TERKINI :

Sunday, January 1, 2017

300 Penduduk di Pendang sudah dua tahun berdepan masalah air, Man Bedon & Mat Bashah mana..??


Abdul Latif menunjukkan air yang ditadah.

PENDANG - Hampir 300 penduduk di kampung Kubang Pisang, di sini, sudah tidak tahan berdepan masalah gangguan bekalan air sejak dua tahun lalu.

Wakil penduduk, Abdul Latif Hasbullah, 54, berkata, masalah ketiadaan air menjejaskan rutin harian mereka.

"Tambahan pula ketika ini musim penduduk buat kenduri. Bila kenduri kami banyak nak guna air, jadi masalah ini sukarkan penduduk," ujarnya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati masalah ketiadaan air ini bukan sahaja melibatkan penduduk kampung Kubang Pisang tetapi juga melibatkan penduduk kampung Pisang Lanjut.

Sepanjang tinjauan, apa yang dapat dilihat ialah penduduk meletakkan tong besar di hadapan rumah mereka bagi tujuan tadahan air.


Abdul Latif berkata, setiap dua hari lori Syarikat Air Darul Aman (Sada) akan menghantar bekalan air ke setiap rumah.

"Namun, bekalan yang dihantar tidak mencukupi. Bayangkan air tersebut terpaksa disimpan di luar rumah kerana tidak mampu diangkat masuk ke dalam rumah.

"Bagaimana pula penduduk yang sudah uzur, mereka sudah tidak mampu mengangkut air dan sebagainya. Keadaan ini sangat menyedihkan," jelasnya.

Zainon Arifin, 85, berkata, penduduk tidak mengetahui punca sebenar ketiadaan air.

"Saya amat berharap pihak terlibat kasihanilah kami. Saya dah tak larat nak angkat air masuk ke dalam rumah.

"Bila cucu-cucu balik mereka tak selesa," jelasnya.

Tambah Zainon, dia terpaksa membeli air botol untuk tujuan memasak dan minum

"Air yang Sada hantar saya cuma guna untuk mandi dan membasuh," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Ishah Ismail, 75, berkata, air akan ada seminggu sekali itu pun pada jam 5 pagi.

"Saya akan pastikan saya tadah bekas di pili air sebab saya sendiri tidak tahu pukul berapa air akan ada.

"Ikut hati memang tak larat nak bangun awal pagi," katanya.

Tambah Ishah, kesemua penduduk sangat berharap pihak terbabit dapat menyelesaikan masalah itu segera

Kes curi motosikal di Kulim meningkat

Gambar Hiasan

KULIM - Kes kecurian motosikal di Kulim menunjukkan peningkatan iaitu 471 kes berbanding 409 tahun lepas.

Ketua Polis Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, ia melibatkan penahanan 277 suspek tahun ini berbanding 176 pada tahun lepas.    

"Lapan puluh peratus kejadian curi motosikal terjadi pada pukul 4 petang hingga 12 tengah malam dan kebanyakan berlaku di kawasan terbuka," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.  

Antara kawasan yang sering menjadi sasaran pencuri motosikal adalah di Kulim Landmark (24 kes), Pekan Kulim (16), dan sekitar pasar raya besar Tesco (12). - Bernama

Indeks jenayah seluruh negara turun 2.7 peratus


MELAKA - Kadar indeks jenayah seluruh negara dalam tempoh Januari tahun ini hingga semalam menunjukkan penurunan 2.7 peratus kepada 112,000 kes berbanding 115,225 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, penurunan berkenaan ekoran pelbagai langkah prokatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai pihak terutamanya masyarakat dalam membanteras jenayah.    

"Polis sahaja untuk menyelesaikan masalah jenayah, impaknya terhad, kita hanya dapat memaksimumkan impak ini kalau dapat membawa semua ahli masyarakat berbincang dan merancang bagaimana berdepan dengan kes jenayah masa kini.

"Pada saya ini adalah pendekatan kita yang sedang kita laksanakan secara berterusan dan ia merupakan antara pendekatan negara maju," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup seminar 'Strategi Moden Pencegahan Moden dan Ekspo Teknologi' di Bandar Hilir di sini, hari ini.    

