TERKINI :

Sunday, February 12, 2017

PJ PAS PERAK berkata sesiapa yang tak turun perhimpunan RUU355 mereka penyokong AHOK

Hari ini PJ PAS PERAK Sdr. Razman Zakaria telah menyeru di fb beliau dengan mengatakan sesiapa yg tak turun Himpunan RUU355 mereka ada lah penyokong Ahok..

Yang pasti 800k ahli PAS jika tak nak dipanggil penyokong ahok maka mereka semua wajib hadir tanpa keuzuran.

Mega-Skandal RM4.3 Bilion Felda: Siapa Bertanggungjawab?

KENYATAAN MEDIA

Mega-Skandal RM4.3 Bilion Felda: Siapa Bertanggungjawab?

Pengakuan Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda, bahawa RM4.3 bilion duit Felda hasil penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) tidak dapat dikesan boleh dianggap antara skandal terbesar bagi tahun ini. Menurut beliau, RM200 juta daripada wang yang hilang ini telah dibelanjakan tanpa “kelulusan, protokol atau keadaan yang sepatutnya” dan mungkin tidak akan dapat dipulangkan kepada Felda.

Keterbukaan TS Shahrir untuk mengaku kehilangan RM4.3 bilion ini adalah betul, tetapi ianya tidak memadai jika tidak disusuli dengan tindakan tegas. Malah pengakuan TS Shahrir ini meyakinkan lagi rakyat Malaysia bahawa hanya satu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (Royal Commission of Inquiry, atau RCI) yang turut dianggotai Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang mampu mendapatkan penjelasan ke atas skandal kehilangan RM4.3 bilion hak milik Felda ini.

Terutama dalam konteks pengakuan TS Shahrir hari ini, RCI ini perlu mengenalpasti dalang-dalang mega-skandal RM4.3 bilion ini, ke mana perginya RM4.3 bilion ini, dan apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk mengembalikan wang yang hilang ini kepada Felda. Sudah menjadi kepastian bahawa dalang-dalang skandal ini perlu dibawa ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, saya menggesa TS Shahrir untuk membentangkan laporan hasil siasatan dalaman Felda mengenai mega-skandal RM4.3 bilion ini kepada orang ramai dalam siri mesyuarat umum (‘townhall’) di setiap negeri yang mempunyai rancangan Felda. Ini supaya orang ramai terutama peneroka-peneroka Felda akan dapat mendengar sendiri bagaimana mega-skandal RM4.3 bilion Felda ini telah dibenarkan berlaku, dan siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

12 Februari 2017

Nampaknya menipu lesap dan songlap duit mula dari atas sampai ke bawah, tak kira hang sapa tak kira hang parti apa

Monier Mat Din,

Di zaman FB ini rata2 orang termasuk saya dah kurang baca suratkhabar. Bukan kata suratkhabar Berita TV pun dah jarang dengar. Sesekali buka radio kat keta, keluar berita ringkas mana2 siaran, baru dapat tau dua tiga berita terkini semasa.

Sebab tu wpun rata2 org dah tak langgan suratkhabar suratkhabar ini, saya pastikan juga sekurang2nya seminggu sekali hari Ahad vendor suratkhabar hantar mai Mingguan Malaysia ke rumah.

Walaupun kadang2 tak berapa selera tapi saya pastikan juga diri saya ini tak ketinggalan jauh sangat dgn berita2 dan perkembangan terkini semasa. Bukannya apa kadang2 di tempat kerja meeting dgn Boss2 besaq dari Jepun sesekali timbul topik tentang isu2 semasa yg ada kaitan dgn masa depan dan kestabilan pelaburan di negara orang ini bolehlah saya celah cakap kata tak dak apa aih itu cerita org politik ja, satgi reda lah tu, dan sebagainya.

Pelabur2 asing nie depa mai negara kita depa nak buat duit bukannya nak buat kerja charity / kebajikan. Makanya setiap denyut nadi negara kita, politik ka ekonomi ka sosial ka depa kena amik kira.

Saya langgan Mingguan Malaysia sebab MM hujung minggu ini dia ada rangkuman berita2 penting atau pun topik2 utama semasa yg boleh kita baca, terutamanya di ruang Analisis Mingguan dan bahagian Rencananya. Biasanya di situlah tumpuan saya.

