TERKINI :

Friday, December 1, 2017

Mahfuz kecewa RUU355 tak dibahas

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar kecewa apabila rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 tidak dibahaskan di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya RUU355 sudah berada di dalam aturan mesyuarat nombor tujuh, namun speaker memaklumkan Dewan Rakyat hanya akan berbahas sehingga nombor enam sahaja (sehingga Kementerian Kewangan).

“Saya nyatakan kekecewaan saya kerana RUU355 tak dibahasakan serta diundi untuk dapatkan kelulusan sama ada diterima atau tidak RUU355.

“Saya difahamkan perbahasan hanya akan terhenti selepas nombor enam manakala RUU355 berada di nombor tujuh, maka sidang ditangguhkan. Sepatutnya perbahasan sudah pun bermula,” katanya kepada Malaysiakini di parlimen, hari ini.

RUU 355 dibentangkan kali ketiga pada sesi persidangan Dewan Rakyat pada April tahun lalu oleh Presiden PAS yang juga Anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi usul persendirian.

Manakala MP Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan pula menyokong usul tersebut.

Pada 17 Oktober lalu, PAS mendesak perbahasan RUU355 diberi ruang pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Takiyuddin berkata tidak wajar perbahasan mengenai RUU itu dihentikan atas apa alasan sekali pun.

Kecewa MP Marang tak hadir

Sementara itu Mahfuz berkata beliau tidak melihat kesungguhan PAS untuk membawa pindaan akta tersebut kerana Ketua Whip PAS tidak mendesak speaker supaya RUU355 dibahaskan hari ini.

Selain itu beliau juga berkata Abdul Hadi sendiri tidak hadir ke Dewan Rakyat hari ini.

“Bagi saya sangat kecewa dan kekecewaan itu lebih lagi kerana saya dapati tidak ada seorang MP PAS atau ketua Whip PAS bangun desak speaker supaya RUU355 dibahaskan di Dewan Rakyat,

“Hal ini lebih malang sebab saya dapati PAS begitu beria-ria nak bawa RUU355 ke parlimen (tapi) MP PAS, Marang tidak hadir (ke Dewan Rakyat) tunjuk kita tidak serius isu ini.

“Hanya sekadar untuk nak tarik sokongan Islam dan bukan nak lihat perlaksanaan (RUU355),” katanya yang menambah RUU355 sudah pun dipolitikkan.

Sebelum ini PAS bertegas mahu meminda akta itu - yang turut dikenali sebagai Akta 355 - bagi memberikan kuasa lebih besar kepada kerajaan negeri menguatkuasakan hukuman berkaitan jenayah syariah.

Melalui pindaan itu had hukuman maksimum dinaikkan daripada penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Read more at https://m.malaysiakini.com/news/403951#ZgPqcOiyKIi05amB.99

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...