Turut hadir  Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Zainal Abidin Kasim dan Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din.    

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata PDRM merancang untuk melaksanakan proses pencegahan jenayah menerusi 'pengawasan komuniti' yang lebih efektif dengan menggabungkan kepakaran anggota PDRM, pendidik dan pemimpin masyarakat.    

"Tahun hadapan kita akan berusaha lebih keras dengan kerjasama masyarakat untuk mencapai matlamat menurunkan kadar indeks jenayah sebanyak lima peratus tetapi ini hanya akan berjaya dengan kerjasama daripada masyarakat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memberi tumpuan khusus pada kadar penyelesaian kes jenayah yang dilaporkan agar ia dapat diselesaikan dengan segera dan mereka yang melakukan jenayah ditahan dan didakwa di mahkamah.    

Dalam pada itu, katanya kerjasama antara PDRM di peringkat Bukit Aman sentiasa bekerjasama dengan PDRM Melaka untuk melaksanakan pelbagai inisiatif memantau aktiviti jenayah di Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan.

"Di samping anggota PDRM di Melaka yang menjalankan tugas pencegahan jenayah, ada bantuan anggota dari cawangan dan jabatan PDRM dari luar Melaka terutama Bukit Aman khasnya pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.    

"Kita membantu daripada segi rondaan kawasan menggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kita juga menggunakan unit berkuda serta Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk mencegah jenayah di bandar Melaka," katanya. - Bernama

Inilah masalahnya akan timbul apabila ada pemimpin AMANAH gila 'microphone'

Kerusi PRU14: Kenyataan hanya pendapat peribadi



SHAH ALAM - Amanah menyifatkan kenyataan dua pemimpinnya mengenai jumlah kerusi yang parti itu akan bertanding pada PRU14 sebagai pendapat peribadi.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, ini kerana Pakatan Harapan dan Bersatu belum membuat keputusan.

"Kita masih belum buat perbincangan teknikal kerana masih  ada  yang bercuti. Kita jangkakan mesyuarat berlangsung bulan depan," katanya.

Mengenai kenyataan Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad, beliau berkata, 40 kerusi itu adalah perkiraan yang dibuat Ahli Parlimen Shah Alam itu terhadap kemungkinan kerusi yang memberi kemenangan terhadap Amanah.

"Ia merangkumi kerusi yang ditandingi PKR, DAP, Umno, Pas dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, kenyataan Timbalan Presiden Amanah,  Salahuddin Ayob yang mengatakan parti itu tidak akan bertanding di kerusi sekutunya adalah prinsip yang diamalkan pembangkang sejak dahulu lagi.

Mohd Anuar berkata, Pas ketika berada dalam Pakatan Rakyat telah melanggar prinsip itu dengan meletakkan calonnya di beberapa kerusi.

"Kita tak lakukan sebagaimana Pas buat,"katanya.

2017: 'Mahathir doakan semoga kita semua selamat'


SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan harapan supaya rakyat Malaysia, termasuk dirinya untuk melipat gandakan usaha bagi mendepani tahun 2017.

Mahathir menerusi catatan terbaharu di blognya www.chedet.cc, menegaskan usaha yang lebih diperlukan agar tahun hadapan menjadi tahun yang lebih baik untuk kita semua.

"Bukanlah niat saya untuk bersyarah agama pada hari yang mulia ini. Hanya ingin mengingat diri saya dan mungkin pembaca bahawa usaha diperlukan oleh diri saya/kita supaya akan terselamatlah tahun 2017, tahun baru ini, Insya-ALLAH," katanya.

Mahathir yang juga merupakan bekas perdana menteri itu berkata, sudah menjadi lumrah bahawa pada permulaan tahun, kita membuat resolusi berkenaan sesuatu yang baik yang akan kita amalkan pada tahun baru ini.

"Saya tidak akan beritahu sesiapa apa dianya resolusi saya. Tetapi Insya-ALLAH akan saya cuba amalkan sepanjang 2017," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mahathir mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2017 kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan disertainya seuntai doa.