1. Minggu ini rasa "penin" sikit, ada berita baru yg tak pernah dengar, macam topik PANAS lah pula, siap dibubuh background kala merah dgn tajuk utama Bongkar Dalang Kerugian Besar Bank Negara. Bilalah pula bank negara rugi besaq ini?

Baca pi baca tengok, la..depa kata zaman Dr Mahathir merintah Malaysia hari tu apa dia buat tak tau sampai Bank Negara RUGI RM44 Billion, tapi selama 25 tahun depa pakat kambus (org Baling kata susuk) cerita tu tak bagi rakyat jelata tau sampai lah hari ini.

Biaq betoi !

RM44 Billion tu bukannya satu jumlah yg sedikit, boleh bagi budak2 Universiti belajar free tak payah hutang PTPTN dan hat dah grad, hutang PTPTN duk terkial2 nak bayar bulan2 tu boleh burn tak payah bayar teruih.

2. Baca lagi.

La, patut pun cerita lama hat dah kambuih dalam2 tu timbul balik, pilihanraya nak mai dah rupanya. Dr Mahathir duk pulun sangat lawan team hat duk ada ini. Dia pulun sungguh serang musuh politik dia nie terutamanya bab skandal 1MDB.

Sembang bab 1MDB ini, org awam mcm kita nie letih dah dengar sebab depa duk cerita bab uang ringgit BILLION BILLION yg tak kesampaian otak kita nak memikirkannya, terutamanya org2 kampung noreh getah pokok orang, awak2 nelayan kerja bot orang, tukang racun rumput di bendang2 dan sebagainya. Depa ini pendapatan RM1000 sebulan pun tak sampai mcm mana nak sembang Billion !

3. Baca lagi.

Team Pembangkang duk jaja cerita kata Duit 1MDB lesap lebih kurang RM42 Billion.

Aik, jumlahnya lebih kurang mcm duit Bank Negara lesap zaman Dr Mahathir lah pula, RM44 Billion.

Kosong-kosonglah kalau macam tu..:-)

Duk kerja lesap duit ja depa nie, aduih !!

4. Baca lagi, muka depan Mingguan Malaysia hari ini berita kecik belah bawah "Duit FELDA lesap pi mana entah, RM4.3 Billion?".

Lesap lagi, Billion Billion lagi, aduih.

5. Duk kerja lesap duk kerja kena tipu aje.

Berita Besar muka depan Mingguan Malaysia hari ini, lebih 1000 org yg sesetengah tu kerja hebat2 lulusan baguih2 kena tipu dgn satu budak pompuan lulusan SPM ja, pelaburan palsu. Berapa?

RM55 JUTA.

Hah hat nie sib bik tak sampai Billion.

Nak habag kata, menipu lesap dan songlap duit di bumi Malaya kita ini dari atas sampai ke bawah, tak kira hang sapa tak kira hang menganut parti apa, tak kira hang pangkat VIP atau pun rakyat jelata, tak kira hang ada PhD celup atau pun SPM semata.

Letih kita dengar tapi kita tak leh nak buat apa.

Cuma nak habagnya kita boleh sembang la sebab kita tidak diuji dengan DUIT juta-juta depan mata.

Duit boleh buat orang kelabu mata, itu ja.

Saja nak kongsi.

Tkasih.

Menerokai 40 kerusi idaman Pas

 Pas sasarkan 4 negeri di samping 4o kerusi parlimen.
Bulan lepas saya ada menulis satu artikel yang bertajuk Pas semakin lemas, tulisan itu mendapat sambutan yang agak hangat apabila tersiar di beberapa portal berita.

Saya menerima banyak kritikan tentang artikel itu, ada yang membina, ramai pula yang menghina. Hari ini saya akan menggunakan gaya penulisan yang bernada lembut agar ia lebih mudah diterima oleh segenap masyarakat, samada mereka adalah penyokong Pas atau tidak.

Apabila membaca berita melalui portal berita Harakah Daily, hasrat utama Pas untuk memenangi 40 kerusi parlimen adalah untuk memberi kesedaran kepada Barisan Nasional supaya tidak sombong.

Pas juga berpandangan bahawa tahaluf siyasi pada Pilihan Raya Umum 13 kerana daripada 89 kerusi yang dimenangi oleh pembangkang, 50 daripadanya dimiliki oleh mereka yang bukan Islam.

Ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan Pas melakukan kajian semula terhadap tahaluf siyasi, dan akhirnya Pakatan Rakyat dikuburkan.



