TERKINI :

Thursday, January 19, 2017

Johor akan dipenuhi warga China?

Hasmi Hashim

19 Jan 2017, malam 8:13 (Dikemaskini 19 Jan 2017, malam 8:25)

Sehingga 2008, Putrajaya dibangunkan dengan kos sekitar RM12 bilion. Kota pentadbiran baru kerajaan persekutuan itu pernah mendatangkan polemik politik pada 1998 yang dikatakan sebagai projek yang membazir.

Projek itu dikatakan membazir kerana dibangunkan ketika ekonomi Malaysia dalam keadaan tidak stabil dengan ringgit jatuh sehingga ke paras lebih RM3.50 berbanding AS$1 sehingga memaksa perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad menambat nilai ringgit.

Dr Mahathir akan dikenang sebagai perdana menteri yang membangunkan Putrajaya. Rumah rasmi perdana menteri yang kini didiami oleh Najib Razak dahulunya juga dituduh dibuat untuk memenuhi nafsu Dr Mahathir.

Rumah rasmi kerajaan itu khabarnya ada enam bilik. Ia pernah menimbulkan keraguan mengapa ada keperluan begitu sedangkan Dr Mahathir tidak memiliki sehingga enam orang anak.

Apabila melepaskan jawatannya kediaman itu digunakan oleh PM seterusnya.

Hari ini, kita saksikan sebuah projek yang berkali-kali ganda besarnya berbanding Putrajaya. Projek pembinaan empat pulau buatan manusia di Johor itu dinamakan Forest City.

Sebelum ini, rakyat Malaysia dan peminat bola sepak mungkin tersedar nama “Forest City” hanya pada jersi pasukan bolasepak JDT sahaja.

Projek berkenaan menjadi sebutan hangat kebelakangan ini apabila dikatakan akan menempatkan lebih 1.5 juta orang luar, khususnya dari China. Angka itu dipetik oleh Dr Mahathir sendiri, termasuk ketika melancarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Shah Alam tempoh hari.

Mungkin orang Johor sendiri belum begitu jelas, di manakah Forest City itu. Dua projek mega di Johor sebelum ini - Iskandar Malaysia dan projek Rapid di Pengerang - sudah berjalan dan sebahagiannya sudah siap.

Dengan dua projek itulah menjadikan Johor sebagai negeri tertinggi mendapat pelaburan asing di Malaysia.

Pasaran bukan untuk Melayu

Forest City bukanlah sebuah projek atas tanah negeri yang sedia ada. Bandar baru itu dibangunkan di kawasan laut wilayah Johor dengan empat pulau baru akan dibina hasil daripada tambakan laut.

Media luar melaporkan, projek berkenaan akan melibatkan kos sebanyak RM100 bilion, atau dengan mudah bolehlah dikira hampir 20 kali ganda daripada kos pembinaan Putrajaya.

Tentunya jumlah itu bukanlah kecil. Dalam pertumbuhan negara yang tidak begitu baik, hampir mustahil ada sebuah syarikat pembangun harta tanah mempunyai wang sebanyak itu untuk membangunkan projek yang 20 kali ganda berbanding pembinaan Putrajaya dahulu.

Oleh itu, projek berkenaan dilaporkan dibangunkan dengan wang dari luar, khususnya China. Di dalamnya juga dilaporkan akan dibina 700,000 kediaman yang harganya juga bukan kepalang tinggi dan mahal-mahal belaka.

Seperti persoalan yang dibangkitkan Dr Mahathir, siapakah antara rakyat Johor yang akan membeli unit-unit rumah di Forest City?

Nama Forest City itu saja sudah begitu "komersial" untuk pasaran luar, kerana ia tidak dinamakan dengan bahasa Melayu. Dari situ terhidu bahawa pasaran Forest City bukanlah untuk orang Melayu, dan bukan pula khususnya untuk orang Johor.


Populasi rakyat Johor hari ini adalah sekitar 3.5 juta orang, atau kira-kira 40 peratus lebih rendah daripada keseluruhan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur.

Mungkin munasabah untuk Dr Mahathir berasa bimbang mengenai siapa yang akan mengisi unit-unit kediaman yang akan dibangunkan di Forest City itu kelak, yang dilihat tidaklah seimbang dengan jumlah populasi rakyat Johor.

