TERKINI :

Friday, February 10, 2017

Jangan tunggu Anwar menangis baru kita hafal kesedihannya

PROLOG SENJA

Anwar tetap tersenyum dan melambai tangan.
Esok 10 Februari genap dua tahun Sdr. Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara lima tahun yang dikenakan ke atasnya atas sabit dakwaan liwat II.

Tidak terasa detik dua tahun itu berlalu. Ia bagaikan sekejap sahaja. Mungkin kalangan kita tidak terfikir pun yang Anwar berada dalam penjara sudah 730 hari bersamaan 17,520 jam.


Jika tempoh itu digunakan untuk mengelilingi dunia mengikut teori Phileas Fogg, bangsawan Inggeris yang mengeliling dunia dalam masa 80 hari, bermakna tempoh itu membolehkan kita mengelilingi dunia sebanyak 9 kali.

Masa berlalu itu tidak terasa, kerana beliau setiap hari berkomunikasi dan berintraksi dengan kita. Kerana Anwar sentiasa terdampar di hati kita; (gagasan dan idealisme perjuangannya) maka kita tidak perasan yang jasadnya terpenjara sehingga ada kala ia menjadi kurus kering. Kita kejam untuknya!

Kita mendengar suaranya. Kita mendengar kata-kata semangat darinya. Kita mendengar pesanan tidak habis-habis agar membela rakyat dan berikan keadilan kepada rakyat Marhean. Kita mendengar seruannya agar bersatu, kuatkan saf dan istiqamah menentang kezaliman dan ketidakadilan. Suaranya bergema dan meluncur bersama sinar mentari di siang hari, bersama sinar rangbulan di malam hari.


Kandati pun dibalik tembok beliau tidak pernah rehat barang seminit dari membela rakyat. Dia tidak lenguh dan putus asa berbicara perihal rakyat, nasib rakyat yang ditekan dan ditindas. Bebanan hidup dialami rakyat kini kerana kenaikan kos sara hidup, menjadi lagu nyanyiannya untuk mengulit rakyat supaya bangkit membela diri. Anwar tidak berhenti menyuarakan itu kerana dia peka dan obses dengan masalah itu.

Itu sebab kita berasakan dia tidak terasing sunyi dari kita semua.

Saking kerana memberi kepedulian kepada rakyat, Anwar terlupa kepada dirinya sendiri yang terkurung. Selagi dia dapat menyaksikan penderitaan dan kesusahan rakyat, dia lupa kepada kesakitan dan penderitaannya sendiri.

Barangkali kita tidak pernah terfikir beliau tidak menjamah makanan atau menghirup air apabila terkenangkan ada rakyat yang tidak cukup makan atau terpaksa mencatu makanan di luar penjara disebabkan kemelesetan ekonomi, kejatuhan nilai ringgit atau kerana diberhentikan kerja disebabkan syarikat tutup setelah masalah ekonomi.

Justeru beliau bangkit memperkatakan apa sahaja tanpa menghirau keseksaan dan kesepian hidupnya. Dari isu sebesar GST, skandal 1MDB, penjualan Malaysia kepada China, hingga kepada isu gaji pengawal penjara yang perlu dinaikan agar seimbang dengan tekanan perbelanjaan seharian diperjuangkannya.

Itulah Anwar. Tidak pernah berasa terhalang dengan kekejaman yang diterimanya.  Penjara tidak pernah menjadikan beliau putusa asa dan surrender.

Jika orang bertanggungjawab menyumbatnya ke dalam penjara berfikir dengan tindakan itu ia akan mematikan langkah Anwar, atau dia akan surrender ia adalah salah. Tindakan itu memperbodohkan diri sendiri. Anwar tidak akan konjol dalam penjara, dia tidak mudah mati akal dalam penjara kerana PENJARA BUKAN PUSARA.

Kadang kadang bagi orang yang insaf dan berjiwa lembut, berasa sedih dan anih dengan Anwar. Kerana asyik memperjuangkan rakyat, beliau sampai terlupa untuk membela dirinya sendiri.

Seluruh hidup dan dirinya digadaikan demi rakyat, sehingga ada kalanya ahli keluarganya terkilan? Inilah kekuatan dan azimat utuh yang dimilikinya. Dan inilah jiwa seorang pejuang sama sekali tidak akan menunjukkan kelemahan, kesedihan ataupun kesunyiannya kepada orang bawah. Sedia menggadai segala hak demi orang lain.

