TERKINI :

Monday, January 16, 2017

PERLUKAH TERUS "MERINDUI" PAS"?

Shahbudin Husin

Walaupun disebut namanya dalam ucapan oleh Tun Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Iskandar Samad sebenarnya tidak hadir dalam majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Sabtu lalu.

Difahamkan namanya disebut dalam teks ucapan Tun Mahathir kerana kedua-duanya sudah mengesahkan kehadiran mereka sebelum ini.

Tetapi, kenapa tiba-tiba tidak hadir?

Diberitakan kemudian bahawa ketidakhadiran mereka disebabkan adanya "arahan" pada hari yang sama yang tidak membenarkan mana-mana pemimpin Pas menghadiri majlis tersebut, meskipun persetujuan untuk hadir sudah diberikan sebelum itu.

Akhirnya, satu-satunya orang Pas yang hadir dalam majlis itu ialah Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.

Namun, beliau tiada apa-apa jawatan dalam Pas, cuma masih Ahli Parlimen bagi parti tersebut. Beliau yang lebih dianggap Pas "harumanis", di luar hijau, di dalam oren, bagaimanapun memberitahu kehadirannya adalah atas kapasiti peribadi.

Dengan yang demikian, ketidakhadiran Pas dengan sendirinya menimbulkan banyak persoalan. 

Pas dilaporkan sedang dalam proses rundingan dengan Bersatu dan seperti yang pernah ditulis oleh A Kadir Jasin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, kata putus sama ada ia berhasil atau sebaliknya, mesti dimuktamadkan pada bulan ini juga.

Tugas mengetuai rundingan diserahkan kepada Muhyiddin Yassin untuk mengepalainya.

Sekiranya Pas mempunyai kecenderungan untuk bersama dengan parti-parti pembangkang dan sedar rundingan ke arah itu sedang berjalan, keputusan tidak menghantar wakil sedangkan kata setuju untuk hadir sudah diberikan, ia tentu merupakan tanda negatif.

Jika ingin bersama, Pas tentu memilih untuk hadir dan tidak mengeluarkan arahan sebaliknya.

Mahfuz sendiri mempersoalkan sikap Pas dengan mengatakan ia memberi isyarat seolah-olah parti itu enggan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi menumbangkan UMNO dan BN serta menyingkirkan Najib Razak sebagaimana yang diinginkan oleh majoriti rakyat sekarang ini.

Apakah boleh ditafsirkan ketidakhadiran Pas kerana parti itu enggan bekerjasama atau kerana adanya pemimpin-pemimpin DAP dan Amanah yang turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut?

Masihkah Bersatu mahu menunggu kata setuju daripada Pas untuk bersama atau harus melupakannya begitu saja?

Mungkinkah  Pas hanya mahu bersama dengan Bersatu dan PKR saja, tetapi enggan ada sebarang ikatan dengan DAP dan Amanah?

Jika demikian, mungkinkah ada wujud dua pakatan pembangkang iaitu Pakatan Harapan dengan Bersatu sebagaimana yang sudah terjalin ketika ini dan satu lagi hanya melibatkan Bersatu, PKR dan Pas?

Atau mungkinkah Hadi Awang sudah melakukan ijtihad untuk terus kekal bersendirian, sebagaimana dilaporkan sebelum ini beliau juga barangkali telah berijtihad untuk hadir ke Iran di sebalik sedang berlaku serangan dan pembunuhan Syiah terhadap Sunni di Syria?

Dalam hal ini, bagi Bersatu khususnya,  perlukah Pas terus "dirindui" atau seharusnya dilepaskan begitu saja?

Apakah Bersatu bersama Pakatan Harapan semata-mata serta dibantu dengan sekian banyak isu yang kian melemahkan kedudukan Najib, masih belum cukup kuat untuk mengalahkan UMNO dan BN, jika pun akhirnya Pas menjadi "pengacau" di tengah-tengah? (SH 16/01/2017).

Rupa-rupanya mahkamah sudah arahkan Imam Zaaba membayar kos guaman selepas petisyen ditolak sewaktu tahun 2014 lagi tapi PAS tidak membayarnya.

Selepas ikut arahan parti, bekas ahli PAS sedih dipinggir

Aedi Asri


KUALA LUMPUR: Seorang bekas ahli PAS yang tewas dalam petisyen mencabar keputusan pilihan raya umum ke-13 terharu dengan sokongan masyarakat pelbagai latar belakang yang membantunya mengumpul wang bagi menampung kos mahkamah.

