TERKINI :

Monday, January 2, 2017

Raja Bahrin persoal kehalalan pergi haji guna duit 1MDB yang dilabur di Pulau Cayman

 
KUALA LUMPUR: Tun Mahathir Mohamad tidak salah mempersoalkan sumber dana Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sama ada wajar ia digunakan untuk menaja jemaah haji di Mekah, kata ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Raja Kamarul berkata, perkara itu juga dibangkitkan beliau di parlimen dua tahun lalu, selepas pendedahan bahawa 1MDB melabur dana di kepulauan Cayman, lapor Malaysiakini.

“Saya sendiri sudah berkali-kali bertanya di parlimen sejak dua tahun lepas mengapa wang 1MDB telah dilaburkan di sistem kewangan kepulauan Cayman, iaitu pusat terkenal simpanan wang judi, dadah dan kongsi gelap terkenal dunia, dan adakah sumber wang ini digunakan untuk membiayai haji oleh 1MDB?

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak memberi jawapan yang jelas selain dari menyatakan “ia adalah pelaburan jangka masa pendek.

“Kalau perbuatan itu haram ia tetap haram walaupun untuk jangka masa pendek kerana ada banyak lagi pilihan lain yang halal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, katanya, banyak rahsia mengenai pelaburan 1MDB di tempat haram terbongkar seperti pelaburan dalam kelab malam terkenal di Las Vegas berjumlah ratusan juta dollar dan penerbitan filem berunsur lucah, Wolf Of Wall Street.

“Selebriti Hollywood Leonardo DeCaprio yang menjadi pelakon utama memberi kesanggupan memulangkan wang diterima beliau kepada rakyat Malaysia jika ia merupakan wang diperolehi dengan tidak sah,” kata Raja Kamarul.

Terdahulu Mahathir mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MBD tidak akan mendapat haji mabrur kerana ia berpunca daripada wang haram yang dicuri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Susulan itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan bekas Perdana Menteri itu supaya tidak berlagak pandai dalam hukum berkaitan Islam sehingga berani mempersoalkan hal ibadat haji orang lain.

Pada masa sama, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dilapor berkata, hanya Allah layak menentukan sama ada ibadah haji seseorang itu mabrur atau tidak.

“Yang penting, dia (pemberi wang) melepaskan jalan untuknya mengerjakan haji,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, mufti berkenaan memilih untuk menjadi ‘agamawan bisu’ sejak tercetusnya skandal 1MDB beberapa tahun lepas.

“Kerana sekarang beliau telah menunjuk minat dalam isu ini, saya mohon Mufti Pahang dan Datuk Asyraf dengan segala hormatnya memberi pandangan adakah wajar Kerajaan Malaysia melabur wang 1MDB di pusat wang judi, dadah, kongsi gelap serta penggubalan wang haram yang terkenal dunia di kepulauan Cayman?”soal beliau yang juga AJK Pimpinan AMANAH Nasional.

Katanya lagi, seorang agamawan perlu bercakap benar walaupun pahit di depan pemerintah yang zalim.

“Bukan hanya menegur mereka yang tiada lagi apa-apa kuasa hari ini walaupun pernah disanjung satu ketika dahulu semasa dia berkuasa.

“Tidak sepatutnya wujud istilah ulama cari makan,” katanya.

Pemimpin PKR persoal dakwaan Nik Amar, siapa tikam siapa dalam PRU13?


SHAH ALAM: Pemimpin PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid secara sinis mengingatkan PAS agar tidak lupa kejadian pertindihan kerusi yang membabitkan dua parti itu pada pilihan raya umum yang lalu.

Tegasnya walaupun PKR-PAS bersahabat, terutama ketika menjalin hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) mereka perlu akur kepada kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik parti.

“Siapa yang tikam belakang, siapa yang bersahabat?

“Tikam belakang, berlawan tiga penjuru, letak calon di Terengganu seramai tiga orang, Selangor seorang, Pulau Pinang seorang. Komen saya, untuk bersahabat, kita kena nilai kepentingan orang ramai.