Inilah asas kebimbangan ke atas sebuah projek mega yang tidak pernah wujud bukan sahaja dalam sejarah Johor, tetapi juga dalam sejarah Malaysia.

Pada masa sama, projek tambakan laut dan pembinaan unit kediaman mewah bukan saja menimbulkan keresahan di negara kita, tetapi juga di beberapa kota dan negara lain di dunia.

Sebagai contoh, di Jakarta bantahan terhadap Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, bukan sahaja pada isu agama, tetapi kemasukan sejumlah besar orang China yang tidak terkawal dan membeli unit-unit kondominum mewah di kota raya itu.

Wajib jadi hebat semula

Kaum Tionghua Indonesia sendiri tidak begitu selesa dan tidak menyenangi orang Tionghua dari Tanah Besar China. Walaupun ciri-ciri kebudayaan mereka masih ada kesamaan, tetapi yang paling dibenci adalah aspek bahasa yang berbeza.

Masyarakat Cina Indonesia masih kental dengan semangat nasionalismenya dengan menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa harian, sedangkan orang Tionghua dari China tetap bercakap bahasa Cina sama ada di pusat beli-belah sehinggalah ketika menaiki teksi.

Apakah keadaan yang menimpa dan mulai mendatangkan masalah kepada warga Jakarta sekarang, akan berlaku pula di Johor?

Begitulah peringatan Dr Mahathir mengenai jumlah penduduk bukan pribumi yang ramai dan menguasai Singapura satu ketika dahulu akhirnya menjadi antara punca sebuah pulau milik Johor terlepas daripada kekuasaan penduduk asal, khususnya orang Melayu.

Semua itu berlaku apabila Temenggung menandatangani perjanjian dengan British. Keadaan bertambah parah dengan kelekaan penguasa Melayu yang mabuk dengan kemewahan sementara.

Bagaimana pesat, bersih dan hebatnya Singapura pada hari ini, pulau itu bukan lagi di bawah kuasa Melayu dan sudah pun terlepas daripada Malaysia. Pulau itu membentuk identitinya sendiri di tengah-tengah Nusantara yang dikuasa oleh pribumi sama ada di Malaysia mahupun Indonesia.

Menangis air mata darah pun, pulau atau wilayah yang sudah hilang akan tetap hilang. Persoalan hari ini adalah, apakah yang akan terjadi di sebuah lagi wilayah di dalam negara ini apabila begitu ramai pendatang dari luar - khususnya dari China - akan memilik unit kediaman di Johor?

Kesannya mungkin bukanlah dalam tempoh singkat, tetapi yang harus difikirkan untuk 20, 30, 50 atau 100 tahun akan datang.

Kita hanya tinggal kuasa yang akan menentukan bangsa, seperti lirik lagu Anak Kecil Main Api.

Mungkin benar, kuasa itu masih ada di tangan orang Melayu, iaitu kuasa mengundi untuk menggantikan sebuah kerajaan yang mengizinkan semua ini terjadi kepada kerajaan baru yang akan kembali membela nasib rakyat tempatan.

Selain diselamatkan, Malaysia wajib kembali menjadi hebat. Wajib!

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi

YAN - Suami isteri trauma, anak saudara 14 tahun dilarikan lelaki berpakaian anggota keselamatan


YAN - Sepasang suami isteri trauma selepas  wang hasil jualan ikan bernilai RM400 lesap sekelip mata dan pada masa sama, anak saudara lelaki berusia 14 tahun turut dilarikan seorang lelaki berpakaian anggota keselamatan, Sabtu lalu.

Noor Haslinda Harun, 36, berkata, lelaki dipercayai berusia lewat 30-an itu menaiki kereta jenis Perodua Viva dan berhenti untuk membeli ikan sekitar 12.00 tengah hari.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana sebaik keluar dari kereta, dia terus memilih sotong dan ikan yang kesemuanya berharga RM75 sambil bercerita mahu adakan jamuan. Saya melayannya seperti biasa dan tidak syak perkara pelik akan berlaku," katanya.