Bagaimanapun, Za’aba Ibrahim terkilan dengan sikap bekas partinya PAS yang langsung tidak menyatakan sokongan walaupun petisyen itu dibuatnya atas arahan parti.

“Sebagai ahli, saya taat dengan arahan itu. Malah pemimpin sendiri berkata parti akan membayar setiap petisyen yang kalah,” kata Za’aba yang kini ahli Amanah.

Pada 24 Januari 2014, mahkamah rayuan mengarahkan Za’aba membayar kos guaman sejumlah RM50,000 selepas petisyen mencabar keputusan PRU ke-13 bagi kerusi Parlimen Pulai, yang dimenangi Datuk Nur Jazlan Ahmad dari Barisan Nasional, ditolak.

Tarikh akhir bagi pembayaran itu adalah 17 Januari 2017.

Nur Jazlan memenangi kerusi itu mengalahkan calon PAS, Salahuddin Ayub yang kini timbalan presiden Amanah, dengan perbezaan 3,226 undi.

“Saya terima panggilan daripada orang yang tidak dikenali, menyatakan sokongan dan ingin menyumbang wang,” kata Za’aba mengenai sokongan yang diterimanya.

“Ada seorang Punjabi yang menelefon lewat malam, kata ingin pindahkan wang esok pagi sebab bank sudah tutup,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Za’aba, yang bekerja sebagai jurukimpal, berkata antara yang banyak membantu adalah wakil rakyat pembangkang terutama Amanah dan DAP negeri, selain gabungan Bersih 2.0 yang menurutnya antara yang memberikan sumbangan terbesar.

“Malah orang Umno dan kariah surau di sini juga ada yang menghulurkan wang, setakat termampu. Saya hargai semuanya.

“Saya doakan Allah memberikan rahmat dan kesihatan yang baik kepada mereka semua,” kata Za’aba yang juga imam sebuah surau di Perling, Johor Bahru.

Pada 10 Januari lalu, Za’aba terselamat daripada diisytiharkan muflis selepas kempen mengumpul dana oleh Amanah berjaya mengumpul RM54,431.76.

“Terima kasih kepada masyarakat yang membantu. Semoga semangat tersebut menjadi petanda kita sudah bersedia membuat perubahan pada pilihan raya akan datang,” katanya.

‘Tiada seorang pun dari PAS menyumbang’

Za’aba berkata beliau terkejut apabila diarahkan ke mahkamah November lalu untuk kes tersebut, kerana selama ini menyangka PAS sudah membayarnya.

“Ketika mendapat surat arahan membayar dari mahkamah pada 2014, saya terus menghantarnya kepada PAS kawasan untuk disampaikan kepada peringkat negeri. Kepimpinan negeri kata akan menyampaikannya ke peringkat Pusat.

“Selepas itu senyap tanpa khabar berita. Saya fikir mereka sudah menguruskannya. Sehinggalah November tahun lalu apabila saya diarahkan ke mahkamah,” katanya kecewa.

Disember lalu, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata PAS tidak akan membayar jumlah itu kerana Za’aba bukan lagi ahli parti.

Bagi Za’aba pula, ia tidak harus dijadikan alasan kerana petisyen dibuat atas arahan parti dan perintah bayaran dikeluarkan ketika beliau masih menjadi ahli.

“Tiada seorang pun pemimpin PAS menyumbang. Mereka hanya sumbang maki hamun. Dengan ahli PAS lagi teruk saya kena,” katanya yang menyertai PAS sejak 1994 dan keluar pada 2015, bersama-sama ramai pemimpin dan ahli lain, menubuhkan Amanah.

Sepanjang keahliannya dalam PAS, Za’aba aktif menganjurkan program PAS di Johor selaku ahli jawatankuasa peringkat kawasan.

Menurutnya, beliau menjadi “wajah pertama” yang akan berhadapan dengan pihak berkuasa jika program parti berhadapan masalah permit.

“Saya keluar kerana akhlak kumpulan mereka tidak lagi menonjolkan akhlak Islam, terutama dengan kutuk-mengutuk terhadap kumpulan profesional menjelang muktamar pemilihan 2015.

“Tetapi saya tidak alergik dengan PAS, malah masih menyimpan kad keahlian sehingga sekarang,” katanya lagi.

Pada Muktamar 2015, pimpinan PAS berubah arah menyaksikan kesemuanya jawatan tertinggi parti itu diisi puak pro-Hadi, yang menyokong dasar presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di Pulau Pinang, azan berkumandang setiap waktu

oleh Izmil Amri


Mengarut, berniat jahat......