“Jika ada kepentingan itulah satu-satunya payung untuk meletakkan persahabatan itu,” katanya kepada Antarapos.

Dalam PRU13 yang lalu, isu pertindihan enam kerusi membabitkan PKR-PAS menjadi barah dalam hubungan mereka sewaktu kewujudan Pakatan Rakyat (PR).

PAS-PKR sebelum ini bertelagah dalam meletakkan calonnya di tiga kerusi Dun di Terengganu iaitu Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera. Sementara di Pulau Pinang di Dun Sungai Acheh, Selangor di Dun Kota Damansara dan Johor pula di Dun Panti.

Reaksi Abdullah Sani itu diberikan selepas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan partinya tidak mengamalkan budaya tikam belakang, terutama dalam menjalinkan persahabatan bersama rakan sekutu politik.

Beliau mengingatkan PKR agar tidak ‘berperangai’ seperti parti serpihannya, AMANAH meskipun dua parti berkenaan bekerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).

Bukan itu sahaja Mohd Amar turut mengingatkan PAS bukan ‘tangga’ untuk batu loncatan mana-mana pihak sehingga partinya dilupakan apabila ada pihak yang sudah sampai ke atas puncak.

Abdullah Sani, yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat ketika mengulas lanjut bagaimanapun enggan ‘melayan’ peringatan berkenaan kerana apa yang penting adalah persiapan parti-parti pembangkang untuk mendepani PRU14 dalam menumbangkan BN.

Taksub, PAS adalah Islam, Islam adalah PAS, modal lama.




Oleh shahil

"PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS, adalah nyanyian lama yang dimainkan oleh penentang PAS, sejak lam dahulu. Ia seiring dengan lagu PAS pemecah belah, parti ajaran sesat, parti takfiri dan sebagainya.

Penulis lihat perkara ini diulang-ulang semula. Kalau dahulu ia dilagukan oleh orang vateran, sekarang dilagukan pula oleh anak muda yang baru mengenal politik, aktivis mahasiswa.

Siapa yang beriktiqad PAS adalah Islam, Islam adalah PAS? Setahu penulis tidak ada siapapun dalam PAS yang beriktiqad demikian, malah tidak ada Tuan Guru dalam PAS yang mengajar demikian. Yang diajar ialah PAS adalah sebuah badan dakwah islamiah yang menyertai politik demi membuktikan politik adalah satu elimen Islam, yang juga disebut siyasah.

Bagi penulis mudah sahaja untuk membuat rumusan. Yang mengatakan ahli PAS meyaqini PAS adalah Islam, Islam adalah PAS, ialah orang yang membuat tuduhan itu sendiri. Sebab tidak ada ahli PAS yang beriktiqad demikian, maka yang menuduh itulha yang meyaqini demikian.

Pendukung PAS juga dikatakan taksub. Pendukung PAS tidak akan menerima kritikan orang luar sebaliknya hanya menurut kata-kata pemimpin PAS. Tuduhan ini juga amat popular dikalangan penentang PAS.

Penulis katakan adalah lebih baik taksub ulama dari taksub bukan ulama. Macam orang UMNO, taksub kepada Perdana Menteri seolah-olah wajib. Nabi mengatakan ulama adalah pewarith Nabi, pewaris ilmu Nabi. Tanpa ulama umat akan jahil, buta agama. Betapa besar tugas ulama selepas ketiadaan Nabi. Kalau nak dikata taksubpun wajar juga umat kena taksub kepada ulama, sebab kelebihan ulama disebut banyak dalam Hadith juga Quran.

Tapi tak ada Hadith mengatakan kelebihan bukan ulama. Tidak ada hadith mengatakan kelebihan tukang walaupun tugas doktor itu mulia, membantu orang lain. Nabi sebut kelebihan ulama, ahli ilmu agama, sebab Nabi kata "Ulama itu pewarith Nabi". Apa lagi yang Nabi warithkan kepada ulama kalau tidak ilmu Islam. Tak masuk akallah dimaksudkan apa yang diwarithkan Nabi kepada ulama itu ilmu membaiki basikal, sebab tidak ada sirah mengatakan Nabi ahli membaiki basikal.