Iya, kita tidak pernah terdengar dari mulutnya; tolonglah bebaskan aku. Buatlah sesuatu untuk aku keluar dari ruang pegap berbatu ini. Atau pun Anwar memesan kepada isterinya, anak-anaknya atau sesiapa agar berusaha membebaskannya. Tidak.

Kerana kita tidak dengar suara dan rintihan itu menjadikan kita rasa Anwar tidak terseska dalam penjara. Menjadi kita rasa dia suka berada dalam penjara. Bahkan ada juga orang berpendapat beliau senang berada dalam penjara, kononnya untuk memberi kerihatan sepenuhnya kerana berada di luar dia akan keletihan berjumpa dengan rakyat tanpa kira masa. Dimelodikan juga kononnya penjara menjadi transit kepadanya sementara keluar untuk memimpin negara.

Kononnya Anwar betah berada dalam penjara bagi mengelakkan kepenatan berjuang untuk rakyat. Dengan berada dalam penjara Anwar dapat sedikit kerehatan. Pandangan itu salah, ia adalah kemahuan orang yang serong dan curang kepadanya.

Sebagai manusia naluri Anwar mahu dan perlu kepada kebebasan untuk merealisasikan cita-cita perjuangan. Namun pun begitu kaedah kebebasannya perlulah ada prinsip dan bermaruah. Misalnya, walaupun ada ruang dan peluang untuk memohon Pengampunan di Raja, beliau tidak bersedia berbuat begitu atas alasan dan hujah dia tidak bersalah, melainkan direkayasa kesalahannya. Pun begitu beliau tidak menolak kalau ada usaha itu daripada orang lain (rakyat), atas alasan kerana pemenjaraanya disebabkan kepincangan undang-undang dan keadilan yang diterimanya tidak saksama. Pengampunan itu didambakan.

Kita memahami itu dan apakah kita melakukannya?

Sebagai pejuang kita dapat merasakan Anwar tidak betah berada dalam penjara. Dia berasa salah dan berdosa berlamaan dalam penjara kerana tugasnya membela rakyat belum selesai. Kebejatan yang bersepah di luar, kerakusan penguasa meratah dan menghirup hak rakyat inilah menjadi dia bersalah dikurung begitu. Dia memberontak dari dalam dan menyesal kerana tidak dapat memperjuangkan hak rakyat dengan seluas-luasnya.

Iya dia masih boleh bertutur dan memberi arahan berisyarat walaupun disekat. Masih boleh berkata-kata meskipun tangan digari dan dikawal oleh puluhan pengawal setiap kali dibawa keluar penjara. Tetapi sejauh mana dan sekuat mana suara yang dilontarr membela rakyat itu bergema dan bertalun ke luar. Ia terhad. Dan keadaan itu seolah-olah persis orang meminum air tetapi hausnya belum hilang.

Hakikat inilah menyebabkan kita rasa jiwanya memberontak dan meronta-ronta untuk segera bebas. Suara dan aksinya dalam keterbatasan tidak sampai meruntuhkan kerakusan dan kebejatan penguasa. Sedangkan di luar makin merebak dan meluas kedrujanaannya.

Jika kita faham dan arif pergolakan jiwa Anwar itu menyebabkan kita jujur akan bertanya diri kita sendiri. Apakah yang telah kita semua lakukan untuk kebebasannya? Apakah usaha yang telah kita gerakan untuk itu. Anwar tidak berharap segala pengorbanannya untuk Malaysia dibalas. Tidak. Tetapi sebagai rakyat dan pendokong yang mengharap kepimpinanya seharusnya kita insaf dan sedar akan perkara ini?

Mungkin kita secara individu tidak dapat melakukannya. Tetapi mereka yang ada kuasa, diberikan sedikit kemudahan, kedudukan, semisalnya memegang tampuk kerajaan, menjadi wakil rakyat, yang mana suara mereka bertenaga dan didengar, ada hubungan dengan "Dewa" atasan mungkin boleh menyuara mendesak serta melakukan apa sahaja untuk kekebabsan Anwar. Soalnya apakah dilakukan?

Kita yang kerdil ini, rakyat Marhaen hanya cukup berdoa sahaja atau menjadi pengikut (peserta) kepada apa-apa gerakan pembebasan yang akan digerakcetuskan oleh mereka yang ada kuasa dan ruang itu.