Entah apalah bala telah menimpa umat negara ini sehingga boleh mempercayai fitnah dengan begitu mudah, tanpa sebarang usul periksa. Mungkin kerana Pulau Pinang itu Ketua Menterinya Cina, dan kerusi kerajaannya majoriti DAP, maka mesti terus percaya segala tohmah dan pembohongan yang dilempar orang terhadapnya.

Beberapa tohmahan terhadap kerajaan negeri kini sedang diulang-siar, dengan harapan untuk mengaburi mata orang ramai daripada melihat kebobrokan yang dirintis oleh pucuk pimpinan negara, dalam skandal-skandal kewangan berskala global.

Tulisan ini adalah permulaan kepada siri menjawab fitnah-fitnah tersebut.

Fitnah ‘tidak boleh azan di Pulau Pinang’ adalah antara fitnah paling mengarut dan tidak masuk akal yang pernah direkayasa oleh puak pemakan dedak, hatta ia terus menjadi buah mulut orang sehingga masuk tahun 2017, lima tahun sejak fitnah itu dimulakan.

Ya, lima tahun lalu, pada bulan Ramadan 2012 akhbar milik UMNO, Berita Harian melaporkan di muka hadapan bahawa Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara pada waktu Subuh.

Berhari-hari pejabat Ketua Menteri, pejabat Exco agama, Jabatan Mufti mengadakan sidang media untuk memperjelas isu terbabit.

Namun sehingga tahun ini pun masih belum selesai orang menyebar kembali fitnah yang sudah tidur itu. Hatta segala lebai dan alim pun turut sama menuduh bahawa Pulau Pinang sudah tidak benarkan laungan azan.

Mereka yang percaya dengan fitnah ini, barangkali perlu makan kismis minda yang dibacakan 30 Juzuk Al-Quran dan dibasuh dengan air zam-zam.

Untuk meleraikan gundah umat Melayu yang malas ambil tahu ini, kami pergi sendiri ke Pulau Pinang untuk membuat tinjauan dan merakam bukti-bukti bagi membunuh tuduhan dangkal puak-puak pemakan dedak tersebut.

Pagi-pagi Jumaat kami turun ke Kampung Melayu, Air Itam dan bertemu Hajjah Bedah ketika beliau baru sahaja selesai membeli keperluan harian di perkarangan rumah pangsa yang menempatkan nasi kandar paling sedap di wilayah tadbiran DAP itu.


“Sini azan hari-hari”

“Dah makan nasi kandaq belum?” tanya beliau, sambil kami menyiapkan perkakas rakaman video.

Disoal apa benar tidak boleh azan di Pulau Pinang, wanita ini pantas mengerutkan dahi, dan menggelengkan kepala. “Hai dakkk.. Sini azan hari-hari,” katanya, seolah-olah tidak percaya kami akan sanggup bertanya soalan sebodoh itu kepadanya.

“Tak pernah dilarang nak azan di mana-mana pun. Boleh azan, semua okey,” tambahnya.

Menurut Hajjah Bedah lagi, penduduk setempat lebih mudah mempelajari ilmu-ilmu agama, ekoran masjid dan surau di Pulau Pinang yang diimarahkan dengan pelbagai kemudahan dan program.

“Kat masjid negeri tu tiap-tiap minggu ada kuliah.

“Makcik balik ikut belah kampung, nak buka puasa, pukul lapan dok tunggu azan, tak azan-azan lagi,” tambahnya, menceritakan pengalaman di luar negeri Pulau Pinang.

Lain pula respon Encik Nasarudin, seorang peniaga Uptown Perda.

“Itu saya rasa cerita tu, ‘hearsay’ disampaikan daripada satu pihak ke satu pihak.


Mengarut, berniat jahat

“Saya bukan takut tak boleh azan, saya takut tak ada orang nak azan,” katanya, menjawab persoalan serupa. Boleh dilihat dari riak wajahnya, betapa merepeknya tuduhan yang dilemparkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.

Beliau malah menganjurkan pertandingan azan untuk kanak-kanak, di Taman Selat, Butterworth. Selain melatih kanak-kanak untuk berani dan mempertingkat keyakinan diri, ia juga bertujuan untuk menangkis fitnah itu.

“Macam mana kata Pulau Pinang tak boleh azan, sedangkan kita buat pertandingan azan.

“Budak-budak ni esok nak pi azan di mana?” soalnya sambil menahan ketawa, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai mengarut dan berniat jahat.