Berbagai modal dilagukan untuk memburuk-burukkan PAS. Lama-lama senyap. Dah tak ada modal baru, lagukan semula modal lama, dah tak ada orang lama orang baru pulak melagukan modal lama.

Cabaran Trump buat rakyat Palestin

Oleh Zin Mahmud


Tahun 2017 ini bukanlah tempoh masa yang boleh dapat diharapkan sangat oleh rakyat Palestin. Malah bukan saja tahun 2017 tetapi juga sampai empat tahun lagi. Tetapi mungkin juga sampai tahun 2024 jika Donald Trump bertanding lagi dalam pilihan raya presiden, dan beliau menang pula.

Ini kerana pada 20 Januari ini Trump angkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat dan beliau boleh melakukan apa saja dalam kuasanya untuk membantu Israel. Trump telah memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya tunggulah 20 Januari kelak apabila beliau akan menangani isu di mana Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) telah mengundi mengecam tindakan Israel membina penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Ketika Netanyahu marah-marah kerana Amerika di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama mengambil sikap berkecuali yang membolehkan usul itu dikemukakan, Trump meminta Israel supaya kuatkan semangat atau “stay strong”.

Sikap mesra Israel oleh Trump ini tentunya akan menyaksikan polisi-polisi Amerika yang lebih menyokong dan menyebelahi negara Zionis itu. Sejak penubuhannya pada tahun 1948, Amerika mempunyai dasar pro-Israel, walaupun itu tidak bemakna kuasa besar itu anti-Palestin. Tetapi dasar luar Amerika di Timur Tengah berasaskan pada menjaga kepentingan mereka. Apa yang dimaksudkan dengan kepentingan Amerika pula adalah pertama, minyak. Kedua, mempertahankan Israel.

Kedua-dua parti utama Amerika, Demokratik dan Republikan mengambil kira lobi Yahudi yang tegas menuntut pembelaan Israel sebagai suatu keutamaan dalam dasar luar Amerika. Cumanya Parti Republikan dilihat lebih mesra Israel berbanding Demokratik. Parti Demokratik juga pro-Israel cuma hak kebangsaan Palestin turut diambil perhatian.

Pada penghujung tahun 2016, bekas presiden Amerika, Jimmy Carter yang merupakan dari kalangan negarawan Parti Demokratik meminta Obama mengiktiraf Palestin. Selain Carter, presiden Amerika dari Parti Demokratik yang terdahulu iaitu Bill Clinton turut mendokong penyelesaian dua negara.

Dalam hal ini, laluan yang diberikan oleh Presiden Obama supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengecam pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat adalah penegasannya terhadap penyelesaian politik dua negara, iaitu Palestin dan Israel. Pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat akan menghalang penubuhan negara Palestin yang merdeka kerana Tebing Barat adalah salah satu wilayah yang akan dijadikan negara baharu itu.

Menurut Obama, Israel kena pilih sama ada hendak menjadi negara Yahudi atau demokratik. Jika Israel meneruskan pembinaan penempatan itu, maka akhirnya tidak akan dapat ditubuhkan negara Palestin. Maka apa yang wujud kelak ialah satu negara saja iaitu Israel. Tetapi Israel mesti demokratik dengan membenarkan semua rakyat Palestin menjadi warganegaranya, maknanya Israel tidak akan jadi negara Yahudi.

Pihak Israel berpendapat mereka berhak membuat penempatan di Tebing Barat kerana wilayah itu telah ditawannya dalam Perang Arab-Israel tahun 1967. Tetapi ia jelas melanggar Konvensyen Geneva. Israel tidak boleh menakluk wilayah orang lain begitu saja. Ini bukan zaman purba. Untuk itu di penghujung tahun 2016, Presiden Obama menyeru Israel supaya berundur dari semua wilayah yang diduduki sejak perang 1967.

