TERKINI :

Tuesday, January 24, 2017

TABUNG HAJI RUGI RM64 JUTA AKIBAT PELABURAN DI DALAM PERISAI PETROLEUM TEKNOLOGI BERHAD

Saya masih menunggu saman dari Dato’ Seri Jamil Khir Baharom atau Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dua orang pemuka Umno yang berlatar belakangkan pengajian Islam dan diberi tanggungjawab memberi imej Islam kepada Umno. Kedua-dua mereka telah menuduh saya secara terbuka bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji, malah menyebabkan ramai pendeposit hilang kelayakan untuk menunaikan haji kerana termakan dengan fitnah saya itu.

Selagi saya tidak mendapat surat saman daripada mereka untuk berjumpa di mahkamah agar perkara ini diselesaikan di mahkamah, saya akan terus mendedahkan satu persatu kerugian yang ditanggung oleh pendeposit akibat pelaburan-pelaburan Tabung Haji.

Pada 29 Disember 2016, secara senyap-senyap Tabung Haji telah melupuskan sebanyak 10.3 juta saham dalam sebuah syarikat minyak bernama Perisai Petroleum Teknologi Berhad (“PERISAI”). Sehari sebelum itu pada 28 Disember 2016, Tabung Haji telah pun menjual 8.8 juta sahamnya di dalam PERISAI.

PERISAI adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan menyewakan sistem carigali minyak (“rigs”) kepada syarikat-syarikat minyak yang terlibat di dalam aktiviti carigali minyak.

Penjualan pada 29 Disember 2016 itu penting kerana akibat dari penjualan tersebut, jumlah saham yang dipegang Tabung Haji jatuh ke bawah paras 5% lalu menjadikan pegangan Tabung Haji sebagai pegangan kecil di dalam PERISAI. Pelaburan yang tidak dikategorikan sebagai pelaburan penting (seperti ini) tidak perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur jika ada sebarang urusan jual beli.

Tabung Haji mula menjual saham-saham PERISAI secara bertubi-tubi akibat pelbagai masalah kewangan yang berlaku di PERISAI yang menyebabkan nilai pelaburan Tabung Haji susut dan mengalami kerugian besar.

Semakan berita-berita perniagaan memberikan kedudukan kewangan berikut mengenai PERISAI:

i. Pada 4 Oktober 2016, pemegang kertas hutang PERISAI (“bondholders”) menolak permohonan PERISAI untuk menangguhkan pembayaran hutang sebanyak RM377 juta

ii. Akibatnya, pada 13 Oktober 2016, PERISAI mengisytiharkan kedudukan kewangannya telah mencapai status PN17 (bagi kategori syarikat-syarikat yang disenaraikan tetapi tidak tidak mampu melangsaikan tanggungan hutang atau berhadapan masalah kewangan lain)

iii. Saham PERISAI terus jatuh menjunam pada sekitar harga 8 sen sahaja sesaham

Sudah tentu, Tabung Haji yang merupakan salah satu dari pemegang saham terbesar PERISAI sebelum itu mula menjual sahamnya secara agresif seperti yang saya tunjukkan di atas. Tabung Haji mula mengumpul saham-saham ini secara agresif di antara Oktober 2014 ke Disember 2014 sehingga menjadi salah satu pemegang saham terbesar di dalam PERISAI.

Mengikut anggaran The Edge yang disiarkan pada 25 Oktober 2016 (sebaik sahaja PERISAI diisytiharkan sebagai syarikat berstatus PN17), saham-saham PERISAI dikumpul oleh Tabung Haji pada nilaian purata 83 sen sesaham. Pada kemuncak pembelian Tabung Haji, jumlah terkumpul saham-saham PERISAI yang dipegang Tabung Haji adalah 79.88 juta saham yang melibatkan penggunaan wang pendeposit Tabung Haji sebanyak RM66.3 juta.

Sebenarnya Tabung Haji telah membeli saham-saham ini (sekitar Oktober ke Disember 2014) pada kala harga sahamnya telah jatuh menjunam dan telah ada tanda-tanda sektor minyak dan gas mengalami kemelesetan yang teruk (rujuk carta harga saham di bawah):

Sejak awal tahun 2015, harga saham PERISAI terus menjunam. Ini dijangka kerana kemelesetan yang berlaku di dalam sektor minyak dan gas.

