TERKINI :

Tuesday, January 17, 2017

Umno yang lenyapkan tanah rizab melayu, alih-alih yang salahnya CINA DAP.

Tanah Rizab Melayu..

British gubal Enakmen Tanah Rizab Melayu untuk jaga kepentingan kaum melayu tapi Kerajaan Melayu Umno lenyapkan tanah rizab melayu.

British gubal Enakmen Tanah Pertanian Melayu di Kampung Baru Kuala Lumpur untuk jaga kepentingan orang melayu di Kuala Lumpur tapi Kerajaan Melayu Umno bersungguh-sungguh hapuskan tanah orang melayu...

Alih-alih yang salahnya CINA DAP.

Terbaru, Kerajaan Negeri Kedah dengan suka hati mengisytiharkan semua institusi kewangan sebagai melayu bagi membolehkan tanah-tanah rizab melayu digadaikan dan dijual kepada orang selain melayu sedangkan Enakmen Tanah Rizab Melayu Kedah melarang transaksi dengan orang bukan melayu. Mahkamah Rayuan Putrajaya juga telah mengisytiharkan sebarang transaksi melibatkan tanah rizab melayu dengan institusi yang tidak diisytihar sebagai melayu adalah tidak sah.

Melayu apa yang nak jual hak melayu??

DAP secara konsisten mempertahankan hak istimewa orang melayu seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

DAP jugak yang salah?

DAP terus berjuang untuk semua.

Zulhazmi Shariff

ISKANDAR, BERHENTILAH JADI EXCO SELANGOR ATAU #SILAMENINGGAL?

Shahbudin Husin,

Naib Presiden Pas, Iskandar Abdul Samad yang namanya diberitakan hadir semasa majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia Sabtu lalu, tetapi sebenarnya tidak hadir, akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai ketidakhadiran di majlis itu.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata, keputusan tidak menghadiri majlis tersebut ialah kerana adanya DAP dan Amanah di majlis tersebut.

"Pas tidak mempunyai sebarang hubungan politik dengan kedua-dua parti itu menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil keputusan tidak menghadirkan diri," katanya.

Logik atau tidak alasan Iskandar itu?

Kalau hubungan politik menjadi alasan, mengapa pula Pas boleh menghadiri pelbagai program, sedondon dan berpimpin tangan dengan pemimpin-pemimpin UMNO?

Di mana wujudnya hubungan politik antara UMNO dengan Pas?

Kenapa dengan DAP dan Amanah, hubungan politik menjadi alasan, tetapi bila dengan UMNO bukan main gembira dapat duduk bersama sambil menyatakan ia tidak salah apa-apa?

Selain itu, jika alasan hubungan politik juga menjadi sandaran yang seolah-olah Pas tidak boleh berada semajlis dengan DAP dan Amanah, bagaimana pula dengan kedudukan beliau sebagai Exco Selangor yang turut ada DAP di dalamnya?

Bagaimana dengan mesyuarat Exco Selangor yang ada DAP di dalamnya, adakah selama ini beliau dan lain-lain Exco Pas tidak hadir juga?

Begitu juga dengan majlis-majlis rasmi kerajaan negeri Selangor yang tuurt dihadiri oleh Adun-Adun DAP dan Amanah, adakah pimpinan Pas tidak pernah sama-sekali menghadirinya?

Jika hadir, apa pula alasannya?

Kiranya tiada hubungan politik mahu dijadikan sebab, bilakah Iskandar dan lain-lain pemimpin Pas yang menjadi Exco mahu meletakkan jawatan?

Bukankah terang-terang ada DAP di situ?

Kalau ditanya dengan anak-anak muda kaki gebang di media sosial mengenai alasan Iskandar kali ini, jawapan yang bakal mereka lontarkan tidak lain ialah #silameninggal dengan hujah karut dan tidak masuk akal tersebut. (SH 17/01/2017).

PERIGI BUTA' : DATUK ISKANDAR PUN NAK TERJUN MASUK JUGA?

Kenyataan Media.