Obama menjadi presiden pada tahun 2008, setahun selepas Netanyahu menjadi Perdana Menteri Israel. Kedua-duanya tidak dapat bersetuju dalam banyak perkara, bukan saja soal Palestin tetapi juga Iran. Usaha Obama untuk mulakan kembali rundingan Israel-Palestin dipandang sepi oleh Netanyahu.

Sebaik-baik saja Trump mengisytiharkan bertanding bagi jawatan presiden, Netanyahu sudah menunjukkan kemesraan padanya. Secara terang-terang beliau menyokong Trump dan menolak Obama, Hillary Clinton dan Parti Demokratik. Lobi Yahudi di Amerika juga lebih cenderung pada Trump dan Parti Republikan.

Maka dalam kempennya, Trump dengan jelas menyatakan beliau akan memindahkan kedutaan besar Amerika yang kini di Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Perkara itu mungkin berlaku secepat mungkin selepas menjadi presiden kelak. Sebarang langkah itu akan dipandang sebagai pengiktirafan Amerika terhadap penguasaan Israel ke atas Baitulmaqdis, sesuatu yang ditolak oleh banyak negara di dunia. Pihak Palestin sememangnya menolak sebarang penguasaan ke atas Baitulmaqdis.

Sememangnya kini keseluruhan Baitulmaqdis dikuasai oleh Israel dan ia juga sudah dijadikan ibu negara mereka, yang disebut sebagai ibu negara abadi atau eternal capital. Seolah-olah Israel sudah wujud secara abadi. Sedangkan hakikatnya Israel ditubuhkan pada tahun 1948 dengan ibu negaranya di Tel Aviv. Sebelum itu wilayah yang wujud ialah Palestin dengan ibu kotanya di Baitulmaqdis.

Kota Baitulmaqdis secara tradisi terbahagi tiga iaitu sektor Yahudi, Kristian dan Islam. Sektor Yahudi terletak di Baitulmaqdis Barat. Sementara Baitulmaqdis Timur meliputi sektor Kristian dan Islam. Maka Baitulmaqdis Barat berada dalam Israel sementara Baitulmaqdis Timur terletak di bawah Jordan. Tentulah orang Arab dan Islam tidak berpuas hati dengan keadaan ini kerana negara Palestin hilang begitu saja.

Dalam Perang Arab-Israel pada tahun 1967, Israel menakluk Gaza dari Mesir, Tebing Barat dari Jordan dan Golan dari Syria. Tebing Barat itu meliputi Baitulmaqdis Timur. Israel kemudiannya menyatukan Baitulmaqdis Barat dan Baitulmaqdis Timur untuk dijadikan ibu negara baharu Israel.

Jordan melepaskan haknya ke atas Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur untuk dijadikan negara Palestin. Mesir pula melepaskan Gaza yang juga hendak dijadikan sebahagian daripada wilayah Palestin. Baitulmaqdis Timur akan dijadikan ibu negara baharu Palestin. Inilah penyelesaian dua negara yang diusahakan oleh Amerika.

Tetapi Israel terus membina penempatan di Tebing Barat dan mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang bersatu. Sementara sentimen politik domestik Israel pula menolak sebarang penubuhan negara Palestin. Mereka terus mahu menduduki Tebing Barat dan Gaza. Negara Israel yang sekular dan demokratik ditubuhkan pada tahun 1948 sedang berubah untuk menjadi entiti Yahudi dan Zionis berdiri di atas wilayah hasil perang 1967.

Maka dalam keadaan ini, sebarang tindakan pemindahan kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis bermakna pengiktirafan Washington terhadap satu negara iaitu Israel saja tanpa Palestin.

Jika Israel menetapkan kedaulatannya ke atas Tebing Barat dan Gaza, maka apakah kedudukan rakyat Palestin? Jika ikut jalan demokratik, maka rakyat Palestin itu patut menjadi warganegara Israel yang mempunyai hak dalam proses politik Israel.