Prestasi Pas dalam 4 PRU terakhir

Pada Pilihan Raya Umum 10 (PRU10) tahun 1999, prestasi Pas sangat baik apabila menang hampir empat kali ganda kerusi berbanding PRU sebelumnya apabila memenangi 27 kerusi.

Pada PRU11 (2004), Pas yang membawa manifesto untuk membina sebuah Negara Islam kalah teruk apabila hanya memenangi 7 kerusi parlimen. Tuan Guru Datuk Seri Abdul Haji Hadi Awang gagal mengekalkan kerusi parlimenya. Pada kedua-dua PRU ini Pas bertanding untuk gabungan parti yang dinamai Barisan Alternatif.

Pada PRU12 pula, Pas berjaya menawan 24 kerusi parlimen. Pencapaian ini sangat baik, dan Pas dan DAP ketika itu seolah-olah menerima paradigma baharu, disamping faktor kehadiran Anwar Ibrahim.

Pada PRU13 pula, Pas memenangi 21 kerusi parlimen melalui kerjasama mereka di Pakatan Rakyat.

Melihat daripada prestasi Pas pada 4 PRU kebelakangan ini, kita pasti akan tertanya-tanya adakah angka 40 itu realistik untuk dicapai? atau wajarkah Pas menumpukan perhatian untuk mengekalkan kerusi parlimen yang mereka miliki sekarang?

Tentu sahaja ramai yang akan menjawab bahawa meletakkan sasaran yang tinggi diperlukan, agar semua jentera akan bekerja keras. Sasaran tidak semestinya perlu dicapai, tapi sekurang-kurangnya hampir kepada sasaran itu sudah cukup baik. Ini membawa kepada persoalan saya yang seterusnya.



Manifesto Pas

Saya agak berteka-teki dengan manifesto utama yang ingin dibawa oleh Pas pada PRU akan datang. Pas pernah menawarkan Negara Islam dan Negara Berkebajikan, ternyata ia belum boleh diterima oleh kebanyakkan rakyat Malaysia. Pendekatan Islam Pas berjaya menarik ramai pengundi Melayu khususnya, namun untuk membina satu rejim teokratik, saya fikir masyarakat kita masih tidak menerimanya.

Untuk mencapai angka 40 kerusi di parlimen, pemilihan manifesto yang baik untuk sesebuah parti adalah kritikal. Sejak kebelakangan ini, perjuangan Pas yang paling ketara adalah untuk memperkasakan mahkamah syariah melalui kempen ‘RUU 355’.

Saya bersetuju dengan perjuangan ini walaupun saya berpandangan apa yang diusulkan oleh Presiden Pas tempoh hari agak drastik. Tambahan lagi, saya merasakan isu ini sepatutnya menjadi ‘sub’ kepada perjuangan Pas dalam usahanya untuk memperkasakan Islam di negara ini.

Suka atau tidak suka, Pas perlu lebih menonjol dalam menawarkan idea-dea yang memberi solusi kepada derita rakyat, seperti isu pengangguran, kos sara hidup, bebenan hutang dan bencana alam.



Isu-isu terkait Pas

Sejak kebelakangan ini, kita melihat hampir semua parti politik yang ada di Malaysia dibelenggu pelbagai isu, Pas tidak terkecuali. Sejak berlaku perpecahan di dalam Pas, kita harus mengakui ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kekuatan parti ini.

Kewujudan parti AMANAH yang membawa imej Islam ‘progresif’, seolah-oleh memberi pilihan alternatif kepada mereka yang mahukan parti Islam memerintah. Tambahan lagi, tokoh-tokoh yang keluar daripada Pas ini turut membawa keluar penyokong mereka bersama.

Baru semalam saya membaca berita berkenaan UMNO Kelantan ingin menjadikan kegagalan Pas di Kelantan sebagai propaganda utama untuk memenangi negeri itu pada PRU akan datang.

Saya sudah lama menasihatkan melalui tulisan supaya kerajaan negeri Kelantan memaparkan ‘dokumentasi yang jelas’ tentang apa yang telah dicapai oleh kerajaan negeri ini setelah PRU13.

Isu-isu seperti pembalakan terbuka, kemiskinan, kemunduran ekonomi dan kegagalan mengurus bencana alam pasti akan menjadi modal yang kuat untuk parti lawan untuk mengambil kubu kuat Pas itu.