Tuduhan larangan azan, seperti juga tuduhan pengusiran kampung Melayu, dan perobohan gerai Melayu tidak lain merupakan modus operandi United Malays National Organisation, untuk bermain dengan api perkauman, dan membangkitkan rasa tidak senang orang ramai di luar Pulau Pinang terhadap DAP, yang terus menerus dilabel sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Apa kata anda berkunjung ke Pulau Pinang dan saksikan dengan mata kepala sendiri, bagaimana Pulau Mutiara ini telah berubah sejak lapan tahun lalu, setelah pentadbiran negeri diambil alih oleh kerajaan Pakatan.

Semoga kita semua tidak akan dibutakan mata dan hati daripada menyaksikan kebenaran. – 

Mahfuz kritik Pas tidak hantar wakil

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mengkritik tindakan partinya yang tidak menghantar wakil ke majlis perasmian Bersatu di Stadium Malawati, pada Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan, tindakan partinya itu seolah-olah memberi gambaran enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti diinginkan rakyat.

“Tidak wajar Pas tidak menghantar wakil mereka pada majlis pelancaran ini kerana masyarakat akan melihat seolah-olah Pas mahu memencilkan diri daripada satu kelompok ‘grand coalition’ dalam kalangan parti pembangkang yang ada ini.

“Tidak menghantar wakil kepimpinan tertinggi parti adalah langkah yang silap. Saya tidak tahu ketidaksediaan Pas untuk menjalin apa-apa kerjasama Pakatan Harapan atau dengan Bersatu,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.

Mahfuz satu-satunya pemimpin Pas yang hadir, meskipun Bersatu dilihat menyediakan beberapa kerusi untuk pemimpin Pas.

Mahfuz berkata, kehadirannya kerana mendapat jemputan daripada pihak Bersatu.

"Namun, saya tidak maklumkan kehadiran saya kepada kepimpinan Pas dan tindakan saya adalah atas kapasiti peribadi,” katanya.

Menurutnya, tidak menjadi kesalahan untuknya menghadiri apa juga program anjuran Pakatan Harapan kerana berasakan kehadiran itu atas kapasiti rakyat Malaysia.

Khalid desak segera tindakan ke atas penyerang beliau


Khalid tuntut segerakan siasatan serangan ke atas beliau di perkarangan Parlimen.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendesak agar siasatan ke atas serangan terhadap beliau di perkarangan bangunan Parlimen sebelum ini dipercepatkan.

Dalam sidang media bersama dengan peguamnya, Zulhazmi Sharif, Khalid mempertikaikan kenapa ia lambat diselesaikan sedangkan semua pihak sudah diambil keterangan.


Khalid Samad diserang di perkarangan bangunan Parlimen November lalu.Pada 24 November 2016 lalu, kira-kira 20 hingga 30 lelaki dan wanita menyerang Khalid di perkarangan bangunan Parlimen ketika Khalid sampai untuk menyertai sidang Dewan Rakyat itu.

Pada mulanya mereka hanya mengganggu Khalid, dengan menjerit 'Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak', tetapi selepas seorang daripada mereka jatuh ketika di depan beberapa pegawai keselamatan Parlimen, ia bertukar menjadi ganas.

Kumpulan rusuhan itu mengejar Khalid dan pegawai keselamatan Parlimen dapat melindunginya daripada sebarang kejadian tidak diingini.

Ekoran itu, Polis telah menahan 11 dari mereka dan mengambil keterangan.

Namun sehingga kini ia belum diselesaikan dan tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas mereka.

Masanya tawar menawar dengan PAS sudah tamat, sekarang tiba masa menjatuhkan sang penguasa dan kuncu-kuncunya.

Semalam adalah tarikh akhir untuk kepimpinan PAKATAN HARAPAN & BERSATU menjemput PAS untuk bersama-sama dalam satu kerjasama untuk menumpaskan KERAJAAN BN dan menurunkan NAJIB dari takhta kuasa.

Nampaknya perlawaan yang dihulurkan dipandang sinis oleh PAS dengan memberikan syarat bahawa tiada kerjasama dengan DAP dan AMANAH namun dengan PKR dan BERSATU tiada masalah cuma satu syarat tambahan iaitu tiada kerjasama dengan TUN MAHATHIR.

Pada PH.& BERSATU tujuan mereka mengajak supaya diwujudkan kerjasama ini adalah kerana ingin memastikan 1 lawan 1 dengan BN dalam ertikata walau apa sengketa sesama kita namun musuh utama kita di depan kita tumbangkan dahulu dan ini dilakukan oleh TUN MAHATHIR & DS ANWAR dimana masing-masing melihat dan menumpukan akan agenda negara dan rakyat untuk menumbangkan BN dan NAJIB.

