TERKINI :

Sunday, December 31, 2017

Satu derap, satu harapan di Himpunan Turun-Turun malam ini



Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan suatu himpunan membantah kenaikan harga petrol dan diesel yang dinamakan “Himpunan Turun! Turun! – Turun Harga Minyak, Turun Najib Razak” bertempat di hadapan bangunan Sogo di ibu negara pada jam 11 malam ini bertepatan dengan sambutan ketibaan tahun baharu 2018.

Peserta himpunan kemudian akan berarak ke Dataran Merdeka, kata Pengarah Mobilisasi Pemuda Harapan (PH) Malaysia, Shazni Munir Mohd Ithnin dalam satu kenyataan hari ini.

“Kita berarak dan berganding bahu mendesak agar ditetapkan harga siling RM1.90 untuk RON95 dan RM1.80 untuk diesel. Lebih jauh, derapan langkah ini dihayun dengan satu harapan, 2018 merupakan tahun keberanian untuk rakyat bersatu lakukan perubahan. Ayuh!” seru beliau.

Harga bahan api tidak menentu tambah beliau, ditambah kegagalan kerajaan mengawal dan mengembalikan semula subsidi minyak, dalam keadaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang masih kekal, kesemua itu ibarat kecelakaan di kala rakyat menanggung keperitan meneruskan hidup sehari-hari.

“Ikan kembung yang dahulunya santapan rakyat kebanyakan; harganya kini melambung tinggi, sikit sahaja lagi menghampiri bawal dan siakap. Pilihan yang ada hanyalah cencaru, diselang-seli dengan keli. Itu pun tidak tahu esok lusa masih kekal rendah atau naik makam sebagai menu orang-orang kaya.

“Beras usah dicerita. Kalau sebelumnya masih boleh berangan untuk merasa beras gred A cap rambutan selang beberapa bulan menyimpan, kini berpada dengan beras gred C, cap yang entah apa-apa. Asalkan murah dan mampu dibeli. Sampai bulan yang perlukan persiapan sekolah anak-anak, mata hanya mampu memandang beras kilo sahaja.

“Susu formula dan lampin pakai buang sudah menjadi dilema bulanan. Jika seorang anak sudah terasa, inikan pula bersusun tiga ke empat orang cahaya mata. Pembelian ‘clearance stock’ walau berdepan risiko luput tarikh, terpaksa digagahkan. Tidak termasuk risiko susu formula tiruan di pasaran yang mampu membunuh! Allah.. Besarnya cabaran menjadi ibu dan ayah menjelang 2018,” kata beliau lagi.

Sambung beliau, rakyat usah lihat pada menteri dan konco-konco yang gaya hidupnya seolah-olah Malaysia sudah capai status negara maju.

“Mereka ini golongan yang mati akal budi. Simpati dan kasihan yang keluar dari mulut mereka sekadar lintasan lisan yang tidak bermakna apa-apa. Rakyat akhirnya menjadi perkakas yang terpana dengan lakonan-lakonan menakjubkan menjelang pilihan raya.

“Ketika harga bahan api naik, mereka kata mengikut harga pasaran. Ketika harga turun, mereka suruh berterima kasih dengan kerajaan. Jadinya sekarang, memang sepenuhnya mengikut harga pasaran atau masih dikawal kerajaan? Senyap. Setiap minggu harganya masih naik dan turun.

“Ya, perhatian kita sering terarah pada harga RON95. Itu betul dan bagus. Namun amat jarang kita memerhati rapat harga diesel yang menjadi nadi kenderaan berat dan punca kenaikan kos pengangkutan. Dalam tempoh dua minggu mutakhir ini harga diesel telah naik sebanyak 6 sen. Diesel yang sepatutnya lebih murah kini sama harganya RON95, RM2.26 per liter!

“Dalam menuntut pemerintah melaksanakan dasar baik dan menguntungkan rakyat, tidak cukup sekadar bising-bising di media sosial. Kalau bukan artis atau selebriti yang menulis dan bercakap, sampai ke sudah tidak akan jadi apa-apa. Maka kekallah status-status di media sosial itu sekadar coretan peribadi. Lima tahun akan datang, naik semula di garis masa untuk dikongsi sebagai memori. Kepincangan kerajaan akan kekal dan tidak berubah apa-apa,” kata Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...