Kedudukan Pas yang buat masa ini memilih untuk ‘bersendirian’ juga akan menjadi faktor angka 40 kerusi itu sukar untuk dicapai. Secara teorinya menyertai mana-mana blok akan membantu untuk meningkatkan kadar undi dan memudahkan pembahagian kerusi.

Bersendirian akan menyebabkan kebarangkalian untuk menghadapi lawan daripada blok yang kuat adalah tinggi, sekali gus mengurangkan potensi untuk menang. Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden Pas yang mengatakan adalah mustahil buat masa ini Pas untuk memerintah Malaysia secara bersendirian.


Kesimpulan

Pas adalah parti yang sudah lama bertapak dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Tidak keterlaluan jika saya katakan parti ini masih kuat dan menjadi rebutan untuk kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan.

Sekiranya mereka benar-benar berhajat untuk memenangi 40 kerusi di parlimen, mereka harus bekerja keras dan mencatur strategi dengan bijak kerana sasaran itu tidak mudah.



* Penulis adalah Aktivis Mahasiswa, YDP Ikatan Anak Muda Tawau. Beliau boleh dihubungi melalui ada.urusan@gmail.com atau facebook.com/rahmanimuda

Sah, Pas belum saman Sarawak Report


Sarawak Report menafikan bahawa Pas telah memulakan tindakan undang-undang terhadap laman web itu kerana mendakwa kepimpinan kanan parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sarawak Report membetulkan kenyataan Timblan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa parti itu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web ituSehingga hari ini, kami boleh mengesahkan bahawa Pas belum lagi memulakan sebarang tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report," kata Sarawak Report dalam satu kenyataan.

Pihaknya menegaskan demikian sebagai membetulkan kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Jumaat lalu bahawa parti itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa seperti yang dilakukan terhadap Sarawak Report.

Husam menerusi satu klip video ceramahnya yang kini ditularkan melalui media sosial mendakwa Pas menerima wang RM90 juta daripada Umno seperti didedahkan Sarawak Report.

Beliau juga mendakwa wang itu disalurkan melalui sebuah bank tempatan, Affin Bank.

Mengulas lanjut, Sarawak Report yang berpengkalan di UK berkata, dua bulan lalu seorang pimpinan Pas menghantar surat tuntutan melalui peguam di United Kingdom (UK) mengandungi tuntutan agar Sarawak Report menarik balik artikel yang didakwa memfitnah parti itu.

Sarawak Report mendakwa sejumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke akaun pimpinan kanan Pas.

Transaksi itu, katanya, antara usaha Najib untuk memikat kepimpinan Pas agar menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Walau bagaimanapun, Pas tidak mengambil apa-apa tindakan selepas seminggu tuntutan itu dibuat.

"Membayar seorang peguam untuk menulis surat adalah tidak sama dengan mengambil tindakan undang-undang," jelas Sarawak Report.

Justeru pihaknya berpandangan, Pas tidak mempunyai fakta yang cukup untuk menyaman Sarawak Report.

"Selepas dua bulan berlalu, kami menganngap Pas menipu. Kami mengesyaki peguam Pas sendiri sudah memberi nasihat yang sama, menjelaskan kegagalannya untuk memfailkan writ," katanya lagi.

Sarawak Report juga menasihatkan ahli Pas yang mendakwa bahawa parti Islam itu telah memfailkan saman terhadap laman web itu agar meneliti semula dakwaan itu.

"Bolehkah mereka bercakap bohong di bawah undang-undang hudud yang sedang diperjuangkan.

"Pas juga perlu mengambil kira kos memulakan saman fitnah di UK, ang menelan berjuta-juta ringgit, sudah pasti ahlinya mahu tahu di mana mereka mendapat wang itu?" katanya.

Najib beri 3 resipi menang PRU

 najib
ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi menggariskan 3 resipi kejayaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang – keazaman, semangat pasukan dan strategi yang tepat.

Menggunakan analogi kejayaan pasukan Baiduri dari Perak yang muncul juara acara badminton sempena program tahunan isteri wakil rakyat BN di sini hari ini, perdana menteri berkata 3 resipi itu perlu menjadi panduan dan asas untuk mencapai kejayaan.

“Menang atau kalah dalam badminton itu soal ke-2, (sebenarnya) yang penting menang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program itu.