Menurutnya, ketika itu keadaan agak sibuk kerana terdapat seorang pelanggan sedang menunggu wang baki dikembalikan sebanyak RM10.

"Kebetulan ketika itu saya tiada wang kecil dan lelaki itu menawarkan wang RM10 miliknya sambil mempelawa saya untuk menukar wang. Saya terus bersetuju dan meminta dia berurusan dengan suami kerana sedang sibuk melayan pelanggan," katanya.

Suaminya, Kamaruddin Hassan, 58, berkata, lelaki itu berjalan ke arahnya dan mengajak ke suatu tempat untuk menukar wang kecil sebanyak RM400.

"Saya hulurkan wang dan meminta wang kecil daripadanya, tetapi dia ajak saya ke suatu tempat untuk ambil wang itu. Saya meminta pertolongan anak saudara kerana saya perlu membantu isteri," katanya.

Tambah Kamaruddin, sejurus anak saudaranya mengikut lelaki berkenaan menaiki kereta, isterinya bertanya kenapa anak saudaranya berbuat demikian dan pelik dengan keadaan itu.

"Saya tersedar dan mula terfikir yang saya mungkin ditipu. Suasana agak tegang, mana tidaknya, risau memikirkan nasib anak saudara. Namun, bersyukur anak saudara ditinggalkan lelaki itu di sebuah perhentian bas sejauh satu kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Menurut Kamaruddin, dia dan isteri membuat laporan polis di Balai Polis Yan sejurus itu.

"Saya nasihatkan peniaga tepi jalan seperti kami supaya lebih berhati-hati . Jangan mudah mempercayai orang luar dalam apa jua keadaan," ujarnya.

Sementara, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Supritenden Halim Yatim mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan.

Menurut Halim, kes disiasat  bawah Seksen 379 kanun keseksaan.

Pendang - Ibu muda risau anak kecil hidap 'hidrosefalus'


PENDANG - Seorang ibu muda hidup dalam kerisauan kerana sentiasa memikirkan nasib anak kecilnya yang menghidap penyakit 'hidrosefalus' sejak berusia satu bulan.

Noor Azimatun Faghira Aziz, 20, berkata, dia sedih dan risau memikirkan keadaan serta nasib anaknya.

"Kepala anak saya semakin membesar saban hari dan ini menyebabkannya tidak selesa dan sering menangis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Lapan, Pendang di sini.

Difahamkan kepala anaknya, Nur Sutra Fatihah Abdullah, 16 bulan mempunyai kandungan air yang berlebihan.

"Saya sendiri tidak pasti apa punca sebenar perkara sebegini berlaku dan hanya berharap dia boleh sembuh dan membesar seperti bayi lain," katanya.

Menurut Azimatun anaknya itu pernah menjalani pembedahan pada 30 Ogos 2016 namun masih lagi berkeadaan yang sama.

Azimatun berkata, anaknya itu juga memerlukan susu khas yang berharga RM86 satu tin yang hanya bertahan selama dua minggu.

"Anak saya tak boleh minum susu lain kalau tidak dia akan muntah. Kesian pula bila tengok dia muntah sebab dia terlalu kecil untuk merasai kesakitan seperti ini," katanya sambil menahan sebak.

Katanya, sebagai seorang suri rumah dia rasa agak tersepit dengan keadaan ini kerana perlu memperuntukkan wang yang agak tinggi untuk anaknya.

Suaminya, Mohd Syarifudin Abdul Rashid, 22, baru sahaja mendapat tawaran bekerja sebagai tentera darat dan sekarang berada di Melaka.

"Sejak lahir anak saya tidak dapat bergerak kiri dan kanan, dan alhamdulilah selepas pembedahan tahun lalu dia dapat bergerak sedikit namun saiz kepalanya semakin membesar.

"Sekarang ini saya cuma minta bantuan ayah untuk hantar saya dan anak ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan setiap bulan di hospital.

Azimatun berkata, pelbagai kaedah rawatan telah dilakukannya.

"Perubatan secara tradisional juga telah saya lakukan dan ternyata keadaannya masih sama.

"Saya rayu kepada orang ramai yang mempunyai kaedah rawatan bagi penyakit ini supaya menghubungi saya di talian 01132091029," katanya.