Malangnya, pengurusan pelaburan di Tabung Haji terus memegang saham-saham ini dan hanya ada 2 penjualan di antara tarikh saham-saham ini dibeli secara agresif (Oktober ke Disember 2014) dan tarikh PERISAI diisytiharkan sebagai syarikat berstatus PN17, seperti berikut:

i. 7 Oktober 2015, Tabung Haji menjual sebanyak 600,000 saham pada harga sekitar 25 sen sesaham, iaitu kerugian yang dianggarkan sebanyak 58 sen sesaham atau RM348,000

ii. 4 Oktober 2016, Tabung Haji menjual sebanyak 1.75 juta saham pada harga sekitar 8.5 sen sesaham, iaitu kerugian yang dianggarkan sebanyak 74.5 sen sesaham atau RM1.3 juta

Saham-saham yang dlupuskan diantara 28 dan 29 Disember 2016 sebanyak 19.1 juta dianggarkan diniagakan sekitar 5 sen sesaham, menyebabkan kerugian 78 sen sesaham atau RM15 juta.

Baki saham-saham PERISAI yang masih dipegang Tabung Haji selepas 1 Januari 2016 yang dianggarkan sebanyak 60 juta saham mungkin telah dilupuskan secara diam-diam tanpa perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur. Pada anggaran harga 5 sen sesaham iaitu kerugian 78 sen sesaham, kerugian yang tidak dilaporkan akibat dari baki saham-saham yang telah ditanggung oleh Tabung Haji adalah RM47 juta.

Maka, jumlah kerugian yang telah ditanggung oleh pendeposit Tabung Haji atas pelaburan ini sahaja dianggarkan (berdasarkan harga saham semasa) mencecah RM64 juta (dari pelaburan asal sebanyak RM66.3 juta).

Wang RM64 juta ini adalah milik pendeposit yang sewajarnya digunakan untuk mengurangkan kos menunaikan ibadah haji atau pun dikembalikan kepada pendeposit dalam bentuk dividen yang lebih tinggi.

Kenapa pengurusan kanan Tabung Haji tidak mengambil langkah lebih berhati-hati dengan melupuskan saham-saham PERISAI lebih awal kerana ketika Tabung Haji mula membeli saham-saham itu, harganya memang pun telah jatuh merudum kerana kemelesetan sektor minyak dan gas yang telah berlaku?

Apa tindakan yang telah diambil terhadap pegawai-pegawai kanan dan Ahli Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab ke atas kerugian ini? Apa tindakan yang telah diambil terhadap Dato' Seri Jamil Khir Baharom sendiri yang diberi amanah untuk mengawalselia perjalanan Tabung Haji?

Rakyat hilang keyakinan dengan Tabung Haji akibat pengurusan pelaburan yang menyebablan kerugian beribu juta wang pendeposit, bukannya kerana saya mereka-reka cerita. Esok saya akan tunjukkan lagi pelaburan-pelaburan lain yang merugikan Tabung Haji.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

PAS, Umno ‘menderita’ dalam pertandingan 3 penjuru di Kedah, kata PKR

GEORGE TOWN: PKR Kedah tidak melihat masalah sekiranya belaku pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail mendakwa Pakatan Harapan mempunyai kelebihan dan “PAS dan Umno yang akan menderita”, katanya kepada FMT.

Ini kerana, kata Azman, Umno Kedah berdepan masalah dalaman sejak Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) ditubuhkan, sementara PAS Kedah tidak lagi sekuat dulu.

Azman berkata ramalannya berdasarkan keputusan simulasi dan kajian senario berbeza pilihan raya dan sentimen pengundi di Kedah.

Penganalisis politik berkata, lebih separuh daripada 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen boleh menyaksikan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

Barisan Nasional (BN) Kedah baru-baru ini berkata ia tidak bimbang dengan PPBM dan akan menang di negeri itu dengan majoriti 2/3.