*'PERIGI BUTA' : DATUK ISKANDAR PUN NAK TERJUN  MASUK JUGA*?

1.Saya agak terkejut dengan penjelasan YB Datuk Ir Iskandar Abdul Samad,Naib Presiden PAS yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor.

"Mohon penjelasan lebih lanjut dari Datuk Iskandar mengenai *_ketidakhadiran PAS_* pada Majlis Perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Stadium Malawati pada 14 Jan 2017 yang lalu *_disebabkan kehadiran Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP_*.

"Keputusan untuk tidak hadir disebabkan kehadiran AMANAH dan DAP pada majlis tersebut serta ketiadaan hubungan politik PAS dengan kedua-dua parti tersebut menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil keputusan tidak hadir ke pelancaran PPBM",kata Datuk Iskandar.

2. Pada saya kenyataan dan penjelasan Datuk Iskandar sangat mengejutkan dan *_mengundang risiko yang besar kepada kelangsungan politik PAS khususnya kedudukan PAS dalam kerajaan Negeri Selangor_*.

*_"Kenyataan tersebut seolah memberi isyarat kepada YAB Datuk Seri Mohd Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bahawa 3 orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor dari PAS tidak akan hadir mesyuarat Exco akan datang dan sekali gus akan melepaskan jawatan sebagai Exco_* disebabkan anggota *_Exco kerajaan negeri terdapat juga wakil dari DAP_* dengan jumlah bilangan yang sama dengan PAS.

Kenyataan Datuk Iskandar juga membayangkan yang *_semua Ahli Majlis PBT dari PAS di Selangor akan bertindak seiring dengan tindakan Exco disebabkan semua PBT Selangor terdapat wakil DAP dan beberapa orang wakil AMANAH_*.Saya juga percaya yang Datuk Iskandar perlu bertindak demi maruah".

3. Kenyataan Datuk Iskandar juga membayangkan *_PAS akan menamatkan atau memutuskan hubungan dengan PKR dan tidak akan menjalinkan hubungan dengan PPBM_* kerana kedua-dua parti ini mempunyai hubungan kerjasama politik melalui dokumen perjanjian kerjasama (MoU).

4. Tidak mustahil *_demi maruah, Datuk Iskandar akan lakukan ini untuk tidak lagi dituduh seperti dakwaan wakil Dewan Ulamak PAS Selangor pada tahun 2016 yang berkata wakil rakyat dan mereka yang nak pertahankan kerajaan Selangor kerana sayangkan jawatan_*.

Kenyataan Dewan Ulamak PAS Selangor telah mengundang reaksi Datuk Iskandar dengan berkata mereka yang mendakwa sedemikian rupa sebenarnya *_sejak tahun 2008 berada dalam perigi buta_*.

Persoalannya adakah Datuk Iskandar dan wakil rakyat PAS di Selangor bersedia untuk kembali *terjun ke dalam 'PERIGI BUTA'?*.

*DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
5.45pm Taman Al Walid Alor Setar
17 Jan 2017/ 18 Rabiulakhir 1438H

China bantu M'sia kawal sempadan?


A Kadir Jasin

ULASAN Bernama melaporkan daripada Kunming, China, pada 14 Januari lepas yang China menyuarakan kesediaan memindahkan teknologi kawalan sempadan kepada Malaysia.

Agensi berita itu memetik Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, (Datuk Seri) Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata, banyak yang boleh dipelajari China mengenai pengawasan sempadan.

Beliau memberi contoh di wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Laos, Myanmar dan Vietnam sepanjang kira-kira 4,060km.

Beliau berkata, Malaysia akan menghantar 10 orang pegawai dari pelbagai agensi, seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), imigresen, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, polis dan tentera ke China dua bulan lagi bagi mendalami prosedur operasi kawalan sempadan China.

Soalan yang saya hendak tanya Zahid ialah China nak kawal sempadannya daripada siapa?

Sepanjang yang kita tahu, selain rakyat Korea Utara, tidak ramai orang luar yang hendak menyeludup masuk ke China. Bagi negara yang berpenduduk 1.4 bilion, 100,000 pendatang haram Afrika dan Arab tidaklah ramai.

