TERKINI :

Thursday, January 12, 2017

TUDUHAN TMJ SERIUS, ANNUAR MUSA PERLU JAWAB

Kenyataan Media
12 Januari 2017

*TUDUHAN TMJ SERIUS, ANNUAR MUSA PERLU JAWAB*

1. Pagi ini dikejutkan dengan pendedahan YAM Tengku Mahkota Johor (TMJ) terhadap Tan Sri Annuar Musa berkenaan tajaan The Red Warriors (TRW) yang diperoleh melalui UniKL (RM500,000) dan Pelaburan Mara Berhad (RM200,000). Dokumen kedua-dua transaksi berkenaan dikepilkan bersama kenyataan TMJ dalam page Johor Southern Tigers.

2. Kesemua tuduhan ini serius. Apatah lagi melibatkan Mara yang tujuannya jelas untuk membantu Bumiputera dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan. Bukan menjadi penampan untuk 'membantu' mana-mana pasukan bolasepak. Dengan jumlah yang banyak dikeluarkan daripada UniKL, alangkah lebih bermanfaat jika wang tersebut digunakan untuk menaja lebih ramai lagi anak-anak muda menyambung pengajian di situ.

3. Sebagai orang politik dan bertanggungjawab kepada rakyat, Annuar Musa tidak boleh terus berdiam diri. RM700,000 bukan satu jumlah yang sedikit. Walau memahami betapa sukarnya TRW bergelut mencari sumber kewangan bagi meneruskan saingan untuk musim 2017, ia tetap tidak menjadi jalan pintas untuk mana-mana agensi 'dirompak' sedemikian rupa.

4. Beliau perlu tampil ke depan dan jawab semua tuduhan. Wajib untuk beliau jelaskan justifikasi setiap tajaan yang dibuat dan sejauh mana kesemua tajaan tersebut benar-benar membantu Bumiputera. Jika gagal, Anuar Musa bertanggungjawab untuk mengembalikan semula RM700,000 itu ke kantung asalnya.

"Membina Negara Berintegriti"
#PemudaBekerja

*SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN*
*Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional*

SINGAPURA KINI KIAN HAMPIR KEPADA JHO LOW?

Seorang lagi dihukum penjara di Singapura berkaitan skandal 1MDB. Kali ini ia melibatkan bekas Pengurus cawangan Falcon Private Bank di Singapura, Jens Sturzenegger, seorang warganegara Switzerland.

Beliau mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan gagal melaporkan urusniaga berpotensi jenayah melibatkan berbilion-bilion dollar dan berbohong kepada pihak berkuasa negara itu bagi melindungi kepentingan kewangan Jho Low.

Tetapi, sebagaimana yang dilaporkan media pada 5 Januari lalu, Sturzenegger sebenarnya sedang berhadapan dengan 16 pertuduhan oleh pihak berkuasa Singapura.

Atas pengakuan bersalah terhadap enam pertuduhan itu, beliau dihukum penjara 28 minggu dan didenda S$128,000. 

Sehingga ini, Singapura sudah menghukum penjara dan denda kepada empat individu berhubung penyiasatan yang mereka jalankan berkaitan 1MDB.

Sebelum ini, Yvonne Seah Yew Fong, Yak Yew Chee dan dan Yeo Jiawei iaitu pegawai-pegawai daripada BSI Bank sudah pun dijatuhkan hukuman penjara dan denda atas kesalahan masing-masing.

Kedua-duanya, BSI Bank dan Falcon Private Bank juga sudah pun diarahkan tutup oleh pihak berkuasa kewangan Singapura, MAS.

Kesalahan melibatkan Sturzenegger sehingga beliau dihukum penjara selama 28 minggu dan didenda S$128,000 ialah berkaitan pemindahan mencurigakan sejumlah AS$1.262 bilion melalui Falcon.

Laporan-laporan media sebelum ini mendedahkan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib juga adalah melalui Falcon, tetapi Perdana Menteri mendakwa ia merupakan derma yang diterimanya daripada kerabat Diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun, kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman AS mengatakan kemasukan jumlah keseluruhan AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta ke akuan peribadi "Malaysian Official 1" adalah wang 1MDB yang dilencongkan.

Sehingga ini, dakwaan Jabatan Kehakiman AS itu tidak pernah dinafikan oleh sesiapa.

Dengan keputusan terbaru mahkamah di Singapura ini, apa yang paling mudah difahami ialah pihak berkuasa Singapura kini semakin menghampiri ke arah Jho Low.

Unit jenayah kolar putih Singapura sebelum ini telah mendedahkan bahawa Jho Low adalah orang penting dalam penyiasatan mereka berkaitan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mereka juga sudah pun merampas akaun bank dan hartanah bernilai S$240 juta milik Jho Low dan keluarganya.

Setelah beberapa individu disabitkan bersalah serta dihukum, jika urusan mendakwa Jho Low dilakukan selepas ini, ia akan menjadi lebih mudah bagi pihak berkuasa Singapura membuktikan kesalahannya.

Apa jadi jika Jho Low didakwa?