"Mudah mudahan ALLAH akan mencurah rahmat kepada kita rakyat Malaysia,"katanya.2017: 'Mahathir doakan semoga kita semua selamat'

'Kenyataan Najib untuk tutup kerosakan'


SHAH ALAM – Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembangunan yang diusahakan kerajaan sepanjang tujuh tahun beliau bergelar perdana menteri hanyalah untuk menutup segala kerosakan yang telah dilakukan terhadap negara ini.

Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kaiat berkata, bukan hanya pembangkang malah rakyat juga menyaksikan sendiri kerosakan yang dilakukan lebih banyak berbanding pembangunan seperti yang dinyatakan.

"Beliau cuba menutupi kerosakan negara dengan kenyataan kononnya pelbagai pembangunan telah diusahakan.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Pembangkang sengaja buat-buat tak nampak']

"Memang banyak projek yang dilaksanakan beliau termasuklah projek 1Malaysian Development Berhad (1MDB) yang memalukan negara, penurunan mata wang negara, meningkatkan hutang negara, pecat timbalan perdana menteri dan banyak lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Najib dalam satu kenyataan menegaskan, hujah pembangkang yang menafikan pembangunan yang diusahakan adalah tidak lebih daripada 'kata-kata kosong' dan 'sengaja buat-buat tidak nampak'.

Menurut Najib, pelbagai pembangunan telah dilakukannya sekali gus mencipta beratus ribu peluang pekerjaan selain memangkin ekonomi negara secara berterusan.

Suhaizan berkata, situasi membandingkan Najib dengan kepimpinan terdahulu adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika bergelar perdana menteri, beliau juga dibandingkan dengan Tun Mahathir Mohamad. Jadi isu ini memang tidak boleh dielakkan," ulasnya.

Pesawat k'jaan rentasi Australia ketika keluarga Najib bercuti


Pesawat kerajaan Malaysia jenis Airbus A319 terbang merentasi Australia yang kebetulan sama dengan tarikh percutian keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke sana.

Pesawat itu, dengan nombor pendaftaran 9M-NAA, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya pada 22 Disember pada pukul di 12.07 malam dan mendarat di Gold Coast, Australia pada 10.06 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun pesawat itu hanya berhenti sebentar kerana ia berlepas dari Gold Coast pada pukul 11.47 pagi dan mendarat di Brisbane pada pukul 12.09 tengah hari.

Pesawat itu berada di Brisbane selama empat hari.

Tiada penerbangan komersial antara Brisbane dan Gold Coast kerana jaraknya hanya 110 kilometer atau satu jam perjalanan sekiranya memandu kenderaan.

Kebetulan, selepas pesawat itu singgah di Gold Coast selama satu jam 41 minit sebelum ke Brisbane, anak Najib, Mohd Norashman menghantar gambar di Instagram.

Pada 23 Disember, sehari selepas persinggahan itu, Norashman memuat naik gambar beliau bermain golf di Instagram dan menggunakan tag "#goldcoast".

"Bermain golf dengan rakan di bumi Australia," katanya.

Keesokan harinya, Norashman memuatnaik ke Instagram gambar penguin di taman tema Sea World Gold Coast.

"Memerhatikan penguin ini sambil rakan-rakannya berkejar untuk mendapatkan habuan," katanya.

Pada 26 Disember lalu, jet kerajaan Malaysia berlepas dari Brisbane pada 9.11 pagi dan mendarat di Gold Coast pada 9.35 pagi.

Sekali lagi, persinggahan singkat di Gold Coast itu hanya mengambil masa selama dua jam dan 47 minit.

Pesawat itu kemudian terbang ke Gold Coast pada pukul 12.22 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada 2.47 petang. Pesawat itu kekal berada di sana setakat ini.

Kebetulan, Norashman kemudian mula menyiarkan gambar Instagram dari Perth.

Pada 28 Disember, Norashman menyiarkan gambar dirinya di dalam bilik sedang bermain gitar elektrik. Posting itu ditandakan sebagai "#Perth".

Keesokan harinya, dia menyiarkan gambar berbasikal dengan rakan-rakan di Perth.

Kemudian pada 30 Disember, Norashman menyiarkan gambarnya bermain golf dengan kapsyen "Cuba untuk tamatkan 2016 dengan bergaya" bersama tag "#perth" dan "#meadowsprings".