Sebaliknya, kalau ada peluang, ramai orang China yang hendak keluar daripada China. Kini, ada kira-kira 50 juta orang China dan orang keturunan di luar benua China.

Kalau tak percaya, Ahmad Zahid boleh bagi tahu bilangan orang China yang masuk secara haram ke negara kita atau yang masuk sebagai pelancong dan penuntut tapi tak keluar.

Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri tentu sangat faham mengenai masalah masuk tapi tak keluar ini. Bikin kepala pusing.

Sekarang China kawal sempadan bukan macam dulu lagi iaitu dengan dirikan Tembok Besar tapi dengan menjadikan negara-negara yang berjiran dengannya sebagai negara satelit melalui kuasa tentera dan ekonomi.

Kecuali Vietnam yang mempunyai sejarah permusuhan turun-temurun dengan China, boleh dikatakan semua negara lain yang bersempadan dengannya sudah pun mengakui dan menerima kekuasaannya sebagai 'super power' tentera dan ekonomi.

Operasi Barisan Kedua

Setelah berjaya menjinakkan negara-negara yang bersempadan dengannya melalui kuasa tentera dan ekonomi, kini China berusaha menjinakkan pula negara-negara barisan kedua seperti Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.

China masih was-was terhadap Filipina kerana sejarah kerjasama ketenteraannya yang panjang dengan Amerika Syarikat.

Walaupun Presiden Rodrigo Duterte cuba menampakkan sikap berkecuali, tetapi dasar Filipina mudah berubah.

Negara sebelah sini yang paling dicurigai dan masih ditakuti China adalah Indonesia. Tangan China terbakar teruk akibat kegagalan pemberontakan Partai Komunis Indonesia (PKI) tahun 1965. PKI diketahui terletak di bawah kawalan ideologi CPC dan mendapat bantuan daripadanya.

Sejak kebelakangan ini, China amat selesa dengan Malaysia dan mula akrab dengan Singapura selepas kematian Lee Kuan Yew pada tahun 2015.

Tidak hairanlah kalau Malaysia dan Singapura sedang digula-gulakannya seperti hulubalang (warlords) China zaman silam mengkhayalkan Maharaja China dengan gundik-gundik dan candu.

China kini memperluaskan hegemoninya secara tersirat melalui kuasa tentera dan tersurat melalui ekonomi di mana Malaysia dan Singapura dianggap sebagai sebahagian daripada 'wilayahnya' di bawah projek 'one belt one road' (Obor).

Di bawah projek Obor inilah, China sangat agresif memasarkan teknologi kereta apinya kepada Malaysia dan Singapura serta memberi pinjaman berbilion ringgit bagi melaksanakannya.

Kalau pada zaman silam semua laluan dikatakan berakhir di Rom, di bawah Obor, semua laluan, khususnya kereta api, berakhir di Beijing.

Bagi Najib yang sedang lemas dalam hutang 1MDB dan musibah pertumbuhan ekonomi yang mendatar, dasar China ini umpama 'pucuk dicita ulam mendatang'.

Beliau mengambil kesempatan menjual dan menggadaikan aset negara, khususnya tanah, kepada China untuk menimbus bangkai 1MDB.

Dan apa yang Ahmad Zahid lakukan dalam lawatan ke Yunnan itu umpama 'menyorong bantal kepada orang mengantuk'.

China sedang mencari jalan memperluaskan hegemoninya dan Ahmad Zahid menawarkan satu lagi peluang melalui perkongsian kawalan sempadan.

Spektar penjajahan baru

Kalau lebih 500 lalu, korupsi harta benda dan minda di kalangan pembesar empayar Melayu membuka jalan kepada penaklukan Eropah, hari ini kita mungkin berdepan dengan fenomena yang sama.

Cuma kali ini penjajah bukan dari Barat tetapi dari Utara dan kaedahnya bukan penaklukan wilayah secara rasmi tetapi melalui intimidasi tentera dan penguasaan ekonomi.