Umno kini memegang 18 kerusi negeri, dan MCA 2. PAS mempunyai 8, PKR 4, DAP 2, manakala PPBM dan Amanah masing-masing 1.

“Daripada kaji selidik kami, tidak mungkin ada kerusi selamat untuk PAS lagi, walaupun ia mungkin mempunyai kubu kuat di Tokai dan Sungai Limau.

“Politik PAS dan politik Umno masih berdasarkan agama dan bangsa. Mereka bersaing dalam kumpulan pengundi yang sama,” kata Azman.

Beliau berkata PAS sama ada harus sedar dan melihat risiko bertanding sendirian atau ia boleh terus berjuang seperti tidak tahu apa-apa.

“Terpulang kepada Hadi untuk membuat keputusan,” katanya, merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Dalam 2 bulan atau lebih, PPBM akan menjadi lebih kuat dan pertandingan 3 penjuru ini akan berpihak kepada Pakatan dan PPBM.”

Beliau berkata BN mungkin berharap PAS akan memecahkan undi pembangkang seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lepas.

Bagaimanapun, Azman berkata ia harapan palsu, dan menambah BN perlu mengambil kira populariti PPBM dan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terdapat kemarahan orang Melayu semasa pilihan raya kecil, tetapi ia tidak terlalu jelas. Suara Dr Mahathir tidak begitu lantang ketika itu dan belum ada PPBM lagi.”

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew bersetuju pertandingan 3 penjuru boleh menguntungkan pakatan pembangkang.

Adun Derga itu berkata Pakatan ditolak sebelum ini apabila mula berganding dengan PPBM.

“Kini kami boleh pergi ke mana-mana sahaja kubu kuat Umno,” katanya.

“Pertandingan 3 penjuru akan menguntungkan kami, dan itu penyebab Umno merasa terancam.

“BN bimbang. Jika tidak, ia tidak akan memberi tumpuan begitu banyak untuk menyerang Dr Mahathir dan DAP, sebaliknya menumpukan ekonomi dan pembangunan.”

Penyelaras PPBM negeri, Anuar Abdul Hamid berkata parti itu diterima baik rakyat Kedah semua peringkat umur kerana menghormati Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas menteri besar.

Anuar mendakwa PPBM paling berjaya di Kedah dalam kempen menambah keahliannya.

Menurutnya, sentimen pengundi terjejas disebabkan pergolakan politik di Kedah yang mengakibatkan penyingkiran Mukhriz.

“Ramai yang kecewa. Terdapat penyokong Umno dan Perkasa mengalih sokongan terhadap Pakatan.”

Pengarah Pilihan Raya Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata rakyat Kedah, seperti kebanyakan rakyat Malaysia, terjejas akibat kos sara hidup yang meningkat dan kejatuhan nilai ringgit.

“Ramai rakyat Kedah pergi ke Thailand untuk membeli-belah,” katanya.

“Mereka terkesan akibat kesan penurunan ringgit. Banyak sayur-sayuran dari Thailand yang mahal.”

Azman dan Phahrolrazi berkata parti Pakatan Harapan mengenal pasti kerusi yang mereka mahu tetapi perbincangan dengan PPBM masih berjalan.

“Kami masih dalam perbincangan; jadi kami tidak boleh memberi butiran mengenai pengagihan kerusi,” katanya, sambil menambah Pakatan Harapan mengandaikan PAS tidak akan bekerjasama dengannya.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi memberitahu FMT, parti itu tidak mempunyai hubungan politik dengan Umno dan tidak akan bekerjasama dengan BN.

“Umno adalah saingan PAS dalam pilihan raya,” katanya.

“Kami tidak mempunyai hubungan dengan Pakatan, kecuali jika PKR Kedah masih mahu mempunyai hubungan politik dengan PAS Kedah.”

Beliau berkata PAS tidak menolak kerjasama dengan PPBM di bawah gabungan Gagasan Sejahtera yang dianggotai sebuah parti kecil dipimpin bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Beliau berkata, pihaknya mengakui Dr Mahathir mempunyai “aura sendiri dalam politik Kedah” dan PAS perlu menanganinya “dengan bijaksana”.