Isu BR1M Tun Mahathir masih konsisten tiada istilah U-Turn


KOTA BHARU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat masih konsisten dalam isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) walaupun ramai menganggap beliau sedang membuat pusingan U terhadap pendiriannya sebelum ini.

Penganalisis politik, Dr Rusdi Omar berkata, kenyataan Tun Mahathir bahawa BR1M akan diteruskan untuk diberikan kepada golongan memerlukan di mana pelaksanaannya dilakukan oleh pegawai kerajaan dan bukannya orang politik seperti diamalkan sekarang ini. 

"Bantuan ini akan dijadikan seperti bantuan berkanun iaitu (bantuan) tetap, ditentukan oleh undang-undang atau akta tertentu dan perlu diletakkan di bawah kementerian khas yang akan bertanggungjawab terhadapnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tun Mahathir sering tukar kenyataan]

"Ini bermakna, ia bukan berbentuk bantuan politik dan tidak boleh dimasukkan dalam manifesto mana-mana parti politik bagi elak daripada bantuan tersebut dijadikan sebagai imbuhan sekiranya sesuatu pihak (parti) menjadi kerajaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, dengan kata lain pemberian BR1M cara Tun Mahathir ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat betul-betul miskin dan daif berikutan ia merupakan bantuan kekal walaupun parti mana yang mentadbir negara pada masa hadapan.

"Bantuan ini akan terus kekal kerana ia akan menjadi satu bentuk bantuan kerajaan yang wujud berdasarkan undang-undang atau akta berkaitan, bukannya (bantuan) disebut dalam manifesto pilihan raya mana-mana parti politik semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, Dr Rusdi berkata, beliau percaya tindakan Tun Mahathir masih konsisten dan pendirian beliau bahawa BR1M tidak seharusnya menjadi bantuan politik ada rasionalnya kerana ia akan dilihat sebagai salah satu cara untuk membeli undi kerana menjadi manifesto mana-mana parti yang bertanding dalam pilihan raya.

"BR1M yang ada sekarang ini lebih kepada memancing undi semata-mata kerana agihannya dibuat orang-orang politik. Jika kerajaan benar-benar ingin membantu rakyat miskin dan daif, lakukan sebagaimana saranan Tun Mahathir, Insya-ALLAH orang Melayu terutamanya akan menyokong kerajaan hari ini kerana mereka akan dapat manfaat ini sampai bila-bila," katanya.

Tanah rizab Melayu wasiat raja-raja hanya tinggal 12 peratus

SEMASA pembentukan Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, wasiat raja-raja Melayu telah menetapkan nisbah sebanyak 50 peratus tanah di negara ini sebagai Tanah Rizab Melayu. Namun kini jumlah itu telah susut kepada hanya 12 peratus sahaja.


Satu daripada tujuh wasiat raja-raja Melayu ada menyebut:

"Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain."

Namun, kajian dalam tahun 2009 mendapati keluasan tanah yang ditetapkan sebagai Tanah Simpanan Melayu, atau Tanah Rizab Melayu hanya tinggal 12 peratus daripada 12.9 juta hektar keseluruhan tanah Semenanjung Malaysia tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka.


Secara rumusan, kajian Jabatan Pengurusan Hartanah, Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur, UiTM mendapati, keluasan Tanah Rizab Melayu menunjukkan trend penyusutan keluasannya ekoran terdapat banyak tanah yang dibatalkan status untuk tujuan pembangunan dan penggantian tanah tersebut tidak dilakukan demgan serta merta.

Kerajaan Barang Naik, BN sering kali memainkan isu bangsa untuk meraih sokongan orang Melayu agar mengundi mereka. 

Tak habis-habis cerita DAP nak rampas tanah orang Melayu, DAP nak hapuskan hak istimewa orang Melayu.

Persoalannya, selama 59 tahun sejak negara merdeka, parti manakah yang memerintah negara ini?

Jadi parti mana selama ini mentadbir negara sehingga tergadainya Tanah Rizab Melayu, dan hanya tinggal 12 peratus?

Adakah DAP yang memerintah sehingga tergadainya Tanah Rizab Melayu? Atau Umno dan Barisan Nasional?