Israel tidak dapat menghalau keluar semua rakyat Palestin. Ataupun Israel menjadi negara apartheid dengan menjadikan orang Palestin rakyat Israel tanpa hak. Adakah keadaan ini akan membuatkan Palestin, dunia Arab, umat Islam dan dunia mendiamkan diri saja?
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/cabaran-trump-buat-rakyat-palestin-1.426418#sthash.C30DEqKb.dpuf

2006-2016 :Terima Kasih Dan Selamat Tinggal Harakah

Oleh Ahmad Lutfi Othman

31Disember 2016. Berakhirnya satu era selepas bercuti sakit yang bersambung-sambung sejak akhir 2014. Sah pencen sebelum masanya. Terima kasih banyak Harakah yang menyediakan ruang dan peluang.

Saya tidak pernah mempunyai majikan selain Harakah. Mohon maaf atas segala kelemahan, kesilapan dan kesalahan. 

Ya, tidak mudah menerajui akhbar parti: harus peka dengan sensitiviti organisasi juga pantang-larang KDN.
Mungkin benar kata seorang kawan dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas, Lutfi bukan seorang editor yang baik untuk sebuah organ parti, beliau ialah seoramg aktivis media independen.


Terserah. Isunya, di negara ini, KDN hanya membenarkan lidah rasmi pembangkang, seperti Harakah, mempunyai sedikit kebebasan untuk mengkritik pemerintah.

Buat semua pimpinan Pas yang memahami, juga teman-teman sekerja yang membantu, jutaan terima kasih.



Semoga Allah menerima segala amalan kita dan memberkatinya. Harapnya ukhuwwah yang terjalin indah tidak mudah dirobek.

Tangguh kenaikan harga barang, perkhidmatan


KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu menangguhkan sebarang kenaikan harga barangan mahupun tarif perkhidmatan ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat tahun ini.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, hal itu kerana beberapa isu kenaikan harga barangan yang diumumkan.

Katanya, selain isu peningkatan harga barangan, nilai mata wang negara yang rendah juga akan memberi kesan.

“Bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, kerajaan diharapkan dapat menangguhkan kenaikan atau tarif perkhidmatan.

“Kita menjangkakan kos sara hidup pada tahun ini meningkat berikutan beberapa isu peningkatan harga barangan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata rakyat perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan itu supaya ia tidak memberi kesan besar dalam kehidupan seharian.

“Sebagaimana laporan persatuan majikan, mereka turut menjangkakan lebih ramai pekerja akan diberhentikan. Jadi rakyat perlu bersedia.

“Biasanya apa yang dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup adalah daripada segi peningkatan harga, tidak kira barangan atau perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan patut menyelesaikan permasalahan berlaku seperti nilai ringgit yang masih rendah.

“Jika masalah ini dapat diatasi, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan rakyat,” katanya lagi.

Pada masa sama, rakyat dinasihatkan menguruskan hal kewangan dengan baik.

“Apa juga pendapatan yang kita ada, ia harus digunakan dengan baik sebagai langkah bersiap sedia.

“Rakyat perlu berbelanja secara bersederhana dengan hanya membeli barangan keperluan tertentu sahaja dan selebihnya disimpan kerana kita tidak dapat meramal apa yang berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Masih adakah titik perdamaian antara AMANAH & PAS demi rakyat untuk tumpaskan BN?

Rakan-rakan dalam Pas perlu membuang kebencian mereka terhadap Amanah. Ia amat mendedahkan sikap yg bertentangan dengan akhlaq Islam. Sikap ini tidak membawa apa-apa manfaat.

Saya membaca kenyataan rakan saya YB Che Lah, SU Perhubungan Pas Kelantan yang sangat ofensif terhadap Amanah. Terserlah keangkuhan yang tidak sedikit. Saya sampai teringat dengan sedutan kata,"If you want test the character of a man, give him power". YB Che Lah ini baru sahaja jadi Exco Kerajaan Negeri, tetapi kenapa sampai jadi begitu lagak angkuhnya.