“PAS mempunyai pengalaman pergi ke pilihan raya secara sendirian dan dalam blok. Kami bersedia dan mampu menghadapi BN atau Pakatan. Jentera kami di semua peringkat sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.”

Beliau berkata PAS Kedah merancang bertanding di 24 negeri dan 8 kawasan Parlimen, sambil menambah ianya tertakluk kepada persetujuan kepimpinan bahagian pusat.

SIAPA YANG UMNO LEBIH SAYANG?

Shahbudin Husin,

Menjelang pembentangan Rang Undang-Undang Akta 355 yang dijangka Mac depan, Pas dan UMNO sehingga ini nampaknya selesa dalam menjalinkan kerjasama antara mereka.

Tidak saja Pas dan UMNO dijangka bersama dalam Himpunan Akta 355 pada 18 Februari ini, malah mengunjungi pejabat menteri dan mengembara hingga ke London juga tidak lagi kekok untuk dilakukan.

Apatah lagi  UMNO turut akan membincangkan penyertaan dalam himpunan itu dalam mesyuarat Majlis Tertingginya pada penghujung bulan ini. Jika Himpunan Akta 355 pada 18 Februari berjalan seperti yang dirancang, bermakna ia acara kedua selepas perhimpunan Rohingya,  di mana Pas dan UMNO saling bekerjasama.

Terlihat segala-galanya nampak lancar, senyum pemimpin UMNO dan Pas juga terserlah makin melebar.

Tetapi, di ketika DAP yang digembar-gemburkan anti Islam dan lain-lain dakwaan hanya berdiam diri, MCA ternyata makin garang memberi penentangan.

Terbaru, menjelang PRU 14 yang tarikhnya bila-bila masa dan kedudukan Najib Razak tidak menentu keadaannya, MCA tampil memberi amaran bahawa tindakan UMNO membenarkan usul tersebut dibentangkan hanya berisiko menyebabkan perpecahan BN.

Akhirnya, jadikah usul itu dibentangkan pada Mac nanti?

Antara Pas dan MCA, siapa yang Najib dan UMNO lebih sayang? (SH 24/01/2017).

Azmin kepada Hadi - 'Jika nak ikut rentak sendiri saja, itu kuku besi'

Kerjasama politik yang cuba diusahakan antara Pakatan Harapan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS setakat ini masih belum jelas titik temunya.

Mengulas gesaan PAS untuk mengikut rentak mereka jika ingin bekerjasama, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata gesaan tidak demokratik, tetapi “kuku besi”.

"(Bekas presiden Amerika Syarikat Barack) Obama pun pernah katakan proses demokrasi adalah satu proses yang riuh. Ada yang setuju ada yang tak setuju. Tapi itu demokrasi.

"Tetapi kalau paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku itu bukan demokrasi, tetapi itu kuku besi," tegas Azmin.

Azmin berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Skim Peduli Sihat di Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, Gombak hari ini.

Beliau ditanya sama ada ada PKR masih mahu bekerjasama selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang 'menasihatkan' mana-mana pihak yang berhasrat untuk itu perlu rentak mereka.

Ini kerana, hujah Hadi, PAS sudah bertapak lama dalam arena politik negara dan melalui pelbagai pengalaman pahit manis, sekali gus menjadikan mereka berbeza dengan parti-parti lain.

PAS setakat ini tidak menolak kerjasama dengan PKR tetapi menentang keras kerjasama dengan DAP dan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).

'Strategi tak boleh didedah'

Mengulas lanjut, Azmin yang juga menteri besar Selangor itu bagaimanapun berkata pembangkang mempunyai strategi yang tidak boleh dihebahkan kepada media.

“Kita tak tahu tarikh pilihan raya. Ini kan strategi. Ia tak boleh cerita dengan media," kata Azmin.

Azmin bagaimanapun berkata menegaskan pihaknya akan terus berbincang meskipun rumit.

"Dalam mana-mana proses rundingan ia merupakan satu proses yang rumit. Bukan boleh selesai dengan hanya satu pertemuan.

"Kita teruskan perbincangan malam tadi bertemu dengan Pengerusi dan Presiden BERSATU untuk lihat bagaimana boleh maju ke depan," kata anggota parlimen Gombak itu.