Read more: http://www.milosuam.net/2017/01/tanah-rizab-melayu-wasiat-raja-raja.html#ixzz4W9b856pn

Forest City : Dr Mahathir bukan memomokkan isu semata-mata


CATATAN DI RANTAU

Dr M: Dakwaanya ada benarnya?
[kemaskini] Di kejauhan ini teringin juga saya hendak menyentuh sedikit mengenai polemik (perbalahan kata-kata) antara Dr Mahathir Mohamad dengan seorang sultan di negeri bahagian selatan Semenanjung.

Sultan berkenaan diaporkan terkilan dengan cara Dr Mahathir mempertikaikan pembangunan di negeri itu yang boleh menguntungkan orang asing dan akhirnya menyebabkan kemungkinan negeri itu tergadai.

Isu dibangkitkan bekas PM itu ialah mengenai kemasukan warga Cina ke negeri itu menerusi projek dinamakan Forest City yang merupakan bandar hijau ala tropika yang bebas cukai. Apabila terlaksananya projek itu nanti menyebabkan 700,000 warga Cina akan bermukim di situ.

Dr Mahathir menaruh kebimbangan apabila mereka bermukim di situ dengan membeli aset, kediaman dan hartanah lain dalam bandar itu akhirnya mereka akan menjadi penduduk kekal, dan boleh mendaftar sebagai pemilih - menentukan geopolitik Malaysia.

Dr Mahathir ada alasan dan hujah untuk berpendapat demikian. Tentu ia berdasarkan sejarah dan apa yang sudah berlaku. Asal mulanya kedatangan kaum asing ke negara ini; Cina, India adalah untuk menjadi boroh sahaja.

Mereka dibawa masuk oleh penjajah untuk bekerja di ladang atau melakukan perlombongan, di mana orang Melayu belum ada kebolehan dan kepandaian dalam bidang-bidang berkenaan. Kebodohan orang Melayu itu dieksploitasi oleh penjajah.

Asas kedatangan mereka sebagai sementara sahaja, dalam masa sama mereka datang untuk mencari rezeki, dan yang cerdik dan berambisi yang terselit di situ mungkin datang dengan niat untuk meluaskan empayar Tiongkok.

Atau ada yang dibawa khas oleh penjajah untuk menjadi buruhnya. Apa kesudahan kepada mereka ini. Selepas selesa berada di Tanah Melayu, beranak pinak termasuk berkahwin dengan orang Melayu, mereka melupai negara asal mereka. Menerusi satu peraturan atau dasar apa dinamakan "jus soli" mereka secara automatik menjadi warganegara. Menerusi dasar ini mana-mana Cina yang lahir selepas merdeka (1957) automatik menjadi rakyat Malaysia.

Peraturan atau dasar dibuat tanpa persetujuan referendum orang Melayu yang dampaknya sangat menguntungkan mereka.

Lebih parah lagi apabila penjajah meninggal negara ini mereka diberi keistimewaan oleh penjajah (British) memaksa raja-raja Melayu, penguasa Tanah Melayu dan juga parti politik nasionalis didikan Barat ketika itu menerima mereka sebagai warganegara. Penerimaaan itu sebagai syarat untuk merdeka. Sejarahwan dan ahli politik jati nasional berhaluan kiri menganggap ia adalah satu tektik penjajah untuk terus menguasai negara ini secara diplomasi.

Kita tidak mahu pertikaikan sejarah dan fenomena itu. Tetapi itulah asas yang disebut Dr Mahathir dan menyebabkan beliau melayarkan kebimbangan apa yang berlaku di Johor itu. Baginya juga cara kemasukan warga Cina itu tidak menguntungkan negara dari segi pelaburan dan masa depan.

Sebabnya seperti mana alasan diberikan, projek itu dibina oleh syarikat Cina, mereka berurusan dengan bank mereka, bukan bank tempatan. Pelbagai kepakaran pembangunan juga diimporat dari negara Panda itu. Langkah atau polisi ini menyebabkan tidak berlaku pengaliran wang yang kondusif untuk kebaikan negara. Selain itu ada hal-hal lain lagi merugikan negara dan manfaat besar dari projek itu tidak diperolehi.