Terimalah kenyataan. Rakan-rakan dalam Amanah hanya melaksanakan hak mereka dalam masyarakat demokratik. Dulunya mereka bersama Pas secara sukarela. Mereka berkorban macam-macam untuk parti juga secara sukarela.  Masa itu mereka cukup yakin dengan perjuangan. Tetapi, masa berubah, senario politik berubah, Pas berubah, dan pendirian mereka juga berubah. Mereka jadi hilang keyakinan dengan Pas dan bertindak keluar parti dan menubuhkan parti baru. Bukankah ini fenomena biasa dalam masyarakat demokratik? Di mana pengkhianatannya?

Kenapa sampai jadi macam orang hilang pedoman? Digelar macam-macam, ditohmah macam-macam, dan paling jijik ialah apabila agama digunakan secara wewenang untuk menjustifikasikan sikap mereka.

Apabila Wakil Rakyat enggan meletak jawatan, maka itu dijadikan mantra untuk memburukkan mereka. Ya mereka pernah berbaiah, tetapi suasana ketika mereka berbaiah dengan suasana ketika mereka dicampak keluar tidak sama. Mereka terpaksa memilih antara dua Amanah; amanah parti yang mencalonkan mereka dan amanah rakyat yang mengundi mereka. Mereka berijtihad dan memilih untuk memelihara amanah rakyat. Wajarkah mereka dituduh "pengkhianat" hanya kerana ijtihad mereka itu?

Mereka menuntut agar kerusi itu dipulangkan kepada mereka tanpa menilai secara objektif dan terperinci tuntutan tersebut. Tuntutan itu tidak rasional kerana beberapa kekangan undang-undang dan maslahah politik. Secara mudah, tuntutan itu bukan untuk berlaku adil, tetapi sekadar melepas geram.

Bagaimana sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam boleh meletakkan isu kerusi mengatasi persoalan ukhuwwah dan keperluan berlaku adil.

Bila mereka bersama Umno, mereka baca ayat Quran ttg "wa ta'awanu". Sikap mereka terhadap Amanah pula, mereka merujuk ayat-ayat tentang "munafiq". Bila mengulas PH, mereka kupas pula tentang "perang Ahzab". Tentang DAP, mereka baca surah Al-Kafirun.

Agama jadi tunggangan politik mereka, memetik ayat-ayat Allah secara cuai hanya untuk agenda politik sempit semata.

Cukuplah. Kembalilah kepada akal yang waras. Hentikanlah kebusukan ini. Sama-sama kita pelihara kemurnian agama.

Semoga Allah rahmati kita semua.

Jamzuri Ardani.

CABARAN MUKHRIZ YANG MESTI DISAMBUT OLEH PENGAMPU NAJIB YANG SEORANG INI

Shahbudin Husin,

Mukhriz Mahathir secara terbuka mencabar Tunku Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan bukti dan sumber yang dimilikinya berhubung dakwaan beliau adalah calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi PRU 14 akan datang.

Sekiranya Tunku Aziz gagal berbuat demikian, jelas Mukhriz, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman berhubung dakwaan mengenai dirinya yang dianggap fitnah dan palsu.

Tunku Aziz, bekas Naib Pengerusi DAP yang kini beralih menjadi penyokong dan pengampu Najib Razak, pada 30 Disember lalu membuat dakwaan bahawa Mukhriz adalah calon Perdana Menteri yang telah dipersetujui sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi PRU 14.

Kata beliau, persetujuan memilih Mukhriz itu dicapai dalam satu pertemuan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Lim Kit Siang pada 3 Disember lalu.

Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan Pakatan Harapan yang sudah menjalin kerjasama dengan PPBM, sedar bahawa calon Perdana Menteri belum lagi diputuskan secara muktamad meskipun gabungan itu semakin menjadi pilihan rakyat serta kian hampir untuk menumbangkan UMNO dan BN.