Azmin juga mengajak semua pihak berlapang dada.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu berkata tempoh perbincangan parti itu dengan PAS sudah berakhir.

PAS kepada DAP: Cukuplah 2 kali

FMT Reporters


PETALING JAYA: PAS hari ini mempersoalkan kenyataan Lim Kit Siang yang menyatakan kesediaan DAP menjalinkan semula kerjasama melawan Barisan Nasional (BN), menyifatkan parti itu terbukti tidak jujur dan tidak sabar.

“Sikap tidak jujur dan tidak sabar DAP membuatkan 2 kali mereka meninggalkan PAS malah menikam dan menyerang PAS,” kata Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

PAS pernah menyertai Barisan Alternatif pada 1999 bersama Parti Keadilan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan DAP. Gabungan itu bagaimanapun gagal selepas DAP bertindak keluar sebelum pilihan raya 2004 yang menyaksikan kemenangan besar BN.

Susulan kemenangan pembangkang pada 2008, PAS, PKR dan DAP sekali lagi menubuhkan gabungan di bawah Pakatan Rakyat. Ia bagaimanapun tamat selepas PAS dan DAP kembali bertikam lidah mengenai hala tuju pelaksanaan undang-undang Islam termasuk hudud.

“Kali ini, sekali lagi DAP mahu menghulurkan salam kerjasama? Kenapa? Apakah DAP benar-benar terdesak?” soal Nasrudin.

Nasrudin mengulas kenyataan Kit Siang Ahad lalu, di mana pemimpin veteran itu berkata DAP boleh bekerjasama sekali lagi dengan PAS sekiranya presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memberi komitmen untuk “menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia”.

“Itu akan menjadi agenda negara bagi tempoh 5 hingga 10 tahun. Adakah Hadi sedia membuat komitmen itu,” kata Lim.

Nasrudin bagaimanapun berkata PAS punya maruah “yang tidak mungkin sesiapa lagi boleh memperdaya dan memperkotak-katikkannya”.

Beliau menyamakan pelawaan Kit Siang itu kepada “wayang opera bernilai murah” oleh DAP

“Cukuplah pengalaman 2 kali diperlakukan DAP sedemikian rupa,” katanya.

“Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP.”

Anina mahu polis siasat identiti Jho Low, RM2.6 bilion ke akaun PM


Anina (dua dari kanan) hadir bersama ahli Bersatu ke IPD Putrajaya hari ini.-Foto Malaysia Dateline Wan Zahari Wan Salleh.

Anina Saadudin mahu pihak polis menyiasat usahawan Jho Teak Low yang memiliki dua identiti dan pasport dengan nama berbeza dan dana RM2.6bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri seperti didedahkan bekas pengurus Falcon Private Bank, Jens Sturzenegger.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hadir ditemani beberapa ahli parti itu ke Ibupejabat Daerah Polis (IPD) Putrajaya jam 2.45 petang tadi.

"Saya mohon pihak polis supaya menyiasat bagaimana Jho Teak Low boleh memiliki dua identiti melalui dua pasport dengan dua nama berbeza dari negara yang sama iaitu Malaysia.

"Mengikut laporan itu mahkamah Singapura telah merekodkan dapatan bahawa Sturzennegger telah membuat akuan berkaitan lelaki yang mempunyai dua identiti bernama Eric Tan @Eric Tan Kim Loong dan Jho Low @Jho Taek Low.

"Saya juga mohon pihak polis menyiasat keputusan mahkamah Singapura baru-baru ini berhubungan sejumlah USD1.7bilion wang dari 1MDB telah disalurkan ke akaun Bank Tanore Finance di Falcon Private Bank Singapura yang mana ia merupakan sumber kepada dana RM2.6bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri di Ambank," ujarnya dalam sidang media di hadapan perkarangan IPD Putrajaya petang tadi.

Pada 5 Januari lalu bekas pengurus cawangan Singapura Bank Falcon Private Bank, Jens Sturzenegger, menghadapi 16 pertuduhan berkaitan siasatan ke atas dana pelaburan Malaysia, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut Anina isi kandungan laporan yang dibuatnya itu juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara esok.