Itu antara hujah dan alasan Dr Mahathir. Malangnya ia menimbulkan kemarahan dan ada yang beranggapan Dr Mahathir mahu bermain politik perkauman dengan isu berkenaan. Malang dan sedih campur "baghral" atau "anak kuda lembab" lagi, ada yang kata isu 700,000 Cina itu sebagai momokkan Dr Mahathir sahaja. Ertinya Dr Mahathir mereka-reka cerita untuk menakut-nakutkan orang ramai khasnya ethnik Melayu kerana ingin mencapai cita-cita politiknya.

Sebab dikatakan begitu kerana orang berkenaan, (sebut namalah), (Shahril Samad) kata Dr Mahathir cakap berlainan rasa dan cara, berubah-rubah. Menurutnya dulu Dr Mahathir cakap warga Cina itu akan menjadi pengundi dan akan undi BN, selepas itu ubah cakap apabila gagal membuktikan kelogikannya. Itu alasan dan sebab kenapa ahli Parlimen Johor Baharu itu kata Dr Mahathir memomokkan perkara itu.

Musykil saya kenapa seorang ahli politik yang dianggap berprinsip, berpandangan jauh dan berani serta sebijak seperti Shahril menjadi payah untuk memahami cara Dr Mahathir berpolitik. Kenapa dangkal untuk menyelami mesej Dr Mahathir?

Saya percaya Shahril sangat faham mengenai apa yang dikatakan itu - bukanlah mudah untuk wargara negara asing menjadi pengundi di negara ini apa lagi dalam jumlah yang ramai.

Pun begitu Dr Mahathir cukup arif macam mana hendak menjadikan pelarian atau pendatang tanpa izin dari Indonesia di Sabah sebagai pengundi bagi mengimbangi kuasa bumiputera Islam dengan Kristian di Sabah dulu.

Bukankah kalau tidak dengan menjadikan PATI sebagai pengundi Sabah, negeri di Bawah Bayu itu terus dikuasai Kristian menerusi PBS? Kerana berfikir ada kemungkinan pemimpin BN Johor berfikiran begitu untuk mengekalkan kuasanya maka Dr Mahathir mendedahkan rahsia sendiri dengan perbuatan itu. Saya yakin matemetik Dr Mahathir dapat dihurai Shahril.

Untuk pengetahuan Shahril yang buat-buat tidak fahama dengan cara Dr Mahathir itu, beliau (Dr M) sengaja menuduh demikian agar orang ramai memberi perhatian kepada kedatangan warga Cina itu. Tanpa beliau mengeksplotasi isu demikian, menyebut angka itu orang tidak akan sedar dan berasa bimbang. Apabila Dr Mahathir mengatakan dan membuat spekulasi demikian maka orang akan mengambil perhatian mengenai kemasukan Cina dan kekhuatirannya itu.

Selepas itu mula ada kegeruman dalam jiwa orang Melayu apa lagi pihak yang berasakan warga Cina akan menjadi pesaing mereka di Johor. Mereka akan mula berfikir dan mencari kebenarannya.

Di samping itu Dr Mahathir bukan beretorik dengan isu dan angka serta kebimbangan yang diluahkan itu. Ia ada kebenaran dan bersumber. Sumbernya ialah dari laporan Blooomberg pada 22 November 2016. Sepatutnya kalau hendak kata Dr Mahathir memomokan atau sengaja membangkitkan isu perkauman, elok laporan Bloomberg itu dinafikan dahulu.

Apakah Shahril atau kerajaan Johor ada menafikan laporan itu serta mengemukakan fakta dan figure sebenarnya sebelum ini? Kalau tidak ada dakwaan dan rasa takut Dr Mahathir itu masih valid.

Kalau tidak benar dan tiada penafian, atau tidak berani ternyata kerana sebab-sebab tertentu, tindakan Dr Mahathir itu adalah tindakan baik yang dibuat demi negara dan bangsanya. Dr Mahathir sesungguhnya bukan broker (brua) dan orang yang mahu mengambil kesempatan tanpa perhitungan budaya, politik, hukum hakam agama dan jauh sekali dengan niat hendak menggadai negara.

