TERKINI :

Friday, December 22, 2017

USTAZ HASANUDDIN WAKILI AMANAH KE FORUM SELAMATKAN BAITUL MAQDIS

KENYATAAN MEDIA

1. Jemputan untuk AMANAH menyertai forum tersebut di atas telah diterima agak lewat, iaitu pada Rabu, 20hb Disember, melalui panggilan telefon kepada Dato' Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

2. Memandangkan isunya begitu serius, AMANAH telah mengesahkan penyertaannya pada petang 21hb dan memutuskan Ust Hasanuddin Mohd Yunus sebagai wakil AMANAH.

3. Ust Hasanuddin sebagai veteran Mavi Marmara yang pernah ditahan komando Israel dan disumbat ke dalam penjara Israel adalah dianggap orang yang paling sesuai mewakili AMANAH dalam isu ini.

4. AMANAH mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur di atas jemputan menjadi ahli panel walaupun jemputannya dilakukan pada saat akhir. Adalah dianggap forum ini merupakan tambahan saat akhir selepas kerajaan ditegur dan dikritik kerana dilihat ingin membolot isu Al-Quds hanya untuk Pas dan Umno sahaja.

5. Namun demikian AMANAH tidak akan menyertai perhimpunan selepas solat Jumaat hari ini. Ini adalah kerana pemidato perhimpunan telah dirancang lebih awal dan tiada ruang disediakan bagi pimpinan parti politik umat Islam selain Umno dan Pas.

6. Tidak menyertai perhimpunan selepas solat Jumaat *tidak* bererti tidak menyokong bantahan terhadap usaha Trump. Ianya sekadar atas sebab menghormati pihak penganjur yang jelas ingin merapatkan lagi hubungan kedua-dua parti ini dan  menggambarkan mereka sebagai yang memperjuangkan nasib Al-Quds.

7. AMANAH berharap bahawa pada masa akan datang, program yang memperjuangkan hak ummah dan menentang kezaliman Israel akan dibuka juga kepada pemimpin-pemimpin yang sudah dikenali umum memperjuangkan hak rakyat Palestin seperti Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sdr Mohamad Sabu. Jika ini dilakukan, barulah akan terserlah kesatuan umat memperjuangkan hak Palestin secara bersama.

8. Ke arah menzahirkan keseriusan isu ini dan kemarahan umat Islam dan rakyat Malaysia terhadap pengisytiharan Trump berhubung Baitul Maqddis, adalah didesak supaya satu sidang khas Parlimen dipanggil oleh Perdana Menteri untuk membantah dan mengutuk sikap Trump.

9. Forum dan demonstrasi adalah satu alternatif tindakan oleh NGO dan pihak yang tidak mempunyai kuasa dalam negara. Sebagai kerajaan, BN digesa mengambil tindakan melepasi tahap sekadar demonstrasi dan kutukan dalam menzahirkan bantahan terhadap sikap biadap Trump.

Menjunjung Amanah Rakyat

KHALID ABDUL SAMAD
Pengarah Komunikasi
Parti AMANAH Negara

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...