Baiduri, Badan Amal dan Usaha Negeri Perak, yang diwakili isteri wakil rakyat BN Perak, muncul juara badminton berpasukan selepas menewaskan pasukan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

“Saya melihat kejayaan Baiduri menang, kita mesti jadikan panduan…kita mesti ada perasaan nekad, keazaman untuk mencapai kejayaan. Ada keazaman, InsyaAllah akan mencapai kejayaan.

“Yang ke-2, semangat sepasukan yang saya lihat begitu padu, (ia seperti) satu keluarga, satu ikatan yang tidak boleh dirungkai-rungkaikan oleh sesiapa dan ke-3 untuk mencapai kejayaan, kita perlulah mempunyai strategi,” katanya.

Turut hadir, isteri beliau merangkap Yang Dipertua Bakti Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; dan beberapa menteri, timbalan menteri serta menteri besar.

Program tahunan itu bermula sejak 7 Feb lepas dan disertai 14 badan amal isteri wakil rakyat dari seluruh negara.

Najib turut meminta isteri wakil rakyat BN memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu rakyat.

“Menerusi badan amal dan isteri wakil rakyat ini, kerja kebajikan merupakan satu lagi saluran membantu rakyat yang dilanda musibah seperti banjir dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata sekiranya isteri wakil rakyat boleh menjayakan peranan itu dan mempamerkan wajah yang prihatin terhadap rakyat, ia boleh menyumbang kepada kejayaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu pada program petang tadi, Najib menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan badminton dan boling yang merupakan 2 acara dipertandingkan pada program tahunan itu.

DUA TAHUN TANPA TOK GURU... AL-FATIHAH UNTUK MUROBBIKU

1. Ucapan takziah dari saya yang mewakili Amanah Negeri Johor kepada keluarga Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dua tahun lalu kami telah kehilangan seorang tokoh yang dikagumi seluruh manusia di negara ini. Dua tahun lalu juga tubuh kecil yang berpengaruh itu dijemput Allah untuk pulang bertemuNYA.

2. Perjalanan yang jauh dalam jerih mengharungi politik di Malaysia dengan membawa pendekatan Islam sebagai agama Rahmat Untuk Semua, kemesraan pendekatan Allahyarham tidak dapat dikikis dari minda kawan mahu pun lawan.

3. Bagi ahli Amanah, kami juga pernah bersama-sama Allahyarham Tok Guru suatu ketika dulu dalam memperjuangkan agama Allah ini. Dengan slogan 'Islam For All', Tok Guru mampu memecahkan tembok perbezaan dengan meletakkan titik persamaan sebagai matlamat untuk menumbangkan UMNO selaku pemerintah yang memeras.

4. Dua tahun sudah berlalu. Bayang Tok Guru tidak lagi kelihatan. Dalam tempoh itu jugalah PAS yang dahulunya dilihat berlawan dengan UMNO atas dasar kebenaran dan keadilan hari ini dilihat mula bermesra dengan UMNO dalam mengharungi politik yang dipimpin oleh pemimpin kleptokrasi.

AL-FATIHAH

HJ KHAIRUDDIN ABDUL RAHIM
SETIAUSAHA AMANAH NEGERI JOHOR

AMANAH : BUKAN SEORANG MENTERI KANAN TAPI PERDANA MENTERI YANG SEPATUTNYA LETAK JAWATAN.

1. Sekiranya Malaysia telah memiliki ideks intergriti yang membanggakan bukan seorang menteri kanan tetapi Perdana Menteri Dato' Seri Najib lah yang sepatutnya meletakan jawatan.

2. Terjejasnya imej dan maruah negara akibat dari isu MO1 dan 1MDB bukanlah satu tohmahan yang tidak berasas tetapi isu ini telah benar-benar menjadi bahan lawak dikalangan masyarakat antarabangsa.

3. Sekiranya isu pengkhianatan amanah dan urus tadbir M01 dan 1MDB berlaku di negara-negara yang mengamalkan keamanahan tahap cemerlang seperti Iceland, New Zealand, Jepun, Sweden dan Singapura, sudah pasti Presiden, Perdana Menteri dan menteri-menteri yang telah meletakan jawatan demi memelihara intergriti dan maruah bangsa dan negara mereka.

Salahuddin Hj Ayub
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara
12 Februari 2017

BAHAYA BAKAL MENANTI, NAJIB CUBA SELONGKAR SALAH ISA SAMAD MELALUI SHAHRIR?