Namun apa yang Ahmad Zahid lakukan bukanlah langkah pemula. Najib telah mendahuluinya.

Dalam lawatan ke China November lalu, Najib bersetuju membeli empat buah kapal peronda persisiran pantai (littoral mission ships) dan memberi kontrak projek landasan kereta api Pantai Timur berharga RM55 bilion kepada China.

Kesemuanya, pemberian projek, pembelian dan hutang yang dimeterai ketika lawatan Najib ke China tahun lalu berjumlah RM143.64 bilion.

Senjata dan latihan yang dibekalkan oleh CPC kepada PKM itulah yang membunuh ribuan askar, polis, home guard dan orang awam di Malaysia sehinggalah PKM dibubarkan melalui rundingan pada tahun 1989.

Kini Najib membeli senjata dari China dan Persatuan China Malaysia (MCA) – parti rakan Umno dalam Barisan Nasional - menjalin kerjasama parti ke parti dengan CPC untuk 'bekerja sebagai satu'.

Soalnya apakah lagi konsesi, tolak ansur dan layanan istimewa yang kerajaan BN pimpinan Najib-Zahid akan berikan kepada China tanpa memburukkan lagi potensi ancaman kepada kemerdekaan, kedaulatan dan keharmonian kaum?

Kawal persisiran pantai kita daripada siapa? Dari lanun Filipina dan pendatang haram negara-negara jiran?

Ancaman Sudah Bermula

Pada 15 Januari, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri) Shahidan Kassim sebagai berkata laporan media yang mengatakan nelayan sebuah negara asing yang menceroboh perairan negara tahun lepas mendapat latihan separa tentera ada kebenarannya.

Katanya, dakwaan itu dikuatkan melihat cara kedatangan nelayan asing itu secara agresif dalam kumpulan 150 buah bot besar-besar dengan diiringi bot pengawal pantai menyebabkan mereka berani melanggar bot penguat kuasa Malaysia.

“Laporan media itu sama dengan maklumat yang kita peroleh, nelayan asing ini dilatih tentera,” kata Shahidan.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana negara jiran, kita wajib tahu dan ambil ingatan bahawa negara yang paling aktif memberi latihan tentera kepada rakyat jelata adalah China dan mempunyai anggota tentera paling ramai di dunia. Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mempunyai seramai 2,285,000 anggota.

Pada 30 Mac 2016, BeritaHarian.Sg(Singapura) melaporkan walaupun tentera laut Malaysia menegaskan tidak ada kapal nelayan asing dikesan di perairan negara itu di Laut China Selatan minggu lalu, pihak berkuasa maritim berkeras menyatakan sehingga 100 bot China memasuki perairan Sarawak sejak 24 Mac sebelum meninggalkannya pada Ahad (27 Mac).

Ketua Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, mengadakan satu sidang akhbar pada Selasa di mana beliau secara khusus menegaskan "bot nelayan asing China" itu telah belayar ke arah barat sejak dikesan, dan jumlah kapal yang dikesan berkurangan kepada sekitar 85 pada Isnin.

Dasar hegemoni China di Laut China Selatan sekarang pasti memberi semangat dan keberanian kepada nelayan negara itu untuk masuk menangkap ikan di kawasan yang dipertikai dan dalam wilayah negara-negara jiran.

Sekarang mereka hanya takut kepada Indonesia yang merampas dan meletupkan kapal nelayan asing yang menangkap ikan secara haram di perairannya.

Apakah Najib dan Zahid berani menggunakan kapal yang dibeli dari China untuk bertindak tegas terhadap pencerobohan nelayan asing seperti yang Indonesia lakukan apatah lagi jika mereka dari China?

Kita wajib bersahabat dengan semua negara di dunia dan mengalu-alukan pelaburan terus mereka tetapi ini tidak bermakna kita harus menggadai kedaulatan negara dan menjual tanah kepada mereka.

DATUK A KADIR JASIN adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times. Beliau kini adalah ahli majlis tertinggi BERSATU.