Tulisan ini akan dikemas dan diedit semula di Malaysia. [mdn. Indonesia.10:42 am 18/01/17] MSO

Penolong jurutera kanan ditahan SPRM disyaki menyalahgunakan kuasa dan meminta rasuah


SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penolong jurutera kanan awam yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan meminta rasuah di kediamannya di Kampung Sungai Daun di Sik, Kedah.

Sumber berkata, suspek berusia 56 tahun itu ditahan pada jam 11.30 pagi selepas dipercayai melakukan kesalahan terbabit membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik.

Menurut sumber lagi, SPRM  juga merakamkan percakapan seramai 12 individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh orang kontraktor.

"Suspek dipercayai melakukan kesalahan terbabit sejak 2012 dan siasatan kini tertumpu kepada beberapa kontraktor kroni dan mengenal pasti jumlah sebenar wang suapan yang diterimanya sejak memegang jawatan itu empat tahun lalu.

"Sekiranya kontraktor terbabit tidak mahu membayar wang rasuah, suspek akan menyenaraihitamkan mereka. Suspek akan meminta rasuah menerusi aplikasi WhatApps dari syarikat yang dilantik menerusi permohonan sebut harga," katanya.

Sumber berkata, pembayaran rasuah kepada suspek akan diberi secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau di dalam kenderaan milik suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek sudah menganugerahkan sebanyak 28 projek kepada tujuh kontraktor yang ada kepentingan bernilai RM650,000.

"SPRM juga dikatakan telah menyita fail yang ada kaitan dengan projek kerja naik taraf jalan di daerah Sik pada 2016," katanya.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan suspek dijangka akan direman di Mahkamah Alor Setar, esok.

Muhyiddin & Forest City : Sepatutnya pajak bukan jual tanah kepada syarikat serta rakyat negara asing.

KENYATAAN YB TAN SRI MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

1. Aziz Kaprawi tidak perlu persoal kesetiaan saya kepada DYMM Sultan Johor.

2. Sebagai anak Johor, sudah tentulah saya tumpahkan taat dan setia saya kepada Raja dan Negeri Johor. Selain itu, menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu juga adalah sebahagian daripada matlamat perjuangan parti saya yang jelas termaktub di dalam perlembagaannya. Jadi, jangan persoalkan kesetiaan saya kepada Sultan Johor.

3. Isu yang berada di hadapan kita sekarang bukan isu kesetiaan. Isu pokoknya kedaulatan. Ia adalah soal prinsip. Apa prinsip kita mengenai kedaulatan negara dan kepentingan rakyat? Adakah penjualan tanah-tanah kepada syarikat asing untuk dibina rumah-rumah kediaman yang kemudiannya dijual sebahagian besarnya kepada rakyat negara asing memenuhi kepentingan rakyat negara ini? Bagaimana pula tanah-tanah ini yang dimiliki secara kekal oleh rakyat negara asing tidak mendatangkan ancaman kepada kedaulatan negara?

4. Sejarah mengajar kita bahawa penjajahan bermula dengan tindakan pemerintah menjual sebahagian daripada wilayah negerinya kepada pihak asing. Akhirnya, wilayah itu jatuh ke tangan asing dan hilanglah kedaulatan negeri ke atas wilayah itu. Wilayah yang telah hilang ini tidak dapat diperolehi semula oleh negeri itu. Inilah pengalaman yang dilalui oleh negeri-negeri Melayu ketika British datang ke tanah air kita dengan Syarikat Hindia Timurnya. Inilah juga persoalan pokok yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir dan ianya amat berasas.

5. Ada pihak yang mengatakan bahawa penjualan tanah-tanah ini kepada syarikat asing dari negara China adalah pelaburan asing. Apabila saya mengkritik dasar ini, saya dituduh anti pelaburan asing. Tidak kurang juga ada media tempatan mengecap saya anti-Cina.

6. Saya tahu apa maksud pelaburan asing dan saya antara orang yang bertanggungjawab membawa masuk pelaburan asing ke Malaysia ketika saya berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Malah, ketika saya menjadi Menteri Besar Johor, saya juga mengetuai banyak delegasi ke luar negara untuk membawa masuk pelaburan asing ke negeri Johor. Orang Johor pasti ingat negeri Johor membangun dengan pesat pada ketika itu.