Shahbudin Husin,

Selepas dilantik sebagai Pengerusi Felda, Shahrir Samad, meskipun mengatakan hasratnya memulihkan agensi persekutuan itu yang dilanda pelbagai masalah, kecenderungannya lebih terlihat seperti ingin menyelongkar dan mendedahkan satu demi satu kesalahan Isa Samad.

Sebelum ini, Isa adalah Pengerusi Felda dan juga Pengerusi Felda Global Ventures Bhd atau FGV, cabang perniagaan agensi tersebut.

Bagaimanapun, Najib Razak yang menjaga Felda kini bertindak memisahkannya dengan melantik Shahrir sebagai Pengerusi Felda, manakala Isa hanya dikekalkan di FGV sahaja.

Sebaik dilantik, langkah pertama yang diambil Shahrir ialah mahu menjual semua aset dan hartanah Felda di luar negara, termasuk dua hotel di London yang dibeli oleh Isa beberapa tahun dahulu.

Alasan penjualan itu ialah untuk mengukuhkan aliran tunai Felda yang dikatakan semakin terjejas dan kekeringan wang kebelakangan ini.

Secara langsung dan tidak langsung, langkah penjualan aset dan hartanah itu seolah-olah menunjukkan pembeliannya yang dilakukan Isa sebelum ini adalah keputusan yang salah dan tidak mendatangkan faedah maksimum kepada Felda dan para peneroka.

Terbaru ini, Shahrir mempertikaikan pula ke mana perginya wang RM4.3 bilion yang merupakan lebihan daripada perolehan penyenaraian FGV di Bursa Saham.

"Felda mendapat RM6 bilion hasil penyenaraian FGV yang merupakan harta bisnes Felda. Daripada jumlah itu, kita belanjakan RM1.7 bilion  sebagai durian runtuh kepada peneroka di mana setiap keluarga memperolehi RM15 ribu dan ada bakinya RM4.3 bilion lagi.

"Jadi, RM4.3 bilion itu mana pergi?" kata Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

Sekali lagi, cara Shahrir mempersoalkan ke mana perginya wang RM4.3 bilion itu memperlihatkan seperti beliau mempertikaikan cara Isa berbelanja ketika bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengetuai Felda sebelum ini.

Apa lagi agaknya yang akan diselongkar oleh Shahrir selepas ini?

Isu berkaitan perbelanjaan dan ke mana perginya wang Felda sudah banyak diperkatakan sebelum ini. Rafizi Ramli dan Mazlan Aliman adalah antara mereka yang aktif mendedahkan pelbagai pembaziran dan salah laku dalam agensi tersebut sejak bertahun-tahun lamanya.

Tetapi, semua pendedahan mereka seolah-olah tidak mendatangkan apa-apa kesan kerana Isa yang mengetuai Felda dan FGV bagaikan ada kebebasan serta mendapat restu dan "dilindungi"  oleh Najib untuk berbelanja apa saja mengikut perkiraannya.

Itulah yang akhirnya menyaksikan banyak pembelian hartanah, hotel dan  pengambil-alihan syarikat, baik di dalam mahu pun di luar negara, begitu aktif dijalankan semasa Isa mengetuai Felda dan FGV.

Kenapa kini Shahrir bertindak seperti sedang mencari satu demi satu salah Isa?

Oleh kerana Felda terletak di bawah tangggungjawab dan pengawasan Perdana Menteri, bolehkah dipercayai tindakan Shahrir itu semata-mata atas keputusannya sendiri atau setelah mendapat restu dan lampu hijau daripada Najib sendiri?

Tidakkah ketika Isa membuat semua pembelian dan berbelanja banyak dahulu, beliau juga perlu mendapat restu dan persetujuan daripada Najib?

Apakah Najib kini mula menjauhi Isa dan sedang menggunakan Shahrir untuk mencari segala salah dan silap Pengerusi FGV itu?

Apa pula kesudahannya nanti setelah sekian banyak kesalahan Isa didedahkan?

Apakah kedudukan Isa sedang dalam bahaya dan langkah demi langkah yang dilakukan Shahrir sekarang adalah percaturan Najib untuk meminggir dan menyingkirkan terus Isa daripada FGV?

Ataukah tindakan mencari salah Isa itu merupakan "permainan halus" Shahrir bersama Najib untuk menerus dan menghalalkan  pembelian 37 peratus saham Eagle High Plantation di Indonesia yang sedang menjadi pertikaian dan kebimbangan bukan saja para peneroka, tetapi juga rakyat seluruhnya? (SH 12/02/2017).





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...