TERKINI :

Thursday, December 14, 2017

Laporan: Jho Low hidup mewah di hotel Shanghai, kapal layar

 jho-low
PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low menghabiskan masanya di kapal layar mewah gergasi dan hotel mewah di Shanghai, lapor The Australian.

Menurut laporan akhbar Australia itu, The Equanimity yang disifatkan istana terapung, merentasi lautan di luar pantai Papua Barat.

Jho Low dinamakan orang utama dalam satu siasatan antarabangsa yang disifatkan The Australian sebagai “rompakan berbilion dolar dana Malaysia, 1MDB”.

Akhbar itu melaporkan Jho Low dikatakan membahagi masanya antara kapal mewah Equanimity dengan rekaan dalaman bertatahkan emas dan Hotel Peninsula yang mewah di Shanghai, dengan pemandangan Sungai Huangpu.

Menurut laporan itu “walaupun rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Low dilaporkan diberi amaran tidak pulang ke Malaysia”.

Sejak 6 bulan lalu, kapal layar itu dilihat berlayar di lautan Asia Tenggara di Kemboja, Thailand, Bali dan beberapa pulau kecil di Indonesia.

Laporan itu berkata, penyiasat Australia terlepas peluang menahan kapal layar bernilai A$165 juta (RM516 juta) itu, apabila ia menghampiri Cairns untuk berhenti, Mac 2016.

Menurut dokumen mahkamah AS, ketika Jho Low berseronok dalam kapal layar mewah itu pada 2014, beliau menghadiahkan teman wanitanya ketika itu, peragawati terkenal Miranda Kerr 1 set barang kemas berlian bernilai AS$2 juta (RM8.16 juta) – wang yang didakwa Jabatan Keadilan AS (DoJ) dikesan secara terus kepada 1MDB.

“Rombongan itu dirancang perkhidmatan ‘concierge’ mewah atas arahan Low, dan dirancang secara teliti untuk Low menunjukkan setiap satu barang kemas berlian itu kepada Kerr,” kata DoJ dalam satu pemfailan di Mahkamah Persekutuan AS, bulan lepas. Kerr bagaimanapun sudah memulangkan barang kemas tersebut.

DoJ menuduh Jho Low dan sekutunya menggunakan rangkaian rumit syarikat kosong untuk menyeleweng wang dari 1MDB yang ditubuhkan Najib dengan tujuan “memacu pembangunan ekonomi jangka panjang dan pertumbuhan Malaysia yang mampan”, tetapi mereka membelanjakan sebahagian besar dana itu untuk kemewahan sendiri.

“Rompakan 1MDB” sedang disiasat di beberapa negara seperti Singapura, Switzerland dan AS.

Malah, Singapura menjatuhkan hukuman penjara kepada beberapa individu terbabit dalam transaksi berkaitan 1MDB dan menutup cawangan bank tertentu serta mengenakan denda, manakala AS pula merampas hartanah yang dikatakan dibeli menggunakan wang 1MDB.

Polis Malaysia bagaimanapun berkata, mereka masih menyiasat perkara itu. Najib terus menafikan sebarang salah salah, sementara 1MDB berkata, tiada wang yang dicuri.

Bagaimanapun, polis Australia kini memulakan siasatan ke atas isu itu.

Laporan itu berkata, polis Australia sedang menyiasat sama ada mana-mana hasil daripada jenayah disyaki itu, mungkin disimpan di Australia.

Akhbar itu melaporkan siasatan itu mungkin menjurus kepada parti besar menjelang Tahun Baharu 2012-13 melibatkan bintang Hollywood seperti Leonardo DiCaprio dan Jamie Foxx.

Bank Australia ANZ dan syarikat pembinaan Lendlease yang menandatangani kontrak berkaitan projek Tun Razak Exchange mungkin terkena tempiasnya.

Sebahagian daripada ANZ turut dimiliki AmBank, di mana Najib mempunyai akaun dengan deposit wang sebanyak AS$681 juta (RM2.78 bilion). Najib berkata, ia adalah sumbangan daripada Arab Saudi dan peguam negara turut membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.

Laporan itu juga memberi maklumat tentang parti ambang Tahun Baharu di Sydney, termasuk beberapa nama besar yang hadir. Menurutnya, parti besar-besaran itu dibiayai Jho Low sepenuhnya.

Selepas pertunjukan bunga api pada tengah malam itu, hadirin dibawa menaiki pesawat 747 yang disewa daripada Atlas Air untuk terbang ke Las Vegas, di mana sambutan itu diteruskan di AS.

Menurut laporan itu, Foxx memberitahu pengacara TV dari Britain, Jonathan Ross beberapa minggu selepas itu, “Saya ada seorang rakan, beliau ada wang. Beliau terbangkan saya, Leonardo DiCaprio, Jonah Hill dan beberapa individu terkenal ke Australia. Kami mengira detik ketibaan tahun baharu di Australia dan menaiki pesawat semula untuk mengira detik tahun baharu di Vegas. Itu menyeronokkan.”

Jurucakap Atlas Air yang dihubungi The Australian enggan mengulas.

Laporan itu turut mendedahkan beberapa maklumat aktiviti perniagaan Jho Low di Australia dan kaitan lama keluarganya dengan negara itu menerusi bapanya, Larry Low Hock Peng.

Akhbar itu memetik seorang bekas sekutu perniagaan Hock Peng yang tidak dinamakan sebagai berkata, “Apa yang saya tahu ialah keluarga Low sangat kaya. Mereka tahu cara berparti pada malam — bar karaoke, cerut. Mereka memperoleh banyak wang dengan datang dan meninggalkan Australia.”

Bagaimanapun, satu-satunya aset di Australia yang sememangnya berkaitan 1MDB boleh ditemui di Gold Coast, Queensland.

Avestra, sebuah kumpulan pengurusan dana di Gold Coast yang dikaitkan dengan Bridge Global, pengurus dana di Kepulauan Cayman yang didakwa digunakan untuk menyembunyikan dana 1MDB, lapor The Australian.

DoJ berkata, ini “melibatkan beberapa transaksi rumit dan tidak diperlukan secara komersial. Transaksi ini tiada manfaat ekonomi, bersamaan pelbagai sekuriti dan kertas komersial yang direka untuk dan mempunyai kesan perakaunan palsu, iaitu inflasi palsu pada nilai aset 1MDB.”

Laporan itu berkata, Avestra dibubarkan selepas tindakan mahkamah diambil pengawal atur korporat.

Gold Coast juga merupakan lokasi bekas pengurus bank Singapura, Yeo Jiawei, rakan Jho Low menghimpunkan portfolio hartanah jutaan dolar, termasuk kedai dan sebuah pangsapuri bernilai A$1.3 juta di bangunan mewah Soul.

Yeo, bekas pengurus kekayaan di bank Switzerland, BSI, dipenjarakan di Singapura kerana isu 1MDB.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...