia paling tua, paling lama, paling diuji, tapi bukan itu caranya untuk berpakat," sambungnya sambil berceloteh panjang. Saya tahu rakan saya ini dalam mood marah, jadi saya biarkan saja dia mengomel, sekurang-kurangnya dapat meredakan keresahannya.

Malah bagi saya, Pas kehilangan peluang untuk menempati kedudukan parti pembangkang paling berpengaruh dan terkuat kerana kesilapan sendiri walaupun segala ramuan dan rencah sudah ada padanya. Hal ini akan saya jelaskan kemudian, dalam tulisan berikutnya.

PAS TAK PERLU TUNGGU MUKTAMAR UNTUK PUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN PKR

Kenyataan Media

*HUBUNGAN PKR DENGAN DAP DAN AMANAH SEDIA TERJALIN: PAS TAK PERLU TUNGGU MUKTAMAR UNTUK PUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN PKR*.

1. PAS telah membuat kepututusan dasarnya untuk tidak menjalinkan apa-apa kerjasama politik dengan parti AMANAH dan DAP serta parti yang mempunyai hubungan kerjasama dengan AMANAH dan DAP.

Ini bermakna PAS secara tegas dan jelas *menolak hasrat parti PPBM untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS dan akan memutuskan hubungan kerjasama dengan parti PKR*.

2. Sayu dan sedih dengan keputusan PAS tatkala *mengenang nasib rakyat yang tertindas dan terbeban* akibat salah guna kuasa UmnoBn 'merompak wang rakyat'.Rakyat sangat mengharapkan masa depan Malaysia tanpa UmnoBn berkuasa selepas PRU ke-14 nanti.

3. Rakyat mengharapkan satu pakatan (grand coalition) *gabungan kekuatan parti pembangkang untuk meranapkan dan menamatkan kuasa politik UmnoBn*.

Berbondong-bondong rakyat dari *Melayu Umno meninggalkan parti Umno yang kononnya keramat menerajui pemerintahan negara sejak lebih 60 tahun,* semata-mata mahu melihat kepimpinan Melayu Islam yang baru dan bukan atas nama Umno untuk menerajui negara.

*KERJASAMA PAS-PKR TERBATAL*

4. Alasan yang diberikan ialah PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menjalinkan hubungan kerjasama denga parti DAP dan AMANAH,manakala hubungan dengan PKR akan diputuskan semasa muktamar parti.

Alasan ini sudah tentu *mengecewakan rakyat dan menjarakkan PAS dari rakyat terbanyak*.Tempoh sebulan yang diberikan PPBM kepada PAS sudah tidak diperlukan lagi kerana PAS sudah pun ada keputusan dasar kerjasamanya dan polisi yang diputuskan.

Berdasarkan kenyataan sebegitu,adalah wajar untuk *PAS tidak perlu menunggu hingga muktamar PAS pada April nanti untuk menentukan kedudukan PAS dalam hubungan kerjasama dengan PKR*.

*Sudah terang lagi bersuluh, PKR sepertimana PPBM sudah mempunyai hubungan kerjasama politik dengan DAP dan AMANAH*,malah telah menanda tangani *'perjanjian kerjasama politik'* untuk meranapkan kuasa politik UmnoBn pada PRU ke-14 nanti.

5. Oleh itu secara perinsipnya hubungan *kerjasama PAS dan PKR yang sedia terjalin sudah terbatal dengan keputusan dasar yang diumumkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS*.

Adakah ini bermakna PAS perlu *menarik diri dari kedudukkannya dalam kerajaan negeri Selangor* dan melepaskan semua jawatan Exco,Ahli Majlis Kerajaan Tempatan,JKKK,ketua kampung,syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan apa-apa jawatan lantikan politik dengan segera secara berprinsip.

Adalah lebih baik untuk PAS  *mengelakkan dari apa-apa persepsi atau tanggapan serong yang menampakkan PAS masih sayang pada kebendaan dan ketamakan kuasa yang diperolehi* hasil dari kedudukkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Sudah sampai masanya *Yb Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga Naib Presiden PAS dan rakan-rakan Exco kerajaan negeri dari PAS melepaskan jawatan Exco dan apa-apa jawatan lantikan politik yang berkaitan*.

6. Berdasarkan keputusan yang dinyatakan PAS,semua parti pembangkang sudah boleh merumuskan *PRU ke-14 akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru *termasuk PAS juga sudah boleh *merancang 'sterategi 3 penjuru' untuk memastikan UmnoBn dikalahkan pada PRU ke-14*.

Usah lagi menghabiskan masa dengan agenda pujuk rayu untuk PAS menyertai gabungan pakatan pembangkang,sebaliknya semua parti termasuk PAS perlu tumpu kepada usaha *'pujuk rayu rakyat'* untuk menolak UmnoBn pada PRU 14 nanti.

#TakNakUmnoBn
#3PenjuruPru14
#Pru14RanapkanUmnoBn
#InsyaallahKemenaganRakyat

*DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
11am Taman Malewar K.Lumpur
14 Feb 2017/17 Jamadilawal 1438H.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...