TERKINI :

Monday, December 11, 2017

Sepatutnya SPRM siasat MB Johor, buktikan dia tidak bersalah bukan siasat Adun Senai

KUALA LUMPUR: Tindakan polis menyiasat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Shu Qi kerana membangkitkan persoalan tentang penglibatan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin dalam skandal hartanah Johor akan hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

Kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, di sebalik penyiasatan polis terhadap Shu Qi ekoran pendedahannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) 27 November lalu, adakah SPRM menjalankan siasatan menyeluruh terhadap segala dakwaan melibatkan Khaled itu?

“Jika Menteri Besar Johor tidak bersalah, siasatan harus dijalankan untuk membuktikan beliau tidak bersalah dan membersihkan namanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan penyiasatan yang diambil terhadap Shu Qi malah akan meningkatkan lagi syak-wasangka di kalangan rakyat terhadap segala kemungkinan penglibatan Khaled dalam skandal hartanah negeri itu.

Apa yang berlaku ke atas Shu Qi seolah-olah menunjukkan Menteri Besar kebal daripada daripada undang-undang sehinggakan soalan yang dibangkitkan ahli DUN juga dianggap sebagai ‘jenayah’?

“Kalau tak ada siapa boleh mempersoalkan tindak-tanduk pemimpin dalam DUN, jadi mana lagi kita boleh bertanya untuk pastikan kebenaran dan integriti kerajaan?” soal Setiausaha Publisiti DAP itu.

Tony menegaskan, Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa ahli dewan imun atau kebal terhadap apa yang diperkatakan ketika perbahasan.

“Tiada seorang pun boleh dikenakan sebarang tindakan mahkamah dengan apa yang telah diperkatakannya atau sebarang undi yang diberikannya semasa mengambil bahagia dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau mana-mana jawatankuasa,” jelasnya.

Katanya, kekebalan itu penting untuk memastikan wujud ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri dan negara.

Pada 27 November lalu, Shu Qi mempersoalkan sama ada Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin menerima sejumlah suapan melibatkan skandal mengubah status tanah bumiputera kepada status bukan bumiputera di negeri itu.

Pendedahan itu berdasarkan sebuah dokumen bocor di laman web dipercayai merakamkan kenyataan salah seorang saksi SPRM, Amir Shariffuddin yang mendakwa Khaled menerima sejumlah wang daripada Amir.

Ekoran itu, beliau disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Orang yang berani bersuara dikenakan tindakan siasatan, tapi bagaimana pula dengan orang yang didakwa lakukan kesalahan?” soal beliau.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...