Bagi Pakatan Harapan, persoalan siapa Perdana Menteri tidak perlu keputusan yang tergesa-gesa kerana keutamaan mereka  ialah mengukuhkan kerjasama untuk mengalahkan UMNO dan BN serta menyingkirkan Najib yang dianggap beban terbesar dalam sejarah negara.

Kenyataan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan PPBM mengenainya boleh "digoogle" dengan mudah untuk membuktikan hakikat itu. Pokoknya, belum ada persetujuan yang muktamad.

Lantaran itu, adalah menghairankan bagaimana Tunku Aziz yang bibirnya beratib memuji Najib sepanjang masa lebih mengetahui siapa calon Perdana Menteri berbanding pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sendiri.

Kini cabaran sudah dibuat oleh Mukhriz kepada Tunku Aziz agar mendedahkan bukti mengenai dakwaan yang dibuatnya itu atau berdepan tindakan saman kerana membuat tuduhan yang berupa fitnah dan palsu.

Sebagai seorang yang dikenali ramai, selalu keluar TV3 dan Utusan Malaysia, malah berjawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Tunku Aziz tiada pilihan lain selain mesti berani tampil mendedahkan bukti-bukti yang ada mengenai dakwaan yang dibuatnya itu.

Oleh kerana Mukhriz sudah membuat cabaran terbuka, Tunku Aziz juga wajib membuat pendedahan secara terbuka mengenai bukti atau sumber dakwaannya. Jika tidak, tiada harga jawatan yang disandangnya itu.

Dalam kes seperti ini, jika Tunku Aziz mengatakan sedia disaman dan enggan mendedahkan bukti atau sumbernya kecuali di mahkamah, beliau sebenarnya hanya menunjukkan ketidakmampuan untuk membuktikan segala dakwaannya itu dengan cuba berlindung di sebalik proses undang-undang yang mungkin memakan masa dan boleh dilengah-lengahkan untuk menyelamatkannya daripada menunjukkan keberanian.

Hakikatnya, buat apa tunggu disaman jika bukti sudah ada dalam tangan?

Malah, jika dapat mendedahkan bukti dan sumbernya, Tunku Aziz berupaya memecah-belahkan Pakatan Harapan dan dengan sendirinya memberikan sumbangan besar dalam memastikan kedudukan Najib dapat diselamatkan.

Seperti WSJ yang membuat dakwaan bahawa Najib menerima RM2.6 bilion wang 1MDB, tetapi kemudian mendedahkan saatu persatu bukti dan slip bank mengenainya, ia akhirnya sehingga kini membuatkan ancaman saman hari Selasa tidak menjadi kenyataan.

Begitu juga dengan Tunku Aziz, jika berani membuat dakwaan, maka mestilah berani juga mendedahkan bukti-bukti yang dimilikinya.

Ayuh Tunku Aziz, tunjukkan kejantanan dan sahutlah cabaran Mukhriz itu!! (SH 01/01/2017).

APAKAH DONALD TRUM AKAN MENJEJAKI SEJARAH MIKHAEL GORBACHEV?

BismillahirRahmanirRahim

26 Disember 1991 Soviet Union berpecah kepada 15 negara kecil setelah pembaharuan dilakukan oleh Mikhael Gorbachev untuk memperkukuhkan kembali Rusia dengan melepas 14 wilayah yang bersekutu dengannya membentuk negara sendiri.

Tunggu dan lihat apakah akan berlaku 5 tahun dari sekarang.

Apakah 50 wilayah dalam Kesatuan Amerika Syarikat akan minta keluar akibat "Simpanan Persekutuan Amerika Syarikat" semakin menyusut dan akan ditelan oleh negara China?

Jika sungguh terjadi, apakah negeri yang akan menjadi negara setanding Rusia selepas pelupusan Kesatuan Soviet dahulu?

Apakah pembahagian negara akan mengikut etnik English, Afrika, Sepanyol, Potugal, Peranchis dan tidak dilupa China mewakili etnik Asia?

Setelah itu senario politik dunia akan berubah arah. Persoalan lagi, berubah ke arah mana dan bagaimana coraknya?