Isu Tajaan Mara - Amanah pesan usah tentang macam Nik Abduh iaitu hanya tentang dalam hati.

Tajaan MARA: AMANAH pesan usah tentang macam Nik Abduh

Parti Amanah negara (AMANAH) menggesa isu penyaluran dana Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada pasukan bola sepak Kelantan disiasat segera.

Timbalan ketua pemudanya, Faiz Fadzil, berkata selepas hampir seminggu isu melibatkan penajaan skuad The Red Warriors (TRW) oleh anak syarikat milik MARA, ia masih belum disiasat mana-mana pihak.

Kata Faiz, masyarakat sudah ditunjukkan dokumen berkaitan isu berkenaan dan ada kemungkinan wujud elemen jenayah seperti penyelewengan, pecah amanah, penipuan dan rasuah.

Justeru, katanya, isu penajaan MARA untuk pasukan bola sepak Kelantan itu itu perlu disiasat segera dan secara bebas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis.


"Tan Sri Annuar Musa adalah pengerusi MARA dan pada masa sama penasihat pasukan TRW. Maka, Tan Sri Annuar pasti mempunyai kepentingan dalam kedua-dua entiti tersebut.

"Kemungkinan wujudnya elemen jenayah seperti penyelewengan, pecah amanah, penipuan dan rasuah dalam skandal penajaan wang MARA ini perlu disiasat dengan segera dan bebas oleh pihak SPRM dan Polis Diraja Malaysia kerana (beliau) mempunyai percanggahan kepentingan atas kapasitinya sebagai penasihat TRW," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Annuar "secara paksa" menggunakan wang rakyat melalui MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menaja bola sepak Kelantan.

Beberapa dokumen didakwa melibatkan penyaluran dana dua organisasi itu kepada TRW turut didedahkan.

Paling layak persoal

Annuar pada awalnya menafikan dakwaan itu tetapi sehari kemudian memberi kenyataan berbeza.

Annuar yang juga berkhidmat sebagai Ketua Penerangan Umno berkata beliau “difahamkan” terdapat surat menyurat, baucar dan dokumen lain antara The Red Warrior Sdn Bhd dan UniKL.

Namun katanya dokumen itu membuktikan urusan berkenaan dibuat secara "tertib dan berperaturan."

Pada hari sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri pula mengarahkan UniKL dan MARA menanguhkan sebarang penajaan mereka pada tahun ini kecuali untuk bidang pendidikan.

UniKL didakwa memberikan tajaan bernilai RM500,000 manakala syarikat Pelaburan Mara Berhad sebanyak RM200,000.

Faiz berkata, penafian bahawa MARA ada kaitan dalam penajaan pasukan TRW oleh Annuar tidak berasas selepas bekas menteri itu akur dengan arahan Ismail Sabri.

"Ini menunjukkan bahawa penajaan TRW ini melibatkan penggunaan wang MARA yang telah disalahgunakan.

"Setiap segmen rakyat kini mula berasa gelisah dan muak dengan pelbagai skandal salah urus tadbir Umno.

"Rakyat tidak boleh lagi berdiam diri dengan budaya korupsi dan penyelewengan," jelasnya.


Tajaan MARA: AMANAH pesan

Tambah anak bekas presiden PAS itu, jika pihak berkenaan sekadar menentang amalan itu dalam hati - seperti pernah dilakukan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz dalam skandal 1MDB - tidak memadai.

"Malahan, dalam skandal penajaan MARA ini, beliau (Nik Abduh) adalah individu paling layak untuk mempersoalkan ketelusan penajaan ini atas kapasiti beliau sebagai anggota Parlimen dari Kelantan.

"Wang MARA tidak seharusnya digunakan untuk tujuan lain selain membantu orang Melayu terutamanya dalam bidang pendidikan.

"Usah diprejudiskan hak orang Melayu dalam bidang pendidikan dengan mengutamakan kepentingan mana-mana individu ," katanya.

Buka semula kertas siasatan RM2.6B yang masuk akaun Najib duhai PEGUAM NEGARA

Peguam Dr M cabar Apandi letak jawatan

Peguam Tun Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdulla mencabar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan dengan serta merta dan memohon maaf kepada rakyat negara ini.