Setiap daripada kita yang rindukan keadilan, kebebasan dan sebuah negara Malaysia yang selamat perlu bertanya secara jujur apa yang kita buat untuk Anwar. Beliau sudah mengorbankan diri untuk kita dan negara terlalu banyak. Seluruh kehidupannya disedekahkan kepada rakyat. Apa yang beliau tidak lakukan lagi, semua dilakukan, darahnya sudah mengalir, air matanya, usah diceritakan. Kesedihan dan kesenduan keluarganya juga tidak terhitung banyaknya.

Jika dikumpul setiap titik air mata keluarganya dan orang-orang yang mengasihi dan simpati dirinya gugur sejak dari mula Anwar melangkah ke medan juang awal tahun 1970-an, mungkin sudah terbentuk sebuah tasik air mata di Malaysia ini. Sayang kita semua tidak mengumpulnya dan tidak tahu membayang kesedihan itu kerana tertipu di sebalik wajah riang dan ceria Anwar. Air mata yang mengalir dan titisan darahnya yang membasahi bumi untuk rakyat, dibiarkan kering begitu sahaja, tanpa kita menyentuh dan merasai akan sejuk dan hangatnya darah itu. 

Sebenarnya kita berlaku zalim kepada seorang yang memburu keadilan sehingga sedia mengorbankan seluruh hidupnya. Kita berdosa. Jika kita sayang dan kasih kepadanya, kita tidak cukup setakat mengenang sejarah hitam perjuangan, mengingati bagaimana dia dibelasah sehingga lebam mata oleh Rahim Noor dan pengsan, bagaimana dia dan keluarganya diaibkan dengan perkara tidak bermoral, atau mengingatkan dia hilang segala hak sebagai warganegara yang berkhidmat, sebaliknya kita harus bangun memperjuangkan segala sunnahnya itu.

Kalau Dr Mahathir Mohamad sanggup berjabat salam dengan Anwar meskipun tidak melapaz kata maaf, tetapi aksi dan jiwa besar beliau itu sungguh mencabar sejauh mana kasih dan kesanggupan kita untuk membela membebaskan Anwar.

Esok genap dua tahun Anwar dipenjara, nah bangkit dan ayuh bangun kita semua melakukan sesuatu untuk kebebasan dan kesejahteraan sang wira bangsa negara itu. Paling lemah, kita berdoa di hujung sejadah kalau pun tidak berani dan sedia untuk turun berhimpun menggoyang pintu penjara. Jika kita mengikhtiraf jasa dan perjuangannya maka kita kena tebus dan jangan biarkan kita berdosa kerana mengabaikannya.

Bebas Anwar, adalah membebaskan kita dari belenggu keseksaan yang kita sedang deritai kini. Dan jangan tunggu Anwar menangis baru kita hafal kesedihannya. [wm.kl.6:19 pm 09/012/16]

Misi Flotilla : 500 tan bekalan makanan diserahkan kepada kerajaan Myanmar untuk diagih kepada etnik Rohingya

Bekalan makan, keperluan untuk Rohingya diserahkan

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) menyerahkan kotak kit kebersihan kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr Win Myat Aye (kiri) sebagai simbolik penyerahan bantuan misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar di Terminal Antarabangsa Thilawa Yangon hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah). - Foto Bernama

YANGON - MYANMAR. Sebanyak 500 tan bekalan makanan dan keperluan bernilai RM5 juta diserahkan kepada kerajaan Myanmar hari ini untuk diagih kepada etnik Rohingya di Rakhine.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya akan memastikan bekalan itu diterima oleh komuniti Rohingya di Myanmar.

"Saya yakin dengan sikap keterbukaan Myanmar dan (misi) ini satu kejayaan besar.

"Wilayah Rakhine memang memerlukan bantuan ini, penghantaran bantuan akan diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di Myanmar dan ini prosedur operasi standard biasa," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan bantuan itu di Terminal Antarabangsa Thilawa, Yangon di sini.

Penyerahan bekalan secara simbolik itu dilakukan ketua misi kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar', Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar, Dr Win Myat Aye.     

Ditanya mengenai protes yang dilakukan sekumpulan rakyat Myanmar terhadap misi itu, Reezal Merican berkata, bantahan dibuat di depan pintu masuk pelabuhan berkenaan.

Bagaimanapun kawalan keselamatan pihak berkuasa yang baik memastikan kelompok itu tidak dibenarkan masuk ke kawasan penyerahan bantuan.