Hanya masa yang menentukan, bunga-bunganya sudah ada.

Mohd Azhar Mat Dali @ Art Amerika sudah tentu lebih terperinci ramalannya.

http://www.mintpressnews.com/blame-the-federal-reserve-not-china-for-stock-market-crash/209137/

PAS Belum Saman Sarawak Report Rupanya...

Pada 16 Disember yang lalu Harakah Daily melapurkan... PAS secara rasminya telah menyerahkan surat tuntutan kepada editor Sarawak Report yang bernama Clare Rewcastle Brown yang beralamat di London pada 13 Disember lalu, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan.

Notis tuntutan "Letter of Claim Pursuant to the Pre-Action Protocol for Defamation" itu berkuatkuasa selama tujuh hari bermula dari tarikh surat pada 13 Disember 2016 telah menyenaraikan tiga perkara tuntutan yang harus diambil tindakan oleh portal berita Sarawak Report terbabit.

Menurut beliau, tiga perkara tersebut adalah meminta Sarawak Report membuang artikel itu daripada laman web Sarawak Report, mahu Sarawak Report siarkan satu permohonan maaf (apology) atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui oleh PAS dan menuntut Sarawak Report memberi akujanji (undertaking) tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang.

Tapi segalanya dinafikan oleh Clare Rewcastle Brown.. dia kata tiada sebarang dokumen diserahkan kepadanya.

PETALING JAYA: PAS belum menyerahkan tuntutan kepada Sarawak Report meskipun tarikh akhir menarik balik artikel yang mendakwa kepimpinan kanan parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah berlalu.
Editor Clare Rewcastle Brown, dalam emel kepada FMT berkata, berkata tiada sebarang dokumen diserahkan kepadanya.

“Tiada,” katanya menjawab soalan sama ada peguam PAS sudah menghantar writ dan dokumen lain yang menunjukkan mereka mahu berjumpa di mahkamah.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan belum lagi menjawab soalan FMT, meskipun mesej WhatsApp sudah dihantar, dan panggilan dibuat kepada nombor telefon bimbitnya.

Takiyuddin sebelum ini berkata peguam di United Kingdom sudah menghantar surat tuntutan kepada Sarawak Report pada 13 Disember.

Menurut beliau, surat itu mengandungi 3 tuntutan menuntut Sarawak Report menarik balik artikel bertarikh 6 Ogos 2016, dan membuat permohonan maaf mengikut terma yang dipersetujui parti.

Tuntutan ketiga mahu Sarawak Report membuat akujanji untuk tidak lagi menyiarkan tuduhan palsu di masa depan.

Tempoh 7 hari kata dua itu luput 20 Disember lepas.

Sarawak Report mendakwa sejumlah RM90 juta dipercayai dimasukkan ke akaun pimpinan kanan PAS.

Transaksi itu, katanya, antara usaha Najib untuk memikat kepimpinan PAS agar menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Dakwaan itu dikecam pemimpin PAS, antaranya Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan berkata PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan berniat buruk itu kerana mencemarkan nama baik parti dan dasar Islamnya.

Peguam S N Nair berkata litigan yang menghantar notis akan menunjukkan keseriusan sekiranya tuntutan tidak dipenuhi.

“Jika tidak, ia sekadar ancaman kosong yang tidak menunjukkan keseriusan kerosakan yang didakwa itu,” katanya.

Katanya, sesetengah peguam, bergantung kepada kerumitan kes dan faktor lain, lazimnya akan memfailkan saman secepat mungkin.

Nair menjelaskan tindakan susulan tidak boleh dilambatkan terlalu lama kerana kejelikan fitnah akan berkurangan dari masa ke semasa.

“Malah mahkamah juga tidak akan mengambil plaintif dengan serius kerana melambatkan saman kecuali alasan yang baik diberikan,” katanya.

Nair menambah ia bukan suatu keperluan undang-undang, cuma berdasarkan logik lapor FMT

Aku ingatkan dah saman....

ANAKKEDAH007





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...