Jika tidak mahu berbuat demikian, kata Haniff, beliau perlu membuka semula kertas siasatan berhubung dana RM2.6 billion yang pernah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Gesaan Haniff tersebut adalah susulan keputusan mahkamah Singapura pada bulan ini yang telah menjatuhkan hukuman ke atas Pengurus Falcon Private Bank Switzerland cawangan Singapura, Jens Fred Sturzenegger.

Sturzenegger dijatuhkan hukuman penjara 7 bulan dan denda S$128,00, katanya, atas kesalahan antara lainnya penyembunyian maklumat berkaitan transaksi kewangan melibatkan dana 1MDB.

"Dua fakta terpenting yang amat relevan muncul dari kes Sturzenegger itu ialah Jho Low yang dikenali sebagai individu yang wujud sebenarnya individu bernama Eric Tan yang mempunyai beberapa akaun di bank itu dengan satu daripadanya atas nama Tanore Finance Corporation.

"Kedua pula ialah RM2.6 billion yang masuk ke akaun bank peribadi Najib sebenarnya dari akaun bank Tanore Finance Corporation yang di Falcon Private Bank yang diuruskan oleh Jho Low @ Eric Tan," jelas beliau.

Justeru, tambahnya, kenyataan Apandi yang memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan jenayah terhadap Najib berkaitan dana RM2.6 billion itu adalah tidak benar.

"Walhal, kenyataan Apandi masih tinggal sebagai kenyataan semata-mata kerana belum disahkan oleh mana-mana mahkamah sekalipun sedangkan kedua-dua fakta di atas, adalah melalui sabitan akuan salah pada rekod mahkamah dan terbukti di sisi undang-undang,

"Kini, difahami kenapa Apandi tidak mengambil mana-mana langkah munasabah supaya Jabatan Peguam Negara mewakili Malaysia dan menjadi pencelah atau peguam pemerhati di Mahkamah Singapura," katanya lagi.

Pada 11 Januari yang lalu, Sturzenegger, warga Switzerland yang merupakan individu kelima yang didakwa berkaitan siasatan Singapura ke atas 1MDB ate Bank di Singapura mengaku salah terhadap enam pertuduhan.

Sturzenegger didakwa kerana gagal mematuhi arahan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) untuk melaporkan pemindahan mencurigakan bernilai AS$1.262 bilion kepada dua akaun bank Falcon pada tahun 2013.

Beliau turut didakwa berbohong kepada pegawai MAS untuk mengalihkan perhatian daripada menyiasat beberapa akaun bank dikawal oleh Low dengan mendakwa akaun-akaun tersebut 'dimiliki dengan manfaat' oleh Eric Tan Kim Loong yang diketahui bersekutu dengan Low.

Sturzenegger dikatakan berbohong kepada para penyiasat tentang tidak pernah berhubung dengan Low.

Dapatkan tiket Piala Sumbangsih antara JDT VS KEDAH secara online

Dari fb JDT

DAPATKAN TIKET PERLAWANAN MELALUI PEMBELIAN SECARA ONLINE | PIALA SUMBANGSIH | JDT VS KEDAH

Dapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim dan Kedah melalui pembelian secara online di http://tickets.johorsoutherntigers.com.my pada 17hb Januari 2017 (sehingga tengah malam).

Kepada yang berjaya membuat pembelian, anda boleh menebus tiket tersebut pada tarikh yang berikut;
• Rabu (18.01.2017) dari jam 9.00pagi hingga 4.30 petang
• Khamis (19.01.2017) dari jam 9.00pagi hingga 4.30 petang
• Jumaat (20.01.2017) dari jam 9.00pagi hingga 8.00 malam.

Untuk penebusan, anda perlu menunjukkan resit sebagai bukti pembelian berserta kad pengenalan di kaunter khas yang akan dibuka di kaunter tiket Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin. Ayuh, jangan lepaskan peluang anda. Luaskan Kuasamu Johor.

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...