Dan siapa pula yang "berasap punggungnya" di Malaysia? (SH 11/01/2017).

Cina belum tentu sokong BN


LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China tahun lalu, dengan kejayaan menarik banyak projek pelaburan belum tentu disambut baik oleh masyarakat Cina di Malaysia.

Demikian dinyatakan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diwawancara oleh akhbar-akhbar Cina tempatan, baru-baru ini.

Menurut Muhyiddin seperti dilaporkan Sin Chew Jit Poh, Najib memang telah membawa balik perjanjian pelaburan bernilai RM144 bilion dari China, namun pengundi Cina tidak semestinya akan memberikan sokongan yang kuat kepada BN pada PRU14.

"Saya ada ramai kawan Cina yang memperkatakan isu ini. Mereka semuanya tidak setuju kedatangan syarikat-syarikat China membuat projek di negara kita kerana jika kerajaan beri peluang, usahawan-usahawan tempatan juga berupaya membina Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan Bandar Malaysia," kata Muhyiddin.

Beliau percaya, pengundi Cina akan terus memberi sokongan kuat kepada parti pembangkang pada PRU14 walaupun Najib cuba mengadakan hubungan perniagaan dengan China.

Selain masyarakat Cina, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, masyarakat Melayu juga tidak senang hati dengan kedatangan syarikat China ke Malaysia kerana boleh menjejaskan periuk nasi mereka.

"Jika semua projek diperoleh syarikat-syarikat China, mereka tentu akan mengambil pekerja dan bahan-bahan pembinaan dari China, ini bermakna rakyat di negara kita tidak akan mendapat sebarang faedah," katanya.

Beliau turut mendakwa, pelaburan bernilai RM144 bilion itu sebenarnya bukan diperoleh oleh negara, sebaliknya adalah jumlah pinjaman daria China untuk menjelaskan hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Al-Fatihah - Mayat pencandat sotong ditemui terapung


ALOR SETAR - Mayat pencandat sotong yang hilang di laut pada Ahad lalu ditemui terapung berdekatan Pulau Songsong, Yan, dekat sini, pada 8.30 pagi ini, kira-kira 19 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah.

Bapa mentua mangsa, Zakaria Yunus, 48, ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkata dia reda menerima berita kematian Shukri Abd Rashid, 30, itu.

"Saya hilang menantu, tetapi ALLAH SWT gantikan dengan cucu baharu. Rencana Allah itu kita kena terima," katanya, merujuk kepada anak perempuannya Hamidah, yang baru tiga hari lepas melahirkan anak lelaki ketiganya.

Zakaria berkata memandangkan emosi Hamidah, 25, masih belum stabil, dia akan membawa pulang anaknya itu dan dua lagi cucunya ke rumahnya di Taman Nilam, Langkawi.

"Lagipun dia masih berpantang dan di sini tiada siapa yang dapat menjaganya.

Jadi, ada baiknya saya membawanya pulang ke Langkawi kerana di sana ramai yang boleh menjaganya serta cucu-cucu saya itu," katanya.   

Beliau berkata jenazah menantunya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kedah sebaik saja selesai urusan bedah siasat.

Sementara itu Hamidah yang turut berada di Unit Forensik berjanji akan menjaga amanah arwah suaminya itu dengan baik.

"Saya masih cuba menerima hakikat ini manakala anak-anak akan saya jaga dengan baik. Mungkin selepas ini saya akan pulang ke Langkawi dan tinggal di sana," katanya.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Rohana Omar mengesahkan penemuan mayat itu.

Shukri dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas apabila mangsa gagal dihubungi rakannya sekitar jam 2.30 pagi selepas keluar mencandat sotong di perairan Kuala Kedah kira-kira 11 malam Sabtu. – Bernama

Kedah beri imbuhan kepada Faiz Subri


ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan memberi imbuhan kepada Mohd Faiz Subri atas kejayaannya memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola  Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016 di Zurich, Switzerland, pada Isnin lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, bagaimanapun berkata jumlah imbuhan tersebut tidak akan diumumkan pada masa ini, dan akan diberikan secara sekali gus kepada pemain kelahiran Kedah itu.

"Kita akan bagi imbuhan secara 'one-off' dan jumlah tak boleh sebut lagi, tunggulah," katanya selepas Majlis Penyerahan Cermin Mata "Dari Mata Turun Ke Hati" anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, hari ini .

Pada majlis itu, 500 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terpilih menjalani pemeriksaan dan menerima cermin mata secara percuma bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif Strategi dan Komunikasi BSN, Kameel Abdul Halim.

Ahmad Bashah berkata kejayaan Mohd Faiz itu patut dibanggakan seluruh rakyat Malaysia kerana bukan senang untuk mendapat pengiktirafan di peringkat dunia, dan pertama buat negara.

Selain imbuhan daripada kerajaan negeri, Mohd Faiz juga bakal menjadi penerima pingat Ahli Cemerlang Semangat Jerai (ASK) sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang akan disambut Ahad ini.

Jaringan yang disifatkan melanggar hukum fizik itu dilakukan Mohd Faiz, anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas. – Bernama





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...