"...harap semua tidak membuat sebarang andaian dan besarkan cerita," katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya yakin bantuan yang diserahkan tersebut akan sampai ke tangan etnik Rohingya yang disasarkan.

"Alhamdulillah, misi ini telah selamat tiba di Yangon dan ini hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara," katanya.

Misi yang masuk hari ketujuh ini membawa 2,300 tan makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.

'Food Flotilla for Myanmar' yang dianjurkan oleh Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara. - Bernama
 

Pas perlu akui bantuan Umno

Pas

KOTA BHARU - Pas tidak dapat mengelak bekerjasama dengan Umno sekiranya mahu mempertahankan Islam selain memperjuangkan kepentingan umatnya.

Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Mohd Izani Mohd Zain, berkata, sebagai parti teras kerajaan dan parti Melayu Islam, Pas wajar mengutamakan kerjasama dengan Umno untuk isu kepentingan agama dan umat berbanding parti-parti lain.

Beliau yang juga Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara, Mohd Izani Mohd Zain berkata, kedua-dua parti itu perlu melupakan seketika perbezaan antara mereka demi kepentingan lebih besar, iaitu Islam dan perpaduan Melayu.

"Pas sebenarnya telah beri banyak peluang DAP mengenali dan memahami Islam dalam tempoh kerjasama politik mereka, namun DAP sering kali tidak menghormati perjuangan Pas.

"DAP tidak menghiraukan prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju. Bukan sahaja tidak bersetuju dengan perjuangan Pas, tetapi cuba menghalang perjuangan pelaksanaan undang-undang," katanya.

Beliau mengulas pandangan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dengan mengakui Umno dan BN adalah kelompok umat Islam yang boleh dimanfaatkan untuk membela agama.

Sementara itu, mengulas isu sama, Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, UUM, Dr Zaharudin Sani, berkata, Islam seperti yang diketahui merupakan agama rasmi negara yang termaktub dalam Perlembagaan.

Walaupun begitu katanya, ianya perlu disemai dan dibaja agar boleh terus subur dan pastinya yang boleh menjaganya adalah pihak yang meletakan Islam sebagai tunjang perjuangan.

"Kini ternyata hanya Umno dan Pas yang memasukkan agenda Islam dalam iltizam kepartian mereka.

"Mana mungkin parti yang liberal dan sekular boleh mempertahankan Islam yang tidak termasuk dalam agenda perjuangan mereka?," katanya.

Hanya tulis nama untuk ambil bantuan di masjid

Hanya tulis nama untuk ambil bantuan

SUNGAI DUA - Masjid bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah, tetapi juga dalam membantu masyarakat sekitar.

Lantaran itu, Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal mengadakan program kongsi rezeki, yang memfokuskan golongan kurang berkemampuan.

Pengerusinya, Khairul Fitri Kiraman berkata, menariknya melalui konsep ditampilkan kali ini, mereka yang memerlukan hanya perlu datang ke masjid untuk mengambil barangan diperlukan.

"Terdapat ruang disediakan di pekarangan masjid. Kita letak barangan seperti beras, gula dan lain-lain di rak, jadi mereka hanya perlu hadir ke masjid dan tulis nama dalam buku sebelum ambil barangan tersebut.

"Ia terbuka kepada sesiapa sahaja. Kita hanya mahu membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Menurut Khairul Fitri, program itu merupakan aktiviti tahunan masjid berkenaan.

"Jika dulu kita pergi ke setiap rumah untuk menyampaikan sumbangan, tapi kali ini kita tukar konsep. Sesiapa yang rasa kurang berkemampuan, boleh datang ambil di masjid. Secara langsung dapat merapatkan hubungan masyarakat dan masjid," katanya.

Tambahnya, sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menyumbang sentiasa dialu-alukan.

"Kita sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk menjayakan program ini.

"Melalui program ini bukan sahaja dapat berkongsi rezeki, tetapi juga berkongsi pahala dalam membantu mereka yang memerlukan," katanya.


Misi Flotilla sudah serahkan bantuan pada Kerajaan Myammar untuk disampaikan kepada mangsa Rohingya

Kita serah pada Myanmar dan bertawakal, kata wakil Food Flotilla For Myanmar

10 Februari 2017 | MALAYSIA DATELINE


Kapal Food Fotilla For Myanmar meninggalkan pelabuhan Klang untuk ke Yangon 3 Feb lalu.