Dengan syarat-syarat dikatakan oleh PAS itu maka sudah tiba masanya PH & BERSATU memulakan langkah untuk bergerak tanpa memikirkan akan PAS lagi kerana sekarang bukan kita yang menolak mereka tapi mereka yang menolak kerjasama dengan berbagai rekacipta alasan yang dilihat menguntungkan BN disebabkan semuanya tidak ada kesatuan juga.

Jadi..lupakanlah PAS... bergeraklah biarpun 2 penjuru, 3 penjuru yang pasti gerak kerja kita lakukan dan musuh utama kita tumbangkan berserta dengan kuncu-kuncunya juga kita humban sekali.

Kepada PAS kita ucapkan selamat jalan dan semoga berjaya dengan cara politik anda.

Mohd Ikqmal Bin Hamdan
Pemerhati Atas Pagar
Penyokong PH & BERSATU

Mukhriz Mahathir optimis pakatan pembangkang dapat tawan Putrajaya PRU14

SHAH ALAM: Datuk Seri Mukhriz Mahathir optimis parti pembangkang dapat menawan hati rakyat, memenangi PRU14 akan datang untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan baharu walaupun berhadapan sekatan dan ugutan silih berganti.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bagaimanapun berkata, angan-angan itu hanya akan menjadi kenyataan jika rakyat bertindak dan sanggup mengorbankan kepentingan jangka pendek serta tidak mengharapkan orang lain menyelamatkan keadaan, lapor portal FMT.

“Melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil yang berbeza atau lebih teruk lagi kalau kita tewas kepada dedak, maka itu semua hanya mimpi Mat Jenin semata-mata.

“Angan-angan yang tak akan menjadi nyata. Hidup kita semakin sengsara, masa depan anak cucu kita gelap gelita. Malaysia terus menuju binasa,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 ahli semasa majlis pelancaran parti itu di Stadium Melawati di sini, dekat sini.

Sehubungan itu, Mukhriz yang juga Adun Ayer Itam, Kedah turut menyeru orang ramai yang sayangkan negara dan menyedari kemungkaran dilakukan oleh parti yang memegang kuasa untuk bangkit melakukan perubahan.

“Kami sedar walaupun tidak mudah, ranjau dan duri melintang laluan, sekatan dan ugutan bersilih ganti, namun demi membela rakyat yang dianiayai dan mengharumkan semula nama Malaysia di persada dunia, kami galas amanah dan kepercayaan ini dengan tawaduk, taat, sabar dan qanaah.”

Turut hadir beberapa pemimpin Pakatan Harapan seperti Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok.

AMANAH - Gerakan main isu agama mencari political milleage memenangi undi kaum Cina

KUALA LUMPUR: AMANAH Nasional kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai untuk menilai semula kewujudan sekolah agama kerana disifatkan olehnya sebagai ancaman sebenar kepada perpaduan negara.

Naib Presidennya, Dr Hasan Baharom berkata, kenyataan seperti itulah yang sebenarnya boleh menyebabkan dasar perpaduan negara terancam sekaligus membawa kepada jurang integrasi antara kaum bertambah melebar.

Katanya, sekolah agama di negara ini tidak pernah menyekat mana-mana kaum untuk turut serta mengikuti sistem pendidikan yang ditawarkan sekiranya mereka sanggup mengikutinya.

“Masalah perpaduan kaum yang berlaku di negara ini bukanlah disebabkan nilai sistem persekolahan yang sedia ada, tetapi ia bertitik-tolak atas dasar tidak adanya kesungguhan politik yang tuntas di kalangan pihak tertentu,” katanya.

Selain daripada Umno, katanya, parti komponen BN sendiri sering memainkan isu-isu perkauman sebegini untuk survival politik masing-masing.

Kenyataan dari Gerakan ini sendiri sebagai satu contoh kerana ia sebenarnya bertujuan mencari political milleage bagi memenangi undi kaum Cina yang sudah beralih kepada pihak lain.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kenyataan seperti itu tidak wajar diungkapkan oleh seseorang pemimpin yang kesannya besar dalam membawa mesej mengelirukan dan kurang tepat.

“AMANAH menyeru Gerakan agar mencontohi Kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya Ketua Menterinya, YAB Lim Guang Eng, yang bukan sahaja mempunyai pandangan lebih positif terhadap pendidikan agama, malahan menggalakkan umat Islam Pulau Pinang mempelajari al-Qur’an dengan sebaiknya,” kata Dr Hasan.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...