Beliau merujuk kepada Meadow Springs Gold & Country Club di Mandurah, yang mengambil masa sejam jika memandu dari Perth.

Hari ini, Norashman kembali berbasikal apabila dia memuat naik gambar bersama Najib.

"Kayuhan terakhir tahun ini dengan bapa saya yang paling akrab. Selamat Tahun Baru terlebih dahulu kepada semua dan harap 2017 bagi setiap orang diberkati dengan penuh kasih sayang, kegembiraan dan gelak ketawa," katanya dengan menandakan 'Perth' pada catatan tersebut.

Semua data penerbangan adalah berdasarkan kepada laman pengesanan penerbangan Flight Aware.

Kronologi

Di bawah adalah kronologi ringkas jet kerajaan dan akaun Norashman di Instagram.

22 Dis - 9M-NAA berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya pada 12.07 pagi dan tiba di Gold Coast pada 10.06 pagi.

22 Dis - 9M-NAA berlepas dari Gold Coast pada 11.47 tengah hari dan tiba di Brisbane pada 12.09 tengah hari.

23 Dis - Norashman bermain golf di Gold Coast.

24 Dis - Norashman melawat Sea World Gold Coast.

26 Dis - 9M-NAA berlepas dari Brisbane pada 9.11 pagi dan tiba di Gold Coast pada 9.35 pagi.

26 Dis - 9M-NAA berlepas dari Gold Coast pada 12.22 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada 2.47 petang.

28 Dis - Norashman dilihat bermain gitar dalam sebuah bilik di Perth.

29 Dis - Norashman dilihat berbasikal di Perth.

30 Dis - Norashman bermain golf di Golf Meadow Springs & Country Club di Mandurah, sejam perjalanan dari Perth.

Sebelum pesawat itu merentasi Australia, Najib menggunakan kapal terbang berkenaan untuk tugas rasmi di Kuantan, Tawau dan Kuching.

Data penerbangan menunjukkan 9M-NAA berlepas dari Kuantan pada 9.22 malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 10.30 malam, 17 Disember.

Ini adalah konsisten dengan kehadiran Najib pada makan malam Gabungan Persatuan Cina di Kuantan dan laporan New Straits Times kemudian mengesahkan ketibaan Najib di Kuching pada pukul 10.30 malam.

Beliau berada di Kuching untuk melancarkan projek jambatan Batang Sadong pada hari berikutnya.

Data penerbangan juga menunjukkan 9M-NAA berada di Tawau pada 19 Disember, yang hampir sama dengan jadual Najib di sana di mana beliau melancarkan Lebuhraya Pan-Borneo.

Keluarga perdana menteri biasanya pergi bercuti di luar negara pada akhir tahun.

Harga RON 95 dan diesel naik 20 sen, RON97 naik 15 sen


Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing akan naik sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa Januari 2017.

Ini menjadikan harga petrol RON95 berharga RM2.10 seliter dan diesel RM2.05 seliter.

Bagi petrol RON97, harga runcit akan naik sebanyak 15 sen kepada RM2.40.

Harga baru itu akan berkuat kuasa selepas tengah malam ini.

Kerajaan menentukan harga bahan api melalui sistem apungan terurus.

Ia mengambil kira beberapa faktor, termasuk harga global minyak mentah dan kekuatan mata wang negara pada bulan sebelumnya.

Harga minyak mentah Brent terus meningkat selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) memeterai perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran dalam usaha membendung lebihan bekalan dan menstabilkan harga minyak.

Perjanjian itu juga melibatkan ahli-ahli bukan Opec termasuk Malaysia, dengan Petronas berikrar menurunkan pengeluaran minyak mulai tahun depan.

Minyak mentah Brent mencecah AS$ 50.47 setong pada awal bulan ini kepada AS$ 56.82 setong semalam.

Sementara itu, ringgit Malaysia terus melemah, jatuh kepada paras terendah sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1998.

Kekuatan Ringgit bulan ini adalah pada RM4.42 untuk satu dolar Amerika tetapi menurun kepada RM4.48 semalam.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...