Jelas Anina beliau membuat laporan polis hari ini setelah membaca laporan Malaysiakini pada 14 Januari lalu yang bertajuk 'Jho Lows Alias Revelation Brings New Twist to 1MDB'.

Beliau mengharapkan siasatan itu dapat dijalankan oleh pihak polis.

"Esok saya akan ke SPRM dan ke pejabat peguam negara untuk menyatakan atas perkara yang sama. Saya harap siasatan itu dapat dilakukan oleh pihak polis," ujarnya.

Menurut Anina lagi beliau terpanggil untuk membuat laporan di atas keputusan mahkamah di Singapura itu kerana isu membabitkan dana RM2.6bilion itu cukup dekat di hatinya.

"Derma politik daripada penderma Arab RM2.6bilion begitu dekat di hati saya kerana isu inilah saya saman Datuk Seri Najib pada 2015.

"Perjuangan saya tidak pernah mati. Isu ini saya akan terus bawa ke hadapan selagi termampu. Ia perlu diselesaikan kerana ia membabitkan kepentingan negara dengan penyelewengan kewangan 1MDB.

"Isu ini wajib saya perjuangkan bersama keseluruhan rakyat Malaysia," ujarnya.

Sturzenegger orang kelima tetapi warga asing pertama didakwa di Singapura di tengah-tengah siasatan global ke atas kegiatan pengubahan wang haram dan rasuah syarikat Malaysia itu. Bagaimanapun 1MDB secara konsisten menafikan sebarang salah laku.

Kit Siang tak perlu bermadah mahu selamatkan Malaysia dari BN, kata ulama Pas

23 Januari 2017 | MALAYSIA DATELINE


Khairuddin Aman Razali

Penasihat DAP Lim Kit Siang tidak perlu 'bermadah' mahu menyelamatkan Malaysia kerana pengkhianatan parti itu terhadap Pas ketika dalam Pakatan Rakyat adalah isyarat DAP bukan rakan politik baik bagi menggantikan BN.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, agenda anti-Islam DAP tidak mungkin dapat diterima Pas kerana akan merosakkan kerangka bernegara Malaysia.

Sebaliknya beliau menasihatkan DAP untuk mengajak parti lain yang boleh berkompromi dengan dasar sosialis dan pragmatik parti itu, khasnya Parti Amanah Negara (Amanah) yang setia kepada DAP.

"DAP boleh mengajak mana-mana parti yang boleh berkompromi dengan dasar sosialisdan pragmatik DAP khususnya PAN (Amanah) yang merupakan serpihan Pas yang setia kepada DAP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendapat peribadi Lim semalam bahawa dirinya sedia bekerjasama dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika beliau berkongsi komitmen sama dalam memerangi kleptokrasi.

Menurut Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus, Pas akan terus bergerak dengan agenda Islam bagi menyelamatkan negara ini daripada kegagalan BN.

Mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa masa untuk berunding dengan Pas sudah tamat, Khairuddin berkata, Pas tidak memerlukan bekas perdana menteri itu kerana dasar pemerintahannya yang diwarisi Umno kini adalah punca negara rosak.

“Dr Mahathir hanya nak menyelamatkan Umno daripada (Datuk Seri) Najib (Razak), tetapi Pas nak menyelamatkan negara daripada sistem diwarisi Umno yang merosakkan negara,” tegasnya.

Ketika Harakah umpama kapal bocor, Pas lagi menyedihkan, kata bekas ketua pengarang

24 Januari 2017 | BORHAN AHMAD


Harakah umpama kapal yang bocor menunggu masa untuk tenggelam, kata Ahmad Lutfi.

Bekas ketua pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman menyifatkan akhbar milik Pas itu kini umpama 'kapal yang bocor menunggu masa untuk tenggelam' manakala nasib partinya pula, Pas, lagi menyedihkan. 

Dalam tulisan pertamanya selepas 26 bulan tidak menulis, Lutfi dalam tulisan pertamanya di Malaysia Dateline berkata, "Gugatan media baru memang satu faktor besar tetapi kurangnya persiapan untuk mencabar ancaman baru itu, bagi saya, lebih berperanan untuk menjatuhkan lagi jumlah cetakan akhbar."

