TERKINI :

Monday, December 11, 2017

Kenapa tiada RCI kerugian RM160 bilion rizab Bank Negara, soal Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad hairan mengapa kerajaan lebih mengambil berat tentang kerugian forex RM31.5 bilion yang berlaku kira-kira 30 tahun lepas, walhal rizab negara mengalami kerugian lebih besar iaitu AS$39.6 juta atau RM160 bilion dari 2013 dan 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2017.

DR Mahathir Mohamad telah menuduh Putrajaya bersikap 'diskriminasi' di atas kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) semasa pentadbirannya sedangkan bank pusat itu mengalami kerugian yang lebih teruk pada 2013 dan 2015 disebabkan kejatuhan nilai ringgit.

Bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan itu bertanya mengapa pentadbiran Najib lebih mengambil berat tentang kerugian forex RM31.5 bilion yang berlaku kira-kira 30 tahun lepas, walhal dari 2013 dan 2015 rizab negara mengalami kerugian lebih besar iaitu AS$39.6 bilion atau RM160 bilion.

"Kenapa dia (perdana menteri Najib Razak) mulakan RCI untuk cari jika ada perbuatan salah dalam kerugian dana yang berlaku 30 tahun dahulu. Tiada bukti menunjukkan wang itu dicuri.

"Kerugian ini disebabkan urusniaga tukaran wang (forex) oleh BNM untuk menguruskan rizab negara, itu yang menyebabkan kerugian.

"Saya cuma hairan kenapa ada diskriminasi dalam isu ini. Mungkin Najib boleh terangkan," kata Dr Mahathir dalam sebuah video di YouTube malam ini.

Dr Mahathir juga menyebut wang itu hilang melalui urusniaga forex dan bukan 'dicuri'.

BNM dalam laporan tahunannya merekodkan rizab antarabangsanya untuk 2013 pada RM441.9 bilion (AS$134.97 bilion). Pada 2015, rizab itu menurun kepada RM409.1 bilion (AS$95.3 bilion). Pada tahun lepas, BNM melaporkan RM423.9 bilion (AS$94.5 bilion).

Pada 2013, kadar pertukaran adalah RM3.27 bagi setiap dolar AS. November lalu, ia jatuh pada RM4.44, iaitu paras terendah sejak krisis kewangan Asia. Semenjak itu, ringgit ditutup pada RM4.09 pada Jumaat.

RCI telah mengesyorkan Dr Mahathir, bekas kewangan Anwar Ibrahim dan bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop disiasat kerana pecah amanah.

Dr Mahathir berkata, dari 2013 hingga 2015 BNM mengalami kerugian lebih dari itu, iaitu AS$39.6 bilion (RM160 bilion).

"Tiada siasatan atau RCI bagi kerugian ini (rizab BNM) dan jawapan yang diberikan alam Parlimen tidak memuaskan yang mana mereka kata ia disebabkan kenaikan faedah mata wang Amerika dan ramai warga asing menarik balik pelaburan mereka di Malaysia.

"Ini tidak benar. Ia bukan kerana dana diambil oleh pelabur asing. Sebenarnya, kerugian RM160 bilion adalah disebabkan oleh pengurusan rizab Malaysia.

"Tetapi ini tidak dianggap serius dan tidak dikenakan RCI," kata Pengerusi Bersatu itu.

Dr Mahathir sebelum ini berkata RCI forex adalah bertujuan untuk merosakkan namanya menjelang pilihan raya umum tahun depan dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menyiasat skandal 1MDB.

Dalam vidoe itu juga, Dr Mahathir bertanyakan mengapa tiada siasatan dijalankan terhadap RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

"Ini kerana menurut peguam negara tiada kesalahan dilakukan.

"Peguam negara menjadi hakim dan mengatakan tiada apa-apa kesalahan dilakukan. Dia juga menyembunyikan fakta.

"Inilah cara Najib, apa yang hilang 30 lepas diberi perhatian serius manakala kerugian RM160 bilion tidak penting." – 10  Disember, 2017.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...