7. Pelaburan asing berlaku apabila syarikat luar negara datang menanam modal di negara kita. Mereka membuka kilang-kilang pembuatan di negara ini, menggunakan bahan-bahan mentah tempatan untuk menghasilkan produk-produk samada untuk dieksport atau dijual di pasaran tempatan dan menggaji pekerja-pekerja tempatan.

8. Kerajaan menyediakan tanah untuk mereka mendirikan kilang-kilang tetapi tanah ini tidak dimiliki secara kekal oleh syarikat-syarikat asing ini. Tanah-tanah ini dimiliki secara sementara dan apabila tempoh pajakan tamat, ia mesti dikembalikan semula kepada kerajaan. Daripada pelaburan asing ini, rakyat mendapat manfaat dari segi peluang-peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan limpahan ekonomi di kawasan sekitar. Di samping itu, negara tidak kehilangan tanah kepada syarikat asing.

9. Apa yang berlaku di Forest City adalah sebaliknya. Syarikat asing tidak menanam modal, sebaliknya membeli tanah-tanah untuk dibangunkan dan dijual. Para pekerja terdiri daripada warga asing yang sebahagian besarnya didatangkan dari negara China dan bahan binaan juga dari negara China. Malah para pembeli unit-unit kediaman berjumlah 700,000 unit kesemuanya juga sebahagian besarnya adalah warganegara China. Juteru, apa manfaatnya kepada rakyat dan negara Malaysia selain keuntungan yang diperolehi oleh syarikat-syarikat yang menjalin usahasama dengan syarikat China?

10. Sebenarnya, yang berlaku di Forest City bukanlah pelaburan asing, tetapi penjualan tanah kepada syarikat asing. Ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara yang dihadiri oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri. Dasar kerajaan pada ketika itu ialah tanah-tanah yang dijual kepada pelabur asing mestilah tidak berstatus hak milik kekal. Ini penting supaya tanah-tanah ini tidak jatuh ke tangan pihak asing.

11. Adakah dasar ini telah tidak dipatuhi oleh kerajaan negeri Johor ketika meluluskan penjualan tanah-tanah di Forest City kepada syarikat asing? Atau adakah dasar mengenai pemilikan tanah oleh orang asing telah berubah? Persoalan ini perlu dijawab oleh kerajaan negeri Johor dan kerajaan Persekutuan.

12. Ya soal tanah adalah bidang kuasa negeri tetapi apakah kerajaan negeri boleh mengenepikan dasar pemilikan tanah oleh warganegara asing dan sekatan-sekatan yang biasa dikenakan ke atas pemindahannya boleh diketepikan begitu sahaja hanya dilihat dari sudut keuntungan wang ringgit semata-mata tanpa mempedulikan soal hak dan kedaulatan negeri?

13. Isu pokok ialah keselamatan dan kedaulatan negeri dan negara. Adalah menjadi suatu kewajiban, malahan ianya amanah yang saya dan PPBM harus pikul untuk mempertahankan bumi Johor dan Malaysia dari jatuh dimiliki oleh orang asing. Apa jadi kepada negeri kita jika semakin banyak tanah kita terlepas ke tangan asing disebabkan kealpaan kita untuk mempertahankannya! Tanah Besar China mempunyai agenda tertentu untuk menawan ekonomi wilayah termasuk rantau ini menerusi Gagasan Laluan Suteranya. Itulah juga yang diperingat oleh Tun Mahathir

14. Yang ditakuti ialah apabila pemimpin yang berkuasa menghadapi bebanan wang dan hutang yang berbilion sanggup menggadai tanah pusaka kepada orang asing untuk menyelesaikan tanggungannya. Maka hilanglah milik kita kepada orang lain! Apakah Bandar Malaysia milik Malaysia?

15. Bagi saya, kesetiaan tidak bersifat membuta tuli. Ia mestilah berpaksikan kepada prinsip kebenaran. Itu juga yang diajar oleh agama Islam. Ketika kedaulatan negara sedang tergugat dan kepentingan rakyat terancam, maka sebagai seorang warganegara yang setia kepada raja dan negara, tanggungjawab saya adalah untuk bercakap benar.

MUHYIDDIN YASSIN
18 Januari 2017





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...