Lutfi yang tidak sihat sejak beberapa tahun lalu tamat perkhidmatannya secara rasmi dengan Harakah akhir Disember tahun 2016 lalu.

Kini beliau menyertai akhbar mingguan Amanah yang dimiliki oleh parti pecahan dari Pas itu sebagai Penasihat Editorial mula menulis dengan Malaysia Dateline mulai hari ini.

Ahmad Lutfi menjadi ketua pengarang Harakah yang ketiga di kalangan kakitangan akhbar itu selepas Zulkifli Sulong dan Suhaimi Mokhtar. Sebelum itu, Ketua Pengarang Harakah adalah pemimpin politik Pas.

Harakah mencapai puncak kegemilangannya pada tahun 1998 - 2000 apabila edaran Harakah ketika itu adalah antara 300,000 hingga 380,000 setiap keluaran. 

Dalam tulisan ini, Lutfi berkata, ketika sedih dengan apa yang berlaku kepada Harakah, beliau lagi sedih dengan apa yang berlaku kepada Pas.

"Dari jauh saya mengikuti perkembangan dalaman Pas yang cukup menyedihkan. Saya masih sempat mengheret kaki ke muktamar Pas di Batu Pahat pada 2014. Beriyani gam tidak lagi dapat memikat selera.

"Suasana perbahasan tawar dan ada kalanya menjengkelkan. Saya terasa kehilangan yang amat sangat sepanjang hadir di situ," tulis Lutfi.

Menurut Lutfi yang kini menjalani hemodilisis tiga kali seminggu, beliau pulang lebih awal dari muktamar 2014 itu.

Dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur, yang diiringi hujan lebat, beliau mencuri dengar ucapan pimpinan Pas melalui radio internet.

"Harapan saya, biduk lalu kiambang bertaut. Pembahas boleh menimbulkan apa saja yang terbuku di dada, termasuk membacakan "doa yang pelik-pelik" untuk diaminkan, tetapi keadaan diharap menjadi reda dengan ucapan penutup pimpinan.

"Air mata saya mengalir dan dada berkocak kencang mendengar ucapan penggulungan Presiden. Retak tidak lagi menunggu pecah, malah sudah terburai.

"Gurau senda anak-anak dan isteri sepanjang perjalanan hilang ditelan kegelisahan. Minda saya mula menjangka, Pas sudah tidak sama seperti dulu. Sedih, sebak dan marah bersilih-ganti," katanya.

Sejak saat itu, katanya, secara perlahan-lahan, beliau seolah-olah tidak lagi mengenali watak dan keperibadian Pas walhal itulah parti Islam yang beliau yakin wajib disokong dan didukung seawal zaman kanak-kanak, tanpa pilihan.

"Episod ini cukup melukakan. Peluang untuk mencipta sejarah baru politik tanahair menjadi kabur. Kekuatan oposisi merosot teruk," katanya.

Sekarang ini Pas yang bermasalah dalam nak berpakat sesama pembangkang

Amanah tolak cadangan kerjasama dengan DAP

ATIRAH HASLI

23 Januari 2017

Khalid Abdul Samad

SHAH ALAM - Tidak perlu untuk Pas mencadangkan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bekerjasama hanya dengan DAP.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Amanah tidak mempunyai masalah untuk kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang yang lain.

"Amanah tiada masalah sama ada mahu kerjasama dengan DAP, PKR, atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kenapa pula hanya dikhususkan hanya DAP? Padahal, Pas lah yang bermasalah dengan PKR, Bersatu dan DAP," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Khalid dalam masa sama turut membidas Pas dengan mengatakan Pas hanya tahu menuntut  pihak lain mengikut rentaknya, bagaimanapun tidak pandai mencari jalan untuk bermuafakat.

"Pas tidak diterima oleh mana-mana pemimpin. Pas yang tidak pandai berpakat, nak beri nasihat pada Amanah bab berpakat?" soalnya sinis.

Amanah dicadang supaya membentuk gabungan kerjasama atau pakatan politik dengan DAP.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad , kedua parti itu lebih rapat dan mesra dalam fahaman politik masing-masing.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...