Sekretariat Food Flotilla for Myanmar (FFfM) berharap bantuan makanan dan keperluan lain yang diserahkan kepada Kerajaan Myanmar akan diagihkan kepada masyarakat Islam Rohingya di wilayah Rakhine (Arakan) dan itu adalah pilihan terbaik yang boleh diusahakan setakat ini.

Timbalan Presiden Majlis Perunding Islam Malaysia (Mapim) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pihaknya memegang janji kerajaan Myanmar untuk menyampaikan bantuan itu kepada masyarakat Islam Rohingya dengan dipantau wakil kedutaan Malaysia di Rangon.

Tarmizi yang kini berada di Cox Bazar, Bangladesh bersama pasukan peninjau FFfM menjawab kritikan pelbagai pihak yang kesal apabila mendapat berita 500 tan bahan bantuan untuk Rohingya diserahkan kepada kerajaan Myanmar sedangkan pihak tentera negara tersebut didakwa terlibat dalam kempen 'pembersihan  etnik' di wilayah Rakhine.

Myanmar dan tokoh pejuang demokrasi negara tersebut Aung San Suu Kyi juga dikecam dunia antarabangsa kerana gagal melindungi dan membela hak masyarakat Islam Rohingya.

Malah Suu Kyi dilapor memberitahu wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa kerajaan negaranya enggan menggunakan terma 'Rohingya' bagi masyarakat Islam di wilayah Rakhine kerana menyifatkan mereka sebagai pendatang haram 'Bengalis' daripada Bangladesh.

"Inilah pilihan yang kita ada untuk sampaikan bantuan selepas laluan lain tidak dibenarkan.

"Kita memegang janji kerajaan Myanmar bahawa dia benarkan kedutaan Malaysia bersama dalam proses pengagihan kepada Rohingya di Arakan," ujar Tarmizi.

Beliau menambah, pihaknya berpegang kepada kaedah Fiqh, "Jika tidak dapat lakukan semua, jangan tinggalkan semua" dalam misi bantuan Rohingya.

FFfM katanya adalah kempen 'perhatian dunia untuk Rohingya' dan bantuan makanan hanya sebahagian daripada langkah tersebut.

"Flotilla adalah 10 langkah daripada ribuan langkah untuk 'pembebasan Rohingya dari kezaliman'. Langkah itu telah bermula dan belum berakhir.

"Team flotilla sudah gunakan semaksimun langkah dan usaha untuk memastikan bantuan ini sampai kepada muslim Rohingya di Arakan dan langkah terakhir adalah 'tawakkal a'la allah'...," ujarnya.


Semalam, sebanyak 500 tan bekalan makanan dan keperluan bernilai RM5 juta diserahkan kepada kerajaan Myanmar untuk diagih kepada etnik Rohingya di Rakhine.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya akan memastikan bekalan itu diterima oleh komuniti Rohingya di Myanmar.

"Saya yakin dengan sikap keterbukaan Myanmar dan (misi) ini satu kejayaan besar.

"Wilayah Rakhine memang memerlukan bantuan ini, penghantaran bantuan akan diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di Myanmar dan ini prosedur operasi standard biasa," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan bantuan itu di Terminal Antarabangsa Thilawa, Yangon di sini.

Penyerahan bekalan secara simbolik itu dilakukan ketua misi kemanusiaan FFfM Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye.

Misi yang masuk hari kelapan ini membawa 2,300 tan makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.     

'Food Flotilla for Myanmar' yang dianjurkan oleh Kelab Putra 1Malaysia dan Mapim disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara.

Tuduh terima RM90 juta, PAS akan saman Husam

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS hari ini bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Husam Musa yang menuduh parti Islam itu menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan sekeras-kerasnya tuduhan jahat dibuat penasihat Amanah Kelantan itu.

“Fitnah jahat ini adalah sambungan rantaian fitnah yang pernah dibuat Sarawak Report yang kini dalam tindakan perundangan.

“PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.

Husam menerusi satu klip video ceramahnya yang kini ditularkan melalui media sosial mendakwa PAS menerima wang RM90 juta daripada Umno seperti didedahkan Sarawak Report.

Beliau juga mendakwa wang itu disalurkan melalui sebuah bank tempatan, Affin Bank.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menambah pihak guaman parti itu juga diminta meneliti kenyataan dan tuduhan jahat dibuat Husam itu sebelum mengemukakan saman fitnah dalam masa terdekat.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...